Pages

Hi pembaca semua!!!

Terima kasih kerana datang melawat, membaca karya-karya dalam blog ini dan terima kasih juga kepada semua yang menyokong Yuri. Yuri rasa happy sangat dengan kehadiran korang dalam hidup mahupun alam maya Yuri ni.

Segala komen dan sokongan sentiasa dan akan terus membakar semangat Yuri untuk terus berkarya menggunakan nama pena ayu munawer.

Semua karya di dalam blog ini adalah ilusi, imaginasi serta daripada pengalaman hidup. Dan yang paling penting, semua karya di sini adalah hasil karya Yuri. Mohon supaya tiada copycat dekat sini... tqvm

Harap korang terus menyokong dan beri komen mahupun kritikan untuk Yuri memperbaiki sebarang kekurangan.

P/S: Untuk makluman, karya "Dia Si Jantung Hati" akan dihentikan penerbitannya di sini atas sebab rombakan besar-besaran plot cerita. Justeru itu, judulnya juga bakal berubah. Maaf atas sebarang kesulitan. Harap korang setia menunggu dan menyokong hasil rombakannya nanti okey ^^,
"Aku tak suka kau la" kini diterbitkan di penulisan2u dengan tajuk "JIWA KACAU"..saja nk tukar tajuk. Sebb yuri rasa cam lg sesuai je tajuk ni..lebih pendek n ringkas hehe ada ka yuri edit2 skit. Harap u all x kesah nk singgah baca :-)
Sudi-sudilah berkunjung ke official blogshop yuri di http://decodanmakan.blogspot.com yer. Walaupun rupanya masih macam blog biasa, yuri pun masih belajar lagi macam mana nak upgradekannya. Macam-macam ada. Nak tau apa yang ada, kenalah singgah.

