Pages

Hi pembaca semua!!!

Terima kasih kerana datang melawat, membaca karya-karya dalam blog ini dan terima kasih juga kepada semua yang menyokong Yuri. Yuri rasa happy sangat dengan kehadiran korang dalam hidup mahupun alam maya Yuri ni.

Segala komen dan sokongan sentiasa dan akan terus membakar semangat Yuri untuk terus berkarya menggunakan nama pena ayu munawer.

Semua karya di dalam blog ini adalah ilusi, imaginasi serta daripada pengalaman hidup. Dan yang paling penting, semua karya di sini adalah hasil karya Yuri. Mohon supaya tiada copycat dekat sini... tqvm

Harap korang terus menyokong dan beri komen mahupun kritikan untuk Yuri memperbaiki sebarang kekurangan.

P/S: Untuk makluman, karya "Dia Si Jantung Hati" akan dihentikan penerbitannya di sini atas sebab rombakan besar-besaran plot cerita. Justeru itu, judulnya juga bakal berubah. Maaf atas sebarang kesulitan. Harap korang setia menunggu dan menyokong hasil rombakannya nanti okey ^^,
"Aku tak suka kau la" kini diterbitkan di penulisan2u dengan tajuk "JIWA KACAU"..saja nk tukar tajuk. Sebb yuri rasa cam lg sesuai je tajuk ni..lebih pendek n ringkas hehe ada ka yuri edit2 skit. Harap u all x kesah nk singgah baca :-)
Sudi-sudilah berkunjung ke official blogshop yuri di http://decodanmakan.blogspot.com yer. Walaupun rupanya masih macam blog biasa, yuri pun masih belajar lagi macam mana nak upgradekannya. Macam-macam ada. Nak tau apa yang ada, kenalah singgah.

Terima kasih (^^,)v

Tuesday, April 30, 2013

Sayang Kata Benci: Bab 18


Teruja benar hati Saif Azrai bila menerima kunci Kia Forte miliknya semula. Dibelek-beleknya kereta itu sepuasnya. Bahagian depan yang dulu kemik kini sudah kembali seperti sedia kala. Tidak puas melepaskan rindu, dia masuk ke dalam. Memusingkan stereng ke kiri kanan, lagak seperti sedang memandu. Setiap sudut dibelek. Rindu pun ya, nak check kut-kutlah ada yang hilang pun ya. Puas hati, dia keluar semula.
“Woah! Baby aku dah baik!” Menjerit dia suka hati sambil merebahkan tubuhnya perlahan atas badan kereta. Bagai dipeluk kereta itu puas-puas.
Sedang dia menikmati saat-saat bahagia itulah dia menerima panggilan daripada Haji Rauf. Papanya menelefon memberitahu yang mereka baru saja menaiki kapal terbang untuk pulang ke Kuala Lumpur. Penerbangan mereka dijadualkan akan berlepas beberapa minit saja lagi.
Menganga Saif Azrai melihat jam di tangan. Perjalanan dari Langkawi ke Kuala Lumpur tidak sampai satu jam. Perjalanannya pula hendak ke KLIA itu yang entah berapa lama agaknya masa akan diambil. Apa lagi kalau petang-petang begini. Masing-masing berkejar balik ke rumah. Jalan sesak, itu sudah tentu.
Segera Saif Azrai memboloskan diri ke dalam kereta. Iphone, wallet, termasuk lesen semuanya ada. Okey! Enjin dihidupkan sambil mulut sibuk menceceh.
“Janganlah jam... janganlah jam.”
Mengundur saja kereta itu keluar dari petak parkir, dia memecut laju ke depan seraya menjerit suka. Fuiyoo! Dah lama tak merasa naik kereta sendiri. Ada Mercedes papa, tak berani dia hendak merayap merata tempat. Nanti papa check meter, mesti papa soal siasat.
Sah! Belum apa-apa, Saif Azrai sudah tersangkut dekat Jalan Bukit Bintang sebelum masuk ke Jalan Tun Razak. Hai, kenapalah office papa dekat Raja Chulan, kawasan yang mana pun laluan yang diambil mesti confirm sesak?
Sampai saja di KLIA, Haji Rauf dan Hajah Kistina sudah menanti di lobi ketibaan bila dihubungi. Lekas-lekas Saif Azrai pergi mendapatkan Haji Rauf dan Hajah Kistina setelah memberhentikan kereta. Tangan kedua orang tua dikucup mesra dan sekali lagi Hajah Kistina memeluk tubuhnya bagi melepaskan rindu.
“Sekejapnya papa dan mama pergi honeymoon. Patutnya kurang-kurang pun biarlah seminggu, papa. Barulah puas.” Usik Saif Azrai sambil menayang senyum nakal. Bagasi dari tangan Haji Rauf disambut dan disorong menuju ke kereta.
“Mama kamu ni, rindu sangat dengan kamu. Tak bolehnya dia nak berpisah lama-lama dengan anak kesayangan dia ni. Papa minta kamu jemput ni pun sebab mama kamu yang suruh. Berkeras tak mahu naik limosin sebab nak tengok muka anak dia dulu sesampai dekat sini konon.” Jawab Haji Rauf menyakat isterinya. Lekas Hajah Kistina membidas.
“Eh, kita pula yang jadi alasan. Papa kamu ni yang sibuk sangat fikir pasal syarikat. Tinggal sehari pun dah susah hati.” Sahutan Hajah Kistina dalam nada gurauan itu menyambung tawa Haji Rauf dan Saif Azrai serentak. Saif Azrai membuka pintu untuk Hajah Kistina dan mereka bertiga masuk ke dalam kereta.
“Bukan awak ke yang tak sabar nak jumpa anak awak ni? Nak tahu pasal perkembangan dia dengan emm... siapa nama budak perempuan tu, Misha? Tasha?” Haji Rauf menyambung lagi dalam kereta. Kereta yang dipandu Saif Azrai perlahan-lahan meninggalkan perkarangan KLIA.
“Sasha la, bang.” Sampuk Hajah Kistina membetulkan. Haji Rauf mengiakan saja selepas itu. Sementara Saif Azrai sudah menelan liur. Masih tiada berita daripada Abang Man, abang nasi kukus ayam dara tu. Silap Saif Azrai meninggalkan nombor telefonnya seorang. Patutnya dia minta nombor telefon Abang Man untuk simpanannya juga. Takut-takut Abang Man terlupa. Ah, tak apalah. Esok-esok, bila lapang dia pergi lagi berjumpa Abang Man.
Hai, Azrai... Azrai. Ada cara senang, nak juga guna cara susah. Kutuknya pada diri sendiri.
“Macam mana Azrai?”
Tersentak Saif Azrai bila bahunya dicuit Hajah Kistina. Matanya serta-merta melirik ke arah Hajah Kistina di belakang dari cermin.
“Macam mana kamu dengan Sasha? Oh, mama lupa nak beritahu. Sebelum mama dengan papa ke Langkawi, Sasha dengan mamanya ada datang. Nak melawat kamu. Dia ada masak bubur nasi untuk kamu. Ada mama simpan dalam peti.”
Ha? Kenapa mama tak beritahu awal-awal? Nak harapkan Saif Azrai selongkar peti sejuk, memang taklah. Bila dia lapar, dia rela keluar makan dekat kedai berbanding masak sendiri. Lainlah kalau mama ada. Rajin sikit tangan ni nak pegang sudip.
“Macam mana honeymoon mama? Seronok?”
“Eh, budak ni. Orang bercakap pasal dia, pasal orang pula yang disoal.” Gumam Hajah Kistina menggeleng kepala.
“Pasal Azrai bila-bila pun boleh cerita. Pasal honeymoon mama dan papa, kenalah korek cerita selagi masih hangat ni. Macam mana, pa?” Dia beralih pula kepada Haji Rauf setelah Hajah Kistina seakan-akan tidak mahu menjawab. Aduh. Mama nak tanya lagi pasal Sasha Amira, nantilah ya mama.
“Emm... seronok yang macam mananya bila dah tua-tua ni. Macam itulah...” Spontan jawapan Haji Rauf.
“Hai, dah tak seronokkah jalan-jalan berdua dengan saya ni?” sindir Hajah Kistina di belakang. Sekali lagi mengundang tawa mereka tiga beranak.

