Tanpa buang masa... dozo...
Encik Sulaiman dan Prof Narimah memandang sesama sendiri.
Wakil yang menyertai mereka ke rumah itu juga saling berpandangan. Sesekali
mereka mengerling ke arah seorang gadis yang duduk di sofa bertentangan. Gadis
itu melebarkan senyuman. Encik Sulaiman dan Prof Narimah membalas senyuman itu.
Encik Sulaiman kemudiannya menjeling jam yang kebetulan tersangkut di dinding,
di belakang gadis itu duduk.
“Minta maaflah,
nak. Pak cik nak bertanya.” Encik Sulaiman akhirnya bersuara. Sudah hampir
setengah jam mereka ke mari, membawa hajat anak lelaki mereka untuk menyunting
bunga di taman. Tapi sejak awal, hanya gadis itu saja yang ada di dalam rumah
ini. Nampaknya rombongan Encik Sulaiman sudah tersilap waktu barangkali. “Kami
datang ni sebenarnya membawa hajat besar. Hendak berjumpa dengan waris Nurul
Syakira yang sah untuk kami sampaikan hajat ni. Jadi, kalau pak cik boleh tahu
mak dan ayah anak ni tak ada di rumahkah?”
Fara Hana sedikit
terkejut mendengar kenyataan lelaki berusia lingkungan 50-an di depannya itu.
‘Rombongan untuk Kira?’ Otaknya berkira-kira. Patutlah mereka datang
beramai-ramai dengan membawa tepak sireh sekali. Tidak langsung terlintas di
fikiran Fara Hana ketika menyambut mereka masuk tadi. Sangkanya saudara-mara
Nurul Syakira yang sekadar datang hendak menziarah.
“Maaflah pak cik.
Saya dengan Kira bukan adik-beradik. Kami cuma kawan serumah. Sebenarnya rumah
ni rumah bujang, pak cik.” Muntah kenyataan itu dari mulut Fara Hana sambil
berkerut-kerut sekaligus kenyataannya itu membuah seribu tanda tanya di
kalangan rombongan Encik Sulaiman. Masing-masing berpandangan lagi sambil
beromong sesama sendiri.
Fara Hana memerhati
reaksi mereka dengan rasa serba salah. Dijelingnya ke muka pintu, melihat
kelibat kejiranan yang asyik lalu lalang di depan pintu rumahnya sambil
menjengah ke dalam. Hati Fara Hana mula merusuh. Busy body sungguh jiran-jirannya itu. Sengaja lalu-lalang
berkali-kali. Sibuk sangat hendak ambil tahu hal orang.
“Tapi, nanti
sekejap saya telefon abang dia.” Fara Hana meminta diri ke dalam.
Seketika Prof
Narimah menepuk lengan suaminya. “Apa yang berlaku ni, bang? Wan tak beritahu
pun kita pasal ni? Macam mana pula dibaginya kita alamat rumah sewa.”
Encik Sulaiman
menggeleng-geleng. Lantas Encik Sulaiman bangun dari duduk dan melangkah jauh
dari wakil rombongannya. Telefon bimbit dari kocek seluar diseluk lalu nombor
anak lelakinya cepat dihubungi. Blackberrynya diletak ke telinga, menanti
panggilan itu dijawab. Seketika, ada suara yang menjawab.
“Apa cerita ni,
Wan?” soal Encik Sulaiman terus. “Yang kamu pergi bagi alamat rumah bujang
budak perempuan tu, kenapa? Orang kalau nak hantar rombongan meminang ke
merisik ke, kenalah jumpa orang tua dia. Takkanlah abah nak terus merisik dekat
tuan badan pula.”
Joe Redzuan sudah
terpinga-pinga dalam gelisah dia menunggu berita dari rombongan orang tuanya.
Tidak senang duduk dia menunggu di rumah. Walaupun dia juga yang selamba saja
menyuruh ayah dan ibunya pergi merisik, tapi entah kenapa Joe Redzuan tetap
gelisah. Mungkin begitulah yang dirasai orang lain.
