Hi pembaca semua!!!

Terima kasih kerana datang melawat, membaca karya-karya dalam blog ini dan terima kasih juga kepada semua yang menyokong Yuri. Yuri rasa happy sangat dengan kehadiran korang dalam hidup mahupun alam maya Yuri ni.

Segala komen dan sokongan sentiasa dan akan terus membakar semangat Yuri untuk terus berkarya menggunakan nama pena ayu munawer.

Semua karya di dalam blog ini adalah ilusi, imaginasi serta daripada pengalaman hidup. Dan yang paling penting, semua karya di sini adalah hasil karya Yuri. Mohon supaya tiada copycat dekat sini... tqvm

Harap korang terus menyokong dan beri komen mahupun kritikan untuk Yuri memperbaiki sebarang kekurangan.

P/S: Untuk makluman, karya "Dia Si Jantung Hati" akan dihentikan penerbitannya di sini atas sebab rombakan besar-besaran plot cerita. Justeru itu, judulnya juga bakal berubah. Maaf atas sebarang kesulitan. Harap korang setia menunggu dan menyokong hasil rombakannya nanti okey ^^,
"Aku tak suka kau la" kini diterbitkan di penulisan2u dengan tajuk "JIWA KACAU"..saja nk tukar tajuk. Sebb yuri rasa cam lg sesuai je tajuk ni..lebih pendek n ringkas hehe ada ka yuri edit2 skit. Harap u all x kesah nk singgah baca :-)
Sudi-sudilah berkunjung ke official blogshop yuri di http://decodanmakan.blogspot.com yer. Walaupun rupanya masih macam blog biasa, yuri pun masih belajar lagi macam mana nak upgradekannya. Macam-macam ada. Nak tau apa yang ada, kenalah singgah.

Terima kasih (^^,)v

Sunday, May 26, 2013

Sayang Kata Benci: Bab 30


Pulang saja dari rumah Haji Rauf dan Hajah Kistina, malam itu juga Izi Helmy menelefon Puan Kamisah di Penang. Bukan sebab mengharap sangat akan tawaran Haji Rauf yang mahu menyerahkan syarikat itu kepadanya kalau dia berkahwin dulu. Tapi dia cuma mungkin terlalu ego untuk tewas pada Saif Azrai sedangkan dia dulu yang menyemai cinta dan kononnya ada buah hati ulam jantung. Selama ini berlagak sangat dan asyik sengaja mahu menayang buah hati di depan Saif Azrai. Kalau sepupunya itu yang naik akad dulu, malu besarlah dia.
“Assalamualaikum, mak. Mak sayang kat Izi tak?” Mesti Puan Kamisah tercengang bila ditujah soalan itu sebaik menjawab panggilan. Izi Helmy sangat pasti.
“Buang tebiat ke apa kamu ni? Jarang-jarang telefon, tiba-tiba tanya macam tu.” Bergetar suara Puan Kamisah kedengaran di telinga Izi Helmy. Dah agak dah. Mesti emaknya itu lontarkan ayat itu kepadanya. Buang tebiat? Huhu memang Izi dah buang tebiatlah ni mak.
“Alah, mak jawab ajalah. Mak sayang Izi tak?” ulangnya tersengih-sengih lalu hempas tubuh ke katil. Dalam pada menunggu jawapan Puan Kamisah, berguling-guling dia atas katil. Tergedik-gedik, lagak macam bercakap dengan teman wanita pula gayanya.
“Apa kenalah dengan kamu ni. Hmm... mak manalah yang tak sayang anak. Tentulah mak sayang. Kalau tak sayang, dah lama mak buang kamu masa kecil dulu!”
“Kalau mak sayang Izi, mak boleh tolong Izi tak?” Manja bunyinya.
Berkerut dahi Puan Kamisah dibuatnya. Bingung. Entahkan dia sekarang tengah bercakap dengan anak sendirikah atau dengan lelaki miang mana agaknya. Dah kena miang keladi ke anak aku ni? Getus Puan Kamisah hairan.
“Kamu ni kenapa? Miang benar mak dengar. Terkena miang keladi ke miang buluh ni? Ha, apa yang kamu nak mak tolong?”
“Ayah ada dekat dengan mak tak?”
“La, kenapa pula dengan ayah?”
“Shh... alah mak, mak jauhlah sikit dengan ayah. Rahsia ni...”
Puan Kamisah menggeleng kepala. Kepalanya memandang ke pintu. Suaminya sudah lama keluar bilik sejak solat Isyak tadi. Cuma Puan Kamisah saja yang masih di bilik, membelek rambutnya yang memutih di depan cermin. Kerana geram dan rasa gatal yang menggigit kulit kepala, dicabut rambut putih itu dari kepala.
“Mak kat bilik ni. Ayah kamu tengok tv dekat depanlah agaknya. Apa yang nak rahsia sangat dari ayah ni?” Lembut semula suara Puan Kamisah. Mesti ada yang tak kena dengan anaknya itu. Kalau tidak masakan mahu berahsia dengan ayah sendiri. Apalah agaknya yang dia nak mengadu dengan maknya ni.
Izi Helmy senyum sendiri. Matanya memandang ke siling, mencari-cari ayat mahu dilontarkan pada Puan Kamisah.
“Apa dia ni, cakaplah. Kalau tak mahu cakap, mak letak telefon.” Puan Kamisah mengugut.
“Eh, nantilah mak.” Kalut Izi Helmy menghalang Puan Kamisah daripada menamatkan panggilan. Laju otaknya menyusun ayat. “Izi nak minta tolong mak, pujuk ayah untuk meminang Aina. Boleh ya mak.”
Senyap. Seketika kemudian, telinga dapat mendengar suara halus Puan Kamisah melepaskan keluhan.
“Mak bukannya tak mahu tolong tapi kamu sendiri tahu perangai ayah kamu. Kalau kata dia A, A la hendaknya. Ayah kamu tu pun bukannya tak suka kamu kahwin. Kamu sendiri yang cari pasal dulu. Sebelum kamu belajar dekat luar negari dulu, berapa kali nak hantar rombongan tak jadi. Sekali rombongan tak jadi. Sekali pula pinangan dah terima, kamu pula yang tiba-tiba tak jadi nak kahwin. Ingat tak?” Keras sedikit suara Puan Kamisah cuba mengingatkan. “Sekejap gatal nak kahwin, sekejap tak mahu. Pinang meminang anak orang ni bukan perkara main-main, Izi. Malu tau mak dan ayah masa tu.”
Lemah terus hati Izi Helmy mendengar jawapan Puan Kamisah. Bukan hati saja yang lemah, satu tubuh ni rasa longlai bagai disedut semua tenaga. Ingatkan dapatlah memujuk emaknya supaya slow talk dengan ayah. Tapi nampak gayanya, mak pun dah terikut cara ayah. Alamatnya, akur ajalah...
“Kali ni pula, kamu betul-betul ke nak kahwin dengan Aina? Mak dan ayah ni pun kalau tak Mak Cik Kistina kamu yang beritahu pasal Aina, takdelah agaknya kami ni tahu pasal dia. Mama ni tak memilih sangat calon menantu asalkan dia baik, pandai jaga diri, jaga laki, hormat orang tua, cukup. Yang mak risaukan sekarang ni, kamu tu. Boleh ke kamu jaga anak orang ni? Seriuskah kali ni, tak main-main dah?”
“Sumpah, mak. Kali ni Izi serius dengan keputusan Izi. No doubt kata omputih!” Sahut Izi Helmy yakin sekaligus bangun dari baringannya dan terus duduk tegak.
“Bahasa omputih ni mak bukannya faham. Mak belajar sampai darjah enam aja.” Tawa halus Puan Kamisah menghiasi talian seketika. “Kamu ikut ajalah cakap ayah. Balik jumpa ayah, biar ayah tengok sejauh mana persediaan kamu tu nak jadi suami orang. Bawalah Aina sekali jumpa mak dan ayah. Kami orang tua ni nak juga tengok dulu calon menantu sebelum nak hantar rombongan meminang. Baikkah dia, cantikkah dia, hodohkah dia, sengetkah dia...”
“Dia cantik mak! Itu confirm!” Laju Izi Helmy memintas.
“Amboi, tak sabarnya dia. Cantik di mata kamu tak semestinya cantik di mata kami orang tua ni. Kamu tu anak mak, mak tahu sangat. Menilai kecantikan rupa semata-mata. Dah. Mak nak tengok ayah kamu dekat depan. Kalau kamu nak kahwin, kamu ikut aja cakap ayah. Lepas tu, boleh jugalah mak tolong sikit-sikit. Kalau tak, mak pun tak boleh buat apa. Kamu gigit jari ajalah bila si Aina tu kahwin dengan orang lain. Assalamualaikum.”
“Erk! Waalaikumusalam...” Lemah Izi Helmy menjawab salam Puan Kamisah. Tidak sempatlah dia nak bela diri. Bertalu-talu pesan Puan Kamisah dihembur ke telinganya. Sekali lagi, ugutan yang sama Puan Kamisah lontarkan. Gigit jari? Aina kahwin dengan lelaki lain?
Hai... dia mengeluh. Teringat ugutan Aina tempoh hari.
“I tak sampai hati nak tolak pinangan orang...”
Mengeluh lagi dia buat sekian kalinya. Berat. Berat macam ni. Berat!

