Sepuluh minit lagi kuliah bermula, Emey Suhaila dan Azura
melangkah masuk ke dalam dewan kuliah dengan penuh bergaya. Seperti selalu
mereka lakukan. Seperti hari-hari biasa juga, kemunculan mereka di muka pintu
mengundang perhatian pelajar-pelajar dalam dewan kuliah, terutama cik abang-
cik abang itulah. Bunyi tapak kasut Emey Suhaila yang tinggi tiga inci itu juga
dari jauh sudah dapat didengar. Boleh katakan dari awal lagi kepala para
pelajar lelaki sudah panjang menjengah ke arah pintu. Sekali tengok, macam
leher angsa saja lagaknya. Kalau saban hari dipanjangkan begitu, mahu jadi
leher burung unta agaknya.
Emey Suhaila mengulum senyum lebar bila telinga tidak
henti-henti menangkap bunyi siulan dari pelajar-pelajar lelaki dalam dewan
kuliah sepanjang dia berjalan meniti anak tangga untuk mengambil tempat di
atas. Tempat duduk kegemarannya sebab jauh daripada pensyarah. Jadi, dapatlah
dia mengelak dari disoal pensyarah yang rajin sangat memberi soalan. Selalunya
pelajar yang duduk di barisan depanlah yang menjadi mangsa. Kiranya dua tiga
baris depan itu hanya diisi oleh pelajar ulat buku sahaja.
Sesekali Emey Suhaila mengusir rambutnya yang berjuntai
di depan ke belakang dengan gaya seksi. Fulamak! Bertambah tangkap cintanlah
lelaki-lelaki itu memandangnya. Ada pula lelaki yang nakal, asyik melihat punggungnya
setelah Emey Suhaila melepasi mereka. Sampai terteleng-teleng dibuatnya.
Sementara yang lelaki asyik mencuci mata, yang perempuan pula ada juga yang tidak
kurang melopong. Mungkin terpegun dan mahu menjadi tertarik seperti Emey
Suhaila juga. Tapi tidak kurang juga yang sekadar buat tidak tahu. Macamlah Emey
Suhaila tidak wujud depan mata mereka. Paling tidak seronok di dengar, ada juga
yang mengata. Alah, cemburulah tu.
Sampai di tempat duduk kegemarannya yang masih kosong, Emey
Suhaila terus henyak punggung dengan sopan. Azura yang mengekor dari belakang
turut ambil tempat biasa, di sebelah Emey Suhaila. Tidak kira di mana, mereka
berdua memang tidak pernah lekang. Mesti duduk sebelah-menyebelah. Di mana ada Emey
Suhaila, pasti ada Azura.
Emey Suhaila leraikan tas tangan dari bahu lalu
diletakkan atas peha yang sudah disilangkan lebih awal. Jam John Master di
pergelangan tangan dijeling sekilas sebelum lempar pandangan ke depan dewan
kuliah. Emey Suhaila perasan ada pasang mata yang masih melekat ke arahnya. Emey
Suhaila pura-pura menyeka peluh di dahi. Bagi seksi sikit. Bila difikir-fikir,
rasa macam berlakon dalam drama Korea pula. Alah, yang watak heroinnya jadi
tumpuan semua lelaki tu. Heronya pula jadi kegilaan ramai gadis. Lelaki macam
itulah yang Emey Suhaila tunggu selama ni. Bila agaknya hero Emey Suhaila tu
akan muncul ya? Sempat lagi Emey Suhaila nak pasang angan-angan yang memang
selalu dia khayalkan.
“Eh, apa yang kau maksudkan masa kau cakap dekat surau
tadi? Beritahulah aku betul-betul!” Azura beria-ia mahu tahu sambil menepuk lengan
Emey Suhaila sekaligus meleburkan lamunan Emey Suhaila.
Emey Suhaila pandang muka Azura dengan pandangan yang
agak geram. Matanya sengaja dibulatkan sedikit, menunjukkan dia memang tengah
bengang. Kacau daun betullah Azura ni. Habis berkecai khayalan Emey Suhaila
yang baru saja mahu menikmati kemahsyuran yang diterimanya tadi.
Berkali-kali Azura ulang soalannya selagi Emey Suhaila
tidak buka mulut. Walaupun pada awalnya, dia malas mahu ambil tahu. Tapi bila
diingat-ingat dan difikir-fikir, teringin juga mahu tahu. Yalah, Azura kan
lagak bak paparazi dekat kolej ini. Mesti semua hal dia mahu ambil tahu.
Manalah tahu boleh jadi cerita panas. Kalau si Rogayah tu yang jadi subjek
cerita hangatnya nanti lagi bagus. Manalah tahu Emey Suhaila ada niat hendak
kenakan Rogayah. Azura akan tunggu saat itu. Macam-macam sudah berlegar dalam
otak Azura sambil tersenyum nakal.