*******

Tepat jam sebelas malam, Saif Azrai bangun dari katil. Buku Escape from camp 14 akhirnya habis juga dibacanya. The Boom! Itu deskripsi paling sesuai tentang buku tersebut. Kaki menganjak ke pintu lalu pintu itu dikuaknya perlahan-lahan. Kepalanya mengintai dulu keluar. Rumah dua tingkat itu separuh gelap. Hanya disinari lampu hiasan di laluan tingkat atas. Telinganya dipasang luas-luas.
Confirm! Mama dan papa dah masuk tidur.
Perlahan-lahan langkah diatur menuju ke dapur. Iphone kesayangan juga dibawa bersama. Peti sejuk dibuka. Dia mencari bekas bubur nasi yang mama maksudkan petang tadi. Hendak juga merasa masakan perempuan lain selain mama. Kali terakhir, sarapan pagi yang Jenny masakkan untuknya masa belajar di UK dulu. Tapi emm... macam tulah. Kalau sudah teman wanita mat saleh yang masak, tidak berani pula dia hendak makan. Alamatnya, Ramous kawan serumahnya yang habiskan semua. Tapi di depan Jenny...
Your cook was marvelous, honey. You are no. 1 chef in my heart.”
Dia terpandangkan sebuah termos kecil berwarna biru. Dibuka bekasnya dan yes! Inilah dia! Hatinya menjerit gembira. Terus saja dikeluarkan dari peti sejuk dan dibawa ke dapur. Didekatkan hidungnya ke mulut termos. Ada bau sedikit. Bau ayam.
Periuk lantas diambil keluar dari kabinet. Diletak atas dapur lalu dituang semua isi termos ke dalam periuk. Api dapur dihidupkan dan dia menanti. Beberapa ketika, tangannya mencapai senduk. Dikacau bubur yang kian hangat itu sekali sekala. Bau ayam semakin kuat menusuk ke hidung bersama-sama haruman rempah yang dicampur bersama. Didekatkan hidungnya sedikit ke depan mulut periuk. Hmm... wangi.
Britt! Britt!
Oh, nenek aku! Latahnya dalam hati gara-gara terkejut dek gegaran dalam kocek belakang seluar pendeknya. Bergegar rasa punggung. Melompat-lompat dia di depan dapur. Nasib baik muka tak kena periuk panas. Kalau tidak mahu menjerit dia satu rumah. Lekas tangannya menyeluk kocek lalu dijawabnya terus telefon itu.
“Helo, sayang. You tak tidur lagi?” Satu suara manja milik seorang gadis merayap masuk ke liang telinga. Qayreena. Terus saja bibirnya membentuk senyum.
“Belum. You pun tak tidur lagi buat apa? Rindu dekat I ke?” soalnya mula hendak menggatal. Jari-jemarinya yang panjang meraba-raba dinding. Kalaulah dinding itu muka si Qayreena, mahu dicucuk-cucuk pipi Qayreena, dicubit-cubit hidung Qayreena yang mancung bak belatuk itu. Tempoh hari kata bosan bila bersama Qayreena, tapi bila sehari tak jumpa perempuan hati ni rasa kosong semacam.
“Tahu pun you I rindukan you. Hari tu you janji nak temankan I, you pula pergi tergesa-gesa.” Nada Qayreena seakan merajuk.
Makin geram hati Saif Azrai mendengar suara Qayreena. Merajuk pun nak manja-mana. Alahai. Memang rasa nak cubit aja pipi dia.
“Alah, you janganlah nak merajuk. Masa tu I pinjam kereta sepupu I. Okeylah, sebagai nak tebus balik kesalahan I yang lepas, esok kita pergi lunch sama-sama.” Dia mengajak.
Laju saja Qayreena menguntum senyum lebar namun tidak terlihat dek Saif Azrai yang geram sendiri membayangkan reaksi Qayreena. Suka hati Qayreena. Mahunya tak suka. Setiap kali merajuk, pasti akan dipujuk. Dia juga bosan duduk seorang. Papa selalu sibuk dengan hal syarikat. Tak cukup di KL, sibuk berulang-alik ke main office di Johor Bahru. Mama pula sibuk dengan persatuan itu dan ini. Hal kebajikan sana dan sini. Kawan-kawan, masing-masing semua dah berkerjaya. Ddaripada keluar dengan mereka yang ‘sangat-sangat sibuk’ tu, lebih baik keluar dengan buah hati.
“Esok?” Qayreena mengulang, cuma mahukan kepastian. Seketika kedengaran suara gumaman Saif Azrai mengiakan. “Janji?” soalnya lagi.
“Janji...”
Okey, see you tomorrow darling.”
Saif Azrai tersengih hingga ke telinga bila talian diputuskan. Senang saja hendak dipendekkan cerita. Tabur saja janji, Qayreena mudah terpujuk. Masih tidak berubah perangai gadis itu.
Ops! Hidungnya terbau sesuatu, yang tidak enak dihidu. Kembang kempis hidungnya mengesan dari mana datangnya bau itu. Alamak! Tangannya menekan kepala apabila terlihat periuk atas dapur. Berkepul-kepul asap yang keluar dari periuk. Berlari Saif Azrai ke situ. Cepat-cepat api dipadamkan dan dia menjengukkan kepala sedikit ke depan mulut periuk. Huhu... hampir kering bubur itu yang tadi sepertiga penuh. Disuapnya sedikit ke mulut dengan sudu.
Ouch! Melecur lidahnya kepanasan. Kalut dia mengibas-kibas mulut dengan tapak tangan. Lidahnya dijelir sekali. Bila reda radangnya, disudunya lagi bubur itu. Kali ini tidak lupa untuk ditiup perlahan hingga hampir sejuk sebelum disuap ke mulut.
Huhu. Terasa hangitnya dalam tekak. Di bahagian dasar periuk, tebal berkerak. Aduh. Ini semua melayan cakap Qayreena punya pasal. Habis hangit bubur calon menantu mama masakkan untuk aku. Ops! Laju tangannya menekup mulut.
Calon menantu mama? Oho... calon teman wanita baru akulah, bukan isteri!