*******

Puan Damia labuhkan punggung di atas katil. Sibuk tangannya menyapu losyen ke kaki dan tangan. “Abang...” panggil Puan Damia lembut lalu menoleh ke arah suaminya yang masih sibuk membuat kerja di sebelah. Penuh katil itu dengan kertas-kertas kerja Encik Rahim.
“Hmm...” Encik Rahim sekadar menyahut. Sedangkan tumpuannya masih setia ke atas dokumen dan jari sibuk menunjuk di atas kertas yang lain. Seringkali terlihat kepala Encik Rahim sekejap ke kanan sekejap ke kiri memandang ke dua dokumen di tangannya.
“Dua minggu lagi Haji Rauf dan Hajah Kistina nak hantar rombongan meminang. Abang mesti ada dekat rumah tau.” Puan Damia memberitahu. Tubuhnya ditolak ke belakang dan menyandar diri ke katil. Sebiji bantal pula dicapai untuk dibuat peluk.
“Abang dengar tak apa sayang cakap ni?” soal Puan Damia mencuit bahu Encik Rahim. Puas ditunggu reaksi suaminya itu namun macam tiada apa yang berlaku. Puan Damia sekarang tidak sabar menunggu lama.
“Hmm... nak meminang siapa?”
“Ish, siapa lagi? Sasha la. Mana kita ada anak lagi. Abang ni...” Puan Damia menggeleng. Kalau dah sibuk dengan kerja tu, entah-entah suaminya itu tidak faham pun apa yang hendak dibincangkan. “Saya nak bincang pasal anak ni, bang. Hentilah dulu buat kerja tu.” Puan Damia lembutkan suara, meminta-minta.
“Abang tengah sibuk ni. Cakap ajalah...” Balas Encik Rahim yang masih sibuk dengan kerjanya.
“Alah bang, bukannya lama. Sekejap aja.”
Perlahan suara keluhan Encik Rahim kedengaran. Lambat-lambat dia berpaling ke arah Puan Damia. Muka Puan Damia berbuah ceria namun wajah Encik Rahim pula yang nampak serabut. Serabut dengan kerja yang bertimbun masih belum selesai.
“Nanti bila Haji dan Hajah datang, abang jangan tak ada pula. Tak elok pula kalau saya aja yang jadi wakil pihak perempuan.” Beria Puan Damia memberitahu sebaik Encik Rahim mengalih perhatian kepadanya.
“Sasha?” Sepatah Encik Rahim bertanya.
“Alah, Sasha biarlah dia. Abang jangan beritahu budak tu. Kalau dia tahu, memang sahlah dia tak mahu terima pinangan sesiapa. Sampai bila kita nak tengok anak kita tu membujang bang. Dia tu perempuan. Makin lama makin kerepot, makin tak laku nanti. Jarang ada lelaki nak kat orang perempuan tua tau bang.” Panjang lebar Puan Damia menjawab.
Sekali lagi Encik Rahim melepaskan keluhan halus. Tidak habis-habis isterinya itu masuk campur hal anak-anak. Dari yang sulung sampailah ke anaknya yang kedua, semuanya nak dipaksa-paksa kahwin dengan pilihannya. Sekarang beralih pula pada anak bongsunya.
“Sashanya suka ke pada budak tu? Awak ni cukup-cukuplah asyik memilih menantu sendiri. Biarlah budak tu pula buat keputusan sendiri. Yang nak kahwin nanti, dia. Yang nak kena hidup dengan lelaki tu nanti dia. Bukan kita.” Bidas Encik Rahim tidak setuju.
“Masalahnya bang, budak tu sampai sekarang tak ada teman lelaki. Saya ni mak dia bang. Saya ni faham benar perangai dia, perasaan dia. Saya bukan saja nak paksa-paksa. Anak kita tu tak nak kahwin, tak nak bercinta mesti sebab budak lelaki yang tinggalkan dia dulu tu. Bukannya tak ada orang yang nak. Saya risaulah bang. Sampai bila dia nak tolak semua jodoh sebab lelaki tu. Saya takut nanti lama-lama, langsung tak ada jodoh untuk dia.”
“Kalau ya pun, biarlah budak tu buat keputusan. Nak ke dia kahwin dengan anak Haji dan Hajah tu? Saya ni pun, tak jumpa lagi budaknya. Macam mana orangnya?”
“Nak jumpa macam mana kalau abang tu asyik sibuk memanjang. Saya nak bercerita pun tak sempat.” Puan Damia menjawab selamba. Mengeluh lagi suaminya itu. Puan Damia bangun dan bergerak ke arah almari. Gambar Saif Azrai dicapainya dari dalam beg tangan lalu henyak semula punggung ke katil.
“Ni, gambar budaknya.” Gambar itu dihulurkan kepada Encik Rahim. Suaminya itu menyambut lalu tekun membelek gambar itu sambil sesekali membetul-betulkan cermin matanya.
“Namanya Saif Azrai, muda sikit daripada anak kita tu. Dia baru habis belajar dua tahun lepas, dekat UK. Dia ni arkitek dekat syarikat Haji Rauf tu. Alah bang, Haji Rauf kan kawan abang. Abang tahulah perangai dia. Macam mana dia, macam tulah anak dia bang.”
Macam tu pula? Encik Rahim menghulurkan semula gambar Saif Azrai kepada isterinya. Cermin matanya ditanggalkan seraya menarik lagi nafas panjang untuk entah yang ke berapa kali.
“Kalau ayahnya baik, tak semestinya anaknya pun baik.”
“Saya dah jumpa sendiri budaknya, bang. Baik budaknya, hormat orang tua. Rupa cantik dah memang tentu. Harta ada, cukup didikannya. Bujang pula tu, bukannya duda atau dah beristeri. Dah elok sangat dah cirinya untuk dijadikan menantu kita bang.” Lekas Puan Damia membela. “Bukan senang nak dapat menantu sempurna macam ni bang. Anak kita tu dahlah belajar tak habis-habis, dah tua pula tu, masak tak reti, buat kerja rumah tak reti. Sasha tu dah cukup bertuah anak Haji Rauf nak pinang dia jadi isteri.”
Encik Rahim diam. Mahu mengikut, serba salah. Mahu menolak pun serba tak kena. Kasihan pada anaknya kalau dipaksa-paksa tapi isterinya itu pun buat semua ini bersebab. Bila ditimbang tara macam-macam perkara, kata-kata Puan Damia ada benarnya. Sampai bila dia hendak melihat anaknya yang seorang itu membujang, sampai ke tua? Kalau ikutkan hati bapa ini, memang mahu Sasha Amira yang di bawah tanggungjawabnya itu ada orang yang menjaga sebelum mata ayah ni tertutup.
“Macam nilah. Saya ni nak tengok juga macam mana budaknya depan mata. Setakat tengok gambar ni, tak puas. Sebelum Haji dan Hajah datang meminang anak kita tu, saya nak buat kenduri doa selamat malam minggu ni. Untuk Sasha tahun akhir nilah. Moga-moga habis dia belajar kali ni. Awak jemputlah Haji sekeluarga. Bolehlah saya tengok calon menantu awak tu.” Encik Rahim buat keputusan. Ceria muka Puan Damia dilihatnya lalu isterinya itu mengangguk setuju bersama senyuman yang tersimpul di bibir.

