Pages

Hi pembaca semua!!!

Terima kasih kerana datang melawat, membaca karya-karya dalam blog ini dan terima kasih juga kepada semua yang menyokong Yuri. Yuri rasa happy sangat dengan kehadiran korang dalam hidup mahupun alam maya Yuri ni.

Segala komen dan sokongan sentiasa dan akan terus membakar semangat Yuri untuk terus berkarya menggunakan nama pena ayu munawer.

Semua karya di dalam blog ini adalah ilusi, imaginasi serta daripada pengalaman hidup. Dan yang paling penting, semua karya di sini adalah hasil karya Yuri. Mohon supaya tiada copycat dekat sini... tqvm

Harap korang terus menyokong dan beri komen mahupun kritikan untuk Yuri memperbaiki sebarang kekurangan.

P/S: Untuk makluman, karya "Dia Si Jantung Hati" akan dihentikan penerbitannya di sini atas sebab rombakan besar-besaran plot cerita. Justeru itu, judulnya juga bakal berubah. Maaf atas sebarang kesulitan. Harap korang setia menunggu dan menyokong hasil rombakannya nanti okey ^^,
"Aku tak suka kau la" kini diterbitkan di penulisan2u dengan tajuk "JIWA KACAU"..saja nk tukar tajuk. Sebb yuri rasa cam lg sesuai je tajuk ni..lebih pendek n ringkas hehe ada ka yuri edit2 skit. Harap u all x kesah nk singgah baca :-)
Sudi-sudilah berkunjung ke official blogshop yuri di http://decodanmakan.blogspot.com yer. Walaupun rupanya masih macam blog biasa, yuri pun masih belajar lagi macam mana nak upgradekannya. Macam-macam ada. Nak tau apa yang ada, kenalah singgah.

Terima kasih (^^,)v

Saturday, August 31, 2013

Buddyz vs cinta: bab 20


“Aduh, panas betul hari ni!” keluh Azura sebaik masuk ke dalam bilik sambil mengipas batang lehernya dengan fail nipis yang dibawa bersama. Azura letak beg galasnya atas meja belajar lalu terus henyak punggung atas katil. Mengengsot ke belakang dan bersandar ke dinding. Azura terus mengibas bajunya supaya berangin sedikit. Namun, angin kipas yang ligat berpusing atas siling juga seakan tidak terasa dinginnya.
“Kalau dapat ais cendol waktu-waktu macam ni mesti best...” Azura bersuara lagi serentak melontar pandang ke arah Emey Suhaila. Keningnya diangkat berkali-kali, cuba mengajak Emey Suhaila pergi ke warung cendol Pak Leman yang mereka selalu pergi sebelum ini.
Sudah terbayang keenakan cendol Pak Leman yang bikin orang gila bayang. Nikmatnya bila ais yang mencair dalam mulut dengan rasa lemak manis. Tambah-tambah lagi dalam cuaca yang bahang ini. Fuh, memang syok tak ingat. Naik meleleh air liur Azura dibuatnya.
Tapi air muka Emey Suhaila nampak kosong. Langsung tidak menunjukkan sebarang respon. Azura kerut dahi. Dia mula tertanya-tanya sama ada Emey Suhaila memandang ke arahnya atau pun pandangan kawannya itu sudah lama tembus ke dinding.
“Ni apahal pula monyok macam tempoyak aje ni? Dari tadi aku perasan kau senyap aje. Selalunya kau mesti bela si Aya tu bila aku bertekak dengan dia.”
Senyap. Sedang mata Emey Suhaila masih tidak berkerdip. Serta-merta Azura buang pandangannya ke bawah seraya merengus geram. Azura yang panas baran ini memang mudah sangat mahu naik angin. Mulalah hatinya panas bila cakapnya tidak diendahkan. Bertambah-tambah bahang pula rasanya bilik yang boleh dikatakan besar itu tapi sekarang sudah terasa macam duduk dalam kotak mancis. Sempit lagi panas.
‘Ceh, melayang rupanya otak dia. Buat penat aje aku cakap berbuih-buih tadi!’ getus Azura lantas tangannya pantas mencapai bantal di sebelah lalu dicampak ke arah Emey Suhaila yang asyik termenung. Memang itulah habuan yang Azura akan beri jika buat dia sakit hati. Tidak kira apa yang mampu dicapainya pasti Azura akan baling ke arah orang itu. Kalau kena tu nasiblah. Siapa suruh buat Azura marah.
Azura capai satu lagi bantal setelah Emey Suhaila masih tidak tunjukkan respon walaupun bantal yang dibaling Azura sebelum ini jatuh ke riba Emey Suhaila. Malangnya, bantal kedua yang dilontar Azura pula sekadar jatuh ke lantai.
‘Cis! Tak kena pula!’ Azura makin panas hati. Cepat-cepat tangannya genggam apa saja yang ada di sebelahnya. Tapi kali ini terasa ringan.
“Alamak! Tinggal selimut aje?” Azura merungut. Namun dia tidak putus asa. Selimut pun jadilah untuk menjadi senjatanya dan kali ini mesti mengena. Azura angkat tubuh dan berdiri atas lututnya. Selimut yang dipegang diperkemaskan. Sasaran dikunci lalu selimut itu dilontar sepenuh tenaga dan ia mengena tepat ke kepala Emey Suhaila.
Yes! Yes!” Azura gembira sakan apabila melihat Emey Suhaila tersentak sebaik selimut itu jatuh ke kepalanya.
Kemudian, Emey Suhaila terbatuk-batuk sambil kalut menepis selimut yang melekat di mukanya. Bau hapak mula menyerbu ke ruang hidung Emey Suhaila.
‘Ambik kau! Mesti wangi selimut aku yang dah berbulan-bulan tak basuh tu!’ Azura gelak dalam hati melihat gelagat Emey Suhaila yang terus kelam kabut membuang selimut Azura dari kepalanya. Makin ditarik, makin terburai pula lipatan selimut itu membuatkan muka Emey Suhaila lama tertutup dek selimut hapak itu.
“Apa kau buat ni? Busuklah. Buek!” omel Emey Suhaila geram setelah membuang selimut itu jauh dari tubuhnya. Renungan yang tajam dilemparkan ke arah Azura di depan. Kalau pandangan Emey Suhaila itu macam anak panah, sudah lama ia tembus ke dahi Azura. Padan muka Azura yang sesedap rasa saja menghadiahkan selimut busuknya kepada Emey Suhaila. Kalau wangi semerbak bau mawar pun, Emey Suhaila tak sudilah.
“Kau tu yang berangan sana... berangan sini sampai aku cakap pun kau buat tak tahu. Aku cakap dengan kau, bukan dengan dinding!” bentak Azura semula. Hatinya yang berguling-guling ketawa melihat gelagat kalut Emey Suhaila kini panas kembali.
“Mana ada aku berangan!” betah Emey Suhaila tidak setuju. Rambutnya yang kusut disisir dengan jari.
“Kalau tak berangan, ke mana otak kau dah melayang? Telinga kau tu pula dah lama tak korek ke dah hilang kat tempat lain? Berbuih aku cakap dekat sini, kau boleh buat tak tahu aje. Macamlah aku cakap dengan patung. Dahlah tunjuk muka toya macam tempoyak basi tu. Tak selera aku nak tengok tahu.”
