Pages

Hi pembaca semua!!!

Terima kasih kerana datang melawat, membaca karya-karya dalam blog ini dan terima kasih juga kepada semua yang menyokong Yuri. Yuri rasa happy sangat dengan kehadiran korang dalam hidup mahupun alam maya Yuri ni.

Segala komen dan sokongan sentiasa dan akan terus membakar semangat Yuri untuk terus berkarya menggunakan nama pena ayu munawer.

Semua karya di dalam blog ini adalah ilusi, imaginasi serta daripada pengalaman hidup. Dan yang paling penting, semua karya di sini adalah hasil karya Yuri. Mohon supaya tiada copycat dekat sini... tqvm

Harap korang terus menyokong dan beri komen mahupun kritikan untuk Yuri memperbaiki sebarang kekurangan.

P/S: Untuk makluman, karya "Dia Si Jantung Hati" akan dihentikan penerbitannya di sini atas sebab rombakan besar-besaran plot cerita. Justeru itu, judulnya juga bakal berubah. Maaf atas sebarang kesulitan. Harap korang setia menunggu dan menyokong hasil rombakannya nanti okey ^^,
"Aku tak suka kau la" kini diterbitkan di penulisan2u dengan tajuk "JIWA KACAU"..saja nk tukar tajuk. Sebb yuri rasa cam lg sesuai je tajuk ni..lebih pendek n ringkas hehe ada ka yuri edit2 skit. Harap u all x kesah nk singgah baca :-)
Sudi-sudilah berkunjung ke official blogshop yuri di http://decodanmakan.blogspot.com yer. Walaupun rupanya masih macam blog biasa, yuri pun masih belajar lagi macam mana nak upgradekannya. Macam-macam ada. Nak tau apa yang ada, kenalah singgah.

Terima kasih (^^,)v

Monday, April 28, 2014

Teruskanlah perjalananmu di sana dengan tenang.