*******

“I bukan tak mahu jumpa parents you. Tapi mengejut sangatlah. I kena mohon cuti, you fahamlah kerja I bukan boleh cuti macam tu aja. Apa kata buat masa ni, you datang jumpa parents I dulu. Lepas tu baru I minta cuti jumpa parents you pula. Okey?”
Permintaan Aina sekali lagi buatkan Izi Helmy bersandar. Pening kepalanya bila semua orang meletakkan syarat. Encik Hairol mahu menguji tahap didikan agamanya, Puan Kamisah hendak bertemu dulu dengan calon menantunya, Aina pula mahu Izi Helmy dulu datang berjumpa kedua orang tuanya. Lepas ni, siapa pula? Bakal ayah mertua dan mak mertua akan letakkan syarat apa pula? Atau adik Aina yang berusia lima tahun itu yang akan memutuskan syarat lain pula?
Bagi Aina, memang sudah lama kiranya dia menanti soalan itu keluar dari mulut Izi Helmy. Memang belum pernah Izi Helmy perkenalkan dirinya ini kepada orang tua lelaki itu barangkali. Kerana belum pernah diajaknya bertemu mereka. Bila Aina mengajak Izi Helmy ke rumah pun dia asyik mengelak. Kadang-kadang berkira juga sama ada lelaki itu seriuskah pada hubungan mereka. Aina pun bukanlah berkejar sangat mahu berumahtangga. Cuma dia tidak mahu hubungan mereka berakhir tanpa noktah. Nak jumpa yang berkenan di hati, memang payah. Tapi sebab hati dah suka, asyik diberi peluang pada si dia. Dia yakin lelaki itu yang tercipta untuknya, juga sebagai ayah kepada anak-anaknya. Jadi, kalau boleh biarlah hubungan yang terjalin berakhir ke jinjang pelamin.
“Jumpa parents you?” Soalan itu diulang Izi Helmy.
“Emmhemm...” Aina mengiakan serentak mengangguk. Namun anggukannya bukan Izi Helmy dapat melihat. “Mak I pun bukan tak pernah bertanya pasal you. Macam-macam alasan I bagi. Kalau you serius dengan hubungan kita, patutnya you datang jumpa orang tua I dulu. Ini tak, asyik I aja yang mengajak. Macam I ni pula yang terhegeh-hegeh nak kat you. Malu I tau. Tak gentleman la you ni.” Suara Aina berubah nada. Merajuk bunyinya.
Aduh. Izi Helmy tekan kepala dengan jari. Sekali dia kata aku tak gentleman la! Getusnya tidak percaya. Rasa macam leher ni kena jerut bila mendengar Aina berkata begitu.
“Alah, janganlah cakap macam tu. I bukan tak serius dengan you, tapi... emm... I cuma fobia aja nak jumpa ayah you. Yalah, ayah you tu kan ustaz. Ketar kepala lutut ni rasa macam nak tercabut.”
Hampir tergelak Aina mendengar jawapan Izi Helmy tapi ditahan tawanya dari meletup. Biar lelaki itu tahu dia serius kali ini. No more joke okey!
“Belum jumpa, dah kata fobia. Ayah I tu ustaz aja, bukannya Tuhan yang you nak takut sangat. Harimau pun bukan yang nak baham you.”
Senyap tiada jawapan. Izi Helmy berfikir-fikir. Risau masih ada. Risau disoal bakal ayah mertua tentang agama. Dibuatnya ayah Aina tiba-tiba sergah suruh baca ayat kursi ke, surah al-Quran ke, fuh, menggigil ditambah berpeluh satu badan dia nanti.
Dia baring atas sofa. Tidak senang hati, dia bangun dan mundar mandir sepanjang ruang tamu. Telefonnya masih diletak ke telinga. Tapi sunyi sepi. Aina tidak lagi bersuara. Dia juga masih terus menghitung itu dan ini. Agak-agak ada tak ayah Aina pegang rotan macam Encik Hairol? Bermacam-macam bayang mula menerjah kotak fikirannya. Huh! Seriau!
“You...” Halus suara Aina memanggil. Hairan dia bila panggilan itu sunyi dari tadi. Hanya terdengar suara hembusan nafas Izi Helmy sekali sekala.
“Okeylah. Esok juga I datang jumpa mak ayah you!” Yakin dia memberitahu Aina. Tapi tiba-tiba terasa diri gelojoh sangat. Err... tak apa ke tiba-tiba aja? Soalnya sendiri. Kali ini Aina betul-betul tergelak.
“Kenapa dengan you ni? Tergesa-gesa aja macam kena kejar tok kadi. ”
“Mana ada tergesanya sayang. Ops, Aina.” Gatal pula mulut ni nak panggil sayang. Ni yang tiba-tiba memang rasa tak sabar nak kahwin. Boleh panggil nama tu selalu, sepanjang masa. Lepas tu dengar pula dia panggil kita sayang juga. Paling kurang pun, abang. Oh, bahagianya rasa hati.
“Kan hari tu I dah melamar you. Tuhan dah bukakan pintu hati I ni nak kahwin, elakkan maksiat. Lepas dah halal nanti, bolehlah I jumpa you selalu, tengok muka you puas-puas, pegang tangan you, usap rambut you...”
“Amboi... gatalnya dia.” Pantas Aina memintas cakap Izi Helmy sebelum lelaki itu menyambung lagi ayat-ayat miangnya. Sama ada geli telinga ni nak dengar atau bimbang hatinya diketuk perasaan ganjil, dia tidak tahu. Tapi cukuplah tu. “Kalau ya pun, datanglah dua tiga hari lagi. Terkejut parents I nanti kalau I beritahu you nak datang esok.”
“Sebelum lutut I ketar balik, lebih baik I datang jumpa ayah you cepat-cepat. Tapi dah buah hati minta macam tu kan, nak buat macam mana. Kenalah skru dulu lutut ni ketat-ketat, jangan bagi tercabut. Jadinya, I datang Sabtu nanti. Jangan tak beritahu pula pada mak ayah you. Nanti I datang terkejut pula semua orang. Okey?”
“Emm... suka hati you la.” Lembut suara Aina membalas bersama tawanya yang cukup halus bagai menggeletek liang telinga.
Berbunga hati Izi Helmy mendengar suara Aina lagi-lagi bila dia ketawa. Hai, kalau hari-hari boleh dengar suaranya yang merdu bak buluh perindu tu, sanggup dia menghadap ayah Aina yang bergelar ustaz tu. Jinak-jinak merpati, susah sangat nak didekat. Kalau dengan ikatan tali perkahwinan saja jalan penyelesaian yang ada, nampaknya setiap malamlah dia tidur dengan berpelukan bacaan agama.  