Emey Suhaila mengherotkan bibirnya. Sakit hati Emey Suhaila mendengar cakap Azura yang sesedap mulut saja bila bercakap. Kalau ada cili dekat bilik ini, sudah lama Emey Suhaila cili mulut Azura itu cukup-cukup.
“Ini semua kau punya pasal la!” Emey Suhaila menyilangkan tangan dan terus lontar pandang tepat ke muka Azura. Kali ini renungannya lebih tajam. Azura dapat merasakan aura tidak baik muncul dari pandangan Emey Suhaila itu.
“Kenapa aku pula yang kau salahkan? Apa kena-mengena aku dengan muka tempoyak basi kau tu?” balas Azura selamba. Jangan harap Emey Suhaila boleh takutkan Azura dengan pandangan matanya yang setajam mata pisau itu. Sedikit pun Azura tidak takut.
Walau mata Emey Suhaila keluar api membara sekalipun, Azura tidak hairan. Azura bukan budak kecil lagi dan ini bukan cerita komik yang mata Emey Suhaila betul-betul boleh panah api atau laser ke arah Azura. Setakat renungan Emey Suhaila yang bermata agak sepet, tiada apa yang perlu dirisaukan Azura. Azura boleh beri pandangan lebih dahsyat lagi dengan mata bundarnya itu.
‘Tempoyak basi... tempoyak basi. tak habis-habis dia kata muka aku tempoyak basi. Berilah gelaran lain pula, Macam kek coklat ke, kek cawan yang comel ke. Sedap sikit nak jamah!’ Rungutnya lalu tayang muka bengang.
“Adik kesayangan kau tulah. Menyakitkan hati betul!.”
“Adik aku? Bila mak aku lahirkan adik?” Azura terpinga-pinga. Jarinya diketuk ke bibir sambil memandang ke atas. Seingat Azura dialah adik paling bongsu dalam keluarga. Tidak pernah pula Azura dapat tahu yang dia punya adik. Adik mana pula ni?
“Jangan buat tak tahulah! Adik Putri Qistina kau yang baik hati sangat tulah!”
Terjahan Emey Suhaila itu telah menjawab soalan yang berlegar di benak Azura. Tapi Azura masih keliru.
“Bila pula si Putri Qistina tu jadi adik aku? Dia bukannya keluar dari perut mak aku. Mak dia dengan mak aku lainlah.” Bersahaja balasan diberikan Azura. Kemudian dia tersenyum nakal.
Emey Suhaila menjeling. Sebal di hati mengenang sikap Putri Qistina tadi semakin tebal ditambah lagak Azura yang sekejap melenting tidak memasal, sekejap berloyar buruk yang entah apa-apa.
“Apa kena dengan dia? Kau dah tegur diakah? Bila kau jumpa dia? Tadi ke? Apa reaksi dia lepas tu?” soal Azura bertalu-talu sambil melompat ke katil Emey Suhaila dan terkebil-kebil di depan muka Emey Suhaila. “Kau dah berkawan dengan diakah?” tanya Azura lagi, teruja.
Emey Suhaila hela nafas panjang perlahan. ‘Ish, cepat betul sikap budak ni berubah. Ni yang terkelip-kelip depan muka aku ni buat apa pula?’
Emey Suhaila menolak muka Azura yang merapatinya. Kemudian Emey Suhaila alih posisi duduk, menjauhi Azura yang tiba-tiba saja teruja memacu soalan yang bertubi-tubi kepadanya. Panaslah duduk dekat-dekat ni. Rimas.
“Hei, cakaplah. Kau dah tegur dengan dia kan. Mengaku ajelah. Takkan dengan aku pun kau nak berahsia. Dia tu bukannya lelaki yang kau nak berahsia sangat. Lagipun, kan aku yang kenalkan dia pada kau. Takkan dengan aku pun kau nak menyorok.”
“Hah! Sebab tulah semua ni salah kau! Sibuk sangat nak aku berkawan dengan budak pekak tu! Ish, jangan cakap pasal dialah. Sakit hati aku ni tahu!” Sakit betul hati Emey Suhaila mengenang sikap Putri Qistina.
Kalau ikutkan marah, mahu saja dia tarik baju Putri Qistina tadi. Lepas tu sembur budak sombong itu cukup-cukup. Tapi disebabkan mereka di perpustakaan, tambahan lagi dua orang pelajar yang memandang baik pada Emey Suhaila juga ada di tempat itu, Emey Suhaila pendam saja rasa marah.
Azura pula tidak sudah-sudah menyoal. Jari Azura pula asyik mencucuk tubuh Emey Suhaila. Sudah rupa Rogayah pula Azura ini sekarang. Itulah, pantang jumpa Rogayah mesti hendak bertekak. Padanlah perangai mereka pun sudah jadi dua kali lima. Tidak tahan Emey Suhaila dibuatnya. Serabut betul.
“Eh, tadi kau juga yang mula cerita dulu. Kosngsilah sikit cerita...”
Pada mulanya Emey Suhaila memang malas mahu buka cerita. Lagi dikenangkan sikap Putri Qistina, lagi Emey Suhaila sakit hati. Tapi disebabkan sudah rimas dengan tindakan Azura yang asyik tonyoh tubuh Emey Suhaila, terpaksalah Emey Suhaila mengaku. Mungkin kalau Emey Suhaila bercerita dapat melegakan panas dihatinya.
“Adik kau tu sombong yang amat tahu tak? Geram aku tengok perangai dia. Ada ke patut aku tegur dia, dia boleh buat pekak telinga aje. Bukan sekali dua tapi banyak kali pula tu. Sakit hati aku ni tahu. Muka ni dah rasa tebal semacam, dah macam muka tembok aje aku rasa.” Emey Suhaila luahkan geram sambil jari telunjuk Emey Suhaila menunjuk ke pipi.
Mata Azura terbelalak. Tidak percaya. “Kau biar betul? Tak percayalah aku.” Azura menepis kata-kata Emey Suhaila tadi ke udara.
“Kan aku dah kata budak tu sombong... korang tak percaya.”
Emey Suhaila dan Azura menoleh serentak. Tiba-tiba saja muka Rogayah terpacul di tepi katil Emey Suhaila. Siap sudah duduk bersila lagi.
“Bila kau ada kat sini? Macam mana kau masuk?” terjah Azura keras. Jarinya menunjuk ke arah Rogayah dengan muka bengang.
Rogayah tayang muka seposen. Macam tidak kuasa mahu menjawab soalan Azura itu. “Pintu kau terbuka luas, aku pun masuklah...” jawabnya mudah.
Azura gigit gigi. Tangan Azura cepat menarik bantal yang bertimbun atas katil Emey Suhaila lalu dihempuk ke badan Rogayah. “Selambanya kau jawab soalan aku ya...”
Rogayah lekas-lekas mengelak sebaik melihat Azura sudah naik tangan sekali lagi. Masakan dia mahu membiarkan penangan tangan sotong kurita itu hinggap ke tubuhnya buat kali kedua. Sekali itu pun sudah cukup perit.
Azura sakit hati bila pukulannya tadi tidak mengena. Tambah sebal bila melihat Rogayah yang tersengih setelah berjaya mengelak serangannya. Azura juga tidak mahu beri peluang. Walaupun tangan Azura pendek, tapi Azura masih boleh kejar Rogayah walau ke mana pun dia mengelak. Jangan harap dapat lari dari penangan Azura. Azura tetap akan kejar sampai dapat.
