Pages

Hi pembaca semua!!!

Terima kasih kerana datang melawat, membaca karya-karya dalam blog ini dan terima kasih juga kepada semua yang menyokong Yuri. Yuri rasa happy sangat dengan kehadiran korang dalam hidup mahupun alam maya Yuri ni.

Segala komen dan sokongan sentiasa dan akan terus membakar semangat Yuri untuk terus berkarya menggunakan nama pena ayu munawer.

Semua karya di dalam blog ini adalah ilusi, imaginasi serta daripada pengalaman hidup. Dan yang paling penting, semua karya di sini adalah hasil karya Yuri. Mohon supaya tiada copycat dekat sini... tqvm

Harap korang terus menyokong dan beri komen mahupun kritikan untuk Yuri memperbaiki sebarang kekurangan.

P/S: Untuk makluman, karya "Dia Si Jantung Hati" akan dihentikan penerbitannya di sini atas sebab rombakan besar-besaran plot cerita. Justeru itu, judulnya juga bakal berubah. Maaf atas sebarang kesulitan. Harap korang setia menunggu dan menyokong hasil rombakannya nanti okey ^^,
"Aku tak suka kau la" kini diterbitkan di penulisan2u dengan tajuk "JIWA KACAU"..saja nk tukar tajuk. Sebb yuri rasa cam lg sesuai je tajuk ni..lebih pendek n ringkas hehe ada ka yuri edit2 skit. Harap u all x kesah nk singgah baca :-)
Sudi-sudilah berkunjung ke official blogshop yuri di http://decodanmakan.blogspot.com yer. Walaupun rupanya masih macam blog biasa, yuri pun masih belajar lagi macam mana nak upgradekannya. Macam-macam ada. Nak tau apa yang ada, kenalah singgah.

Terima kasih (^^,)v

Sunday, March 31, 2013

Sayang Kata Benci: Bab 3


Nampak saja muka Sasha Amira pagi ini, Puan Damia sudah mengulang pesanan yang sama.
“Beritahu pada teman lelaki kamu nanti, mama nak jumpa. Kalau dia tak mahu jumpa, tak seriuslah dengan kamu. Tak payah berkawan dengan dia lagi.”
Sasha Amira diamkan saja. Tangan ibunya disalam seperti biasa sebelum keluar untuk ke kolej. Puan Damia merenung dengan pandangan tajam. Leteran mama juga tidak berhenti di situ. Setiap kali Sasha Amira menolak calon pilihannya, begitulah mama.
“Dengar tak apa mama cakap ni?” Meninggi suara Puan Damia berbanding tadi.
“Nanti ya, ma. Tak eloklah gopoh sangat.”
“Tergopoh apanya. Kamu ni lebih liat daripada akak kamu dulu. Dah dekat 30 tahun dah. Cuba kamu tanya ibu-ibu lain dekat luar sana. Ibu mana yang tak risau bila anaknya tak fikir tentang rumahtangga bila usia dah lanjut. Dulu ibu mama pun dah sibuk suruh mama kahwin masa mama umur 25 tahun. Kahwin lambat-lambat ni susah nak beranak tau. Mama ni nak juga ada cucu yang duduk dengan mama, temankan mama dekat rumah ni. Terubatlah juga kesunyian mama. Ish, kamu adik-beradik sama aja dengan papa kamu. Tak pernahnya nak fikir perasaan mama. Cubalah duduk dekat tempat mama, baru kamu tahu apa rasanya duduk rumah ni.”
Diam. Kasut tumit tinggi dua inci sudah tersarung ke kaki. Sekali lagi Sasha Amira menyambut tangan Puan Damia. Disalam dan dicium entah kali ke berapa.
“Sasha pergi dulu, ma.” Tubuh berpaling lalu menghayun kaki ke kereta. Pintu dibuka dan ketika itulah sekali lagi suara nyaring Puan Damia menerjah telinga.
“Mama ni bukannya memilih sangat calon menantu. Kalau kamu suka, elok perangainya, elok latar belakangnya, elok agamanya, cukup. Mama tak kesah. Kalau kamu suka, bawa jumpa mama. Sebelum kamu cukup 30 tahun, mama nak kamu kahwin. Yang itu, syarat mama! Kalau sebelum tu kamu tak bawa calon suami jumpa mama, kamu kena ikut cakap mama. Kahwin dengan pilihan mama!”
Pula dah! Sasha Amira terkira-kira. Sebelum cukup 30 tahun? Alamak! Masalah dah datang lagi. Sekarang sudah bulan Oktober. Umurnya akan genap 30 tahun pada 1 Januari nanti. Aduh, kenapalah mama lahirkan aku cepat sangat?

*******

Aduh. Kalau tadi kebas telinga dileteri Puan Damia sejak semalam, hari ini rasanya bagai hampir bernanah. Oh, tidak. Kalau sudah melibatkan along ni memang drastiklah tindakan mama. Memang mama hendak sangat Sasha Amira mendirikan rumahtangga. Macam tiada kompromi nampaknya.
Aghhh! Tidakkkkkkk!
“Kenapa degil sangat ni, dik? Bukan mama suruh bunuh diri, mama suruh kahwin. Susah sangat?” Suara Suhana Azreen bergegar di talian. Masih segar semua cakap Puan Damia semasa menelefonnya semalam.

“Kalau mama tak telefon, tak adalah nak dengar suara anak-anak ya. Semuanya tunggu mama yang telefon. Tak seorang pun nak ingat orang tua ni. Apatah lagi nak tanya khabar. Sihat ke sakit ke orang tua dekat sini. Ni, mama telefon nak minta kamu nasihat sikit adik kamu yang liat sangat nak suruh kahwin tu. Ikut perangai kamulah agaknya. Mama ni dah letih carikan calon suami baik-baik untuk dia. Sudahnya mama juga yang malu. Kali ni mama tak mahu nak dengar cakap anak-anak lagi. Jadi, kamu tolong cakap sikit dengan dia. Biar dia ikut cakap orang tua.”

Menitis air mata Suhana Azreen bila diterjah amarah Puan Damia sebaik menjawab panggilan. Dulu masa angah nak kahwin pun begini gayanya. Pada Suhana Azreen juga Puan Damia lepaskan tekanan dan marah. Sebab calon hati Zafuan bukan calon menantu pilihan Puan Damia. Bukan main marah lagi Puan Damia ketika Zafuan memberitahu yang dia hendak menikahi Ainuur, bukan Siti Sarah anak Mak Long yang mama mahu calonkan dengan Zafuan.
“Terima sajalah calon pilihan mama tu. Takkanlah mama nak kahwinkan dengan lelaki tak baik.”
“Masalahnya kak, Sasha tak kenal pun lelaki tu.”
“Sebab kamu tak kenal la, mama kenalkan. Jadi, janganlah terus tolak mentah-mentah. Apalah salahnya kamu ikut cakap mama kali ni. Cuba kenal dengan lelaki tu. Kalau tak serasi, barulah tolak cara baik. Along tak tahanlah kalau mama asyik marah along pasal hal adik-adik aja. Along ni pun ada perasaan, dah besar panjang. Ada suami, anak-anak yang nak dijaga.”
Huh! Akhirnya Sasha Amira hempas nafas panjang. Kalau terus macam ini memang bernanah sungguh telinganya. Tidak adil rasanya kalau along juga mahu luahkan marah terhadapnya.
“Along dulu pun kahwin ikut pilihan mama. Bahagia juga. Kalau adik dah ada pilihan sendiri, beritahu mama. Kenalkan pada mama, jangan sorok-sorok. Mama tu tak akan nak berleter kalau adik ikut cakap dia. Sekali sekala dengarlah cakap orang. Kesianlah dekat along ni juga.”
Senyap.
“Adik dengar tak apa yang along cakap ni?”
“Emm... dengar. Sasha tengah memandu nak ke kolej ni, long. Nanti Sasha fikirkan ya...”
“Fikir tu jangan lama-lama. Kalau mama suruh kenal tu, kenal aja dulu. Sedapkan hati orang tua tu. Ingat pesan along ni.” Sasha Amira menyahut. Tidak lama Suhana Azreen lekas memberi salam dan memutuskan talian. Teringat pula syarat mama pagi tadi. Syarat yang berbau ugutan.
Woah! Nampaknya mama betul-betul serius. Entah kenapa pula dengan mama aku ni? Aduh, masak aku macam ni. Mana aku nak cari laki?