Kesian Izi... hehe nasib kaulah Izi. Kata orang pun, kalau hati dah suka, dah sayang... lautan api pun sanggup direnangi kan. Selamat berjuang ler kat Encik Izi hehehe

Friday, May 24, 2013

Sayang Kata Benci: Bab 29


Tergesa-gesa Saif Azrai mengemas pelan dan berlari ke kereta Mitsubishi Lancer milik Izi Helmy. Sepupunya itu sudah menanti di tempat duduk pemandu. Pelan serta beg bimbit berisi fail dicampak masuk ke ruang belakang sebelum dia memboloskan diri ke tempat duduk penumpang di bahagian depan.
“Apasal kau set masa dengan owner tu pagi ni? Bukan baru semalam ke telefon dia? Agak-agaklah sikit.” Celoteh Saif Azrai sebaik duduk di sebelah Izi Helmy. Tali keledar ditariknya dan dipakai ke tubuh. Izi Helmy di sebelah sibuk menoleh ke belakang untuk mengundurkan kereta.
“Dah pagi ni aja yang Encik Halim tu free. Biasalah, dia kan banyak restoran merata tempat.” Lambat Izi Helmy menjawab setelah kereta dipandunya melalui jalan lurus. Cermin pandang belakang dan sisi dikerling sekali dua. Seketika kemudian, dia mengubah haluan dan masuk ke lorong sebelah kanan. Pedal minyak dipijak lebih jauh dan kereta itu meluncur laju.
“Dah tu, tak reti nak beritahu awal-awal? Bukan semalam kau telefon dia pagi-pagi ke? Apasal tak terus beritahu? Tu pun nasib baik aku masuk pejabat tak berapa lewat sangat hari ni.” Saif Azrai menjeling ke sebelah. Sibuk sepupunya itu melihat depan, kanan dan kiri jalan. Jalan Raja Chulan ini pun, pagi-pagi inilah dia nak sibuk macam pasar malam.
Salah Izi Helmy juga. Sudah buat temu janji semalam, tak diberitahunya Saif Azrai awal-awal. Kalau diberitahu boleh juga Saif Azrai datang pejabat lebih awal. Sampai saja pejabat jam 8.30 pagi, Izi Helmy sudah serbu biliknya dan menggesa Saif Azrai ikut berjumpa Encik Halim jam sembilan di lokasi projek. Dari pejabat nak ke restoran Encik Halim di Miharja itu makan masa lebih kurang lima belas minit. Itupun kalau tak jam. Sekarang nak bawa kereta macam lumba Formula 1 pula.
Bukan dia marah sebab itu saja. Paling geram, mengah dia mencari dokumen lakaran reka bentuk dalaman untuk restoran Encik Halim yang sekejap tadi hilang dari simpanannya. Merata dia mencari. Seiingatnya dia cuma letak atas meja selepas diluluskan Haji Rauf. Bila dicari, tiada. Panik dia sampai rasa macam tak cukup oksigen. Rupa-rupanya sepupunya yang bijak pandai itu sudah ambil terlebih dulu dan menunggu saja di kereta. Bukannya nak beritahu.
“Dah ambil pelan tu, bukannya nak beritahu. Lelah la kawan ni mencari. Dia boleh takat telefon aja desak orang cepat. Kalau aku tak tanya, tercari-carilah aku kat dalam pejabat tu.” Bebel Saif Azrai lagi. Ni yang aku tak suka ni, dah besar panjang pun nak kena tegur. Mengayat perempuan tak payah pula diajar. Semua nama perempuan dia ingat. Getusnya geram.
Izi Helmy diam membatu. Dia tidak berniat langsung mahu menjawab apa-apa. Memang salah dia pun. Yalah, dia mengaku. Memang dia lupa nak beritahu Saif Azrai tentang temujanji dengan Encik Halim. Dia lupa juga nak beritahu Saif Azrai yang dia sudah capai fail tu dari atas meja Saif Azrai sebelum sepupunya datang pejabat lagi. Berleterlah mengalahkan mak nenek sekalipun, Izi Helmy tak mahu dengar. Sekarang dia cuma mahu tumpukan perhatian pada pemanduannya. Dilayan cakap Saif Azrai nanti, silap-silap tercium kereta depan. Makin leceh jadinya nanti.