Sunday, April 28, 2013

Sayang Kata Benci: Bab 17


Hmm... hmmm.... hmmmm....
“Ni apa kerja asyik mengeluh aja dari tadi ni? Macam tengah fikir masalah dunia pula,” Intan Nazira menegur bila telinganya tidak tahan lagi mendengar keluhan yang bertalu-talu keluar dari mulut Sasha Amira. Bikin orang susah hati saja. Bukannya nak bercerita.
Sasha Amira memandang muka Intan Nazira. Lama tanpa sebutir perkataan. Kemudian, keluhannya saja yang akhirnya menjawab teguran Intan Nazira tadi.
“Hmm... ni dah kenapa pula? Mama kau bawa jumpa calon suami lain ke?” Telahnya sebarang. Muka Sasha Amira monyok. Intan Nazira dapat merasakan seperti telahannya tadi benar. Lantas dikoreknya lagi cerita. “Betul eh?” Tubuhnya mendekati Sasha Amira. Soalannya diulang berkali-kali sambil menonjol lengan kawannya itu berulang kali, selagi Sasha Amira tidak buka mulut.
“Kali ni siapa pula? Eh, kalau kau tak nak juga kau kenalkanlah dekat aku aja. Tak adalah membazir mama kau carikan.”
“Tak adalah...” jawab Sasha Amira malas.
“Habis tu?”
Huhu... Muka Sasha Amira mencemik dengan muncung mula terbit di bibir. Kepalanya diletak sekejap atas meja, kemudian angkat semula. Dah macam gaya aerobik pula gamaknya. “Aku stres la. Stres!” beritahunya keras dengan suara serak. Tangan menekan-nekan kepala. Mengenangkan soalan mama pagi tadi sebelum dia keluar ke kolej, bikin dia tambah stres.
“Nanti ajaklah teman lelaki kamu tu datang makan tengah hari dekat rumah. Tak pun makan malam.”
Aduh. Tidak henti-henti mama bertanya pasal teman lelaki Sasha Amira. Beria mama hendak berkenalan dengannya. Masalahnya sekarang, teman lelaki Sasha Amira memang tidak pernah wujud.
Kalau tidak pun, mama akan tanya sama ada Sasha Amira sudah menghubungi Azrai atau pun tidak. Hai, kalau tidak jawapannya mulalah mama buka cerita semula pasal teman lelaki Sasha Amira. Hai, mama ni. Tak puas lagi menjerat Sasha Amira dengan soalan-soalan berkenaan cinta.
“Dei, kau ni dari tadi monyok. Stres, stres, stres. Stres kenapa?” Laju tangan Intan Nazira menampar tangan Sasha Amira. Mahu merah tangan Sasha Amira yang putih itu berbekas penampar Intan Nazira. Spontan Sasha Amira mengaduh seraya menggosok tangannya yang mula terasa perit.
Huh! Tangan oktopus dah hinggap ke badan! Gerutu hati Sasha Amira. Sudahlah hati ini sudah cukup bengkak dek desakan mama. Tapi disebabkan tidak mahu melawan kata mama, dia diamkan saja. Cuma alasan yang mampu diberikan setiap kali mama membangkitkan hal yang sama. Kalaulah papa ada, bolehlah juga minta papa sebelahkan dia.
“Mama aku sekarang dalam dua tiga hari ni, makin ligat pula dia tanya pasal teman lelaki aku-”
“Bila kau ada teman lelaki?” Pintas Intan Nazira hampir menjerit. Hampir saja menarik perhatian teman-teman sekelas. Sekelip mata mereka berdua menjadi perhatian namun cuma sesaat dua. Kemudian, masing-masing kembali membuat hal sendiri.
Sementara Sasha Amira sekejap tadi ternganga, bila cakapnya dipintas Intan Nazira sebelum sempat dia menyudahkan kata. Lepas itu, matanya pula yang meliar memandang mata-mata yang memerhati. Zaimah yang tadinya syok melayan keropok Jackelnya juga berpaling ke muka Sasha Amira, memandang dengan mata bundarnya yang kian membulat seolah-seolah terkejut dengan kenyataan Intan Nazira tadi.
“Bagilah aku habis cakap dulu.”
Intan Nazira lebarkan tapak tangan ke depan, memberi isyarat seperti memberi laluan. Terdengar keluhan Sasha Amira terlebih dulu sebagai pembuka kata. Duduknya dibetulkan.
“Dengar sini baik-baik ya wahai kawan-kawanku yang baik hati dan bijak pandai... aku harap sangat dapat idea macam mana nak selesaikan masalah aku ni. Otak aku ni dah tak boleh fikir dah. Beku aku rasa!” Beritahunya diajukan pada Intan Nazira dan juga Zaimah.
“Okey...cer citer, cer citer,” sampauk Zaimah meminjam trademark Usop Wilcha.
Hmm... Sasha Amira lepaskan keluhan halus terlebih dulu. “Korang ingat tak dulu aku ada beritahu yang aku kelentong dekat mama yang aku dah ada boyfriend sebab nak mama berhenti carikan aku jodoh.”
Fikir sekejap. Tidak lama, Intan Nazira terlebih dulu beri respons yang dia ingat kenyataan Sasha Amira yang lepas. Sibuklah Zaimah yang tidak ingat bertanyakan pada Intan Nazira. Yang mana ya? Bila? Puaslah Intan Nazira pulayang perlu mengingatkan kawannya itu. Setelah berbuih mulutnya mengimbas beberapa hari lepas, barulah Zaimah mengangguk sungguh-sungguh.
“Haaaa.... yang tu....”
Laluan diberikan semula kepada Sasha Amira untuk meneruskan ceritanya. “Ha, apa cerita dengan boyfriend kau tu? Mama kau tanya pasal dia?” Intan Nazira meneka.
Perlahan-lahan Sasha Amira mengangguk bersama muncungnya lagi. Intan Nazira hampir tergelak. Dulu sudah diberi amaran, Sasha Amira tunjuk lagak. Kononnya pandailah dia jawab dengan mama dia. Kan dia pelakon. Sekarang tayang muka tempoyak basi dia pula depan kami. Ceh! Tak boleh pakai punya pelakon.
“Bukan takat tanya aja, pasal boyfriend aku tu, pasal lelaki yang mama aku kenalkan dulu. Lepas tu, mama siap daftarkan aku pergi kursus pra-perkahwinan. Diam-diam tak beritahu pun.”
Menganga Intan Nazira dan Zaimah mendengar cerita. Sementara Sasha Amira melekap lagi kepalanya ke meja. Sedih bercampur hampa. “Parah aku macam ni. Dahlah mama aku dah bagi warning suruh aku bawa boyfriend kenalkan kat dia sebelum umur aku 30 tahun. Kalau tak... huhuhu...” Dia merengek perlahan.
“Kalau tak kenapa?” Beria Zaimah menyoal.
Sasha Amira menekup muka ke meja. Stres! Makin stres! sebelum ini dia abaikan saja ugutan mama itu. Tapi dua tiga hari ni, lain macam aja perangai mama. Teringat warning Along hari tu, buatkan dia sedar.
“Kalau tak kenapa, Sasha?” Zaimah mengulang soalannya. Bahu Sasha Amira dipautnya perlahan. Dapat dilihatnya mata Sasha Amira yang mula kemerahan bila kawannya itu mengangkat muka. Gulp! Zaimah menelah liur. Parah kawan aku ni.
“Kenapa ni, Sasha? Hei, janganlah macam ni...”
Sedu Sasha Amira mula menjentik cuping telinga. Intan Nazira yang selalu becok bercakap dan membebel juga terkesima di tempat duduknya. Sasha Amira menarik nafas dalam-dalam setelah dipujuk Zaimah.
“Kan dah bagitau dulu. Kalau aku tak dapat calon sebelum 30 tahun, aku kena kahwin dengan pilihan mama aku...”