Suhaila pula yang pening kepala melihat Azura mengejar Rogayah satu bilik. Lari sana lari sini dari satu hujung ke satu hujung yang lain dalam bilik itu. Sudah macam main kejar-kejar pula Emey Suhaila tengok. Bergegar satu bangunan ini dengan tapak kaki mereka. Suara Azura yang nyaring terpekik-terlolong kerana marah serta tawa Rogayah yang terkekek-kekek bikin kepala Emey Suhaila makin pusing.
Emey Suhaila capai bantal kepalanya yang paling berat lantas Emey Suhaila hayun tinggi-tinggi dan dihempuk ke bahu Azura yang kebetulan berlari di depannya. Rogayah yang dikejar juga tidak ketinggalan, juga menerima habuan yang sama. Terjelupuk kedua-duanya ke lantai sambil mengaduh sakit.
‘Ambik kau! Macam budak kecil!’ getus Emey Suhaila dalam hati.
Azura angkat muka dan memandang tepat ke muka Emey Suhaila yang melutut atas katil. Di tangan Emey Suhaila masih menggenggam bantal yang digunakan untuk menghempuk Azura dan Rogayah.
“Apa kena dengan kau ni? Tiba-tiba aje nak pukul aku dengan bantal kau yang berat macam karung guni lima kilo tu, kenapa?” bentak Azura marah. Bahu yang terasa sengal diramas dengan jari. Sebenarnya hati Azura marah sangat sebab hajat mahu memukul Rogayah tidak kesampaian. Sudahnya, Azura pula yang terima penangan.
Emey Suhaila cekak pinggang. “Patutnya aku yang tanya kau apa yang tak kena dengan kau ni. Berkejaran dalam bilik ni macam budak kecil buat apa? Pening aku tengok perangai kamu berdua ni. Pantang jumpa, mesti nak bergaduh. Macam anjing dengan kucing.” Emey Suhaila geleng kepala, pening memikirkan sikap dua temannya itu. “Nanti kalau Kak Aini dengan Kak Mas tu dengar, sibuk dia orang pun masuk bilik ni juga tau. Kau nak dengar ke bebelan dia tu?”
“Eh, kitorang kan orang... bukannya kucing atau anjing. Kenapa kau samakan kitorang dengan haiwan-haiwan tu?”
“Itu perumpaan ajelah!” betah Azura cepat lalu tangannya juga sepantas kilat menampar betis Rogayah. Akhirnya dapat juga Azura hadiahkan habuannya. “Kau ni belajar ke tak masa sekolah dulu? Budak sekolah rendah pun tahu perumpamaan tulah.”
Spontan Rogayah menarik betisnya yang terasa perit. Suara Azura yang kuat itu tidak lagi kedengaran di telinga Rogayah kerana otaknya hanya tertumpu kepada rasa sakit yang mencucuk-cucuk kulit betisnya. Tamparan Azura memang perit walau tangan gadis itu kecil macam adiknya yang berusia dua belas tahun. Tapi kekuatannya, fuh macam pemain bola tampar profesional. Sah berpetalah jawabnya betis Rogayah dengan tanda merah.
“Sudahlah tu, Zura. Kau ni pun... janganlah asyik marah Aya aje. Kau buat dia macam dia budak-budak pula,” tegur Emey Suhaila yang sudah tidak larat melihat keletah kawan-kawannya yang menyakitkan kepala.
Hati Emey Suhaila hari ini sudah cukup sakit kerana Putri Qistina. Silap hari bulan, Emey Suhaila pula yang mengamuk di situ. Kalau Emey Suhaila sudah mula mengamuk nanti, Azura pun kalah. Macam Goku, hero super Saya dalam anime Dragon Ball yang nampak bulan penuh pula nanti jadinya. Tidak terkawal amarahnya nanti.
“Ah, kau tu asyik nak bela dia aje. Dia ni memang menyakitkan hati. Mana aku tak naik angin. Tengok muka dia saja dah buat aku meluat.”
“Alah, kau ni. Janganlah berkira sangat. Dia pun kawan kau juga. Apa kata kau berbaik-baik dengan Aya ni kalau kau tak mahu aku sebelahkan dia lagi.”
Azura mencebik lantas bangkit dan ambil tempat di atas katil. Tangannya disilangkan memeluk tubuh. Sempat Azura melontar jelingan yang memanah tepat ke mata Rogayah yang terangguk-angguk setuju akan kata-kata Emey Suhaila. Sukalah tu bila Emey Suhaila asyik sebelahkan dia. Sakit hati Azura tengok tingkah Rogayah. Sejak Rogayah ada, Azura macam sudah jatuh tempat kedua pula.
Eh, yang Azura cemburu sangat ni kenapa? Yalah, dulu Emey Suhaila kan cuma rapat dengan Azura saja. Ke mana Emey Suhaila pergi di situlah Azura ada. Lagipun, Azura ni kan pelindung Emey Suhaila daripada gangguan lelaki-lelaki yang tak reti bahasa. Tapi sekarang, Rogayah pula yang asyik hendak berkepit dengan Emey Suhaila. Mestilah Azura cemburu. Sebab itulah, Azura hendak sangat Emey Suhaila berkawan rapat dengan Putri Qistina. Jadi, tidaklah sakit mata dan hati Azura melihat Emey Suhaila berdamping dengan Rogayah saja. Lagipun, Putri Qistina itu kan anak orang berada. Memang citarasa Emey Suhaila.
“Dia kawan kau! Bukan aku!” balas Azura lambat. “Sejak kau berkawan dengan budak ni, perangai kau pun pelik semacam.”
“Pelik macam mana pula?” Dahi Emey Suhaila berkerut tidak mengerti. Sementara Rogayah sudah duduk menikus di tepi katil Emey Suhaila sambil melayan muncungnya. Kecil hati agaknya menerima kata-kata Azura yang tidak pernah menyukainya itu.
“Aku tak percayalah yang budak Putri Qistina tu sombong. Tak ada pun dalam senarai yang kawan-kawan aku bagi pasal perangai sombong dia tu. Entah-entah kau pun dah jadi macam si Rogayah ni. Soal budak tu yang bukan-bukan.” Azura jeling Rogayah lagi. Kalau ikutkan, memang Azura mahu lontarkan semua kesalahan ke bahu Rogayah.
“Kau ni nak salahkan aku ke nak salahkan Aya tu? Dah berbulan kau kenal dia takkan sampai sekarang kau tak boleh terima dia sebagai kawan lagi? Bukannya nak suruh kau pilih menantu...” Emey Suhaila geleng kepala.
Azura tidak menjawab. Pun begitu, dalam benaknya tetap mencari alasan. Azura sendiri pun tidak pasti kenapa dia tidak suka benar akan Rogayah. Bukan Azura tidak cuba untuk terima Rogayah tapi memang tidak bisa. Macam Emey Suhaila tidak boleh menerima Razali, macam itulah Azura tidak boleh menyukai Rogayah. Mungkin sebab Rogayah rapat dengan Emey Suhaila. Memang sah kes Azura cemburu ni.
