Pages

Hi pembaca semua!!!

Terima kasih kerana datang melawat, membaca karya-karya dalam blog ini dan terima kasih juga kepada semua yang menyokong Yuri. Yuri rasa happy sangat dengan kehadiran korang dalam hidup mahupun alam maya Yuri ni.

Segala komen dan sokongan sentiasa dan akan terus membakar semangat Yuri untuk terus berkarya menggunakan nama pena ayu munawer.

Semua karya di dalam blog ini adalah ilusi, imaginasi serta daripada pengalaman hidup. Dan yang paling penting, semua karya di sini adalah hasil karya Yuri. Mohon supaya tiada copycat dekat sini... tqvm

Harap korang terus menyokong dan beri komen mahupun kritikan untuk Yuri memperbaiki sebarang kekurangan.

P/S: Untuk makluman, karya "Dia Si Jantung Hati" akan dihentikan penerbitannya di sini atas sebab rombakan besar-besaran plot cerita. Justeru itu, judulnya juga bakal berubah. Maaf atas sebarang kesulitan. Harap korang setia menunggu dan menyokong hasil rombakannya nanti okey ^^,
"Aku tak suka kau la" kini diterbitkan di penulisan2u dengan tajuk "JIWA KACAU"..saja nk tukar tajuk. Sebb yuri rasa cam lg sesuai je tajuk ni..lebih pendek n ringkas hehe ada ka yuri edit2 skit. Harap u all x kesah nk singgah baca :-)
Sudi-sudilah berkunjung ke official blogshop yuri di http://decodanmakan.blogspot.com yer. Walaupun rupanya masih macam blog biasa, yuri pun masih belajar lagi macam mana nak upgradekannya. Macam-macam ada. Nak tau apa yang ada, kenalah singgah.

Terima kasih (^^,)v

Wednesday, July 31, 2013

Buddyz vs cinta: bab 10


Sakit betul hati Emey Suhaila kerana terserempak lagi dengan Razali di kelas pagi tadi. Pantang lihat Emey Suhaila seorang tanpa Azura, mesti Razali ambil kesempatan mahu mendekatinya. Jika Azura ada, jangan kata dekat. Tegur Emey Suhaila juga lelaki itu tidak berani. Malahan jika Razali memandang muka Emey Suhaila dari jauh pun sudah diserang dulu oleh Azura. Pandangan tajam Azura yang seakan haiwan buas kelaparan itu pasti menjadi habuan.
Azura memang tidak suka akan Razali. Azura juga tahu yang Emey Suhaila tidak berkenan pada Razali tetapi lelaki itu tidak putus asa mahu memikat Emey Suhaila. Bila Emey Suhaila rasa rimas dengan tindakan Razali, Azura juga seakan terkena tempiasnya kerana Azura sudah lama berkawan rapat dengan Emey Suhaila. Bak kata orang, cubit peha kiri peha kanan juga terasa peritnya. Oleh sebab Emey Suhaila tidak menyukai, kerana itulah Azura benci Razali tahap maksima.
Rimas Emey Suhaila dibuat Razali hari ini. Ikutkan hati yang sebal memang Emey Suhaila mahu keluar saja dari dewan kuliah, sama seperti tindakannya sebelum ini. Tapi takkanlah Emey Suhaila asyik hendak ponteng kuliah semata-mata sebab Razali. Nanti markah kedatangan Emey Suhaila juga yang percuma melayang. Sepanjang kuliah pagi tadi Emey Suhaila menahan perasaan.
Bila Emey Suhaila mengelak, Razali tetap mengekori ke mana saja Emey Suhaila pergi. Banyak kali Emey Suhaila beralih tempat duduk, Razali mengikut dan turut henyak punggung di sebelahnya.
‘Wah! Ini sudah dikira gangguan psikologi!’ Emey Suhaila membentak dalam hati. Sudahnya Emey Suhaila duduk cepat-cepat di sebelah Rogayah yang kebetulan kosong. Tiada ruang di sebelah Emey Suhaila yang boleh Razali mencelah. Emey Suhaila suka hati.
Tapi mula saja kuliah di depan, bahu Emey Suhaila dicuit dari belakang. Terkejut besar Emey Suhaila sebaik menoleh. Razali tersengih-sengih di belakangnya, menampakkan barisan giginya yang berkarah sebab merokok. Tidak lalu Emey Suhaila mahu tengok senyuman lelaki itu. Lekas-lekas Emey Suhaila paling muka ke depan. Selang beberapa saat, satu suara halus singgah ke telinga Emey Suhaila.
“Aku suka kau...” Perlahan suara itu berbisik namun Emey Suhaila percaya posisi Razali ketika itu sangat dekat dengannya. Emey Suhaila dapat rasakan deru nafas lelaki itu yang menghentam tengkuknya. “Kau dengar tak?” ulang suara itu lagi.
Emey Suhaila tidak senang duduk. Tubuhnya pantas ditolak ke depan lalu tangan diletakkan atas meja. Saat itu, telinga nipis Emey Suhaila dapat menangkap suara tawa halus Razali. Bergoncang jantung Emey Suhaila dibuatnya. Lantas Emey Suhaila menjeling ke kanan dan kiri. Namun spontan satu keluhan halus dilepaskan. Mahu bangun dan beralih tempat duduk, dia sudah diapit oleh dua orang pelajar di kiri dan kanan.
Tambah malang, tempat duduk Emey Suhaila pula berada di tengah-tengah barisan. Tidak kira dari arah mana pun, terpaksalah Emey Suhaila minta laluan daripada pelajar lain untuk meredah laluan sempit itu kalau Emey Suhaila berniat untuk beralih tempat duduk sekali lagi. Termasuklah Rogayah yang nampaknya khusyuk mendengar kuliah. Sedangkan Emey Suhaila gelisah bagai nak rak di situ pun tidak sedikit pun Rogayah ambil endah. Perhatiannya tetap ke depan.
Sementara Razali mulalah nak buat drama dan kuliah syarahannya di belakang Emey Suhaila. Pelajar lain dalam barisan tempat duduk Emey Suhaila menggeleng kepala bila terdengar kata-kata Razali. Ada juga yang berdehem berkali-kali. Tidak kurang juga yang sudah mula melemparkan jelingan pada Emey Suhaila.
Emey Suhaila hempas keluhan. Tebal muka Emey Suhaila tapi bukannya Emey Suhaila yang salah. Razali yang memekak di belakang. Pot pet pot pet dengan ayat jiwangnya. Mahu saja Emey Suhaila muntah di situ juga sedang tumpuannya pada kuliah yang disampaikan pensyarah di depan sudah lama lenyap. Berbanding pelajar lain, Rogayah di sebelah Emey Suhaila pula tidak beri sebarang respon. Mukanya kosong sambil tekun menulis atas buku notanya. Bagus juga kalau Minah Kecoh tu tidak ambil kesah. Kalau dia nampak apa yang berlaku sekarang ni, memang kecohlah jawabnya lepas ni.
Tindakan Razali tidak berhenti di situ. Selepas berakhir satu kuliah dan bermula kuliah seterusnya, dia terus mengganggu Emey Suhaila dengan kata-kata dan surat cintanya. Panas punggung Emey Suhaila kerana terus duduk diam tapi Emey Suhaila pula sudah bagaikan orang bodoh sebab bersabar saja di situ. Ketika ada ruang untuk dia beredar juga Emey Suhaila tidak berganjak dari tempat duduknya. Malahan pelajar lain pula yang beralih tempat duduk kerana tidak tahan duduk di situ. Sakit telinga mereka mendengar suara Razali yang menjengkelkan tapi pada Emey Suhaila pula yang mereka lemparkan kemarahan.
