Pages

Hi pembaca semua!!!

Terima kasih kerana datang melawat, membaca karya-karya dalam blog ini dan terima kasih juga kepada semua yang menyokong Yuri. Yuri rasa happy sangat dengan kehadiran korang dalam hidup mahupun alam maya Yuri ni.

Segala komen dan sokongan sentiasa dan akan terus membakar semangat Yuri untuk terus berkarya menggunakan nama pena ayu munawer.

Semua karya di dalam blog ini adalah ilusi, imaginasi serta daripada pengalaman hidup. Dan yang paling penting, semua karya di sini adalah hasil karya Yuri. Mohon supaya tiada copycat dekat sini... tqvm

Harap korang terus menyokong dan beri komen mahupun kritikan untuk Yuri memperbaiki sebarang kekurangan.

P/S: Untuk makluman, karya "Dia Si Jantung Hati" akan dihentikan penerbitannya di sini atas sebab rombakan besar-besaran plot cerita. Justeru itu, judulnya juga bakal berubah. Maaf atas sebarang kesulitan. Harap korang setia menunggu dan menyokong hasil rombakannya nanti okey ^^,
"Aku tak suka kau la" kini diterbitkan di penulisan2u dengan tajuk "JIWA KACAU"..saja nk tukar tajuk. Sebb yuri rasa cam lg sesuai je tajuk ni..lebih pendek n ringkas hehe ada ka yuri edit2 skit. Harap u all x kesah nk singgah baca :-)
Sudi-sudilah berkunjung ke official blogshop yuri di http://decodanmakan.blogspot.com yer. Walaupun rupanya masih macam blog biasa, yuri pun masih belajar lagi macam mana nak upgradekannya. Macam-macam ada. Nak tau apa yang ada, kenalah singgah.

Terima kasih (^^,)v

Saturday, January 26, 2013

dia si jantung hati: bab 26


Sasha Amira sudah tersedu-sedan dengan suara yang serak seakan susah payah benar dia mahu bersuara. Sepatah kata yang sampai ke telinga Zaimah, berjelar rasanya suara tangis kawannya itu.
Zaimah merenung Intan Nazira di sebelah dengan wajah gelisah. Asalnya Intan Nazira yang dihubungi Sasha Amira tapi Intan Nazira tidak mahu cakap banyak. Lantas diserahkan pada Zaimah. Zaimah pun tidak lepaskan peluang. Rindu juga pada Sasha Amira. Selepas dia balik dari bercuti di kampung, Sasha Amira pula tidak datang ke kolej. Sudah dua hari. Zaimah juga hendak tahu cerita tentang tunang palsu Sasha Amira. Apa cerita cik abang tu agaknya. Eii... Zaimah pula teruja tidak sabar.
Tapi dekat lima minit dia cuba mendengar cakap Sasha Amira tapi sepatah haram pun dia tidak faham. Hanya yang dapat didengar hanyalah suara tangis Sasha Amira dan raungan kawannya itu sekali sekala.
“Eh... eh... eh... cubalah kau cerita dekat aku betul-betul Cakap tu biar jelas. Aku tak fahamlah Sasha.”
Eii... makcik ni pun satu! Aku tengah sakit tekak, macam mana aku nak cakap dengan jelas.
“Aku kena paksa kahwin! Mama paksa aku kahwin!” Bersusah payah Sasha Amira memekik di telefon. Kalau tidak dengar juga tak tahulah.
“Kahwin?!” Zaimah mengulang separuh menjerit. Intan Nazira yang tadi buat tak tahu juga mula pasang telinga. Dia sibuk hendak merampas telefon dari telinga Zaimah. Tapi cepat saja tangan Zaimah menepis.
Ish, tadi dia yang bagi kat aku. Malas konon nak layan. Apa punya kawan da... Getusnya kurang senang.
“Aik! Selama ni kau boleh aje tolak. Kenapa sekarang kau melalak kat sini pula? Tolaklah lagi calon suami yang mama kau pilih tu!”
Sasha Amira rasa terpukul dengan kata-kata Zaimah. Pandai pula kawannya itu menyindir. Kena sebiji ke batang hidungnya. Ikut hati mahu juga Sasha Amira membantah seperti yang dilakukannya sebelum ini. Tapi kali ini bermacam benda yang menjadi caruman. Kunci kereta, duit poket, semuanya jadi taruhan. Tambahan pula Puan Damia lepaskan kata dua yang tidak mungkin dia bantah sebagai anak. Jika tidak mengikut kata, dialah anak derhaka. Huhu... siapa yang berani? Mahunya tidak menangis dekat sini.
“Dengan siapa?” soal Zaimah lagi setelah hanya tangisan Sasha Amira saja yang makin menggila di telinga. Muka Intan Nazira yang menghimpit di sebelah ditolak berkali-kali.
Ish, memang sibuk minah ni. Aku buka speaker on baru tahu! Karang satu kuliah pula dengar suara tangis Sasha Amira. Femes terus.
“Azrai...” jawab Sasha Amira dalam tangisan yang kian kuat. Namun masih dapat didengar butirnya oleh telinga Zaimah. Laju saja tawanya meletup.
Makin birat hati Sasha Amira mendengarnya. Berbirat dengan rasa sedih, kecewa, dan geram yang berbaur. Sampai hati Zaimah gelakkan waktu-waktu begini. Bukannya nak tolong buat sesuatu ke, atau sekurang-kurangnya tenangkan hatinya ini. Dan kalau boleh, Sasha Amira tidak mahu perkahwinan ini diteruskan tapi dia juga tidak mahu jadi anak derhaka. Pada saat ini, mahu saja dia menjerit ‘apa yang patut aku buat?’. Lari? Pura-pura jatuh sakit? Cari buah hati lain? Cari siapa saja asalkan bukan Saif Azrai yang dia tidak tahu asal usul lelaki itu.
Dulu, mama marah benar kalau Sasha Amira berkawan dengan orang yang tidak tahu perihal keluarganya. Mana asal usulnya. Tapi macamlah mama tahu asal usul Saif Azrai yang tiba-tiba hendak dikahwinkan dengan Sasha Amira. Dia makin tertekan. Dua tiga hari ini mama dan papa sibuk berbincang tentang hari perkahwinan. Nampak gayanya macam lelaki itu setuju dengan rancangan mama. Aiseh, apa lagi Sasha Amira hendak buat ni?
“Elok sangatlah tu. Korang pun kan memang rancang nak bertunang dari awal lagi. Hah, mama kau dah bagi restu dah pun. Ikutkan ajelah. Aku pun tak sabar nak jadi pengapit kau.”
Sekali lagi bagai hendak tercabut nyawa Sasha Amira mendengar yang Zaimah setuju seratus peratus akan perkahwinan. Siap pelawa diri jadi pengapit lagi. Ish, ada Sasha Amira minta?
Intan Nazira juga sudah hampir pitam. Siapa tunangan Sasha Amira. Kalau benarlah gerangan yang bermain di kotak fikirannya sekarang, habislah rancangan asalnya nanti. Lain yang diharap, lain pula yang jadi. Belum sempat dia merapati Saif Azrai, sudah dikebas kawan sendiri. Tak boleh jadi ni! Intan Nazira perlu bertindak. Rancangan harus diubah segera.
Zaimah pula tidak sudah-sudah tunjuk gembira. Diucapnya tahniah kepada Sasha Amira. Geram pula Intan Nazira tengok. Lekas-lekas dia rampas telefon dari pegangan Zaimah.
“Kau jangan risau, Sasha. Aku akan tolong kau nanti. Sekarang, kau ikut aje plan mama kau tu! Nanti tahulah aku apa nak buat!”
“Hei, apa pula yang kau nak buat ni? Benda yang baik tak elok dirosakkan!” Zaimah membantah tidak senang hati mendengar rencana Intan Nazira. Entah apalah yang dirancangkan kawannya yang seorang itu. Intan Nazira menunjuk jari telunjuk ke mukanya. Lantas memberi isyarat supaya Zaimah mengunci mulut.
Ah, sudah! Kawan-kawan aku ni dah hilang akal ke apa?