*******

“Assalammualaikum encik. Saya nak jumpa adik saya sekejap. Dia tertinggalkan buku...” Saif Azrai memberitahu pegawai keselamatan yang bertugas sambil menunjuk buku di tempat duduk sebelah. Pegawai keselamatan tersebut memembongkokkan tubuh. Matanya menjengah ke arah buku yang ditunjuk Saif Azrai sekilas.
“Adik encik pelajar fakulti mana?”
“Fakulti Perniagaan dan Perakaunan.”
“Nama adik encik?”
“Emm... Sasha Amira binti Rauf.” Aduh banyak pula soalannya. Nasib baik semuanya sudah diberitahu oleh Puan Damia. Kalau bab binti itu, tak apalah. Bukannya pegawai keselamatan itu hafal semua nama pelajar. Kalau dibuatnya diminta kad pengenalan Saif Azrai, sah-sah namanya bin Rauf. Nampak sangatlah bohong kalau Sasha Amiranya binti Rahim!
“Boleh minta IC? Encik kena tinggalkan IC untuk rekod kami.”
Ha, kan betul. Dah agak dah. Nasib baik aku ni bijak! Saif Azrai puji diri sendiri. Sementara pegawai itu kembali ke pondok keselamatan, Saif Azrai menyeluk poket belakang seluar. Kad pengelanan ditarik keluar daripada dompet dan diserahkan kepada pegawai tadi. Pegawai itu membelek-belek sekejap kad pengenalannya. Kemudian, dia menulis sesuatu atas sebuah kertas yang dibawanya bersama. Tidak lama menunggu, Saif Azrai diberi sekeping pas masuk dan pintu pagar dibuka untuknya memandu masuk.
Yes! Langkah pertama berjaya! Boleh tahan tegas juga pegawai keselamatan muda ni. Macam-macam pula yang dia tanya. Nasib baik lepas. Sempat Saif Azrai merungut dalam hati.
Saif Azrai melihat-lihat luar. Sepanjang parkir dekat bangunan utama dia ronda, mencari kereta MyVi berwarna kuning milik Sasha Amira. Nombor pendaftarannya tidak ingat pula. Aduhai. Besar juga kampus ini hendak dipusing merata kawasan. Habis pusing, tiada satu pun MyVi kuning yang kelihatan. Belum datang agaknya. Bagus.
Saif Azrai masuk ke kawasan parkir utama. Nampak seperti peluang lebih cerah untuk ketemu kereta milik Sasha Amira kalau dia menunggu di sini. Lantas dia mencari kotak parkir kosong. Cantik. Ada satu dekat dengan laluan utama. Nasib memang menyebelahinya. Sah-sah mereka memang ada jodoh. Dari dalam kereta dia menanti dan memerhati. Kalau nasib menyebelahi, pasti dia boleh nampak kereta Sasha Amira.
Alah, MyVi kuning. Berapa sangatlah dalam KL ni. Saif Azrai penuh yakin.
Ha! Baru sekejap rehatkan kaki dari memijak pedal sudah muncul MyVi kuning lalu depan mata. Anak matanya mengekor pergerakan kereta itu tidak berkelip.
Alah, janganlah parking jauh-jauh cik akak oi. Susah aku nak nampak.
Kereta itu berhenti di barisan belakang keretanya. Dia tekun melihat dai cermin pandang belakang. Seketika kemudian, keluar seseorang lelaki saiz XL dari bahagian pemandu.
Aik! Abang dia ke? Ke boyfriend dia? Saif Azrai meneka-neka. Dia terus menanti dan menanti. Lelaki itu membuka pintu belakang dan mengeluarkan beberapa barang. Kemudian berlalu pergi meninggalkan keretanya. Bukan rupanya. Lantas Saif Azrai menarik nafas lega.

*******

Ha! Muncul lagi MyVi kuning selepas setengah jam menunggu. Ini kali kelima dan kali ini dia sudah tidak seteruja awal-awal tadi.
Banyak pula MyVi kuning dalam kolej ni. Macamlah tak ada warna lain. Huh, kalau perempuan tu pakai kereta hitam lagi parah aku nak cari! Aik! Dia parking sebelah akulah.
Saif Azrai jeling sebelah. Perempuan. Tiga orang semuanya. Gadis yang duduk di tempat pemandu keluar. Saif Azrai dapat melihat wajah itu. Wow! Memang dia. Berbunga hatinya sekejap. Cepat dia berpaling bila mata gadis itu seakan singgah ke arahnya. Pura-pura bersiul sambil mengetuk-ngetuk stereng kereta dengan jari. Itu cara lama untuk mengelak tapi masih terbukti berkesan.
Diperhatikannya tiga gadis tadi berjalan dari belakang keretanya hinggalah ke depan. Saif Azrai turunkan cermin mata hitam dari mata. Muka gadis berbaju kebaya pendek yang dipadankan dengan slack fit cut itu cuba diperhatikan. Tidak puas untuk mahu melihat wajah itu. Tapi hampa bila gadis itu langsung tidak menoleh ke kiri mahupun kanan.
Sakit tengkuk agaknya. Tu yang kepala tegak aja ke depan. Tekanya selamba.
Dia keluar dari kereta setelah bayang tiga gadis pingitan tadi tidak lagi kelihatan. Berjalan ke belakang kereta MyVi milik Sasha Amira. Iphone dikeluarkan, fokus dan klik! Baru satu gambar diambil, dia sudah melonjak gembira. Lepas ini, dia tidak akan lupa lagi nombor plat kereta Sasha Amira.
Brit! Brit!
Ops! Terkejut beruk Saif Azrai baru saja hendak membelek gambar nombor plat Sasha Amira, Iphonenya pula berbunyi nyaring. Muncul nama Izi Helmy di skrin bikin hati dia rancak berbunga semula. Tak sabar hendak kongsi cerita dengan Izi Helmy, sepupu seperangai, sekepala.
“Ha, ada apa? Kacau daun betul la!”
“Wow! Garangnya buah hati aku hari ni...”
Heuw! Buang tebiat ke apa sepupu aku ni? Geli anak tekak ni dengar tau.
“Banyaklah kau punya buah hati. Apasal? Patah hati dengan Aina sampai nak jadi gay pula ke? Kalau dengan aku sorry la bro. I’m a real man okey. Aku suka perempuan aja!”
“Huish! Selisih malaikat empat puluh empat! Aku pun lelaki sejati juga, ingat kau seorang? Ni, aku nak minta tolong kau sikit. Pasal kertas kerja untuk dapatkan kontrak projek renovation dekat Gleneagles tu.”
Huh! Mamat ni kalau cari aku mesti ada hal. Saif Azrai masuk semula dalam perut kereta. Panas mula terasa setelah terpacak lama di luar.
“Alah, pasal tu kau tengoklah requirement yang dia minta. Follow aja. Bukan susah sangat.”
“Alah, kapten. Kau cakap senanglah sebab selama ni kau yang uruskan pasal proposal ni semua. Tiba-tiba aja kau letak atas tangan aku. Haru jugalah aku nak buat. Dahlah tinggal seminggu aja tarikh tutupnya. Macam ni, mahunya tidur dekat pejabat. Tak ada masa la aku nak berdating.”
“Ingat nak jumpa buah hati aja. Kerja kacang pun nak suruh aku ajar. Cari perempuan tak payah ajar.” Ambik kau! Seronok hati Saif Azrai dapat mengutuk sepupu sendiri. Selama ini Izi Helmy saja yang rajin sangatlah berceramah padanya. Mentang-mentanglah orang tu dah ada buah hati. “Okeylah my lovely cousin, aku sibuk sekarang ni. Esok lusa, tengoklah kalau aku lapang, aku tolong ajar. Bye...”
Izi Helmy merenung telefonnya bila talian terputus. Dia mengeluh hampa. Esok lusa? Itu pun kalau lapang? Habislah dia. Sah Saif Azrai tidak akan datang membantu. Terpaksalah Izi Helmy cari jalan penyelesaian sendiri. Sudahlah tidak mahu tolong. Kutuk orang lagi. Dia itu pun dua kali lima juga, tak sedar agaknya. Sabar sajalah.