Terima kasih (^^,)v

Monday, July 15, 2013

Buddyz vs cinta: bab 3


“Kau biar betul!” Terkejut besar Azura apabila Emey Suhaila meminta bantuannya dalam rancangan Emey Suhaila terhadap Rogayah. Mata yang sedia bulat dibuntangkan, bagai mahu tersembur dihala ke muka Emey Suhaila. Ingatkan Emey Suhaila merancang akal jahat pada Rogayah, tapi lain pula yang dia dengar tadi. Emey Suhaila hanya mengangguk, mengiakan. Sesak nafas Azura dibuatnya. Dadanya tiba-tiba terasa bagai dihempap batu besar. Sesak.
“Bolehlah Zura. Please... please...” pinta Emey Suhaila berkali-kali sambil menggengam jari-jemarinya ke paras dada. Matanya pula dikelipkan beberapa kali lagak baby doll.
Azura tercengang seketika. Kepalanya pula terasa bagai diketuk batang besi. Sakitnya tidak terkata. Sementara Emey Suhaila mengulangi perbuatannya berkali-kali di depan Azura. Azura geleng kepala laju-laju, sekaligus menepis rasa sakit yang menyerang kepala.
“Tolonglah Zura...” Makin galak Emey Suhaila memohon. Muka baby dollnya itu makin didekatkan ke muka Azura.
Azura menggeleng lagi. “Tak... tak boleh,” balas Azura sambil terus menggeleng. Namun makin Azura menidakkan, semakin dekat Emey Suhaila ke mukanya. Ke mana saja Azura lontar pandangnya, wajah Emey Suhaila yang terkelip-kelip tu turut menjengah. Bila Azura berpaling ke kanan, Emey Suhaila ikut ke kanan. Bila ke kiri Azura mengelak, ke kiri jugalah Emey Suhaila melutut. Cadar Azura yang tadinya tegang kini sudah teruk terbongkar.
“Tak boleh!” tempik Azura ke muka Emey Suhaila apabila hatinya sudah dibaluti amarah kerana perbuatan Emey Suhaila itu. Rimas dia dibuat Emey Suhaila. Muka Emey Suhaila ditolak jauh-jauh dari mukanya. “Aku tak mahu masuk campur. Tak mahu!” Azura bertempik lagi dan keadaan bilik itu terus dihiasi dengan rayuan Emey Suhaila serta tempikan Azura berselang-seli. Jika penghuni hostel lain dengar dari luar bilik mereka, pasti sangka macam pasangan suami isteri yang bergaduh. Macam perang besar saja bunyinya sehingga suara Azura yang halus itu kedengaran lantang dari luar. Eh, bila pula Emey Suhaila dan Azura jadi suami isteri?
Azura melompat dari katil, cuba melarikan diri daripada Emey Suhaila apabila gadis itu asyik mengikut saja ke mana mukanya pergi. Sempat Azura mengerling ke arah katilnya yang tidak serupa tempat tidur lagi. Habis berserak gara-gara perbuatan Emey Suhaila yang sudah mula buat perangai. Begitulah Emey Suhaila setiap kali mahu meminta bantuannya. Jika Azura tidak mahu meminjamkan nota kepadanya juga, begitulah keadaannya. Rimas betul. Ikutkan hati mahu saja cekik batang leher Emey Suhaila tapi tidak sampai hati pula. Nanti mati pula anak orang. Tak pasal-pasal Azura kena tidur dalam kandang besi.
Emey Suhaila berlari mendapatkan Azura. Ke sana sini Azura mengelak tapi Emey Suhaila tetap tidak mahu mengalah. “Alah, tolonglah aku Zura. Kali ni aje... aku betul-betul perlukan bantuan kau.” Emey Suhaila terus merayu. Tangan Azura digenggam kuat. Sesekali tubuh kecil itu digoncang. “Zura... kali ni aje.” Kalau pelajar lain nampak dia merayu begini pada Azura, mesti jatuh air muka Emey Suhaila. Silap hari bulan gelaran Sakura Hime itu pun beralih kepada Azura nanti.
“Tak mahu! Aku kata tak mahu!” Azura meleraikan cengkaman tangan Emey Suhaila ke tangannya. Kemudian dia melompat semula ke atas katil. Duduk bersila sambil tunjuk muka tidak puas hati. Bengang dipaksa untuk melakukan kerja yang tidak dia rela. “Aku kata tak mahu, tak mahulah.”
Emey Suhaila hempas keluhan halus. Namun dia sedar dia tidak patut mengalah. Selalunya Emey Suhaila tidak akan gagal memujuk Azura. Azura pasti akan mengikutkan kehendaknya juga akhirnya dan kali ini pun Emey Suhaila akan pastikan rayuannya berhasil. Emey Suhaila lontar pandang ke muka Azura. Azura sudah muncung pak depa. Emey Suhaila cuba buat muka kasihan tapi Azura pula berpaling dari memandang Emey Suhaila. Spontan Emey Suhaila hempas lagi keluhan. Kali ini lebih berat.
Emey Suhaila buka langkah menuju ke arah Azura. Azura yang menyedari tindakan Emey Suhaila itu lekas-lekas mengelak. Terhenti langkah Emey Suhaila melihat reaksi kawannya itu. Emey Suhaila hembus keluhan berat. Mukanya menoleh ke arah Azura yang sudah terpacak di depan almari.
‘Ish, macamlah aku ni raksasa yang dia lari jauh-jauh. Takut sangat buat apa. Aku bukan nak buat apa pun. Kalau nak lari jauh-jauh, keluarlah terus dari bilik kan senang,’ getus Emey Suhaila dalam hati. Sudah letih Emey Suhaila merayu tapi Azura masih terus mengelak. Liat pula nak dipujuk minah ni kali ni. Mungkinkah sebab Azura memang merajuk pada Emey Suhaila sejak awal, sebab itulah Azura tidak mahu memenuhi permintaan Emey Suhaila kali ini?
Hai, takkan Emey Suhaila perlu meminta bantuan daripada Razif? Ish, macam mana pula Emey Suhaila mahu jelaskan pada Razif nanti? Emey Suhaila nak minta bantuan Azura untuk mencapai cita-citanya menjadi Sakura Hime atau Ratu Kolej? Aduh, bukannya Razif tahu apa-apa tentang rancangannya dan Razif juga tak tahu menahu tentang gelaran Sakura Hime mahupun Ratu Kolej yang dikejarkannya selama ini. Jadi, perlukah Emey Suhaila jelaskan pada Razif dari awal? Masak!
Emey Suhaila hempas tangan ke bawah. Geram. “Zura, kau janganlah macam ni. Macam budak-budaklah kau ni!” Emey Suhaila pula mula meninggi suara. Kesabarannya sudah memuncak. Kalau ada penanda aras yang boleh baca tahap kesabarannya sekarang macam penanda pada termometer tu, mesti dah sampai tahap maksimum. Kalau ada lampu pengesan kecemasan di dada Emey Suhaila, mesti dah berkelip-kelip menandakan Emey Suhaila tengah marah.
“Aku pula. Kau tu yang perangai macam budak-budak. Merengek tak tentu pasal. Kalau aku kata tak mahu tu, maksudnya tak mahulah.” Keras suara Azura membalas. Matanya melempar satu jelingan tajam. Wah, nampaknya Azura pun sudah mula naik angin. Bilik hostel yang tadinya dingin diserbu angin malam bertukar hangat dibakar api kemarahan mereka berdua.
“Kenapa kau tak mahu? Bukannya aku suruh buat kerja gila!” Emey Suhaila pula bertempik.
Panas hati Azura bila Emey Suhaila menaikkan suara kepadanya. ‘Aik, dia minta tolong aku dia pula suka-suka hati nak marah-marah aku. Banyak cantik muka. Aku bagi penampar percuma nanti baru tahu.’ Belum sempat Azura mahu buka mulut untuk membalas, pintu bilik mereka diketuk bertalu-talu dari luar. Terangkat bahu Azura kerana terkejut. Pintu yang dhentam dari luar itu sekadar mampu ditenungnya.
Emey Suhaila geleng kepala lantas berlari ke pintu apabila melihat Azura hanya terpaku saja di tempatnya. Padahal Azura berdiri paling dekat dengan pintu. Pintu yang bertalu-talu dihentam dari luar hanya ditenung. Macamlah pintu itu akan terbuka sendiri kalau dia tenung begitu.
Sempat Emey Suhaila menghempas keluhan halus semasa memulas tombol pintu. Hatinya yang masih lagi geram bertelingkah dengan Azura sebab gagal memujuk gadis itu bertambah sebal mendengar bunyi ketukan pintu yang tidak henti-henti. Entah siapalah gerangan manusia yang berani-berani sangat mengetuk pintu bilik Sakura Hime ni macam nak pecah pintu tu dibuatnya. Rasa bergegar satu bilik.
Daun pintu dikuak dan Emey Suhaila dapat melihat Kak Aini terjengul di muka pintu. Emey Suhaila pura-pura buat muka hairan dengan kehadiran Kak Aini sedangkan air muka Kak Aini penuh tanda tanya bercampur risau.