*******

Selesai perbincangan dengan Encik Halim dekat dua jam, Saif Azrai berkejar pula ke Taman Cannaught untuk memantau projek taska di kawasan itu. Alang-alang Izi Helmy yang memandu, terpaksalah dia ikut sekali. Mesra Saif Azrai menyapa pekerjanya sebaik melawat lokasi. Abang Rahman, pekerja papa paling senior di situ datang menghampiri. Dibawanya Saif Azrai dan Izi Helmy melawat seluruh bangunan dua tingkat itu yang sudah diubahsuai kepada beberapa bilik seperti pelan yang dipersetujui bersama dengan pemilik taska tersebut.
Lincah mulut Abang Rahman menjelaskan perkembangan di situ. Projek yang hampir lapan puluh peratus siap itu dijangka akan siap sepenuhnya lebih kurang sebulan lagi, seperti yang dijanjikan. Terangguk-angguk Saif Azrai puas hati mendengar penerangan Abang Rahman. Izi Helmy pula sibuk ambil kesempatan memeriksa pendawaian dan perpaipan untuk memastikan semua kerja yang dijalankan cukup sempurna dan tidak akan menimbulkan masalah di hari depan. Jatuhlah reputasi syarikat mereka jika ada aduan lepas projek siap nanti.
Selepas puas hati memantau projek di situ, Saif Azrai dan Izi Helmy menuju ke Giant Taman Cannaught, hanya beberapa minit dari tapak taska tadi. Kebetulan nampak papan nama restoran makanan segera A&W dalam perjalanan datang ke mari tadi, apa salahnya singgah sekejap. Alang-alang sudah dekat tengah hari, diajaknya Izi Helmy makan di situ. Izi Helmy dipaksa belanja sebagai hukuman dia bikin Saif Azrai huru hara pagi tadi.
“Kot ya pun nak suruh aku belanja, janganlah sengaja nak order macam-macam bro. Saja nak kenakan aku nampak!” Rungut Izi Helmy sambil menatang dulang ke meja. Saif Azrai juga turut sama meletakkan dulang yang dibawanya ke meja yang sama.
“Aik. Macam tak ikhlas aja bunyi.”
“Bukan tak ikhlas bro, tapi tak berapa la.” Izi Helmy tersengih menampakkan barisan giginya yang berlapis. Kerusi ditarik dan dihenyak punggung di depan Saif Azrai yang sedia bersandar. Air float disedut sedikit sebelum menyumbat pula kentang goreng putar ke mulut. Woah! Baru terisi perutnya. Pagi tadi tidak sempat dia menjamah sarapan pagi sebab teringat akan temujanji dengan Encik Halim yang dia lupa untuk beritahu Saif Azrai. Bergegas terus dia ke pejabat. Ingatkan anak bos datang awal hari ni. Kalau tahu, sempat saja dia bantai nasi lemak ke, mi goreng ke dekat kedai mamak area Bukit Bintang.
“Siapa suruh kau buat aku terkocoh-kocoh pagi tadi. Ini pun nasib baik aku tak minta belanja hotel lima bintang!”
“Uish! Kalau hotel lima bintang lagi hangus duit aku kumpul nak kahwin, bro. Dah la pagi tadi aku tak sarapan pagi sebab nak jimat punya pasal.” Izi Helmy beri alasan. Bukan nak jimat sangat, tapi tak sempat. Walhal duit simpanannya dah cukup sangat kalau nak kahwin dua tiga kali.
“Hai, kata tak mahu kahwin. Tiba-tiba aja cerita pasal nak kahwin. Kau pun terpengaruh juga ke dengan tawaran papa aku tu? Tak cukup lagi dengan syarikat ayah kau dekat Penang tu?” Tempelak Saif Azrai bernada sindiran. Sengaja dia mahu menguji sepupunya itu.
Izi Helmy tersengih-sengih. Kotak pembungkus burgernya dikoyak dan burger itu digigit suku. Beria dia mengunyah. Lapar benar lagaknya. Saif Azrai juga menyumbat hot dog ke mulut.
“Aku tak kesah pun tentang jawatan uncle tu, bro. Bak kata kau, syarikat ayah aku pun ada. Pada siapa lagi dia nak turunkan kalau tak pada anak dia sorang ni.” Sahut Izi Helmy sambil mengunyah. Ditelan makanannya dengan bersusah-payah. “Jadinya aku tak akan lamar Aina selagi kau tak ada calon. Kita naik pelamin sama-samalah bro. Baru adil dan saksama!” Cadangnya pula.
Saif Azrai tersenyum sumbing. Disedut lagi air hingga separuh. Adil dan saksama konon. Bukannya dia tidak kenal sepupu sendiri yang membesar bersama. Izi Helmy mana pernah hendak kalah. Kalau Saif Azrai percayakan cakapnya bulat-bulat, silap-silap Saif Azrai yang gigit jari. Bahagianya belum tentu, syarikat papa pun dia melepas.
Excuse me...”
Saif Azrai dan Izi Helmy menoleh serentak bila ada suara yang menegur di sebelah. Berubah wajah Saif Azrai serta merta melihat gadis yang terpacak di sebelah mejanya. Lantas dia berdiri dan cuba mengingati nama gadis itu.
“Sally?” Tekanya.
Gadis itu mengangguk sungguh-sungguh. “Azrai?” Ceria wajah mereka berdua dan saling berjabat tangan. “Long time no see! How are you?” Ucapnya ceria.
“Yeah. Dah lama...” Perlahan Saif Azrai membalas. Kalau dulu, mahu saja dipeluknya gadis itu bila berjumpa. Tapi sekarang, mungkin tidak...
Sally, wanita berbangsa Serani itu merupakan teman wanita terakhirnya semasa belajar di United Kingdom. Saif Azrai senior setahun daripada Sally. Sally ada bersama menghantarnya di lapangan terbang sebelum terbang pulang ke Malaysia. Mereka ada bertukar-tukar alamat ketika itu. Tapi tidak pernah antara mereka mencari antara satu sama lain. Pernah sekali Saif Azrai menerima surat daripada Sally.
“Wow! Siapa ni? Awek lama ke?” Tempelak Izi Helmy sengaja menelah.
Tergelak kecil Sally mendengar telahan Izi Helmy. Sedangkan Saif Azrai berdehem sekali dua.
“Ini sepupu I.” Saif Azrai memperkenalkan Izi Helmy kepada Sally. Lekas Izi Helmy juga bangun menyambut salam Sally. Muka Izi Helmy ceria semacam, menayang senyum nakal dan jelingan penuh makna kepada Saif Azrai.
“Dan ini Sally, emm... ex-girlfriend aku masa dekat UK dulu.” Lambat Saif Azrai mahu memperkenalkan Sally kepada Izi Helmy.
“Woah! Ex-girlfriend, bolehlah sambung balik percintaan yang terbantut dulu. Tak payahlah aku tunggu lama-lama nak naik pelamin dengan kau.” Selamba Izi Helmy berseloroh.
Berubah air muka Saif Azrai serta-merta. Dia perasan perubahan itu. Tapi kenapa? Hei, bro. Relakslah, cinta lama takkan tak boleh bercantum semula. Muka Sally dipandang pula. Gadis itu cuma menyimpul senyum.
Seketika, seorang lelaki berbangsa Cina datang menghampiri Sally. Lelaki itu mendukung seorang kanak-kanak lelaki, lebih kurang setahun usianya.
“Suami I, Raymond. Ray, they are my friends.” Sally memperkenalkan pula suaminya sebaik sedar kehadiran lelaki itu di sebelahnya.
Raymond menghulurkan tangan di depan Saif Azrai. Tenang Saif Azrai menyambut. Dia kenal lelaki itu. Sally pernah menceritakan tentang lelaki itu masa mereka bercinta dulu. Pilihan orang tuanya. Akhirnya Sally mengikut juga pilihan keluarga. Satu-satunya surat daripada Sally yang pernah Saif Azrai terima adalah kad undangan majlis perkahwinan mereka dan dia tidak memunculkan langsung diri ke majlis itu. Untuk apa? Untuk mengaku yang dia ditinggalkan Sally yang memilih lelaki pilihan keluarga sebagai teman hidup? Oh, tidak sama sekali Saif Azrai rasakan diri ditinggalkan kerana dia terlebih dulu mencari pengganti Sally selepas pulang ke tanah air.
Muka Izi Helmy tercengang. Woah! Sekali dia bawa laki da. Patutlah muka Azrai berubah habis! Kekasih lama sudah dibawa lari lelaki lain! Ah, nasib kaulah Azrai. Kau juga yang selalu tolak bila perempuan ajak kahwin. Sama juga dengan perangai aku dulu kan. Takut sangat pada komitmen lepas kahwin. Getus Izi helmy memerhatikan saja dalam diam.

*******

Senang hati Puan Damia setelah mendapat panggilan daripada Hajah Kistina sekejap tadi. Khabarnya Hajah Kistina dan Haji Rauf akan menghantar rombongan meminang dalam dua minggu lagi. Tidak senang duduk Puan Damia mahu membelek pokok bunganya. Dia duduk di ruang tamu. Sekejap duduk di sini, sekejap beralih pula ke sofa sana. Otaknya merancang lebih teliti.
Pinangan itu harus diterima. Sasha Amira kali ini perlu menurut kata. Tidak sekali dia mahu mendengar kata tidak dari mulut anaknya itu. Penat rasanya mulut ini menolak pinangan orang beberapa kali. Malu muka ibu bapa ini, Sasha Amira bukannya tahu.
Telefon digenggam dalam tangan. Jam menunjukkan angka satu. Pasti anak sulungnya tengah berehat sekarang. Lantas nombor Suhana Azreen dihubungi Puan Damia. Dia tekad dengan keputusannya kali ini. Ini adalah plan B yang dirancang sejak bertemu Hajah Kistina dan Puan Damia tidak mahu plan Bnya gagal lagi.
“Helo, assalamualaikum Along.” Ceria sungguh suara Puan Damia.