“Ish, menyibuk betul dalam kuliah ni. Orang nak dengar kuliah pun tak senang. Kalau nak bermadah mesra, pergilah tempat lain.”
“Entahnya. Si Ila tu pun satu, pergi layan laki tu buat apa? Tegurlah sikit. Ini tidak, dia pun sama menggatal.”
“Nak tunjuk kat oranglah tu yang diorang tu pasangan romantik...”
Bertalu-talu Emey Suhaila mengeluh bila terdengar suara sumbang yang beronggok-onggok. Marahnya pada Razali makin menebal. ‘Eh perempuan-perempuan ni... sesedap rasa dia aje tuduh aku yang menggatal. Cuba korang beritahu aku apa nak dibuat dengan lelaki gila macam Razali tu?’ gerutu hati Emey Suhaila apabila telinganya terus mendengar dirinya dicanang orang. Mulalah bermacam-macam cerita yang keluar selepas itu. Semakin panas punggung Emey Suhaila duduk di situ.
Walaupun selepas habis kuliah, Razali masih mengekori Emey Suhaila dari belakang. Puas Emey Suhaila larikan diri. Semakin laju langkah Emey Suhaila, semakin rapat Razali di belakang. Setelah hampir lima belas minit Emey Suhaila mencelah ke sana dan ke sini akhirnya Emey Suhaila berjaya juga lari dari pandangan Razali.
Emey Suhaila pandang keliling. Rasanya Razali tidak dapat mencarinya dalam kumpulan manusia yang berasak-asak mula memenuhi ruang kafe yang kecil itu. Kebetulan dua orang pelajar bangun setelah menghabiskan makanan mereka. Emey Suhaila cepat-cepat buka langkah ke arah meja tersebut dan terus henyak punggung di situ. Pinggan di depan ditolak ke tepi lalu Emey Suhaila menangkup mukanya ke meja. Takut-takut Razali berjaya juga mencarinya nanti. Kalau dia tidak tunjuk muka, mungkin lebih selamat.
Perlahan-lahan Emey Suhaila hempas keluhan halus bila mengenangkan nasib malang yang menimpanya hari ini. Entah sampai bila dia perlu lari begini. Bukannya Emey Suhaila tidak pernah berterus-terang cuma Razali saja yang tidak makan saman. Walaupun telah ditolak mentah-mentah, lelaki itu masih berusaha mahu memikat Emey Suhaila. Itukah yang dinamakan cintanya yang mendalam pada Emey Suhaila? Kalau terus begini, mungkinkah hati Emey Suhaila akan terbuka jua untuk Razali? Ah! Emey Suhaila malas mahu memikirkannya. Razali juga bukan lelaki idamannya. Iras wajah lelaki itu biasa saja. Hodoh tidak, kacak sangat pun tidak dan yang paling penting poket Razali tidak berisi seperti mana yang Emey Suhaila harapkan.
Emey Suhaila katup kelopak mata perlahan-lahan. Riuh di sekitarnya tidak dipedulikan walaupun telinga menangkap bermacam bunyi. Bunyi tapak kaki berkali-kali lalu di sebelah Emey Suhaila dan kerana itulah Emey Suhaila tidak berani mahu melihat kaki-kaki itu. Takut ia adalah milik manusia yang tidak mahu dia bertembung.
‘Argh! Tinggalkan aku seorang!’ raung Emey Suhaila dalam hati. Sesak kepalanya bila membayangkan lelaki itu, siapa lagi kalau bukan Razali.
“Kat sini rupanya kau!”
Emey Suhaila angkat muka serta-merta bila mendengar satu suara menegur. Matanya bulat memandang ke depan lalu Emey Suhaila hempas nafas lega bila melihat Rogayah yang menungkat dagu di depannya. Tangan Emey Suhaila mengurut-urut dada yang terasa berderau. Bagai mahu tercabut tangkai jantungnya tadi. Mati-mati Emey Suhaila ingat Razali yang menegur. Fikiran berserabut hingga tidak dapat membezakan suara lelaki mahu pun perempuan. Tapi bila melihat wajah Rogayah, Emey Suhaila lega.
“Kenapa dengan kau ni?” soal Rogayah yang mula tunjuk reaksi hairan. “Tengok aku macamlah tengok hantu. Teruk sangatkah make-up aku ni?” Rogayah muncung sambil meraba mukanya.
Emey Suhaila geleng sambil melayangkan tapak tangan ke kiri dan kanan. Dia lihat muka Rogayah dekat-dekat lalu menggeleng lagi. “Kau make-up ke? Tak nampak macam make-up pun...” balas Emey Suhaila selamba menyebabkan Rogayah menarik muncung panjang sekali lagi. “Alah, tak payahlah nak muncung macam tu. Tak comel pun. Boleh ikat dengan getah gelang tahu,” usik Emey Suhaila sambil ketawa kecil. Gelisah dan gemuruh di hatinya tiba-tiba saja lenyap, seakan sudah ditelan riuh suara manusia yang masih sesak dalam kafe itu.
Rogayah mencebik tidak senang. Kemudian dia menungkat dagu semula. Matanya sesekali meliar ke arah pelajar-pelajar lain yang enak menjamu selera dan akhirnya perhatiannya kembali kepada Emey Suhaila semula. “Eh, kau duduk sini tapi tak makan kenapa? Tak laparkah?”
Emey Suhaila diam. Dia raba perut seketika lalu turut pandang keliling. Memang perutnya sudah mula berkeroncong sejak tadi tapi...
“Ramai sangat oranglah dekat kaunter. Malas aku nak beratur panjang. Tunggulah orang reda dulu,” balas Emey Suhaila memberi alasan.
Rogayah sekadar mengangguk.
“Eh, kenapa kau tak pakai baju yang kita beli semalam?” lontar Emey Suhaila pula sambil membelek tubuh Rogayah hingga terjengah-jengah dari balik meja. Melihat Rogayah hari ini hanya mengenakan T-shirt besar lengan pendek, seluar slack dengan kasut sarungnya seperti biasa.
Rogayah mula tidak senang dan terkiput-kiput di depan Emey Suhaila. “Kenapa kau tengok aku macam tu?” Air muka Rogayah sedikit demi sedikit berubah rona.
Emey Suhaila alih pandangannya ke depan. Dia memandang tepat ke muka Rogayah. “Tu... cermin mata tu pun masih pakai lagi buat apa?” Emey Suhaila menolak jari telunjuk ke depan kemudian diturunkan semula. Satu keluhan halus dilepaskan tiba-tiba. “Kau ni Aya...” Emey Suhaila menggeleng. “Penat aje aku reka imej baru untuk kau tapi baju macam ni juga yang kau pakai. Buang duit aje tahu...”
Rogayah diam sementara Emey Suhaila terus mengomel di depan. Terpaksalah Rogayah mendengar semua syarahan Emey Suhaila hingga habis sebab dia tidak sampai hati pula mahu terus beredar macam itu saja. Nampak tidak sopan pula kalau dia buat begitu. Mahu mencelah pula, Rogayah tidak tahu mahu berkata apa. Otaknya tiba-tiba saja tepu. Niat Rogayah datang ke sini pun untuk mengisi perut yang sudah menyanyi tapi rasanya perutnya sudah kenyang mendengar leteran Emey Suhaila.