“Ni abah dengan mak
nak buat apa dekat rumah bujang ni? Ish, kamu ni. Buat malu abah dengan mak
aje!” Encik Sulaiman menyambung.
“Manalah saya tahu,
bah. Saya tengok alamat tu dari diari dia, masa saya tolong dia hari tu.
Manalah saya tahu tu alamat rumah sewa.” Mudah Joe Redzuan menjawab.
“Ish, diari orang
boleh pula kamu baca. Habis tu, kamu daftarkan dia dekat hospital masa tu tak
guna IC ke? Kenapa tak tengok aje alamat pada IC dia?”
“Saya guna kad
kerja dia. Habis tu, dah saya tak jumpa pun IC dia. Entah-entah dia simpan
dalam poket seluar. Takkan saya nak raba, bah.”
“Hai, Wan... Wan.”
Encik Sulaiman menggelengkan kepala.
“Habis tu, macam
mana bah? Tak bolehlah nak meminang hari ni ya?”
Encik Sulaiman
terus menggeleng sebelum menjawab soalan anak lelaki yang seorang itu. Bunyinya
seperti tidak sabar sungguh anaknya itu mahu berumah tangga. “Nak meminang pun
kenalah kena pada gayanya. Adat mana kamu pakai nak meminang terus pada isteri
kamu tu. Kamu ni tak habis-habis bagi abah masalah. Ni nak kahwin ni pun, kamu
kenal sangatkah dengan perempuan ni? Tiba-tiba saja nak abah dengan Umi hantar
rombongan. Kamu pun tak pernah kenalkan dia dengan abah dan Umi. Tiba-tiba saja
nak menikah. Kalau tak kerana Umi kamu tu beria-ia nak mengikutkan kehendak
kamu, abah memang bantah.” Encik Sulaiman terus matikan panggilan. Kepalanya
digelengkan sekali lagi. Lambat Encik Sulaiman beralih ke tempat duduknya,
bersama wakil rombongan lain.
Prof Narimah
berkali-kali menepuk lengan Encik Sulaiman, mahu mengetahui hal yang berlaku.
Namun Encik Sulaiman hanya berdiam diri.
**************************************************************
“Yang sebenarnya pak cik, mak cik... Nurul Syakira tu
sebatang kara. Dia dibesarkan di rumah anak yatim. Saya kenal dia pun sebab
kami membesar bersama di rumah anak yatim yang sama. Jadi, biarlah saya sebagai
abang angkat dia saja yang terima pinangan ni.” Dani Imran bersuara sambil
tersengih-sengih.
Fara Hana pantas
menyinggul lengan Dani Imran. “Eh, suka-suka aje kau terima pinangan untuk
Kira. Kau bukan abang kandung dia. Bolehkah macam ni?” bisik Fara Hana dekat ke
muka Dani Imran. Sesekali Fara Hana menjeling lagi reaksi wakil rombongan
lelaki. Sekali lagi, kelihatan mereka beromongan sesama mereka. Ah, sudah.
Macam sudah semakin rumit pula hal ini. Entah siapalah yang hantar rombongan
ini, Fara Hana juga tidak pasti.
“Habis tu, siapa
lagi yang boleh terima? Dah memang Kira tu tak ada saudara-mara lain. Ikutkan
dia boleh kahwin aje terus.” Dani Imran membalas dalam bisikan. Perlahan
suaranya supaya tetamu yang datang tidak mendengar.
“Kau main terima
aje. Siapa yang dok meminang ni, kau kenalkah siapa?”
Dani Imran
tersengih. Kemudian, Dani Imran beralih semula kepada Encik Sulaiman. “Maaflah,
pak cik. Saya ni nak tahulah siapa gerangan anak pak cik yang nak meminang
Nurul Syakira, siapa namanya ya?”
