Hi pembaca semua!!!

Terima kasih kerana datang melawat, membaca karya-karya dalam blog ini dan terima kasih juga kepada semua yang menyokong Yuri. Yuri rasa happy sangat dengan kehadiran korang dalam hidup mahupun alam maya Yuri ni.

Segala komen dan sokongan sentiasa dan akan terus membakar semangat Yuri untuk terus berkarya menggunakan nama pena ayu munawer.

Semua karya di dalam blog ini adalah ilusi, imaginasi serta daripada pengalaman hidup. Dan yang paling penting, semua karya di sini adalah hasil karya Yuri. Mohon supaya tiada copycat dekat sini... tqvm

Harap korang terus menyokong dan beri komen mahupun kritikan untuk Yuri memperbaiki sebarang kekurangan.

P/S: Untuk makluman, karya "Dia Si Jantung Hati" akan dihentikan penerbitannya di sini atas sebab rombakan besar-besaran plot cerita. Justeru itu, judulnya juga bakal berubah. Maaf atas sebarang kesulitan. Harap korang setia menunggu dan menyokong hasil rombakannya nanti okey ^^,
"Aku tak suka kau la" kini diterbitkan di penulisan2u dengan tajuk "JIWA KACAU"..saja nk tukar tajuk. Sebb yuri rasa cam lg sesuai je tajuk ni..lebih pendek n ringkas hehe ada ka yuri edit2 skit. Harap u all x kesah nk singgah baca :-)
Sudi-sudilah berkunjung ke official blogshop yuri di http://decodanmakan.blogspot.com yer. Walaupun rupanya masih macam blog biasa, yuri pun masih belajar lagi macam mana nak upgradekannya. Macam-macam ada. Nak tau apa yang ada, kenalah singgah.

Terima kasih (^^,)v

Friday, June 28, 2013

Sayang Kata Benci: Bab 41


Saif Azrai sudah menanti di sofa dalam butik itu sambil berborak-borak dengan Izi Helmy dan Aina. Izi Helmy tidak habis-habis memuji sepupunya yang nampak segak dengan sut putih berkilat. Selorohnya hendak bertukar sut dengan Saif Azrai pada hari resepsi nanti mengundang tawa mereka. Dia pula yang hendak glamor lebih daripada pengantin. Yalah, orang tu pun perasan nak jadi pengantin tapi tak menjadi.
“Yo, bro. Nampaknya aku kalahlah pada kau. Aku yang bercinta dulu, kau pula yang kahwin dulu. Lepas tu, bercintanya dengan orang lain, melamarnya orang lain, kahwinnya dengan orang lain. Sekali awek bertudung juga yang kau pilih. Apa rahsia kau bro?” Tiba-tiba Izi Helmy berbisik ke telinga Saif Azrai sedang Aina leka membelek majalah fesyen. Mahu mereka fesyen untuk majlis perkahwinan mereka nanti pula agaknya.
Saif Azrai tersenyum simpul bila diaju soalan itu. Jawapannya mudah sahaja. “Rahsia mana boleh beritahu orang.”
Mencebir lagilah bibir sepupunya itu tidak puas hati dengan jawapannya tadi. Ada Saif Azrai kesah? Dia cuma tertawa suka namun tidak lama. Tawa Saif Azrai serta-merta mati apabila Krisya tiba-tiba muncul. Lebar senyum Krisya. Dia berpaling ke belakang dengan melambai-lambaikan tangannya berkali-kali seakan memanggil. Perlahan-lahan, muncul Sasha Amira yang terkial-kial melangkah, malu-malu sambil mengangkat sedikit gaun kembangnya yang agak labuh. Saif Azrai terpegun dan dengan perlahan-lahan, dia bangun berdiri. Sasha Amira benar-benar nampak cantik dalam busana itu, dipadankan pula dengan selendang polos dililit di kepala dan dihiasi beberapa aksesori lain.
You look gorgeous, Sasha.” Aina datang mendekati Sasha Amira. Tersipu-sipu Sasha Amira malu. Dalam diam dia mengintai dirinya dari dalam cermin besar di sebelah tempatnya berdiri. Tapi bila mengenangkan dua lelaki yang berada di depannya, matanya menekur lagi ke lantai. Malunya, ya ampun. Kenapalah aku kena buat semua ni? Getusnya tidak langsung senang dan rela dengan semua yang terpaksa dilakukannya hari ini.
Bergaduh juga dia dengan Krisya di belakang tadi bila Krisya menyuruhnya menunjukkan busana yang tersarung di badannya kepada bakal suami.
“Ish, nak buat apa? Tak surpriselah nanti. Masa majlis nanti ajalah dia tengok.” Bijak Sasha Amira beri alasan. Tapi Krisya juga ada alasannya.
“Mana pula tak surprisenya. Nanti you solek masa resepsi tu nanti, lagi cantik dari ni. Ni setakat nak tayang baju aja. Kalau dia tak berkenan, I boleh pilih yang lain untuk you. Dia kan akan jadi suami you. Dia berhak nak tengok you pakai apa yang berkenan di mata dia.”
Macam tu pula. Lantaklah dia berkenan ke tak, ikut suka hati Sasha Amiralah kalau Sasha Amira dah berkenan. Okeylah ni. Tapi didesaknya lagi oleh Krisya berkali-kali sampai naik rimas telinga ni dengar. Bila dilihat jam, rasanya dekat luar tu dah masuk waktu Maghrib. Sebab sudah malas hendak buang masa banyak dekat sini mendengar desakan Krisya, dia ikutkan saja. Nanti dia mengadu macam-macam pada Hajah Kistina, silap-silap Puan Damia yang malu. Sudahnya Sasha Amira yang kena basuh.
“Wow! Dah macam drama Korea pula!” Tiba-tiba Izi Helmy menempelak lalu ketawa besar. Krisya dan Aina turut menyahut tawa dengan senyuman. Sasha Amira pula memandang Saif Azrai. Tergamam lelaki itu dilihatnya. Bila difikir-fikir, betul juga kata Izi Helmy. Selalunya pengantin perempuan menayang pakaian pengantinnya di depan si pengantin lelaki sebelum majlis sebenar dilihatnya hanya dalam drama Korea. Kalau tidak pun, cara baratlah agaknya.
Eh, kami ni sudah terikut cara orang Korea pulakah? Ish, ni semua Krisya punya idea. Mengarut betul. Cepat langkah Sasha Amira dihayun menuju ke bilik persalinan membuatkan semua orang terpinga-pinga. Krisya kelam-kabut mengejar.
“Alah, malulah pula pengantin kau ni!” gurau Izi Helmy lagi seraya menepuk bahu Saif Azrai. Tidak berkelip mata sepupunya dari tadi. Syok sangatlah tu menjamah mata. Tapi gurauan Izi Helmy tadi sikitpun tidak memberi kesan kepada Saif Azrai. Tidak lama, dia juga mengikut rentak Sasha Amira pergi ke bilik persalinan untuk menukar semula pakaiannya.
Di luar bilik persalinan, dapat didengar suara riuh Sasha Amira mengerah Krisya menanggalkan semua aksesori yang ada atas kepalanya. Kalau dia sendiri yang buat, takut ada yang rosak. Sesekali terdengar suara Krisya menenangkan Sasha Amira yang tiba-tiba menggelabah. Tidak dapat dibayangkan kelam-kabutnya keadaan di dalam situ. Tanpa disedari, tersungging lagi senyum di bibir Saif Azrai. Di tangannya sudah memegang beg berisi pakaian yang dipakainya ke sini tadi dan tanpa membuang masa, dia melangkah masuk ke dalam bilik yang satu lagi.

