Pages

Hi pembaca semua!!!

Terima kasih kerana datang melawat, membaca karya-karya dalam blog ini dan terima kasih juga kepada semua yang menyokong Yuri. Yuri rasa happy sangat dengan kehadiran korang dalam hidup mahupun alam maya Yuri ni.

Segala komen dan sokongan sentiasa dan akan terus membakar semangat Yuri untuk terus berkarya menggunakan nama pena ayu munawer.

Semua karya di dalam blog ini adalah ilusi, imaginasi serta daripada pengalaman hidup. Dan yang paling penting, semua karya di sini adalah hasil karya Yuri. Mohon supaya tiada copycat dekat sini... tqvm

Harap korang terus menyokong dan beri komen mahupun kritikan untuk Yuri memperbaiki sebarang kekurangan.

P/S: Untuk makluman, karya "Dia Si Jantung Hati" akan dihentikan penerbitannya di sini atas sebab rombakan besar-besaran plot cerita. Justeru itu, judulnya juga bakal berubah. Maaf atas sebarang kesulitan. Harap korang setia menunggu dan menyokong hasil rombakannya nanti okey ^^,
"Aku tak suka kau la" kini diterbitkan di penulisan2u dengan tajuk "JIWA KACAU"..saja nk tukar tajuk. Sebb yuri rasa cam lg sesuai je tajuk ni..lebih pendek n ringkas hehe ada ka yuri edit2 skit. Harap u all x kesah nk singgah baca :-)
Sudi-sudilah berkunjung ke official blogshop yuri di http://decodanmakan.blogspot.com yer. Walaupun rupanya masih macam blog biasa, yuri pun masih belajar lagi macam mana nak upgradekannya. Macam-macam ada. Nak tau apa yang ada, kenalah singgah.

Terima kasih (^^,)v

Friday, December 28, 2012

aku tak suka kau la: bab 41


Fuh! Lega rasanya Nurul Syakira dapat kembali berkerja. Rasa rindu pula pada kerusinya di bilik bacaan. Bosan duduk di rumah seminggu. Melihat muka Joe Redzuan yang setiap hari berkunjung ke rumahnya bikin Nurul Syakira makin rimas untuk berada di rumah. Kalau tidak dibuka pintu, bagai hendak dipecahkan pintu itu dibuatnya. Hinggakan jirannya, Kak Leha yang telebih ramah itu menyoal itu dan ini kepada Nurul Syakira. Bermacam andaian dilemparkan Kak Leha terhadap Joe Redzuan. Nurul Syakira masih ingat lagi kata-kata Kak Leha dua hari lepas.
“Siapa lelaki tu, Kira? Akak tengok hari-hari dia ketuk rumah kamu. Macam penyangak aje rupa dia. Macam perompak pun ada. Akak bukan apa Kira, bukan nak mengata kawan kamu... kalau dia tu kawan kamulah. Tapi akak curigalah tengok gaya dia tu. Bila akak lalu-lalang depan rumah kamu, dia pula asyik sorok muka dengan topi dengan cermin mata hitam dia. Kalau dia tu bukan kawan kamu, baik kamu report aje dekat polis. Ha, sekarang kalau ada orang kacau dekat rumah pun kita boleh buat report. Biar dia kena tangkap!” Bersungguh-sungguh Kak Leha menyambung cerita tentang pengalaman sepupunya selepas itu. Setiap kali Kak Leha buka mulut, ada saja cerita berkaitan keluarga sepupu sepapatnya. Kalau tidak ada, itu bukan Kak Leha namanya.
Nurul Syakira ketawa sendiri apabila teringatkan kata-kata Kak Leha itu. Spontan kepalanya turut digelengkan. Penyangak? Nurul Syakira suka gelaran itu. Sesuai benar untuk Joe Redzuan padanya.
Langkah dipanjangkan. Kakinya tidak lagi terasa sakit setiap kali memijak tanah. Malah, Nurul Syakira sudah boleh menyarung kasut. Langkahnya terus dihayun laju menuju ke bilik bacaan. Buka saja pintu bilik bacaan, Liana sudah menoleh. Aik, macam tahu-tahu saja Nurul Syakira datang. Tidak lama, Liana terus menerpa dan menangkap tubuh Nurul Syakira ke dalam dakapannya.
“Wah, Kira! Rindunya aku dekat kau!!!” Itulah kata-kata yang keluar dari mulut Liana. Macamlah Nurul Syakira sudah berbulan-bulan tidak masuk kerja.
Begitulah bila kami berdua saja rakan sepejabat. Dulu bila Zaid ada, ada juga kawan nak bertekak dan bergelak ketawa bila salah seorang tiada. Hai, bilalah nak ada pelajar baru dekat sini. Bolehlah dijadikan geng nanti.
“Eh, Jojo!” Liana membongkok. Matanya mengikut arah pergerakan ikan dalam akurium kecil yang dibawa Nurul Syakira. Nurul Syakira meletakkan akurium itu di atas meja dan Liana mengikut saja ke mana ia dibawa pergi.
“Ini bukan Jojo okey. Jojo aku kan dah mati. Yang ni aku bagi nama Jiji. Sebut sama-sama... Jiji.” Nurul Syakira memberitahu.
“Jiji...” Liana mengikut lalu mencebikkan bibir. Tidak kesahlah apa pun nama yang diberi Nurul Syakira, Liana bukannya peduli. Ikan tetap ikan baginya. Bukannya ikan itu tahu namanya Jiji ke Jojo kan. Lantas Liana kembali bermain-main dengan ikan baru Nurul Syakira.