Fara Hana terkejut
mendengar soalan itu keluar dari mulut Dani Imran. Ikutkan, mahu saja dia tepuk
dahi tapi macam tidak sopan pula di depan tetamu yang datang. Bikin suasana
makin kelam kabut lagi adalah. Tapi boleh pula Dani Imran menerima pinangan
untuk kawannya itu tanpa mengetahui asal usulnya. Ish, siaplah Dani Imran lepas
ini. Setelah semua tetamu pulang nanti, biar Fara Hana bambu Dani Imran yang
kuat berleter itu cukup-cukup. Biar Fara Hana pula yang berleter panjang pada
lelaki itu kali ini.
“Ya Allah, kita pun
terlupa nak beritahu ya bang.” Prof Narimah lekas menjawab. Lengan Encik
Sulaiman ditampar perlahan.
Encik Sulaiman
mengiyakan lalu lekas mengulit senyuman semula. “Maaflah. Kami pun terlupa nak
beritahu tentang tu. Sebenarnya, kami mewakili anak lelaki kami, Joe Redzuan
nak menyunting Nurul Syakira menjadi isterinya. Pak cik faham kalau anak berdua
ni tak kenal dia. Rombongan ni pun datang secara tergesa-gesa.”
“Kalau namanya Joe
Redzuan, saya kenal benarlah saya pada anak pak cik tu.” Dani Imran bersuara
perlahan. Terlalu perlahan hingga tidak didengari Encik Sulaiman sendiri. Hanya
Fara Hana saja yang dapat menangkap pengakuan itu. Serentak, Fara Hana terkejut
lagi.
“Kalau dah Nurul
Syakira tiada wakil, nampaknya bolehlah majlis diteruskan.” Salah seorang wakil
Encik Sulaiman bersuara galak disertai dengan anggukan kepala beberapa orang
lagi.
Encik Sulaiman dan
Prof Narimah turut tersenyum lebar.
“Kalau macam tu,
bolehlah kita tetapkan terus tarikh nikahnya. Kalau ikutkan anak lelaki kami,
dia tu tak sabar-sabar nak nikah cepat,” ujar Prof Narimah sekaligus
mencetuskan tawa setiap individu di ruang tamu rumah itu. Prof Narimah juga
sebenarnya teruja mahu menerima menantu. Sudah lebih lima tahun dia tidak
mendapat menantu baru. Kalau menjadi, gadis ini bakal menjadi menantu
perempuannya yang pertama.
“Assalammualaikum!”
Kedengaran suara seorang gadis memberi salam dari muka pintu serentak mematikan
tawa mereka.
Nurul Syakira
tergamam sebaik melangkah masuk ke dalam rumah. Dilihatnya ramai orang yang
berkumpul di ruang tamu. Dani Imran juga ada bersama. ‘Saudara Fara datang
kut!’ getusnya tenang lantas mengulum senyum manis ke arah mereka.
Nurul Syakira
bersalaman dengan tetamu wanita yang hadir hingga di depan Prof Narimah, dia
terkesima.
“Eh, Prof!”
Terpacul nama itu dari mulut Nurul Syakira. “Err... Prof saudara Fara ke?” soal
Nurul Syakira selamba lalu tersengih menoleh ke arah Fara Hana.
“La, kamu ke Nurul
Syakira yang Wan maksudkan?” Wajah Prof Narimah berubah rona. Terkejut namun
kian ceria. “Kalau macam tu, kita tak perlu risaulah bang. Saya kenal Nurul
Syakira ni. Budaknya memang baik dan rajin. Elok benarlah pilihan Wan ni,
bang.” Prof Narimah bersuara kepada suaminya.
Encik Sulaiman
mengangguk setuju. Kalau sudah isterinya itu mengenali gadis pilihan anak
lelaki mereka, legalah hati Encik Sulaiman. Walaupun Joe Redzuan tidak pernah
memperkenalkan pilihan hatinya itu kepada mereka, sekurang-kurangnya Prof
Narimah mengenali gadis itu.
Nurul Syakira yang
memerhati terpinga-pinga. Di hatinya mula rasa seperti ada yang tidak kena.
Melihat tepak sireh di atas meja kopi, bikin hati Nurul Syakira kian bergolak
ingin tahu. Nurul Syakira menoleh ke arah Dani Imran dan Fara Hana. Kedua
kawannya itu hanya tersengih.