*******

Saif Azrai mengintai lagi wajah Sasha Amira di sebelah. Sepanjang perjalanan gadis itu membisu dan membatukan diri. Bila dipandang, wajahnya pula dilarikan. Saif Azrai serba salah tiba-tiba. Entah-entah Sasha Amira terasa hati atas tindakannya di butik tadi. Aduh. Nanti kalau diceritakan pada Puan Damia, kantoilah dia jadi lelaki miang pula pada kaca mata bakal mak mertua. Silap-silap cancel jadi menantu. Gigit jarilah Saif Azrai melepas syarikat papa nanti.
Ehem. Saif Azrai berdehem terlebih dulu, sekadar hendak membetulkan tekaknya yang terasa ketat tiba-tiba.
“Saya minta maaflah atas apa yang saya buat dekat butik tadi. Kalau awak rasa saya ni gatal ke, lelaki yang suka ambil kesempatan ke, saya minta maaflah. Saya niat cuma nak bergurau aja.”
Saif Azrai mengintai lagi reaksi Sasha Amira. Namun dilihatnya Sasha Amira tidak berikan respon. Gadis itu masih merenung keluar tingkap kereta, memerhati saja kereta-kereta yang lalu di sebelah dan akhirnya ditinggalkan mereka. Dalam diam Sasha Amira sebenarnya memasang telinga. Dia juga dapat rasakan lelaki itu memandangnya dua tiga kali. Tapi dia tidak berminat mahu membalas renungan Saif Azrai sekalipun.
Perjalanan bersama Saif Azrai tidak banyak bicara. Sasha Amira terus melayan perasaan sendiri. Dia tidak kesahkan reaksi Saif Azrai. Biarlah lelaki itu kecil hati sekalipun, tiba-tiba tidak jadi mahu menikahinya, dia tidak peduli. Lagi bagus. Tak payah susah-susah dia sarat kepala otak fikir pasal semua ni.
Hari ini terlalu panjang baginya. Selepas solat Maghrib di butik Krisya, mereka berbincang lagi tentang pakaian yang mereka cuba tadi. Kemudian beralih pula kalau-kalau Saif Azrai ada permintaan ekstra untuk busana mereka yang lain. Sepanjang masa itu, Sasha Amira banyak berdiam diri. Bila ditanya pendapatnya, jawapannya tetap sama.
“Saya tak kesah. Apapun okey...”
Kenapa perlu bertanya pendapatnya sedangkan sudahnya nanti pendapatnya itu tidak mahu diguna pakai? Pernikahan yang ditetapkan dengan Saif Azrai lebih kurang dua bulan lagi, ada sesiapa tanya pendapatnya terlebih dulu? Ada yang bertanya persetujuannya? Tidak kan. Jadi, Sasha Amira merasakan pendapatnya langsung tidak penting bagi mereka.
Ya Allah. Sampai sekarang aku masih tak boleh terima kenyataan ini. Tunjukkanlah aku petunjukMu, Ya Allah. Hanya Kau yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.
Sasha Amira berdoa dalam hati. Sedang fikirannya sudah cukup kusut memikirkan soal hati dan perasaan sejak dua tiga hari ini. Letih rasanya. Untuk meniti hari-hari mendatang, dia tidak tahu bagaimana keadaannya. Bagaimana harus dia jalaninya?
Lelaki itu, lelaki yang kini berada di sebelahnya, lelaki yang bakal menjunjung tanggungjawab sebagai suaminya, adakah dia lelaki terbaik yang tercipta untuk dirinya? Sasha Amira mahu menjeling wajah lelaki itu sekejap tapi hatinya menolak. Takut dijelingnya nanti, terpesona lagi hatinya.
“Manalah tahu memang dia jodoh kau. Kalau kau dah tak boleh lari tu, maknanya memang dialah jodoh kau.”
Terngiang-ngiang pula suara Intan Nazira bagai menyanyi-nyanyi di telinganya. Jodoh? Dulu dia pernah percaya Saiful Muslimlah lelaki yang diciptakan sebagai jodohnya. Tapi lihatlah apa yang berlaku. Merana dia sendiri bila mendapat tahu Saiful Muslim sudah pun berkahwin sedangkan lelaki itu bahagia dengan kehidupannya bersama si isteri wanita barat.
Saif Azrai yang pernah belajar di luar negara, tempat yang dipenuhi wanita-wanita kulit putih, sama seperti tempat Saiful Muslim menyambung pelajarannya dulu, tidakkah lelaki ini juga mempunyai citarasa yang sama. Mengkehendakkan wanita-wanita moden yang cantik jelita, lagi bergaya. Apalah yang dipandang pada gadis biasa seperti Sasha Amira sedangkan dirinya kacak bergaya, harta pun ada. Mesti dia menjadi kegilaan ramai. Berbanding Sasha Amia, lelaki pandang sebelah mata pun tak mahu agaknya. Itu kata hati Sasha Amira.
Bercakap pasal jodoh, Sasha Amira tidak tahu yang mana mahu percaya. Kata hatinya atau firasat dan citarasa mama. Mungkin benarlah kata Intan Nazira, solat istigharah jalannya yang terakhir untuk meyakinkan diri atas keputusan yang bakal dibuat.

Perjalanan cerita ni panjang sesangat lagi. Saja je yuri nak update sikit2 kat sini. Harap bersabar yer...harap korang njoy. Sebarang kritikan atau komen, yuri terima dengan hati terbuka...ilmu dan pendapat bukan senang orang nak kongsi kan.