*******

Belum pun sejam mereka masuk ke restoran makanan segera McDonalds, sudah riuh. Mula-mula memang hajat nak makan tengah hari dekat kafe, tapi Sasha Amira pula tiba-tiba teringin nak makan chocolate sundae. Hendak sejukkan hati yang lara katanya.
Riuh restoran itu pada waktu tengah hari. Apatah lagi sekarang banyak pula promosi harga rendah yang ditawarkan McDonalds untuk hidangan tengah hari. Kerusi meja hampir penuh dengan manusia. Memang sudah diduga sebegini sesak. Juling biji mata hendak mencari tempat kosong. Bila jumpa, Sasha Amira terlebih dulu cop tempat duduk. Dipesan saja makanan pada Intan Nazira mahupun Zaimah yang beratur di kaunter. Malas dia nak ikut beratur. Sementara menunggu, matanya melilau. Habis setiap sudut diperhatikan. Telinganya sekarang sudah macam separuh pekak dek hinga-bingar suara manusia.
Sekumpulan remaja beruniform sekolah yang siap bawa belon bermacam warna dan pakai topi bentuk kon di kepala menjadi perhatian. Nampak gembira benar wajah-wajah mereka. Lepas tu, nyanyikan lagu selamat hari jadi. Sambut hari jadi rupanya. Tiba-tiba saja muncul kek dari belakang, dibawa oleh seorang budak lelaki dengan pakaian biasa. Mestilah lelaki itu pun salah seorang daripada mereka. Duganya.
Salah seorang budak perempuan yang duduk di meja itu nampak sangat mukanya terkejut. Surprise! Sasha Amira boleh meneka. Mestilah budak perempuan tu punya hari jadi hari ini. Selesai budak perempuan itu meniup lilin, budak lelaki yang bawa kek tadi hulurkan sekuntum bunga mawar. Tersipu-sipu malulah dia bila kawan-kawan riuh menjerit suka sambil menepuk tangan.
Hai, so sweet! Saiful Muslim dulu pun, bercinta bagai nak rak tapi sekuntum bunga pun tidak pernah dia beri padanya. Budak-budak muda sekarang lagi advance nampaknya. Jeles akak. Sasha Amira terkenang-kenang wajah Saiful Muslim, saat dia begitu romantik, saat dia beriak nakal, saat dia tersenyum.
Dia tersenyum sendiri tapi tidak lama senyumnya pun mati bila dia sedar ianya cuma kisah silam. Kisah silam yang tak mungkin kembali. Kisah silam yang berakhir dengan keperitan dan kekecewaan. Lelaki itu kini milik orang. Bila mengenangkan semua itu, dia kembali hampa. Teringat pula amaran mama yang hendakkan dia berkahwin mahupun bercinta sebelum umurnya menjangkau 30 tahun. Hari dihitung dalam kepala. Sekali lagi dia hampa.
Hai, kenapalah aku lahir pada hari 1 Januari tu? Kurang tiga bulan, kurang daripada 100 hari lagi hari jadi yang ke tiga puluh akan tiba. Tapi... dia mengeluh lagi.
“Aik, mengeluh lagi? Nah, chocolate sundae kau. Bagi sejuk sikit dada tu eh.” Intan Nazira menghulurkan cawan sundae ke depan Sasha Amira. Kemudiaan dia ambil tempat di depan kawannya itu. “Tak elok asyik mengeluh ni. Nanti rezeki lari.”
Sasha Amira diam. Sundae yang dihulur Intan Nazira tadi terus disudu sedikit dan disuap ke mulut. Yummy... sedapnya. Nikmatnya rasa hingga terpejam kedua belah mata. Sekejap, dia dapat melupakan hal yang membuatkan otaknya kusut. Dia mencapai pula chicken burger yang dikirim tadi. Zaimah dan Intan Nazira sudah syok melayan makanan masing-masing. Bila dilihat set hidangan yang dibeli Zaimah, memang selalu biji matanya besar. Besar selera kawannya yang seorang itu. Rasanya masa toleh sekejap tadi baru dibuka bungkusan bigmacnya. Sekarang, Zaimah sedia untuk menikmati burger kedua. Spontan Sasha Amira geleng kepala. Laju benar Zaimah telan burgernya.
Sasha Amira bangun dari duduk. Menuju ke sinki untuk mencuci tangan. Selesai mencuci tangan, dia membelek muka sekejap di cermin bila dilihatnya wajahnya macam berminyak. Kertas tisu ditarik sehelai lalu menyapu muka yang rasa melekit. Kemudian dirasa pula dengan jari. Masih berminyak. Heuuww... boleh dibuat goreng ayam agaknya.
Tengah-tengah sibuk membersihkan muka dengan tisu, tiba-tiba datang seorang lelaki hendak mencuci tangan. Lelaki yang memberi bunga kepada budak perempuan yang menyambut ulang tahun kelahiran tadi. Sasha Amira pura-pura buat tidak tahu. Tapi setiap perbuatan lelaki itu dapat dilihatnya dari ekor mata. Tangan siap dibasuhnya. Dia menghimpit dan memanjangkan tangan untuk mencapai tisu di sebelah Sasha Amira.
Ops! Beritahulah dulu kalau nak menyelit. Rusuhnya tidak selesa. Lelaki itu memandangnya. Kemudian kenyit mata sambil tersenyum sebelum berlalu.
Berkerut-kerut dahi Sasha Amira kerana tidak faham. Seketika kemudian, bibirnya mencebir sumbing. “Ek eleh budak kecil ni, aku ni pangkat akak kau aje tau!” Ngomelnya sendiri lalu menyudahkan sapuan bedak pula ke muka.
Zaimah sudah selesai makan apabila Sasha Amira kembali ke meja. Bersandar kekenyangan. Pinggan Zaimah dipandang. Licin. Memang pantas kawannya itu makan. Kunyah ke telan? Riuh di hujung sana masih menjadi tarikan. Sasha Amira juga tidak terkecuali melontar pandang.
Bising tapi seronok melihat gelagat mereka. Lima budak perempuan, dua lelaki. Tidak sampai sepuluh orang tapi kecohnya satu kampung. Mereka bergelak ketawa, bergurau senda dan bila melontar kentang goreng ke kawan sedepa jauhnya, Sasha Amira geleng kepala.
Budak-budak ni... tak tengok ke budak Afrika yang kebuluran. Korang kat sini, buang-buang makanan. Tengok macam Zaimah, ha licin dia makan. Hatinya asyik berdetik itu dan ini.
Dalam pada dia memandang, dia perasan lelaki tadi merenungnya dalam diam. Duduk di sebelah budak perempuan tadi, mungkin teman wanitanya. Kalau sudah diberi bunga setangkai, mestilah ada hubungan istimewa kan. Tapi mata merenung Sasha Amira di sini. Uish! Cepat-cepat Sasha Amira melarikan pandangan. Dia pura-pura melihat jam di tepi kaunter pesanan. Hampir jam satu setengah. Rehat hampir habis. Pukul dua setengah akan ada tutorial Puan Raihana lagi.