Alah... kenapa muka dia lagi muncul depan mata aku ni? Tak puas-puas lagi ke kacau aku dekat rumah sampai aku nak berehat pun tak senang. Sekarang kacau sampai ke tempat kerja pula? Nurul Syakira merungut panjang dalam hati apabila Joe Redzuan terpacak di depannya tengah hari ini.
“Aku bawakan lunch untuk kau. Tak payahlah kau menapak pergi beli makanan. Kaki kau tu pun belum sembuh betul kan,” kata Joe Redzuan lalu meletakkan nasi bungkus di atas meja Nurul Syakira. Cermin mata hitamnya ditanggalkan lalu disimpan dalam kocek jaket denimnya.
“Siapa kata kaki aku belum baik. Hei, aku dah boleh berjalan tau. Pagi tadi pun aku pergi kerja jalan kaki!” Pantas Nurul Syakira membalas sambil menayang-nayang tapak kakinya. Sengaja dia tunjuk eksyen di depan Joe Redzuan.
Joe Redzuan mencebik. Matanya meliar memandang sekitar tempat kerja Nurul Syakira. Jemarinya pula dicalit sana sini. Kemudian kepalanya diangguk sekali sekala. Lagak seperti tuan besar yang memeriksa pejabat pekerjanya.
“Eh, baby!” Lantang Joe Redzuan menjerit sekaligus memecahkan keheningan bilik bacaan itu.
Nurul Syakira yang tadinya pura-pura meneruskan kerjanya yang bertimbun ditinggalkan seminggu terkejut hingga terhinjut bahunya. Ish, mamat ni tak pasal-pasal aje menjerit kenapa? Getusnya perlahan. Dilihatnya Joe Redzuan membelek akuarium di atas mejanya.
“Wah, kau dah bawa baby kita ke office ya...” Joe Redzuan merenung Nurul Syakira.
Excuse me. Baby? Kau ni buta ke tak cukup akal? Itu kan ikan, bukan baby!” Mudah saja Nurul Syakira melontarkan kata-kata itu dek terlalu geram. Debar di dada akibat terkejut tadi belum pun surut ditambah pula dengan kenyataan mengarut Joe Redzuan. Meluap-luap darah Nurul Syakira dibuatnya. “Satu lagi, sejak bila pula aku ada baby dengan kau? Kahwin dengan kau pun aku tak ingin tau!”
Baby fish tu kira baby jugalah. Aku yang beli... kau jaga. Kira baby kitalah tu.” Joe Redzuan menjawab selamba sambil tersenyum nakal.
Eii geramnya hati Nurul Syakira mendengar jawapan lelaki itu. Ringan saja tangannya dihayun ke atas. Rasa mahu luku-luku kepala lelaki itu cukup-cukup.
“Syakira.”
Nurul Syakira tersentak. Suara itu seperti dia kenali tapi dia ingat-ingat lupa. Maklumlah, sudah lama dia tidak masuk ke pejabat. Nurul Syakira menoleh. Lantas tangannya segera dijatuhkan. Liur ditelannya berkali-kali apabila melihat Prof Narimah tercegat di muka pintu bilik bacaan.
Prof Narimah melangkah masuk. Wajah Nurul Syakira dan Joe Redzuan ditenung silih berganti. Nurul Syakira terus menelan liur.
Alamak! Prof dengar ke apa yang aku cakap tadi? Apa yang aku cakap tadi? Aduhai... Nurul Syakira cuba mengingati setiap butir yang dimuntahkannya tadi. Tapi otak Nurul Syakira tiba-tiba jadi kosong. 
“Emm... kamu berdua ni tak berbaik-baik lagikah? Sedangkan tidak bertegur sapa tiga hari pun tidak disukai Tuhan, inikan pula asyik bertikam lidah.” Prof Narimah menggeleng-gelengkan kepala.
“Eh, mana ada Umi. Hubungan kami biasa aje... baik aje.” Joe Redzuan kalut berdiri di sebelah Nurul Syakira. Beria-ia dia mahu membuktikan kepada Prof Narimah akan hubungan baiknya dengan Nurul Syakira. Kalau Prof Narimah tahu hal yang sebenar, masaklah Joe Redzuan kena tadah telinga mendengar syarahan ibunya itu. Silap-silap Nurul Syakira juga dapat syer. Haha bagus juga kalau macam tu, fikir Joe Redzuan nakal. “Kan Kira!” Bahu Nurul Syakira disenggol berkali-kali dengan sikunya. “Kami baik aje Umi,” katanya lagi lalu memaut bahu Nurul Syakira kemas. Lantas Nurul Syakira kalut mengangguk.
Namun Prof Narimah menggeleng lagi. “Sudah. Sudah. Tak payah kamu nak berlakon depan Umi lagi. Tangan ni jangan nak merayap dekat badan Syakira. Dia belum sah jadi isteri kamu lagi tahu...” Prof Narimah menarik tangan Joe Redzuan dari bahu Nurul Syakira. Kemudian Prof Narimah menggeleng lagi buat sekian kalinya. “Kamu ni Wan, kata dah suka sama suka. Tapi Umi perhatikan kamu berdua ni macam anjing dengan kucing aje bila berjumpa.”
Terbelalak mata Nurul Syakira mendengar kenyataan Prof Narimah tadi. Suka sama suka. Bila pula aku suka pada mamat ni? Oh, jadi itulah yang selama ni dia beritahu pada mak ayah dia ya. Memang mangkuk hayunlah mamat ni. Tak habis-habis nak bohong. Aku kenal kau pun tidak sebelum ni. Kalau pun apa yang berlaku sebelum ni satu kemalangan sebab mulut dia yang celupar tu, rentikan ajelah lakonan dia tu. Ni tambah parah pula.
“Ke kamu ni masih lagi menepuk sebelah tangan...?” Prof Narimah meneka lagi.
Ha, yang tu aku setuju! Eh, sekejap! Prof Narimah perhatikan kami ke? Macam mana prof tahu yang kami selalu bergaduh? Berkali-kali Nurul Syakira mengomel dalam hati. Berbuku rasanya soalan yang mulai berlegar dalam fikirannya sekarang.
“Tak adalah Umi. Hubungan kami dah baik dah. Tapi biasalah, Umi. Wan kan artis, sebab itulah kami selalu bergaduh. Kes cemburulah tu.” Joe Redzuan tersengih-sengih menjawab soalan Prof Narimah.
Cemburu? Hei, tolong sikit. Tak kuasa aku nak cemburu pada kaulah. Aku tak ingin pun dekat kau!
Prof Narimah menerima bulat-bulat alasan anak lelakinya itu. Namun kepala tetap digelengkan. “Ehmm... kamu yang pilih jalan tu. Dah tahu jadi artis tu banyak gosip, nak juga jadi artis. Pandai-pandai kamulah nak selesaikan masalah kamu. Umi tak mahu masuk campur dalam hubungan kamu. Umi cuma harap kalau bergaduh pun, cepat-cepatlah berdamai.”
Joe Redzuan mengangguk faham sambil terus tersengih-sengih. Sementara Nurul Syakira hanya mampu memerhati tanpa memberi sebarang reaksi. Rasanya otaknya kini sudah sesak ditujah rungutannya.
“Emm... Syakira.” Bulat mata Nurul Syakira apabila namanya dipanggil Prof Narimah.
“Ya, prof.” Sahut Nurul Syakira gelabah.
“Nanti bila dah selesai, jumpa saya dekat bilik ya.” Prof Narimah meninggalkan pesanan lalu Prof Narimah keluar dari bilik bacaan.
“Baik... prof...” Lemah saja suara Nurul Syakira menjawab walaupun Prof Narimah sudah pun keluar dari bilik itu. Bila dia menoleh, Joe Redzuan juga sudah terkedek-kedek mengekor di belakang Prof Narimah. Cis. Baru saja Nurul Syakira mahu basuh lelaki itu cukup-cukup atas apa yang didengarnya tadi. Pandai betul lelaki itu mengelak menyelamatkan diri.