Wednesday, June 26, 2013

Sayang Kata Benci: Bab 40


Terkiput-kiput Sasha Amira duduk. Rasanya tadi dia duduk di kerusi yang lain. Awal tadi dia duduk di tempat pemandu tapi sekarang... Matanya dihalakan ke luar jendela, lebih rela dia memandang keluar dari memandang ke sebelah.
Jauh Sasha Amira memandu hari ini setelah habis kuliah. Dari Seri Kembangan dia terus melalui Lebuhraya Sungai Besi hingga ke Damansara, meredah kesesakan jalan beberapa kali pun dia tidak kesah. Sengaja dia mahu buang masa untuk melengahkan masa. Ikutkan hati malas dia mahu pulang ke rumah kerana hari ini dia terpaksa mengikut Puan Damia pergi ke butik pengantin untuk mengukur pakaian.
Hatinya masih belum rela untuk berkahwin walau puas dia berfikir berjuta kali. Telinganya sudah cukup sesak diasak suara tegas mama dan nasihat Intan Nazira mahupun Zaimah. Papa tidak lagi bersuara kerana tetap sibuk dengan urusan kerja seperti biasa. Tapi Sasha Amira yakin jawapan papa tetap sama. Tiada apa yang dapat mengubah jawapan papa apatah lagi mama.
Suhana Azreen langsung tidak dapat dihubungi. Bagai sengaja kakak sulungnya itu tidak mahu menjawab panggilannya. Nampak sangat memang Along juga bersubahat dengan mama. Sasha Amira semakin yakin tentang itu. Ah, tapi apa yang mahu dimarahkan pada Along. Dia tahu Suhana Azreen juga pasti tersepit. Bila rasa marah menunjal dalam hati dan mahu dihemburkan pada Along, setiap kali itu jugalah hatinya berbicara seperti ini. Bukan salah Along.
Jadi daripada pulang awal dan mengikut telunjuk mama terus, dia lebih rela tersangkut dalam kesesakan lalu lintas. Tersangkut buat selama-lamanya juga dia sanggup. Mungkin dia perlukan lebih masa untuk bertenang dan berfikir tentang buruk baiknya mengikut saja aturan hidupnya sekarang.
Namun tempoh masa yang diharapkan tidak pernah begitu panjang. Puan Damia tidak membenarkan dia berfikir terlalu lama. Panggilan daripada mama bertalu-talu nyaring berbunyi walau berkali-kali sengaja tidak diendahkan Sasha Amira. Kerana tidak sampai hati dan menanggung dosa mengabaikan ibunya itu, dia akur menjawab panggilan Puan Damia yang ke sepuluh.
“Kamu ke mana berkali-kali mama telefon tak jawab?” Suara Puan Damia kedengaran gelisah di hujung talian. Serba salah Sasha Amira dibuatnya. Tiba-tiba hatinya didatangi rasa berdosa. Namun dia tidak menjawab soalan Puan Damia itu kerana tidak tahu apa yang patut dijawabnya. Kalau diberi alasan, bertambah berat beban dosanya kerana membohongi mamanya.
“Kamu tak lupa kan hari ni kamu kena pergi butik pengantin.”
Pura-pura Sasha Amira tepuk dahi. Sengaja dia pura-pura lupa sebelum mamanya itu teruskan lagi cakap.
“Hai, cepatlah balik. Mama dah tunggu lama dah ni.” Suara Puan Damia menyusul lagi ke telinga.
“Hmm... sekejap ma. Sasha sangkut dalm jam ni.” Akhirnya Sasha Amira mengaku. Tapi tidak diakuinya yang sebenar-benarnya dia yang cari penyakit supaya terkandas lama di tengah jalan raya. Kalau mama tahu mahunya telinganya diasak sampai ke butik pengantin nanti tidak henti-henti.
“Kalau ya pun, jawablah panggilan mama tadi. Beritahu yang jalan sesak. Kamu ni buat mama risau ajalah. Kalau kamu jawab dari tadi, taklah mama susah hati menunggu aja di rumah ni. Kamu tahulah kan, mama ni bukannya sihat sangat. Macam-macam yang mama fikir, mulalah darah tinggi naik. Lepas tu sakit kepala. Siapa yang nak tengok-tengokkan mama dekat rumah ni. Papa kamu bukannya ada. Asyik-asyik sibuk, sibuk, sibuk.”
Tengok. Berjelar-jelar cakap Puan Damia yang terpaksa didengarnya. Dia juga mula risau. Bab darah tinggi mamam naik memang Sasha Amira tidak dapat nafikan. Mama memang suka streskan diri pasal banyak perkara. Kadang-kadang perkara kecil dan remeh pun mama perbesarkan. Manalah darah tinggi mama tak melangit tingginya. Bila darah tinggi mama naik tiba-tiba, mulalah mama sakit kepala dan pitam. Masa Suhana Azreen kahwin dulu begitu, masa Abang Zafuan kahwin pun begitu. Sasha Amira ingat lagi masa dua tiga hari lepas dia kecewa dengan Saiful Muslim, dua tiga kali dia nampak mama hampir pitam. Sebab darah tinggi jugalah agaknya tu. Sejak tiga empat tahun kebelakangan ni lebih kerap mama diserang sakit kepala. Setiap kali dengar jemputan walimatul urus mama terus rasa nak pitam. Tapi masa mama marah-marahkan Sasha Amira tak pernah pula nampak mama pitam ke urut kepala ke pening pun tak. Hairan sungguh tengok mama.
Sasha Amira terus tenang memandu melalui tekanan dalam kesesakan. Ah, dia sendiri yang cari pasal. Nak tertekan sekarang pun tak ada guna. Nanti silap-silap dia pula yang kena darah tinggi macam Puan Damia. Oh, tidak rela dia mahu bergantung hidup pada ubat yang berlambak seperti mamanya itu kerana sakit darah tingginya.
“Jauh termenung.” Teguran suara lelaki buatkan Sasha Amira menoleh ke sebelah. Saif Azrai yang masih sibuk memandu memandangnya sekilas dua. Sapaannya tidak dibalas Sasha Amira lalu dia menyambung semula khayalannya.
Duduk di sebelah Saif Azrai dalam satu kereta yang sama, hanya mereka berdua. Sebab itulah dia asyik terkiput-kiput malu bercampur kekok sejak awal tadi. Kata mama tempoh hari dia terpaksa ke butik pengantin dengan mama hari ini. Tapi bila tiba saja di rumah, dia yang bagai terasa diserang darah tinggi bersama sakit jantung. Sekali lagi dia ditipu mentah-mentah oleh mama. Kalau tahu macam ni, dia lengah-lengahkan lagi masa balik ke rumah tadi.
Hai Sasha, mudah benar kau jatuh dalam jerat rancangan mama. Kutuknya tak habis-habis pada diri sendiri.
“Kalau awak rasa penat, tidurlah dulu. Nanti dah sampai saya kejutkan.” Sekali lagi suara Saif Azrai menyinggah ke telinga. Berbulu rasanya mendengar perkataan tidur disebut lelaki itu. Sensitif. Serta-merta dia terimbau pertemuan pertama mereka dulu. Ada ke patut dirinya yang pengsan tak sedarkan diri dikata tidur selama 3 jam oleh lelaki itu. Bijak sungguh dia.
Sasha Amira menoleh juga akhirnya dengan niat mahu melemparkan jelingan tajam pada lelaki itu namun hasratnya itu terkubur apabila melihat senyuman menawan yang terlukis di bibir Saif Azrai. Lesung pipit di sebelah saja pipinya juga buatkan dia begitu terpesona. Aduh. Dia kalah lagi pada senyuman seorang lelaki. Cepat-cepat dia kalingkan semula muka ke luar tingkap kereta. Ah, kenapa begitu mudah dia tewas hanya pada senyuman?
Saif Azrai yang perasan perubahan di wajah Sasha Amira biarkan saja. Senyumannya dilebarkan lagi. Walau tumpuannya diberikan sepenuhnya ke jalan, namun sekali kala matanya menjeling juga reaksi wajah Sasha Amira. Tidak dijeling ke sebelah, dijelingnya dari cermin. Dia cuba untuk menanam rasa cinta terhadap gadis itu walaupun mereka tidak pernah bercinta. Tapi kerana ini keputusannya untuk menikahinya, walau bukan atas dasar cinta, ah, bukan sukar untuk menyemai rasa itu. Dia Saif Azrai bin Haji Rauf, memupuk rasa cinta dalam hidupnya tidak pernah begitu susah. Apa yang hendak dirisaukan walau tidak pernah bercinta walau sesaat, tapi mahu hidup bersama setiap hari selepas ini kan, itu bukan satu masalah yang harus dipandang serius. Senang macam makan kacang aja.