Izi Helmy ternganga. Susah hendak percaya berita yang disampaikan Saif Azrai. Sepupunya datang ke pejabat hari ini semata-mata menyampaikan berita pernikahannya. Dimintanya pula Izi Helmy menjadi saksi merangkap wakil pihaknya nanti.
“Bila tarikh nikahnya?” soal Izi Helmy sebelum setuju akan permintaan Saif Azrai. Memang dia berbesar hati hendak menjadi saksi sepupunya itu. Hendak jadi pengapit juga dia tidak akan menolak. Apa saja untuk perkahwinan Saif Azrai, sepupu paling akrabnya, cakap saja. Dia pasti akan kata okey di akhirnya.
“Jumaat malam ni.”
Memang mengejutkan. Tapi Jumaat? Jumaat yang mana?
“Jumaat... esok ke maknanya?”
Saif Azrai mengangguk perlahan. Terkulat-kulat saja muka sepupunya itu hendak menjawab. Tapi Izi Helmy tidak nafikan, sangat mengejut. Semua ni terlalu mengejut. Gila. Kurang 48 jam lagi hendak diijab kabulkan, baru sekarang beritahunya fasal berita baik ni.
“Papa dan mama kau?”
Saif Azrai hempas keluhan panjang. Tubuhnya dihenyak semula ke kerusi di depan Izi Helmy. Goyang ke kanan ke kiri sambil senyap berfikir. Izi Helmy seperti dapat menghidu hal yang kurang menyedapkan hati.
“Aku tak boleh nak beritahu papa mama sekaranglah. Takkan aku nak suruh papa dan mama balik tiba-tiba. Nanti bila diorang balik, aku bagitaulah.”
Memang gila! Izi Helmy ternganga lagi buat sekian kali.
“Kau biar betul, Dino! Kau tu dahlah satu-satunya anak diorang. Bukan selalu uncle dan auntie tengok anak sendiri nikah. Lainlah kalau kau rancang nak pasang dua tiga!” Tempelak Helmy bernada serius. Sempat lagi dia memberi cadangan yang lebih haru pada Saif Azrai.
Saif Azrai termenung. Kata-kata Izi Helmy ada benarnya. Memang sudah banyak kali ditimbang tara tentang hal itu dan setiap kali juga ditolaknya untuk memberitahu berita baik itu Datuk Rauf dan Datin Kistina. Ini memang berita baik, tapi juga berita yang bakal mengejutkan. Bagaimana harus dia beritahu? Tiba-tiba mahu mengahwini Sasha Amira tanpa memperkenalkannya terlebih dulu pada papa dan mama? Mungkin tidak apa, kerana gadis itu anak kenalan mereka. Tapi bagaimana pula hendak beritahu papa dan mama yang Puan Damia tidak tahu akan asal usulnya? Pada Puan Damia, Saif Azrai adalah yatim. Bila papa dan mama muncul depan mereka, pastinya Puan Damia terkejut.
Ah, mungkin cetek fikiran Saif Azrai kali ini. Cetek disedut rasa bahagia yang kian menjalar dalam hati. Sasha Amira yang dikejar-kejar hampir menjadi miliknya tanpa perlu berkerja lebih keras. Puan Damia sudah memudahkan semuanya. Tuhan membuka jalan untuknya. Saif Azrai sanggup melutut, memohon ampun dari papa dan mama kerana menyembunyikan hal ini. Suruhlah apa saja, dia rela dengan harapan papa dan mama tidak membenci Sasha Amira mahupun keluarga. Ini dosanya, biar dia sendiri yang tanggung.


"P/S: NAK DIORANG NI KAHWIN KE TAK? NAK KE TAK? EMM...."

Thursday, January 24, 2013

dia si jantung hati: bab 25


Usai makan malam, Encik Rahim berjalan ke luar. Hendak mengambil angin malam di laman rumah. Tidak kenyang rasa perutnya duduk di meja makan walaupun dihidang bermacam jenis makanan. Baru hendak menyuap nasi ke mulut, Puan Damia sudah menyuarakan hal tentang perkahwinan Sasha Amira dengan Saif Azrai. Bila tarikh pertunangannya, bila pula hari pernikahannya, siapa jemputan yang hendak dijemput sama meriahkan majlis, bila hendak beritahu pada anak-anak lain. Macam-macam lagi hal yang Puan Damia bangkitkan.
Bila diajak berbincang selepas selesai makan, mulalah tarik muka. Encik Rahim diamkan saja. Sepanjang hari Puan Damia cakap benda yang sama. Manalah anak nak turun makan sekali. Sakit kepala budak itu disumbat berita mengejut tiba-tiba. Siapa yang tidak tertekan?
Dalam keadaan yang separuh gelap, Encik Rahim berjalan ke arah pondok kecil yang dibinanya beberapa tahun lalu untuk menghiasi taman di sebelah kolam ikan gapi. Tapi kolam itu sudah hampir kering tanpa hidupan. Ditanamnya saja dengan pokok teratai bagi menutup kekosongan di kolam itu. Seminggu sekali Encik Rahim akan membersihkan kolam itu dan ditabur dengan ubat jejentik.
Dengan hanya bertemankan serpihan cahaya lampu dari belakang rumahnya, Encik Rahim nampak ada seseorang di pondok. Selalunya Sasha Amira suka menghabiskan masa di situ tapi yang ada sekarang Encik Rahim kenal, bukan anak perempuannya.
Perlahan-lahan Encik Rahim melangkah ke sana lalu duduk di hujung pondok. Mukanya mendongak ke langit seketika. Beberapa ketika, beralih kepada orang yang duduk di sebelah. Encik Rahim tersenyum kelat.
“Macam mana pak cik?” Sejak perbincangan tentang projek pembesaran kilang Encik Rahim tempoh hari, Saif Azrai tidak lagi memanggil Encik Rahim dengan pangkat Encik. Daripada mengikut cadangan Izi Helmy untuk memanggil papa, dia lebih selesa memanggil pak cik. Apatah lagi Puan Damia memang sudah biasakan dirinya sebagai mak cik sejak awal dulu. Tapi mungkinkah tidak lama lagi terpaksa Saif Azrai memanggil Encik Rahim papa?
Encik Rahim menundukkan kepala. Memandang tanah lalu menggeleng hampa.
“Apa patut saya buat, pak cik?” Saif Azrai serba salah. Memang Encik Rahim sudah tahu isi hatinya. Semuanya sudah dibongkarkan tempoh hari. Sejujurnya dia ikhlas pada Sasha Amira tapi kalau dengan cara begini, dia juga bingung. Patutkah diteruskan?
Encik Rahim diam. Lama Encik Rahim membiarkan Saif Azrai berdebar menanti jawapan.
“Saya memang ikhlas pada Sasha tapi saya tak pasti kalau mengejut macam ni, bolehkah Sasha terima saya?” Saif Azrai bersuara lagi. Mengharapkan soalannya tadi berjawab, dia sendiri resah menunggu.
Seketika Encik Rahim menganggukkan kepala tanda faham. “Pak cik faham. Pak cik juga tahu perkara ni serius, susah untuk kamu berdua terima. Tapi, nampaknya pak cik pun tak boleh nak kata apa lagi. Mak cik tetap dengan keputusan dia. Apapun, segalanya terletak di tangan kamu. Kalau kamu setuju, sanggup nak pikul tanggungjawab sebagai suami Sasha, menjadilah kehendak mak cik. Kalau kamu tak bersedia, masakan mak cik nak paksa...”
Saif Azrai menerima kata-kata Encik Rahim sebagai satu nasihat. Tapi kalau pun dia tidak menyetujui cadangan itu sekaligus menolak diri Sasha Amira, bagaimana jikalau Puan Damia mencari pengganti lain? Bagaimana jika Puan Damia bertekad benar hendak menikahkan anaknya itu?
Kalau diikutkan suka, Saif Azrai rela mengikut telunjuk Puan Damia. Memuaskan hati wanita itu dengan menikahi Sasha Amira. Tambahan pula memang itu niat asalnya masuk dalam pengaruh keluarga itu. Untuk memiliki gadis itu. Tapi dalam keadaan sekarang, belum sempat dia memberitahu Datin Kistina dengan jujurnya tentang perasaannya. Hanya Datuk Rauf saja yang sedia maklum. Itupun, kedua-duanya tiada di tanah air buat masa sekarang. Puan Damia pula tidak tahu menahu langsung tentang asal-usulnya Saif Azrai. Disangkanya pula diri Saif Azrai sebagai anak yatim sedangkan itu cuma salah fahaman.
Ah, mama dan papa boleh dia beritahu kemudian barangkali. Dari segi hukum, pernikahannya sah walaupun tanpa mama mahupun papa kerana dia berada di pihak lelaki. Kalau hendak beritahu pada mama dan papa sekarang, mungkin terlalu mengejut. Takut-takut perang besar mama tidak sabar mahu pulang ke Malaysia.
Saif Azrai menarik nafas sedalam mungkin. Dia cuba menenangkan hati yang tadi terasa sesak. Fikirannya yang asyik berfikir bermacam perkara juga ditepis sedikit demi sedikit. Dia perlu berlapang dada.
Ya Allah, jika apa yang aku buat ini betul, Kau pimpinlah hambaMu ini untuk mendukung tanggungjawab yang diberi.
“Saya sanggup dan sedia untuk memikul tanggungjawab, pak cik. Mungkin Allah yang buka jalan untuk saya memiliki Sasha dengan cara yang halal. Insya Allah dengan izinNya, Dia juga akan buka jalan untuk saya memiliki hatinya kelak. Kalau itu yang sudah tertulis, saya terima. Asalkan pak cik dan mak cik percaya pada saya untuk membimbing Sasha.”
Encik Rahim mendepangkan tangan lantas memeluk tubuh Saif Azrai. “Terima kasih, nak... kerana sudi mengambil anak kami sebagai suri dalam hidup kamu walaupun kami sedar banyak kekurangannya Sasha Amira sebab kurangnya bimbingan kami. Pak cik memang harap kamu yang dijadikan olehNya untuk mengubah dia menjadi wanita soleha.”
Tiba-tiba Saif Azrai rasa pilu mendengar bait kata Encik Rahim. Pelukan Encik Rahim dibalas dengan mesra. Seketika dilepaskan lalu Saif Azrai menayang senyum penuh kesyukuran. “Saya berterima kasih sebenarnya pada mak cik. Tanpa tahu asal usul saya, mak cik percaya bulat-bulat pada saya dengan menyerahkan Sasha Amira pada saya. Insya Allah saya tak akan sia-siakan kepercayaan yang pak cik dan mak cik beri.”