“Sejak bila kau dengan dia suka sama suka? Oh, selama ni sengaja nak berlakon depan aku yang kau tak kenal dia eh. Rupa-rupanya dah lama menyemai cinta sampai dah berbunga-bunga. Patutlah selalu juga aku nampak dia dekat area sini. Emm... rupa-rupanya, emmm....” Bermacam-macam pula andaian Liana sejak Joe Redzuan keluar dari bilik bacaan itu bersama Prof Narimah.
Tidak sangka pula gadis itu memasang telinga di luar pintu. Lepas itu, suka-suka hati Liana pula buat kesimpulan sendiri. Tidak sempat Nurul Syakira beri alasan, mulut murai itu tidak berhenti berhujah.
“Ehmm, patutlah sejak akhir-akhir ni aku tengok facebook kau penuh sesak. Pelik betul aku bila kau tiba-tiba aje jadi famous. Rupa-rupanya orang tu dah bercintan-cintun dengan artis...” Liana melirik ke arah Nurul Syakira sambil tersenyum nakal.
“Facebook? Macam mana kau boleh tengok facebook aku?”
“La, tukar topik pula. Dah aku ada dalam friend list kau. Mestilah aku boleh tengok. Semalam pun ada cerita best. Ada budak siap rancang nak buat kelab peminat kau. Pelik juga tiba-tiba kau femes. Macam itu kisahnya rupa-rupanya...”
“Ha, semalam? Biar betul!” Nurul Syakira ternganga. “Alamak!” Lantas Nurul Syakira menjerit. Dengan tidak semena-mena dia menggelabah lantas segera kembali ke meja komputernya. Cakap banyak pun tidak guna. Bukannya Liana mahu dengar alasannya. Tetikus segera digerakkan. Nurul Syakira membuka laman sesawang facebook lalu terus log masuk ke akaunnya. Sah akaunnya sudah diaktifkan semula. Rasanya Nurul Syakira sudah deaktivasikan akaunnya sebelum ini. Bla pula dia mengaktifkan semula. Mesti kerja Fara Hana.
Lantas tanpa membuang masa akaunnya segera dideaktivasikan semula. Lega. Lepas ini tidak perlulah Nurul Syakira risau lagi. Tiada siapa boleh komen sebarangan di akaunnya kerana mereka tidak akan jumpa profil Nurul Syakira. Pasal Fara Hana, siaplah dia nanti.
“Hei!” Satu hayunan laju menangkap bahu Nurul Syakira.
“Oh kau, lega aku!” Spontan Nurul Syakira melatah gara-gara terkejut dek pukulan Liana tadi.
Tersembur tawa Liana serta-merta diikuti soalannya tidak lama selepas itu. “Apa yang kau lega? Lega rahsia kau dah bocor depan aku semua ke lega cik abang sayang kau tu hantar makanan kegemaran?” usik Liana sambil bibirnya dijuirkan ke arah bungkusan makanan di atas meja Nurul Syakira. Bau kari ayam begitu kuat menusuk ke hidungnya.
“Hei! Tak ingin aku dia jadi abang sayang aku!” Pantas Nurul Syakira membidas. “Aku cuma puas sebab dah deactivate facebook aku.”
“Apasal? Sebab abang sayang kau tu kacau kau dekat situ eh. Fuiyoo... tak cukup tengok depan mata, dekat facebook pun nak berkasih sayang. Jeles aku!”
Nurul Syakira tayang muka jengkel. Berkasih sayang dengan Joe Redzuan. Huh, tolonglah. “Dia tu bukan abang sayang akulah, berapa kali aku nak cakap?! Tapi memang sebab dialah facebook aku pun dah jadi huru-hara. Macam mana dia boleh jumpa profil aku entah!”
“Shhh...” Liana meletakkan jari telunjuknya ke bibir dan merapati ke muka Nurul Syakira. “Kalau mak mertua dengar nanti, kecil hati dia,” bisiknya perlahan.
Nurul Syakira menjeling. Geram pula hatinya dengan kawannya itu yang tidak habis-habis hendak menyakat. Seketika Liana tergelak sendiri apabila melihat jelingan Nurul Syakira. Lantas Nurul Syakira mengalih perhatiannya ke skrin komputer.
“Apa yang susah? Zaman sekarang ni bukannya susah sangat nak cari orang. Kalau dia dapat profil salah seorang kenalan kau, petik jari aje dia dah boleh jumpa profil kau.”
Nurul Syakira menoleh semula ke arah Liana. ‘Betul juga! Emm... tapi siapa? Takkan Fara kut! Tengok perangai dia sejak dua menjak ni lain macam aje. Entah-entah dia yang duk berpakat dengan mamat tu!’ tekanya sebarang.
“Manalah tahu kan... mak mertua kau tu ada akaun facebook juga. Lepas tu, doktor-doktor dekat sini ada dalam senarai kawan mak mertua kau tu. Doktor-doktor tu pula kenal kau. Emm... nak dijadikan cerita, macam tulah kut dia jumpa kau!”
Berkerut-kerut Nurul Syakira mendengar kesimpulan Liana. Jauh benar dari yang difikirkannya tadi. Tapi nanti sekejap. Mak mertua?
“Alamak! Prof Narimah nak jumpa akulah!” Nurul Syakira bingkas bangun dan terus bergegas keluar.
Liana mencebik saja. “Kata tak mengaku cik abang sayang tapi mengaku pula yang prof tu mak mertua dia.”