*******

Lama Izi Helmy dan Aina menunggu dalam butik. Naik berpeluh walaupun angin penghawa dingin kuat menghembus. Krisya, perancang majlis perkahwinan Saif Azrai dan Sasha Amira juga sudah berkali-kali menelefon mereka. Alasannya, jalan sesak.
Izi Helmy bingkas berdiri. Di luar dia sudah nampak kelibat dua mempelai itu melangkah lenggang kangkung.
“Amboi, sudahlah datang lambat. Jalan pula terkedek-kedek.” Omel Izi Helmy bengang. Tangan dicekakkan ke pinggang.
“Alah, bawalah bersabar. Mereka tu kan bakal raja, kita ni pengapit aja.” Aina membalas. Bukan berniat hendak menyebelahi sesiapa tapi sekadar cuba menenangkan hati Izi Helmy. Lelaki itu pun kalau marah, bukannya betul-betul. Mereka berdua itu sudah macam adik beradik. Bertekak, bergaduh itu macam adik dengan abang saja. Saja hendak minta perhatian kut!
Izi Helmy mencemikkan muka mendengar cakap Aina. Nasib baik buah hati ulam jantungnya ini ada. Kalau tak memang dah bersilat dia depan Saif Azrai nanti. Izi Helmy mengecilkan biji mata memandang keluar. Sama ada panas mentari yang terik memancar ataupun matanya yang tersilap lihat gadis yang berjalan di sebelah Saif Azrai itu. Jauh benar jaraknya.
“Aik! Bila pula Qay bertudung?” Rungutnya perlahan seorang diri. Diamati wajah itu betul-betul. Makin mereka mendekat ke butik, makin jelas dilihatnya gadis itu bukannya Qayreena.
“Helo encik bos. Amboi, janji pukul lima setengah. Sekarang dah dekat pukul enam setengah encik bos. Jam mati baterikah, encik bos? Kejap lagi kita sibuk cari baju, orang dah laung azan dekat luar.” Perli Izi Helmy dengan loghat bakunya sebaik Saif Azrai sudah melangkah masuk ke dalam butik bersama gadis yang dilihatnya bersama sepupunya itu. Wajah gadis itu puas ditenungnya lama-lama. Memang sah bukan Qayreena.
La, siapa pula yang sepupu aku bawa ni? Kata nak kahwin dengan Qay? Bingung Izi Helmy jadinya tapi tidak pula diluahkan depan mereka. Silap lontar soalan nanti, ada pula orang layang penumbuk.
“Ha, lebih kurang macam tulah. Nanti kau belikanlah jam tangan baru untuk hadiah kahwin aku nanti. Paling koman pun, biarlah Charriol ke, Hermes ke...” balas Saif Azrai selamba sekaligus mengiakan saja cakap Izi Helmy. Siap minta saguhati lagi. Ambik kau.
Amboi. Pilihan yang mahal-mahal semua. Getus Izi Helmy geram.
“Alah, encik bos. Gaji encik bos lagi besar daripada aku. Tak payah tunggulah hadiah besar daripada aku tu.” Kemudian Izi Helmy datang mendekat ke arah Saif Azrai. Dia berbisik perlahan ke telinga sepupunya itu. “Apa cerita bro. Bukan kau kahwin dengan Qay ke? Mana Qaynya? Ni siapa pula perempuan manis cukup lawa yang kau angkut ni?”
Laju mata Saif Azrai merenung ke dalam mata Izi Helmy. Huhu. Pandangannya penuh muslihat dan kebengisan. Bagai singa jantan yang nak mempertahankan permaisuri hatinya dari dirampas singa jantan lain nampak gayanya.
“Bila pula aku cakap dengan kau aku nak kahwin dengan Qay. Kau jangan nak buka cerita pasal dia depan bakal isteri aku ni. Nama bakal isteri aku Sasha Amira binti Rahim. Ingat nama ni elok-elok. Jangan nak tersasul ke tergeliat lidah sebut nama Qay nanti.” Bisik Saif Azrai pula lebih kepada memberi peringatan. Wajahnya agak serius dengan senyuman yang cuba dibuat-buat.
Yuuhuuu! Seriau mak dik non! Getus Izi Helmy dalam hati. Dijelingnya gadis bernama Sasha Amira yang masih terpacak di belakang Saif Azrai tadi sekali lagi. Memang dia tak nafikan. Cantik orangnya. Ish, kalau aku yang jumpa dulu memang aku yang sapu! Tapi hehe... matanya memandang pula kepada Aina yang tercicir di belakangnya. Ehem... tak berani dia menduakan cinta hatinya itu. Kan dia berjanji mahu setia.
Dalam diam dia menarik nafas lega. Mahu taknya. Nasib baik dia tidak pecahkan tembelang Saif Azrai tentang Qayreena awal-awal di depan Aina. Setiap kali Aina bertanya siapa bakal calon isteri Saif Azrai, setiap kali itu jugalah dia saja berahsia. Alah, you tengok sendirilah nanti. Begitulah jawapannya. Fuh, nasib baik. Kalau tak kan dah jadi isu. Dia sendiri pun mati-mati ingat Qayreena yang akan berkahwin dengan Saif Azrai. Hampeh punya sepupu. Dengan sepupu sendiri pun tak kongsi cerita.
“Ha, pasangan pengapit yang bagai merpati sejoli, dah sudah pilih bajukah?” Soalan Saif Azrai yang terasa bergema mematikan lamunan dan khayalan Izi Helmy serta-merta. Wajah Izi Helmy dan Aina dipandang Saif Azrai silih berganti.
“Seawal jam enam, keputusan dah muktamad wahai tuanku.” Izi Helmy menjawab sambil menjunjung titah di depan Saif Azrai. Gelagatnya itu mengundang tawa semua orang di situ sekali lagi. Laju tangan Aina memukul bahu Izi Helmy dengan majalah. Tidak tahan malu dengan perangai lelaki itu yang ada-ada saja akalnya. Sebelum Saif Azrai datang bersama pasangannya tadi juga asyik disakatnya Krisya macam-macam. Hai, nak menggatal juga agaknya bakal suaminya itu.
“Hai, saya Krisya. Perancang perkahwinan Encik Azrai dengan Mis Sasha nanti.” Krisya, gadis kecil molek berkulit hitam manis yang tadi cuma menjadi pemerhati dan mengikut saja rentak perbualan mereka akhirnya memperkenalkan diri. Salamnya disambut Saif Azrai dan Sasha Amira bersahaja.
Krisya kemudiannya menunjukkan pilihan pakaian yang dipilih pasangan pengapit, Izi Helmy dan Aina. Izi Helmy memilih sut ringkas tapi kemas berwarna hitam dengan bowl untuk majlis resepsi nanti. Sementara Aina memilih dres berwarna krim ala-ala jubah tiga lapis sarat dengan taburan manik Swarovski hitam berkilat di lapisan luar.
“Alahai, patutnya kita pun pakai baju tu untuk naik pelamin sayang. Tak pasal-pasal sebab ayah I busy, kita kena pula jadi orang suruhan hari tu nanti.” Monyok muka Izi Helmy dengan nada suara sengaja dilemahkan. Bagai hampa benar tidak dapat naik pelamin sama-sama.