Saturday, March 30, 2013

Sayang Kata Benci: Bab 2



“Kau memang tolak tuah la Sasha!”
Sasha Amira hanya tunjuk muka toya apabila kata-kata itu dilontarkan kepadanya oleh Intan Nazira, teman rapatnya sendiri. Sedikit pun Sasha Amira tidak ambil peduli. Apatah lagi terasa hati. Kawan baiknya yang seorang ini memang mirip Puan Damia. Nampak saja silap Sasha Amira. Tidak macam Zaimah, kawannya yang seorang lagi yang selalu sekepala dengan Sasha Amira.
“Ada ke patut kau pergi tolak semua calon-calon suami yang mak kau perkenalkan? Lepas tu, mengaku dah ada calon hati sendiri?” tujah Intan Nazira lagi. Terkejut dia mendengar cerita Sasha Amira masa tutor tadi. Habis saja tutor, terus saja Intan Nazira sambung leter. Sedangkan Sasha Amira boleh selamba saja seperti biasa. Entah sampai bilalah kawannya itu tidak mahu ada komitmen dengan seorang yang bergelar lelaki.
Bukan setakat selamba, malah boleh pula Sasha Amira tayang muka bangga dengan akalnya yang konon berjaya menggagalkan niat baik Puan Damia. Itupun kalau Puan Damia percaya. Kalaulah Intan Nazira berada di tempat Sasha Amira, yang mana ibunya asyik memperkenalkan lelaki-lelaki hebat, tidak payah dipaksa Intan Nazira memang rela berkahwin. Tidak payah Intan Nazira asyik berangan-angan mahu menambat kumbang diraja seperti sekarang.
“Entah-entah kau ni dah tersangkut mamat bangla yang jadi cleaner tu eh, sebab tu semua calon yang mama kau perkenalkan kau tolak!” Tempelak Zaimah lalu terkekek-kekek ketawa. Kelakar sangatlah tu. Bulat mama Sasha Amira memandang Zaimah. Pandai-pandai aja minah ni.
“Kalau mama kau suruh kau kahwin cepat macam mana?” soal Intan Nazira lagi menyambung semula syarahannya.
“Alah, kan mama aku memang nak suruh kahwin.”
“Ha, jadinya?
“Jadi apanya?” Sasha Amira masih tayang muka seposennya depan Intan Nazira. Wajah Intan Nazira pula yang berkerut seribu melihat sikap Sasha Amira.
So, mana kau nak cekup laki nak buat suami mak cik oi!” Pantas Intan Nazira menyoal terus-terang.
Kisah pasal Puan Damia hendak Sasha Amira naik pelamin bukan setakat baru-baru ini heboh antara mereka tiga sekawan. Tapi sejak dua tahun lepas Intan Nazira mendengar cerita Sasha Amira yang terpaksa bertemujanji dengan lelaki-lelaki pilihan orang tuanya. Tambah-tambah bila sudah lama rumah mereka tidak berseri dengan majlis walimatul urus. Cucu pula sudah berderet. Bila lagi mahu melihat anak dara bongsu mereka naik pelamin. Kalau sudah Sasha Amira mengaku sudah berpunya, sudah tentulah Puan Damia akan cepat-cepat menyuruhnya berkahwin pula. Itu Intan Nazira sangat pasti!
“Dah kau mengaku ada boyfriend. Dah tentulah mama kau nak kenal, minta kau kenalkan dengan orang tua.
“Alah, kau tak payahlah nak risau bagi pihak aku pula. Kalau setakat boyfriend belum tentu nak tayang kat mama dan papa. Itu macam dah sedia nak kahwin. Aku ni kan pelakon. Pandai-pandailah aku nak jawab nanti. Lama-lama senyaplah mama aku tu,” jawab Sasha Amira mudah.
“Pelakon?” Intan Nazira hampir tergelak. Tidak habis-habis kawannya itu mengaku pelakon terbaik. Bangga benar dia dengan cerita zaman tadikanya itu. Pernah jugalah Intan Nazira tengok gaya lakonan Sasha Amira sebelum ini. Masa makan malam meraikan senior tahun terakhir, tahun lepas. Budak-budak batch mereka sibuk nak buat lakonan. Kalau nak dinilai, emm... tak adalah pandai benar kawannya itu berlakon. Keras macam kayu juga. Tapi mengaku pelakon terbaik. Hai... balik-balik itu yang dijadikan modal sebagai alasan bila dia tidak mahu memikirkan soal perkahwinan yang diatur Puan Damia. Pada teman, diluah semua cerita. Bila dinasihatkan supaya ikut saja kata mamanya, itu pula alasan dia. Sasha... Sasha.
“Yalah... pelakon. Walaupun dah lama tak berlakon, tapi bakat tu masih ada tau!”
Intan Nazira mencebik bibir. 
“Aku ni muda lagilah. Buat apa tegopoh-gapah nak kahwin. Mama aku tu aja yang tak sabar nak dapat menantu baru!”
Excuse me! Yang muda lagi tu kami. Kau tu dah 29 tahun. Awal tahun depan kau dah nak masuk 30 tahun. Nak dibandingkan dengan kami ni, tolak dua tiga jari ni, boleh kira sepuluh tahun bezanya. Tak sedar ke?” Intan Nazira menayang jarinya ke depan. Ikut hati mahu saja dipamer terus kad pengenalan betul-betul depan muka Sasha Amira. Biar dia lihat beza umur mereka hingga juling mata.
Kasihan. Perasan muda rupanya kawan aku ni. Getus Intan Nazira dalam hati.
“Ak’ah... betul juga! Kau satu semester dengan kita orang ni pun sebab kau asyik tukar course aja kan. Satu course pun tak pernah habis!” tempelak Zaimah sekaligus menyokong kenyataan Intan Nazira tadi.
“Memang patutlah mama kau tu beria-ia nak kau kahwin.” Intan Nazira menyampuk lagi. “Sekurang-kurangnya ada jawatan yang paling sesuai untuk orang yang tak pernah nak habis belajar macam kau ni. Jadi suri rumah, jaga makan minum laki kau!”
Zaimah sudah gelak sakan mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Intan Nazira. Namun Sasha Amira sekadar mencebik. Segala cakap Intan Nazira terus diambil ringan. Balik-balik kahwin. Sasha Amira sudah mual mendengar perkataan itu. Buat-buat tidak dengar lebih baik daripada dia muntah sudahnya gara-gara topik itu nanti.
“Sha, sampai bila kau nak mengelak macam ni? Takkanlah kau nak tunggu kerepot baru kau nak ikut cakap mama kau tu supaya kahwin? Masa tu nanti, aku berani kerat jarilah beb. Tak adanya laki yang nak kau lagi masa tu!”
“Ish, kau ni membebel ajalah...” rungut Sasha Amira lalu lekas bangun. Telinganya digosok berkali-kali sambil tayang muka bengang di depan Intan Nazira. Hai, banyak pula cekadak makcik ni. Ingatkan dah habis tadi. Meleret-leret pula dia. Tahulah yang dia tu jaguh debat dekat kuliah. Banyak pula idea dia!
“Kau, kalau nak teruskan hujah-hujah pidato kau tu lebih baik lepaskan dekat depan pokok tu. Sekurang-kurangnya pokok tu akan balas bila angin bertiup kencang nanti. Aku malas nak dengar. Aku nak cau dulu!” Sasha Amira menunjuk ke arah sebatang pokok di luar kolej sebelum dia mengangkat kaki meninggalkan Intan Nazira dan Zaimah.
“Eh, kau nak pergi mana tu?” terus saja Zaimah menyoal sebaik melihat Sasha Amira sudah pergi. Dilihatnya jam, masih terlalu awal untuk kuliah seterusnya. Masakan Sasha Amira mahu masuk kuliah seawal ini? Selalunya awal seminit pun tidak pernah. Memang muka dia saja yang datang lewat.
“Lapar perut aku kena leter. Nak cari makanlah!” Sasha Amira memekik selamba. Sedikit pun dia tidak menoleh ke belakang dan terus menghayun langkahnya agak perlahan. Saja hendak makan angin.
“Nak ikut! Nak ikut!” Pantas betul reaksi Zaimah bila disebut tentang makan. Walau baru saja dia menyuap dua biji pau daging sebelum tutor Encik Razak bermula, bila disebut tentang makan terus saja perutnya berlagu.
Terkedek-kedek Zaimah berlari mengejar Sasha Amira. Sebenarnya bukan mahu mengejar Sasha Amira tapi makanan yang Sasha Amira cari itu yang mahu dikejarnya. Sudah terbayang bermacam jenis menu di fikiran Zaimah. Entah makanan apa yang dicari Sasha Amira. Mungkinkah makanan segera McDonalds atau ke The Mines yang tidak jauh dari kampus mereka? Zaimah sudah menelan liur.