“Eh, Razali tu betul suka dekat kau ke Ila?” muntah soalan itu dari mulut Rogayah tiba-tiba. Pinggannya yang sudah pun licin ditolak ke tepi lalu gelas air yang tinggal separuh didekatkan ke bibir. Glup... glup! Air kosong itu diteguknya habis.
Sementara Emey Suhaila yang masih enak menjamu makanannya hampir tersedak diajukan soalan itu. Emey Suhaila tepuk dada yang terasa sesak. Kemudian dia juga turut menyambar gelas dan meneguk air itu laju-laju. Sebaik menelan air masuk ke dalam tekaknya, Emey Suhaila memandang tepat ke muka Rogayah. Matanya dibulatkan sedikit dengan dahi berkerut.
“Hah?” soal Emey Suhaila minta diulang soalan Rogayah tadi. Takut-takut telinganya tadi tersilap dengar.
Rogayah hentak gelasnya yang sudah kosong di tepi, bersama pinggannya tadi. “Aku tengok Razali tu macam suka aje dekat kau. Betullah eh tekaan aku sebelum ni?” ulang Rogayah sambil menungkat dagu menanti reaksi Emey Suhaila. Dari air mukanya, Rogayah nampak beria-ia sangat mahu tahu.
Namun soalan Rogayah tadi masih tidak membuahkan jawapan. Sebaliknya, Emey Suhaila hanya tercengang di depannya. Terpaksalah Rogayah teruskan dengan semua andaian yang berasak-asak dalam fikirannya sekarang.
“Aku rasa musykillah Ila. Dari pemerhatian aku, aku tengok cara Razali tu macam syok dekat kau. Tengoklah masa dekat kuliah pagi tadi. Bukannya dia dengar kuliah pun tapi asyik nak mengorat kau aje.”
Emey Suhaila melopong tapi cepat-cepat dia katup mulutnya semula. Bimbang lain pula yang masuk ke dalam tekaknya nanti. Terkejut dia mendengar kata-kata Rogayah. Sangkanya Rogayah tidak pasanga telinga sedangkan Rogayah nampak khusyuk mendengar kuliah yang disampaikan oleh pensyarah. Rupa-rupanya telahan Emey Suhaila itu jauh sekali meleset. Dalam diam rupa-rupanya Rogayah tetap curi dengar.
Ah, Razali juga yang salah. Tindakan dan kelakuannya itu terlalu ketara. Sesiapa saja yang nampak juga boleh meneka niatnya. Tapi, masakan Emey Suhaila mahu mengaku di depan Rogayah. Oh, tidak! Emey Suhaila tidak mahu Razali!
“Kalau dia tak suka kau, takkan dia nak kejar kau ke sana ke sini?” tambah Rogayah lagi bila Emey Suhaila masih terus membisu.
Emey Suhaila telan liur. ‘Kejar? Mana dia tahu mamat tu kejar aku?’ Emey Suhaila gelisah. Nasi yang masih berbaki atas pinggan dikais dengan sudu. Hilang terus seleranya untuk menghabiskan makanan tengah harinya itu setelah hal Razali dibangkitkan Rogayah. Mendengar nama Razali saja sudah cukup buat selera Emey Suhaila terbantut.
“Kau diam ni, maknanya betullah ya?” Rogayah meneka.
“Hah?!” Cepat-cepat Emey Suhaila tunjuk reaksi sambil membuntangkan matanya. “Jangan nak merepeklah. Mana ada!” jawab Emey Suhaila tegas. Sudu yang dipegangnya sejak tadi diletakkan di pinggan. Kemudian air dalam gelas yang masih berbaki pula dicapai lalu diteguk walau tidak haus. Sedang bahang mula terasa menyengat tubuh Emey Suhaila kini.
Rogayah muncung, tidak puas hati dengan jawapan Emey Suhaila. “Habis tu, kenapa dia buat macam tu? Kalau dia tak suka kau, mesti dia tak akan buat semua tu. Aku rasa dia memang suka dekat kaulah Ila...”
“Eh, yang kau ni kenapa pakai macam ni lagi? Mana baju yang kau borong semalam? Kenapa tak pakai?” Bergetar suara Emey Suhaila melemparkan soalan-soalan itu kepada Rogayah sekali lagi. Emey Suhaila cuba untuk mengubah topik perbualan mereka. Tidak sanggup lagi dia mahu mendengar cerita berkenaan Razali terus-terusan disebut Rogayah. Rasa berasap telinganya mendengar nama itu. Jiwanya juga turut bergetar kerana dihentam rasa tidak selesa memikirkan tentang lelaki itu.
‘Razali nak tackle aku? Argh! Tolonglah! Aku tak ingin! Jadi, jangan cakap pasal ni lagi dan jangan sebut nama dia lagi. Aku tak suka! Aku tak suka!’ Mahu saja Emey Suhaila jerit begitu ke telinga Rogayah tapi satu butir pun tidak terluah dari mulut Emey Suhaila. Entah kenapalah mulut Emey Suhaila rasa berat sangat nak cakap begitu. Padahal memang itulah yang bermain di benaknya sekarang tapi entah macam mana, soalan lain pula yang meluncur laju keluar dari mulutnya.
“Kan semalam aku dah teman kau beli banyak baju yang cantik-cantik. Kenapa kau tak pakai? Nak buat apa simpan saja dalam almari. Nak buat perhiasan ke kain lap kaki? Baju yang kau pakai ni dah boleh pakai masa tidur tahu? Ke baju yang kita beli semalam tak cukup? Nak aku teman kau beli baju barukah?” Emey Suhaila jengah ke bawah meja. Kemudian dia angkat muka semula dan terus memandang ke arah Rogayah. “Tengok! Kasut pun kau tak tukar lagi. Apalah kau ni...” Emey Suhaila geleng kepala. “Beli kasut banyak-banyak pun, kasut sarung tu juga yang dia pakai...”
“Ops... cop! Cop!” Rogayah cepat-cepat pintas cakap Emey Suhaila yang terus saja membebel tiba-tiba. Sekaligus, kata-kata Emey Suhaila serta-merta mati di situ. “Alah, kau ni tak habis lagi ke nak bebel dekat aku?” Rogayah mengeluh.
Emey Suhaila tenung muka Rogayah. Perlahan-lahan Emey Suhaila telan liur, membasahi tekaknya yang kali ini benar-benar terasa kesat. Gelas di tepi dicapai tapi air di dalamnya telah pun kering. Emey Suhaila kembali tenung muka Rogayah yang muncung panjang lalu Emey Suhaila gumam bibir.
“Kau tu yang tak mahu ikut cakap. Kalau tak mahu, cakaplah terus-terang semalam. Tak payahlah membazir beli tapi simpan saja buat koleksi,” bisik Emey Suhaila perlahan. Dia tidak berniat mahu Rogayah mendengar kata yang terucap keluar dari mulutnya kali ini. Jujurnya, Emey Suhaila bukan sengaja mahu berleter mahupun ajukan bermacam soalan macam peluru berpandu kepada Rogayah tapi itulah yang terkeluar dari mulutnya tadi sebab hendak mengelak dari mendengar cerita pasal Razali.
“Yalah... yalah. Esok lusa bila aku dah bersedia, aku pakailah ikut macam yang kau ajar. Tapi... berilah aku masa. Aku kena juga biasakan diri sikit-sikit. Kalau tiba-tiba nak berubah terus, aku rasa janggallah.” Rogayah mengalah.
Emey Suhaila diam. Rogayah juga diam membisu. Buat seketika, perbualan mereka seakan mati. Hanya riuh suara manusia yang turut memenuhi kafe itu saja yang sampai ke telinga mereka. Sedangkan Emey Suhaila kembali mengais makanannya dengan sudu tapi tidak pula disuap ke mulut.
Namun, kebisuan cerita mereka tidak lama apabila Rogayah kembali membuka ceritanya semula.
“Kalau Razali tu sukakan kau, apa salahnya? Kenapa kau asyik nak mengelak saja? Suka tu tak salah kan...” kata Rogayah lagi setelah melihat Emey Suhaila senyap saja dari tadi. Kebisuan Emey Suhaila itu memberi ruang kepada Rogayah untuk terus merisik tentang Razali. Dia benar-benar mahu tahu hubungan lelaki itu dengan Emey Suhaila.
Emey Suhaila bulatkan mata apabila nama Razali tetap menjadi topik perbualan Rogayah. Lantas Emey Suhaila mengeluh keras. ‘Tak ada nama lain ke dia nak sebut?’ desis Emey Suhaila dalam hati.
“Eh, ceritalah benda lain... asyik cakap pasal Razali tu tak bosankah? Nanti tersedak pula mamat tu kau asyik sebut nama dia saja.” Emey Suhaila cuba mengelak.
“Kenapa?”
“Kenapa kau sibuk sangat nak cerita pasal dia? Kau ada hati dekat dia ke?” Emey Suhaila cuba pulangkan paku buah keras. Hah, nak sangat kenakan Emey Suhaila... sekarang biar Emey Suhaila pula usik Rogayah.
Serta-merta Rogayah menggelabah. Bersungguh-sungguh dia geleng kepala, menafikan telahan Emey Suhaila itu. Sedang Emey Suhaila tersenyum sinis di depan Rogayah. “Ish, mana ada! Tak baik kau buat gosip liar tu tahu.”
‘Oh, kau buat gosip liar kat aku tak apa ya...’ Emey Suhaila hela keluhan perlahan. Ikutkan hati mahu saja dia gelak besar melihat reaksi Rogayah yang kalut semacam membidas usikannya tadi. Begitu juga rasanya seperti mahu saja dia marah Rogayah teruk-teruk ketika gadis itu tidak sudah-sudah bercerita tentang Razali dan mengaitkan dirinya dengan lelaki itu. Ah! Emey Suhaila benci lelaki itu. Kalau diikutkan hatinya yang marah, memang Emey Suhaila mahu ketuk mulut Rogayah. Paling tidak pun tengking Rogayah depan orang ramai supaya gadis itu berhenti bercerita yang bukan-bukan.
Tapi, Emey Suhaila cuba kawal perasaan sebab... Emey Suhaila kan nak sangat rampas status Ratu Kolej yang dipegang Melissa selama ini. Dia perlu menjaga imej baik supaya lebih ramai pelajar akan mengundinya nanti. Biar Melissa meraung satu kolej kerana kalah teruk dengan Emey Suhaila walaupun sudah menyogok pelajar kolej.
Tapi cerita Rogayah tetap tidak berhenti di situ. Gadis itu terus saja bercerita pasal Razali dan bikin Emey Suhaila makin tidak keruan. Emey Suhaila terus mati kata-kata dan terpaksa mendengar cerita Rogayah yang entah apa-apa hinggalah Emey Suhaila semakin panas mendengar andaian-andaian yang cuba dibuat Rogayah. Walaupun ianya benar, tapi Emey Suhaila mahu menafikannya.
Sementara Rogayah semakin petah bersuara. Macam-macam pula kesimpulan yang keluar dari peti suaranya itu. Rasa bahang terus terasa di seluruh tubuh Suhaila sehingga meresap ke ruang hatinya. Emey Suhaila hempas keluhan. Telinganya juga sudah seakan bernanah mendengar bait kata Rogayah. Bukan sebab ianya pedas sehingga menghiris hati halusnya tapi Emey Suhaila tidak mahu lagi mendengar kenyataan yang Razali cuba mencuri hatinya itu. Walau itulah realitinya, tetapi kebenaran itulah yang buatkan Emey Suhaila rasa lemas. Sakit jiwa Emey Suhaila memikirkan perangai lelaki itu yang masih terhegeh-hegeh walaupun sudah acap kali cintanya ditolak.
Tanpa bersuara, Emey Suhaila tolak kerusi ke belakang dan mengangkat punggung. Begnya cepat-cepat disambar lalu terus beredar meninggalkan Rogayah yang melopong memerhatikan Emey Suhaila pergi.