“Jomlah ikut aku. Kan Umi aku ajak kau makan malam sama...”
Nurul Syakira melempar jelingan. Berkali-kali dia menolak ajakan Joe Redzuan. Tapi lelaki itu masih juga mengekorinya. Langkah Nurul Syakira dihayun sepantas mungkin. Walau tapak kakinya terasa sedikit sakit tapi ditahan juga.
Pon! Pon!
Bunyi hon di belakang bikin Nurul Syakira makin rimas. Hendak dipalingkan muka pun Nurul Syakira tidak berani. Sekilas dia menjeling Joe Redzuan yang masih terpekik terlolong memanggil namanya dari dalam kereta. Keretanya dipandu perlahan mengikut langkah Nurul Syakira. Semakin pantas Nurul Syakira melangkah, pantas sedikit kereta lelaki itu dipandunya. Kenderaan di belakang sudah bertempik membunyikan hon. Satu demi satu kereta mengubah haluan, terus memecut dan memintas kereta Joe Redzuan.
“Nak makan angin pergi tempat lainlah woi!” Ada suara yang bertempik.
Nurul Syakira terus tundukkan kepala. Malunya kalau orang nampak mukanya. Joe Redzuan pun satu. Hendak buat perangai pula masa-masa begini. Masa orang sibuk balik kerja hingga sesak jalan dibuatnya. Sekali tengok macam adegan dalam drama tapi tidak sangka pula Nurul Syakira terpaksa menghadapinya dalam realiti hidupnya.
Ya Allah, tolonglah hambaMu ini. Berilah aku kesabaran dalam menghadapi ujianMu.
“Cepatlah Kira. Jangan buat jalan ni makin sesak...”
Nurul Syakira mendengus setelah mendengar kenyataan Joe Redzuan. Lantas dia menoleh. ‘Eh, mamat ni. Siapa yang buat jalan ni sesak? Kau yang bijak sangat bawa kereta macam siput. Orang yang tengah belajar memandu pun lagi laju dari kau tau!’ Kata-kata itu bermain-main dibenaknya.
Perhatian Nurul Syakira terganggu apabila sebuah lagi kereta memintas. Kemudian beberapa kenderaan yang sesak di belakang kereta Joe Redzuan satu per satu mengubah laluan ke kanan. Nurul Syakira hempas keluhan halus.
“Aku tahulah nak pergi sendiri. Kau pergilah balik!” Nurul Syakira menjawab akhirnya lalu meneruskan semula langkahnya.
“Eh, takkan aku nak biarkan kau pergi sendiri. Nanti apa pula kata Umi? Nanti dia ingat kita gaduh lagi!”
Ha, biarlah Umi kau tu tahu hal sebenar. Memang sejak dari awal lagi kita tak pernah berbaik pun kan. Tak habis-habis nak bohong. Pandai-pandai beritahu Prof Narimah yang aku dengan dia tu suka sama suka, siapa yang suruh? Nurul Syakira mengomel sendiri. Makin rimas telinganya mendengar suara sumbang Joe Redzuan diselang-seli dengan bunyi hon yang bingit.
Sampai di depan jejantas, Nurul Syakira lekas-lekas meniti anak tangga melalui jejantas itu untuk menyeberangi jalan. Sengaja dia melalui jalan bertentangan. Dengan harapan Joe Redzuan berhenti mengekorinya lagi dan terus bikin jalan itu sesak. Namun Nurul Syakira perasan makin bertalu-talu bunyi hon sejak dia melalui jalan itu. Seketika, kedengaran suara memanggil namanya. Lantas Nurul Syakira segera menoleh.
“Masyaallah!” Langkah Nurul Syakira serta-merta terhenti. Terkejutnya dia melihat Joe Redzuan melambai-lambaikan tangan ke arahnya sambil memandu keretanya perlahan di laluan sebelah dalam di seberang sana. Kini jalan tambah sesak. Dilihatnya di belakang kereta Joe Redzuan, berbaris kenderaan beratur sambil bunyi hon turut menyesakkan telinga. Kenderaan yang laju di belakang pula terpaksa menukar laluan ke kiri.
“Kalau kau tak nak naik sekarang, aku ikut kau balik rumah!” pekik Joe Redzuan dari seberang.
Nurul Syakira melopong. “Memang gila mamat ni!”