*******

Aduhai... kebas rasanya telinga Sasha Amira hari ini. Baru saja dengar leteran Intan Nazira yang berjelar-jelar tadi. Sampai dalam kereta dia membebel macam mak nenek. Ikutkan hati mahu saja ditinggalkan Intan Nazira di tengah-tengah jalan. Sasha Amira bagi tumpang dan hantar sampai ke rumah itupun sudah cukup untung. Tapi dia pula yang menyesakkan telinga Sasha Amira yang kecil ni.
Balik ke rumah pula, tak sempat dia pijak lantai rumah. Baru saja daun pintu diselaknya suara Puan Damia terus menyinggah ke telinga. Terkejutlah juga bila lihat Puan Damia sudah bercekak pinggang di depan pintu.
Fuh, semangat. Nasib baik tak ada sakit jantung anak mama ni.
“Apa yang kamu dah buat tadi? Kamu tahu tak yang kamu dah malukan mama? Hajah Kistina tu bukan calang-calang orang. Keluarga mereka tu orang yang dihormati. Anak dia pun berpelajaran. Belajar sampai ke UK. Mama baru nak kenalkan dengan kamu, kenapa kamu buat hal pula?” Puan Damia sudah naik angin sebaik terlihat muka Sasha Amira. Memang sudah lama dia menanti kepulangan anaknya itu. Plan B perlu dilunaskan bemula saat ini.
Sasha Amira tayang muka tenang. Tangan Puan Damia dicapai lalu dicium. “Maaflah mama. Sasha memang ada kelas tadi. Kan awal-awal lagi Sasha dah beritahu. Mama kata nak minum sekejap aja. Orang ajak lepas kelas, mama tak nak...” Sasha Amira pula merungut.
Puan Damia mencekak pinggang apabila anak perempuannya itu menjawab. Geram di hati menjadi-jadi apabila mengenangkan hal yang berlaku di restoran tadi. Kemudian dia menghempas keluhan halus. Yalah, yalah. Memang salah mama. Kalau tahu jadi begini, diajaknya lepas anaknya itu habis kelas. Tapi tak apalah. Dalam diam, rancangannya sudahpun bermula. Sasha Amira saja yang tidak tahu. Jadi, sekarang Puan Damia kenalah pura-pura berlakon.
Helo pelakon terbaik, ingat mama kamu ni tak tahu berlakonkah?
“Kalau nak dibandingkan dengan dinding ni, tebal lagi muka mama gara-gara tindakan kamu tau. Bila sebut hal kahwin, macam-macam alasan yang kamu bagi. Sekarang pula dah pandai mengaku ada boyfriend. Calon-calon yang mama kenalkan, kamu tak suka. Ha, macam mana boyfriend kamu yang kamu suka sangat tu? Siapa namanya? Bila nak tunjuk pada mama?”
Kalau betul anak daranya itu sudah berpunya, legalah Puan Damia. Tapi biarlah kena pada masanya hendak diperkenalkan padanya. Kalau diberitahu awal-awal, tidaklah Puan Damia berjanji dengan Hajah Kistina. Sekarang pula anaknya itu boleh menayang muka tidak bersalah. Bukannya dia tidak nampak Puan Damia mencekak pinggang dengan suara begetar.
“Emm... nantilah ma. Kan Sasha dah beritahu yang kami baru kenal. Nampak macam desperate sangat Sasha ni nanti.”
Puan Damia mengherotkan bibir. Faham benar dia alasan yang diberikan Sasha Amira. Tak adalah tu, sebab tu tak mahu kenalkan. Puan Damia tidak mahu beri peluang. Katanya perlu dituruti kali ini.
“Kalau dah ada teman lelaki sangat, suruh dia masuk meminang cepat. Tak payah nak bercinta lama-lama. Mama dengan papa dulu pun lepas kahwin baru nak bercinta. Sebelum kahwin, bukannya kenal!”
Sasha Amira menghempas keluhan halus. Sudah berkali-kali Sasha Amira mendengar cerita cinta mama dan papanya dari mulut Puan Damia sendiri. Masakan Puan Damia mahu Sasha Amira juga mengikut rentak orang tuanya. Mengikat tali perkahwinan dengan pasangan pilihan keluarga. Jika ditanya pendapat Sasha Amira, sudah tentu jawapannya tidak. Sasha Amira tidak rela!
“Mama, Sasha belum bersedia nak kahwin lagi. Bercinta lama sikit apa salahnya. Dapat juga kenal hati budi masing-masing.” Sasha Amira membuah alasan. Sedangkan teman lelaki juga dia tidak miliki. Hendak diharapkan teman lelaki yang dia sebut-sebut depan mama, entah macam mana hendak diperkenalkan pada mama kalau orangnya memang tidak wujud? Kalau Puan Damia tahu akan hal sebenar, masak Sasha Amira kena leter. Lepas itu terpaksa menghadap calon-calon suami pilihan Puan Damia seterusnya. Tidak!!!
“Kalau nak tunggu kamu tu cakap yang kamu dah sedia nak kahwin, sampai mama kerepot pun kamu tak mahu-mahu juga kahwin. Buat apa nak kenal lama-lama. Kalau dah suka, ha kahwin aja.” Bidas Puan Damia keras.
Senyap.
“Sampai bila kamu nak membujang?” Puan Damia menyambung. “Kamu tu bukannya muda lagi. Dah tua bangka! Kalau kahwin dah ada anak empat. Entah-entah sepuluh!” Senyap sekejap. Sementara anak perempuannya membatu di depan pintu. Menekur ke lantai tanpa sepatah kata lagi selepas jawapan terakhirnya tadi. Tapak kakinya pula mengeser-geser lantai sekejap ke depan, sekejap ke belakang. Ke kiri dan ke kanan.
“Kamu tu perempuan. Kita orang perempuan ni makin tua makin tak laku. Takkan kamu nak jadi anak dara tua. Belum ada keturunan kita yang jadi andartu lagi. Kakak abang kamu semuanya kahwin bila usia mereka pertengahan 20-an. Abang kamu yang lelaki tu pun kahwin awal. Tak payah mama susah-susah nak carikan calon.”
“Alah, abang tu miang. Sebab tu belum habis belajar lagi dah sibuk nak kahwin,” gumam Sasha Amira perlahan. Namun masih dapat didengar Puan Damia.
“Ha! Menjawab!” Terus saja suara Puan Damia meninggi semula. “Orang berleterkan dia, dia pula mengutuk abang sendiri. Kalau dah abang kamu miang, yang kamu tu apa pula? Dah nak masuk 30 pun masih tak ada calon suami.”
“Mama janganlah risau. Ada jodoh kami nanti, Sasha kahwin.” Cepat-cepat Sasha Amira menjawab sebelum Puan Damia meneruskan bebelannya. “Sasha masuk bilik dulu, ma.” Lantas dia segera menghayun kaki ke tangga untuk ke tingkat atas.
Puan Damia memerhati anak perempuannya dengan riak marah. “Ha, itulah kamu! Asal cakap pasal kahwin aja nak mengelak. Kalau kamu serius dengan teman lelaki kamu tu, bawa dia jumpa mama dengan papa. Kenalkan betul-betul pada kami ni! Tak payah nak sorok-sorok!” Puan Damia meneruskan leterannya walaupun bayang Sasha Amira sudah lesap.
“Apalah liat sangat anak aku seorang ni. Entah apalah dosa aku dulu... dapat laki, sibuk memanjang. Anak-anak yang lain pun jarang sekali nak nampak muka. Nak balik setahun sekali pun payah. Telefon pun jarang. Yang seorang ni pula, degil. Belajar tak pernahnya habis. Asyik-asyik tukar jurusan. Suruh kahwin pula tak nak kahwin. Kalau dah rasa malas nak belajar, kahwin ajalah. Bila dah kahwin, ada anak, adalah juga teman aku dekat rumah ni. Tak adalah sunyi sangat...” Puan Damia mengeluh panjang.
Anak Puan Damia bukannya ramai macam saudara-mara lain, sampai enam tujuh orang. Tiga orang saja. Yang sulung, perempuan. Suhana Azreen namanya. Kerjanya sebagai guru Sains di sekolah rendah. Dulu mengajar di KL. Suaminya, Mazlan anak sepupu Puan Damia juga berkerja di syarikat swasta di area Selangor saja. Dua tahun lepas mereka berkahwin, Mazlan pula dapat panggilan kerja kerajaan di Kedah. Tidak tahan hidup jarak jauh dengan suami, Suhana Azreen pula minta tukar sekolah ke Utara. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jarang sekali mereka balik ke rumah ini, menjenguk Puan Damia. Dulu ada jugalah sekali sekala mereka balik masa cuti sekolah. Bila anak-anak mula membesar, melayan pula kerenah anak pergi bercuti. Hari raya, dua tahun sekali baru balik. Puan Damia dan Encik Rahim pula yang pergi ke Perak bila Suhana Azreen beraya di rumah keluarga si suami.
Bila Zafuan, anak kedua Puan Damia kahwin pula, Encik Rahim sudah tidak mahu lagi beraya di Perak. Tidak adil katanya kalau rumah besan yang seorang lagi tidak diziarah. Hendak berlaku adil, dia rela buka kilang cetaknya waktu hari raya. Hai, suaminya itu pun satu. Kenapalah tidak dibawa saja Puan Damia ini ziarah kedua-dua belah keluarga besan. Zafuan juga sama saja dengan kakaknya. Asyik lebihkan keluarga isteri. Puaslah emaknya ini telefon menyuruh balik. Tiada cutilah, anak sekolah la, macam-macam alasan.
Yang bongsu pula, lebih memeningkan kepala Puan Damia. Sasha Amira. Masa sekolah, sibuk bercinta. Habis tingkatan lima, katanya hendak sambung diploma kulinari. Tapi tidak ditamatkan pengajian. Dia bertukar pula ke bidang Sains Komputer. Separuh jalan juga dan kini mengambil pula kursus diploma perakaunan. Yang hairannya, umur sudah lebih 20 tahun, tak ada pula anaknya yang seorang ini bercinta. Teman lelakinya waktu sekolah dulu juga tidak tahu khabar berita. Cinta monyet pun kata orang. Tapi sekarang, umurnya makin lanjut. Ibu manalah yang tidak risau. Bersusah-payah Puan Damia mencarikan calon sejak beberapa tahun lepas. Tapi semuanya tidak berkesudahan ke jinjang pelamin.
Hai... Puan Damia menarik lagi nafas panjang. Kemudiannya kepala Puan Damia digeleng beberapa kali serentak menghempas nafas yang memberat. Telefon bimbit milik Puan Damia lekas diraih dari atas meja di ruang tamu. Nombor anak sulungnya dicari-cari.

Friday, March 29, 2013

Sayang Kata Benci : Bab 1


TADAA!!! 'SAYANG KATA BENCI' adalah rombakan cerita 'Dia SI Jantung Hati'. Selamat membaca. Sokongan dan komen anda sangat yuri hargai..wokeh ^_^