Masuk saja ke dalam bilik, Emey Suhaila terus hempas tubuh ke katil. Tangan kanannya diletakkan ke belakang kepala, mengalas tengkuk lalu Emey Suhaila mendongak ke arah siling. Kipas yang ligat berpusing di siling diperhati. Leka Emey Suhaila seketika.
Tika nama Razali tiba-tiba melintas di fikiran, Emey Suhaila geleng kepala laju-laju. Razali. Ah, kalau boleh Emey Suhaila tidak mahu mendengar nama itu lagi. Sakit hatinya mengenangkan sikap Razali yang selalu bikinnya malu. Kerana sikap Razali itu jugalah banyak mulut yang mula mengatanya.
“Kenapa kau monyok aje ni?”
Serta-merta Emey Suhaila angkat tubuh dan memandang ke arah suara yang menegur. Azura terpacak di depan Emey Suhaila sambil cuba mengeringkan rambutnya dengan tuala. Emey Suhaila tercengang seketika. ‘Bila pula Zura... aku ingat dia tengah tidur tadi?’ detik hati Emey Suhaila sambil terpinga-pinga memandang Azura.
“Apasal kau tengok aku macam tu? Ada benda pelik ke kat muka aku ni? Ada buih sabun lagi ke?” Azura kalut menekup mukanya dengan tuala dan terus beralih ke kepala. Rambut yang masih basah digosok laju-laju.
“Kau dah sihat ke?” Akhirnya soalan itu yang keluar dari mulut Emey Suhaila setelah terkebil-kebil memerhati gelagat Azura sekejap tadi.
Azura terus beria-ia menggosok rambutnya yang panjang itu dari pangkal kepala hinggalah ke hujung. Puas menggosok, tuala di tangannya disangkut ke bahu. Seketika, Azura hela nafas panjang. “Boleh tahanlah. Aku rasa dah baik sikit...” balas Azura lambat sambil meraba dahinya. Masih terasa sedikit hangat walaupun dia baru selesai mandi.
Emey Suhaila menganggguk. “Baguslah...” Emey Suhaila membisik kata-kata lega itu perlahan. Terlalu halus hingga tidak didengari oleh Azura. Emey Suhaila benar-benar lega. Sekurang-kurangnya, esok lusa mungkin Azura sudah boleh pergi ke kuliah. Dengan adanya Azura yang garang bagai mak tiri itu, mungkin lelaki bernama Razali itu tidak berani datang dekat.
“Yang kau ni pula, kenapa? Monyok macam tapai basi aje aku tengok. Ada masalah ke? Budak Razali tu kacau kau lagi eh?” Azura meneka.
Emey Suhaila serta-merta angkat muka dan memandang terus ke muka Azura. Mata Azura bulat memandangnya. Tekaan Azura itu memang tepat, seakan teman rapatnya itu dapat membaca semua fikiran Emey Suhaila.
“Dia menggatal dengan kau lagi ke?” ulang Azura lagi. Kali ini lebih keras lalu Azura merengus keras. Kakinya ditarik ke atas dan dilipat di antara keduanya. “Ish, mamat tu memang tak serik-serik kan. Kau jangan layan mamat tu, Ila. Aku tak suka kau rapat dengan dia.” Azura mula naik marah bila mengenangkan sikap Razali. Angin panas mula berdebus-debus keluar dari rongga hidungnya.
“Aku pun tak suka. Tapi aku tak tahulah... kalau kau tak ada, sikap dia makin menjadi-jadi. Letih aku larikan diri dari dia. Macam banduan lari dari penjara pula aku rasa,” keluh Emey Suhaila.
“Kau tu pun diam aje buat apa? Tak payah nak berlagak lembut dengan mamat tu. Kau tu pun bukannya lembut asli pun. Marahlah aje dia cukup-cukup, tak guna nak pura-pura berlembut lagi. Makin menjadi-jadilah miang mamat tu nanti.” Azura mula bersyarah di depan Emey Suhaila sambil tangannya dilayangkan ke udara, mengikut rentak bebelan yang dilontarkan. Berkerut-kerut muka Azura menahan geram terhadap Razali yang tidak pernah makan saman itu. Lelah Azura asyik bertekak dengan lelaki itu setiap kali bersua muka. Azura bertekak sebab lelaki itu tidak faham-faham yang Emey Suhaila tidak menyukainya tapi masih bersungguh-sungguh mahu menyunting hati Emey Suhaila. Emey Suhaila pula menggila-gila tidak suka tapi hanya berdiam diri. Pada Azura saja asyik dia mengadu itu dan ini. Sesak telinga Azura mendengar aduan Emey Suhaila. Mahu tidak mahu, terpaksa juga Azura menjadi ‘penyibuk’ lagak ‘bodyguard’ Emey Suhaila.
“Lelaki tu pun tak reti bahasa. Kalau orang asyik mengelak tu maknanya orang tak sukalah. Itu pun tak faham-faham. Asyik nak kejar sana-sini. Tapi, kalau aku ada tak berani pula dia nak kacau kau. Aku rasa kau kena jadi macam aku nilah, Ila. Tak payah nak jadi lembut-lembut sangat macam watak ‘Ratu Kolej’ dalam bayangan kau tu. Nak berlembut pun tengok tempatlah. Dengan lelaki miang keladi macam Razali tu, kau janganlah diamkan aje. Sampai bila kau nak terus lari dan mengelak macam ni? Makin kau lari, makin galak pula dia kejar. Laratkah kau nak lari? Silap-silap dengan gelaran Ratu Kolej yang kejar sangat tu tak kesampaian gara-gara dia.”
Emey Suhaila membatukan diri dan membiarkan saja Azura terus mengomel setentang dengannya. Kadang-kala Emey Suhaila rasa lebih baik kalau Azura terus demam dan terbaring atas katil. Tak perlulah telinganya disumbat dengan bebelan Azura yang berjelar-jelar. Sekarang sudah tambah seorang lagi yang rajin menyesakkan telinga Emey Suhaila. Tak pasal-pasal Emey Suhaila berkawan dengan Rogayah yang berceloteh tak berhenti.
Tapi kalau Azura membebel pun bersebab. Sebab Emey Suhaila berlagak ayu semata-mata mahu mengejar gelaran Ratu Kolej itu, ramai lelaki yang terhegeh-hegeh menagih cintanya, termasuklah Razali yang memang tidak faham bahasa walau telah ditolak berkali-kali. Mungkin betul juga kata Azura. Mungkin Emey Suhaila terlalu lembut dalam menolak cinta Razali. Mungkin benar Emey Suhaila perlu berkeras terhadap lelaki seperti Razali.
“Kalau kau nak teruskan juga berlakon jadi baik tu, nampak gayanya aku kenalah jadi bodyguard kau!”
Hampir tergelak Emey Suhaila mendengar cadangan yang tiba-tiba saja dilontarkan Azura. “Bodyguard?” soal Emey Suhaila tidak percaya. Sedang Azura mengangguk laju. Kali ini Emey Suhaila benar-benar rasa geli hati. Cepat-cepat Emey Suhaila katup mulut dengan jari sebelum tawanya terus meletus keluar. “Aku tak perlukan bodyguardlah.”
“Habis tu, kalau kau tak perlu bodyguard baik macam aku ni ubahlah sikit perangai kau tu. Selama ni pun, aku memang dah jadi macam bodyguard kau tahu!”
“Kenapa? Kau kata tadi aku berlakon jadi baik? Aku ni jahatkah?”
“Tak adalah. Kau ni memang baik... suka tolong orang. Suka menyibuk hal orang. Suka menyusahkan aku...”
“Hah?!” Terbeliak mata Emey Suhaila mendengar jawapan Azura. Reaksinya itu pula dibalas dengan tawa Azura yang terkekek-kekek ketawa geli hati.
“Tak adalah. Kau ni memang baik.. betul! Tak adalah jahat sangat pun.”
“Tak jahat sangat?” pintas Emey Suhaila separuh menjerit. “Jadi, aku ni jahatlah ya?”
Azura gelak lagi sambil menyisir rambutnya ke belakang. Tuala yang lama tersangkut di tengkuknya ditarik dan dilebarkan pula pada kepala katil. “Sikit-sikit tu adalah...” balas Azura lambat dengan nada selamba.
Terbelalak lagi mata Emey Suhaila mendengar jawapan Azura itu lalu dia terkesima.
Azura betulkan posisi duduknya dan bersandar ke dinding. Rambut yang masih lembap dibiarkan tidak bersikat. Wajah Emey Suhaila yang mula nampak muram ditenung dari katilnya. “Tak adalah,” kata Azura lagi dalam nada bergurau. Senyum nakal sudah terukir di bibir kecilnya. “Kau tu memang baik... cuma sikap kau yang asyik sangat dengan angan-angan kau nak jadi Ratu Kolej termasuk Sakura Hime tu yang kelakar. Tapi, bila ramai lelaki nak dekat kau... kau pula jual mahal. Yang kau cari cuma lelaki kacak yang kaya aje. Kalau senang nak dapat lelaki sempurna dalam fikiran kau tu, dah lama aku yang kebas dulu!” Azura gelak nakal. “Mana ada manusia yang sempurna beb! Jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran sudahlah Ila...” Azura menyambung tawanya yang masih berbaki.
Emey Suhaila terus diam membatu tanpa membalas kata-kata Azura kali ini. Entah ke mana kata-kata itu melayang. Entahkan sampai ke telinganya atau sekadar dibawa angin petang yang agak kuat menyerbu masuk melalui tingkap yang terbuka luas.