Ingat pasal Puan Raihana, Sasha Amira rasa malu. Malulah teringatkan babak dia merayu sakan depan Puan Raihana sebelum ini. Aduh. Malunya nak berdepan dengan Puan Raihana masa kelas nanti. Rasa hendak sorok aja muka bawah meja.
“Eh, jom balik kolej.” Sasha Amira mengajak, tidak tahan. Panas punggungnya duduk lama-lama di sini. Budak lelaki itu dilihatnya masih menjeling-jeling. Hai, main jeling-jeling pandang-pandang pula dia.
“Nak balik? Burger kau tu pun tak jamah lagi, tak lapar ke? Tu, sundae tu tak habis pun. Kalau tak habis, mari bagi aku habiskan.”
Sasha Amira tolak terus cawan sundaenya ke depan Zaimah. Ha, ambillah kalau nak sangat. Dia cuma terasa nak balik kolej. Makin tidak selesa duduk di sini. Tenangkan jiwa apanya kalau makin celaru dek pandangan budak lelaki itu. Tidak ada siapa pula antara kawan-kawannya yang perasan. Atau pun kawan-kawan budak itu sudah biasa. Dasar lelaki buaya agaknya.
Emm... dia pandang luar tingkap aja kut! Sasha Amira cuba sedapkan hati.
Pandangannya beralih ke sebelah. Melihat Zaimah yang masih berselera menghabiskan sundae. Eh, eh... dia makan burger aku sekali? Ish, budak Zaimah ni. Sabar ajalah. Kerana lapar, Sasha Amira sumbat kentang goreng yang masih berbaki ke mulut. Jadilah untuk dibuat alas perut.
Oh, tak boleh jadi ni! Hati Sasha Amira merusuh bila menyedari masih ada mata yang memandang. Kali ini dia tidak mahu lari. Sasha Amira membalas renungan itu dengan pandangan tajam, menandakan dia benar-benar tidak selesa. Lelaki itu pula tersenyum. Sekarang, siap melambai lagi.
Eii... tak cukup awek dekat sebelah, ada hati nak pandang yang lain. Gerutu hati Sasha Amira melihat lagak lelaki itu. Zaimah disuruhnya menghabiskan makanannya cepat-cepat. Sasha Amira bangun semula. Sekali lagi dia pergi ke sinki, memcuci tangan cepat-cepat. Lelaki itu muncul lagi di sebelahnya. Dia membasuh tangan sambil matanya tetap melekat memandang Sasha Amira dari dalam cermin.
Kali ini, awal-awal lagi Sasha Amira berganjak ke belakang bila lelaki itu menutup pili. Sudah pasti lelaki itu akan menarik tisu. Selamat. Sasha Amira juga tidak menunggu lama. Terus saja ditarik tisu selepas selesai mencuci sabun di tangan.
Baru hendak menarik nafas, lelaki itu muncul pula di sebelah Sasha Amira. Sehelai tisu diletakkan atas meja depan Sasha Amira. Sasha Amira cuma memandang kosong. Mendongak dengan riak pura-pura tidak mengerti. Lelaki itu menggerakkan bibir lalu tersenyum. Sasha Amira faham maksud gerakan bibir itu.
Call me!
Heuw! Badan pun tak berapa nak tinggi, ada hati nak mengorat orang yang lagi tua. Entah-entah umur dia pun cuma budak hingusan aja! Getusnya geli-geleman.
Intan Nazira tergelak-gelak sambil menyorok muka dalam tapak tangannya. Zaimah pula tergamam dengan mulut buncit. Sasha Amira menggesa kawannya itu supaya cepat. Panas dia duduk di situ. Bekas makanan yang bersepah atas meja dipungut masuk atas dulang. Termasuk kertas tisu yang tertulis nombor telefon budak lelaki tadi direnyuk dan dibuang sama dalam dulang. Budak lelaki tadi sudah kembali ke tempatnya tapi masih setia memandang ke sini.
Eii... geramnya. Geramnya.
Bagai ada api yang membakar hatinya kini. Menyampah, meluat, benci semuanya ada. Matanya meliar pandang keliling. Sesekali bibirnya dibebel kepada Zaimah, mengerah lagi kawannya itu segera menghabiskan makan dan minumnya. Lama pula rasa Zaimah menyudahkan makan kali ini. Tadi laju sangat. Sekarang perut dah mengah pulakah sampai terdemut-demut? Saat matanya memandang ke kaunter, tiba-tiba dia tertancap pada seorang pelayan di kaunter itu. Kaunter sudah semakin surut. Tidak sesibuk awal tadi. Muncul akal nakal tiba-tiba lantas dia bangun sambil tersenyum nipis. Kertas tisu tadi diambilnya semula lalu bangun ke depan kaunter. Pelayan perempuan nampak macam budak sekolah, baru habis SPM agaknya.
“Ya, cik.” Budak perempuan itu bersuara dengan senyuman, sedia untuk mengambil pesanan.
“Budak lelaki tu suruh saya bagi pada awak!” bisiknya kepada budak perempuan itu lalu menghulurkan kertas tisu yang tertulis sesuatu kepada pelayan itu. Telunjuknya pula menunjuk ke arah budak lelaki tadi. Dia nampak budak lelaki itu memandang. Berkerut-kerut wajahnya. Sedangkan budak perempuan di depan Sasha Amira sekarang sudah tersipu-sipu. Alahai... budak-budak.
Sasha Amira senyum puas. Padan muka! Dia menyambar beg tangan lantas mengajak kawan-kawannya pergi. Zaimahlah yang paling kalut memungut barang-barangnya. Mulut dan tangan comot tidak sempat dibersihkan. Nasib baik sempat sambar tisu sehelai yang masih belum diguna atas meja.
“Eh, apasal kau pergi bagi nombor budak tu pada cashier tu pula? Apa salahnya kenal-kenal. Manalah tahu kau boleh syok dekat dia,” kata Intan Nazira tidak setuju akan tindakan Sasha Amira.
Sasha Amira diam tidak menjawab. Langkahan kakinya terus dihayun selaju yang mungkin. Sakit hati... sakit hati, itu yang dia rasakan sekarang.
“Entahnya, kata nak cari boyfriend. Tapi dah dapat, reject pula!” Zaimah pula menyampuk.
“Agak-agaklah kalau nak cari boyfriend pun. Terang-terang dia dah ada awek dekat sebelah, siap bagi bunga, lelaki macam tu ke aku nak jadikan boyfriend? Dahlah muka macam budak kecik. Eii... tak payah... tak payah.”
“Alah, jadi boyfriend palsu pun apa salahnya. Dapat juga selamatkan diri kau tu daripada amaran mama kau tu.” Zaimah memberi idea.
Senyap. Tiada jawapan daripada Sasha Amira selepas itu. Beg tangan yang hampir terlurut dari bahu dibetulkan dua tiga kali. Ish, beg ni pun nak mengada-ngada juga. Habis semua benda dirasakan tidak kena. Berkali-kali suara dia marah-marah sendiri hinggap ke telinga Zaimah dan Intan Nazira. Senyap kawan-kawannya itu tidak menjawab bila angin Sasha Amira makin teruk nampaknya.
Intan Nazira sudah mula susah hati. Mulalah dia fikir macam-macam akal hendak tolong kawannya tu. Boyfriend palsu? Emm... puas Intan Nazira fikir idea yang dilontar Zaimah tadi. 