“Aku cuma tanya satu soalan aje dekat dia. Biasalah nak mulakan perbualan, aku buat-buatlah macam tak pernah nampak dia. Aku pura-puralah tanya sama ada dia budak baru dekat kolej ni. Mula-mula tu aku ingat dia tak dengar. Sebab tu dia tak jawab soalan aku tu. Jadi, aku pun tak adalah kesah sangat. Tapi berulang-ulang kali aku tanya pun dia boleh buat tak tahu aje. Puas hati?”
Azura terus diam mendengar pengakuan Emey Suhaila. Rogayah yang tadi monyok juga angkat muka dan terus duduk bersila.
“Dahlah dia boleh buat pekak telinga tiap kali aku tegur. Tebal muka aku ni jangan cakaplah. Malu macam tak ada hidung tahu. Bila aku tanya lagi lepas tu dan cuba untuk berborak dengan dia, dia tetap buat tak endah. Aku tanya nama dia, dia tak jawab. Aku tanya dia tahun berapa pun dia tak jawab. Aku tanya dia fakulti apa pun dia senyap juga. Soalan-soalan aku tu mengarut ke? Jangan kata nak jawab soalan aku, muka aku ni sikit pun dia tak pandang. Kerek betul minah tu!” Emey Suhaila tokok tambah, sengaja dia tidak mahu panjangkan cerita. Kalau dia cerita perkara yang sebenar, nanti banyak pula komen Azura. Jadi, biar Emey Suhaila buat cerita yang menonjolkan kedinginan Putri Qistina. Biar Azura percaya kata-katanya. Cepat sikit habis cerita.
“Entah-entah dia ada sound trouble kut!” sampuk Rogayah, cuba buat hipotesis. Namun tekaan Rogayah itu pantas dibantah oleh Azura.
“Ish! Mengarutlah. Kawan-kawan aku tak ada cakap pun yang budak tu pekak. Kau jangan nak buat cerita bukan-bukan lagi.”
“Aku agak aje...” Rogayah muncung semula.
Azura menyinga melihat muka Rogayah. Pandai-pandai saja reka cerita. Mata-mata Azura yang bersusah payah kumpul maklumat tentang Putri Qistina pun tiada info sebegitu. Rogayah pula yang sesedap mulut saja buat andaian sendiri.
“Biar betul Ila?” Azura mengalih perhatian semula kepada Emey Suhaila. Dia masih tidak percaya akan cerita Emey Suhaila tadi. Bukan tidak percaya akan kedinginan Putri Qistina tapi tidak percaya yang Emey Suhaila akan ditolak. Gadis paling famous dekat kolej tak diendahkan? Sukar untuk dipercayai.
‘Eh, apa nak hairan? Putri Qistina tu pun bukannya lelaki yang nak jatuh hati pandang pertama dekat Ila. Apa yang aku fikir ni?’ Azura ketuk kepala. Melencong pula fikiran Azura seketika.
“Kau tanya aku, aku dah jawab betul-betul. Kalau kau tak percaya, terpulanglah.” Mudah Emey Suhaila beri kata putus. Dia memang malas mahu cerita tentang hal itu panjang lebar. Buat sakit hati bila teringatkan lagak dingin Putri Qistina.
“Habis tu?”
“Habis tu apa... three! Malaslah aku nak kejar dia lagi. Kalau dia tu lelaki, naklah juga aku goda.”
“Tak payah kawan dengan dia Ila. Aku sokong! Buat apa nak kawan dengan orang yang jual mahal macam tu kan...”
“Eh, kau senyaplah!” Cepat betul Azura melenting sebaik mendengar suara Rogayah sampai ke telinganya. Cadangan Rogayah pula memang menyakitkan hati Azura, tambahlah marah Azura pada Rogayah.
“Kau memang suka kan kalau Ila tak berkawan dengan Putri Qistina tu. Bolehlah kau pula yang dekat-dekat dengan budak tu. Lepas tu, kau kebas pula abang dia. Memang itu yang kau rancang kan.”
“Eh, tak! Tak!” Rogayah gelabah menafikan telahan Azura tentang dirinya. “Bukan macam tu. Aku tak ada niat pun-”
“Ah! Sudahlah!” Belum sempat Rogayah mahu membela diri, Azura sudah terlebih dulu memintas. Tidak kuasa dia mahu mendengar alasan daripada gadis itu. Pokoknya, Azura memang tidak suka Rogayah menyebabkan Azura selalu berprasangka buruk terhadap gadis itu. Azura kembali memandang Emey Suhaila. Tidak lalu mahu terus menghadap muka Rogayah. Nanti marahnya pula makin menjadi-jadi.
“Kau ni... berapa kali kau nak marah Aya? Tak penatkah?” Emey Suhaila menegur. Letih rasanya lidah dan bibir Emey Suhaila mahu menasihatkan Azura tapi Azura ni memang tak makan saman. Kalau Azura sudah tidak suka, harulah hidup Rogayah. Entah sampai bila Emey Suhaila terpaksa melihat dua kawannya itu bertelagah dan bercakaran tidak habis-habis. Bukan dapat hadiah pun kalau menang pertengkaran dan yang pastinya akan tewas sudah tentulah Rogayah.
“Hei, sudah-sudalah kau nak bela dia ni. Sekarang ni bukan masa nak cerita pasal aku dengan dia ni. Ni, nak cerita pasal kau dengan budak baru tu. Habis, kau nak lepaskan Putri Qistinakah? Kau nak mengalah macam tu aje?”
Emey Suhaila jungkit bahu. Malas mahu menjawab dengan kata-kata. Faham-faham sajalah maknanya itu dan jawapan Emey Suhaila itu mengundang keluhan Azura bertalu-talu. Bukan tidak sudi, tapi kalau orang itu yang tidak sudi berkawan dengan kita, buat apa Emey Suhaila pula yang terhegeh-hegeh.
dah ke� U!h n � � “Apalah yang kau nak takut? Budak Qistina tu bukannya karnibal yang makan orang. Dia orang biasa macam kita juga. Ataupun... kau risau maklumat aku salah? Hei, come on lah. Dah berapa kali aku nak puji diri sendiri. Pelik sungguh bila kau tak percaya lagi cakap aku ni.”
Kertas muka depan yang siap dicetak dibelek-belek lagi dengan tangan. Lega bila tulisannya nampak cantik tanpa garis-garis pudar.
“Kali ni memanglah budak baru yang aku nak kenalkan tu perempuan. Tapi aku yakin, berita yang aku dapat ni sahih lagi benar. Si Qistina tu memang ada abang, cukup semua ciri-ciri yang kau idam-idamkan selama ni.” Azura menyambung lagi kemudian kembali menghadap kerjanya semula. Muka depan tadi dikepilkan bersama manuskrip kertas kerjanya yang asal.
Emey Suhaila pula terus monyok. Lantas dia bangun dari kerusi dan campak tubuh ke katil. Mata Emey Suhaila terus memerhati Azura yang sibuk mengepilkan muka depan yang baru saja dicetaknya tadi bersama dengan kertas kerja petang tadi. Sedang otak Emey Suhaila kini masih sibuk berkira-kira memikirkan soal Qistina.
“Aku bukan apa. Dari cakap Aya nampaknya budak tu tak berapa nak mesralah. Aku tak mahulah air muka aku jatuh kalau aku tegur dia nanti dia pula boleh buat tak tahu aje. Rosaklah imej aku...” Emey Suhaila menuturkan setelah beberapa minit bertimbang tolak akan hal itu.