Sunday, July 28, 2013

Budyyz vs cinta: bab 9


Setelah menghantar Rogayah balik ke kolej, Emey Suhaila memandu keluar dari perkarangan kolej itu menuju ke kolej kediamannya pula. Baru sekarang rasa sakit mula menular ke seluruh tubuhnya setelah hampir seharian membeli-belah bersama Rogayah. Tapi, Emey Suhaila puas hati setelah berjaya mendera gadis itu seraya memaksanya mengeluarkan duit dengan jumlah yang besar.
Emey Suhaila ketawa besar dalam hati. Terbayang wajah Rogayah yang terkulat-kulat setiap kali mengeluarkan wang dari dompetnya. Telan liur Rogayah dibuatnya. Mahunya tidak! Bukan angka kecil yang terpaksa gadis itu bayar. Setiap kedai yang diborong mereka mahu mencecah lebih seratus. Paling kurang pun adalah dalam seratus lima puluh ke atas. Walhal Rogayah baru saja sampai ke sini dan baru saja berbelanja besar untuk memasuki kolej itu. Mesti gadis itu terkira-kira baki duitnya yang masih tinggal sekarang.
Tiba-tiba Emey Suhaila rasa tidak sedap hati pula. Rasa kesal mula terpalit di hati kerana memperlakukan Rogayah begitu. Tapi... Emey Suhaila buat semua ni pun untuk kebaikan Rogayah juga walaupun pada awalnya memang dia berniat jahat pada Rogayah.
Emey Suhaila geleng kepala laju-laju. “Ish! Aku ni buat apa nak baik hati sangat! Padanlah muka dia... nak sangat berkawan dengan aku kan. Betul kata Zura... pakaian Rogayah tu memang kolot habis. Kalau nak berkawan dengan aku, takkan nak biarkan dia terus dengan fesyen kolot dia tu! Malulah aku nanti. Lagipun kalau aku berjaya ubah imej dia tu, mesti orang lain pun terbeliak mata. Mesti orang respect dekat aku sebab dah make over perempuan hodoh macam Rogayah tu!” Emey Suhaila senyum meleret sambil sibuk terbayangkan reaksi teman-teman kolej setelah melihat perubahan Rogayah. Yang lelaki pastinya melopong nanti. Silap-silap ada yang berdarah hidung sebab terpegun sangat.
“Eh, tapi... kalau dia jadi lagi femes daripada aku pula nanti macam mana?” Bermacam bayangan silih berganti melintas di fikiran Emey Suhaila. Walaupun Rogayah itu kecoh orangnya, tapi mukanya nampak suci. Tiada siapa mahu menegurnya sebelum ni pun sebab pakaiannya saja. Masing-masing takut dikutuk oleh mulut-mulut jahat yang suka mengata.
Tapi bila Rogayah sudah jadi bergaya macam mereka nanti, mesti pelajar perempuan pun senang hendak berkawan dengannya. Pelajar lelaki pun mulalah juling mata agaknya dan ramai pula yang cuba memikat Rogayah lepas ni. Peti surat Rogayah juga mulalah penuh dengan kad dan surat cinta.
“Tidak!!!” Emey Suhaila jerit kuat-kuat sekaligus kakinya mencengkam pedal brek serentak jeritannya. Kereta Viva itu berhenti tiba-tiba di tengah jalan dan badan Emey Suhaila terhinjut ke depan.
Nasib baik tiada kereta yang mengikut di belakang. Kalau tidak pasti kereta Viva kesayangannya itu sudah disondol dari belakang. Sementara Emey Suhaila dalam kereta dari tadi menggelengkan kepala sambil menekan kepalanya kuat-kuat.
“Tidak... tidak! Tidak!” pekiknya berkali-kali. Kalau benar bayangannya itu, habislah status Emey Suhaila. Emey Suhaila tidak lagi menjadi perhatian lelaki-lelaki setelah Rogayah mula menjadi pesaingnya?
Entah-entah lelaki kaya idaman Emey Suhaila nanti pun Rogayah yang kebas dulu. Yalah, Rogayah kan bermuka suci... pandangannya pun nampak tulus. Mesti lelaki terpukau dengan pandangan matanya tu. Tambahan pula, khabarnya Rogayah tu budak pandai. Kalau tidak masakan dia boleh dapat biasiswa kolej yang sudah dua kali Emey Suhaila cuba mohon tapi ditendang. Alamak, nampaknya Emey Suhaila sudah cipta pesaingnya sendiri.
“Tidak!”
Emey Suhaila geleng laju-laju... berkali-kali hingga kepalanya juga terasa pening. Namun bayang dalam kotak fikiran Emey Suhaila terus menyinggah. Emey Suhaila melayangkan kedua tangannya ke udara. Lagak seperti halau ayam masuk reban saja rupanya. Bayangan yang terus menerjah ditepis jauh-jauh.
Lantas dia tarik nafas panjang lalu dilepaskan perlahan. Dia cuba bertenang. “Tak mungkin... tak mungkin,” katanya berulang-ulang sambil menggeleng lagi. “Mustahil dia dapat tandingi akulah. Mustahil sangat-sangat!” Emey Suhaila terus menggeleng disertai dengan layangan tapak tangannya ke udara. Bersungguh-sungguh dia mahu menafikan taksiran awalnya tadi.
“Memanglah lepas make-up muka dia tu cantik tapi kalau nak bandingkan dengan aku, aku lagi cantik! Lagipun kan badan dia lagi berisi dari aku. Takkanlah dia boleh lawan tauke pula,” omelnya lagi sengaja mahu sedapkan hati sendiri disusuli dengan anggukan kepala yang setuju dengan pendapat sendiri.
“Betul... betul! Dia tak mugkin tandingi aku. Aku akan tetap jadi puteri di mata orang...” Berulang-ulang Emey Suhaila ulang ayat yang sama. Kemudian Emey Suhaila terus mengangguk. Emey Suhaila mahu percaya kenyataan itu hingga rasa gelisah di hati kian pudar. Lantas Emey Suhaila hela nafas perlahan-lahan.
Emey Suhaila pandang depan semula. Matanya terbeliak tiba-tiba. “Eh, kenapa aku ada dekat sini lagi? Rasanya dah jauh aku drive tadi tapi tetap ada dekat luar kolej ni lagi?” Emey Suhaila hempas keluhan halus. Lalu kakinya diletakkan atas pedal minyak dan ditekan perlahan. Perlahan kereta itu bergerak ke depan tapi belum sempat Emey Suhaila memecut, telefon bimbitnya berbunyi nyaring.
“Oh mak aku!” Emey Suhaila melatah serentak memberhentikan keretanya semula. Telefon bimbit yang masih berdering disambar cepat. Dia melihat nombor pemanggil di skrin. Kemudian dia termenung sejenak. Emey Suhaila tidak kenal nombor itu tapi ia nampak seakan biasa dia lihat. Tapi siapa? Tanpa berfikir lebih panjang, Emey Suhaila membetulkan tekak yang terasa ketat sebelum menjawab panggilan itu. Manalah tahu lelaki mana yang sesat menelefonnya waktu-waktu begini. Kenalah lontar suara paling cun.
Namun belum sempat Emey Suhaila berkata walau sepatah... walau satu perkataan ‘helo’ yang sudah sedia dia lafazkan dengan nada paling mengancam, kedengaran satu suara perempuan sudah terlebih dulu menerjah ke gegendang telinganya.
“Ila, kau kat mana?” soal suara itu terus. Emey Suhaila terkesima. Lantas otaknya lekas berkira-kira gerangan wanita yang mengenali namanya itu.
‘Siapa ni? Kak Fida ke? Yalah... Kak Fida, kakak sepupu kesayangannya itu kan suka tukar-tukar nombor sembarangan. Lepas tu nak kacau orang.’ Emey Suhaila meneka. Tapi bila diingat-ingat semula, rasanya suara itu bukan milik Kak Fida. Emey Suhaila yakin sangat tapi Emey Suhaila rasa macam biasa saja dengar suara itu. Intonasinya juga...
“Aku turun tadi, tengok kau dah lesap. Kau dah balik ke? Kenapa tak tunggu aku? Aku nak ikut kau balik!” kata suara itu lagi. Lantang hingga Emey Suhaila terpaksa menarik telefon bimbitnya jauh dari telinga. Pun begitu Emey Suhaila masih dapat mendengar bunyi desir keluar dari lelubang kecil di telefon bimbitnya. Betapa kuatnya suara itu bagai sebatu jauhnya wanita itu terpaksa memekik. Tetapi Emey Suhaila tidak mengerti butirnya.
‘Siapa ni? Terjerit-jerit dekat telefon. Macamlah aku ni pekak sampai dia perlu terjerit-jerit macam tu,’ bentaknya dalam hati. Ingatkan dapat bercakap dengan teman lelaki baru. Rupa-rupanya entah suara perempuan manalah yang mahu menggegarkan gegendang telinga Emey Suhaila. Seketika Emey Suhaila hempas keluhan kecil. Telefon bimbit itu diletakkan semula ke telinga setelah tiada lagi bunyi yang keluar. “Siapa ni?” soalnya malas.
“Akulah! Aya!”
“Aya? Aya mana?”
“Rogayahlah!”
Emey Suhaila angguk kepala acuh tak acuh. “Oh, sejak bila kau tukar nama?”
“Bila pula aku tukar nama? Nama aku tetap Rogayahlah, tak ada nama lainnya. Tapi kan kau juga yang suruh aku biasakan dengan nama Aya yang kau bagi ni. Pendek dan glamourlah kononnya. Aku tengah biasakanlah ni! Kau pula yang lupa ke?”
Emey Suhaila terdiam. Baru dia teringat. Memang dia yang tidak mahu memanggil Rogayah dengan nama penuhnya lagi. Panjang sangat. Bunyi macam orang kampung pula tu, bak kata Azura. Nama Aya tu nampak lebih moden dan sesuailah dengan imej baru Rogayah nanti. Dia juga yang memaksa Rogayah membeli telefon bimbit dan daftar talian sekaligus. Jadi, memang betullah nombor ini nombor telefon Rogayah yang baru saja dibelinya tadi. Emey Suhaila juga yang memilih nombor tadi. Patutlah Emey Suhaila rasa macam kenal saja nombor itu. Lupa pula dia mahu simpan nombor Rogayah itu terlebih dulu dalam telefon bimbitnya. Kalau dia tahu Rogayah yang telefon tadi, tak perlu jawab pun tak apa.
“Kenapa kau balik terus? Kan aku cakap tadi, aku naik kejap aje... hantar barang. Lepas tu aku nak ikut kau balik. Kenapa kau balik sendiri? Kenapa tak tunggu aku?” soal Rogayah nyaring dan memaksa Emey Suhaila sekali lagi menarik telefonnya dari telinga.
Puas Emey Suhaila menekan punat di tepi telefon bimbitnya untuk merendahkan nada tapi suara Rogayah tetap kuat. Macam Rogayah tu cuma di sebelahnya saja.
“Eh, Aya! Kalau ya pun cakaplah perlahan-lahan. Sakitlah telinga aku kau jerit-jerit macam ni,” balas Emey Suhaila masih cuba berlembut walau hatinya sudah bengkak bagai disengat tebuan. Ah, Emey Suhaila sendiri yang menjolok sarang tebuan. Kalau dari awal Emey Suhaila ikut cakap Azura, tidaklah letih dia mahu melayan kerenah Rogayah yang banyak mulut itu. Usah kata hati, telinga Emey Suhaila juga terasa kebas mendengar suara Rogayah yang nyaring serta soalan yang bertali arus keluar dari bibir gadis itu.
“Oh ya ke? Maaflah... aku tak pernah pakai benda ni.” Ada tawa kecil tapi nyaring kedengaran. Sambil tersengih, tangan Rogayah sudah mula merayap di kepala. Kepala yang tidak terasa gatal digaru perlahan. “Kau boleh datang balik tak? Aku nak ikut...”
Emey Suhaila mengeluh, tidak senang. ‘Ish, budak ni! Tak puas lagi ke berkepit dengan aku hari ni? Nak ikut aku balik lagi? Nanti aku suruh dia belanja makan pula baru tahu!’ rusuh Emey Suhaila dalam hati.  
“Kau nak aku datang bilik kau tak? Kalau kau tak nak datang tak apalah. Aku boleh jalan kaki sendiri...” ujar Rogayah lagi setelah Emey Suhaila sekadar membisu.
“Nak buat apa?”
“Jaga Zuralah. Kau kan tak reti nak jaga orang sakit. Nanti entah apa pula yang kau buat... makin bertambah sakit pula kawan tu,” balas Rogayah bersama tawanya yang bergema.
Sakit telinga Emey Suhaila mendengar tawa Rogayah yang mencucuk gegendang telinganya. Sakit juga hati Emey Suhaila mendengar sindiran Rogayah itu. ‘Hai, boleh tahan juga mulut minah ni...’ keluhnya.
“Tak payahlah. Aku tahulah nak buat apa nanti. Lagipun aku rasa Zura mesti dah baik sikit lepas makan ubat dari semalam. Pagi tadi dia dah boleh bangun dan jaga diri sendiri. Kalau tak, takkan aku boleh ajak kau shopping sakan tadi. Kalau dia terbaring lagi atas katil nanti aku datang ambil kau! Okey?”
“Oh, macam tu ke? Emmm... okeylah kot.” Rogayah angguk perlahan.
“Dahlah! Aku tengah drive ni. Nanti sebab cakap dengan kau, aku langgar pokok pula!” Bohong Emey Suhaila sekaligus mematikan panggilan. Telefon bimbit terus dicampak ke tempat duduk sebelah. Tidak semena-mena satu keluhan lagi dihempas perlahan.
Emey Suhaila pandang keluar cemin tingkap. Langit sudah mula kemerahan menandakan senja sudah tiba. Emey Suhaila ketuk kepala dengan jari. “Apalah yang aku fikir. Dari tadi aku masih dekat sini juga.” Lalu tangan kirinya cepat-cepat mengubah kedudukan gear. Pedal minyak pula dipijak perlahan-lahan dan kereta yang sudah lama berhenti di bahu jalan kini bergerak semula. 