Nurul Syakira menjeling ke sebelah. Sakit hatinya melihat muka Joe Redzuan. Tidak habis-habis hendak bikin hatinya sesak. Tidak reti bahasa agaknya setelah berkali-kali Nurul Syakira bertegas mahu pergi ke rumah Prof Narimah sendiri. Tapi Joe Redzuan tetap menunggu di kawasan parkir rumahnya. Malah, sekali lagi lelaki itu mengekori Nurul Syakira yang berjalan ke jalan besar untuk menahan teksi. Dek kerana tidak tahan melihat tindakan Joe Redzuan yang bikin jalan terus sesak dan tidak tahan mendengar amarah pengguna jalan raya lain, terpaksa jugalah Nurul Syakira mengikut kehendak Joe Redzuan. Ini kali kedua, dia duduk sekereta dengan lelaki itu. Pertama kali ketika Joe Redzuan menghantarnya pulang semasa kakinya terpijak kaca. Tapi ketika itu, dia duduk di belakang. Kali ini, terpaksa pula duduk di sebelah lelaki itu. Hai... perlahan Nurul Syakira melepaskan keluhan halus.
Lekas-lekas Nurul Syakira mengalih pandangannya ke luar tingkap apabila menyedari Joe Redzuan memandangnya. “Mata tu tengoklah depan masa memandu. Nanti entah apa-apa pula yang kau langgar...” Perlahan kata-kata itu dilontarkan dari mulut Nurul Syakira. Pandangannya terus dibuang keluar.
Joe Redzuan mengulum senyum. “Tak apa. Ada puteri cantik sebelah aku ni, perjalanan aku mesti diberkati.”
Buek!!! Loya Nurul Syakira mendengar bait kata Joe Redzuan. Entah ikhlas entah tidak. Tidak mungkin dia mahu percaya kata-kata lelaki bernama Joe Redzuan. Bagi Nurul Syakira, semua kata-katanya dusta belaka. Lagi-lagi Joe Redzuan memang dah banyak menyusahkan hidup Nurul Syakira dek kata-katanya itu.
Seketika, terdengar pula suara tawa Joe Redzuan. Suka hati nampak. Memang tak ikhlaslah tu. Getus Nurul Syakira dalam hati.
Sorrylah pasal tadi.” Tiba-tiba saja Joe Redzuan meluah kata maaf. Sekali lagi Nurul Syakira curiga. Boleh percayakah akan kata maaf itu? “Aku tak mahu Umi tahu yang hubungan kita ni macam anjing dengan kucing. Kalau Umi tahu, mesti Umi paksa kita kahwin cepat.”
Serta-merta Nurul Syakira menoleh.
“Umi tu dah suka sangat dengan kau. Seronok benar Umi bila dapat tahu perempuan yang aku suruh pinang dulu tu kau. Aku tak sampai hati pula nak beritahu Umi yang semua tu silap aku. Takut Umi kecil hati. Yalah, aku ni tak pernah senangkan hati Umi dari aku kecil sampailah dah besar macam ni.”
“Ha?” Nurul Syakira terkejut mendengar pengakuan Joe Redzuan. Dia seperti dapat mengagak apa yang sebenarnya berlaku tanpa pengetahuannya sebelum ini. “Kalau kau nak jaga hati Umi kau sekalipun, takkanlah sampai sejauh ni? Hati aku ni siapa pula yang nak kesah?”
Sorry.”
Hanya kata maaf itu saja yang keluar dari mulut Joe Redzuan. Nurul Syakira mengharapkan penjelasan lebih lanjut tapi sunyi sepi. Hanya suara penyanyi Jason Mraz dari corong radio menghiasi ruang kereta itu. Nurul Syakira mendengus tidak puas hati. Lantas dia berpaling ke luar semula.
“Kalau Prof Narimah suka aku sekalipun tak berguna kalau hati kita tak suka.”
Sorry.”
“Kata maaf aje tak cukup. Tak cukup nak buat aku rasa macam tak ada apa yang berlaku. Tak cukup nak kembalikan hidup aku sebelum ni. Tak cukup nak ubat hati aku lepas kau huru-harakan hidup aku, lepas kau buat aku cukup sakit hati.” Pantas Nurul Syakira memintas cakap Joe Redzuan, sepantas kereta yang memecut di lorong sebelah. Sakit telinganya mendengar kata maaf itu saja yang sampai ke telinga. Antara ikhlas atau tidak, Nurul Syakira tidak langsung pasti.
Kedengaran keluhan halus dilepaskan Joe Redzuan sebelum lelaki itu menjawab kemudiannya. “Aku betul-betul ikhlas minta maaf. Aku tahu selama ni memang aku yang salah. Kalau kau sudi, berilah hati kau pada aku. Biar aku jaga hati kau pula.” Serentak Joe Redzuan menoleh ke kiri. Mata mereka bertaut. Sepi.
Beberapa ketika kemudian, Nurul Syakira mengeleng-gelengkan kepala. Matanya dipejam seketika. Segala yang berlaku sebelum ini pantas melintas di ruang fikiran. Mengingati perkara-perkara itu bikin hatinya menolak keikhlasan Joe Redzuan. Tidak lama dia melayan fikiran, tiba-tiba dunia terasa bergoyang.
“Ya Allah!”
Nurul Syakira dapat mendengar suara Joe Redzuan mengucap dan Nurul Syakira lekas membuka mata. Keadaan selepas itu cukup mencemaskan hingga otaknya juga kosong tiba-tiba.

aku tak suka kau la: bab 40


Hari ini Nurul Syakira menerima kunjungan Aiman sekali lagi. Joe Redzuan pula tidak nampak batang hidung. Bagus juga mamat itu tidak nampak depan mata Nurul Syakira. Buat sakit mata saja. Sakit hati pun ada bila melihat senyum nakal Joe Redzuan yang acap kali ditayang setiap kali kunjungannya. Pandang Nurul Syakira dari atas ke bawah... dari bawah ke atas. Macam lelaki miang. Entah apa yang dia fikir.
Aiman pula datang hari ini dengan membawa buah tangan. Bukan makanan mamak seperti semalam. Hari ini dia membawa buah mempelam yang kuning keemasan bersama. Macam tahu-tahu saja Nurul Syakira suka makan mempelam. Penuh peti sejuk Nurul Syakira dengan mempelam dan lauk-lauk semalam.
“Emm... kaki awak dah baik ke?” Aiman menyoal. Matanya menjeling kaki Nurul Syakira dari jauh. Belum sempat Nurul Syakira menjawab soalan itu, Aiman sekali lagi bersuara. “Boleh saya tengok?”
Nurul Syakira terdiam apabila mata mereka bertaut. Soalan itu sekali lagi tidak dijawabnya. Tidak mampu rasanya untuk dia bersuara gara-gara lidahnya yang tiba-tiba kelu. Malah, Nurul Syakira membiarkan saja Aiman mencapai dan mengangkat kakinya sedikit tinggi. Tenang Aiman membelek tapak kaki Nurul Syakira yang sudah tidak lagi berbalut.
“Kaki awak ni kena jangkitan kuman ni. Kalau dibiarkan, kaki awak mungkin kena potong.”
Terbelalak mata Nurul Syakira mendengar kenyataan yang baru saja muntah dari mulut Aiman.
Ha? Biar betul?! Takkanlah teruk sangat sampai nak kena potong?!
Mata Nurul Syakira kemudiannya berkelip-kelip dengan mulutnya yang menganga. Aiman tergelak melihat riak gadis di hadapannya. Terkejut benar dia nampaknya.
“Awak janganlah risau. Kalau awak rawat sekarang, doktor cuma akan korek luka awak ni aje untuk bersihkan nanah dan kawasan yang terinfeksi...”
Terkejut lagi Nurul Syakira buat kali kedua. Kali ini suaranya yang nyaring terlontar keluar menerjah gegendang telinga Aiman.
“Ha?!”
Aiman kulum senyuman. Geli hatinya melihat respon Nurul Syakira. Tidak sampai hati pula dia mahu terus menyakat gadis itu. “Tak adalah. Saya gurau aje...” ujar Aiman cuba menenangkan tegang di wajah Nurul Syakira. Wajah Nurul Syakira jelas menunjukkan rasa tidak percaya. Berkali-kali Aiman terpaksa meyakinkan gadis itu. “Saya bergurau aje. Awak janganlah cemas sangat. Emm... mana ubat awak? Biar saja tolong bersihkan luka awak ni.”
Nurul Syakira terus tergamam. Soalan Aiman sekali lagi tidak mampu dibalasnya. Hanya tangannya saja perlahan-lahan menunjuk ke arah depan. Lantas Aiman mengikut arah telunjuk gadis itu. Kalau tidak silap arah itu menunjuk ke sebuah bilik yang bertutup pintunya.
“Dekat bilik ke?” Aiman menyoal untuk kepastian. “Err.. tak apa ke saya ambik?” soalnya lagi setelah Nurul Syakira hanya mengangguk.
Senyap.
Biar betul. Dia tak kesah ke aku masuk bilik dia? Bisik hati kecil Aiman. Dia teragak-agak. “Emm... tak apalah. Awak tunggu sini. Nanti saya datang balik...”