Lambat Emey Suhaila mengukir senyum lalu mengangkat kening, memberi isyarat bagai bertanya sebab Kak Aini mengetuk pintu biliknya. Di belakang Kak Aini, teman sebilik Kak Aini merangkap jiran sebelah bilik Emey Suhaila juga turut sama lontar pandangan hairan. Sesekali Kak Mastura, teman sebilik Kak Aini itu memanjangkan lehernya sambil menolak tubuhnya ke atas, cuba mengintai keadaan di dalam bilik Emey Suhaila. Sengaja Emey Suhaila menutup pandangan Kak Mastura dengan tubuhnya di antara ruang pintu yang terbuka.
“Akak dengar bunyi bising semacam dari tadi. Apa yang jadi? Korang bergaduh ke tengok TV kuat-kuat? Kalau tengok TV tu, janganlah pasang suara kuat-kuat. Nanti penghuni hostel lain terganggu pula dengan bunyi bising dari bilik korang ni. Manalah tahu, orang lain nak belajar ke... nak tidur ke. Lagipun dah tengah malam ni,” leter Kak Aini panjang lebar.
Emey Suhaila tersengih saja mendengar bebelan Kak Aini yang juga merupakan Ketua Hostel. Biasalah tu, kalau buat silap saja mesti kena dengar syarahan percuma daripada Kak Aini. ‘Tapi kalau ya pun, dengarlah dulu penjelasan kami ni Kak Aini oi.’
“Tak adalah kak. Kitorang bukan gaduh. Tengok tv pun bukan. TV pun tak ada dalam bilik ni, nak tengok tv apa ke namanya, kak.” Emey Suhaila menjawab dengan senyuman sambil tangannya digawang-gawangkan ke udara, sekaligus menafikan semua tuduhan Kak Aini tadi.
“Habis tu, bunyi apa bising-bising tadi?” Berkerut-kerut dahi Kak Aini menyoal.
Emey Suhaila tersengih lagi. Tangannya meraba belakang badan sambil sibuk mencari idea untuk menjawab soalan Kak Aini. Takkanlah dia mahu beritahu Kak Aini perkara sebenar, yang mereka memang bergaduh tadi. Ish, nanti timbul pula gosip baru. Sedangkan sebelum ni mereka dicop sebagai kawan sejati yang diibaratkan seperti belangkas. Hubungan mereka sentiasa baik. Walaupun perumpamaan ‘belangkas’ itu rasanya macam kurang sesuai, tapi Emey Suhaila tidak ambil kesah. Asalkan orang lain cuma nampak yang baik-baik saja tentangnya, cukuplah.
Sempat Emey Suhaila mengerling reaksi Kak Mastura yang dari tadi masih mahu mengintai ke dalam. Kemudian ekor mata Emey Suhaila mengintai pula reaksi Azura yang masih terpacak di depan almari baju.
“Tak. Zura ni... dia mengingau sampai meracau-racau. Sebab tulah bising, kak.” Spontan jawapan itu keluar dari mulut Emey Suhaila setelah agak lama mendiamkan diri.
Terbeliak besar mata Azura mendengar cerita yang direka Emey Suhaila itu. Ringan saja tangannya mahu jotos kepala Emey Suhaila tapi niatnya terpaksa dikuburkan saja apabila melihat kepala Kak Aini sudah terjengul dari balik pintu. Tangan Azura cepat-cepat disembunyikan ke belakang. Digenggam kuat supaya tidak melepaskan penangan ke tubuh Emey Suhaila buat masa ini. Tunggulah sehingga Kak Aini, Ketua Hostel yang busy body tu balik ke biliknya. Akan Azura luku-luku kepala Emey Suhaila puas-puas.
Emey Suhaila terpaksa melepaskan daun pintu dan membiarkannya terbuka apabila Kak Aini sibuk sangat mahu menyelitkan kepalanya di celah Emey Suhaila. Daripada biar Kak Aini meleset ke tubuhnya, lebih baik Emey Suhaila biarkan saja pintu itu terbuka. Kak Mastura pun tidak lepaskan peluang.
‘Hah, nak tengok sangat. Tengoklah puas-puas. Nak panggil siapa-siapa lagi ke? Hah panggillah semua orang. Tengoklah macam mana teruknya bilik ni berselerak.’
Dahi Kak Aini berkerut lagi melihat keadaan bilik anak dara berdua itu. Garisan halus di dahi hingga ke batang hidungnya jelas kelihatan. Mahu kata tongkang pecah, bilik ini bukan tongkang. Boleh kata macam dilanggar garudalah.
“Apa dah jadi dengan bilik korang ni?” aju Kak Aini lagi sambil terus tenung sekitar bilik itu di setiap sudut. Bingkai cermin matanya yang tebal ditarik ke depan dan ke belakang, lagak mak mertua garang.
“Kan saya dah cakap tadi kak. Zura ni yang mengigau,” ulang Emey Suhaila lagi. Jari telunjuknya menunjuk ke arah Azura.
Badan Kak Aini terhinjut ke belakang apabila terkejut melihat kelibat Azura tidak jauh di belakang pintu. Kebetulan ketika itu Azura melepaskan rambutnya yang panjang macam model syampu Rejoice. Kebetulan lagi malam itu, Azura mengenakan baju T berwarna putih tanpa corak. Mesti Kak Aini ingat bilik ni ada hantu.
Kak Aini telan liur berkali-kali. Kemudian Kak Aini mengalih pandangan semula ke arah Emey Suhaila. Bingkai cermin matanya dibetulkan lagi. “Tak apalah kalau macam tu. Akak ingatkan apa tadi. Lain kali, basuh kaki dulu sebelum tidur. Tak adalah sampai meracau-racau.”
Emey Suhaila sekadar mengangguk saja mendengar ceramah Kak Aini. Entahkan teguran itu lekat di otaknya, Emey Suhaila malas mahu ambil kesah. Kalau setakat singgah ditelinga kanan dan kemudian keluar semula ikut telinga kiri pun Emey Suhaila tidak kesah. Tak penting.
“Kalau tak ada apa, akak balik dululah.” Kak Aini minta diri. Sekali lagi Emey Suhaila hanya membalas dengan menolak kepalanya ke atas dan ke bawah, mengiakan saja. “Ingat. Jangan lupa basuh kaki lepas ni. Nanti meracau lagi. Kamu tu pun basuh kaki juga. Jangan jadi macam kawan kamu tu. Macam budak-budak,” pesan Kak Aini lagi sambil menggeleng-geleng kepala sebelum beredar pergi.
Hampir tergelak Emey Suhaila mendengar ayat terakhir Kak Aini. Suka hatinya sebab Azura terperangkap dalam cerita rekaannya. Emey Suhaila intai reaksi Azura dengan ekor mata. Azura pasti bengang mendengar bait terakhir Kak Aini. Walaupun perlahan, tapi rasanya Azura dapat mendengarnya. Gadis itu bukannya boleh. Nampak saja badannya kecil tapi barannya tidak terungkap besarnya.
“Baca-bacalah doa lain kali. Kalau tak mengaji dekat bilik ni, sekurang-kurangnya bacalah ayat Kursi dan doa sebelum tidur tu.” Kak Mastura pula menyampuk dan terus berlalu pergi, mengikut Kak Aini yang sudah lesap masuk ke dalam biliknya semula.
‘Eh.. eh. Kak Mastura ni. Dia pun nak berceramah juga,’ ngomel Emey Suhaila dalam hati.
Sementara Azura sudah mengetap giginya. Geram. Mukanya disorokkan ke bawah. Bengkak pula disindir berkali-kali oleh kakak-kakak sebelah bilik. Teruklah Azura lepas ni. Pasti dia akan disindir setiap kali terserampak dengan dua kakak yang busy body tu.
Emey Suhaila nampak reaksi Azura. Lantas Emey Suhaila cepat-cepat katup pintu semula dan dikunci dari dalam. Emey Suhaila melangkah ke katil dan terus henyak punggung di atasnya. Keluhan bertalu-talu dihempas sambil mengintai reaksi Azura yang masih tercegat di tempatnya sejak awal tadi.
Azura tidak tunjukkan sebarang reaksi melainkan sekadar tunduk. Namun Emey Suhaila dapat melihat jari-jemari Azura yang digenggam kemas.
‘Alamak! Raksasa nak mengamuk!’ Emey Suhaila dapat menghidu aura marah Azura. Lantas Emey Suhaila lekas-lekas sorok tubuh dalam selimut dan pura-pura lena.
Tidak lama, Emey Suhaila dapat rasakan hempukan bertalu-talu ke tubuhnya. Suara Azura yang bengang merungut tak berhenti. Namun Emey Suhaila diamkan saja. Alah, bila letih berhentilah budak kecil tu. Kalau Emey Suhaila melayan gelagat Azura tu, mesti pintu mereka diketuk Kak Aini lagi lepas ni. Emey Suhaila lebih rela kena hempuk dengan Azura dari menghadap muka Kak Aini dan mendengar ceramah percuma perempuan itu. Penangan Azura bukannya sakit sangat. Bak kata Kak Aini, Azura kan macam budak kecil. Apalah sangat rasa penangannya itu.
Seperti di duga Emey Suhaila, tak sampai sepuluh kali Azura hayun bantal atas tubuh Emey Suhaila, Azura sudah mengalah. Terduduk atas katil sambil mencungap. Terkekek-kekek Emey Suhaila ketawa dalam selubung selimut. Tangannya ditekup ke mulut agar suara tawanya tidak jelas kedengaran.