Friday, July 26, 2013

Buddyz vs cinta: bab 8


Rogayah terkebil-kebil membelek tubuhnya di depan cermin. Jari Rogayah menarik-narik hujung baju yang dikenakan ke badannya. Rasa sendat semacam! Sedangkan Emey Suhaila pula tidak sudah-sudah menyuruhnya terpusing-pusing di situ. Sebelah tangan Emey Suhaila menompang dagu. Letih Rogayah dibuatnya asyik terpusing sekejap ke depan, sekejap ke belakang. Seketika kemudian, Emey Suhaila menggelengkan kepala sambil mencebik, tidak puas hati. Emey Suhaila meminta supaya Rogayah mencuba pakaian lain yang sudah awal-awal lagi Emey Suhaila pilih.
Rogayah hempas keluhan. Mukanya sudah mula monyok macam tempoyak. Melihat pakaian yang bertimbun Emey Suhaila lambakkan di sebuah bangku kecil, buatkan Rogayah makin lelah. Spontan satu lagi keluhan dilepaskan. Kali ini lebih panjang.
“Cepatlah tukar baju lain. Apa yang kau terdemut-demut lagi tu?” Emey Suhaila menegur sedikit keras.
Rogayah mencebik. Namun dia tidak membalas walau sepatah. Sepasang lagi baju disambar dari timbunan pakaian itu.
‘Aduh, aku ni dah jadi model ke apa? Kenapa Ila suruh aku cuba semua pakaian ni? Banyaknya...’ ngomel Rogayah tidak mengerti dan terus melangkah masuk ke dalam bilik persalinan semula.
Sebaik Rogayah keluar, Emey Suhaila terus geleng kepala. Tangan Rogayah pula terus hinggap ke kepala. Belum sempat dia mahu tayang baju itu, Emey Suhaila awal-awal lagi sudah menggeleng.
“Tukar baju lain.”
“Hah?!” Terkejut Rogayah mendengar arahan Emey Suhaila yang macam puan besar pula lagaknya. Kemudian, Emey Suhaila menunjuk ke arah timbunan baju di penjuru.
“Banyak lagi baju kau kena cuba. Cepatlah. Dah pukul berapa dah ni...” gesa Emey Suhaila sambil melihat jam di tangan.
Rogayah monyok. Lemah lututnya melihat timbunan pakaian itu. Pandangannya beralih kepada Emey Suhaila kemudiannya. Lemah saja air muka Rogayah.
“Kita buat apa sebenarnya ni Ila? Kenapa kau suruh aku cuba semua baju ni? Kau nak beli kedai ni ke? Penat tau aku nak tukar baju banyak kali,” rungut Rogayah dalam nada keletihan.
“Cuba ajelah Jangan banyak tanya.” Emey Suhaila tunjuk jam lalu memberi isyarat supaya Rogayah terus mencuba pakaian lain.
Hanya keluhan yang mampu Rogayah lepaskan. Dengan terhentak-hentak, Rogayah berjalan ke penjuru dan menyambar satu lagi pakaian. Sempat dia menjeling wajah Emey Suhaila sebelum masuk semula ke dalam bilik persalinan. Pintu bilik persalinan itu dihempas kuat. Sengaja Rogayah mahu tunjuk protes. Mahu bersuara dia tidak pandai.
Emey Suhaila sekadar tersengih. ‘Aik, pandai marah juga rupanya budak ni...’ Emey Suhaila gelak dalam hati. Mahu pecah perut juga dia melihat riak wajah Rogayah yang mencuka selepas berkali-kali Emey Suhaila menyuruhnya mencuba pakaian di butik itu.
Pakaian yang dipilih Emey Suhaila pula semuanya boleh dikatakan fesyen yang pasti tidak pernah Rogayah gayakan. Lihat lagaknya yang geliang-geliut itu juga sudah tahu. Mahunya gadis itu tidak geram. Ah, walaupun Rogayah merungut macam-macam pun Emey Suhaila tidak akan endah. Emey Suhaila akan tetap teruskan niatnya untuk memaksa Rogayah lakukan apa yang bermain di otaknya sekarang. Semuanya Emey Suhaila sudah aturkan khas untuk Rogayah.
“Nasib kaulah Rogayah...”