Sedangkan Aina, diamkan saja. Dia tidak kesah lambatkah cepat yang pasti hatinya sekarang lebih tenang bila Izi Helmy sudah mengambil keputusan mahu masuk meminang. Tidaklah dia susah hati kalau-kalau lelaki itu tidak serius terhadap hubungan mereka.
“Okey, pengantin. Dah boleh tengok baju?” Suzi bertanya bila melihat Saif Azrai asyik membelek pakaian pengapit mereka. Sementara Sasha Amira tetap bertindak membatukan diri saja dari awal sampai tadi. “Baju yang ni dah kena cop, okey. Jom ikut I pergi cuba baju dulu sebelum I ambil ukuran untuk tempahan baju both of you nanti.” Krisya membawa Saif Azrai dan Sasha Amira masuk ke dalam bilik yang dipenuhi dengan pakaian pengantin. Bulat mata Sasha Amira bila tangannya digenggam erat lelaki bernama Saif Azrai. Tapi bagai nak tersembur biji mata pun lelaki itu tidak langsung toleh muka. Ditarik-tariknya tangannya dari genggaman Saif Azrai juga, bagai tidak mahu dilepaskan. Malah makin erat pula kemasannya. Amboi. Dah pandai ambil kesempatan nampak!
“Haikal tak dapat datang hari ni. Jadi dia minta I tolong tengok-tengokkan kalau ada masalah pada pakaian you nanti.” Haikal, itulah nama pereka busana pengantin mereka yang dipilih sendiri oleh Krisya. Saif Azrai hanya mengangguk saja dari tadi mendengar celoteh Krisya. Sasha Amira hanya membontoti bila tangannya ditarik Saif Azrai supaya mengikut.
Masya-Allah. Banyaknya baju sampai melopong Sasha Amira melihatnya. Keliling tempat itu dipenuhi busana pengantin yang cantik-cantik. Sasha Amira mula teruja bila dikelilingi banyak baju cantik. Teringat masa dia keluar bersama mama dan Along untuk mencari gaun untuk pementasan drama sewaktu tadika dulu. Rambang matanya mahu memilih gaun yang paling cantik. Pernah dia berangan-angan mahu menjadi secantik tuan puteri masa kecil dulu.
Ehem... ehem!
Saif Azrai sudah berdehem di sebelah. Tika Sasha Amira mendongak memandangnya, lelaki itu tersungging senyum sambil memberi isyarat agar Sasha Amira menutup mulut. Mula-mula Sasha Amira tidak faham tapi setelah lelaki itu sendiri yang menolak dagunya ke atas Sasha Amira terpaku. Malunya. Telinganya pula kemudian menangkap suara tawa halus Saif Azrai serentak tangannya dicapai lelaki itu dan dibawa menghampiri Krisya yang sudah memilih baju untuk mereka.
“Baju yang you tempah untuk majlis nikah dan persalinan pertama majlis resepsi Haikal akan siapkan ikut design yang you minta. Emm... lebih kurang dua tiga minggu dia kata. At the moment you berdua cuba dulu baju ni untuk persalinan kedua. Ni pun bertungkus-lumus dia siapkan sejak your mom tempah sampai tak tidur malam tau.” Sepasang sut putih dihulurkan pada Saif Azrai dan gaun kembang dengan jahitan manik bunga daripada kristal dan Swarovski warna perak dan kelabu untuk Sasha Amira.
Wow! Cantiknya! Sasha Amira mula teruja. Menggigil pun ada bila gaun itu berada di tangannnya. Bimbang kalau-kalau dia rosakkan baju mahal itu nanti. Grr...
“You try dulu, nanti kalau ada yang tak kena, I ambil ukuran lagi sekali. Especially untuk Sasha. Hari tu ukur badan mama you. Takut tak sama pula dengan saiz you. Tapi kalau tengok dengan mata, macam sama.” Mata Krisya membelek-belek tubuh Sasha Amira di depan mata. Atas bawah kiri kanan, terpusing-pusing Sasha Amira dibuatnya. Ha, kenyataan Krisya tadi memang mengejutkan Sasha Amira. Sekali lagi dia kalah. Memang mama sudah rancang awal-awal. Tengok. Busana pengantinnya pun mama dah siap tempah ikut ukuran badan mama? Lepas ini entah apalah lagi kejutan untuk Sasha Amira agaknya.
Tidak berkerdip rasanya mata Sasha Amira memandang gaun di tangan. Berhati-hati dia menjaga gaun itu takut terpijak masa berjalan ke bilik persalinan yang ditunjuk Krisya tadi. Belum sempat sampai, langkah Sasha Amira terhenti di depan pintu bilik persalinan apabila tiba-tiba Saif Azrai yang membontoti di belakangnya tadi mengacah di depan.
Subhanallah. Mengucap Sasha Amira dalam hati kerana terkejut. Matanya yang sedia besar makin bulat memandang lelaki itu. Saif Azrai pula tayang senyum dengan muka seposennya. Tak ubah macam rupa yang dilhatnya masa pertama kali lihat lelaki itu di Starbucks Cafe. Hai, sakit senyum dia dah datang dah ke? Sekarang ni nak apa? Hendak berebut bilik pulakah? Detiknya dalam hati.
Malas hendak buang masa bergaduh dan bertekak, dia mengalah untuk ke bilik di hujung satu lagi tapi Saif Azrai mengikut dan dia terlebih dulu masuk ke dalam. Sasha Amira mengalah lagi. Dia kembali ke bilik yang tadi. Aik! Saif Azrai meluru masuk. Tak boleh jadi ni!
“Awak ni nak masuk bilik yang mana ni?” Sasha Amira menghempas keluhan.
“Bilik yang sama dengan awak, boleh?” Jawabnya dengan pandangan penuh makna. Tangan Sasha Amira dicapai lembut, menarik Sasha Amira masuk ke bilik di mana dia sudah sedia berada.
Membuntang mata Sasha Amira waktu itu juga. Tangan Saif Azrai ditepisnya kuat lalu menjerit. “Gatal!” Lantas Sasha Amira lekas berlari ke bilik yang lain. Pintu cepat-cepat dikunci dari dalam. Berdebar jantungnya dibuat Saif Azrai. Hampir menangis dia di situ.
“Huhu. Kenapa mama nak kahwinkan aku dengan lelaki miang ni? Baiklah konon!” Bentaknya kurang senang dengan cara Saif Azrai. Gatal. Gatal. Bertubi-tubi perkataan itu dijeritnya dalam hati. Benci. Makin seriau dia mahu mengikut rancangan mama. Kalau beginilah sikap lelaki itu, entah bagaimana harus Sasha Amira hidup bersamanya nanti. Lagaknya lebih teruk daripada Saiful Muslim.
Sementara Saif Azrai tersengih-sengih nakal. Dijengahkan kepala ke luar. Pintu bilik persalinan di hujung sana sudah tertutup rapat. Pemalu juga perempuan ni. Comel pula aku tengok! Detik hatinya yang suka melihat wajah kalut Sasha Amira. Kalau teman wanitanya sebelum ini terutama Qayreena, suka benar kalau dia beriak nakal begitu. Tapi lain pula pada Sasha Amira. Tak habis-habis nak marah dan tunjuk lagak kalutnya itu. Balik-balik gelaran gatal juga yang dilemparkan ke muka Saif Azrai.