“Alah, kau tak payahlah percaya sangat cakap kawan kau yang nama Aya tu. Salah dia juga. Kalau baru jumpa, tak ada pembuka tiba-tiba dah tanya macam-macam memanglah orang marah. Tu kira nasib baik budak Qistina tu tak mahu layan. Kalau aku, memang dah kena dah budak Aya tu!” balas Azura bersahaja sambil tangannya sibuk menggerakkan pad tetikus untuk menutup semua dokumen yang dibuka lalu komputer riba itu dimatikan. Butang tutup pada badan pencetak turut sama ditekan. Setelah semua suis ditutup, Azura bangun dari kerusi. Nota kuliah di celah fail sempat disambar.
“Kau tak cuba berdepan dengan budak tu lagi, mana kau tahu budak tu sombong? Cubalah dulu. Bukan luak apa pun.” Azura bersuara lagi sebaik henyak punggung di atas katil dan bersandar ke dinding.
“Eh, kau lupakah yang kau tu kan bakal ratu kolej! Perempuan yang baik hati dan bersuara emas yang sekali dengar terus jatuh cinta. Mana ada satu manusia pun yang tak mahu layan cakap kau. Cuba beritahu aku, pernahkah sebelum ni ada orang yang buat tak layan aje cakap kau?”
‘Betul juga tu!’ Seketika Emey Suhaila setuju akan kenyataan Azura. Namun tidak lama. ‘Tapi... kalau apa yang Rogayah kata petang tadi tu betul, macam mana pula?’ Emey Suhaila geleng kepala lalu menekup mukanya dengan bantal.
“Hah! Tak adakan? Jadi, tak payah nak susah hati sangat fikir cakap Rogayah petang tadi. Kau cuma perlu tegur Qistina macam kau buat selalu.”
Emey Suhaila tarik semula bantal yang menutupi mukanya tadi. Dia menjeling muka Azura dengan hujung anak mata. Tanpa disedari satu keluhan halus pula dihela perlahan.
“Kau cakap senang aje kan. Kalau kau nak sangat, kau ajelah yang berkawan dengan dia...” rungutnya perlahan.
Azura alih pandangan ke arah Emey Suhaila. “Aku nak berkawan dengan dia tu memanglah boleh. Tapi kalau abang dia tu, aku tak kuasalah. Buat apa... aku kan dah ada abang aku sendiri. Nanti abang Razif aku tu nak sumbat dekat mana pula...” balas Azura selamba kemudian perhatiannya kembali kepada nota di tangan.
Emey Suhaila mencebik. Lirikannya serta-merta di alih ke atas siling. Merenung siling yang putih ditemani tompok sawang hitam di sana sini. Bantal yang masih dipegang ditekup semula ke muka. Ikutkan hati malas Emey Suhaila mahu fikir hal remeh itu tetapi entah kenapa hal itu gagal ditepis jauh dan terus bermain dalam kotak fikirannya.

Thursday, August 29, 2013

Buddyz vs cinta: bab 19


Emey Suhaila memerhati Putri Qistina dari jauh. Sudah agak lama juga Emey Suhaila menghendap gadis itu. Sebaik habis kuliah jam sepuluh pagi tadi, senyap-senyap Emey Suhaila menyelinap keluar dari dewan kuliah. Azura dan Rogayah juga tidak sedar akan tindakannya itu. Pasti mereka berdua tertanya-tanya akan ketiadaan Emey Suhaila sehingga tidak nampak batang hidung sampai ke petang.
Pandai-padailah Azura hendak melayan Rogayah yang pasti banyak soalan dan tercari-cari bayang Emey Suhaila. Rajin sangat mengasak telinga Emey Suhaila tentang Putri Qistina kan. Nah, rajin-rajinlah berkhidmat untuk Emey Suhaila pula untuk melayan Rogayah. Kalau dia tidak tahan nanti, ditinggalkan saja Rogayah.
Kali ini sebab apa lagi Emey Suhaila menghilangkan diri tiba-tiba jika bukan kerana Putri Qistina yang namanya sering keluar dari mulut Azura hingga Emey Suhaila jadi rimas. Azura juga yang beri cadangan semalam. Nah, sekarang Emey Suhaila akan lunaskan permintaan Azura yang beria-ia sangat mahu Emey Suhaila mendekati gadis itu. Kerana takut dimalukan oleh gadis yang kononnya sombong itu, terpaksalah Emey Suhaila buka langkah memerhatikan dulu tindak-tanduk gadis bernama Putri Qistina itu. Petang ini juga tiada kuliah lagi. Bagus. Dia masih ada banyak masa untuk memerhati. Letih juga dia mencari kelibat Putri Qistina pagi tadi. Kononnya kolej ini tidaklah besar mana tapi berpeluh jugalah dia mencari.
Satu kolej Emey Suhaila pusing untuk mencari Putri Qistina. Susah benar mahu mencari bayang gadis itu. Bila sudah dapat, paling muka saja sudah hilang kelibatnya. Sekilas saja sudah lenyap. Macam pelesit! Letih Emey Suhaila mencari kelibat Putri Qistina semula. Kali ini Emey Suhaila tidak akan lepaskan bayangnya sekalipun menghilang. Emey Suhaila akan pastikan setiap gerak-geri tidak lekang dari pandangannya. Bila Putri Qistina dilihat pergi ke kafe, Emey Suhaila juga akan ada di situ dan tatkala gadis itu pergi bilik air, Emey Suhaila tetap ikut sama dengan berpura-pura membelek wajah di cermin. Ke mana saja Putri Qistina pergi, di situ jugalah Emey Suhaila berada.
Setengah jam lalu, Putri Qistina masuk ke Bilik Komputer dan Emey Suhaila juga terpaksa menggunakan komputer tidak jauh dari Putri Qistina. Tangan kanan Emey Suhaila sesekali menggerakkan tetikus ke kanan dan ke kiri tapi hanya anak panah saja yang berkeliaran di skrin komputer. Tiada dokumen mahupun laman sesawang yang dibuka Emey Suhaila. Sedang mata Emey Suhaila terus menjeling tingkah Putri Qistina yang kelihatan ligat menekan butang huruf di dada papan kekunci. Yalah, Emey Suhaila bukannya berniat mahu melayari internet mahupun membuat kerja di komputer. Tugasnya sekarang adalah untuk mengintip kelakuan Putri Qistina, sebelum dia bersedia mahu menegur gadis itu.
Selesai menaip, Putri Qistina mencabut keluar pendrivenya keluar dari penghubung USB. Kemudian, dia bangun dan beredar keluar dari bilik komputer itu. Emey Suhaila memerhatikan saja terlebih dulu. Lambat dia bangun dan mengikut rentak Putri Qistina yang terlebih dulu beredar.
Keluar saja dari bilik komputer, Emey Suhaila kalut melihat bayang Putri Qistina sudah lesap.
‘Aik, kejapnya hilang!’ rusuhnya dalam gelabah. Emey Suhaila lihat keliling tapi masih tidak nampak bayang Putri Qistina. Lantas Emey Suhaila berlari melalui laluan di sepanjang aras itu sambil matanya melilau melihat kiri dan kanan. Emey Suhaila berpatah semula apabila sudah sampai ke jalan mati.