Saturday, July 13, 2013

Buddyz vs cinta: bab 2


Sepuluh minit lagi kuliah bermula, Emey Suhaila dan Azura melangkah masuk ke dalam dewan kuliah dengan penuh bergaya. Seperti selalu mereka lakukan. Seperti hari-hari biasa juga, kemunculan mereka di muka pintu mengundang perhatian pelajar-pelajar dalam dewan kuliah, terutama cik abang- cik abang itulah. Bunyi tapak kasut Emey Suhaila yang tinggi tiga inci itu juga dari jauh sudah dapat didengar. Boleh katakan dari awal lagi kepala para pelajar lelaki sudah panjang menjengah ke arah pintu. Sekali tengok, macam leher angsa saja lagaknya. Kalau saban hari dipanjangkan begitu, mahu jadi leher burung unta agaknya.
Emey Suhaila mengulum senyum lebar bila telinga tidak henti-henti menangkap bunyi siulan dari pelajar-pelajar lelaki dalam dewan kuliah sepanjang dia berjalan meniti anak tangga untuk mengambil tempat di atas. Tempat duduk kegemarannya sebab jauh daripada pensyarah. Jadi, dapatlah dia mengelak dari disoal pensyarah yang rajin sangat memberi soalan. Selalunya pelajar yang duduk di barisan depanlah yang menjadi mangsa. Kiranya dua tiga baris depan itu hanya diisi oleh pelajar ulat buku sahaja.
Sesekali Emey Suhaila mengusir rambutnya yang berjuntai di depan ke belakang dengan gaya seksi. Fulamak! Bertambah tangkap cintanlah lelaki-lelaki itu memandangnya. Ada pula lelaki yang nakal, asyik melihat punggungnya setelah Emey Suhaila melepasi mereka. Sampai terteleng-teleng dibuatnya. Sementara yang lelaki asyik mencuci mata, yang perempuan pula ada juga yang tidak kurang melopong. Mungkin terpegun dan mahu menjadi tertarik seperti Emey Suhaila juga. Tapi tidak kurang juga yang sekadar buat tidak tahu. Macamlah Emey Suhaila tidak wujud depan mata mereka. Paling tidak seronok di dengar, ada juga yang mengata. Alah, cemburulah tu.
Sampai di tempat duduk kegemarannya yang masih kosong, Emey Suhaila terus henyak punggung dengan sopan. Azura yang mengekor dari belakang turut ambil tempat biasa, di sebelah Emey Suhaila. Tidak kira di mana, mereka berdua memang tidak pernah lekang. Mesti duduk sebelah-menyebelah. Di mana ada Emey Suhaila, pasti ada Azura.
Emey Suhaila leraikan tas tangan dari bahu lalu diletakkan atas peha yang sudah disilangkan lebih awal. Jam John Master di pergelangan tangan dijeling sekilas sebelum lempar pandangan ke depan dewan kuliah. Emey Suhaila perasan ada pasang mata yang masih melekat ke arahnya. Emey Suhaila pura-pura menyeka peluh di dahi. Bagi seksi sikit. Bila difikir-fikir, rasa macam berlakon dalam drama Korea pula. Alah, yang watak heroinnya jadi tumpuan semua lelaki tu. Heronya pula jadi kegilaan ramai gadis. Lelaki macam itulah yang Emey Suhaila tunggu selama ni. Bila agaknya hero Emey Suhaila tu akan muncul ya? Sempat lagi Emey Suhaila nak pasang angan-angan yang memang selalu dia khayalkan.
“Eh, apa yang kau maksudkan masa kau cakap dekat surau tadi? Beritahulah aku betul-betul!” Azura beria-ia mahu tahu sambil menepuk lengan Emey Suhaila sekaligus meleburkan lamunan Emey Suhaila.
Emey Suhaila pandang muka Azura dengan pandangan yang agak geram. Matanya sengaja dibulatkan sedikit, menunjukkan dia memang tengah bengang. Kacau daun betullah Azura ni. Habis berkecai khayalan Emey Suhaila yang baru saja mahu menikmati kemahsyuran yang diterimanya tadi.
Berkali-kali Azura ulang soalannya selagi Emey Suhaila tidak buka mulut. Walaupun pada awalnya, dia malas mahu ambil tahu. Tapi bila diingat-ingat dan difikir-fikir, teringin juga mahu tahu. Yalah, Azura kan lagak bak paparazi dekat kolej ini. Mesti semua hal dia mahu ambil tahu. Manalah tahu boleh jadi cerita panas. Kalau si Rogayah tu yang jadi subjek cerita hangatnya nanti lagi bagus. Manalah tahu Emey Suhaila ada niat hendak kenakan Rogayah. Azura akan tunggu saat itu. Macam-macam sudah berlegar dalam otak Azura sambil tersenyum nakal.
Memang sejak Emey Suhaila keluar dari surau tadi pun, Azura tidak sudah-sudah menyoal. Mula-mula Emey Suhaila tidak kesah juga mahu jelaskan tapi sudah tiga kali Emey Suhaila terangkan pun Azura masih tidak mengerti. Malaslah nak cakap lagi.
“Beritahulah cepat... beritahulah...” Azura masih bersungguh-sungguh mahu tahu. Jarinya pula menguis tangan Emey Suhaila berkali-kali.
“Nantilah aku beritahu. Dah banyak kali aku terangkan pun kau tak faham. Padahal bukannya aku cakap dalam bahasa lain. Bahasa yang mudah pun kau tak faham juga. Sekarang aku malas nak beritahu lagi. Nanti bila aku ada mood balik nak cakap, baru aku terangkan dekat kau satu per satu!” balas Emey Suhaila bersahaja lalu melempar semula pandangannya ke depan. Matanya dikerling ke pintu depan dewan kuliah kemudian beralih pula pada jam di dinding depan dewan. Sudah sepuluh minit melewati waktu kuliah tapi bayang pensyarah pun masih belum kelihatan.
‘Kelas batalkah? Alah, biasalah tu pelajar tunggu pensyarah. Takkan pensyarah pula yang kena tunggu pelajar kan.’ Emey Suhaila cuba sedapkan hati sebelum kakinya ringan mahu bertindak keluar dewan.
“Alah, beritahulah sekarang. Aku nak tahu sekarang. Nanti aku lupa...” desak Azura lagi.
Emey Suhaila buat tidak endah dan sengaja pekakkan telinga. Tapi makin dibiar, Azura makin kuat mengasak gegendang telinganya. Sesak telinga yang sengaja dipekakkan ini dipenuhi bait suara Azura yang merengek serupa kanak-kanak ribena. Kalaulah anak saudara Emey Suhaila yang merengek macam tu, mahu saja penampar hinggap ke mulut. Geram. Memekak saja!
‘Aduhai... perempuan ni. Ni apahal perangai dia ni lain macam aje hari ni? Kejap merajuk, kejap merengek. Cepat betul angin dia berubah. Tiba-tiba aje nak bermanja-manja dengan aku. Nasib baik kawan. Kalau tak, dah lama makan pelempang aku!’ getus Emey Suhaila dalam hati sambil menjeling riak Azura dari hujung mata.