Tuesday, January 22, 2013

dia si jantung hati: bab 24


Encik Rahim terpinga-pinga mendengar suara isterinya bagai peluru berpandu menusuk ke telinga. Baru saja dia keluar dari kereta, belum sempat masuk ke dalam rumah, Puan Damia sudah menyambut bersama cakapnya yang tidak henti-henti. Sampaikan Encik Rahim sendiri tidak dapat menangkap pokok pangkal cerita Puan Damia.
“Eh nanti... nanti. Bawa bersabar.” Encik Rahim cuba menenangkan isterinya. Mati serta-merta cakap Puan Damia. Namun dadanya yang berombak masih belum reda. Mulutnya terkumat-kamit, wajahnya herot seakan tidak sabar melepaskan semua yang berbuku di hati. “Pagi-pagi dah telefon saya suruh balik segera kenapa? Apa halnya? Cuba cerita perlahan-lahan. Bukan macam kereta api tak ada brek.” Encik Rahim mengajak isterinya masuk ke dalam rumah terlebih dulu. Tapi Puan Damia sudah tidak sabar menunggu.
“Kita kahwinkan aje anak kita tu, bang!”
Terkejut Encik Rahim bukan kepalang. Terhenti langkahnya sama di tengah jalan menuju ke ruang tamu. Buat perangai lagi isterinya itu. Ini bukan kali pertama dia mendengar cadangan itu keluar dari mulut Puan Damia.
“Anak kita tu dah tak mahu belajar. Asyik nak berhenti. Baik kita kahwinkan aje dia.” Ujar Puan Damia beria. Marahnya menggunung di dada. Bukan muda lagi Sasha Amira yang asyik hendak berhenti belajar. Kalau tidak minat hendak meneruskan belajar, lebih baik kahwin saja daripada menghabiskan duit tai belajar tidak pernah habis. Hati ibu mana yang tidak terkilan bila anak dara mereka tidak langsung memikirkan soal masa depan.
“Sasha nak berhenti lagi?” soal Encik Rahim inginkan kepastian.
“Kalau abang tak percaya, abang tanyalah pada anak abang tu sendiri.” Puan Damia terhentak-hentak meniti anak tangga naik ke atas. Dibawanya Encik Rahim bersama menuju ke kamar anak gadisnya.
Kali ini Puan Damia tidak lagi mengetuk pintu sebelum masuk. Terus saja ditolak pintu itu luas-luas dengan muka marah. Sasha Amira yang baru selesai menyisir rambut terkejut melihat papa dan mama tercegul depan muka pintu biliknya. Sikat di tangan digenggam kemas.



“Hai, Intan!” Zaimah menepuk Intan Nazira dari belakang. Serentak kawannya itu menoleh dengan renungan tajam. Zaimah membalas dengan senyum lebar lalu terus ambil tempat di sebelah Intan Nazira.
Amboi! Minah ni, datang saja nak buat orang sakit jantung. Tak retikah nak beri salam.
“Lama cuti.” Intan Nazira menegur pendek.
Zaimah tersenyum-senyum lagi. Tangannya menyeluk beg kemudian sebuah bekas makanan dibawa keluar dan diletakkan depan Intan Nazira. “Mak ayah aku baru balik Mekah. Ada kenduri sikit. Ni, aku bawakan buah tangan untuk kau dan Sasha.” Lebih seminggu Zaimah mengambil cuti untuk menyambut kepulangan kedua orang tuanya yang selesai mengerjakan haji. Dua malam mereka membuat kenduri kesyukuran. Tanda syukur kerana kedua orang tuanya selamat mengerjakan rukun islam yang kelima itu dan selamat juga pulang ke tanah air hingga ke kampung halaman.
“Eh, mana Sasha? Tak nampak dia pun.” Baru Zaimah perasan akan ketiadaan Sasha Amira di sisi Intan Nazira. Dia mencari-cari di sekitar dewan kuliah. Beg Sasha Amira juga tiada di sebelah. “Pergi tandas ke belum sampai?” soalnya lagi.
“Demam,” jawab Intan Nazira pendek. Bekas berisi penuh bermacam jenis kacang, kurma dan kismis dari Mekah dibelek dengan jari. Sebiji demi sebiji disuap ke dalam mulut.
“Demam?!” ulang Zaimah hampir menjerit. Matanya dibulatkan. Intan Nazira tidak menjawab buat kali kedua. Dia sekadar mengiakan dengan anggukan kepala.