Rogayah melopong. Matanya terkebil-kebil memandang muka Emey Suhaila. Kemudian pandangannya beralih ke arah botol minyak wangi yang ditunjuk Emey Suhaila tadi. Melihat pada tag harga minyak wangi tersebut yang mencecah tiga angka, mata Rogayah terus membulat. Mulutnya terus melopong. Rogayah toleh ke arah Emey Suhaila semula.
“Nak buat apa ni?” muntah soalan itu dari mulut Rogayah dengan mata terkelip-kelip.
“Nak buat apa lagi, sembur dekat badan kaulah!” balas Emey Suhaila mudah. “Buat apa kau melopong dekat situ. Cubalah bau.”
Rogayah pandang botol warna merah jambu itu lama-lama. Kemudian dia hidu bawah ketiak. Busuk sangatkah Rogayah hingga Emey Suhaila mengajaknya membeli minyak wangi pula. Walhal, Rogayah sudah sedia pakai minyak wangi sebelum ke kuliah pagi tadi.
“Cubalah cik...” kata pekerja wanita di depan kaunter pula. Sejak tadi wanita itu hanya tersenyum melihat lagak Rogayah dan sejak awal juga wanita itu bercakap tidak berhenti, cuba mempromosikan barang jualannya. Cebisan kad yang disembur minyak wangi itu juga awal-awal lagi sudah dihulurkan kepada Rogayah. Namun Rogayah sekadar memegangnya. Malah setiap butir kata wanita itu bagaikan hanya dibawa angin. Satu pun tidak singgah ke telinga Rogayah yang ternganga sejak tadi. Kali ini juga, gelagat dan kata wanita itu tidak dipedulikan Rogayah.
“Minyak wangi ni tak sama macam minyak wangi yang kau pakai sekarang. Yang ni kau pakai sekali aje, baunya sampai ke petang tahu. Lagipun tahan lama. Belilah satu... bukannya selalu.” Emey Suhaila mencucuk dari tepi.
Rogayah telan liur. Matanya tidak berkerdip memandang jenama minyak wangi itu. Bukan bentuk botol atau harumannya yang menarik perhatian Rogayah tetapi harganya.
‘Mak ai... botol kecil kenit macam ni dah seratus lebih? Apa yang hebat sangat sampai nak terjerut leher aku tengok harga dia. Mahu makan biskut kering satu semester aku macam ni...’ Rogayah raba poket seluar. Serba salah dibuatnya.
“Eh, apa yang kau tenung botol tu macam nak makan?” Emey Suhaila tepuk bahu Rogayah setelah lama menanti reaksi Rogayah. Sejak beberapa minit lalu, kawannya itu diperhatikan termenung saja di depan kaunter itu. Sedangkan pekerja wanita yang sibuk bercakap tadi pula mengalih perhatiannya kepada Emey Suhaila. Terpaksalah Emey Suhaila pula yang terangguk-angguk mendengar kata-kata wanita berbangsa cina itu.
“Kena beli juga ke ni?” soal Rogayah lagi sambil menoleh ke arah Emey Suhaila.
Emey Suhaila tarik muka lalu hempas keluhan halus. Matanya meliar pandang keliling, melihat orang ramai yang lalu lalang di sekitar kompleks beli-belah itu. Lelah dia mengajak Rogayah mencari wangian yang sesuai dengannya. Semua yang ditunjuk Emey Suhaila, Rogayah tidak berkenan. Balik-balik, geleng kepala. Itu sajalah jawapannya.
Telinga Emey Suhaila pula yang letih mendengar bermacam ayat-ayat manis yang keluar dari mulut-mulut promoter di situ. Yalah, semuanya mahu jual produk mereka. Mestilah cakap yang baik saja. Kalau dikira-kira sudah dekat dua jam mereka berlegar di sekitar situ dan di kaunter itu saja sudah lebih setengah jam. Kalau boleh, Emey Suhaila tidak mahu Rogayah menolak lagi. Kalau Emey Suhaila kata ya, yalah jawapannya. Rogayah kena beli walau sebotol!
“Kenapa? Kau tak suka juga ke?”
Rogayah pandang keliling. Kemudian dia berbisik ke telinga Emey Suhaila. “Bukan tak suka tapi... harganya mahal sangatlah. Minyak wangi dekat sini semuanya mahal-mahal. Kalau ya pun, beli yang murah aje dahlah.”
Emey Suhaila cuba ukir senyuman. Rasa bengang yang berlingkar dalam hati sedaya upaya ditepis jauh. ‘Relaks Ila... relaks. Sabar ajelah dengan perangai budak ni. Ish, letih betullah nak jadi plastik ni. Aku luku juga budak Rogayah ni nanti. Banyak songeh pula dia. Kata nak jadi kawan aku kan... nah, ikutlah rentak aku kalau nak sangat jadi kawan aku. Jangan banyak songeh boleh tak? Aduh...’
Emey Suhaila menarik nafas dalam lalu dilepaskan perlahan. Terpaksalah Emey Suhaila maniskan senyum sebaik melihat Rogayah terpinga-pinga merenungnya.
“Alah, kau cubalah beli satu. Minyak wangi ni boleh tahan apa baunya. Lembut aje....”
“Minyak wangi aku busukkah?”
Emey Suhaila tersenyum menahan tawa yang hampir meletup. Bukan kerana kata-kata Rogayah yang menggeletek hatinya tetapi melihat riak muka Rogayah yang bikin hatinya tidak tertahan mahu gelak besar. Masa-masa nilah dia asyik menghidu bau badan. Buat malu saja.
“Bukan masalah minyak wangi kau tu tak wangi. Tapi apa salahnya kau cuba yang berjenama. Dua tiga bulan boleh tahan ni...”
Rogayah berkira-kira sedang tangannya sudah merayap ke poket seluar sekali lagi. Emey Suhaila memerhatikan saja gelagat Rogayah itu beberapa ketika.
“Sudahlah kalau kau tak mahu... jom kita pergi. Ikut aku pergi tempat lain pula,” ujar Emey Suhaila dan terus menarik tangan Rogayah pergi dari situ.
Rogayah terpinga-pinga mengikut saja ke mana Emey Suhaila pergi. Hampir tergolek dia gara-gara ditarik Emey Suhaila tadi. Entah ke mana pula Emey Suhaila mahu pergi. Kalau Rogayah masuk kelas tadi pun, kuliah mungkin sudah berakhir setengah jam lalu. Entah-entah sekarang Rogayah sudah sampai ke biliknya di kolej dan boleh lontar tubuh ke katil. Memang enak kalau dapat melayan tidur petang-petang begini.
“Eh... eh, nak pergi mana pula ni Ila?” Rogayah terkial-kial menarik tangannya dari cengkaman Emey Suhaila tetapi gadis itu terus saja menariknya macam menarik leher lembu saja gayanya.
“Ikut ajelah!”