*******

“Amboi, lama kamu tak jengah aunty dekat sini ya. Baru sekarang nampak muka.” Hajah Kistina menyambut anak sepupunya itu. Terkejut juga bila yang didengarnya memberi salam bukan suara anak lelaki mahupun suaminya tadi semasa dia sibuk memasak untuk makan malam di dapur. “Ha, langkah kananlah kamu. Aunty pun memang tengah masak untuk makan malam. Bolehlah makan sama.”
Izi Helmy tersengih-sengih. “Memang tu pun hajatnya aunty. Nak menuntut janji aunty nak belanja tempoh hari.” Balasnya sambil menampakkan barisan giginya di depan Hajah Kistina.
“Orang tu kan memang muka tembok, mama. Orang tak ajak pun dia akan duduk makan sekali!” Tempelak Saif Azrai yang baru masuk ke dalam rumah. Sinis nadanya lalu mengundang tawa halus Hajah Kistina. Kakinya dihayun tenang mendekati Hajah Kistina seperti biasa. Tangan wanita itu dikucupnya.
“Mama masak apa hari ni? Biar Azrai tolong.” Katanya menawarkan diri. “Ha, kau pun tolonglah sama. Jangan tahu makan aja.” Tempelak Saif Azrai lagi memandang ke arah Izi Helmy. Sengaja nak menyindir sepupunya itu. Lelaki itu bukannya pernah masuk dapur. Lelaki sejati katanya kalau tak reti masak ni. Dia ingat lelaki memang tak patut belajar masak atau tolong-tolong di dapur ke? Pigi dah. Cef yang femes kat luar sana pun sekarang ramai lelaki tau! Sempat dia membebel dalam hati dalam langkahnya ke dapur mengikut Hajah Kistina.
“Mama masak ringkas aja hari ni. Kari ikan dengan sayur labu. Dah nak siap pun. Ha, Izi tak perlulah kamu susah-susah dekat dapur ni. Kamu kan tetamu. Tunggu aja dekat depan.” Hajah Kistina mengajukan pula kepada Izi Helmy yang dilihatnya sudah menjengukkan kepala atas periuk. Laju tangan Hajah Kistina mengetuk tangan anak sepupunya itu. Lantas tudung periuk yang terbuka tadi diletak semula di atasnya.
“Baunya sedap aunty. Rindu benar nak makan masakan aunty.” Izi Helmy cuba membodek.
“Kalau rindu, datang ajalah. Rumah kamu pun bukannya jauh sangat.”
“Boleh ke datang selalu aunty?” Sesekali dia menjeling Saif Azrai. Ingatkan saja nak bermanja dengan Hajah Kistina untuk menyakat Saif Azrai. Sepupunya itu kan rapat benar dengan mamanya. Sajalah nak tahu cemburukah dia kalau Izi Helmy pula hendak bermanja. Tapi hampa. Tenang saja Saif Azrai dilihatnya sibuk membancuh air di kabinet sana.
“Apa pula tak boleh. Datang aja. Kamu pun bukannya tak biasa dengan kami. Suruh duduk sekali, kamu tak mahu. Kalau duduk dengan kami kan, hari-hari kamu boleh merasa masakan aunty.”
Izi Helmy tersengih-sengih.
“Kalau kamu kahwin pun, ada jugalah orang tolong masakkan untuk kamu. Tak adalah makan nasi bungkus hari-hari.”
Gulp! Telan liur Izi Helmy dibuat kenyataan Hajah Kistina yang sekejap tadi sampai ke telinga. Kahwin lagi. Adoi! Cakap memang seronok nak kahwin. Nak tak nak sekarang dia memang kena kahwin sebab tak mahu juga kalah pada Saif Azrai. Tapi masalah besar sudah jatuh atas kepala saat ayahnya sendiri yang mahu menguji terlebih dulu sebelum setuju untuk meminang Aina.
“Kamu dengan Aina pun, rasanya dah lama kenal kan. Bila lagi nak naik pelamin?” Hajah Kistina menyoal lagi sambil tangannya sibuk mengambil pinggan dan dibawa ke ruang makan. Terkedu Izi Helmy di tempatnya. Sementara Saif Azrai juga mula pasang telinga dalam diam. Sudu yang dikacau dalam jag juga semakin perlahan bunyinya. Berminat dia hendak tahu jawapan sepupunya itu.
“Azrai pun dua minggu lagi dah nak hantar meminang. Aunty dah siap panggil orang lagi. Kamu bila lagi? Boleh aunty dan uncle ikut sekali,” sambung Hajah Kistina setelah kembali ke dapur.
Ternganga Izi Helmy yang bersandar ke sinki. Hantar meminang? Azrai hantar meminang? Masak aku! Yang aku ni dengan ayah sendiri pun tak lepas lagi! Desisnya dalam hati, semakin gemuruh dan kalut dengan kenyataan Hajah Kistina. Memang tak boleh jadi.
Saif Azrai juga tidak terlepas rasa terkejut dek kata-kata Hajah Kistina. Dua minggu lagi nak meminang? Hatinya berdebar risau. Tapi gembira sebab mendahului sepupunya. Entahlah. Bercampur-baur rasanya dalam hati. Entah apa sebenarnya yang dirasainya sekarang.