Emey Suhaila hembur keluhan keras. Tangan Azura yang memaut lengannya dan menggoncang tubuhnya sesuka hati tadi ditarik lalu dipulangkan ke atas peha Azura. Terpaksa Emey Suhaila bertindak tidak berapa kasar. Sedang ada mata yang masih memerhati sejak tadi. Nanti kalau mereka nampak Emey Suhaila bertindak kasar, jatuh pula sahamnya nanti. Emey Suhaila cuba ukir senyuman walau manisnya langsung tiada. Mulutnya didekatkan ke telinga Azura yang terdiam sejak Emey Suhaila menangkap tangannya.
“Kalau aku beritahu kau sekarang, nanti ada yang pasang telinga pula. Nantilah aku cerita dekat kau betul-betul lepas balik,” ujar Emey Suhaila separuh berbisik, tepat ke telinga Azura sambil mengerling keliling.
Azura buka mata luas-luas, seluas telinganya yang mahu mendengar butir kata Emey Suhaila. Matanya turut liar memandang keliling, cuba melihat kalau-kalau ada mata yang mengintai atau ada telinga nipis yang mencuri dengar perbualan mereka. Almaklumlah, Emey Suhaila kan sudah jadi perhatian ramai. Pasti ramai peminatnya yang tidak lekang memandang. Kalau boleh dua puluh empat jam mahu letak mata depan muka Emey Suhaila. Kalau ramai yang suka, pasti ada juga yang rasa cemburu dan mula pasang hasad dengki mahu menyebarkan cerita buruk tentang Emey Suhaila. Atau ada yang dengan rela hatinya melantik diri mereka sebagai wartawan tidak bertauliah, sibuk menyebarkan gosip merata tempat. Mahu mencabar kewibawaan Azura selaku wartawan kolejlah tu. Ah! Banyaknya kemungkinan.
Azura sekadar mengangguk tanda faham. Sebaik melihat anggukan kepala Azura, Emey Suhaila hempas tubuh ke kerusi semula. Pandangannya dilontar ke depan. Pensyarah yang dinanti sudah pun tercegat di depan dewan kuliah.
‘Alamak! Dah lama ke Dr. tu sampai. Dah lama ke kuliah mula?’ Emey Suhaila kalut membuka failnya. Spontan Emey Suhaila menyeluk pen dari tas tangan lalu cepat-cepat menulis sesuatu atas kertas putih yang baru dikeluarkan dari failnya tadi. Sekadar sebaris ayat, Emey Suhaila meletakkan semula pen di atas meja.
Tulis tarikh dan tajuk kuliah saja. Memang itulah yang selalu dia buat setiap kali kuliah. Mahu tulis nota kuliah, Emey Suhaila tidak tahu mahu tulis apa. Tunggulah bila balik nanti, salin saja nota Azura. Azura memang pakar menyalin nota kuliah. Semua butir kata yang keluar dari mulut pensyarah dapat disalin atas buku notanya. Lengkap. Kalau kumpul dari kuliah pertama hingga akhir, boleh jadi buku teks.
Untung juga Emey Suhaila ada Azura. Tidak perlu dia susah payah hendak faham kuliah yang pensyarah sampaikan terutama kalau pensyarah berbangsa asing. Bahasa Inggeris mereka memang susah Emey Suhaila hendak faham. Inikan pula mahu menulis apa yang diajar. Setakat apa yang sempat dia salin dari slaid powerpoint pensyarah bolehlah. Tapi bila hendak baca balik notanya, Emey Suhaila sendiri pun melopong.
Sedang Emey Suhaila tenung pensyarah di depan memberi kuliah, tiba-tiba saja dia rasa tubuhnya bergegar. Emey Suhaila jeling keliling. Ingatkan gempa bumi. Rupa-rupanya Azura bersungguh-sungguh menepuk lengan Emey Suhaila dengan riak terkejut. Lagaknya tidak ubah seperti nampak hantu.
“Eh... eh... kau tengok tu!” Azura bersuara seakan mahu menjerit sambil menampar-nampar lagi lengan Emey Suhaila. Matanya bulat memandang ke sebelah kanan dewan kuliah dengan tangan kirinya menunjuk ke arah itu.
Emey Suhaila mengikut arah pandangan Azura. Namun Emey Suhaila tidak pasti siapa yang dipandang oleh Azura. Ramai pelajar yang duduk khusyuk mendengar kuliah Dr. Razak di sebelah kanan dewan itu. Tapi siapa yang dimaksudkan Azura? Siapa atau apa?
“Kau tengok tu... budak kolot tu satu kelas dengan kita ke?” Terpacul soalan itu dari mulut Azura sekaligus menjawab soalan yang bermain di benak Emey Suhaila. Pandangan Emey Suhaila juga meliar mencari kelibat Rogayah. Mungkin Rogayahlah yang dimaksudkan Azura. Siapa lagi kalau bukan budak baru yang Emey Suhaila tegur tengah hari tadi. Memang sejak tadi Azura tidak habis-habis gelar Rogayah budak kolot.
Puas mencari sambil meneliti arah telunjuk Azura, akhirnya Emey Suhaila berjaya menjejaki Rogayah. Hah! Kan betul! Memang Rogayah. Serentak dengan itu, Emey Suhaila hela nafas panjang.
‘Aik! Sempat pula budak Zura ni perhati sebelah sana sedangkan Dr. Razak masih sibuk beri kuliah dekat depan. Tak penuhlah nota dia nanti... sibuk sangat memerhati Rogayah tu buat apa?’ getus Emey Suhaila dalam hati lalu mengerling Azura yang masih tunjuk muka terkejut di sebelahnya.
Emey Suhaila lambai tangan depan mata Azura beberapa kali. Namun, mata Azura tetap tidak berkerdip memandang Rogayah. Spontan Emey Suhaila hela nafas panjang sekali lagi sambil menggeleng-gelengkan kepala. Kalau Dr. Razak nampak kelakuan Azura, masaklah Azura kena soal. Sudah tentu satu kelas berpaling ke belakang melihatnya. Emey Suhaila secara tidak langsung juga pasti terkena tempiasnya nanti. Silap hari bulan Emey Suhaila yang duduk di sebelah juga kena jawab soalan Dr. Razak. Ish, tak boleh jadi ni. Emey Suhaila perlu hentikan lagak Azura yang orang panggil terkejut beruk itu dari terus berlanjutan sebelum Dr. Razak perasan. Kalau kena soal nanti, manalah Emey Suhaila tahu jawab. Nota pun setakat bila hampir hari peperiksaan baru Emey Suhaila selak.
Emey Suhaila berfikir sejenak apa patut dia buat. Kalau ditampar, pasti bunyi penamparnya nanti didengar pelajar lain. Tapi, belum tentu lagi Azura akan sedar. Beberapa saat kemudian, Emey Suhaila bertindak menjentik hidung Azura yang comel itu. Ternyata usahanya itu berhasil apabila Azura cepat-cepat menekup hidungnya yang terasa perit.
“Ouch!” nyaring suara Azura menjerit. Serentak kuliah Dr. Razak juga terhenti kerana pekikannya tadi. Seperti yang dijangka Emey Suhaila, banyak mata di dewan kuliah itu mulai memanah ke arah mereka. Atau lebih tepat lagi ke arah Azura seorang ketika ini.
“Azura, apa yang berlaku dekat belakang tu? Kenapa kamu menjerit?” Dr. Razak menyoal tenang. Ketika ini bertambah pandangan mata yang memandang ke arah Azura.