Hello, my sunshine. What a suprise!” Segera Saif Azrai bangun dari kerusi dan menyambut Qayreena yang muncul depan pintu pejabatnya. Senyum tersungging dibibirnya, membalas senyuman manis yang dilemparkan bibir delima Qayreena khas buat dirinya.
Matanya menjeling sekejap ke luar. Lekas pintu biliknya yang separuh terbuka ditutup rapat sebelum Haji Rauf nampak kelibat Qayreena di sini. Biliknya dengan Haji Rauf merangkap Pengarah di firma ini bukannya jauh. Cuma dibezakan tidak sampai sepuluh langkah. Setentang dengan biliknya pula, bilik Izi Helmy. Sepupu yang pernah seperangai dengannya tetapi kononnya sudah berubah untuk memikat hati si buah hati. Almaklumlah. Terpikat dengan anak seorang ustaz. Dunia hiburan, berfoya-foya dengan ramai perempuan sudah tiada dalam kamus hidupnya.
Bagi Saif Azrai yang masih kosong hatinya, dia bukannya kaki perempuan. Oh tidak! Dia tidak mengaku. Cuma hendak memilih suri yang bakal mengisi kekosongan hati ini. Kalau sudah namanya memilih, mestilah hendak banyak pilihannya. Itu kata Saif Azrai.
Pinggang Qayreena diulit mesra dan dibawa duduk di sofa kulit setentang dengan meja kerjanya. “Buat apa you datang office I ni?”
“I rindu dekat you. Nak ajak you lunch nanti. Kenapa, tak boleh datang?” Qayreena menjawab manja. Sesekali bahasa tubuhnya juga dilentok sama. Wow! Bergetar jantung yang melihat. Dengar suaranya yang manja itu saja sudah bikin hati Saif Azrai hampir gugur.
Meleret senyum Saif Azrai sampai ke telinga. Bila Qayreena merapati, jiwanya makin bergoncang. “Bukan tak boleh tapi... tak privacy...” balasnya dekat ke muka Qayreena. Lantas gadis itu tersipu malu. Wajahnya dilarikan. Terasa hangat pipinya dibawa jemari Saif Azrai menghadap semula menghadap wajah lelaki itu.
You look gorgeous today.” Dia memuji. Makin kembang hati Qayreena dengan bunga setaman apabila mendengar pujian itu. Namun, kembangnya tidak lama. Seketika berombak kencang. Mata mereka bertaut. Tidak tahan malu, pandangan pula yang dilarikan kali ini.
Alahai. Malu-malu kucing pula. Ni yang makin suka ni! Getus Saif Azrai nakal.
Qayreena. Gadis tinggi lampai, pinggang ramping ala-ala model Project Runway. Wajahnya berbentuk ‘V’, berkulit mulus dengan bibir merah delima. Fuh, perfect! Nak tambah kesempurnaannya, dia merupakan pewaris tunggal SME Holdings, syarikat makanan segera yang berjaya menyanyingi syarikat antarabangsa yang lain. Jadinya, duit perempuan ni memang berkepuk tak terkira dalam akaun bank dia. Sayang seribu kali sayang. Hampir sempurna ciri-ciri Qayreena sebagai wanita paling sempurna. Tapi pendidikannya pula yang kurang menyerlah. Setakat belajar hingga Sarjana Muda Pengurusan Peniagaan, tapi sayangnya Qayreena tidak menamatkan pelajarannya. Kononnya dasar anak manja. Susah sikit, terus berhenti. Tapi disebabkan rupa cantik dan harta menggunung, bolehlah juga Qayreena dijadikan sebagai simpanan dalam senarai isteri pilihan Saif Azrai.
“Bilik I ni tak ada siapa boleh masuk. Bolehlah dikira privacy juga. So, you janganlah risau.” Jari-jemari Saif Azrai yang panjang sudah mula berjalan-jalan atas pipi Qayreena. Gadis itu juga sudah berani menolak anak matanya semula menghadap Saif Azrai. Seminit. Dua minit mereka bertentang mata.
Britt! Britt!
“Astaghfirullahalazim!” Lantang suara Saif Azrai mengucap bila Iphone bergegar dalam kocek seluar.
Aisey. Macam mana boleh lupa keluarkan dari kocek? Kacau daun betul! Erk! Dia terkedu saat melihat nama yang tertera di skrin.
“Sekejap ya, sayang. You jangan lari mana-mana tau!” Sempat dia menyampaikan pesanan sebelum berlari ke luar bilik. Rapat saja pintu ditutup, dia menjawab panggilan yang masih berdering.
“Helo, asalammualaikum mama. Kenapa mama telefon Azrai tiba-tiba ni?” Sopan Saif Azrai menuturkan bicara bila Hajah Kistina yang menelefon. Anak maklah katakan. Kalau di depan mama, baiknya macam anak soleh. Di belakang mama, ya ampun. Tahu-tahu sendirilah kau Azrai.
“La, kenapa? Nak telefon anak sendiri pun salah? Kamu ada mesyuaratkah?”
“Tak ada, ma. Kalau mama telefon ni, mestilah ada hal kan. Takkanlah mama nak saja-saja telefon macam main tekan-tekan nombor.”
“Pandailah kamu. Mama memang ada hal nak ajak kamu keluar tengah hari ni. Kamu lapang tak?”
Spontan tangan kirinya diangkat lalu mata menjeling jam di pergelangan tangan. Sekarang sudah jam sebelas. Dibeleknya pula diari dalam kotak fikiran. Kalau tidak silap, tiada perjumpaan penting hari ini. Tapi... Saif Azrai mengintai ke dalam pejabat dari tingkap yang separuh gelap. Qayreena ada di dalam. Mesti gadis itu hendak makan bersama nanti.
“Mama nak ajak kamu jumpa anak kawan mama. Kalau berkenan, bolehlah kenal-kenal.”
Ops! Apa mama cakap tadi? Kenal-kenal? Kenal anak gadis orang? Wow! Menarik! Temujanji bersama Qayreena boleh diatur lagi lain kali. Tapi kenal gadis baru, itu lebih penting.
“Hari ni ke mama? Kenapa mama tak beritahu awal-awal?”
“Mama lupalah. Kenapa, kamu sibuk? Kalau kamu sibuk tak apalah. Mama aja yang jumpa. Nanti mama kenalkan pada kamu kemudian.”
“Eh, tak adalah ma. Azrai lapang aja tengah hari nanti. Biar Azrai selesaikan sikit kerja lagi. Sekejap lagi Azrai balik jemput mama ya. Assalamualaikum, ma.” Laju saja Saif Azrai mematikan telefon. Hatinya melonjak gembira. Bagai hendak bersiul-siul kegirangan rasanya. Tapi lain macam pula pada pandangan Qayreena.
Qayreena. Ya. Saif Azrai perlu selesaikan hal dengan Qayreena. Wajah ditayang semuram mungkin sebaik masuk semula ke dalam pejabat. Hampa dia menghampiri Qayreena. Wajah Qayreena yang tadi ceria juga berkerut kerisauan melihat air muka Saif Azrai yang mendadak berubah. Saif Azrai sudah duduk di sebelah. Lemah bahunya jatuh tak bermaya.
“Kenapa ni sayang?” Qayreena menyoal dengan muka risau. Tangan Saif Azrai dipaut masuk dalam genggamannya.
“I ada lunch meeting dengan client la hari ni. Mungkin sampai ke petang I tak masuk office.” Saif Azrai mereka alasan. Anak matanya menjeling reaksi Qayreena di sebelah. Hampa jelas tergambar di wajah bujur sireh itu. Tangannya juga tidak digenggam semesra tadi. Sah. Dia kecewa.
Sorry la sayang. Bukan I sengaja tak mahu keluar dengan you hari ni. You dapat jumpa I ni pun dah terubat rindu you pada I kan?” Dia memancing. “Lain kali bila I free, I will call you. Okey?” Masih belum terpujuk. Sekali lagi jari Saif Azrai hinggap ke pipi Qayreena. “Okey sayang?” ulangnya.
Lambat-lambat Qayreena menangguk. Ha, terpujuk pun. Nak juga kena usap pipi... Yes! Dapat aku jumpa awek baru!