Isnin, 28 April 2014. Sudah melepasi 48 jam usia pemergian seseorang yang punya hubungan rapat denganku. Mengimbau kembali waktu itu, saat pertama kali beritanya sampai ke telingaku, aku terkesima. Terpana memandang skrin komputer yang ketika itu rancak ku hadap untuk memeindahkan saki baki dokumen tesis ke dalam hard disk peribadi. Suara abah yang halus pertama kali membuat aku seram sejuk. "Adik, abah nak cakap sesuatu. Adik sabar yer..." Terus saja otakku menerawang... tapi tetap cuba mencerna maksud tersirat abah. Ayat itu... tidak langsung selesa didengar. Bahkan entah kenapa bagai terus menusuk sanubari yang seakan dapat merasakan sesuatu yang tidak enak. Aku mula memikirkan tentang emak yang dua tiga hari sebelumnya menjalani pengimejan PET di Hospital Putrajaya. Adakah berita yang mahu abah sampaikan itu bersangkutan dengan mak? Sesaat kemudian, minda beralih pula memikirkan tentang kakak sulung yang memandu seorang lebih tiga jam untuk menghadiri kursus Jenazah. Mungkinkah tentang dia? Ya Allah... aku mohon dijauhkan segala musibah. "Abang Man dah tak ada, dik." Aku membisu lagi bila nama itu disebut abah. Siapa? Aku cubit pipi kiri. Melilau bola mataku ke serata sudut di bilik itu. Sungguhkah aku bukan bermimpi sekarang? Suara halus abah bergema lagi di halwa telinga. Abah mengulang berita yang sama dan memberitahu mereka akan pulang bersama kakakku sekeluarga dari Pahang. Aku cuma mengiakan tanpa tahu apa yang patut aku lakukan. Semuanya mula serba tak kena. Memang awalnya aku rancang untuk ke rumah kakak sulung kerana mak dan abah ada di sana menjaga anak-anak kakakku sepanjang ketiadaannya. Rancangku untuk memberi kejutan dan menghantar mak dan abah ke TBS. Sekarang, aku juga menerima tempias bila khabar berita itu mengejutkan kami sekeluarga. Aku bangun. Duduk. Dan berdiri semula. aku mundar mandir di depan meja. Deruan nafas dapatku rasa kian berkocak dengan pelbagai rasa yang tak mampu aku tafsirkan. Otak pula buntu antara percaya atau tidak. Sudahnya aku terduduk semula. Ketika itu Kak Linda masuk. Dengan senyuman dia berkata sesuatu padaku. Namun mindaku ketika itu tidak mampu mencerna tiap bait katanya yang seakan-akan bayu yang lalu di tepi telinga. "Abang saya meninggal, Kak Linda!" Terus saja aku memberitahu Kak Linda akan hal itu. Itu saja yang mahu aku luahkan dalam masa cuba mengumpul kekuatan dalam diri. Aku mengharapkan sesuatu... sesuatu yang mungkin dapat memberiku lebih kekuatan. Kak Linda mula bertanya itu dan ini dan aku cuma menggeleng. Entah apa yang aku jawab ketika itu, tidak langsung melekat di benak. Semuanya seakan pita rakaman lama dan tidak mampu dimainkan lagi. Anehnya, hanya kata-kata semangat Kak Linda saja yang ditangkap gegendang telingaku. Aku semat sedikit dalam jiwa. Nafas dalam yang memberat aku tarik dan lepaskan dengan susah payah. Akhirnya tandas menjadi destinasi untuk aku melepaskan ketidakpercayaan itu. Aku tekad untuk pulang. Aku telefon kakak yang menetap di Pahang. Kebetulan katanya dia sedang bercuti menemani mak dan abah di rumah kakak sulung kami. Mereka semua sedang bersiap untuk pulang ke kampung. Aku juga ingin pulang. Cuma sekali ini sahaja peluang terakhir dan kerana itu, aku meminta dia datang menjemputku di sini. Saat bersalaman dengan mak, mak terus memeluk tubuhku dan berkata... "Abang dah tak ada, dik." Bagai caj elektrik kata-kata mak mencucuk jiwa raga. Tapi aku perlu tabah. Senyuman tetap cuba aku ukir walaupun perit mencengkam dada. Aku perlu kuat. Lebih kuat untuk memberi kekuatan kepada mak dan abah. Mungkin inilah masanya aku buktikan pada mereka, aku sudah matang. Aku sememangnya mengerti. Cukup berat seorang anak menerima hakikat permergian orang tuanya. Apatah lagi ibu bapa yang terpaksa melihat anaknya pergi terlebih dulu. Ya Allah. Begitu berat dugaanMu kali ini. Dalam aku menghitung hari, lebih kurang sebulan saja lagi untuk meniti alam rumah tangga, abang pergi dulu tanpa sempat melihat majlis itu. Kemeja T yang aku belikan dengan hajat untuk melihat setiap adik beradik meamakai sedondon di hari bahagia itu nanti, tidak sempat arwah pakai di depanku. Sedih. Hati aku menjerit, meronta dan menangis. Namun aku cuba selindungkan dari pandangan ahli keluarga terutama mak dan abah. Aku cuba bermain dengan Riyadh Iskandar, anak buahku yang baru menjangkau setahun setengah. Moga terubatlah walau sedikit hati mak sepanjang perjalanan. Abah di hujung sana sibuk menghubungi sanak saudara untuk menyampaikan berita itu. Rata-rata terkejut akan perkhabaran itu. Aku pasang telinga. Pada awalnya, abah tenang. Namun setelah tiga empat panggilan, suara abah mula bergetar