Hi pembaca semua!!!

Terima kasih kerana datang melawat, membaca karya-karya dalam blog ini dan terima kasih juga kepada semua yang menyokong Yuri. Yuri rasa happy sangat dengan kehadiran korang dalam hidup mahupun alam maya Yuri ni.

Segala komen dan sokongan sentiasa dan akan terus membakar semangat Yuri untuk terus berkarya menggunakan nama pena ayu munawer.

Semua karya di dalam blog ini adalah ilusi, imaginasi serta daripada pengalaman hidup. Dan yang paling penting, semua karya di sini adalah hasil karya Yuri. Mohon supaya tiada copycat dekat sini... tqvm

Harap korang terus menyokong dan beri komen mahupun kritikan untuk Yuri memperbaiki sebarang kekurangan.

P/S: Untuk makluman, karya "Dia Si Jantung Hati" akan dihentikan penerbitannya di sini atas sebab rombakan besar-besaran plot cerita. Justeru itu, judulnya juga bakal berubah. Maaf atas sebarang kesulitan. Harap korang setia menunggu dan menyokong hasil rombakannya nanti okey ^^,
"Aku tak suka kau la" kini diterbitkan di penulisan2u dengan tajuk "JIWA KACAU"..saja nk tukar tajuk. Sebb yuri rasa cam lg sesuai je tajuk ni..lebih pendek n ringkas hehe ada ka yuri edit2 skit. Harap u all x kesah nk singgah baca :-)
Sudi-sudilah berkunjung ke official blogshop yuri di http://decodanmakan.blogspot.com yer. Walaupun rupanya masih macam blog biasa, yuri pun masih belajar lagi macam mana nak upgradekannya. Macam-macam ada. Nak tau apa yang ada, kenalah singgah.

Terima kasih (^^,)v

Tuesday, November 27, 2012

Aku Tak Suka Kau La: episod 6

Berbulan rasanya tak tulis apa-apa kat sini... so hari ni rasa nak sambung cerita aku tak suka kau la..yeah..! Kat website NMK dah upload smp episod 11 kalau tak silap. Rasanya sampai situ dulu untuk beri laluan kepada manuskrip penuh ^^,

Tanpa buang masa... dozo...