*******

Hmmm.... hai.... hmmm....
Bertalu-talu keluhan Sasha Amira lepaskan dalam hati. Mukanya sekarang ini tidak mampu lagi hendak pura-pura senyum. Ketat rasanya seluruh otot muka. Walau macam mana pun dia ukir senyum, wajahnya tetap nampak tegang agaknya. Masam mencuka.
Telinganya pula sudah letih mendengar perbualan Puan Damia dengan Hajah Kistina. Rancak benar mama berbual dengan Hajah Kistina. Kata mama, Hajah Kistina itu teman baiknya. Hai, ramai benar teman baik mama. Yang hairannya pula ramai pula teman-teman mama yang punya anak lelaki bujang. Anak lelaki Hajah Kistina, tidak nampak pula bayangnya. Mesranya mama dengan Hajah Kistina cuma berborak sebagai teman agaknya.
Wajah Puan Damia ditoleh sekejap. Masih sibuk menanya itu dan ini tentang anak lelaki Hajah Kistina. Sah! Memang perjumpaan untuk mencari jodoh. Mama ni... nak dijodohkan pula aku dengan anak Hajah Kistina ni ke? Anaknya pula entah macam manalah rupanya. Gemuk pendekkah, emm.. okey lagi. Hidung sengetkah? Suara sengaukah? Nafas halus sekali lagi dilepaskan perlahan. Kopi karamel miliknya diteguk ke tekak. Manis karamel juga terasa pahit bila hati sakit. Tak cukup-cukup agaknya mama mengatur perjumpaan antara dia dengan anak-anak lelaki teman rapat mama. Bosan. Hatinya menjerit tidak rela!
Sekilas Sasha Amira memandang ke tepi. Aduh. Lelaki itu lagi. Sasha Amira melihat atas dan bawah dengan hati jengkel. Lelaki bertopi itu masih dan terus memandang ke arahnya dengan senyum kambing. Sekali-sekala meneguk kopinya sedikit sedangkan mata masih melirik ke arahnya. Senyum lagi setelah cawan itu diturunkan dari bibir. Heuw. Lain macam aje aku tengok lelaki ni. Macam ada penyakit senyum! Jangan harap Sasha Amira hendak balas senyum. Laju saja Sasha Amira membalas dengan jelingan.
 “Sasha sekarang kerja dengan papakah?”
Alamak! Giliran Sasha Amira pula yang disoal Hajah Kistina. Namun belum sempat Sasha Amira buka mulut, Puan Damia terlebih dulu memberitahu. Lega hati Sasha Amira.
Baguslah, ma. Mama ajelah jawab. Ikutkan hati, memang malas Sasha nak jawab apa-apa soalan pun.
Kalau diikutkan hatinya juga yang mula jelak dengan pertemuan sebegini, tidak ingin dia mengikut Puan Damia hari ini. Muak rasanya hendak menjawab soalan-soalan yang sama dilemparkan calon-calon ibu mertua. Sekejap lagi, perlu pula menjawab soalan daripada si teruna, itupun kalau dia muncul. Harap-harap biarlah dia tidak muncul sampai bila-bila.
Hai, mengeluh lagi, kerana hari ini dia tertipu lagi dengan tipu helah Puan Damia. Kononnya hendak belanja minum kopi karamel kegemaran Sasha Amira di kafe Starbucks. Kalau sudah dengar nama kopi, memang Sasha Amira tidak menolak. Laju dia setuju. Sedang enak dia menikmati kopi, ketika itulah Hajah Kistina memberi salam dan mulalah mama mesra perkenalkan Sasha Amirap kepada Hajah Kistina. Baru Sasha Amira sedar, yang dia sudah termasuk lagi dalam jerat mama.
Hai la Sasha... kenapalah kau ni mudah sangat di tipu. Dengar mama nak belanja terus saja kata okey.
Dulu pun begitu. Mama kata hendak belanja makan. Kalau tidak pun, makan tengah hari dengan papa. Papa? Jarang sekali dapat jumpa papa. Haruslah Sasha Amira suka. Walau dari kolej, berpuluh batu pun jaraknya Sasha Amira rela memandu ke tempat mama dan papa. Rupa-rupanya, semuanya dusta. Bayang papa langsung tak kelihatan. Cuma lelaki asing tidak dikenali yang tiba-tiba muncul kemudian.
“Sasha belajar urusan apa?” Sekali lagi soalan ditujah kepadanya. Lari lintang-pukang agaknya semua lamunan Sasha Amira tadi ditegur suara Hajah Kistina. Sasha Amira diam. Tidak sempat dia mentafsir soalan itu...
“Sasha ni belajar perakaunan. Nanti dah habis belajar, bolehlah dia kerja dengan papa dia.” Sekali lagi Puan Damia yang menjawab.
Sasha Amira hanya membiarkan. Dia memandang Puan Damia, Hajah Kistina dan akhirnya pandangan jatuh ke meja. Punggungnya kini sudah semakin panas. Suara Hajah Kistina yang menyoal selepas itu bagai kaset rosak yang sampai ke telinganya. Tidak sedar, dia mengeluh lagi. Kali ini lebih berat. Sekaligus dia menarik tangan Puan Damia untuk mendapatkan perhatian mamanya itu. Kepala di dekatkan ke telinga Puan Damia.
“Mama boleh tak hentikan semua ni? Sasha tak sukalah.” Sasha Amira tahu dia terlewat untuk meminta tapi kini, dia tidak tahan lagi.
Laju Puan Damia menoleh dan memandangnya. Kemudian tersenyum-senyum meminta diri sebentar dari Hajah Kistina sebelum menarik tangan Sasha Amira bangun dari kerusi. Fuh, lega punggungnya. Puan Damia menarik hingga ke luar.
“Kenapa dengan kamu ni? Nak buat hal lagi? Anak Hajah Kistina pun kamu tak suka?” Bertalu-talu soalan mama ajukan sambil tangan menunjuk ke dalam kafe. “Anak Hajah Kistina tu punyalah elok mama tengok. Rupa ada, kerja ada, harta ada, baik pun baik. Lelaki yang macam mana lagi yang kamu nak?”
Aduh... mama. Baru tengok gambar mama dah berkenan. Entah-entah gambar tu sepuluh tahun lepas punya gambar. Sekarang, dah memboyot buncit. Muka macam belon. Huhu... tak mahulah.