Sebaik nampak Putri Qistina yang baru keluar dari tandas perempuan di sebelah bilik komputer tadi, Emey Suhaila hempas nafas lega. Lariannya dihentikan serta-merta dan melangkah perlahan jauh di belakang Putri Qistina.
‘Eh, apa aku buat ni? Aku ni dah macam stalker pula!’ Terdetik andaian itu di fikiran Emey Suhaila tiba-tiba. Sekaligus langkah kakinya terhenti di situ sambil berfikir sendiri. Patutkah Emey Suhaila teruskan tindakannya itu? Putri Qistina itu pun, masakan tidak menyedari tingkah Emey Suhaila yang asyik memerhatikan gerak-gerinya sejak beberapa jam lalu. Di mana saja Putri Qistina pergi pasti terserempak dengan Emey Suhaila. Masakan gadis itu tidak musykil. Entah-entah gadis itu sengaja pura-pura tidak kesah kerana tidak berminat terhadap Emey Suhaila.
Jatuhlah air muka Emey Suhaila kalau Putri Qistina buat tidak endah akan kehadiran Emey Suhaila. Tidak pernah ada sesiapa pun yang berani ketepikan Emey Suhaila atau buat buta mata saja bila nampak Emey Suhaila sebelum ini. Kalau Emey Suhaila lalu mesti semua mata menoleh. Cuma seorang saja yang berani perlekehkan Emey Suhaila di kolej itu. Dialah Melissa, budak perempuan yang kerek semacam di depan Emey Suhaila. Alah, si Melissa tu mesti cemburu terhadap Emey Suhaila. Lelaki yang dia suka pun tersangkut dekat Emey Suhaila. Itu yang Melissa benci Emey Suhaila separuh mati.
Tapi, kalau Putri Qistina pun sama spesies macam Melissa macam mana? Kalau betullah Putri Qistina juga sombong macam Melissa, mesti sakit hati Emey Suhaila nanti. Paling kurang pun, Emey Suhaila mesti rasa menyampah sampai hendak muntah dan Azuralah orang yang akan menjadi mangsa menerima habuannya nanti. Sebab Azura juga yang sibuk sangat bercerita pasal Putri Qistina tidak habis-habis seakan tidak sabar-sabar mahu melihat Emey Suhaila berkawan rapat dengan Putri Qistina. Kalau Emey Suhaila betul-betul rapat dengan Putri Qistina nanti, Azura juga yang cemburu buta. Dituduhnya pula Emey Suhaila lupa kawan nanti.
Emey Suhaila mula teragak-agak. ‘Habis tu... nak terus ikut budak Putri Qistina tu ke? Aku buat macam ni tak macam stalker ke? Nanti kalau dia sedar perbuatan aku ni, dia tuduh aku macam-macam pula. Kalau aku ni lelaki dah tentu dia tuduh aku nak buat gangguan seksual. Ish, selisih!’ Emey Suhaila terus berkira-kira. Otaknya yang tadinya kosong dan hanya tertulis yang dia perlu perhatikan Putri Qistina hari ini walau apapun jadi, tidak boleh tidak tiba-tiba jadi bercelaru.
“Ah, lantaklah! Aku bukannya menghendap dia pun. Aku cuma tengok-tengokkan dia aje!” Emey Suhaila tepis semua andaian yang menerpa sekuat hati. Biar semua andaian-andaian itu pergi jauh dari ruang fikirannya. Emey Suhaila bertekad mahu teruskan niatnya sebelum ini. Tapi semangat yang tadinya membakar terpadam semula setelah bayang Putri Qistina di depan sudah lesap. Mata Emey Suhaila liar melirik ke setiap sudut tapi tidak jumpa.
“Aduh budak ni... macam chipsmore betullah! Kejap aje dah lesap...” Emey Suhaila tepuk dahi lalu hempas keluhan panjang. “Sia-sia aje aku ikut dia dari tadi. Tapi satu habuk pun aku tak dapat. Apalah yang aku buat sebenarnya hari ni entah. Nak ikut dia pun, dia pula asyik menghilang. Letih aku dibuatnya. Kalau macam nilah gayanya, malaslah aku terhendap-hendap dia lagi macam pembunuh bersiri. Baik aku terjah aje!”



Emey Suhaila lepak di perpustakaan setelah usahanya untuk memerhatikan Putri Qistina dari jauh gagal di separuh jalan. Macam aksi spy pula lagak Emey Suhaila terhendap-hendap ke mana saja Putri Qistina pergi. Tapi sudahnya, buat lencun baju dengan peluh yang berjurai-jurai mencari Putri Qistina ke sana sini. Tegurnya tidak juga. Nasib baik Emey Suhaila sudah sembur Rexona active pagi tadi. Jadi mestilah ketiak Emey Suhaila tidak berbau hangit walau bergerak aktif sekalipun.
Emey Suhaila buka buku-buku yang diambilnya dari rak tadi. Namun helaian itu tidak dibacanya. Malahan langsung tidak dihadap dan dibiarkan saja buku-buku itu terbuka. Lagipun, Emey Suhaila sekadar mencapai apa saja buku dari rak semasa pusing satu aras perpustakaan tadi. Padahal dia sendiri pun tidak pasti buku apa yang diambil.
Jika dilihat pada judul, macam-macam subjek yang Emey Suhaila cekup. Tamadun Malaysia, asas komputer, fisiologi haiwan, Fundamentals of Analytical Biochemistry, Physics, Molecular Biology pun ada. Buku yang mana satu sebenarnya Emey Suhaila mahu baca? Walhal, semua tajuk-tajuk itu tidak berkaitan sangat pun dengan jurusan perniagaan yang diambilnya di kolej.
Alah, Emey Suhaila bukan nak baca sangat pun. Setakat berlagak macam rajin sangat membaca dengan buku yang bertimbun sudahlah. Emey Suhaila lepak dekat perpustkaan ni pun sebab sudah letih berjalan berjam-jam. Sekarang Emey Suhaila mahu berehat sambil menikmati udara dingin di perpustakaan.
Buku-buku itu terus dibiarkan melata terbuka di depan Emey Suhaila. Biarkan sajalah buku-buku itu begitu, memang itu cadangan Emey Suhaila. Sebaliknya, Emey Suhaila hempas tubuh ke belakang kerusi. Tangannya menggenggam telefon bimbit. Butang pada dada telefon ditekan beberapa kali.
Selepas beberapa minit, Emey Suhaila hempas keluhan. Bosan. Semua yang dibuat ketika ini terasa seakan tidak menarik. Memang langsung tidak menarik. Emey Suhaila benar-benar bosan dan letih. Kebosanan yang mengasak dirinya sekarang ini bikin Emey Suhaila bertambah letih. Emey Suhaila jeling jarum jam di pergelangan tangan. Lantas satu lagi keluhan yang lebih panjang dilepaskan.
Hendak pulang terus, dia letih hendak memandu. Mahu tidak mahu, terpaksa menunggu Azura yang baru menghantarnya mesej beberapa minit tadi dan memberitahunya yang dia ada temu janji dengan Dr. Zainal. Adalah tu yang dia tidak faham tentang kuliah Dr. Zainal pagi tadi. Atau pun, sengaja Azura hendak hadap muka Dr. Zainal untuk melepaskan rindu pada tunangnya, Razif. Emey Suhaila nakal meneka yang bukan-bukan.