Emey Suhaila lekas-lekas sorok muka dengan tapak tangan. Sengaja tidak mahu terbabit sama. Padan muka. Siapa suruh Azura jerit kuat-kuat tadi. Emey Suhaila menahan gelak melihat Azura kalut mahu menjawab soalan Dr. Razak. Tambah dengan semua mata terus memandangnya, Azura makin gelabah. Mukanya mulai terasa panas.
“Tak... tak ada apa-apa Dr. Tiba-tiba ada tebuan sengat hidung saya.” Tergagap-gagap Azura menjawab, membuatkan ramai suara pelajar yang mulai risau sambil menjeling sekitar dewan. Mencari tebuan yang menyengat hidung Azura. Takut-takut nanti mereka pula yang menjadi mangsa sang tebuan.
Dalam masa sama, ada juga suara nakal pelajar-pelajar lelaki yang mengusik. “Alahai, habislah bengkak hidung comel cik adik Zura kita. Tak mancung lagilah lepas ni.”
“Tak apa! Kalau hidung Zura jadi bulat macam hidung badut, abang sanggup tanggung perbelanjaan buat pembedahan!” Suara lain pula menyahut. Hingar-bingar seketika dewan kuliah sehinggalah Dr. Razak menghentikan suara-suara itu dan kuliahnya disambung semula.
Sementara Emey Suhaila pula hampir tergelak melihat Azura terbeliak memandangnya. Hidung Azura yang mancung itu kelihatan merah macam hidung badut. Alamak! Kuat sangatkah Emey Suhaila jentik tadi? Memang tepat tekaan Zarif, pelajar lelaki yang sanggup keluar belanja untuk pembedahan hidung Azura itu. Tapi, tak bulatlah.
Emey Suhaila tutup mulut dengan tapak tangan sambil cuba menahan tawanya yang hampir meletus. Makin ditengok muka Azura, makin kuat terasa ombak tawa menendang-nendang dari dalam perutnya.
Azura makin bulat mata bila melihat riak Emey Suhaila yang mahu mentertawakannya. Lantas tangan Azura pantas mencapai beg sandangnya di bawah tempat duduk. Poket depan beg itu diseluk lalu sekeping cermin dikeluarkan. Azura membelek mukanya dengan teliti dalam cermin. Kuliah Dr. Razak sudah lama diabaikannya, sejak dia ternampak kelibat Rogayah tadi. Lepas ni, terpaksalah dia pula meminjam nota daripada kawan sekuliah lain.
Mata Azura terbeliak lagi bila menyedari hidungnya kemerahan gara-gara jentikan Emey Suhaila yang berbisa. Serta-merta Azura menoleh ke sebelah, memandang muka Emey Suhaila dengan mata yang sengaja diruncingkan. Namun Emey Suhaila sengaja membuang pandangannya ke depan. Kononnya ambil perhatian pada kuliah Dr. Razak.
‘Hai, buat-buat beri perhatianlah pula minah ni. Entah-entah otak tu dah melayang sampai ke manalah tu agaknya. Dah jentik hidung aku yang comel molek ni sampai jadi macam udang kena bakar, dia boleh buat selamba aje. Ni yang aku geram ni. Aku jentik hidung dia yang kembang tu nanti baru tahu, bagi mancung ke atas sikit.’ Hati Azura merusuh geram. Dia terus kerling wajah Emey Suhaila lama-lama. Sengaja dia mahu tengok sampai bila Emey Suhaila mampu bertahan mengelak daripada pandangannya. Azura yakin tidak lama sambil dia menghitung dalam hati...
‘Satu... dua... tiga... empat...’
Emey Suhaila intai reaksi Azura dari hujung mata. Pandangannya lekas-lekas dilontar ke depan semula apabila melihat renungan mata Azura yang memanah seperti biasa. ‘Alamak! Dah buat dah...’ keluhnya dalam hati. Memang sejak dari bangku sekolah lagi, Emey Suhaila paling lemah bila melihat panahan mata Azura begitu. Bergoncang jiwa lara dibuatnya. Rasa macam dihempap beban konkrit seberat lima tan. Macam besar sangatlah dosa yang dia lakukan.
‘Lima... enam... tujuh...’
“Kau ni kenapa pula nak tenung aku macam tu? Macamlah aku ni boyfriend kau yang buat salah besar dekat kau.” Emey Suhaila akhirnya menegur sambil kepalanya dipalingkan ke arah Azura walau badannya masih tegak ke depan. Lengan hingga sikunya ditekup ke meja, menahan tubuh.
‘Hah! Kan betul! Tak akan lama punya.’ Azura ketawa dalam hati. Namun bila melihat kening Emey Suhaila yang berkerut-kerut hingga bengkok macam Ayu Raudah sebab susah hati, tawa Azura hampir meletus. Azura cuba menahan tawanya dari terus meletup keluar. Kalau dia gelak besar nanti, mesti kena marah dengan Dr. Razak. Paling kurang pun, kena tegur lagi. Malulah! Tebal muka nanti. Malu tadi pun tak hilang lagi.
Kening Emey Suhaila makin bengkok melihat wajah Azura yang berubah riak. ‘Aik! Apahal pula kawan aku ni? Kena sampuk hantu ke? Tadi bukan main tenung aku macam nak makan orang. Ini dia pula tiba-tiba nampak macam nak gelakkan aku.’ Kali ini kening Emey Suhaila sebiji macam The Rock, bekas hero WWF tu.
“Kau ni kenapa? Sekejap marah, sekejap ketawa... sakitkah?” cetus Emey Suhaila geram dengan nada berbisik.
Namun soalan Emey Suhaila itu tidak dapat dijawab Azura kerana dia sibuk mahu menahan tawanya yang menggeletek isi perutnya. Emey Suhaila ketap gigi geram seraya menolak pipi Azura dengan jarinya. Kemudian dia terus lontar pandang ke arah Dr. Razak yang masih bercakap tidak berhenti di depan dewan kuliah. Tidak kesahlah sama ada Emey Suhaila faham atau tidak, malas dia mahu melayan Azura lagi. Entah sudah ke mana kuliah Dr. Razak agaknya. Rasanya sudah banyak yang Emey Suhaila terlepas. Alah, memang dari awal lagi Emey Suhaila memang tidak berikan perhatian. Tubuhnya saja dalam dewan kuliah tapi otaknya kosong saja setiap kali dengar kuliah.
Selang beberapa saat, Emey Suhaila kerling ke arah Azura. Gadis berbadan kecil itu masih bersungguh-sungguh menahan tawanya. Emey Suhaila menggelengkan kepala.
‘Hai, besar sangatkah tawa dia tu sampai seksa benar aku tengok dia nak menahan gelak. Kalau dah susah sangat, gelak ajelah kuat-kuat. Habis cerita!’ Emey Suhaila hempas keluhan halus. Geram juga melihat lagak kawannya itu. Entah apa yang melucukan hati Azura, dia tidak pasti. Apa yang pasti, Emey Suhaila tiada pula buat lawak bodoh tadi. Loyar buruk pun rasanya tiada. Emey Suhaila memang tak suka loyar buruk. Azura saja yang suka buat begitu.
Emey Suhaila jeling pula buku nota Azura yang terbuka atas meja. Tanpa disedari satu lagi keluhan halus dilepaskan perlahan. ‘Hai, nampaknya nota Zura kali ni pun bersih. Satu muka surat pun tak penuh. Nota siapa pula aku nak salin lepas ni?’ Sambil menongkat dagu, Emey Suhaila hempas lagi keluhan buat sekian kali diikuti bertalu-talu pula seterusnya.