Balutan di kakinya dibelek perlahan. Rasa perit yang mencengkam ketika Aiman memicit keluar sisa nanah tadi sudah beransur hilang. Malah rasa dingin sedikit setelah ubat disapu dan dibalut kemas. Balutan Aiman sememangnya lebih kemas dari hasil kerja tangan Nurul Syakira sendiri.
“Assalammualaikum...”
Nurul Syakira mengangkat muka apabila mendengar orang memberi salam. Bergetar jantungnya melihat Joe Redzuan sudah terpacak hanya beberapa tapak dari tempatnya duduk.
“Yo!” Bersahaja Joe Redzuan menyapa.
Serta-merta Nurul Syakira bangun mencekak pinggang. Namun kakinya kembali sakit sebaik dihentak ke lantai. Nurul Syakira mengaduh sakit lalu cuba duduk semula. Berkerut-kerut mukanya menahan sakit.
Aduh! Asal jumpa mamat ni, ada aje yang sakit! Getusnya terkial-kial mengunjurkan kaki ke depan. Muka Joe Redzuan ditenung kemudiannya.
“Apa kau buat dekat rumah aku ni? Macam mana kau masuk?” tujahnya garang.
“Ikut pintulah...” balas Joe Redzuan selamba. Bungkusan yang dibawanya bersama dilambakkan atas meja kopi di depan Nurul Syakira. Kemudian dia mengambil tempat di depan gadis itu tanpa dijemput. “Pintu kau tu dah memang terbuka. Aku masuk ajelah,” tambahnya lagi.
“Kalau pintu tu terbuka ke tercabut sekalipun tak bermakna kau boleh masuk rumah orang sesuka hati. Tak malu.”
“Aku dah beri salam kan tadi.”
“Beri salam pun, tuan rumah tak beri kau masuk pun kau dah selamba menonong masuk macam rumah sendiri.”
Mereka terus bertelagah sehinggalah kedengaran suara Aiman bergema di telinga Nurul Syakira, sekaligus mematikan perbalahan mereka. Nurul Syakira segera menoleh. Terlupa pula Aiman juga ada di rumahnya.
“Okey.. dah siap!” Tidak lama, Aiman muncul dari arah dapur. Lelaki itu berjalan ke ruang tamu sambil menyapu tangannya yang bari dibasuh. Seterusnya pergelangan tangan baju dilurutkan ke bawah. “Nanti rain-rajinlah bersihkan luka tu. Kalau tak nanti bernanah lagi. Kalau awak nak saya... oh.” Mati kata-kata Aiman apabila menyedari kehadiran Joe Redzuan di situ. Lambat Aiman melemparkan senyuman.
Joe Redzuan tidak membalas senyuman itu. ‘Oh, ada tetamu!’ getus hatinya geram. Tingkah Aiman diperhatikan. Aiman mengutip barang-barangnya di atas lantai dan dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Kemudian lelaki itu bangun. Melihat kotak kecemasan di tangan Aiman dan balutan pada kaki Nurul Syakira yang baru diperkemas, Joe Redzuan membuat andaian sendiri. Ada secebis rasa cemburu di hatinya.
“Okeylah, Kira. Saya balik dulu. Saya tinggalkan awak ubat untuk awak sapu pada luka tu. Jangan lupa bersihkan selalu. Baru luka boleh cepat sembuh.” Aiman memberi pesanan sambil tersenyum.
“Eh, nak balik dah?” Nurul Syakira terkejut. Matanya menjeling Joe Redzuan sekilas. “Err... kawan saya ada beli banyak makanan ni. Tak terhabis kalau saya makan seorang. Dengan Fara pun belum tentu luak. Apa kata awak makan sama dengan kami malam ni?” Nurul Syakira mengajak sambil menyelongkar beg plastik yang berlambak atas meja. Yong tau fu, nasi kerabu, ayam panggang, kuih-muih, macam-macam ada. Buah mempelam... eh, macam sama saja citarasa Joe Redzuan dengan Aiman.
“Kalau kau tak boleh habiskan, bagi ajelah dekat jiran-jiran. Boleh juga kau bersedekah. Sedekah tu satu amal jariah tau!” sampuk Joe Redzuan tidak senang akan pelawaan Nurul Syakira kepada Aiman.
Nurul Syakira menjeling sambil tayang wajah jengkel. ‘Sibuk ajelah mamat ni. Suka hati akulah!’ bengkengnya dalam hati.
“Emm... boleh juga. Kalau awak bagi saya makan pun kira bersedekah juga.” Aiman kemudian membalas dengan senyuman.
Bengkak hati Joe Redzuan mendengar kata-kata Aiman. Melihat senyuman Nurul Syakira yang gembira bila Aiman setuju akan ajakannya bikin hati Joe Redzuan bagai disiat-siat. Menyampah.
“Kalau macam tu, aku pun join sekakilah. Tak manis kalau nak biarkan kau seorang dengan lelaki asing dalam rumah ni. Lagipun, tak habis juga kalau kau berdua aje yang makan,” ujar Joe Redzuan selamba. Lantas dia bangun dan memungut semua bungkusan lalu dibawa ke dapur tanpa dipelawa.
Nurul Syakira hanya mampu memerhati dengan perasaan jengkel. Terkejut Nurul Syakira akan tindakan lelaki itu.
Sibuk betullah mamat ni. Macamlah dia tu bukan lelaki yang dia nak kata aku tak manis duduk dengan lelaki asing. Habis dia tu siapa? Suami aku ke? Gerutu betul hati Nurul Syakira dibuatnya. Ikutkan rasa mahu saja dia melompat dan hentak-hentak kaki di situ. Nasib baik kakinya sakit.