Monday, June 24, 2013

Sayang Kata Benci: Bab 39


“Ha! Sambung balik cerita kita tadi.” Terjah Intan Nazira serta-merta sebaik Encik Saiful keluar dari kelas. Lengan Sasha Amira ditepuk minta perhatian. “Eh, cuba kau cerita dari awal. Macam mana kau boleh tak dapat nak tolak pinangan orang tu sampai dah tetapkan tarikh nikah segala?”
Mencemik muka Sasha Amira mendengar soalan itu yang keluar dari mulut Intan Nazira. Hampir menangis dia dibuatnya. Ikutkan hati tidak mahu dia ingat-ingat lagi. Tapi selagi dia dipaksa kahwin dengan Saif Azrai, kenyataan itu tidak mampu ditolak lagi. Memang itulah puncanya.
“Dulu Abang Razi, nak masuk line pun tak sempat kau dah reject. Pilihan mama kau, dah berapa orang yang tolak. Ada yang masuk meminang pun kau dengan bangganya menolak. Ni yang aku hairan benar ni. Plan apa pula yang mama kau pakai kali ni?”
Ish, aku ni lagi hairan dengan perangai kau ni Intan. Kau ni sebelahkan siapa sebenarnya? Nak tolong akukah nak puji mama aku? Getus Sasha Amira hanya dalam hati. Mahu saja dia hemburkan semua tapi bila difikir dua tiga kali tiada gunanya. Tiada faedah yang dia dapat dari berbalah tidak habis-habis. Siapa pun yang betul, siapa pun yang disebelahkan kawannya itu, yang pasti sekarang mama yang menang. Sudahnya dia yang tersepit.
“Tak tahulah plan apa. Agaknya betullah mama yang rancang semua ni. Along suruh aku tolong jaga anak dia masa dia sakit minggu lepas. Tapi bila aku sampai sana aku tengok Along elok aja sihat walafiat. Entah-entah mama yang rancang supaya aku jauh dari dia. Bolehlah mama terima aja pinangan orang masa aku tak ada. Lepas tu siap tetapkan terus tarikh nikah. Dua bulan aja lagi, Intan. Tak sampai dua bulan pun lagi. Tak acilah macam ni sedangkan mama aku kan janji nak bagi aku peluang sebelum sampai umur aku 30 tahun. Masa banyak lagi!” Muram muka Sasha Amira. Sepanjang hari ini tidak mampu dia mahu ukir senyum. Lawak lucu Encik Saiful yang ada saja ideanya bikin suasana kelas riuh setiap kali dia masuk pun dia tidak masuk campur hari ini. Stres! Stres makin terasa bila melihat cincin di jari.
“Hebat mama kau!” Jujur Intan Nazira memang tabik pada Puan Damia. Macam-macam akal yang berlegar-legar dalam benak wanita itu supaya anaknya yang keras hati ini mahu berkahwin. Terpaksa memaksa, itu bukan lagi soalannya. Huish, kalau mama Intan Nazira begitu orangnya, memilih calon pun bukan yang sebarangan, takkan Intan Nazira berhati batu macam Sasha Amira. Tidak payah dipaksa, dia memang rela. Kaya, mesti kerjanya bagus. Rupa, emm... tidak pernah pula dia lihat. Tapi, ah kalau dah kerjanya elok, orangnya baik rupa tu dah jatuh tangga terbawah.
“Kalau aku cakap ni kau jangan terasa pula. Kau ni yang selalu tolak tuah, Sha. Selalu tolak jodoh. Kalau aku jadi kau, kalau mak aku nak jodohkan aku dengan orang baik-baik dah lama aku terima. Lar ni, kau tak dapat nak tolak lagi maknanya memang dialah jodoh kau. Terima ajalah kenyataan Sha. Tak payahlah nak monyok-monyok, serabutkan kepala otak kau tu dok fikir nak lari ke nak batalkan ke tarikh nikah yang mama papa kau dah setuju dengan mak ayah lelaki tu. Nanti bukan setakat dapat malu, takut-takut nanti tak ada orang lagi yang nak meminang kau. Aku bukannya nak burukkan mulut sesiapa. Tapi mulut orang Sha, kita tak tahu. Kau nak ke jadi anak dara sampai ke tua? Takkan tak kesiankan mama dan papa kau. Mana ada mak ayah yang rela tengok anak mereka jadi andalusia Sha.” Berjelar Intan Nazira menyambung nasihatnya semalam agar dapat menasihati kawannya itu. Sampai semput rasanya. Tapi entahkan dengar entahkan tidak Sasha Amira pada nasihatnya tadi. Tengok mukanya macam tak ada perasaan. Nasib baiklah Zaimah ada sibuk menyampuk.
“Betul. Betul. Betul.” Sokong Zaimah yang dari tadi cuba menjadi pendengar setia. Sudah macam bunyi dalam animasi Upin Ipin pula. Masa kuliah Encik Saiful tadi ada juga dia cungkil cerita sikit-sikit daripada Intan Nazira. Tak faham banyak, sikit-sikit tu jadilah.
“Mama kau tu nampak aja macam mendesak tapi sebenarnya sebab dia sayangkan anak dara dia ni, tak mahu kau jadi anda... anda apa tadi? Andalusia? Ha, sebab tulah mama kau buat semua ni. Lagipun betul kata Intan. Kalau aku pun mak aku nak jodohkan aku dengan orang baik-baik, kerjanya pun baik, aku terima aja. Tapi kalau boleh aku nak juga rupanya tu mesti handsome,” tambah Zaimah sambil syok sendiri membayangkan wajah lelaki idaman dalam kotak fikirannya.
“Aku ingat lagi ustaz aku ajar dulu, tak baik lawan cakap mak ayah. Berdosa besar tau. Apatah lagi kau nak aibkan mereka.”
Huhu. Tentang tu, Sasha Amira pun tahu. Zaimah ni pun...
“Macam aku cakap semalam, Sha. Kalau kau tengok drama Melayu pun mana ada mak ayah yang gembira bila pengantin hilang masa hari kahwin. Jangan kata drama Melayu, cerita lain pun ada. Inggeris, Korea, ha, apa lagi? Tak adanya dia orang nak gelak suka hati lepas dimalukan. Ni kalau kau tak lari pun masa nikah, kau nak batalkan sebelum nikah, mama papa kau juga yang malu. Eh, aku pun tak tahulah berapa banyak kali aku dah cakap pasal hal malu ni. Pendek kata soalnya memang malulah kalau kau tetap nak putuskan juga. Kalau kau teruskan dengan hati tak rela pun, kau juga yang merana. Baik kau relakan ajalah Sha. Anggap dan yakin ajalah yang dia memang jodoh kau. Ha, kalau tak yakin juga buatlah solat istigharah ke minta petunjuk dari Allah.” Fuh! Sekali lagi Intan Nazira tarik nafas bertalu-talu. Semput bercakap macam keretapi ni.
“Dah habis dah? Dah habis dah bersyarah?”
Tercengang Intan Nazira dan Zaimah bila Sasha Amira pula bertanya begitu. Orang nasihatkan dia sebab risaukan dia, kita pula yang macam disindirnya.
“Ek eleh, kau tak payahlah nak sindir aku macam tu pula Sasha. Aku bukannya nak bersyarah. Aku ni cuma nak bagi pendapat dan nasihat aja sebagai kawan kau dunia akhirat tau. Hei, Zemah. Kau tengok kawan baik kau ni. Kita nak bagi nasihat bukannya nak dengar. Kita pula yang diperli-perli!” Bentak Intan Nazira kurang senang lalu lengan Zaimah yang berisi itu dilayang tapak tangannya sekali. Bulat mata Zaimah menahan perit penampar Intan Nazira. Tapi muka Sasha Amira pula yang dicerlungnya.
“Assalamualaikum.”
Serentak mereka bertiga menoleh ke arah suara yang memberi salam. Serentak juga Intan Nazira dan Sasha Amira hempas nafas halus sementara Zaimah cuma tercengang lagi.
“Aduh Azam, kalau kau datang sini sebab idea gila kawan aku ni dulu, aku minta maaflah Azam. Aku dah beritahu dulu yang kami tak akan gunakan idea gila tu,” Intan Nazira terlebih dulu bersuara sambil memaut bahu Zaimah yang duduk di sebelahnya. Idea gila siapa lagi kalau bukan idea Zaimah yang mengheret Kairel Azam ketika itu untuk dijadikan teman lelaki palsu Sasha Amira.
“Sekarang ni lagilah tak boleh sebab dah ada yang masuk meminang kawan aku ni.” Kali ini bahu Sasha Amira pula dipagutnya. Selamba Intan Nazira bersuara. Sasha Amira yang mencerlung mata memandang Intan Nazira yang petah sangat bercakap depan Kairel Azam. Kalau boleh dia tidak mahu hebohkan hal itu. Agghhh... makin stres jadinya.
“Tak. Jangan salah faham. Aku mencelah ni pun sebab nak ucap tahniah.”
“Tahniah? Tahniah pasal apa? Untuk apa?” Cepat Intan Nazira memotong cakap Kairel Azam. Berdas-das pula soalannya diajukan.
“Aku dengar tadi-”
Laju Intan Nazira menerjah ke arah Kairel Azam dan menutup mulutnya. Dia pandang keliling. Nasib baik tiada orang lain dalam kelas itu lagi melainkan mereka berempat. “Aduh. Silap betul kita borak pasal hal dalam kelas ni. Sorry la Sasha. Aku tak sengaja nak mulakan tadi. Ingatkan tak ada orang nak pasang telinga.” Selamba Intan Nazira beri alasan sebaik meleraikan genggamannya yang menutup mulut Kairel Azam. Tapak tangannya ditumbuk berkali-kali mengikut rentak tuturnya. Kemudian muka Kairel Azam dipandang dengan renungan tajam.
“Apasal kau tak keluar lagi, macam budak-budak lain? Apasal nak pasang telinga? Eh, ni yang aku tak gemar ni. Kalau pun kau dengar apa kita orang cerita tadi, kau jangan nak hebahkan cerita ni pada sesiapa. Ini cerita rahsia kita orang bertiga. Ada faham?” Jari telunjuk dihala ke depan muka Kairel Azam dengan riak wajah bengis. Sengaja nak takut-takutkan budak kaca mata tebal itu. Kalut Kairel Azam mengangguk sambil membetulkan bingkai cermin matanya.
“Kalau faham, kau boleh blah sekarang.” Lurus telunjuk Intan Nazira hala ke arah pintu. Mukanya dikeruhkan lagi untuk menakutkan Kairel Azam. Tanpa banyak soal Kairel Azam cuma mengikut kata dan laju kakinya melangkah meninggalkan kelas itu. Intan Nazira bercekak pinggang memerhati dari belakang.
“Wei, apa hal kau garang sangat dengan dia tu. Kesian dekat dia tau!” Bela Zaimah setelah dia tercengang saja sejak awal kedatangan Kairel Azam tadi. Makin tergamam dia tadi melihat tindakan Intan Nazira yang tidak pernah-pernah garang tiba-tiba saja nak tunjuk ala-ala samseng depan Kairel Azam. Intan Nazira yang sudah duduk semula di tempat duduknya tadi dipandang enteng.
“Ihhh... aku kalau nampak muka dia aja aku rasa geram. Bukan sebab dia tu nurd ke apa, tapi sebab tak boleh nak lupa idea gila kau tu. Bengang betul aku dengan kau tau. Macam-macamlah idea kau nak fikir cadangan-cadangan kurang bernas kau tu.”
“Apasal dengan aku pula. Kau tu yang kepoh sangat bercakap kuat-kuat pasal hal Sasha tu dalam kelas tak apa? Ha, nasib baik tak ada orang lain yang dengar. Kalau tak kan dah kecoh satu kelas pasal kawan kita ni dok dilema nak terima pinangan orang.”
Pot! Pet! Pot! Pet! Mereka berdua berbalah. Sasha Amira juga yang sudahnya mengehmpas keluhan halus. Dalam diam dia bangun dan meninggalkan dua kawannya itu yang bertekak berdua di situ. Sikit pun mereka tidak perasan yang kawan mereka yang seorang ini sudah lesap.