“Ish, apalah aku nak buat lama-lama dekat sini? Si Zura tu, kalau dah jumpa pensyarah mesti lama. Mesti banyak soalan yang dia nak tanya. Kalau ada katil kan best. Boleh juga aku golek-golek dan lelapkan mata sejam dua!” Emey Suhaila merungut perlahan. Telefon bimbit yang dipegang dihempas ke atas buku tebal yang terbuka.
Bip! Bip!
Terkejut Emey Suhaila tatkala telefon bimbitnya berbunyi. Cepat-cepat Emey Suhaila genggam telefon itu semula. Kali ini genggamannya lebih ketat.
‘Cis! Aku lupa pula nak silentkan telefon ni. Nasib baik bunyi sikit aje. Kalau tak, malu aku kalau orang pandang. Mana aku nak letak muka baik aku ni!” getusnya dalam hati sambil pandang keliling. Rasanya tiada siapa menyedari akan bunyi yang datang dari telefon bimbitnya sekejap tadi. Mesti orang ingat bunyi suara burung yang riuh berkicau di luar tingkap perpustakaan. Kebetulan pula Emey Suhaila duduk dekat dengan tingkap. Alah, bunyi bip bip dengan chip chip itu kan lebih kurang sama saja bunyinya.
Setelah menarik nafas lega, Emey Suhaila buka genggaman jarinya. Punat kekunci telefon ditekan sekaligus jantung Emey Suhaila sekali lagi direntap rasa terkejut bila skrin telefon bimbitnya terus gelap.
“Aik, apa kena pula dengan telefon ni? Takkan baru hentak sikit dah padam?” Suara Emey Suhaila kedengaran cemas. Emey Suhaila tekan papan kekunci telefon berkali-kali. Tapi, skrinnya masih gelap.
“Ai, aku pakai telefon cikai dulu pun boleh tahan lama. Takkan telefon canggih yang hisap duit aku beribu-ribu ni dulu baru berapa tahun pakai dah jahanam sebab benda kecil tu? Ish...” Punat hidup-mati ditekan beberapa kali lagi. Tapi masih tidak membuahkan hasil. Geram dengan perihal telefon bimbitnya yang tidak tahu apa sebabnya ia padam, Emey Suhaila hempas telefon itu atas meja sekali lagi serentak melepaskan satu rengusan.
Pandangan Emey Suhaila dilemparkan keliling perpustakaan aras dua itu sambil hentak tubuh ke belakang kerusi semula. Keadaan sekeliling kelihatan lengang. Hanya ada beberapa orang penuntut saja di situ, yang khusyuk dengan kerja masing-masing. Sesekali kelihatan mereka berbisik bersama teman mereka. Patutlah tiada yang kesah dengan tingkah Emey Suhaila yang kalut sekejap tadi. Tidak ramai orang rupanya.
Emey Suhaila terus pandang keliling. Rasanya masa masih lagi panjang sebelum bayang Azura muncul. Eh, entah-entah Azura yang hantar mesej tadi menyatakan dia sudah habis perbincangan dengan Dr. Zainal. Tapi takkanlah baru hantar mesej beberapa minit tadi kata baru nak jumpa, tak sampai sepuluh minit sudah habis soal jawab?
Hendak ditelefon Azura, telefonnya pula buat hal. Entahkan rosak entahkan baterinya saja yang habis. Kalau betul rosak, memang layak benarlah Emey Suhaila campak saja telefon itu ke dalam tong sampah. Bukannya boleh kitar semula pun.
Tiba-tiba pandangan Emey Suhaila tertancap pada sesusuk tubuh di balik rak yang tidak jauh dari tempat Emey Suhaila duduk. Dahi Emey Suhaila mula berkerut. Dia cuma amati susuk tubuh itu betul-betul. Emey Suhaila seakan kenal akan tubuh itu dan yang pasti Emey Suhaila perasan benar pakaian yang dipakai gadis itu.
Ya, itu Putri Qistina agaknya. Emey Suhaila mengangak sedangkan dia tidak dapat melihat wajah gadis yang kelihatan khusyuk membelek sebuah buku di tangannya. Hanya separuh badan dan rambutnya yang panjang dan lebat saja yang sedikit dapat dilihat oleh Emey Suhaila.
“Rasanya betullah tu dia. Kalau aku asyik teragak-agak dekat sini, macam mana nak tahu siapa budak perempuan tu!” Tanpa berfikir panjang, Emey Suhaila lekas bangun dari kerusi dan melangkah ke arah rak di depan Putri Qistina. Kalau betul gadis yang dilihatnya itu ialah Putri Qistina, memang ada jodohlah dia dengan Putri Qistina.
“Eh, itu bukan senior Emey Suhaila ke?” Sempat telinga Emey Suhaila menangkap suara bisikan dua orang pelajar yang tadinya sibuk menelaah buku mereka. Tiba-tiba pula mereka nampak teruja sebaik Emey Suhaila melintasi di tepi meja mereka dan mulalah berbisik-bisik.
“Eh, yalah. Kenapa kita tak perasan dia tadi ya? Cantiknya Kak Emey Suhaila tu kan.”
“Kak Suhaila... kak...” panggil salah seorang pelajar itu sambil melambai-lambaikan tangannya ke arah Emey Suhaila.
Emey Suhaila menoleh lantas lemparkan senyuman semanis mungkin. ‘Siapa pula tu? Aku kenal diakah?’ soal Emey Suhaila dalam hati. Tapi gadis itu terus melambai dan seakan memanggil Emey Suhaila supaya datang ke meja mereka.
‘Alamak. Janganlah kacau aku. Nanti hilang lagi biskut chipsmore tu!’ Emey Suhaila berkira-kira sambil menjeling ke arah Putri Qistina yang masih tidak berganjak di tempatnya.
Namun dua pelajar itu makin galak melambai ke arahnya.
“Marilah Kak Suhaila...” panggil gadis itu lagi perlahan, seakan berbisik.
Terpaksalah Emey Suhaila melangkah ke arah dua gadis yang memanggil itu walau Emey Suhaila sebenarnya rasa keberatan. Sedang bibirnya tidak lekang ukir senyuman. Kalau Emey Suhaila tidak ikutkan, takut dihebah Emey Suhaila sombong pula.
“Wah, rajinnya ulang kaji. Siap buat latih tubi soalan lepas lagi...” Emey Suhaila menegur sebaik tiba di meja dua pelajar perempuan itu sambil menunjuk ke arah helaian kertas yang berselerak di atas meja. Kebetulan mata Emey Suhaila tertancap pada soalan pada kertas-kertas itu.
“Patutlah peratus markah junior lagi tinggi. Tak macam batch kami yang selalu bermalas-malasan ni,” sambung Emey Suhaila lagi lalu tertawa kecil. Tangannya diletakkan ke bibir, menutup mulut yang tertawa.
“Eh, tak adalah kak. Peratus yang tinggi tu, markah orang lain. Kami ni tak pandai mana pun. Sebab tu kena banyak buat latihan. Kalau tak kerana senior-senior yang tolong, kami pun tak dapat nak kumpul soalan tahun-tahun lepas ni,” balas salah seorang daripada mereka sementara seorang lagi sekadar angguk sependapat.