Encik Sulaiman dan Prof Narimah memandang sesama sendiri. Wakil yang menyertai mereka ke rumah itu juga saling berpandangan. Sesekali mereka mengerling ke arah seorang gadis yang duduk di sofa bertentangan. Gadis itu melebarkan senyuman. Encik Sulaiman dan Prof Narimah membalas senyuman itu. Encik Sulaiman kemudiannya menjeling jam yang kebetulan tersangkut di dinding, di belakang gadis itu duduk.
“Minta maaflah, nak. Pak cik nak bertanya.” Encik Sulaiman akhirnya bersuara. Sudah hampir setengah jam mereka ke mari, membawa hajat anak lelaki mereka untuk menyunting bunga di taman. Tapi sejak awal, hanya gadis itu saja yang ada di dalam rumah ini. Nampaknya rombongan Encik Sulaiman sudah tersilap waktu barangkali. “Kami datang ni sebenarnya membawa hajat besar. Hendak berjumpa dengan waris Nurul Syakira yang sah untuk kami sampaikan hajat ni. Jadi, kalau pak cik boleh tahu mak dan ayah anak ni tak ada di rumahkah?”
Fara Hana sedikit terkejut mendengar kenyataan lelaki berusia lingkungan 50-an di depannya itu. ‘Rombongan untuk Kira?’ Otaknya berkira-kira. Patutlah mereka datang beramai-ramai dengan membawa tepak sireh sekali. Tidak langsung terlintas di fikiran Fara Hana ketika menyambut mereka masuk tadi. Sangkanya saudara-mara Nurul Syakira yang sekadar datang hendak menziarah.
“Maaflah pak cik. Saya dengan Kira bukan adik-beradik. Kami cuma kawan serumah. Sebenarnya rumah ni rumah bujang, pak cik.” Muntah kenyataan itu dari mulut Fara Hana sambil berkerut-kerut sekaligus kenyataannya itu membuah seribu tanda tanya di kalangan rombongan Encik Sulaiman. Masing-masing berpandangan lagi sambil beromong sesama sendiri.
Fara Hana memerhati reaksi mereka dengan rasa serba salah. Dijelingnya ke muka pintu, melihat kelibat kejiranan yang asyik lalu lalang di depan pintu rumahnya sambil menjengah ke dalam. Hati Fara Hana mula merusuh. Busy body sungguh jiran-jirannya itu. Sengaja lalu-lalang berkali-kali. Sibuk sangat hendak ambil tahu hal orang.
“Tapi, nanti sekejap saya telefon abang dia.” Fara Hana meminta diri ke dalam.
Seketika Prof Narimah menepuk lengan suaminya. “Apa yang berlaku ni, bang? Wan tak beritahu pun kita pasal ni? Macam mana pula dibaginya kita alamat rumah sewa.”
Encik Sulaiman menggeleng-geleng. Lantas Encik Sulaiman bangun dari duduk dan melangkah jauh dari wakil rombongannya. Telefon bimbit dari kocek seluar diseluk lalu nombor anak lelakinya cepat dihubungi. Blackberrynya diletak ke telinga, menanti panggilan itu dijawab. Seketika, ada suara yang menjawab.
“Apa cerita ni, Wan?” soal Encik Sulaiman terus. “Yang kamu pergi bagi alamat rumah bujang budak perempuan tu, kenapa? Orang kalau nak hantar rombongan meminang ke merisik ke, kenalah jumpa orang tua dia. Takkanlah abah nak terus merisik dekat tuan badan pula.”
Joe Redzuan sudah terpinga-pinga dalam gelisah dia menunggu berita dari rombongan orang tuanya. Tidak senang duduk dia menunggu di rumah. Walaupun dia juga yang selamba saja menyuruh ayah dan ibunya pergi merisik, tapi entah kenapa Joe Redzuan tetap gelisah. Mungkin begitulah yang dirasai orang lain.
“Ni abah dengan mak nak buat apa dekat rumah bujang ni? Ish, kamu ni. Buat malu abah dengan mak aje!” Encik Sulaiman menyambung.
“Manalah saya tahu, bah. Saya tengok alamat tu dari diari dia, masa saya tolong dia hari tu. Manalah saya tahu tu alamat rumah sewa.” Mudah Joe Redzuan menjawab.
“Ish, diari orang boleh pula kamu baca. Habis tu, kamu daftarkan dia dekat hospital masa tu tak guna IC ke? Kenapa tak tengok aje alamat pada IC dia?”
“Saya guna kad kerja dia. Habis tu, dah saya tak jumpa pun IC dia. Entah-entah dia simpan dalam poket seluar. Takkan saya nak raba, bah.”
“Hai, Wan... Wan.” Encik Sulaiman menggelengkan kepala.
“Habis tu, macam mana bah? Tak bolehlah nak meminang hari ni ya?”
Encik Sulaiman terus menggeleng sebelum menjawab soalan anak lelaki yang seorang itu. Bunyinya seperti tidak sabar sungguh anaknya itu mahu berumah tangga. “Nak meminang pun kenalah kena pada gayanya. Adat mana kamu pakai nak meminang terus pada isteri kamu tu. Kamu ni tak habis-habis bagi abah masalah. Ni nak kahwin ni pun, kamu kenal sangatkah dengan perempuan ni? Tiba-tiba saja nak abah dengan Umi hantar rombongan. Kamu pun tak pernah kenalkan dia dengan abah dan Umi. Tiba-tiba saja nak menikah. Kalau tak kerana Umi kamu tu beria-ia nak mengikutkan kehendak kamu, abah memang bantah.” Encik Sulaiman terus matikan panggilan. Kepalanya digelengkan sekali lagi. Lambat Encik Sulaiman beralih ke tempat duduknya, bersama wakil rombongan lain.
Prof Narimah berkali-kali menepuk lengan Encik Sulaiman, mahu mengetahui hal yang berlaku. Namun Encik Sulaiman hanya berdiam diri.