sebak. Sedu mak turut mengiringi selepas itu sambil memaut peha abah. Lantas aku juga memaut dan sekali sekala menepuk-nepuk peha mak, cuba memujuk hatinya yang tidak keruan. Aku cuba jadi kuat. Itu tekadku. Aku ada menghubungi kakak yang duduk sekampung dengan arwah. Rupanya dia juga kursus di Melaka. Ketika aku menelefonnya, dia teresak-esak menangis di tengah Melaka Sentral sambil menanti bas jam 12.30 tengah hari iaitu lebih tiga jam selepas dia menerima perkhabaran buruk. Aku dapat bayangkan keadaannya. Dengan lagak cekal hati, aku memberi dorongan kepada kakak. Cekalkah aku? Tabahkah aku kerana tidak langsung menitiskan air mata bila sampai di rumah arwah, disambut abangku seorang lagi dan kakak ipar? Datang pula Mak Long dan Pak Long selepas itu. Kami bergerak ke masjid di mana arwah dimandikan. Kuatkah aku kerana mampu menahan air mata walau seorang demi seorang saudara mula membanjiri perkarangan masjid memeluk tubuhku? Sungguh aku cuba bertahan... bukan kerana aku tidak sayang atau suka akan pemergiannya. Sungguh hanya Tuhan yang tahu apa yang tersirat di hati dan benak ini. Air mata aku tahan sedaya upaya, dan hanya membenarkan ia jatuh sekali dua. Namun... saat kain kafan dibuka buat saudara mahupun kenalan rapat melihat buat kali terakhir, aku mendekati mayat yang terkujur kaku itu bersama kakak, abang dan aku bawa mak bersama. Mak menangis tak mahu pergi. Mak tak tengok kali terakhir ke? Dalam tangisan mak menjawab, nak! Aku paut tangan mak kuat-kuat sambil setapak demi setapak aku ajak mak bergerak ke arah jenazah. Bg Edi datang memeluk bahu mak dan Kak Yan, isteri Bg Edi pegang mak di sebelah yang lain. Aku berundur ke belakang dan cuma mengekori di belakang. Langkah mak terhenti, sayu di depan jenazah. Abah pula menghampiri dan menenangkan mak. Dengan perlahan, mak duduk, memeluk dan mengucup dahi arwah. Jiwa yang cuba aku kentalkan dari awal kini kian luluh. Apa lagi bila merenung lama wajah arwah dari tepi. Kak Idah juga awalnya tak sanggup berdepan. Dia mengaku tidak kuat menghadapi kehilangan saudara terdekat. Kak Idah juga aku pujuk dalam dinding hati yang semakin menipis. Aku duduk di sebelah abah sementara Kak Idah beranjak menghadap wajah arwah yang tak lagi bergerak. Cukup lama aku di situ. Melihat saja Kak Idah yang hampir pitam dibawa pergi oleh Kak Yan. Abah masih kekal di depanku, menekur sambil bibir terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci. Sesekali suara sayup abah terdengar sampai ke telingaku. Aku terus menerus merenung wajah dan tubuh arwah. Jauh sekali rautnya dari rupa yang selalu aku lihat sebelum ini semasa hayatnya. Hati teringin sekali mahu bergerak ke depan untuk mengucup dahi arwah untuk sekian kalinya... yang terakhir kalinya... namun Ya Tuhan... kenapa tak ampuh diri ini untuk menganjak ke depan seraya air mata terus menderas membasahi pipi. Spontan aku merangkul insan di sebelah tanpa peduli siapa gerangannya. Sesaat dua esakanku mungkin kedengaran ditelinganya. Aku paksa diri untuk tabah lalu melepaskan tubuh Kak Intan yang aku peluk tadi. Pandanganku beralih semula ke wajah arwah. Seorang demi seorang sanak saudara mendekat, bibir mereka sampai ke kulit arwah yang sejuk. Aku lihat abah mengangkat tangan. Aku juga mengikut dan bila doa diaminkan abah, aku menyapu tapak tangan ke muka. Hinggalah kain putih kembali menutupi wajah arwah, perlahan-lahan aku gagahi diri untuk bangun ke belakang. Aku dapatkan Kak Idah dan Kak Yan yang duduk termanggu. Kak Idah masih menangis tak henti. Berkali-kali aku cuba tenangkan Kak Idah walau hati sendiri juga semakin lemah rasanya. Kak Yan turut sama beri dorongan. Sekejap kami meluah rasa, sekejap sunyi sepi tanpa sepatah kata. Seakan hanya suara tangisan yang memenuhi ruang masjid itu. Sekujur tubuh kaku di tengah ruang masjid aku lihat dari jauh sekali-sekala. Kak Nonie yang tiba-tiba muncul akhirnya juga tidak sanggup untuk melihat wajah arwah buat kali terakhir. Perlahan Kak Nonie mengalirkan air matanya dan akhir jatuh ke bahu suami tercinta. Esakannya ditahan-tahan memandangkan dia kini berbadan dua. Akhirnya kami berpelukan sesama adik beradik. Berjanji akan saling menyanyangi walau apa pun berlaku. Mungkin janji itu kedengaran keluar dari mulut namun ia sejujur-jujurnya hadir dari hati yang tak mahu lagi menyesali kehilangan sesiapa antara kami. Sesungguhnya aku cukup kesal tidak mereka banyak memori bersama arwah. Mungkin ada namun tak banyak yang tersimpan kemas dalam kotak memoriku. Hati adik ini sangat teringin arwah memeluk dan membelaiku sebagai seorang abang kepada adik bongsunya. Tapi mungkin jarak umur kami, sejak kecil lagi