“Sasha dah ada calon sendirilah, ma. Sebab tu tak mahu mama terus perkenalkan Sasha dengan anak kawan-kawan mama.” Sasha Amira terus beri alasan. Walau realitinya calon hati yang diperkatakan itu tidak pernah wujud. Tak apalah. Guna alasan ini sekali aja. Tengok, berkesan ke tidak. Harap-harap berkesan.
“Siapa? Tak pernah nampak pun? Selalunya kamu dengan kawan-kawan kamu tu aje. Kalau tak dengan si Intan, dengan Zemah.”
Zemah? Lucu rasa hati Sasha Amira. Masa-masa ini pula hatinya bagai mahu berguling tergelak bila nama Zaimah disebut Zemah oleh mama. Zemah, emm... sedap juga nama tu. Lepas ni aku panggil kau Zemah la, Zaimah! Sempat hatinya berjenaka walaupun tidak kelakar.
“Kamu jangan nak reka-reka cerita yang kononnya kamu dah ada teman lelaki semata-mata nak mengelak.”
Ops! Masalah... masalah. Macam mana nak cover ni? Lekas-lekas Sasha Amira cari akal bila tembelangnya tak menjadi. Dalam masa yang sama, dia berdoa. Ya Allah, lembutkanlah hati mama aku ni.
“Betul mama, Sasha dah ada calon. Cuma tak sempat lagi nak kenalkan dengan mama. Kami baru kenal dua minggu, takkan nak terus bawa jumpa mama. Nanti lari pula dia.”
“Ha, kalau dah lari tu maknanya dia tak seriuslah dengan kamu. Tengok macam anak kawan-kawan mama, berani tunjuk muka, beramah mesra dengan mama. Ha, lelaki macam tulah yang boleh dibuat suami. Anak Hajah Kistina, si Saif Azrai tu pun apa kurangnya. Muka nampak baik aja. Mama dia pun mama kenal. Cuma kamu tu aja yang liat, asyik tolak jodoh!”
Oh, jadinya anak Hajah Kisitina ni pun tak seriuslah dengan Sasha? Macam tu? Eh, kejap... Saif Azrai ke nama anak lelaki Hajah Kistina tu. Saif Azrai... nama sudah macam nama hindustan, Saif Ali Khan. Rupa dia agak-agak macam hindustan juga tak? Sasha Amira cuba membayangkan. Ish, menyesal tak tengok gambar dia tadi. Tulah Sasha, masa mama nak tunjuk tadi, jual mahal. Mata memandang ke dalam sekejap. Tapi kalau tengok rupa Hajah Kistina, tak ada pula rupa macam hindustan. Erk! Tertancap pula pada lelaki yang duduk di meja sebelah tadi. Lelaki itu merenung ke arah sini. Menayang lagi senyum sampai ke pipi dia tu.
Aiseyman... kalau rupa macam lelaki tu, tak inginlah aku! Tak lalu nak tengok lama, Sasha Amira pura-pura lihat jam di pergelangan tangan.
“Alamak, ma. Maaf banyak-banyak mama. Sasha ada kelas sekejap lagi. Dah lewat ni!” Sasha Amira beri alasan lagi. Sasha Amira tergesa-gesa masuk sekejap dalam kafe. Bercakap sesuatu kepada Hajah Kistina, mencium tangan wanita itu dan kemudian mengambil begnya. Puan Damia nampak semua itu. Tidak lama anaknya itu muncul semula depan mata. Tangan Puan Damia pula kemudian disambar dan dicium.
“Sasha dah beritahu makcik tu, Sasha ada kelas. Sasha kena pergi sekarang ni , ma. Dah lewat sangat. Sorry tau mama. Boyfriend Sasha nanti Sasha kenalkan dengan mama kemudian ya...” Sasha Amira melambai kemudian berlari-lari anak mendapatkan keretanya di parkir.
“Eh, Sasha!” Terpinga-pinga Puan Damia seketika. Dipanggilnya Sasha Amira berkali-kali, anaknya itu semakin jauh. Melambaikan tangan sambil mengulang kata maaf berulang kali. Spontan keluhan dilepaskan Puan Damia. “Bertuah punya anak, buat malu mama dia ni aje...”
Wajahnya beralih ke dalam kafe. Hajah Kistina masih menanti. Emm... mengeluh lagi sebelum dihayun kaki masuk.
“Minta maaflah, Hajah. Anak saya tu pergi masa kita tengah berbincang.” Puan Damia mengatur maaf sebaik duduk semula di kerusi. Wajahnya cuba dimaniskan dengan senyuman bercampur malu dan rasa bersalah.
“Tak apa. Kelas tu lebih penting, Puan Damia. Soal kenal-mengenal ni, kita orang tua pun boleh uruskan.” Tenang Hajah Kistina membalas. Sisa kopinya diteguk lagi. Tertib peri lakunya. Sementara Puan Damia setuju benar dengan pendapat Hajah Kistina yang terakhir tadi. Kalau sudah anak tidak mahu kenal, biar orang tua ini dulu yang mengenali bakal calon. Bila hati tua ini berkenan, ha, dengan senangnya orang tua ini izinkan perkahwinan mereka. Kalau orang tua tidak beri restu, jangan harap dapat kahwin.
“Emmm... kalau macam tu, emm...” Ketat pula suara Puan Damia tiba-tiba. “Apa pendapat Hajah tentang anak saya tu?”
Hajah Kistina tersenyum mendengar soalan itu. “Kamu macam mana?” Tiba-tiba Hajah Kistina memandang ke meja sebelah. Lelaki muda yang duduk di situ tersenyum ke arah Hajah Kistina, kemudian kepada Puan Damia. Aik! Seketika anak muda itu bangun dan berjalan ke arah Puan Damia. Tangan dihulurkan untuk bersalaman.
“Inilah Saif Azrai, Puan Damia.” Hajah Kistina memperkenalkan.
Subhanaallah. Terkejut Puan Damia melihat anak muda itu. Kata-kata Hajah Kistina cuma diiakan dengan mengangguk. Perlahan-lahan tangan diangkat dan dibiarkan muka Saif Azrai menyentuh kulit tangannya.
“Dia sendiri yang nak tengok-tengok dulu gadis yang saya nak perkenalkan. Katanya tak mahu tayang muka awal-awal, nampak desperate sangat nak beristeri pula nanti. Hai, budak ni... ada aje alasannya.” Hajah Kistina menggeleng-geleng.
“Kalau pada saya, saya tak kesah siapa pun calonnya yang Azrai berkenan. Asalkan elok latar belakangnya, elok agamanya. Kalau dapat berbesankan kawan lama, lagilah saya sedia terima. Tapi itu pun, terpulanglah pada anak-anak. Tak begitu, Puan Damia?”