Sasha Amira menghempas nafas panjang. Semua telahan mamanya ditepis dengan melayangkan tapak tangan. Dia cuba bersuara, tapi suaranya masih tenggelam timbul. Makin perit jadinya. Encik Rahim sudah menekan-nekan kepala. Saif Azrai juga ada bersama, dipanggil mama beberapa minit lalu. Entah kenapa, untuk apa dipanggilnya lelaki itu Sasha Amira tidak tahu. Apa yang pasti, dia rasa tidak sedap hati. Semuanya berkumpul di bilik Sasha Amira seperti ada mesyuarat tergempar. Tapi masing-masing berdiri pada jarak yang agak jauh.
“Mama carikan calon suami untuk kamu selama ni, kamu tak mahu. Kalau dah malas sangat nak belajar, buat apa pun semuanya separuh jalan, hah kahwin ajelah senang. Mama pun tak payah lagi pening-pening kepala.” Puan Damia asyik mengulang hal yang sama. Sasha Amira masih cuba melayangkan tangannya, cuba membantah. Tapi masih tidak berhasil mendapatkan perhatian Puan Damia.
“Ni hah! Azrai ni pun boleh dibuat suami kamu!” Puan Damia menarik tangan Saif Azrai lalu dibawa ke depan. Terpinga-pinga lelaki itu dibuat mama. Sasha Amira usah dibayangkan reaksinya. Tentu saja dia terkejut besar bila mama mencadangkan Saif Azrai sebagai calon suami terbaru. Baru saja dia rasa lega sebab Puan Damia tidak lagi merancang untuk menemukan dia dengan mana-mana lelaki. Tapi sekarang....
“Mama...” Dengan suara serak bak angsa, Sasha Amira membantah. “Sasha tak kata pun nak berhenti belajar. Mama aje yang percaya cakap Intan tu bulat-bulat. Sasha cuma nak berhenti dari teater aje. Sebab Sasha tak nak berlakon dengan Azam.”
“Azam? Siapa Azam?” Puan Damia melingas memandang setiap orang. Tidak lama, Puan Damia sendiri yang ingat akan budak bernama Azam yang dimaksudkan anaknya. “Oh, budak Azam teater tu? Yang kamu dok berlakon sama dua tahun lepas? Hah! Elok sangatlah tu kamu berhenti. Mama pun tak suka kamu dengan budak Azam tu. Rambut berkarat, serabut macam orang bangun tidur. Lebih baik kamu ikut cakap mama daripada bercampur dengan budak tak semenggah tu!”
Berkerut seribu wajah Sasha Amira tidak mengerti. Hingga ke situ pula mamanya fikir sedangkan dia langsung tidak ada perasaan pada Kairel Azam. Puan Damia sudah menggila marahnya. Walau Sasha Amira cuba jelaskan, Puan Damia tidak beri peluang.
“Azrai, kamu hantar rombongan meminang lekas. Mak cik tak larat nak jaga Sasha ni sampai ke tua.”
“Astaghfirullah alazim. Mengucaplah Mia. Kenapa tiba-tiba pula nak paksa budak-budak ni kahwin. Sasha dah kata kan dia bukannya nak berhenti belajar. Dia cuma berhenti dari teater saja. Apa yang kalut sangat?” Encik Rahim mendapatkan Puan Damia. Belakang Puan Damia dielus perlahan, cuba menenangkan isterinya itu.
“Dah banyak kali bang dia buat perangai macam ni. Mula-mula berhenti dari kelab. Lepas tu, berhenti belajar pula. Sekarang ni nak buat perangai lamalah tu. Tak sedar diri tu dah makin tua. Takkan nak dibiarkan aje bang.”
“Habis tu, yang awak paksa dia kahwin ni betulkah gayanya?”
“Ish, abang jangan nak buat macam saya ni buat salah depan anak. Saya tahu apa yang saya buat. Azrai, mak cik tak kira. Kamu kena hantar juga rombongan meminang anak mak cik ni. Kamu pun dah masak dengan perangai si Sasha tu.”
Saif Azrai tergamam. Encik Rahim sudah mati kutu. Puan Damia tetap dengan pendiriannya. Mulutnya terus berleterkan Sasha Amira, memberi peringatan itu dan ini hingga terpaku anaknya itu.
Parents saya sebenarnya... tak ada...”
Tumpuan Puan Damia kembali kepada Saif Azrai. Wajahnya yang tegang tadi perlahan-lahan berubah kendur. “Maafkan mak cik. Mak cik tak tahu yang kamu anak yatim. Tak apalah. Kamu tak perlu hantar rombongan pun tak apa. Boleh diijabkan aje terus.”
Saif Azrai terpempan lagi. Wajah Encik Rahim dilihat. Hilang kata-katanya untuk diucapkan walaupun dia mahu beritahu hal yang sebenar. Nampaknya Puan Damia tidak tahu lagi berkenaan hal dirinya. Mungkin pada Puan Damia juga Encik Rahim tidak bercerita tentang perjumpaan mereka sebelum ini. Aduh, habislah dia kali ni!
“Kamu jangan degil cakap mama lagi. Kali ni kamu tak boleh lari mana dah! Alang-alang kamu dah tak mahu belajar, kunci kereta kamu pun mama yang pegang!” Puan Damia beralih semula kepada Sasha Amira. Setelah memberi kata dua, Puan Damia bergegas keluar dengan dada yang berombak kuat.
Encik Rahim dan Saif Azrai saling merenung. Kemudian sama-sama melihat Sasha Amira yang sudah terjelepuk ke lantai.
“Apa kena pula dengan mama kamu tu? Tak apalah, nanti bila marah mama reda, papa akan cuba bercakap dengan mama baik-baik.” Encik Rahim cuba memujuk. Bahu anaknya ditepuk perlahan. Dengan berat hati, Encik Rahim meninggalkan Sasha Amira sendiri.
Saif Azrai juga diajak keluar bersama. Ada perkara yang Encik Rahim perlu bincangkan nanti. Mungkin juga lelaki itu terkejut. Biarlah semuanya reda dahulu. Encik Rahim akan berbincang semula dengan Puan Damia yang entah apa angin gilanya hari ini. Buat semua orang dalam rumah ini pening kepala. 

Sunday, January 20, 2013

dia si jantung hati: bab 23


Aman saja Sasha Amira rasa pagi ini. Air diceburkan ke muka setelah gigi habis diberus. Kemudian dia tenung wajahnya lama-lama di depan cermin. Satu nafas panjang dihela perlahan. Ringan pula mulutnya memberitahu Puan Damia tadi yang dia tidak sihat. Malas pula rasa hendak ke kolej hari ini. Nanti terserempak lagi dengan budak-budak kelab budaya, entah apa pula yang diminta mereka.
Dia mahukan ketenangan. Mama pun sudah lama tidak membawanya ke hulu hilir menjual muka depan kawan-kawannya. Tapi, Saif Azrai pula yang muncul menjadi pengacau. Menyemak betul singgah dalam hidup Sasha Amira. Sekejap menjual burger dan sekarang hari-hari Sasha Amira terpaksa menghadap muka dia. Tapi kadang-kadang bagus juga lelaki itu ada. Seperti semalam. Tenang sikit kepala Sasha Amira yang sesak petang semalam. Berkesan juga Saif Azrai membawanya duduk-duduk di tasik, rehatkan minda. Semua masalah terus ditolak tepi. Pandai-pandailah Fauziah selesaikan masalah sendiri lepas ini.
Sasha Amira keluar dari bilik mandi. Tengah hari sikitlah baru dia bersihkan badan. Sejuk. Tubuhnya menggigil perlahan. Katil yang belum berkemas menjadi tumpuan semula. Lekas-lekas dia hayun kaki dan hempas ke tilam. Melantun-lantun tubuhnya sekejap dek spring tilam yang menganjal.
Hai. Kalau sambung tidur memang best betul ni! Sasha Amira bermalas-malasan atas katil. Matanya cuba dilenakan walaupun tidak terasa begitu kantuk.