*******


Kalau tadi cuma sakit hati, sekarang rasa macam nak tercabut tangkai jantungnya apabila suara lembut Puan Damia menyapu telinga.
“Mama masak special untuk makan malam nanti. Ajaklah boyfriend kamu datang makan sekali.”
Sasha Amira pandang ke depan. Puan Raihana sudah lama keluar dari kelas. Lihat pula ke kiri, kanan dan belakang. Boleh dikira pelajar lelaki dalam kelasnya. Azam, Lokman, Hafizi dan Andy. Empat orang saja. Tidak banyak pilihan untuk dijadikan teman lelaki sementaranya, seperti mana akal Zaimah. Puas dia fikirkan idea itu masa kelas Puan Raihana sedang berjalan. Elok juga idea itu tapi siapa lelaki yang hendak dijadikan bidan terjun? Aduh. Melencong jauh otaknya.
Andy, budak dari Kuching Sarawak, suku kaum Bidayuh. Sah-sahlah Sasha Amira kena tolak Andy awal-awal kerana bukan beragama Islam. Nanti tebal telinganya dibebel Puan Damia lagi. Hafizi dan Lokman, dua-dua sudah berpunya. Teman wanitanya pula budak sekelas. Huh, mahukah mereka tolong Sasha Amira? Hai, mesti takut teman wanita punya. Sudahnya, tinggal Azam seorang. Nak, tak nak, nak, tak nak?
“Emm... tak bolehlah mama. Dia busy orangnya. Nak ajak tiba-tiba macam payah pula.” Akhirnya dia memberi alasan untuk mengelak. Dia tidak mahu jadikan sesiapa sebagai teman lelaki. Tak kiralah Azam, Hafizi, Lokman mahupun Andy. Huhu bak kata orang Perak, tak sior teman!
Busy ke alasan aja tu?”
Aduh. Sebiji lagi peluru bolos masuk ke dalam kepala rasanya. Macam tahu-tahu saja Puan Damia yang Sasha Amira kelentong. Parahlah Sasha Amira hendak cari alasan.
“Betul mama, bukan alasan semata. Nanti Sasha ajaklah dia bila dia free, Sasha beritahu mama ya bila dia nak datang. Sasha ada kelas lagi ni, mama. Sasha letak telefon dulu tau. Assalamualaikum.”
Lantas Sasha Amira menarik nafas panjang dan menghempas tubuhnya ke belakang. Fuh, semput! Dah kenapa pula mama asyik bangkitkan hal teman lelaki pula ni? Sampai telefon segala, macam dah buat perangai lama pula. Dulu, masa mama sibuk nak kenalkan Sasha Amira dengan lelaki itu, lelaki ini, selalu juga mama telefon. Kononnya nak ajak makan sama dekat luarlah, nak minta teman shoppinglah. Rupa-rupanya ada udang di sebalik mi! Mama bawa jumpa calon menantu pilihan hati mama.
“Apasal pula ni? Mama kau tanya pasal boyfriend lagi ke?” Tebak Intan Nazira sebarang sebaik melihat wajah muram Sasha Amira yang tidak sudah setelah habis bercakap di telefon. Sebarangan tebakannya namun memang tepat jangkaannya itu. Hanya keluhan saja yang mampu dihempas Sasha Amira sebagai jawapan. “Parah gini, Sha. Kalau macam nilah gayanya, mama kau nampaknya memang desperate nak kau kahwin. Mahu taknya, anak dia dah dekat 30. Nanti lambat kahwin, nak beranak pun payah. Umur dah meningkat ni lagi payah nak pregnant tau, mak aku cakap. Kalau pregnant pun risiko dia tinggi.”
Sasha Amira pandang muka Intan Nazira dengan pandangan kosong. Nafasnya saja yang dihempas bertalu-talu. Sudah mulalah tu syarahan Intan Nazira, hendak menggantikan Puan Damia. Semua cerita pasal kahwin, beranak semuanya keluar dari mulut dia. Lepas tu, nak kaitkan pula dengan umur Sasha Amira. Stres Sasha Amira dengar.
“Alah, kalau susah sangatlah Sasha... kau setuju aja dengan pilihan mama kau tu. Tak payah susah-susah cari teman lelaki pula dalam masa singkat ni. Bukannya buruk benar pilihan mama kau. Lelaki hebat-hebat juga apa!” Zaimah sekali lagi menyampuk, macam biasa.
Huish! Tadinya dia juga yang bagi idea guna teman lelaki palsu. Sekarang nak suruh aku terima pula pilihan Puan Damia. Lalang ke apa budak ni? Sekejap ke kanan, sekejap ke kiri. Makin serabut otak Sasha Amira dok fikir semua ni lah!

Saturday, April 27, 2013

Sayang Kata Benci: Bab 16


Good morning sayang...”
Halus suara itu bagai menyapu cuping telinga Sasha Amira. Disusuli sentuhan lembut dipipinya membuatkan dia akhirnya membuka mata dengan malas.
Masyaallah! Terbelalak terus matanya melihat muka Saif Azrai dekat di sebelah. Macam mana lelaki itu boleh berada di sini? Macam mana dia masuk bilik Sasha Amira? Wajah lelaki itu yang tadinya manis tersenyum kini menonjolkan garis-garis halus.
“Kenapa ni sayang?”
Sayang? Mamat ni dah hilang akal ke? Kalau nak bergurau sekalipun takkanlah sampai macam ni. Melampau namanya dan memang boleh mendatangkan marah! Seketika lelaki itu menganjak ke arahnya. Melompat Sasha Amira dari katil.
Aduh!
Tubuh Sasha Amira terasa sakit. Digosoknya badan yang sakit sambil mengaduh terus. Bila ditoleh kanan dan kiri, bayang Saif Azrai sudah tiada. Astaghfirullah. Mengingau rupanya. Ini pasti terbawa-bawa dek cakap mama pasal Azrai pagi semalam. Balik dari kolej, mama ulang tanya soalan yang sama. Agghh! Tension dibuatnya.
Tapi kenapa muka Saif Azrai yang muncul? Bukan Saiful Muslim, bekas kekasih hatinya dulu? Bukankah semalam dia berendam air mata sekali lagi selepas mengenangkan semua kisah lama bersama lelaki itu? Huhu... mama, sampai hati mama buat Sasha terkenangkan dia.
Sasha Amira bangun dan berlari ke meja solek. Mukanya dibelek di depan cermin. Sembap. Dah tentulah bengkak matanya kerana menangis sepanjang malam. Entah jam berapa barulah dia terlena kerana letih menangis. Belum puas dia melelapkan mata, sedar-sedar sudah berkumandang azan Subuh. Kuat bunyinya kerana rumahnya cuma selang satu lorong dari surau. Berat rasa mata ni hendak dibuka untuk mengerjakan solat Subuh. Selesai saja solat Subuh, dia terlentang semula atas katil. Kain telekung juga masih terlekat di pinggang. Tapi tidak lama, bila mimpi ngeri datang menjelma.
Kakinya melangkah pula ke jendela lalu dibuka luas menampakkan laman jiran sebelah rumah yag ditutupi atap. Rumah sebelah masih lagi teres setingkat sementara rumah Encik Rahim ini sudah diubah suai menjadi dua tingkat. Mama juga yang beri cadangan pada papa supaya dibesarkan rumah ini. Kata mama, bila anak-anak balik berkumpul masa raya ke, dapatlah mereka setiap bilik sekeluarga.
Sasha Amira membuang pandangan ke laman rumahnya pula. Di langit, matahari sudah mula memancarkan cahayanya walaupun masih awal. Terang. Dilihatnya pula daun-daun halus dan bunga berwarna kuning yang gugur dari pohon besar di luar pagar jatuh masuk ke dalam laman.
Ops! Muncul pula Puan Damia menyapu halaman rumah sambil bising membebel. Entah apa yang mama leterkan dia tidak dengar butirnya. Cepat-cepat Sasha Amira larikan diri dari jendela. Tingkap itu dirapatkan semula sebelum Puan Damia terdongak ke atas. Manalah tahu kan.
Punggungnya sudahnya dihenyak semula atas katil. Melihat seluruh ruang bilik dengan fikiran kosong. Jantungnya berdebar. Berombak bukan kerana malu mengenangkan mimpi tadi tapi lebih kepada rasa terkejut.
Hai, sampai termimpi-mimpi. Tapi kenapa muka Saif Azrai yang muncul? Kalau bukan si Muslim tu pun, biarlah Aaron Aziz ke, Adi Putra ke yang muncul, best la juga! Ops! Semuanya suami orang.
Tuk! Tuk!
Berganda debaran di hati Sasha Amira bila pintu biliknya diketuk. Segera dia berlari ke pintu bila bunyi ketukan makin kuat. Suara Puan Damia memanggil namanya mencecah telinga. Aik! Baru saja dilihatnya Puan Damia menyapu laman tadi. Cepat benar mamanya itu sudah ke depan biliknya pula.
Muka Puan Damia terjengul di muka pintu sebaik daun pintu dikuaknya.
“Ha, dah bangun pun. Cepat bersiap, pakai baju kurung. Ikut mama lepas ni.” Kerah Puan Damia terus tanpa mukadimah.
“Ha? Nak ke mana pula mama?” Sasha Amira terpinga-pinga. Tiba-tiba saja suruh ikut, pakai baju kurung pula tu. Takkan hendak melawat Saif Azrai lagi sekali kut!
“Ikut sajalah. Jangan banyak tanya. Siap cepat. Mama tunggu dekat bawah. Sepuluh minit!” Puan Damia terus menghilang setelah menayang sepuluh jarinya. Pula dah. Siap bagi masa pula tu.
Sasha Amira memberontak dalam hati namun kaki tangannya kalut juga mengikut rentak Puan Damia. Berlari dia ke bilik air untuk membersihkan diri. Otaknya pula menghitung masa yang masih tinggal.