Saturday, June 22, 2013

Sayang Kata Benci: Bab 38


Good afternoon my lovely cousin,” sapa Saif Azrai sebaik masuk ke dalam bilik Izi Helmy. Ceria wajahnya mengambil tempat di depan Izi Helmy tanpa dijemput. Macam selalu dia buat.
“Hai, ceria hari ni encik bos. Dapat projek besar ke?” Telah Izi Helmy seraya jarinya meninggalkan papan kekunci yang tadi sibuk diketuk. Tubuhnya turut disandarkan ke kerusi seperti mana Saif Azrai. Tersenyum kambing nampaknya sepupunya itu. “Aik! Sengih aja dari tadi, awatnya? Tak ada apa nak kongsi?”
Akhirnya berderai tawa Saif Azrai setelah lama juga dia tersenyum-senyum di depan Izi Helmy. Dalam fikirannya asyik membayangkan wajah Izi Helmy nanti kalau diberitahu hal yang mahu disampaikan nanti. Terkejutkah? Mengangakah? Atau sampai rasa nak pitam?
“Aku nak minta tolong kau sikit.”
Berkerut-kerut dahi Izi Helmy memandang Saif Azrai. “Aik! Sejak bila pula kau tanya dulu sebelum nak minta tolong aku. Selalunya kau main belasah aja macam satu arahan kuasa veto. Never say no to your order la kiranya!” Tempelak Izi Helmy berbau sindiran. Tersnegih-sengih Saif Azrai disindirnya. Malas dia nak melawan kerana dia lebih tidak sabar nak tengok reaksi Izi Helmy lepas ni. Biar dia terkejut besar sampai menganga mulut macam badak.
“Lebih kurang akhir bulan depan aku nak kahwin. Jadi, aku nak minta kau dan Aina jadi pengapit. Bolehkan?” Seperti dijangka, memang terkejut beruklah Izi Helmy mendengar permintaannya tadi. Bukan sebab permintaannya tadi yang minta dia jadi pengapit tapi mesti terkejut sebab Saif Azrai akan berkahwin dulu sebelumnya yang sibuk menayang buah hati depan orang sebelum ni kan.
“Alah, boleh ajalah bro. Melainkan kalau kau pun nak naik pelamin juga, aku consider cari orang lainlah.”
Menjuir bibir Izi Helmy mendengar kenyataannya kali ini. Saja nak menyindir oranglah tu. Mentang-mentang nak kahwin, saja nak tunjuk lagak depan aku. Getusnya dalam hati.
“Apasal pula sampai nak Aina pun jadi pengapit kau? Pengantin perempuan kau tu tak ada pengapit lain ke?” soalnya cuba ubah topik sekaligus cuba berlagak tenang. Ini Izi Helmy okey. Tak akan mudah melatah. Dalam diam, aku pun akan bagi big surprise juga. Datang bukan sebagai pengapit tapi sebagai pengantin! Dia mengatur rancangan. Memang tak boleh jadi. Apalah khabar rombongan Encik Hairol ke rumah Ustaz Kairol agaknya. Nak tanya segan. Aina pun tak pula cerita apa-apa. Buah hatinya itu sekarang pun tengah sibuk dengan kerja akhir-akhir ini. Izi Helmy pun sibuk juga nak menguruskan projek baru yang masuk. Rezeki nak kahwin agaknya. Akhir-akhir tahun pun dapat juga projek walaupun tak besar mana.
“Alang-alang aku nak kau jadi pengapit, aku tolonglah dia cari pengapit sekali. Takkanlah aku nak biarkan kau berpasangan dengan orang lain kut. Jeles buah hati kau nanti!” Balas Saif Azrai sambil mengangkat kening dua tiga kali. Aik! Macam perli aja bunyinya.
“Ha, esok datang ke butik ni dengan Aina. Kita main pilih-pilih baju.” Terus saja Saif Azrai mengeluarkan arahannya seperti biasa sambil menolak sekeping kad ke depan Izi Helmy. Kemudian dia bangun dan berjalan ke pintu.
“Jangan lupa tau!” Sempat lagi dia memesan sebelum menghilangkan diri.
Aik! Itu aja yang dia nak cakap? Termenung Izi Helmy merenung kad yang baru diambil dari atas meja. Esok? Dia berkira-kira. Buah hatinya itu sudahlah tengah sibuk sekarang. Ada masakah nak datang? Kalau lepas waktu kerja okey agaknya. Cerita perkahwinan dia dengan Aina, macam mana pula? Tiba-tiba soalan itu menerjah fikirannya. Laju tangan mencapai iphone lalu nombor Puan Kamisah lekas dihubungi.

*******

“Sabarlah sikit. Ayah kamu tu sibuk pula sekarang dengan kerja dekat pejabat akhir-akhir ni. Dah dua tiga kali berulang ke Kelantan. Hari tu ada juga rancang nak hantar rombongan tapi dah macam ni, tangguh la dulu nampaknya. Takkanlah nak hantar rombongan tanpa ayah kamu pula. Pilihan kamu tu pun bukannya orang dekat. Nun jauh di KL.” Jawab Puan Kamisah bila anaknya itu menelefon bertanyakan soal rombongan meminang Aina, calon hati anaknya itu. Bukannya nak ingat tanya khabar orang tua ni dulukah. Terus-terus saja tanya pasang nak pinang anak dara orang. Ish, budak ni. Macam senang saja cara dia bercakap. Ingat nak meminang tu macam nak beli barang zaman sekarang agaknya. Tak ada masa, dalam talian pun boleh.
“Bila agaknya ayah dan mak boleh hantar meminang ni mak?” soal Izi Helmy lagi. Kedengaran suara halus keluhan Puan Kamisah sampai ke telinga.
“Ya Allah, anak aku ni tak sabar benar dia.” Rungut Puan Kamisah gelisah. “Kamu ni pun tiba-tiba gelojoh sangat nak kahwin ni kenapa?” Soal Puan Kamisah pula.
Erk! Terkedu Izi Helmy sekejap diaju soalan itu. Gelojoh, perkataan itu yang dilontar ke telinganya oleh Puan Kamisah yang selalu menyebelahinya. Rasa terpukul, tertampar dan segala macam saudara maranya menghentam jiwa raganya sekarang.
“Bukan gelojoh, mak. Takut buah hati disambar orang.” Kalaulah Puan Kamisah tahu yang dia berrebut kahwin dengan Saif Azrai, disebabkan pengaruh tawaran Haji Rauf yang mahu menyerahkan jawatan sekaligus syarikatnya itu kepada mereka yang terlebih awal mendirikan rumahtangga, habislah Izi Helmy. Niayalah dia kena ganyang dek Puan Kamisah nanti. Ampun mak. Sesungguhnya bukan sebab harta yang dikejarnya. Tapi mungkin juga tercabar bila Saif Azrai yang tidak pernah ada kekasih kekal tiba-tiba sudah melamar Qayreena. Sekarang, dia pula nak lawan tauke salam tok kadi dulu sedangkan Izi Helmy yang bertahun menyulam benih cinta masih belum berganjak untuk meminang si buah hati. Tentulah keegoannya tercalar.
“Hai, kalau dah suka sama suka masakan dia nak terima pinangan orang kalau ada yang datang meminang sekalipun.”
Ha, betul juga! Masakan Aina akan terima pinangan yang lain kalau dia rela berjumpa orang tuanya. Kalau dah jumpa mak dan ayah maknanya, dia pun memang setujulah nak ikat perkahwinan kan. Izi Helmy bermonolog sendiri sedangkan suara Puan Kamisah sayup-sayup didengarnya.
“Dia akan tunggu Izilah kan mak?” Terdiam Puan Kamisah ditujah soalan itu. Berkerut dahinya.
“Ish, kamu ni. Kamu tanya mak buat apa? Kamu yang bercinta, tak tahu lagi kesetiaan masing-masing? Kalau kamu berdua dah jumpa orang tua masing-masing, seriuslah maknanya tu. Takkan bercinta bertahun-tahun boleh tunggu, nak meminang tunggu dua tiga minggu dah tak sabar? Ni siapa yang tak sabar sebenarnya ni. Ainakah kamu?” Musykil sungguh hati Puan Kamisah. Kalau dilihat-lihat dari penglihatannya, nampak gayanya anaknya itu yang dah gatal sangat nak kahwin.
“Itulah kamu. Mak suruh kamu tolong ayah dekat sini kamu tak mahu. Dah ayah kamu sibuk uruskan banyak hal sendiri sebab tak ada orang kanan dekat sini. Sudahlah. Mak nak masak pula ni. Kamu tunggu ajalah. Nanti bila ayah kamu dah lapang, kami hantarlah rombongan ke sana. Apa-apa nanti mak telefon beritahu kamu.” Puan Kamisah geleng-gelengkan kepala mengenangkan sikap anak lelakinya. Tiba-tiba saja tak sabar-sabar nak nikah. Takut benar anaknya itu buah hatinya disambar orang. Tapi nak buat macam mana kalau dah ketua keluarga yang sibuk. Sabar sajalah menunggu. Pepatah pun ada menyebut, tak lari gunung dikejar.