Saif Azrai baring di atas pondok di sebelah kolam ikan di laman rumah Encik Rahim. Setelah Puan Damia memberitahunya yang Sasha Amira tidak sihat dan tidak mahu ke kolej, terus saja dia duduk di situ. Puan Damia juga tidak ke mana-mana yang perlu dibawanya.
Tangannya diletakkan di dahi. Matanya pula memandang ke atas, ke arah tingkap bilik Sasha Amira. Dia tahu bilik yang menghadap ke taman itulah bilik Sasha Amira kerana sudah beberapa dia nampak gadis itu mengintai ke bawah dari tingkap itu. Tidak sihat lagikah gadis itu? Sejak akhir-akhir ini, gadis itu selalu tidak sihat. Mungkinkah memang begitu sebelum dia muncul dalam hidup Sasha Amira?
Suara orang memberi salam di depan laman mengejutkannya. Segera tubuhnya diangkat bangun mencari suara yang di luar. Suara Saif Azrai perlahan menyahut salam bila sampai ke depan. Kelihatan Intan Nazira manis yang berbaju kurung tersenyum ke arahnya. Senyuman itu dibalasnya lambat. Di benak, ada rasa hairan.
Intan Nazira tersipu-sipu melambai. “Sasha... ada?” tanya beberapa ketika.
“Sasha tak berapa sihat hari ni.”
Terus saja wajah Intan Nazira berubah cemas. Kakinya dianjak lagi mendekati Saif Azrai. “Tak sihat?” ulangnya. “Boleh saya jenguk dia?”
Saif Azrai merenung muka Intan Nazira tanpa berkata apa-apa. Lambat dia menganggukkan kepala lalu mengiringi Intan Nazira masuk ke dalam.
“Awak okey ke dengan Sasha?” Sempat Intan Nazira mengajukan soalan itu. “Perangai dia tu memang panas baran sikit. Suka nak marah-marah, selamba, degil, keras kepala.”
Saif Azrai menoleh ke arah Intan Nazira dengan kerutan di dahi. Sepatah pun dia tidak membalas. Menjawab tidak, mengiakan pun tidak. Kebetulan pula Puan Damia hendak naik ke atas dengan membawa dulang berisi bubur dan air menegur mereka. Elok benarlah Puan Damia yang membawa Intan Nazira menziarah Sasha Amira. Sementara Saif Azrai meminta izin kembali duduk di luar.
“Biar Intan bawakan mak cik.” Intan Nazira berbahasa dengan Puan Damia. Puan Damia tersenyum lalu menghulurkan dulang yang di bawanya. Lantas dulang itu bertukar tangan.
“Kamu tak pergi kelas ke hari ni?”
“Cadangnya memang nak ke kelas dengan Sasha tadi mak cik. Tapi dengar khabar dia tak sihat, alang-alang Intan dah datang apa salahnya ziarah sekejap.”
Manis saja Intan Nazira menjawab. Sejuk hati Puan Damia mendengar. Lama kawan anaknya itu tidak nampak batang hidung di rumah ini. Dua tiga tahun lepas, selalu juga Sasha Amira membawa kawan-kawannya yang balik. Yang seorang lagi, emm... Puan Damia kurang ingat namanya. Tapi kalau lihat rupanya, mungkin Puan Damia dapat mengecam.
“Lama kamu tak datang rumah mak cik ni...”
Intan Nazira tersenyum saja. Tidak dijawabnya soalan itu dengan bait kata. “Macam mana Sasha boleh tak sihat mak cik? Semalam okey aje.”
“Emm.. tak tahulah.”
Pintu bilik Sasha Amira kemudiannya diketuk Puan Damia dari luar. Dalam beberapa saat, pintu itu sudah dikuak Puan Damia dari luar. Puan Damia dan Intan Nazira melangkah masuk. Kelihatan sekujur tubuh terbaring di atas katil.
Puan Damia melangkah ke arah anak gadisnya. Bahu Sasha Amira digoyangkan sedikit untuk mengejutkannya dari lena. Nama Sasha Amira dipanggil lembut menyuruhnya bangkit.
Lambat-lambat Sasha Amira menyelak kelopak mata. Dia terpisat-pisat memandang Puan Damia. Di belakang Puan Damia, seorang gadis tercegat dengan membawa dulang. Gadis itu tersenyum. Macam kenal. Intan Nazira.
Kemudian dulang yang dibawa Intan Nazira diletak di meja sisi sebelah katilnya. Sasha Amira menegur perlahan. Dia berkerut. Sekali lagi, nama Intan Nazira disebut perlahan. Matanya makin bulat dengan tangan meraba tekak.
Alamak! Aku betul-betul tak sihat ke? Hatinya berdetak. Dia cuba menyoal sesuatu. Tapi makin perit tekaknya lalu soalan itu mati.
“Isi perut kamu tu sikit. Nanti sakit melarat...” Puan Damia menarik meja kecil itu dekat kepada anaknya. Gelas berisi air kosong dihulur kepada Sasha Amira. “Nah, biar tekak tu rasa lega sikit.”
Sasha Amira hanya mengikut kata. Gelas yang dihulur Puan Damia disambut lalu meneguk sedikit air di dalamnya. Seketika, Intan Nazira duduk melabuhkan punggung di sebelah Sasha Amira. Tangannya diletak di dahi Sasha Amira. Panas sedikit lalu dia menggumam bibir.
“Kau demam rupanya.” Intan Nazira mula bersuara. Mangkuk berisi bubur diambil dari dalam dulang. Sesudu dicedoknya lalu ditiup perlahan. “Ingatkan kau sengaja tak mahu datang kolej lagi. Kan semalam kau kata nak quit.”
Mata Sasha Amira sudah membulat mendengar kata-kata Intan Nazira. Bubur yang disuakan ke mulutnya oleh kawannya itu juga tidak masuk ke dalam mulut. Malah bibirnya tidak sedikit pun terbuka.
Puan Damia yang sibuk mengemas bilik anak daranya tadi juga cepat menoleh. “Quit? Berhenti apa? Berhenti kolej?” Ajunya bertalu-talu membuatkan Sasha Amira dan Intan Nazira serentak berpaling ke arahnya. “Kamu nak berhenti kolej lagi?” Wajah Puan Damia menyinga.
Sasha Amira gelabah menggeleng. Hendak bersuara menafikan telahan mama suara pula tidak mahu keluar. Hanya gerak gayanya saja yang menolak dakwaan itu. Namun Puan Damia tidak percaya.
“Apa nak jadi dengan kamu ni? Asyik-asyik nak berhenti. Bila ada masalah sikit aje, kamu terus nak berhenti belajar. Bila nak habis belajar kalau macam ni?”
Sasha Amira menafikan lagi dengan gerak tangan. Mata melirik tajam ke arah Intan Nazira yang sudah tergamam di sebelah. Pandai-pandai saja kawannya itu buat cerita. Seketika Intan Nazira meminta diri. Sebaik bersalaman dengan Puan Damia, Intan Nazira berlalu pergi. Puan Damia berlembut sikit dengan Intan Nazira. Tersenyum kelat dan berterima kasih kerana sudi menjenguk Sasha Amira.
Sebaik Intan Nazira lesap dari kamarnya, Puan Damia kembali meninggi suara. Marahkan itu dan ini. Panas telinga Sasha Amira sedangkan mama tidak seikit pun beri peluang kepadanya memberi penjelasan. Serak-serak suaranya memanggil nama mama untuk mencelah. Tapi langsung tidak diberi peluang. Sasha Amira juga rasa makin lemah tubuhnya. Lantas dia menarik bantal dan baring semula. Dari katil, dia memerhati Puan Damia.
Mulut mama terus berleter dengan tangan sekejap mencekak pinggang, sekejap laju menyusun barang-barang dalam biliknya. Mama, mama... marah-marah pun sempat lagi mengemas. Lagi bengkak hati Sasha Amira mengenangkan Intan Nazira. Sudah pandai-pandai menyampai cerita kurang benar, bukannya hendak menjelaskan situasi sebenar. Boleh pula dia minta izin untuk pergi. 