*******

Ha?
Sasha Amira terpaku bila Puan Damia menyuruhnya beratur di belakang beberapa orang yang sedang mendaftar diri untuk menghadiri kursus pra-perkahwinan. Kursus kahwin? Otaknya berkira-kira. Puas dia melihat keliling. Ramai yang datang mendaftar. Kemudian muka Puan Damia pula ditenung lama.
“Buat apa tercegat lagi dekat sini. Pergilah check nama kamu. Lepas tu, ikut aja kelas yang mereka buat,” suruh Puan Damia lalu menunjuk lagi ke arah kaunter sementara yang dibuka di sebelah bilik yang sudah mula dipenuhi gadis-gadis berbaju kurung. Hampir menangis Sasha Amira di situ. Menyambung tangisnya semalam. Dalam diam, Puan Damia mendaftarkan namanya untuk kursus pra-perkahwinan. Patutlah tergesa-gesa menyuruh Sasha Amira mengikut pagi ini dengan baju kurung.
Huhu... mama....
“Ish, budak ni. Biar mamalah yang tolong daftarkan. Bagi sini IC kamu.” Puan Damia mengerah lagi. Lengan Sasha Amira disinggul berkali-kali. Lambat-lambat Sasha Amira keluarkan kad pengenalannya. Dia masih bingung.
Puan Damia segera beratur di depan kaunter. Sasha Amira masih terpaku dan melihat saja tindakan mamanya itu. Sekali sekala matanya lari melihat orang lain. Ada yang datang dengan kawan sejantina, ada juga yang datang dengan pasangan.
Hmmm.... Perlahan Sasha Amira menghela nafas halus.
Kebetulan masih ada tempat kosong semasa Puan Damia menelefon Puan Yati semalam. Alhamdulillah. Mudah nampaknya perjalanan rancangannya. Lepas ini, terserahlah pada budak berdua itu macam mana. Hendak berkenalan? Tak mahu? Puan Damia tetap akan terus bertanyakan perkembangan mereka nanti hari demi hari. Kalau tak mahu juga, akan Puan Damia cari jalan supaya anaknya berkahwin. Tak kiralah dengan siapa calon pilihannya nanti
“Emm... saya nak check nama Sasha Amira binti Rahim.” Puan Damia memberitahu lalu menghulurkan kad pengenalan Sasha Amira kepada wanita yang menjaga kaunter. Ini agaknya Puan Yati, tekanya sebarang.
Setelah selesai urusan di kaunter, Puan Damia mendapatkan semula Sasha Amira yang tidak berganjak di tengah-tengah laluan. Terpacak macam patung hidup di situ.
“Nah, barang-barang kamu. Sekarang, kamu masuk dalam bilik yang penuh orang tu. Tentatif program ada dalam ni,” Puan Damia memberitahu sambil mengunjuk buku di tangannya. Buku itu berpindah tangan.
“Apa ni, ma?” soal Sasha Amira tiba-tiba. Cemik mukanya dengan sikap Puan Damia. Sedih. Tiba-tiba suruh dia datang ke mari untuk apa? Dia belum nak kahwin lagi!
“Apa pula? Kursus kahwinlah. Alah, bukan nak paksa kahwin. Persediaan aja. Pergilah, orang semua dah masuk tu.” Suruh Puan Damia lagi sambil menampar lengan anaknya.
Cemik lagi muka Sasha Amira. Merajuklah dengan mama macam ni. Mama pula beria-ia suruhnya masuk ke dalam bilik seminar. Hai... dia mengeluh terlebih dulu. Dengan malas, kakinya dihayun perlahan masuk ke dalam bilik yang ditunjukkan. Penuh. Dia mengambil tempat di belakang sekali. Orang di depannya semuanya datang berpasangan. Hai, pilih salah tempat duduk pula.
Dari dalam kelas, Sasha Amira melirik ke luar. Puan Damia masih memerhati di situ. Takut agaknya Sasha Amira cabut lari. Mama... mama. Selepas seorang lelaki lebih kurang empat puluhan dan bersongkok masuk dan berdiri di depan memperkenalkan dirinya dan memulakan ceramahnya, barulah bayang Puan Damia menghilang bila dilihatnya lagi ke luar.