**************************************************************

“Yang sebenarnya pak cik, mak cik... Nurul Syakira tu sebatang kara. Dia dibesarkan di rumah anak yatim. Saya kenal dia pun sebab kami membesar bersama di rumah anak yatim yang sama. Jadi, biarlah saya sebagai abang angkat dia saja yang terima pinangan ni.” Dani Imran bersuara sambil tersengih-sengih.
Fara Hana pantas menyinggul lengan Dani Imran. “Eh, suka-suka aje kau terima pinangan untuk Kira. Kau bukan abang kandung dia. Bolehkah macam ni?” bisik Fara Hana dekat ke muka Dani Imran. Sesekali Fara Hana menjeling lagi reaksi wakil rombongan lelaki. Sekali lagi, kelihatan mereka beromongan sesama mereka. Ah, sudah. Macam sudah semakin rumit pula hal ini. Entah siapalah yang hantar rombongan ini, Fara Hana juga tidak pasti.
“Habis tu, siapa lagi yang boleh terima? Dah memang Kira tu tak ada saudara-mara lain. Ikutkan dia boleh kahwin aje terus.” Dani Imran membalas dalam bisikan. Perlahan suaranya supaya tetamu yang datang tidak mendengar.
“Kau main terima aje. Siapa yang dok meminang ni, kau kenalkah siapa?”
Dani Imran tersengih. Kemudian, Dani Imran beralih semula kepada Encik Sulaiman. “Maaflah, pak cik. Saya ni nak tahulah siapa gerangan anak pak cik yang nak meminang Nurul Syakira, siapa namanya ya?”
Fara Hana terkejut mendengar soalan itu keluar dari mulut Dani Imran. Ikutkan, mahu saja dia tepuk dahi tapi macam tidak sopan pula di depan tetamu yang datang. Bikin suasana makin kelam kabut lagi adalah. Tapi boleh pula Dani Imran menerima pinangan untuk kawannya itu tanpa mengetahui asal usulnya. Ish, siaplah Dani Imran lepas ini. Setelah semua tetamu pulang nanti, biar Fara Hana bambu Dani Imran yang kuat berleter itu cukup-cukup. Biar Fara Hana pula yang berleter panjang pada lelaki itu kali ini.
“Ya Allah, kita pun terlupa nak beritahu ya bang.” Prof Narimah lekas menjawab. Lengan Encik Sulaiman ditampar perlahan.
Encik Sulaiman mengiyakan lalu lekas mengulit senyuman semula. “Maaflah. Kami pun terlupa nak beritahu tentang tu. Sebenarnya, kami mewakili anak lelaki kami, Joe Redzuan nak menyunting Nurul Syakira menjadi isterinya. Pak cik faham kalau anak berdua ni tak kenal dia. Rombongan ni pun datang secara tergesa-gesa.”
“Kalau namanya Joe Redzuan, saya kenal benarlah saya pada anak pak cik tu.” Dani Imran bersuara perlahan. Terlalu perlahan hingga tidak didengari Encik Sulaiman sendiri. Hanya Fara Hana saja yang dapat menangkap pengakuan itu. Serentak, Fara Hana terkejut lagi.
“Kalau dah Nurul Syakira tiada wakil, nampaknya bolehlah majlis diteruskan.” Salah seorang wakil Encik Sulaiman bersuara galak disertai dengan anggukan kepala beberapa orang lagi.
Encik Sulaiman dan Prof Narimah turut tersenyum lebar.
“Kalau macam tu, bolehlah kita tetapkan terus tarikh nikahnya. Kalau ikutkan anak lelaki kami, dia tu tak sabar-sabar nak nikah cepat,” ujar Prof Narimah sekaligus mencetuskan tawa setiap individu di ruang tamu rumah itu. Prof Narimah juga sebenarnya teruja mahu menerima menantu. Sudah lebih lima tahun dia tidak mendapat menantu baru. Kalau menjadi, gadis ini bakal menjadi menantu perempuannya yang pertama.
“Assalammualaikum!” Kedengaran suara seorang gadis memberi salam dari muka pintu serentak mematikan tawa mereka.
Nurul Syakira tergamam sebaik melangkah masuk ke dalam rumah. Dilihatnya ramai orang yang berkumpul di ruang tamu. Dani Imran juga ada bersama. ‘Saudara Fara datang kut!’ getusnya tenang lantas mengulum senyum manis ke arah mereka.
Nurul Syakira bersalaman dengan tetamu wanita yang hadir hingga di depan Prof Narimah, dia terkesima.
“Eh, Prof!” Terpacul nama itu dari mulut Nurul Syakira. “Err... Prof saudara Fara ke?” soal Nurul Syakira selamba lalu tersengih menoleh ke arah Fara Hana.
“La, kamu ke Nurul Syakira yang Wan maksudkan?” Wajah Prof Narimah berubah rona. Terkejut namun kian ceria. “Kalau macam tu, kita tak perlu risaulah bang. Saya kenal Nurul Syakira ni. Budaknya memang baik dan rajin. Elok benarlah pilihan Wan ni, bang.” Prof Narimah bersuara kepada suaminya.
Encik Sulaiman mengangguk setuju. Kalau sudah isterinya itu mengenali gadis pilihan anak lelaki mereka, legalah hati Encik Sulaiman. Walaupun Joe Redzuan tidak pernah memperkenalkan pilihan hatinya itu kepada mereka, sekurang-kurangnya Prof Narimah mengenali gadis itu.
Nurul Syakira yang memerhati terpinga-pinga. Di hatinya mula rasa seperti ada yang tidak kena. Melihat tepak sireh di atas meja kopi, bikin hati Nurul Syakira kian bergolak ingin tahu. Nurul Syakira menoleh ke arah Dani Imran dan Fara Hana. Kedua kawannya itu hanya tersengih.