Friday, January 18, 2013

dia si jantung hati: bab 22


“Drama apa pula ni!” Sasha Amira membentak keras. Tercungap-cungap Raihana datang mencarinya. Baru saja kaki mahu melangkah pulang. Ingatkan bolehlah dia balik awal hari ini. Goyang kaki di rumah, sambil menghadap kolam ikan mama di sebelah pondok kegemarannya. Sudah lama rasanya dia tidak buat begitu. Kelab budaya tidak habis-habis merampas masanya. Ada-ada saja hal yang berlaku dan paling tak bestnya, melibatkan dirinya. Kenapa tidak dicari saja orang lain.
“Drama apa pulanya. Betullah ni. Si Fauziah tu nak kau ganti Intan jadi pelakon utama!” Serius muka Raihana memberitahu.
Sasha Amira tercengang lagi. Kemudian dihempas keluhan berat sekuat mungkin. Biar Raihana tahu yang dia tengah bengang. Ingatkan sudah siap kerjanya dengan teater amal kali ini. Rupanya... ada lagi?
“Kenapa pula aku kena gantikan Intan? Kenapa tak ambil saja dia bawa watak heroin tu?”
“Itulah masalahnya. Baru sehari kami agihkan tugas, tiba-tiba aje Intan tarik diri dari teater ni. Jadi, macam tak ada orang lagi yang boleh ganti tempat dia.”
Sekali lagi dihempas nafas yang kian memberat. Sesak sungguh rasanya dada Sasha Amira sekarang. Tempoh hari, bukan main giat lagi Intan Nazira membodek dan mengambil hati Fauziah. Kononnya nak dapat watak utama. Nah, sudah diberi wataknya kenapa pula Intan Nazira tarik diri tiba-tiba? Atau... ada muslihat lain yang Intan Nazira fikirkan? Ish, tidak kuasa Sasha Amira terus buruk sangka pada kawan sendiri.
“Macam tak boleh? Buatlah uji bakat, cari pelakon baru. Takkan semua benda nak campak kat muka aku?”
“Dah tak sempat. Masa dah suntuk sangat nak cari pelakon baru, nak uji bakat segala. Kau aje yang dia nampak. Intan pun suggest kau ganti tempat dia. Lagipun kau pernah berlakon dengan Azam sebelum ni. Aku rasa chemistry kau berdua pun okey.”
Ah, sudah! Terbelalak besar matanya mendengar nama itu keluar dari mulut Raihana. “Azam watak utama ke?” Bagai terjerut leher Sasha Amira apabila Raihana mengangguk. Kurang asam punya Intan. Dia saja lepas tangan, hempuk pula beban tu ke muka aku. Bentaknya geram. Memang niaya dia kali ini. Masakan Intan Anzira menarik diri kerana Kairel Azam. Kenapa pula Intan Nazira hendak tarik diri kalau Kairel Azam heronya? Apa pula masalah antara mereka berdua tu? Lepas itu, pandai-pandai mencadangkan dirinya sebagai pengganti heroin?
“Tambah pula skrip ni kau yang tulis. Rasanya tak jadi masalah untuk kau menghayati cerita ni nanti!”
Tak ada masalah? Huh! Memang masalah besar sebab ini cerita cinta! Terbayang-bayang lakonan mereka berdua dalam pementasan dua tahun lepas, tubuhnya segera menggigil. Bila difikirkan tentang skrip kali ini yang hasil tulisan Saif Azrai lebih gila romantiknya, masya-allah. Dia mengucap panjang. Ya Allah, apalah yang patut aku buat sekarang? Sasha Amira lagi tidak sanggup mahu bergandingan dengan Kairel Azam.
“Jom! Ikut aku... kau kena tolong aku juga kali ni!”
Tangan Sasha Amira terus ditarik Raihana, dibawa lari hingga ke dewan. Tergamamnya dia sehingga tidak mampu membuka mulut. Otaknya asyik membayangkan itu dan ini. Memikirkan tentang sikap Kairel Azam yang perasan setelah mereka digandingkan sekali. Macamlah Sasha Amira miliknya betul-betul di luar pentas. Mengarut.
Jauh benar fikirannya melayang hingga tidak sedar diri sudah berada di depan pentas. Berhadapan dengan puluhan krew kelab budaya yang sibuk membuat kerja masing-masing. Krew prob sibuk melakar dan berbincang tentang prob yang perlu mereka sediakan. Krew kostum sibuk dengan pelbagai jenis pakaian dan aksesori depan mata. Para pelakon pula masing-masing sedang menghafal bahagian skrip masing-masing.
Sebaik Raihana memekik memanggil nama Fauziah, semua mata tertumpu ke arahnya. Terpaku terus Sasha Amira di situ. Seketika Fauziah bangun dari celah krew teknikal yang tadi sibuk berbincang sambil menunjuk ke atas. Berbincang perihal sorotan lampu barangkali.
Dari balik pintu depan dewan, Intan Nazira mengintai senario yang berlaku di dalam. Bibirnya mengulum senyum penuh makna.



“Kenapa monyok saja?” Akhirnya Saif Azrai menegur. Setelah lama dia perhatikan Sasha Amira yang diam dan ketat saja mukanya sejak masuk dalam kereta tadi. Semalam marah-marah, pagi tadi juga tidak habis-habis hendak bertekak dengannya. Petang ini pula diam membisu.
Sasha Amira terus diam. Soalannya tadi juga tidak dijawab gadis itu. Saif Azrai mula curiga. Tidak sihat lagikah gadis itu? Lekas Saif Azrai membelok dan memberhentikan kereta di lorong kecemasan. Tubuhnya menoleh ke belakang.
Sasha Amira memandang ke depan. “Kenapa berhenti?” soalnya dengan muka tawar.
Sedar rupanya dia. Saif Azrai berfikir-fikir. “Awak okey?” soalnya pula ingin tahu. Lesu saja muka Sasha Amira di matanya. Tentu ada yang tidak kena.
“Penyibuk! Jalan ajelah!” Wajah Sasha Amira yang ketat tadi kian tegang. Marah benar nampaknya. Saif Azrai akur. Sihatlah tu, fikirnya. Dia kembali memandang ke depan. Tidak lama kereta itu bergerak semula.
Mata Saif Azrai tetap menjeling ke cermin, melihat reaksi Sasha Amira di belakang. Gadis itu kembali merenung ke luar tingkap. Tergerak hati Saif Azrai untuk mengubah haluan. Dipandunya kereta itu menuju ke Titiwangsa.
Tiba di kawasan parkir, Saif Azrai memberhentikan kereta. Menghadap betul-betul di depan tasik Titiwangsa. Tersentak lagi Sasha Amira apabila kereta itu tidak lagi bergerak. Dijengah keluar, tiada pun rumah papa. Pastas mukanya masam mencuka merenung tajam ke arah Saif Azrai.
“Saya ingatkan awak perlukan tempat untuk tenangkan fikiran,” ujar Saif Azrai tanpa diminta.
Sasha Amira menjeling geram. Tanpa mendengar cakapnya selepas itu, lelaki itu pula yang keluar dari kereta. Berjalan beberapa tapak ke depan dan menongkat tubuh di tiang penghadang di tepi laluan tasik. Sasha Amira dapat melihat semua tindakan lelaki itu dari dalam kereta.
Di depannya terbentang tasik yang luas dan dihiasi landskap yang cantik. Berdesup sesekali manusia yang joging di situ lalu di depan Saif Azrai. Pandai-pandai saja lelaki itu bawa dia hingga ke sini. Semua orang memang pandai buat keputusan sendiri, tanpa keizinan dan kerelaannya. Sungguh tidak adil.
Namun melihat keindahan di luar sana, ketenangan waktu petang dengan menikmati keindahan Tasik Titiwangsa buatkan dia mengalah lagi. Lambat-lambat dia turun dari kereta. Berjalan ke depan dan berdiri di tempat yang sama di mana Saif Azrai sudah lama bermenung jauh. Tangannya memeluk ke tubuh. Matanya turut memandang ke depan. Menghadap air tasik yang nampak tenang.
“Dalam bandar yang sesak pun masih ada tempat yang tenang.” Tiba-tiba Saif Azrai bersuara. Segera Sasha Amira menoleh kerana terkejut. Memang kacau stim betul! “Dalam hidup yang rumit pun pasti ada ruang untuk kita menarik nafas panjang.”
Huh! Bermadah apa pula ni? Tak faham langsung! Tak kiralah rumit ke tak rumit ke, memanglah kena bernafas. Kalau tak bernafas matilah manusia. Gumam Sasha Amira tidak mengerti. Tiba-tiba lelaki itu memalingkan muka. Memandang tepat ke arahnya. Kemudian tersenyum manis menampakkan lesung pipitnya. Seketika dia terpana. Lantas lekas dia mengalih pandanan ke depan semula.
“Orang kalau stres selalu, takut-takut sampai ke wad mental perginya.” Sasha Amira menoleh semula. Tercegil matanya kali ini. Sedangkan Saif Azrai sudah tergelak kecil. Hendak bergurau sekalipun, agak-agaklah. Melampau sungguh.
Namun Sasha Amira tidak membalas. Tidak ada modal rasanya mahu membalas lalu perbualan mereka mati di situ. Saif Azrai duduk bertenggek di atas penghadang jalan itu. Matanya begitu jauh merenung ke depan. Macam dia pula yang punya masalah besar. 