*******

“Hai.” Datang seorang lelaki menegur semasa baru hendak menjamah makan tengah hari. Memang sudah Sasha Amira perasan lelaki itu asyik memandang sejak dari dalam kelas. Perasannya tadi, lelaki itu sudah duduk makan. Tapi tiba-tiba beralih pula di depan Sasha Amira sekarang.
La, buat apa menyemak pula dekat depan ni? Bukan orang dekat sini datang sini sebab dah ada pasangan ke, bukan baru nak cari pasangan dekat kursus kahwin kan.
“Saya Anuar.” Lelaki itu memperkenalkan diri. Anuar? Anuar Zain? Sasha Amira merenung wajah lelaki itu lama-lama. Orangnya kurus tinggi, kulit gelap tapi manis orangnya. Lebih-lebih lagi bila tersenyum. Mengancam. Berkaca mata. Emmm... bukan Anuar Zain. Lantas Sasha Amira mengalihkan semula perhatiannya kepada nasi yang masih belum terusik.
Sambal ayam digaul rata dengan nasi. Baru hendak disumbat ke mulut, suara lelaki bernama Anuar tadi menyinggah lagi ke telinga.
“Nama awak?”
Matanya diangkat merenung lelaki itu seketika. Kemudian dilarikan semula. Soalan Anuar tidak langsung dijawab. Dia malas. Mengikuti kursus pra-perkahwinan ini pun dah cukup buat dia bosan. Bukan dia hendak. Tapi kalau tak ikut sampai habis, mesti tak dapat sijil. Lepas itu, kena pergi lagi sekali. Oh, ngantuknya mata. Tolonglah.
“Kalau awak tak kesah, boleh tak kita berkenalan?”
Lelaki itu menyoal lagi. Kali ini Sasha Amira buat tidak endah juga. Nasi disuap jua ke mulut walaupun tak lalu. Seketika kemudian, datang pula suara perempuan memanggil nama Nuar. Emm... nama lelaki itu agaknya.
“Saya ke surau dulu ya. Nanti jumpa di kelas lepas ni,” suara gadis itu memberitahu. Dalam diam, Sasha Amira curi-curi menjeling perbualan mereka. Mereka berdua tersenyum sesama sendiri. Mesra.
Aik. Dah ada girlfriend pun masih nak cari yang lain? Huh! Dasar lelaki miang. Tak cukup satu! Perempuan tu pun satu, tak marah pula dia boyfriend dia cuba nak tackle perempuan lain. Tak faham betul aku orang zaman sekarang ni! Getus Sasha Amira dalam hati. Yang dia tu, orang zaman mana pula agaknya.
“Apa yang awak fikir tu? Berkerut-kerut dahi saya tengok.”
Sasha Amira tidak senang dengan teguran lelaki itu. Tidak pergi lagi rupanya dia. Anuar tersenyum lagi di depan Sasha Amira.
Oh, tidak. Tolonglah jangan tersenyum macam tu. Awak tahu tak yang senyuman awak tu menawan.
Dia tetapkan jiwa. Tidak mahu tergoda walaupun hakikatnya mudah tergoda. Huhu. Titik pertama yang menyatukan hatinya dengan Saiful Muslim dulu juga kerana sebuah senyuman. Dia seorang yang suka tersenyum. Memujuk juga dengan senyuman. Senang hati melihat senyumannya sampai angau Sasha Amira dibuatnya.
Aduhai. Kenapa masih teringat dia lagi? Dia sudah pun jadi suami orang, Sasha! Jerit hatinya pada diri.
“Awak tak sudi berkawan dengan saya ke?” Suara itu menyingah lagi. Aggh, stres kepala otaknya. Tidak sabar, dia melontar jelingan tajam. Tepat ke mata Anuar. Kalau boleh ditikam dengan pandangan itu, dia akan tikam.
“Bukankah orang yang datang sini semuanya dah berpasangan? Awak tu pun datang dengan bakal isteri kan. Kenapa nak kacau orang lain pula?” Bengkengnya keras. Lepas itu dia sendiri yang malu bila ada mata yang memandang. Segera dia buang pandangan ke tepi kerana malu. Tangan mengetap bibir yang lancang sangat bercakap.
Ya Allah. Kasarnya aku... kerasnya cara aku. Dia malu tapi, apa yang dikata tidak boleh ditarik balik. Kalau perahu, bolehlah diundur.
“Maafkan saya. Saya datang sini sebab ikut kawan saya aja. Bukan sebab saya dah nak kahwin. Tak semestinya nak kahwin baru pergi kursus perkahwinan kan. Saya tengok awak pun seorang. Saya ingat awak pun sama macam saya. Maaflah kalau saya dah kacau bakal isteri orang.” Tenang lelaki itu memohon maaf.
Sasha Amira serba salah mahu mengangkat muka. Bila diangkat mukanya saja, dilihatnya lelaki bernama Anuar tadi sudah bangun dan berlalu pergi. Sasha Amira gumam bibir.
“Anuar!”
Erk! Kenapa aku panggil dia pula? Sasha Amira tergamam sendiri. Bila lelaki itu menoleh, Sasha Amira kian tidak keruan. Keliling pula, makin banyak mata yang memandang. Alah, tolonglah buat hal sendiri aja.
“Ya?”
Alamak. Dia tanya pula.
“Err... err... sorry.” Sasha Amira bangun dan berlalu. Tangannya menekup muka, menahan malu yang teramat sangat.  

*******

Aduh. Lemahnya lutut ni nak datang kelas terakhir untuk kursus pra-perkahwinan di Pusat Belia Antarabangsa. Hari ini hari kedua dan terakhir. Kalau tidak silap, kursus hari ini cuma separuh hari. Aduh. Cepatlah masa berlalu. Bukan tak seronok mendengar ceramah. Boleh tahan juga. Cuma yang tak bestnya hendak melihat pasangan-pasangan yang datang. Huhu... jeles kut aku ni!
Seperti semalam, Sasha Amira ambil tempat di belakang sekali. Masing-masing pun duduk di tempat yang sama. Di depan Sasha Amira juga pasangan-pasangan yang sama seperti semalam. Alamak. Lupa lagi nak tukar tempat duduk.
Kebetulan ada dua tempat duduk di sebelah kanan. Cepat-cepat Sasha Amira beralih ke sebelah. Dia memandang ke pintu. Menanti kehadiran Azlin, gadis yang sempat dia berkenalan semalam. Lebih tepat, peserta kursus yang duduk di sebelahnya semalam. Hampir lima minit merenung ke arah pintu, tengkuknya terasa kejang. Namun Azlin masih tidak kelihatan. Lantas segera tundukkan kepala, mengurut perlahan batang tengkuk yang terasa sengal.
“Assalamualaikum.”
Sasha Amira mengangkat muka apabila mendengar suara lelaki memberi salam. Lambat-lambat dia keluarkan buku nota dan pen sedia di tangan. Tengkuknya ditekan dua tiga kali. Masih belum reda sakitnya.
Oh mak! Berderau darah Sasha Amira bila terlihat Anuar tersenyum di depannya. Lelaki itu duduk di depannya hari ini. Kalut anak matanya beralih ke depan kelas. Tiada siapa. Ingatkan penceramah yang datang hendak mulakan ceramah. Jadinya yang memberi salam tadi, Anuar ke? Soal hatinya sendiri.
“Dosa tau kalau tak jawab salam orang.” Anuar tersenyum-senyum lagi. Sahlah dia yang beri salam tadi. Sasha Amira berdehem sekali. Terasa ketat pula tekaknya tiba-tiba mahu menjawab.
“Jawab dalam hati kira jawab juga kan.” Balasnya perlahan sambil terkial-kial mengalih pandangan ke sana dan ke sini. Sekejap menggaru hujung kening dengan jari-jemarinya. Sekejap membetulkan selendangnya yang sedia kemas. Serba-serbi tidak kena hinggakan Anuar tersenyum melihat reaksi kalutnya itu.
“Err... pasal semalam tu, saya minta maaflah ya. Saya takut nak bercakap dengan tunangan orang. Saya datang sini pun nak sertai kursus, bukan nak cari musuh.” Payah benar rasanya Sasha Amira mahu memandang ke muka Anuar. Bila dipandang muka lelaki itu, kakinya mulalah rasa terketar-ketar. Puas tangannya memegang kedua-dua lutut. Sebab... sebabnya Anuar suka tersenyum. Manis wajahnya dengan senyuman.
“Tak apa. Saya tak ambil hati pun. Emm... entah-entah saya yang tengah bercakap dengan tunang orang kut!” Telah Anuar mesra.
“Eh, mestilah. Saya tunang orang!” Jawab Sasha Amira cepat-cepat sekaligus lelaki bernama Anuar itu sangat jelas wajah tergamamnya. Kemudian dia tertawa pula. Alamak. Kebudak-budakannya aku...
Tidak sempat Sasha Amira membela diri, penceramah sudah masuk memberi salam. Anuar juga dengan serta-merta berpaling ke depan semula. Hai... Sasha Amira mengeluh seraya menghempas kepalanya ke meja.
Apalah jadi pada aku ni? Dua tiga hari ni macam pelik aja. Mimpikan si Azrai tu, lepas tu cakap pula main lepas aja. Apa kena dengan aku? Ish, mama ada bagi aku makan ubat apa-apa ke?
Berpusing-pusing otaknya berfikir macam-macam. Sedang penceramah di depan memberikan kuliahnya, Sasha Amira sikit pun tidak dengar.