Habis saja kuliah Dr. Razak selepas satu jam, Azura hempas tubuh ke belakang kerusi. Satu keluhan berat dilepaskan perlahan. Namun sesak nafasnya tidak langsung berkurang. Bukan sesak sebab tidak tahan mahu tergelakkan Emey Suhaila tadi tapi kecewa sebab dia terlepas banyak kuliah Dr. Razak hari ini. Bila melihat kepada notanya yang cuma tertulis tidak sampai separuh muka surat, Azura mengeluh lagi. Cuma lima belas minit pertama saja perhatiannya tertumpu pada kuliah Dr. Razak. Selebihnya... hai, tak sanggup Azura mahu imbas semula. Ini semua disebabkan budak baru, si Rogayah tu punya angkara.
Azura angkat tubuhnya serta-merta apabila teringatkan akan budak baru itu. Azura lontar pandang ke bahagian kanan di mana Rogayah dilihatnya duduk di situ. Namun kelibat Rogayah sudah tiada.
‘Eh, mana pula budak kolot ni pergi? Cepat betul dah lesap. Macam Chipsmore pula. Kalau Chipsmore tu sedap juga aku telan tapi budak kolot tu, aku nak pandang pun tak lalu...’ Mata Azura terus meliar memandang keliling dewan kuliah. Sedang pelajar-pelajar lain yang tadinya duduk diam di tempat masing-masing kini sudah sibuk beransur keluar. Ramai yang beratur ke pintu utama untuk keluar dari dewan kuliah. Sekali tengok, macam orang beratur nak keluar dari panggung lepas habis tayangan wayang.
“Kau cari apa ni? Tak mahu keluar ke?”
Pertanyaan Emey Suhaila itu serta-merta buat Azura tersentak. Azura pandang muka Emey Suhaila. Mata bundarnya membulat dengan mulut melopong.
“Kau tengah cari apa ni? Dari tadi aku tengok sibuk semacam. Macam cari pakwe aje.” Emey Suhaila menegur lagi seraya menolak dagu Azura ke atas, sekaligus menutup mulut gadis itu yang menganga.
“Bukanlah!” balas Azura cepat. “Kau ni asyik boyfriend... pakwe. Tak ada benda lainkah yang kau fikir?” tegur Azura pula, sedikit keras.
Emey Suhaila hanya mencebik, buat tak kesah akan teguran Azura itu. ‘Aik, marah pula minah ni. Memang tak fahamlah aku dengan perangai dia hari ni. Kejap marah, kejap ketawa, lepas tu marah balik... hai, salah makan ubat ke apa kawan aku ni?’ Emey Suhaila geleng kepala beberapa kali bila melihat lagak Azura yang masih tertoleh sana, tertoleh sini. Entah apalah yang Azura cari.
“Hai... Ila.”
Tiba-tiba terdengar satu suara menyapa. Emey Suhaila lekas-lekas berpaling ke belakang. Azura juga terus terdiam apabila telinganya menangkap suara itu. Macam pernah dia dengar suara itu. Rasanya memang dia kenal.
“Tak sangka saya satu kuliah dengan Ila.”
Mata Azura membulat. Sah! Azura memang kenal suara itu.
“Ak’ah. Kan saya dah beritahu awal-awal tadi. Lepas ni, memang kita ada banyak kelas yang sama rasanya.” Emey Suhaila menjawab lembut sambil menguntum senyuman manis.
Fuh, bergetar lagi jantung Rogayah terpana keindahan senyuman itu. Rasa sejuk hatinya. Teringat pada senyuman ibunya di kampung. Walau baru beberapa hari tidak jumpa, rasa rindu pula pada ibu.
“Kalau macam tu, lepas ni selalulah kita akan jumpa ya...” kata Rogayah lagi beria-ia. Emey Suhaila sekadar mengangguk. Senyuman terus diulit rapi bagi memancing hati Rogayah. Rogayah kerling ke arah seseorang di belakang Emey Suhaila. Berkerut-kerut dahinya mengamati belakang badan manusia itu. Kalau dilihat pada pakaiannya, rasanya Rogayah dapat meneka gerangan manusia yang membelakanginya itu.
“Itu kawan awak, Azura kan?” soal Rogayah sambil jari telunjuknya menunjuk ke arah belakang Emey Suhaila. Mukanya berkerut-kerut, kurang pasti.
Emey Suhaila mengikut arah telunjuk Rogayah dan kemudian berpaling semula bersama senyuman. Seketika, Emey Suhaila mengangguk.
Rogayah panjangkan muncung ke depan sambil mengangguk mengikut rentak Emey Suhaila. Namun kerutan pada dahinya masih jelas kelihatan. “Apa dia buat tu?” soal Rogayah lagi apabila melihat Azura tidak bergerak sejak tadi dengan badan membongkok sedikit ke depan dan tangan yang tergantung di udara. Tengah berlakon jadi manuequin ke?
“Azura...”
Azura telan liur. Telinganya dapat mendengar panggilan Rogayah itu. Lambat dia berpaling dan pura-pura menyahut sambil tersengih. Tangan kanannya menggosok belakang tengkuk. Bila Rogayah bertanyakan tentang apa yang dibuatnya tadi, Azura tersengih lagi. Apa patut Azura jawab? Masakan dia beritahu Rogayah yang dia terjengah-jengah keliling dewan mencari batang hidung Rogayah. Ah! Tak payah! Nanti banyak pula soalan yang terus keluar dari mulut Rogayah yang memang becok tu. Azura juga yang tak larat mahu layan nanti. Muak.
Muka Rogayah berkerut-kerut melihat Azura. Namun Azura hanya lempar senyum paksa tapi Azura pasti senyuman itu pasti tidak langsung ada serinya. Agaknya serupa senyum kambing. Kemudian Rogayah kembali kepada Emey Suhaila dan soal-jawab mereka bermula semula. Azura menarik nafas panjang dan dilepaskan perlahan. Takut keluhannya itu didengari oleh Rogayah pula. Entahkan sebab lega atau bosan mendengar perbualan Emey Suhaila dengan gadis bermata empat itu. Emey Suhaila ni pun satu. Rajin sangat hendak melayan semua soalan Rogayah yang tidak putus-putus. Memang ada bakat Rogayah untuk jadi wartawan. Suka sangat menyoal macam-macam. Alamak! Kalau Rogayah jadi wartawan, tergugatlah kedudukan Azura.
“Eh, berapa lama lagi korang nak berborak dekat sini? Kan ada kelas lain dekat DK2.” Azura bersuara setelah bosan memerhati. Matanya merenung jam di pergelangan tangan diselangi memandang muka Emey Suhaila dan Rogayah sekilas. Bola matanya cepat-cepat dilarikan saat terpandang muka Rogayah.
Emey Suhaila mencebik. “Dari tadi aku ajak kau buat tak tahu aje. Entah apa yang kau cari, dah jumpa ke?” soal Emey Suhaila pula.
Azura telan liur. ‘Dah! Tu, dekat depan muka kau tu!’ Mahu saja Azura jawab begitu tapi lidahnya kelu, keras macam batu. Dia mencari kelibat Rogayah tadi pun supaya dia dapat mengajak Emey Suhaila mengelak daripada gadis itu, bukan mahu membiarkan mereka rancak berborak sekali lagi. Mahu Azura join sekaki, hah kirim salam sajalah. Walau seribu kali pun mereka ajak, Azura tidak akan sudi.
Azura geleng kepala laju-laju bila otaknya membebel sendiri. Sedangkan Emey Suhaila sudah kembali bermesra dengan Rogayah. Azura mendengus geram. ‘Ceh, langsung tak pedulilan aku. Tak apa... aku bagi peluang dekat korang privasi. Boraklah puas-puas!’ Azura menghempas satu keluhan dan tanpa sepatah kata, kakinya dihayun meninggalkan Emey Suhaila dan Rogayah berdua.
Mati kata-kata Emey Suhaila apabila menyedari Azura sudah tiada lagi di belakangnya. Emey Suhaila pandang keliling. Matanya tertancap pada susuk tubuh Azura yang baru saja mahu melangkah keluar dari pintu utama.
“Zura!” panggil Emey Suhaila kuat. Namun Azura tidak menoleh ke arahnya. Emey Suhaila laung nama Azura berkali-kali tapi Azura sedikit pun tidak kesah. Lantas Emey Suhaila hela nafas halus bila kelibat Azura hilang dari balik pintu utama dewan kuliah.
‘Kenapa pula budak Zura ni? Pergi macam tu aje. Aku panggil pun dia boleh buat pekak aje. Nasib baik cuma Rogayah aje dalam dewan ni dengan aku. Kalau tak, teballah muka aku bila orang nampak aku macam tak diendahkan.’ Emey Suhaila gumam bibir. ‘Ah! Agaknya dia tak dengar aku panggil. Mesti dia dah seminggu tak korek telinga...’ ngomelnya sendiri cuba menyedapkan hati.
“Kawan awak tu tak suka saya ke?” Pertanyaan Rogayah itu membuatkan Emey Suhaila berpaling ke arahnya sepantas kilat.
Emey Suhaila tidak menjawab soalan yang diaju Rogayah tadi. Sebaliknya muka Rogayah ditenung lama. Masuk kali ini, sudah dua kali Rogayah ajukan soalan itu kepadanya hari ini. Mungkin betul juga telahan Rogayah. Ya, rasanya memang betul sebab Azura ada mengaku padanya beberapa jam lalu. Cuma Emey Suhaila saja yang buat tidak endah sebab sibuk sangat mahu jaga imej serta menarik perhatian orang sampai mengabaikan perasaan kawan sendiri. Tapi apalah halnya sampai Azura benci sangat dengan Rogayah? Kalau disebabkan Rogayah ni banyak mulut, alah lantaklah. Mulut dia, ikut suka dialah nak cakap banyak atau cakap sikit. Tapi kalau bab penampilan, memang tidak dinafikan Emey Suhaila tengok pun sakit mata. Tapi dia cuba buat tidak tahu.
‘Alamak! Kalau betullah Zura tak suka sangat-sangat kat budak Rogayah ni, terpaksalah aku pujuk dia. Dia kena faham rancangan aku dan dia kena tolong aku. Kalau aku dapat ubah imej Rogayah ni lagi bagus. Biar mata orang terbeliak. Jadi, bertambah femeslah aku sebagai puteri... puteri yang berhati mulia, yang membawa kebahagiaan dan seri kepada semua wanita. Hahaha...’ Emey Suhaila gelak dalam hati dan sebaik Rogayah mengulang soalannya tadi sekali lagi, Emey Suhaila terkedu.
Rogayah tenung muka Emey Suhaila sungguh-sungguh, seakan begitu mahukan jawapan bagi soalannya tadi. Emey Suhaila lekas-lekas ukir senyum. Demi rancangannya, dia perlu selamatkan Azura kali ini. Selamatkan Azura dari kenyataan yang Azura memang tidak suka pada Rogayah yang kolot dan mulut becok ni.
“Tak adalah. Rogayah jangan salah faham. Dia memang selalu macam tu kalau angin dia tak baik.”
“Angin dia tak baik sebab saya ke?” soal Rogayah lagi. Jari telunjuknya dihala ke batang hidungnya sendiri.
Emey Suhaila ketawa kecil. Dia juga tidak pasti kenapa dia perlu ketawa padahal Rogayah tidak ada pula buat lawak. “Tak adalah. Rogayah tak payahlah fikir macam-macam. Dia memang macam tu bila nak datang bulan...” Datang bulan? Haha, Emey Suhaila tergelak-gelak dalam hati. Dia harap Rogayah faham. Ingatkan tiada lagi soalan Rogayah. Rupanya Rogayah masih tidak puas hati dan bertanya berulang kali. Hah, tanyalah banyak kali pun, jawapan sama juga yang akan diberi Emey Suhaila.
“Eh, sudahlah tu Rogayah oi. Tak payahlah fikir banyak eh. Nanti bila angin dia dah okey, okeylah tu nanti.” Emey Suhaila pintas cakap Rogayah yang baru saja mahu membuka mulut. Pasti soalan yang sama mahu diulangnya. Lelah pula Emey Suhaila dibuatnya mahu menjawab perihal yang sama. ‘Tak reti bahasa ke apa budak ni? Mual aku nak jawab...’ keluh Emey Suhaila dalam hati. “Saya ada kelas ni, semua orang dah pergi. Zura pun dah tinggalkan saya. Saya kena pergi ni.”
“Yalah! Saya pun ada ambil kelas tu juga!” Rogayah tepuk dahi dengan mata dibulatkan besar.
“Habis tu, apa lagi kita buat dekat sini. Pensyarah yang ajar tu garang tau. Kalau lambat nanti mesti kena marah teruk-teruk, lepas tu kena halau.” Sengaja Emey Suhaila bisikkan ke depan muka Rogayah, sengaja mahu takutkan ‘budak baru’ itu.
Makin terbeliak besar mata Rogayah yang sedia membulat tadi. “Hah?! Betul ke?” Rogayah panik.
Emey Suhaila tidak menjawab. Tas tangan dan failnya pantas disambar lalu dia berlari turun ke bawah meninggalkan Rogayah terpinga-pinga sendiri. Emey Suhaila ukir senyum sinis bila mendengar Rogayah kelam kabut memanggil dan mengejarnya dari belakang sedangkan langkah Emey Suhaila dihayun semakin laju ke depan.