Thursday, January 17, 2013

dia si jantung hati: bab 21


Lega hati Sasha Amira setelah menyerah skrip tebal kepada Fauziah. Lekas-lekas dia minta diri. Malas mahu banyak cerita. Letih hendak menghadap muka cik pengarah yang banyak cekadak. Sekarang hatinya senang. Begnya juga tidak seberat tadi. Huh, memang berat betul skrip teater kali ini. Mana tidak. Selalunya dia tulis skrip untuk pementasan satu hingga satu setengah jam. Kali ini untuk hampir tiga jam. Aduh. Memang macam hendak tercabut jari menaip. Itu belum lagi sel-sel otak yang dah kurus memikirkan idea.
Nasib baik bodyguard aku rajin tolong! Eh, kenapa pula aku dah panggil dia bodyguard pula ni. Dah macam bunyi si Intan tu pula!
“Amboi! Suka hati nampak!” Intan Nazira menyergah dari belakang lalu beria menayang sengih di sebelah Sasha Amira. Mak ai! Memang terkejut betul Sasha Amira dibuatnya. Melodi yang dinyanyikan perlahan tadi juga lenyap serta-merta. Tapak tangan menyinggah ke dada. Berdetak laju jantungnya. Intan, Intan… hari ini dah berapa kali dia buat aku terkejut beruk!
“Kenapa? Tak bolehkah aku nak rasa seronok sikit lepas dah hampir pecah kepala siapkan cerita yang adik kesayangan kau tu minta!” sela Sasha Amira menyindir.
“Adik kesayangan?” Intan Nazira kurang mengerti. Wajah cerianya tadi terus bertukar kelam. Tidak faham langsung.
“Alah! Siapa lagi kalau buakn cik pengarah yang cerwet yang amat tu. Bukan main lagi aku tengok kau berkepit aje dengan dia lately. Makan minum pun kau tolong belikan. Aku yang tertonggok kat situ tak pernah pula kau belikan air sekalipun.”
“Hai, kecil hati nampak!” Intan Nazira langgar bahu Sasha Amira dengan bahunya. Senyuman nakal hinggap lagi di bibir. “Alah, biasalah. Nak bodek punya fasal. Takkanlah kau tak faham lagi…”
Sasha Amira sneyum. Faham? Memang dia faham sangatlah kalau itu tujuannya. Bila cik pengarah sudah habis dibodek, senanglah Intan Nazira hendak dapat watak utama. Lepas itu boleh demand yang macam-macam sebab pengarah dah ada dalam genggaman. Tapi yang peliknya, pengarah kali ini bukannya lelaki. Menjadikah semua usaha Intan Nazira tu nanti? Gasak kaulah Intan. Asalkan kau tak kacau aku sudah!
Langkah Sasha Amira terhenti tiba-tiba hingga Intan Nazira juga terikut sama. Dia terpempan. Hai, lelaki itu lagi!
“Eh, kau dengan budak burger tu couple betul ke? Aku tengok sekarang ni dia asyik datang jemput kau aje.”
Jantung Sasha Amira makin kencang mendengar soalan yang diajukan Intan Nazira. Beria benar nampk gayanya Intan anzira hendak tahu. Dari pagi tadi dia menyoal hal yang sama.Minah ni kalau dengar Sasha Amira dengan lelaki memang dia yang teruja lebih-lebih tapi tak pernah pula dia tanya banyak-banyak macam hari ini. Lain macam betul kawannya hari ini.
“Hei, dia tu cuma budak burger aje beb. Si Azam tu lagi berkepuk poket dia kalau nak dibandingkan dengan dia!” Beria Intan Nazira bersuara sampai muncung juga herot ke kanan ke kiri. Nasib baik tak tersimpul satu mulutnya itu.
Ha! Yang ini memang Intan Nazira. Kaki komplen! Berdesing rasa telinganya mendengar nama Azam juga menjadi subjek dalam perbualan kawannya itu.
“Dia tu cuma driver aku ajelah!” Tukasnya agak keras lalu berjalan laju-laju ke arah kereta. Saif Azrai sudah menanti dengan duduk di depan but depan seperti hari-hari biasa.
Driver? Hati Intan Nazira sudah melonjak gembira. Kalau setakat pemandu dan cik puan, nampaknya Intan Nazira ada peluang hendak mencuri hati Saif Azrai. Tidak payahlah dia susah payah pasang jerat. Sasha Amira bukannya tahu teman lelaki palsu dia tu ikan besar. Baik aku yang rembat dulu!
Terkedek-kedek Intan Nazira mengejar dari belakang.
“Err... Azrai. Boleh awak tolong hantar saya balik sekali?” Intan Nazira beralih kepada Sasha Amira yang sudah sedia masuk ke dalam kereta. Ditayangnya muka kasihan depan kawannya itu. “At least kat depaan stesen LRT pun tak apa....” Berkelip-kelip mata Intan Nazira minta simpati. Dalam hati cuma mahu berdampingan dengan Saif Azrai. Kalau Sasha Amira tak ada lagi bagus!
“Jomlah!” Sasha Amira mengajak terus. Tidak pernah-pernah dia melihat Intan Nazira buat perangai macam ini. Memang pelik, seribu kali pelik. Selalunya Zaimah saja yang pandai buat muka begitu. Hai... entah apa sakitnya Intan Nazira ni.
Intan Nazira sudah melebar senyum lantas lekas-lekas ambil tempat di depan. Sasha Amira juga sudah tercengang di belakang. Intan Nazira suka hati benar nampaknya tersenyum gembira di depan. Ai, memang pelik!
“Aku cuma nak tumpang kejap aje. Macam tak elok pula aku pun duduk dekat belakang dengan kau! Macam naik teksi pula!” Jawab Intan Nazira lekas, bagai tahu soalan yang berlegar di benak Sasha Amira. Psikik agaknya dia boleh membaca minda orang.
Saif Azrai tersenyum nipis. Matanya melirik ke muka Sasha Amira dari cermin pandang belakang. Bukannya Sasha Amira tidak perasan. Sebab itu dia lekas-lekas alih pandang. Membelek-belek telefon bimbit. Sesekali matanya menjeling ke depan. Bukan melihat Saif Azrai tetapi kawannya yang seorang itu.
Amboi. Bukan main lagi Intan Nazira menjeling-jeling Saif Azrai di sebelah. Sedang dia pula bagai tersipu-sipu di tempatnya. Memang sah ada yang peliknya pada kawannya itu.



Bila tayar menjejak tanah di depan rumah Encik Rahim, Saif Azrai lekas memberhentikan kereta. Dia menjeling ke cermin. Melihat Sasha Amira melamun jauh. Lama juga dia biarkan tapi gadis itu masih tidak sedar agaknya yang kereta sudah lama tidak bergerak. Sedangkan di depan pandangan gadis itu sudah tersergam rumah Encik Rahim. Tubuhnya akhirnya ditoleh ke belakang. Menghadap Sasha Amira di celah dua tempat duduk.
“Jauh termenung!” Tangannya dilayangkan di depan muka Sasha Amira sekaligus membuatkan gadis itu terkejut dari lamunan. Wajah Saif Azrai yang pertama dia lihat.
Lelaki itu menolak anak matanya ke tepi bersama senyuman yang kekal setia di bibirnya. Seperti menunjuk sesuatu. Terkebil-kebil mata Sasha Amira mengikut. Kelam-kabut Sasha Amira mengemas barangnya yang dari awal tadi dia punggah keluar dari beg satu per satu. Satu hal pula hendak pungut semua.
“Emm... awak. Saya balik lambat petang ni. Mungkin malam nanti. Saya ada hal sikit...” beritahu Saif Azrai sebelum Sasha Amira sempat buka pintu untuk keluar.
Buat apa beritahu aku? Beritahulah papa! Aku lagi suka kalau kau tak balik rumah ni terus! Getusnya dalam hati.
“Saya pinjam kereta awak ni dulu ya...”
Ha! Tentang tu memang kena beritahu aku!
Banyak yang Sasha Amira hendak cakapkan. Tapi dia tidak kuasa. Saif Azrai cuma seorang pemandu yang diupah papanya. Kenapa mesti dia rasa lain macam bila Intan Nazira senyum pada lelaki itu lebih-lebih? Mungkin Intan Nazira juga hanya hendak berwajah manis di depan lelaki itu, sekadar hendak tunjuk adab. Cemburu? Tak mungkin! Ah, Sasha Amira lebih pelik hari ini. Lebih pelik daripada Intan Nazira.
Tanpa sepatah kata Sasha Amira keluar dari kereta dan terus melangkah masuk ke dalam rumah.