“Alah, tu benda kecil saja. Dulu kami pun selalu minta tolong senior juga. Yalah, dah memang adatlah tugas senior nak kena tolong apa yang patut kan. Emm... akak pun nak pergi cari buku. Akak pergi dululah ya. Kamu berdua teruskanlah usaha gigih ni. Mesti nanti kamu dapat skor dalam peperiksaan.” Emey Suhaila tersenyum lalu melambai untuk minta diri. Cepat-cepat Emey Suhaila pusing dan kembali meneruskan hajatnya yang tergendala.
“Betullah. Kak Suhaila tu memang cantik. Dahlah cantik, sporting pula tu. Ingat masa orientasi dulu, bukan main lagi dia baik dengan semua budak baru. Semua suka dekat Kak Suhaila. Dengar cerita result exam dia pun dengarnya boleh tahan juga tau...” sambung gadis itu semula, berbisik kepada kawannya yang duduk bersetentangan.
“Emm... cantik, baik,.pandai... kalaulah aku ada akak macam dia kan best. Kakak aku tu pula asyik berleter aje dua puluh empat jam. Apa aku buat semua tak kena pada dia. Sakit telinga aku ni.”
Hati Emey Suhaila mula berbunga mendengar pujian itu. Sengaja dia perlahankan langkah kaki semata-mata mahu memasang telinga. Senyuman lebar yang tidak sabar untuk mekar di bibir cuba ditahan.
Famous juga aku ni ya. Tapi sejak bila pula result aku jadi gempak?’ Detik Emey Suhaila lalu ketawa dalam hati.
Seketika, Emey Suhaila tampar pipinya perlahan. Emey Suhaila harus tetapkan pendirian. Sekarang masanya untuk menjalankan misi, bukan untuk melayang-layang dengan pujian-pujian yang sudah biasa Emey Suhaila dengar. Misi Emey Suhaila sekarang adalah untuk mendekati Putri Qistina, budak baru di kolej itu. Kerana seakan sudah menjadi tanggungjawabnya untuk mendekati pelajar baru di kolej itu walaupun pada awalnya Emey Suhaila rasa keberatan. Tambah-tambah setelah mendengar pengakuan Rogayah. Kononnya Putri Qistina itu dingin orangnya hingga Rogayah yang kecoh itu pun tidak berani lagi menegur Putri Qistina. Tapi Emey Suhaila tidak boleh buat andaian sendiri. Betullah kata Azura, jika Emey Suhaila sekalipun disoal macam-macam seperti dibuat Rogayah, Emey Suhaila juga akan rasa rimas.
Sampai saja di rak buku di depan Putri Qistina, Emey Suhaila pura-pura membelek buku-buku di rak itu sambil matanya curi-curi melirik ke arah wajah gadis itu.
‘Sah! Dia memang Putri Qistina. Hah, bagus! Aku dah jumpa kau balik chipsmore!’ Tidak salah perkiraan Emey Suhaila tadi setelah dia pasti gadis itu benar-benar adalah Putri Putri Qistina, pelajar baru yang dikejar-kejarnya.
“Awak ni budak baru di kolej ni ke? Sebab saya macam tak pernah nampak awak sebelum ni.” Emey Suhaila beranikan diri untuk menegur sambil menyelak buku di depan Putri Qistina. Jelas Emey Suhaila dapat melihat wajah itu kali ini.
Putri Qistina membalas renungan Emey Suhaila. Namun soalan gadis itu tadi tidak diendahkan. Buku di tangan yang sedang dibeleknya tadi pula dikatup serta-merta dan Putri Qistina terus berlalu.
Emey Suhaila beliakkan mata bersama mulutnya yang turut spontan terlopong, terkejut akan reaksi Putri Qistina. Bagai terhenti jantung Emey Suhaila melihatnya pergi.
‘Ish, dia boleh pergi macam tu aje. Geramnya aku,’ getus Emey Suhaila geram. Jari-jemarinya sudah mula digenggam kemas, menahan marah yang mula menganjal bila memerhati Putri Qistina yang khusyuk pula menghadap buku tebalnya di kerusi tidak jauh dari situ.
Emey Suhaila urut dada. Emey Suhaila tetap cuba berfikiran positif untuk meredakan amarahnya. Dia tidak mahu rasa marahnya itu merajai diri. Mana tahu, berita yang disampaikan oleh konco-konco Azura itu benar. Emey Suhaila juga yang gigit jari jika abang budak anak orang kaya itu disambar perempuan lain nanti.
“Ah, dia tak dengar agaknya apa yang aku cakap tadi. Ataupun dia ingat suara aku tadi tu suara hantu dekat sini. Sebab tulah dia blah macam tu aje kut.” Emey Suhaila buat andaian. Lantas perlahan-lahan Emey Suhaila tarik nafas dalam-dalam. Terasa macam nak buat yoga pula.
Emey Suhaila mencapai sebuah buku dari rak lalu langkah Emey Suhaila dibuka semula, mendekati meja di mana Putri Qistina berada. Sebuah kerusi di depan Putri Qistina ditarik Emey Suhaila. Lantas Emey Suhaila melabuhkan punggungnya di atas kerusi itu. Buku yang diambilnya tadi diselak laju sehingga ke helaian terakhir dan buku itu dibiarkan terbuka pada muka surat terakhir.
Perhatian Emey Suhaila beralih kepada Putri Qistina. Gadis itu masih khusyuk dengan pembacaannya.
“Emm... awak ni memang budak baru dekat sini ya?” Emey Suhaila menyoal namun tiada reaksi yang ditunjukkan gadis di depannya itu. Putri Qistina masih leka dengan bukunya. Emey Suhaila terus perhatikan gelagat gadis itu. Sekali-sekala jari Putri Qistina menulis sesuatu atas sehelai kertas kosong sambil jari telunjuk kirinya pula menunjuk ke barisan tulisan pada dada buku.
Emey Suhaila dekatkan mukanya ke depan, merapati wajah Putri Qistina. Kemudian Emey Suhaila mengulang soalannya tadi kerana menyangka Putri Qistina mungkin tidak dapat mendengar suara halusnya sekejap tadi. Tapi hasilnya tetap sama. Lagak Putri Qistina yang tidak mengendahkan teguran Emey Suhaila itu menyebalkan hati Emey Suhaila yang tadi cuba ditenangkan.
Emey Suhaila membelek kedua belah tangannya sambil berfikir dalam hati. ‘Aku ni invisible ke? Dah jadi hantu ke sampai budak ni tak nampak?’
“Helo...” Emey Suhaila menegur lagi sambil melayang-layangkan tapak tangan ke depan muka Putri Qistina. Namun, Putri Qistina masih beri respon yang sama, tidak langsung pedulikan kehadiran Emey Suhaila.
Bibir Emey Suhaila herot ke tepi lalu Emey Suhaila hentak tubuh ke kerusi. Tangannya dilipat memeluki tubuh.
‘Ish, pekak ke apa budak ni? Sombong yang amat. Boleh dia buat tak tahu aje aku cakap dengan dia. Dah macam cakap dengan patung tak bernyawa pula dekat sini!’
Sakit hati Emey Suhaila untuk terus melihat reaksi Putri Qistina. Makin lama dia duduk menghadap Putri Qistina, makin bengkak hatinya. Lama-lama boleh meletup rasanya. Sebelum gunung berapi dalam diri Emey Suhaila betul-betul meletup, Emey Suhaila segera bangun dengan sebal hati meninggalkan Putri Qistina yang terus khusyuk dengan kerjanya.