Sampai ke petang Azura tidak bertegur sapa dengan Emey Suhaila. Balik ke hostel pun tidak berdua seperti selalu. Selalunya Azura juga yang bising jika ditinggalkan tapi hari ini dia pula yang tegar menghilangkan diri. Ke manalah agaknya dia pergi. Entah-entah Azura sudah balik ke hostel. Hai, rancak benar rajuk Azura. Pening juga kepala Emey Suhaila memikirkan punca rajuk kawannya itu. Pasti ini tidak lain tidak bukan sebab Rogayah. Alahai Azura, kenapalah mudah sangat nak merajuk? Rogayah pun boleh jadi sebab.
Buka saja pintu bilik hostel, Emey Suhaila nampak susuk tubuh Azura yang berlingkar atas katil.
‘Wah, sedapnya dia membuta dekat bilik ni sedangkan aku tunggu dia punyalah lama dekat kampus tadi. Penat aku tunggu dan cari dia merata tempat. Telefon pun tak angkat. Rupa-rupanya sah dia dah balik bilik. Cis! Memang nak kena budak ni!’ ngomel Emey Suhaila sebaik melangkah ke dalam bilik. Matanya terus melirik ke arah Azura yang terlena.
Hati Emey Suhaila betul-betul geram. Dekat dalam bilik ni, tak perlulah dia sibuk hendak menjadi puteri yang baik hati. Bukan ada siapa yang nampak melainkan Azura. Alah, bukan Azura tak tahu sikap sebenar Emey Suhaila. Emey Suhaila campak beg dan fail-fail di tangan ke katilnya. Bantal di kepala katil dicapai. Ikutkan hati mahu saja Emey Suhaila hempuk muka Azura dengan bantal yang telah digenggam kemas tapi bila melihat wajah lena Azura yang tenang, Emey Suhaila tidak sampai hatilah pula.
Emey Suhaila hempas keluhan halus lalu henyak punggung di katilnya. Kriuk bunyinya. Bantal yang dipegang tadi dipeluk erat sambil merenung muka Azura dari situ.
Azura... Azura. Spontan Emey Suhaila lepaskan keluhan sambil menggeleng-gelengkan kepala.
‘Alahai kawan aku seorang ni... merajuk sakan. Macam manalah si Razif nak hidup dengan dia nanti. Bosan laki tu nanti asyik nak melayan rajuk dia aje. Yang aku ni tenung dia tidur pula buat apa?’
Emey Suhaila kerling jam di tangan. Sudah jam enam setengah petang. Matahari petang yang jingga pekat sudah mula memancar masuk ke dalam ruang bilik. Tiba-tiba tubuh Emey Suhaila terasa berlengas. Panas. Emey Suhaila cium bawah ketiak. Uwekk, dah bau masam. Lantas Emey Suhaila bingkas bangun. Mencapai tuala yang tergantung kemas pada papan penyidai dan menghayun langkah ke bilik mandi. Seketika, Emey Suhaila kembali semula. Lupa tanggalkan jam tangannya yang mahal tu. Dibuatnya jam tu terjatuh atau hilang dalam bilik mandi, menangis tak berlagulah Emey Suhaila nanti.
Selesai mandi, Emey Suhaila menarik nafas lega. Bau badannya dicium lagi. Dah wangi. Sambil menggosok rambut yang masih basah, mata Emey Suhaila mengerling Azura yang masih enak lena.
‘Aik, tak bangun lagi budak ni. Ni tidur ke pengsan?’ Emey Suhaila geleng kepala. ‘Lantaklah.’ Emey Suhaila mencebik, malas mahu jadi penyibuk lalu dia terus henyak punggung atas katil sambil tangannya sibuk menggosok rambut dengan tuala. Lega rasanya dapat mandi. Terasa ringan saja badan Emey Suhaila, rasa macam melayang-layang. Angin kipas yang tadinya tak berasa baru sekarang terasa dinginnya. Sesekali dia cium bau rambutnya yang baru disyampu tadi. Emm, wangi. Bau Sunsilk!
Setelah dilap hampir kering, Emey Suhaila capai sikat dari kotak kecil atas meja lalu rambut dilurut hingga ke hujung. Sesekali Emey Suhaila lurut dengan jari. Rambut panjangnya terasa mudah diurus tanpa kusut sedikit pun. Tak perlu pakai sikat pun tak apa. Guna jari saja. Rasa macam model iklan pula.
Sambil melayan perasaan yang melayang dan berangan macam-macam, mata Emey Suhaila tetap menyinggah ke katil Azura. Melihat kawannya itu masih belum terjaga.
“Tak boleh jadi ni! Syok pula aku tengok si Zura ni tidur. Rasa berat pula mata aku ni...” Emey Suhaila tidak tahan menanggung godaan melihat kawaannya itu sedap tidur di katil sebelah. Akhirnya dia turut henyak kepala atas katil. Tuala atas pehanya tadi ditekup ke muka. Dapat lena lima sepuluh minit jadilah.
Tapi baru saja Emey Suhaila mahu lelapkan mata, azan sudahpun berkumandang di luar menandakan sudah masuk waktu solat Maghrib. Walaupun bunyinya sayup tapi terasa seakan nyaring mengejutkan Emey Suhaila yang baru saja mahu lena. Spontan tubuh Emey Suhaila bangun dari baringan dan duduk bersila di atas tilamnya. Tuala yang menekup muka dipeluk ke tubuh. Satu keluhan dihembus perlahan. Kecewa sebab tidak sempat nak melelapkan mata walau seminit. Jangan kata seminit, sesaat pun tak sempat.
Emey Suhaila mendengus geram bila melihat Azura masih sedap lena di katilnya. Sengaja Emey Suhaila campak tuala di tangannya tadi ke muka Azura. Yeah! Tepat ke muka gadis itu. Emey Suhaila hampir tergelak melihat reaksi Azura yang terkejut. Agaknya dia mimpi dihempas ombak besar agaknya bila mukanya ditimpa tuala basah Emey Suhaila.
Azura kalut membuang benda yang melekat ke mukanya lalu tapak tangannya berkali-kali mengesat muka. Sedang Emey Suhaila menahan gelak memerhatikan gelagat Azura yang sudahpun bangun dari baring. Muka Azura terpisat-pisat pandang keliling.
“Bangunlah. Dah maghrib!”
Azura gosok mata dengan jari sebelum mencari arah suara yang menegur tadi. Dia nampak Emey Suhaila tersengih-sengih di katil sebelah. Kepala Azura yang rasa berat bagaikan bergoncang apabila satu lagi beban tiba-tiba saja menghentam mukanya. Mata Azura serta-merta terbuka luas melihat bantal yang bergolek ke lantai sementara Emey Suhaila sudah galak ketawa.
‘Cis! Kurang asam punya kawan. Sampai hati kau baling bantal ke muka aku. Tak boleh jadi ni.’ Tangan Azura menyambar bantalnya yang leper di sebelah lalu dicampak ke arah Emey Suhaila. Namun tersasar gara-gara masih mamai. ‘Ceh, tak kena pula!’ Azura capai satu lagi bantalnya dan dicampak sekali lagi ke arah Emey Suhaila. Kali ini Azura fokus betul-betul. Sasarannya ialah muka Emey Suhaila yang bukan main lagi gelak macam nak pecah perut di hujung sana. Sipi. Azura tampar tilamnya bila balingannya hanya lalu di sebelah Emey Suhaila.
“Hah! Gelaklah puas-puas waktu maghrib ni. Biar dia kena sampuk dengan hantu gelak,” tempik Azura geram. Namun Emey Suhaila langsung tidak pedulikan ugutannya itu. Dia masih ketawa bagai nak rak. Susah pula hendak hentikan tawa yang sudah mula melarat ni. Azura gumam bibirnya yang terasa panas. Panas kerana hatinya panas meledak. Langsung Azura bangun dari katil. Bantal Emey Suhaila yang tergolek atas lantai tadi dikutipnya lalu dihempuk ke bahu Emey Suhaila yang masih beria-ia ketawa. ‘Hah, ambik kau! Kena pun.’
Emey Suhaila menggosok bahunya yang terasa kebas. Saki-baki tawanya yang masih berbaki ditahan-tahan melihat Azura sudah melangkah keluar. Seketika Azura berpaling ke belakang, mengangkat ibu jari ke atas sambil mengejek.
‘Amboi, bukan main lagi dia. Ni yang buat aku tambah geram ni...’ Cepat-cepat Emey Suhaila membalas dengan menunjukkan penumbuknya. Kemudian, Azura tersengih lalu terus hilang ke luar.
Tersembur tawa Emey Suhaila yang masih berbaki tadi. Penumbuknya dileraikan ke bawah. “Zura... Zura...” Mengenangkan reaksi Azura yang mamai tadi bikin perut Emey Suhaila bergetar. Terasa tawa makin menjolok-jolok mahu keluar. Emey Suhaila geleng kepala laju-laju sambil menekan perutnya kuat-kuat, cuba meleraikan tawa yang hampir meletus.