*******

“Helo, Intan. Kau tolong beritahu Encik Razak nanti aku lambat sikit masuk tutor. Sangkut dekat jam la.” Beritahu Sasha Amira sebaik panggilan yang dibuatnya tadi disambut suara halus milik Intan Nazira. Kemudian, lekas dimatikan panggilan itu.
Serabut! Sasha Amira lihat kereta di sebelah kanan dan kiri. Terapit dia di tengah. Kereta di sebelah kiri pula mula menghimpit untuk berebut masuk ke lorong yang sama. Tak reti sabar agaknya orang yang memandu itu. Sempat dia menjenguk ke dalam. Tidak nampak pula rupa pemandu dari cermin gelap itu.
Tahulah nak cepat hendak masuk kerja. Aku ni pun nak cepat juga. Aku cium depan kereta tu baru tahu!
Sudahnya Sasha Amira yang mengalah. Kalau betul-betul terlanggar nanti, tak mampu insuransnya hendak bayar ganti rugi kereta mewah itu. Sabar sajalah. Masa-masa inilah terasa macam nak bawa big foot dekat atas jalan. Biar semua kereta takut dan beri laluan.

*******

Puan Damia merenung-renung kad nama yang diberikan Saif Azrai tadi kepadanya.
“Kalau ada apa-apa, makcik telefonlah saya bila-bila masa.”
“Ha, yalah.” Puan Damia mengiakan. Kemudian kad nama itu diselitkan dalam tas tangannya. “Kalau macam tu, saya balik dululah Hajah. Terima kasihlah ya. Entah bila lagilah agaknya kita dapat berborak sama-sama lagi...” Puan Damia bersalaman dengan Hajah Kistina. Berpeluk cium dengan mesra.
“Insya-Allah. Ada jodohnya nanti, Puan Damia.” Lebar senyuman Hajah Kistina dan Puan Damia. Mata Hajah Kistina akhirnya menjeling ke arah anak lelakinya. Bagai faham, Saif Azrai bersuara.
“Makcik balik dengan siapa? Kalau tak keberatan, bolehlah balik sama. Saya boleh tolong hantarkan.” Kata orang, hendak pikat anak kenalah pikat emaknya dulu. Kalaupun Puan Damia sedia menerima dirinya sebagai calon menantu, hai apalah salahnya kalau dia bertindak untuk meyakinkan bakal mak mertua itu lagi. Biar Puan Damia tahu dialah calon TERBAIK dalam abad ini. “Bolehlah saya tanya lebih sikit pasal anak makcik...” Saif Azrai tayang senyum nakal. Sekelip mata tapak tangan Hajah Kistina juga macam kilat menyambar lengannya.
“Ish, kamu ni.”
Puan Damia tersenyum-senyum. Fikirannya pula merancang macam-macam. Kalau plan A tidak menjadi, seperti dulu... kenalah tukar kepada plan B. Dulu, cuma bertukar-tukar nombor telefon. Tapi masing-masing tidak mahu mulakan dulu. Malu agaknya. Bila si lelaki mula cucuk jarum pula, anaknya juga yang liat. Tidak mahu menjawab panggilan, tidak mahu keluar sama dengan pelbagai alasan yang diberikan.
“Emm... apa salahnya. Banyak pun ceritanya makcik boleh kongsi.”