Friday, June 21, 2013

Sayang Kata Benci: Bab 37

Short post for today... sori ek. Tak berapa sempat nak update


Puas Sasha Amira berfikir sejak semalam. Setiap patah nasihat Intan Nazira mahupun arahan tegar Puan Damia terus terngiang-ngiang di telinga. Pagi tadi berkejar dia mendapatkan Encik Rahim dengan harapan papanya itu mampu memujuk dan mengubah keputusan mama. Tapi hampa bila papa juga berkehendakkan yang sama.
“Papa ni sebenarnya bukan setuju sangat dengan cara mama kamu tapi kamu fikirlah sendiri Sasha. Selagi kamu belum berkahwin, kamu tu tanggungan papa, tanggungjawab papa. Papa bertanggungjawab untuk mengahwinkan kamu. Bukan bermaksud papa suka-suka nak lepaskan tanggungjawab papa ni pada lelaki lain. Tapi kamu dah cukup besar panjang. Umur kamu makin hari makin meningkat tua, bukan makin muda.” Ujar Encik Rahim semasa menjamah roti bakar yang disediakan Puan Damia. Puan Damia awal-awal sudah larikan diri ke dapur. Sibuk mengemas pinggan mangkuk yang dicucinya malam semalam. Kepala anak bongsunya diusap perlahan, sekadar memujuk. Tidak mahu dibebani lagi budak itu dengan kekerasan mahupun ketegasan.
“Pilihan mama kamu tu pun bukannya budak jahat. Baik papa tengok budaknya. Boleh memimpin doa, bolehlah tu kiranya memimpin anak papa ni. Kamu ikut ajalah cakap mama kali ni. Jangan lagi ungkit hal nak minta dibatalkan pernikahan ni. Malu papa pada Haji Rauf nanti. Bukan takat pada Haji Rauf, pada saudara mara yang mama dah beritahu pasal kamu bakal bernikah ni pun kita akan malu satu keluarga.”
Luluh rasa hati Sasha Amira bila mendengar kenyataan itu. Pantas betul tindakan mama. Saudara mara juga sudah diberitahu sedangkan anaknya sendiri ini, yang hendak dinikahkan ini tidak diberitahu terlebih dulu. Bukan setakat itu sahaja, kad jemputan, perancang perkahwinan, semuanya siap mama tempahkan. Makin serba salah Sasha Amira sekarang.
Cincin yang tersarung di jari manisnya ditenung lama. Dipusing ke kiri dan ke kanan jarinya. Ikutkan hati tidak ingin dia sarung cincin itu ke jari sebagai tanda menerima keputusan mama. Tapi sekali lagi hatinya tersepit dek panahan kata-kata mama.
“Puas hati ke dah pujuk papa kamu tadi? Apa kata papa kamu? Setuju nak ikut cakap kamu untuk batalkan tarikh nikah?” Bertalu-talu peluru mama lontarkan pada Sasha Amira sebaik dia turun dari bilik untuk ke kolej tadi. Kemudian kedengaran suara mama merengus geram. Makin tegas nampaknya mama.
“Cubalah reti ikut cakap orang tua ni. Jangan ikut kepala kamu aja. Dari besar sampai ke tua puas dah mama dan papa ikutkan kata kamu. Kamu bercinta masa sekolah dulu, ada mama larang? Salah mamakah yang kamu kecewa dengan dia dulu? Lepas tu, bertukar-tukar kolej, bertukar course pun papa kamu ikutkan aja. Ada papa bising? Semua kata kamu papa ikutkan. Tapi dalam soal ni, tak boleh ke kamu pula yang ikut cakap kami? Kamu jangan harap mama dan papa nak ikut cakap kamu. Kami ni bukan maksud tak mahu tengok kamu berjaya tapi bukan diploma tu yang kami harapkan. Semua orang tua cuma nak tengok anak mereka bahagia. Kahwin sebelum mereka ni tutup mata. Jadi legalah rasa beban di bahu ni bila tengok tanggungjawab sebagai mak ayah dah tertunai bila anak-anak semua dah kahwin dengan pasangan yang baik-baik. Bertahun-tahun mama beri tempoh, bukan setakat dua tiga bulan sampai hari jadi kamu tahun depan ni aja. Mama tahulah bukan senang nak bina satu ikatan tapi mama dulu makan garam dari kamu, mama lebih tahu dan arif dari kamu. Kalau dah kamu sendiri yang tutup hati terus dari menerima mana-mana lelaki, macam mana nak terbentuknya satu hubungan? Cuba kamu beritahu mama sikit kalau kamu rasa mama ni jahil sangat.”
Tergamam Sasha Amira yang ketika itu sedang menyarung kasut ke kaki. Tebal muka bila mama berleter panjang lebar di depan muka pintu. Malu rasanya kalau jiran sebelah rumah ada yang terdengar. Bila dihulur tangan untuk bersalaman dengan mama, mama tidak menyambut. Sebaliknya cincin yang mama tunjukkan semalam mama sarungkan ke jarinya laju-laju.
“Pemberian orang ni, pandai-pandai hargai sikit. Kalau tak nak pakai dua-dua, pakai satu cukup. Esok-esok kalau dia nampak kamu tak pakai cincin ni, apa pula kata dia nanti. Jagalah hati orang juga, jangan pentingkan hati sendiri aja.”
Akhirnya Sasha Amira hempas nafas halus. Jari-jemari kanannya terus bermain dengan cincin emas 18 karat bertatahkan 12 butir berlian yang tersusun kemas di atasnya di jari kiri. Layakkah dia memakai cincin ini, dia tidak pasti. Dia lagi hairan mengapa lelaki bernama Saif Azrai itu bersetuju untuk mengahwininya. Dia bukannya istimewa. Bak kata mama, belajar tak pernah habis. Pandai memasak, pandai mengemas itu semua dusta. Sasha Amira mengaku dia tidak mahir melakukan semua kerja itu. Apa yang dipandang Saif Azrai pada dirinya? Kenapa lelaki itu melamarnya? Mungkinkah sebab keluarganya juga memaksa?
Good afternoon...” Sapaan Intan Nazira langsung tidak diendahkan. Sasha Amira masih leka merenung cincin di jari.
Intan Nazira dan Zaimah sama-sama sudah ambil tempat sebelah-menyebelah. Sekilas Intan Nazira menoleh ke arah Sasha Amira. Dia nampak Sasha Amira termenung lalu dibiarkan saja. Tidak lama dia berpaling semula.
“Wah! Cantiknya!” Pujinya teruja sambil memanjangkan leher untuk menjengah cincin di jari Sasha Amira. Ketika itulah Sasha Amira baru tersedar akan kehadiran kawannya itu di sebelah. Kemudian datang pula muka Zaimah yang turut sama membelek tempat yang sama. Riak terpegun dua kawannya itu dibiarkan saja. Sebaliknya jarinya pantas ditarik dan disorok ke bawah meja.
“Eh, alah... tengoklah. Tak puas tengoklah.” Suara Zaimah kedengaran hampa. Melihat reaksi Sasha Amira yang tidak peduli, Zaimah hempas bahu ke bawah menunjukkan rasa kecewa.
“Itu ke cincin dia pinang kau?” soal Intan Nazira tiba-tiba sambil menampar lengan Sasha Amira sekali. Zaimah yang tadinya hampa sekali lagi tunjukkan minat bila terdengar soalan Intan Nazira. Laju saja mulutnya menyampuk.
“Pinang? Siapa pinang siapa?”
“Untung kau Sha. Kaya bakal suami kau tu. Kalau aku dapat berlian tu sebiji pun jadilah.” Sahut Intan Nazira mula berangan-angan sekaligus membiarkan saja soalan Zaimah tadi tidak berjawab. Faham-fahamlah dia nanti. “Kalau aku jadi kau, memang aku tak tolak tuah dah. Aku ikut aja cakap mama. Tu dah pakai tu maknanya dah setujulah kan.”
Berkerut dahi Sasha Amira merenung muka Intan Nazira yang tersengih-sengih di sebelah. Hai budak ni. Dia pula yang lebih-lebih. Aku tengah stres, serba salah ni tahu tak?!
“Kau cakap senanglah. Aku yang nak terima ni rasa perit.” Sasha Amira luahkan juga rasa yang masih belum rela menerima kenyataan bulat-bulat.
“Ni, apa ceritanya sebenarnya? Aku tak fahamlah.”
“Kau duduk diam-diam dan dengar aja baik-baik. Nanti kau tahu!” Arah Intan Nazira kepada Zaimah. Mengangalah mulut kawannya itu kerana tidak faham. Muka Intan Nazira dan Sasha Amira ditenung silih berganti. Seorang ceria semacam, seorang lagi mencuka saja wajahnya.
Baru saja Intan Nazira buka mulut, Encik Saiful sudah masuk ke dalam kelas. Terbantut rasanya mahu menyambung hujah semalam kalau Sasha Amira masih keras hati tidak mahu meneruskan perkahwinan dengan jodoh pilihan mamanya.
“Emm... kita sambung lepas kuliah la.” Bersahaja kata-kata Intan Nazira atur lalu duduknya dibetulkan semula untuk menghadap ke depan kuliah. Sedangkan Sasha Amira diam-diam menarik tangannya dari bawah meja dan dibelek cincin itu lagi dari jauh. Mengeluh lagi bila difikir-fikir. Dia memang sepatutnya tak layak menyarung cincin itu kan? Saif Azrai tak mungkin dapat terima dirinya yang sebenar seperti mana dia tidak rela untuk hidup bersama dengan lelaki itu kan? Dia masih bertanyakan soalan yang sama.