aku seakan takut-takut pada arwah. Tapi hati ini teringin nak bermanja. Apa lagi bila bercerita yang aku cukup kecewa arwah pergi dahulu tanpa menunggu hari perkahwinanku. Berkali-kali aku adu pada akak dan abang yang ada di situ. Tapi aku sedar siapalah aku untuk mempersoalkan ketentuanNya sedang dunia ini cuma pinjaman semata-mata. Sudah memang itu perjanjiannya, setiap yang hidup pasti merasa mati. Aku redha. Jenazah disembahyangi selepas solat Asar. Tidak terjangkau akal fikiran bagaimana perasaan mak dan abah mendirikan solat jenazah untuk anak sendiri. Begitu juga Bg Edi yang mengusung jenazah arwah abang ke tanah perkuburan Orang Islam di Taman HJ Manan. Talkin yang dibaca Tok Imam cukup menusuk sanubari dan menginsafkan tiap insan yang hadir semasa pengkebumian arwah. Langit gelap seakan memberi isyarat hujan bakal mencurah bumi. Hatiku terdetik seketika, memohon agar ia tidak turun mencurah semasa pengkebumian ini. Biarlah dipermudahkan semua urusan. Aku berdiri sendiri. Angin tiba-tiba bertiup kencang, seakan roh arwah hadir di antara kami. Mungkin itu hanya rasa hati. Mahupun mainan fikiran yang kepingin merasa kehadirannya sedang realiti yang terpaksa ditanggung adalah arwah tak mungkin akan kembali buat selama-lamanya di dunia ini. Tiada lagi wajah arwah bakal mengunjungi rumah mak dan abah walaupun pada hari raya sekalipun. Selesai pengkebumian, manusia mula susut meninggalkan kubur. Bg Edi aku lihat masih berteletuku di sebelah pusara. Selepas balik ke rumah, kami sedia merancang untuk mengadakan kenduri tahlil malam itu. Bg Edi datang ke rumah abah untuk membantu selepas membersihkan diri. Dalam sibuk mak abah menjawab soalan-soalan sedara mara, Bg Edi tiba-tiba menghilangkan diri keluar. Kak Nonie yang ketika itu juga di luar tiba-tiba minta dipeluk Bg Edi. "Bg Edi sekarang dah jadi anak lelaki sulung. Besar tanggungjawab Bg Edi sekarang..." Hampir begitulah bunyi suara Kak Nonie membisik ke telinga Bg Edi. Sarat Bg Edi mencurah air dari kolam mata. Berkali-kali ditanya, barulah Bg Edi bersuara dalam sedu dan sebak yang menggila. Rupanya arwah ada datang memberi amanat seminggu sebelum hembusan nafas terakhir. Amanat yang begitu berat, termasuklah tentang majlis perkahwinan adik yang terakhir ini. Ya Allah. Aku yang mendengar juga hampir menangis. Tapi ditahan juga rasa pilu itu. Tidak terlintas di fikiran Bg Edi itu adalah amanat terakhir arwah. Mak ada berkata padaku, adik tak perlulah majlis yang meriah ya. Lagu-lagu semua tak perlulah ya. Aku faham dan mengaku, tak perlu semua tu, mak. Yang wajib lagi penting. Ayu pun tak minta semua tu. Dan pernah sekali mak juga ada berkata, tak perlulah dik. Kita batalkan ajelah majlis adik ya. Dan ketika itu aku diam tidak menjawab walau sepatah. Cuma nafas perlahan aku lepas dengan begitu payah. Mungkin masa itu hati mak terlalu kecewa memikirkan pemergian abang. Suara kakak dan abang ipar yang menjawab ketika itu langsung tidak aku dengari walau mata memandang ke wajah mereka silih berganti. Bila berkunjung ke pusara awal pagi esoknya, aku berjani pada diri untuk tidak menangis lagi hari ini. Aku tidak mahu roh arwah melihat aku menangis. Tapi janji itu aku mungkiri bila Kak idah mengalunkan bacaan Yaasin dalam sedu sedannya. Entah bagaimana tangisan itu meracuni akal fikiran ini yang mula cuba menyelak tiap memori yang hilang bersama arwah. Gugur juga air mataku akhirnya. Dan kerana itu, lambat aku menyudahkan bacaanku. Perlahan-lahan aku bangun selepas Kak idah sudah bergerak ke kereta. Seminit aku berdiri dan termenung di depan pusara. Aku pandang keliling. Kak Idah sudah memanggil. Satu nafas yang berat aku lepaskan perlahan kerana sedaya upaya aku tidak mahu nampak lemah di depan sesiapa. Saat menziarahi Kak Intan di rumahnya, dia bercerita tentang hal kelmarin. Aku cuba untuk tidak menangis walaupun Kak Idah dan Kak Intan masing-masing sudah merah mata. Bukan kerana keras hati... bukan kerana aku tak sayang. Sungguh aku tak mahu menangis di depan anak-anaknya. Adi, anak lelaki sulung arwah dalam diam menangis di belakang ibunya. Bila ibunya menoleh ke arahnya, dia pura-pura memandang ke lain. Nina, satu-satunya anak perempuan dalam rumah itu aku lihat begitu tabah. Dia sibuk melakukan itu dan ini mungkin untuk meredakan kesedihan. Dan anak yang paling kecil baru berusia lima tahun. Sayu hati ini bila anak kecil itu sudah boleh memahami namun cuba untuk menjadi seorang lelaki yang tabah. "Ayah dah tak ada. Kalau Adib rindukan ayah, Adib akan bacakan al-fatihah." Jadi mungkin dengan ketabahan anak-anaknya, semoga arwah meneruskan perjalanan di sana dengan tenang. InsyaAllah.