Nasib baik tidak lama Joe Redzuan pandai-pandai membawa semua bungkusan ke dapur, Fara Hana pun balik. Lega hati Nurul Syakira. Tidaklah dia seorang saja di rumah itu. Bimbang juga kalau ada gosip liar yang dicanang dek kejiranannya. Ah, Nurul Syakira sendiri yang cari penyakit mengajak Aiman makan malam di rumah. Masa mengajak, tidak pula terfikir semua itu. Saja dia hendak sakitkan hati Joe Redzuan.
Fara Hana pula sejak awal lagi asyik menangkan Joe Redzuan. Bila ada saja pertelagahan pendapat, Joe Redzuan yang dibelanya. Musykil sungguh Nurul Syakira melihat keserasian mereka berdua. Aik, macam ada sesuatu yang Nurul Syakira tidak tahu saja.



Nurul Syakira menghempas keluhan halus. Pinggan mangkuk di depannya dikemas sedikit demi sedikit. Kasihan pula hendak dibiarkan Fara Hana membasuh pinggan seorang diri di dapur. Entah apa yang dicuci Fara Hana lama benar dia di depan sinki itu. Walhal bukannya banyak kuali dan periuk yang diguna untuk memanaskan makanan tadi.
Sedangkan dia terpaksa menghadap muka Joe Redzuan yang tak reti-reti bangun dari tempat duduknya. Beria benar lelaki itu makan. Tadi disuruhnya Nurul Syakira sedekahkan makanan-makanan itu tapi dia pula yang makan beria-ia. Sementara Aiman sudah lama selesai makan dan dihidangkan pula kuih-muih di ruang tamu.
Hanya beberapa minit lalu Joe Redzuan selesai menikmati makanannnya. Nurul Syakira pandang pinggan mangkuk atas meja. Kosong. Dipandangnya pula pinggan Joe Redzuan. Licin. Kemudian kedengaran Joe Redzuan bersendawa sambil membasuh tangannya dengan air dari kendi. Nurul Syakira geleng kepala.
Ceh! Belikan orang konon. Tapi dia yang makan lebih-lebih. Tapi bagus juga, tak ada makanan yang terbuang! Sungut Nurul Syakira dalam hati.
Nurul Syakira bangun. Pinggan mangkuk kotor atas meja dipungutnya satu per satu, ditindih atas satu sama lain. Selesai menyusun, Nurul Syakira hendak membawa pinggan mangkuk itu ke dapur. Namun tangannya terlebih dulu ditangkap lembut oleh sepasang tangan lain. Serentak Nurul Syakira menoleh.
“Biar aku yang buat. Kaki kau tu belum baik sangat. Jangan banyak bergerak,” ujar Joe Redzuan lalu menyambut pinggan mangkuk dari tangan Nurul Syakira.
Nurul Syakira terdiam seketika. Namun tangannya masih tidak dilepaskan dari pinggan mangkuk tersebut. Tidak lama kemudian, dia menarik pinggan mangkuk itu hingga terlepas dari pegangan Joe Redzuan. “Tak payah. Aku boleh buat sendiri. Ini kerja orang perempuan!”
Joe Redzuan merenung Nurul Syakira serentak dia melepaskan keluhan. “Jangan degil boleh tak? Kalau dah sakit tu, buatlah cara orang sakit. Biar ajelah aku tolong. Nanti pinggan tu pecah, orang lain juga yang susah.” Leter Joe Redzuan lalu menyambar pinggan mangkuk dari tangan Nurul Syakira.
Berdesing telinga Nurul Syakira mendengar ayat Joe Redzuan. Bagai dihenyak-henyak hatinya melihat cebikan Joe Redzuan sebelum berlalu ke dapur. Eii sakitnya hati Nurul Syakira. Spontan Nurul Syakira mengangkat penumbuknya sambil mengejek di belakang Joe Redzuan. Bukannya Joe Redzuan dapat lihat reaksinya itu.
Dengan hati bengkak, Nurul Syakira memungut sisa gelas kotor yang masih tertinggal atas meja. Disusunnya dalam dulang dan seterusnya dibawanya ke dapur dengan kaki terhinjut-hinjut.
Sekali lagi Joe Redzuan mahu menyambut dulang dari tangan Nurul Syakira. Tapi kali ini Nurul Syakira tidak akan biarkan. Dipegangnya dulang itu kuat-kuat. Tidak mahu melepaskannya kepada Joe Redzuan.
“Tak payahlah. Aku boleh buat sendirilah!” tujah Nurul Syakira tidak senang.
“Degillah kau ni. Pergilah duduk diam-diam kat depan aje.”
“Eh, apasal kau pula yang nak arah-arah aku duduk diam-diam? Ini kan rumah aku. Kau tu yang patutnya duduk diam-diam!” Nurul Syakira membalas. Kemudian omelannya bersambung-sambung tanpa dapat didengari Joe Redzuan. Fara Hana yang hampir selesai membasuh pinggan membiarkan saja Nurul Syakira dan Joe Redzuan saling berbalah. Alah, gaduh-gaduh sayang. Biarlah, katanya.
Dulang berisi gelas tadi sekejap di tarik Joe Redzuan, sekejap ditarik Nurul Syakira. Sudahnya terlepas ke lantai lalu berdesing bunyi dulang itu menghentam lantai mozek diikuti bunyi gelas jatuh sekaligus. Sisa air dalam gelas melimpah membasahi lantai. Kedua-dua mereka melopong sejenak.
“Ha! Tengok. Kan dah jatuh. Nasib baik gelas plastik!” Joe Redzuan terlebih dulu bersuara sambil mencekak pinggang.
Seketika, Fara Hana pula datang menghampiri. Gelas yang berterabur atas lantai dipandangnya sekilas. Kemudian Fara Hana menggeleng-gelengkan kepala memandang Nurul Syakira dan Joe Redzuan. “Emm... kerja aku dah selesai. Sekarang giliran kamu berdua pula. Yang ni... sila bereskanlah ya.” Selamba Fara Hana berkata sambil menuding ke arah gelas-gelas atas lantai. Sempat Fara Hana melempar senyuman lebar dan menepuk bahu Nurul Syakira sebelum berlalu pergi.
Apa ni? Saja aje nak biarkan aku dengan mamat ni. Mamat ni pun satu. Buat kerja orang ajelah.
Wajah Joe Redzuan ditenung dengan perasaan geram. Muka Joe Redzuan pula boleh selamba saja merenung Nurul Syakira macamlah Nurul Syakira yang buat salah. Namun Nurul Syakira tidak mahu mengalah. Jangan ingat Joe Redzuan boleh buli Nurul Syakira dengan mudah. Nurul Syakira tidak akan cair punya.
“Ha! Kau nak tolong sangat kan? Kau yang bagi gelas tu jatuh, jadi kau bereskan!” Nurul Syakira lekas-lekas hayun kakinya ke depan sinki. Pinggan mangkuk yang sengaja Fara Hana tinggalkan tadi dicucinya cepat.
Joe Redzuan memungut gelas yang bertaburan dan diletakkan semula ke dalam dulang. Kemudian dulang itu di letakkan di tepi kabinet. Matanya melilau sekitar dapur, mencari kain untuk mengelap lantai yang basah. Sesekali dijelingnya juga reaksi Nurul Syakira. Dia nampak bibir gadis itu terkumat-kamit, entah apa yang diomelkannya. Joe Redzuan mengejek dari belakang lalu dia tertawa perlahan.
Nurul Syakira sudah selesai mencuci baki pinggan yang kotor dalam sinki. Tangannya yang basah dilap dengan kain yang disangkut pada pemegang kabinet di bawah sinki. Joe Redzuan memerhati.
Lah, patutlah aku cari kain tak jumpa. Dah kena lindung rupanya! Bisik hati Joe Redzuan dan terus memerhati gerak-geri Nurul Syakira. Sebaik Nurul Syakira berpaling, gadis itu terus saja melangkah ke depan untuk kembali ke ruang tamu. Sedikit pun dia tidak menoleh ke arah Joe Redzuan walau jarak mereka bukanlah jauh sangat. Dapur itu pun bukannya besar. Nurul Syakira nampak kelibat Joe Redzuan dari hujung matanya tapi sengaja dia tidak mahu menjeling.
Mata Joe Redzuan beralih kepada limpahan air yang belum dia bersihkan. Melihat kaki Nurul Syakira yang terhinjut-hinjut mendekati lantai itu, Joe Redzuan jadi panik. Belum sempat Joe Redzuan berbuat apa-apa, Nurul Syakira sudah jatuh tergelincir di depannya. Spontan Joe Redzuan menutup mata dengan mimik muka berkerut. ‘Ouch! Mesti sakit...’ detiknya.
“Aduh...” Nurul Syakira mengaduh lalu cuba bangun. Pinggang dan punggungnya terasa begitu sengal dan sakit setelah terhentak ke lantai. Rasa macam sudah patah tulang-temulangnya semua. Sakit di hati juga makin menjadi-jadi. “Mangkuk hayun betul! Aku dah suruh bersihkan dah tadi... aduh....” bengkeng Nurul Syakira sambil mengurut-urut belakangnya. Perlahan-lahan dia cuba bangun tapi kaki yang sememangnya cedera bertambah sakit. Sekilas dia menjeling Joe Redzuan yang sekadar terpaku di tempatnya. “Tercegat lagi dekat situ buat apa? Tolonglah!”
Joe Redzuan tergelak. Perlahan bunyinya kerana ditahan-tahan. Namun tawa itu tidak ampu dia tahan terus dan akhirnya meletup jua memecahkan suasana ruang dapur itu. Hingga ke ruang tamu dapat mendengar tawanya. Beberapa ketika kemudian, muncul Fara Hana dan Aiman dari arah depan dengan riak kehairanan.
“Apa yang jadi ni? Apasal? Apasal?” Kecoh Fara Hana hendak bertanya.
Sedang Nurul Syakira muncung panjang melihat Joe Redzuan suka- hati ketawa. Kelat mukanya. Hati yang sedia sakit kian membengkak. ‘Boleh dia gelak pula. Bukannya nak tolong ke apa. Hampeh betul!’