Wednesday, May 22, 2013

Sayang Kata Benci: Bab 28


Senang hati Saif Azrai masuk pejabat hari ini. Ceria saja mukanya menyapa pekerja lain sebaik masuk ke pejabat.
“Hai, ceria nampak hari ni?” Kak Suzi menegur hairan. Semalam tidak datang kerja. Hari ini masuk-masuk saja sudah tersenyum lebar pada semua orang. Hairan sungguh gayanya. Ke mana agaknya anak bos pergi semalam?
Saif Azrai yang baru hendak berjalan ke biliknya singgah sekejap di depan Kak Suzi. “Akak tengok muka saya ni. Ada muka orang bahagia tak?” Mukanya ditayang di depan Kak Suzi. Sekejap ditayang sebelah kanan, sekejap ke sebelah kiri. Macam model nak peragakan muka pula Kak Suzi tengok. Berkerut dahi Kak Suzi serta-merta.
“Lain macam aja kamu ni. Mesti ada apa-apa ni. Kamu tengah hot bercinta ke?” Telah Kak Suzi bersama senyuman penuh makna. Renungan juga mengancam sama. Tergelak Saif Azrai dibuatnya.
“Amboi, Kak Suzi. Akak pun nak pikat saya juga ke?” Tempelaknya sengaja mahu menyakat Kak Suzi.
“Ish, budak ni!” Laju saja Kak Suzi menghempuk lengan Saif Azrai dengan fail yang memang dipegangnya sejak tadi. Berderai lagi tawa Saif Azrai gamat memenuhi ruang di depan pejabat itu. Sebelum Kak Suzi berleter panjang, cepat-cepat dia menghayun langkah ke biliknya.
“Ha, Azrai.”
Spontan Saif Azrai menahan kakinya bila namanya dipanggil lagi. Dia berpaling semula ke arah Kak Suzi.
“Tuan Haji ada pesan suruh kamu jumpa Tuan Haji lepas kamu masuk pejabat.” Pesan Kak Suzi bersama senyum yang masih tersimpul kemas di bibir. Saif Azrai mengangguk saja. Sebelum pintunya ditolak, baru dia teringat yang dia merancang untuk bertemu Izi Helmy sebelum datang ke pejabat tadi. Lantas dia segera memulas tombol pintu Izi Helmy yang hanya bersetentang.
Kelam-kabut Izi Helmy menyorokkan buku yang dibacanya di bawah punggung. Duduknya dibetulkan sedikit kemudian pura-pura sibuk menggoyangkan tetikus ke kiri ke kanan.
“Amboi, anak bos pun tak reti ketuk pintu orang dulu. Kalau dibuatnya aku tengah minum tadi, silap hari bulan tercekik air aku sebab terkejut.” Sindir Izi Helmy menjeling riak Saif Azrai yang sudah terpacak di depan mejanya. Beg Saif Azrai dilihatnya masih dibahu. Baru sampailah tu. Getusnya dalam hati.
“Eleh, kau pun selalu main masuk aja bilik aku tak reti nak bagi salam, tak pula kau fikir macam tu. Kena heart attack aku kat dalam tu sebab sergahan kau tau. So, fair and square la.” Balas Saif Azrai selamba.
Izi Helmy mencebirkan bibir. Yalah. Memang dia tak boleh nak menanglah kalau nak bercakap dengan sepupu sendiri. “Yalah, yalah. Kau jugalah yang menang. Kau nak apa cari aku pagi-pagi ni, encik bos?” soalnya malas.
Amboi. Ni siapa yang bos ni, dia ke aku? Dia pula soal aku macam dia bos aku. Dei, kau kalau nak jadi bos pergi balik Penang okey. Getus Saif Azrai lagi dalam hati.
“Kerja aku minta kau tolong semalam kau dah buat belum?”
“Ha? Kerja? Kerja apa?” Izi Helmy melopong terus.
Saif Azrai bersilang tangan memeluk tubuh. Muka bingung sepupunya direnung. Sahlah belum buat kalau dah muka seposen macam tu yang dipamerkan. “Set time nak jumpa owner restauran dekat Miharja tu. Ha, belum buatlah tu.”
“Apasal aku pula yang kena?”
Spontan satu nafas pendek dihela terus. Dari tangannya menyilang ke tubuh kini diletak ke meja Izi Helmy. Kedua tangannya menekan meja itu bagi menampung tubuh yang ditolak ke depan muka Izi Helmy.
“Helo Encik Izi Helmy. Bukan kau ke person in charge untuk projek tu? Aku cuma tolong buat pelan design aja tau. Aku ada projek lain lagi nak kena settle.”
Ha? Izi Helmy menganga lagi. “Oh, yakah?” soalnya pula kurang pasti. Kelat muka Saif Azrai merenungnya tajam. Adoi. Dia dah buat dah muka singa jantan dia tu. Malas betul aku nak layan.
“Emm... nantilah aku telefon dia. Nak set masa aja kan. Kau nak bincang sekali dengan dia, betul tak?”
“Tak ada nanti-nanti, Encik Izi Helmy. Kau tahu kan papa tak suka kalau pelanggan yang hubungi kita dulu. Kalau dia call kita tanya mana design yang kita janjikan sebelum kau follow up dia, teruk kita nanti kalau papa tahu. Baru kena puji sikit hari tu, terus tak boleh buat kerja?”
Woah! Garang nampaknya dia. Kacau daun betul la. Baru aja nak khusyuk telaah buku agama. Dah kacau. Mana nak masuk otak apa yang aku baca tadi. Malas dia mahu bertekak, dia iakan saja.
“Ya, aku telefon sekarang. Okey!” Ganggang telefon dicapai. Sebelah tangan lagi mencapai iphone. Mencari nama Encik Halim, pemilik restoran di Miharja itu. Butang pada dada telefon lekas ditekan laju-laju mengikut susunan nombor yang tertera pada skrin iphonenya. “Tengah telefon ni. Puas hati?” ujarnya sambil menunjuk ke arah telefon.
Berbuah senyum nipis di bibir Saif Azrai. Bergetar rasa perut menahan rasa lucu melihat reaksi Izi Helmy. Tidak tahan, dia keluar dari bilik Izi Helmy dengan muka serius. Rapat saja pintu itu berlari dia masuk ke biliknya pula. Pecah tawanya di situ. Rasa macam nak berguling sekali atas lantai. Seronok pula rasanya menyakat orang. 
Ops! Teringat pesan Kak Suzi tadi. Lekas begnya ditinggalkan atas sofa dan dia keluar semula menuju ke bilik Haji Rauf.
Tuk! Tuk!
“Masuk.” Kedengaran suara Haji Rauf menyahut dari dalam. Dengan hati gembira, Saif Azrai menolak daun pintu.
“Papa cari Azrai?” soalnya menjengahkan kepala ke dalam. Haji Rauf yang sibuk meneliti dokumen mengangkat muka.
“Ha, Azrai. Duduk sekejap.”
Saif Azrai mengikut kata lalu dia henyak punggung di depan Haji Rauf. Dia menanti sambil memerhati Haji Rauf serius memeriksa kertas di tangan. Lehernya dipanjangkan sedikit, mahu menjengah dokumen yang diteliti papanya. Serius saja muka Haji Rauf, risau pula. Bukan kerja aku kan? Dia tertanya-tanya.
Selesai membelek dokumen itu, Haji Rauf meletakkannya ke tepi dahulu. Wajah Saif Azrai dipandang. Serentak Saif Azrai membetulkan duduknya yang longgar lalu ditegakkan badan.
“Semalam mama kamu beritahu yang kamu nak minta hantar rombongan meminang.”
Gulp! Terus saja Saif Azrai menelan liur bila hal itu dibangkitkan Haji Rauf. Tapi entah kenapa dia tiba-tiba rasa gemuruh, dia tidak tahu. Sepatutnya dia rasa lega atau gembira bila mama sudahpun memberitahu papa. Pastilah orang tuanya akan menetapkan tarikh untuk pergi meminang si anak dara. Tapi kenapa dia berdebar saja dalam hati bagai ada rama-rama yang terbang menari-nari dalam taman hatinya? Soalan itu tidak mampu dijawab.
“Kamu ni betulkah nak kahwin dengan Sasha? Betul kamu berdua dah kenal satu sama lain sebelum nak melangkah ke alam perkahwinan pula?”
Diam. Tiada jawapan mampu Saif Azrai berikan. Melihat anaknya membatu, Haji Rauf menyandar ke kerusi.
“Kita hantar ajalah rombongan meminang Sasha tu, bang. Dia tu baik budaknya. Saya rasa dialah perempuan paling layak untuk dijadikan isteri Azrai tu. Dah kalau budak tu dah terbuka hati nak kahwin, takkan kita orang tua nak halang pula bang. Kita pun dah kenal Sasha tu dengan orang tua dia.” Begitulah antara kenyataan yang dikeluarkan Hajah Kistina malam semalam. Masih terngiang-ngiang di telinga Haji Rauf hingga sekarang. Puas dia berfikir. Hajah Kistina tidaklah berkata apa pagi tadi cuma isyarat mata dan riak wajahnya cukup buat Haji Rauf faham yang isterinya itu mengharapkan jawapan dan persetujuannya.
Memang rancangan Haji Rauf hendak anak bujangnya itu berkahwin dan nampaknya ia berjalan seperti yang dirancang. Walau ada risaunya, Haji Rauf mahu anaknya belajar untuk lebih bertanggungjawab. Hidup berumahtangga bukannya mudah seperti yang disangka mahupun seperti yang diharapkan. Memang harapan Haji Rauf di mana alam rumahtangga akan lebih mematangkan anaknya itu.
“Papa bukan kesahkan pilihan kamu. Sasha tu dah pernah datang ke rumah. Papa pun dah tengok sendiri budaknya macam mana. Cuma papa nak pastikan yang kamu ni betulkah serius nak kahwin dengan budak tu? Bolehkah kamu jaga dia, pikul tanggungjawab sebagai suami kepada isteri dan ayah kepada anak-anak kamu?”
Agak lama Haji Rauf menanti jawapan. Anaknya itu menekur sekejap dan puas berfikir dia mengangkat mukanya.
“Azrai akan cuba, pa.”
Lantas spontan satu lagi nafas dihempas Haji Rauf. Kali ini lebih berat hingga jelas bunyinya di telinga Saif Azrai.
“Hal kahwin ni bukan boleh dibuat cuba-cuba. Tapi kalau kamu betul dengan keputusan kamu, papa tak halang. Macam mana kamu ambil anak orang dengan cara baik, kamu jaga dia dengan cara baik. Itu pesan papa.”