Selesai berbincang dengan Izi Helmy di rumah sepupunya itu, Saif Azrai memandu ke rumah Encik Rahim. Sejak Encik Rahim menyerahkan kepercayaan kepadanya untuk menguruskan projek pembesaran kilangnya, Saif Azrai asyik kena menghadap muka Izi Helmy. Sekejap-sekejap berlari mencari alasan untuk berbincang dengan lelaki itu. Tidak bolehlah diserahkan bulat-bulat pada Izi Helmy. Kira-kira Izi Helmy asyik terlebih budget. Memang benar agaknya pengakuan Izi Helmy sebelum ini yang dia hanya pandai menguruskan projek besar. Memilih benar sepupunya itu.
Seperti biasa, dia parkir kereta milik Sasha Amira di luar rumah. Garaj rumah itu tidak cukup untuk memuatkan dua kereta dalsam satu-satu masa. Jarum jam di pergelangan tangan dijeling sekilas. Malam masih muda. Penghuni rumah itu pasti belum lena di kamar. Biasanya waktu-waktu begini, keluarga Encik Rahim sedang menjamu selera bersama.
Saif Azrai berjalan terus ke depan pintu. Dengan yakin tombol pintu dipulasnya. Ringan. Sekelip mata pintu itu dikuak ke luar dan muncul wajah Sasha Amira di depan mata.
Masya-Allah!
Terkejutnya Sasha Amira bukan kepalang. Berderau rasanya jantung bila tiba-tiba saja Saif Azrai terpacul di depan.
“Nak bunuh orang ke?” Cepat saja mulutnya melenting marah.
Namun lelaki itu membalas tenang dengan memberi salam. Keras pula Sasha Amira menjawab salamnya. Mata menjeling kurang senang. Kakinya menganjak ke kanan tapi saif Azrai juga melangkah ke arah yang sama. Dialihnya pula ke sebelah kiri, laluannya tetap dihalang. Bulat matanya melirik semula ke muka Saif Azrai. Tajam.
“Tajamnya renungan. Boleh mati saya kena tikam.”
Makin gerutu hati Sasha Amira. Sudahlah bikin dia terkejut bagai hendak meletup jantung. Nasib baik tidak kena serangan jantung betul-betul. Kalau tidak, sudah pengsan lagi dia di depan lelaki itu. Hendak membawa haluan sendiri pula, lelaki itu asyik menghayun kaki ke depannya. Kebetulan mengikut arah yang sama atau sengaja mahu menyakat? Sekarang hendak perli orang pula. Memang nak kena.
“Baguslah kalau renungan aku aje dah cukup nak tikam kau sampai mati!” Pedas jawapan dilemparkan Sasha Amira. Entah kenapa makin marah dia bila melihat muka Saif Azrai. Pagi tadi bukan main lagi hendak mula berlembut. Tapi tiba-tiba pula berubah angin. Dia kembali menyampah melihat lelaki itu malah bertambah benci.
Amboi. Masih beraku kau lagi... Kecewa sedikit Saif Azrai. Tapi dia terus memujuk diri. Berlagak tenang di depan Sasha Amira.
“Kenapa marah-marah?”
Eh, banyak pula soalan dia. Tepilah! Menyemak aje depan aku!
Laluannya masih terhalang. Saif Azrai seakan tidak membenarkan. Ke kiri ke kanan dia mengelak tapi lelaki itu cepat menghadang. Apa hal pula ni?
“Orang upahan papa ni dahlah dah pandai nak kelaur masuk rumah ni sesuka hati. Ada hati nak kacau anak dara papa pula.”
Saif Azrai gelak. Sasha Amira meruncingkan pandangan dengan garis kedutan di dahi. Perlukah lelaki itu tertawa. Dia buat lawakkah tadi?
“Nampaknya awak dah sihat.”
Makin ketara kerutan di dahi Sasha Amira. Sihat? Memanglah dia sihat saja selama ini. Entah-entah lelaki itu yang tidak pernah sihat.
“Bila awak tak sihat aje awak berlembut dengan saya, ikut saja tanpa kata apa-apa. Tapi lebih baik daripada awak marah-marah macam ni.”
“Kenapa? Kau menyesal kerja dengan papa untuk ikut aku ke mana saja?” Sasha Amira menyoal dengan lagaknya. Memang bagus kalau lelaki itu tahu menyesal. Dia memang tidak sabar untuk melihat lelaki itu sendiri meletak jawatan. Menarik diri dari terus menjadi pemandu peribadi yang asyik mengikut dan menunggunya sepanjang hari.
“Tak. Saya tak pernah menyesal. Saya suka tengok awak macam ni. Sekurang-kurangnya saya tahu awak tak sakit. Cuma... mungkin awak ni ada penyakit hati. Sebab tu asyik melenting.”
Lelaki itu tersenyum lagi. Sakinya hati Sasha Amira melihat senyuman itu. Apatah lagi telinganya panas mendengar bait kata yang baru saja dihembur lelaki itu. Amboi. Pandai-pandai saja dia kata Sasha Amira punya penyakit hati. Macamlah dia tu baik sangat. Tersenyum-senyum sepanjang masa. Entah-entah ada penyakit senyum!
Tubuh lelaki itu dihentam kuat. Hendak sangat menghadang laluan Sasha Amira. Biar Sasha Amira bagi sebiji. Berbuku rasanya geram dalam hati. Tidak terbilang rasanya dengan jari.
“Macam mana dengan skrip awak?”
Soalan Saif Azrai sekali lagi menghentikan langkahan kaki Sasha Amira. Namun dia tidak menoleh. Otaknya ligat berfikir. Entah apa patut dia jawab. Berterima kasih pada lelaki itu kerana membantunya menyiapkan skrip yang buat dia separuh gila itu? Atau buat tidak tahu saja dan terus melangkah ke pondok kegemaran?
“Apa yang bising-bising ni!”
Tiba-tiba terdengar pula suara nyaring Puan Damia. Serentak Sasha Amira dan Saif Azrai memalingkan muka.
“Ha! Azrai, dah balik? Kami baru aje habis makan. Kalau kamu lapar, mak cik boleh hidangkan.”
Sasha Amira merengus melihat layanan baik Puan Damia pada Saif Azrai. Baik benar mama. Siap mahu dihidangkan makan kepada lelaki itu. Entah doa apa yang lelaki itu amalkan hingga boleh kata semua orang baik padanya. Sampaikan Intan Nazira juga tersengih-sengih depannya!
“Tak apalah Puan. Tak perlu susah-susah...” Sopan Saif Azrai menjawab. Sungguh sopan di depan Puan Damia.
“Apa pula susahnya. Kamu tu pekerja pak cik. Duduk sama dengan kami pula tu. Jadinya kamu dah jadi tanggungjawab mak cik juga.”
Pula dah! Patutnya dia yang patut bertanggungjawab buat kerja dia bukan dia pula yang jadi tanggungjawab mama! Terbalik pula dah.
“Ha, kamu ni Sasha. Buat apa lagi malam-malam nak duduk dekat luar. Duduk ajelah dekat dalam ni aje. Bukannya ada orang nak kacau.”
Lantang suara Puan Damia bersuara pada Sasha Amira. Pada Saif Azrai tadi lembut saja mama bercakap. Tapi punyalah garang dengannya. Ini yang Sasha Amira tidak puas hati. Saif Azrai pula tersenyum-senyum di depan Puan Damia.
“Pantang jumpa dengan Azrai ni mesti nak bertekak. Mama kahwinkan juga kamu berdua ni nanti baru tahu!” Sempat Puan Damia mengugut sebelum berlalu masuk ke ruang tamu. Terbelalak mata Sasha Amira. Ke situ pula mama fikir. Makin ligatlah Saif Azrai menyimpul senyum. Huh! Menyampah.
Tak ingin aku kahwin dengan kau! Sasha Amira mencebir bibir. Lantas langkahnya dibuka semula menuju ke taman.