Fuh! Lega rasa mata Nurul Syakira setelah Joe Redzuan pulang. Sakit matanya melihat muka Joe Redzuan. Tapi sakit lagi hatinya bila mengenangkan apa yang telah lelaki itu lakukan. Apa saja tindakan Joe Redzuan semuanya buat Nurul Syakira geram.
Tawa Joe Redzuan tadi juga seakan masih terngiang-ngiang di telinga. Sesekali Nurul Syakira menepis tepi cuping telinga. Cuba menepis suara lelaki itu dari terus mengganggu fikirannya. Sakit hati betul bila mengenangkan hal tadi. Boleh Joe Redzuan sedap mentertawakannya sedangkan dia mengaduh sakit. Nasib baik Aiman ada. Lelaki gentleman itu yang memimpin tubuh Nurul Syakira bangun dan dibawa ke ruang tamu. Hendak diharapkan Joe Redzuan, sampai esoklah hanya tawanya saja yang bergetar.
Aiman sememangnya seorang lelaki yang baik. Aiman melayannya seperti seorang perempuan. Lembut tindakannya membuatkan sejuk mata Nurul Syakira melihat. Lembut budi bicaranya bikin sejuk telinga mendengar. Tidak cukup dipimpinnya Nurul Syakira di depan, disoalnya Nurul Syakira bermacam soalan kerana keprihatinannya.
“Yang mana sakit? Sini sakit tak? Sini? Sini?” Disoalnya Nurul Syakira bertalu-talu untuk memastikan Nurul Syakira tidak mendapat kecederaan. Nurul Syakira rasa gembira dilayan begitu. Dia merasakan dirinya dihargai, disayangi dan seperti dirinya begitu penting dalam hidup lelaki itu. Ops, kenapa Nurul Syakira puji lebih-lebih ni?
Tapi bila mengenangkan profesyen Aiman sebagai doktor, ada secebis hampa di hati. Hai, entahkan Aiman begitu mengambil berat terhadap Nurul Syakira atau memang sifat azalinya sebagai seorang doktor. Entah-entah Aiman memang menganggapnya sebagai pesakit. Yalah, kaki Nurul Syakira kan cedera. Lepas itu jatuh bedebuk pula. Mengambil berat terhadap pesakit memang tanggungjawabnya.
Nurul Syakira hempas keluhan halus sambil menongkat dagu. Bermacam-macam pula hal yang bermain di fikirannya. Sebelum Nurul Syakira perasan lebih jauh, ditepisnya perasaan itu jauh-jauh. Nyah kau dari sini!