*******

Usai makan malam, Haji Rauf duduk bersandar di sofa di ruang tamu. Serius wajahnya menonton berita luar negara yang dilaporkan di kaca televisyen. Kehadiran Hajah Kistina di sebelah dengan menatang piring berisi buah juga tidak Haji Rauf sedar sehinggalah Hajah Kistina menyapa pehanya, barulah Haji Rauf menoleh.
“Buah bang,” pelawa Hajah Kistina sambil menunjuk ke arah piring yang diletak atas meja. Haji Rauf cuma mengangguk sedang matanya kembali ditolak ke kaca televisyen. Hajah Kistina turut bersandar dan menonton bersama suami. Berdetak bunyi epal digigit Hajah Kistina sekali sekala menyentuh leliang telinga Haji Rauf.
“Mana Azrai?” Tiba-tiba Haji Rauf menyoal.
“Hmm... dekat luar. Termenung lagilah tu. Sejak balik tadi, saya tengokkan dia diam aja bang. Entah kenapa pula budak tu. Pagi tadi ceria aja. Hairan saya tengokkan dia bang.” Terdengar pula nafas halus Hajah Kistina dihembus keluar serentak tangan yang menggigit buah epal tadi jatuh ke riba.
Perasaan risau mula menganjal di hati bila suaminya membangkitkan soal anaknya. Risau melihat dia asyik duduk termenung di depan kolam ikan koi di luar. Selepas itu duduk memerap lama di bilik. Selalunya tidak begitu. Balik kerja, dia selalu menyakat Hajah Kistina dulu dan membantunya di dapur. Tadi Hajah Kistina menjengah sekejap ke luar sebelum ke dapur semula untuk memotong epal. Dilihatnya Saif Azrai termenung lagi di depan kolam. Risau juga hati ibu ini melihat perubahan anaknya itu.
“Awak cubalah cakap dengan anak awak tu. Betulkah dia nak kahwin dengan Sasha. Bila saya tanya, dia tak jawab. Kalau betullah dia serius nak kahwin, kenapa teragak-agak pula? Budak Sasha tu anak kawan kita, jangan sampai kahwin sehari dua dah nak bercerai.” Lembut namun serius nada suara Haji Rauf lontarkan kepada Hajah Kistina. Buah epal dicapainya sepotong dan disuap juga ke mulut.
Hajah Kistina sudah bangun meninggalkan Haji Rauf di ruang tamu. Haji Rauf membiarkan saja dan kembali menonton berita. Sementara Hajah Kistina menjenguk anaknya dari jauh. Nafas yang kian memberat dilepaskan terus sebelum kakinya menyarung selipar. Perlahan-lahan Hajah Kistina mendekati anaknya yang duduk di bangku di taman kecil rumahnya. Jauh benar nampaknya Saif Azrai memandang ke depan sampai tidak langsung perasan kehadiran Hajah Kistina di situ. Entah-entah tembus sampai ke kerak bumi pandangannya itu.
Hajah Kistina labuhkan punggung di sebelah anaknya. Nafas berat sekali lagi dihempas lebih kuat sekaligus menyentak lamunan Saif Azrai. Serta-merta dia menoleh.
“Mama...” tegurnya lalu membetulkan duduk.
“Kenapa dengan anak mama ni? Termenung sana termenung sini mama tengokkan.”
Saif Azrai menggeleng. “Tak ada apalah, ma.” Jawabnya lambat dan terus bersandar. Jarak antara dua kakinya dilebarkan juga. Hajah Kistina turut bersandar. Matanya memerhati ikan koi yang tidak banyak bergerak di dalam kolam. Tidak lama beralih semula ke wajah anaknya di sebelah.
“Kalau tak ada apa, masakan kamu termenung. Kamu tak pernah macam ni tau.” Senyap. Anaknya itu senyap membisu. Matanya juga tidak langsung menghadap muka Hajah Kistina. Asyik menekur dan memandang ke depan bersilih ganti.
“Mama dan papa ni risau tengok perangai kamu ni, hairan pun ada. Pagi tadi ceria, balik pula monyok. Bila papa tanya betulkah kamu nak kahwin, kamu senyap. Takkanlah kamu tiba-tiba ubah fikiran, tak mahu kahwin pula?” Hajah Kistina meneka. Namun anaknya masih diam. Hajah Kistina meletakkan tangannya ke atas lengan anaknya.
“Kamu ni anak lelaki. Kalau kamu pun teragak-agak dengan keputusan kamu, macam mana nak bimbing isteri nanti? Jangan pula buat mama malu tiba-tiba tak mahu pula hantar meminang sedangkan Mak Cik Damia dah tahu niat kita tu.”
Saif Azrai terkedu. Makin difikir, makin menebal pula rasa bersalah. Dia mahu merisik Qayreena sebab dia tidak mahu kalah pada Izi Helmy semata-mata, bukan atas dasar cinta. Tapi bila ditujah soalan Haji Rauf pagi tadi, dia rasa takut. Jaga anak orang? Susah sangatkah nak jaga anak orang ni? Dia menghitung beberapa kali. Fobia semula pada perkataan kahwin itu. Sekarang giliran Hajah Kistina pula mencucuk tangkai hatinya. Aduh. Penuh dengan rasa serba salah dan tidak tahu apa yang terbaik perlu dibuat.
Letih hendak fikir panjang, dia tekad teruskan saja. Belum tentu lagi Sasha Amira akan terima pinangannya nanti kan. Tapi kalau ditolak pula, terpaksa dia bertungkus lumus mencari pengganti atau sedia saja untuk tewas kepada Izi Helmy? Oh, tidak. Itu tidak mungkin berlaku.
“Tak adalah ma. Azrai termenung bukan sebab hal tu tapi... sebab... sebab hal kerja.” Lambat dia memberi alasan. Rancangan perlu diteruskan seperti yang dirancang. Siaplah kau Izi. Walaupun kekasih kau pernah keliling pinggang, bercintan-cintun dengan buah hati bertahun-tahun, tapi aku akan pastikan kau takkan menang kali ni. Tekadnya dalam hati.
“Jadi, kamu serius nak kahwin?”
Saif Azrai cuma tersenyum manis di depan mamanya sebagi jawapan.
“Kamu boleh jaga dia?”
Gulp! Oh, tidak. Soalan ni lagi? Aduh, susah sangat ke nak jaga anak orang? Kenapa mama dan papa mesti tanya soalan yang sama? Bagi makan, bagi duit aja kan. Getusnya dalam hati. Namun senyum masih diukir di bibir supaya Hajah Kistina yakin akan keputusannya.


Ihh...yuri rasa cam nak ketuk-ketuk aja Saif ni kan. Kejap rasa nak kahwin..kejap tak nak. Ingat anak ayam ke boleh main tarik tolak. Anak ayam pun kena kejar dek ibu ayam satu kampung kalau dikacau tau.