Rogayah melopong lagi buat sekian kalinya. Rasa tegang muka Rogayah kerana asyik melopong saja hari ini. Semuanya gara-gara tindakan Emey Suhaila yang entah apa mimpinya. Awal-awal tadi sudah mengarah Rogayah mencuba pakaian berpasang-pasang sampai tidak terlarat Rogayah mahu keluar masuk bilik persalinan lagi. Boleh kata hampir semua pakaian satu butik itu dicubanya.
Dari butik pakaian beralih pula ke kedai kasut. Bermacam-macam jenis kasut Rogayah cuba. Tergolek-golek Rogayah dibuatnya kerana pertama kali berjalan dengan kasut tumit tinggi. Tambahan lagi, tingginya bukan calang-calang. Kalau diukur mungkin lebih dua inci tumit halus itu. Agaknya kalau terpijak kaki orang lain pun boleh tembus.
Selepas hampir semua kedai kasut disinggah mereka, sudah dua pasang kasut terpaksa Rogayah beli. Harganya juga boleh tahan mahal. Sepasang saja sudah hampir seratus ringgit. Patutlah Emey Suhaila menyuruhnya keluar wang banyak-banyak dari mesin ATM awal-awal lagi. Kalau terus macam ni, keringlah akaun Rogayah dalam bank.
Perjalanan mereka tidak berakhir di kedai kasut sahaja. Selesai membeli-belah kasut, Emey Suhaila membawa Rogayah pergi membeli-belah beg tangan dan diikuti dengan alat solek. Ternganga Rogayah mendengar kuliah ringkas jurujual yang petah mengajarnya cara bersolek. Rogayah hanya angguk walau satu pun dia tidak ingat. Otaknya terus fikir jumlah baki duitnya dan berapa banyak lagi yang bakal lebur. Sehinggalah Emey Suhaila mengajaknya ke kaunter minyak wangi pula. Puas juga Rogayah menggeleng dan akhirnya dia berjaya untuk tidak membeli mana-mana wangian yang disuruh Emey Suhaila. Yeah! Bagai satu kemenangan pula bagi Rogayah.
Tapi, kali ini Emey Suhaila membawanya ke kedai cermin mata pula. Emey Suhaila menunjukkan kanta lekap kepada Rogayah, bagi menggantikan cermin mata tebal yang biasa dipakai Rogayah. Katanya cermin mata Rogayah itu tidak lagi sesuai dengan imej baru Rogayah.
Rogayah lihat tubuhnya. Satu keluhan tidak semena-mena dilepaskan perlahan. Rogayah kutuk diri sendiri sebab mengikut saja rentak Emey Suhaila membeli-belah. Ingatkan beli-belah sikit. Rupa-rupanya banyak pula Rogayah perlu labur duit hingga poketnya juga hampir lebur.
“Dahlah Ila... nak buat apa beli benda ni pula?” Terlontar soalan itu oleh Rogayah dalam nada perlahan. Mukanya berkerut menampakkan garisan halus. Ikutkan rasa hati mahu menangis Rogayah di situ. Beg yang bertimbun di atas lantai dijeling sekilas. “Aku bukan reti nak pakai benda semua ni. Pakai cermin mata aku ni sudahlah...” sambungnya.
“Eh, mana boleh. Cermin mata kau tu tak kenalah dengan imej kau sekarang. Buat penat aje aku ubah pakaian kau kalau kau terus nak pakai cermin mata tu. Kau simpan ajelah cermin tu dalam laci. Tak payah pakai lagi. Sekarang, kau cuba pakai contact lens ni pula,” balas Emey Suhaila tegas lalu menolak kotak kanta pelekap mata ke depan Rogayah.
Rogayah tenung kotak itu lama-lama. Rogayah betul-betul rasa mahu menangis. Tapi air matanya tidak pula mahu keluar. Sudah setengah jam dia menolak dengan pura-pura tidak endah cakap Emey Suhaila mahupun jurujual yang masih tercegat di depan mereka. Tapi...
“Kalau kau tak mahu yang berwarna, ambil yang tak ada warna ni.” Emey Suhaila meletakkan satu lagi kotak yang sama di depan Rogayah.
Rogayah tenung kotak itu pula. Kemudian mengalih pandang ke kotak sebelum ini semula. Dia terus tenung dua kotak itu silih berganti. Kali ini tangan Rogayah sudah mula merayap ke kepala.
“Apa lagi yang kau fikir tu? Lamanya buat keputusan. Kalau kau tak reti pakai, baca saja arahan dalam lampiran tu nanti. Alah, aku pun boleh ajar nanti.” ujar Emey Suhaila namun Rogayah tetap tidak berganjak. Mengiakan tidak, menolak juga tidak. Kaku saja di situ, keras macam batu sambil matanya masih melekat memandang kotak yang berada di depannya. Emey Suhaila hela nafas halus lalu geleng kepala. “Kalau susah sangat kau nak pilih, biar aku saja yang pilih. Miss, tolong bungkuskan yang ini ya...” Selamba saja Emey Suhaila menunjuk ke arah kotak kanta lekap yang ditenung Rogayah sejak sepuluh minit lalu.
Tersentak Rogayah mendengar suara Emey Suhaila yang baru saja didengarnya tadi. Tercengang dia melihat lagak Emey Suhaila yang membuat keputusan bagi pihaknya. Tidak habis di situ, semua barang yang dicadangkan jurujual itu Emey Suhaila hanya mengangguk saja.
Rogayah nampak jurujual wanita berbangsa cina itu memasukkan satu kotak kanta lekap ke dalam beg plastik bersama satu botol berwarna putih. Entah apalah yang ada dalam botol itu, Rogayah sendiri tidak pasti. Tadi, tak ada pula mereka tunjukkan pasal botol itu padanya. Tiba-tiba saja wanita itu masukkan botol itu bersama.
Rogayah terkejut besar bila bahunya terasa ditepuk seseorang. Lekas-lekas dia menoleh setelah melopong saja memerhatikan gerak-geri jurujual tadi.
“Pergilah bayar.” Emey Suhaila bersuara dengan muncungnya panjang ke depan.
Rogayah mengikut arah muncung Emey Suhaila. Jurujual wanita tadi menanti di depan kaunter bersama senyuman. Rogayah tercengang lagi. Matanya terkebil-kebil memandang wanita itu.
“Pergilah cepat. Lepas ni kita boleh balik,” gesa Emey Suhaila lagi sambil menolak badan Rogayah ke depan. Rogayah tiada pilihan. Dia mengikut saja kata Emey Suhaila walaupun terkulat-kulat mahu mengeluarkan beg duitnya dari beg.
Selesai membuat bayaran, jurujual itu menghulurkan bungkusan kepada Rogayah dengan senyum lebarnya. Rogayah menyambut bungkusan itu perlahan. Bibirnya menggigil mahu membalas senyuman jurujual itu. Lantas satu senyuman kelat dilemparkan bersama hatinya yang dicengkam bermacam perasaan. Tapi Rogayah tidak mampu berkata apa-apa. Dia takut Emey Suhaila tidak mahu lagi berkawan dengannya jika dia engkar. Rogayah bukannya ada kawan lain di situ melainkan Emey Suhaila.
‘Tak apalah... mungkin ini kali pertama dan terkahirlah kot. Lagipun tadi kan Ila cakap lepas ni nak balik,” bisik hati kecil Rogayah, sengaja mahu melegakan hatinya yang dikecam perasaan sedih itu.
Emey Suhaila tarik tangan Rogayah setelah keluar dari kedai cermin mata itu. Langkahnya pantas dibuka ke depan. Sedangkan Rogayah terkial-kial memunggah beg yang bertimbun-timbun dalam genggaman.
“Jom kita pergi beli beg pula!” ajak Emey Suhaila beria-ia. Serta-merta langkah Rogayah terhenti bersama-sama ajakan Emey Suhaila tadi. Emey Suhaila turut menghentikan langkahnya kerana badan Rogayah tiba-tiba terasa berat sehinggakan Emey Suhaila pula yang tertarik ke belakang. Emey Suhaila menoleh. Muka Rogayah terus monyok.
“Kenapa ni?” soal Emey Suhaila tidak mengerti reaksi Rogayah itu.
“Nak pergi mana lagi ni?”
“Pergi beli beglah...” jawab Emey Suhaila sambil senyum meleret. Keningnya dijungkit sekali-sekala. Emey Suhaila dengar Rogayah hempas keluhan berat. Jelas bunyinya.
“Tadi kan dah beli. Beg apa lagi ni? Tadi kau kata nak balik. Aku dah penatlah shopping macam-macam barang ni...” Rogayah muncung. Beg yang dipegangnya dihempas ke lantai dan dibiar berlambak ke lantai. Mukanya tunduk memandang lantai, cuba tunjuk protes.
Emey Suhaila melihat saja kelakuan Rogayah itu. Emey Suhaila juga dapat melihat dengan jelas air muka Rogayah yang masam mencuka. Lantas perlahan-lahan Emey Suhaila juga menarik nafas panjang dan dilepaskan perlahan. Tubuh Rogayah didekatinya. “Okey... okeylah. Kita balik aje... aku pun dah penat ni,” balas Emey Suhaila memujuk pura-pura memicit bahunya. “Jomlah balik,” ajak Emey Suhaila lagi sambil menarik tangan Rogayah setelah memungut sebahagian beg yang berlambak atas lantai.
Rogayah kelam-kelibut bila tangannya ditarik Emey Suhaila. Dia menarik tangannya semula dan berlari ke belakang semula bila menyedari tangannya kosong sedangkan beg di tangan Emey Suhaila tidaklah banyak mana. Rupa-rupanya lebih separuh lagi beg barang yang dibelinya tadi masih tertinggal di belakang. Kalut Rogayah memungut semua barangnya lalu berlari semula ke arah Emey Suhaila yang tersengih saja melihat gelagat Rogayah. Emey Suhaila lekas-lekas berpusing dan menyambung langkahnya semula. Sengaja dia biarkan Rogayah terkial-kial mengejarnya di belakang dengan beg yang bertimbun-timbun.
Mahunya Rogayah tidak menang tangan. Hari ini kopak duit simpanan Rogayah gara-gara Emey Suhaila yang menunjuk saja pakaian dan kasut yang perlu dibeli Rogayah hanya mengikut macam dah kena pukau. Baju lebih sepuluh pasang, seluar dua tiga pasang dengan kasut dua pasang... itulah hasil beg yang bertimbun itu. Kasihan Rogayah...