Memang sejak Emey Suhaila keluar dari surau tadi pun,
Azura tidak sudah-sudah menyoal. Mula-mula Emey Suhaila tidak kesah juga mahu
jelaskan tapi sudah tiga kali Emey Suhaila terangkan pun Azura masih tidak
mengerti. Malaslah nak cakap lagi.
“Beritahulah cepat... beritahulah...” Azura masih
bersungguh-sungguh mahu tahu. Jarinya pula menguis tangan Emey Suhaila
berkali-kali.
“Nantilah aku beritahu. Dah banyak kali aku terangkan pun
kau tak faham. Padahal bukannya aku cakap dalam bahasa lain. Bahasa yang mudah
pun kau tak faham juga. Sekarang aku malas nak beritahu lagi. Nanti bila aku
ada mood balik nak cakap, baru aku terangkan
dekat kau satu per satu!” balas Emey Suhaila bersahaja lalu melempar semula
pandangannya ke depan. Matanya dikerling ke pintu depan dewan kuliah kemudian
beralih pula pada jam di dinding depan dewan. Sudah sepuluh minit melewati
waktu kuliah tapi bayang pensyarah pun masih belum kelihatan.
‘Kelas batalkah? Alah, biasalah tu pelajar tunggu
pensyarah. Takkan pensyarah pula yang kena tunggu pelajar kan.’ Emey Suhaila
cuba sedapkan hati sebelum kakinya ringan mahu bertindak keluar dewan.
“Alah, beritahulah sekarang. Aku nak tahu sekarang. Nanti
aku lupa...” desak Azura lagi.
Emey Suhaila buat tidak endah dan sengaja pekakkan
telinga. Tapi makin dibiar, Azura makin kuat mengasak gegendang telinganya.
Sesak telinga yang sengaja dipekakkan ini dipenuhi bait suara Azura yang
merengek serupa kanak-kanak ribena. Kalaulah anak saudara Emey Suhaila yang
merengek macam tu, mahu saja penampar hinggap ke mulut. Geram. Memekak saja!
‘Aduhai... perempuan ni. Ni apahal perangai dia ni lain
macam aje hari ni? Kejap merajuk, kejap merengek. Cepat betul angin dia berubah.
Tiba-tiba aje nak bermanja-manja dengan aku. Nasib baik kawan. Kalau tak, dah
lama makan pelempang aku!’ getus Emey Suhaila dalam hati sambil menjeling riak
Azura dari hujung mata.
Emey Suhaila hembur keluhan keras. Tangan Azura yang
memaut lengannya dan menggoncang tubuhnya sesuka hati tadi ditarik lalu dipulangkan
ke atas peha Azura. Terpaksa Emey Suhaila bertindak tidak berapa kasar. Sedang
ada mata yang masih memerhati sejak tadi. Nanti kalau mereka nampak Emey
Suhaila bertindak kasar, jatuh pula sahamnya nanti. Emey Suhaila cuba ukir
senyuman walau manisnya langsung tiada. Mulutnya didekatkan ke telinga Azura
yang terdiam sejak Emey Suhaila menangkap tangannya.
“Kalau aku beritahu kau sekarang, nanti ada yang pasang
telinga pula. Nantilah aku cerita dekat kau betul-betul lepas balik,” ujar Emey
Suhaila separuh berbisik, tepat ke telinga Azura sambil mengerling keliling.
Azura buka mata luas-luas, seluas telinganya yang mahu
mendengar butir kata Emey Suhaila. Matanya turut liar memandang keliling, cuba
melihat kalau-kalau ada mata yang mengintai atau ada telinga nipis yang mencuri
dengar perbualan mereka. Almaklumlah, Emey Suhaila kan sudah jadi perhatian
ramai. Pasti ramai peminatnya yang tidak lekang memandang. Kalau boleh dua
puluh empat jam mahu letak mata depan muka Emey Suhaila. Kalau ramai yang suka,
pasti ada juga yang rasa cemburu dan mula pasang hasad dengki mahu menyebarkan
cerita buruk tentang Emey Suhaila. Atau ada yang dengan rela hatinya melantik
diri mereka sebagai wartawan tidak bertauliah, sibuk menyebarkan gosip merata
tempat. Mahu mencabar kewibawaan Azura selaku wartawan kolejlah tu. Ah!
Banyaknya kemungkinan.
Azura sekadar mengangguk tanda faham. Sebaik melihat
anggukan kepala Azura, Emey Suhaila hempas tubuh ke kerusi semula. Pandangannya
dilontar ke depan. Pensyarah yang dinanti sudah pun tercegat di depan dewan
kuliah.
‘Alamak! Dah lama ke Dr. tu sampai. Dah lama ke kuliah
mula?’ Emey Suhaila kalut membuka failnya. Spontan Emey Suhaila menyeluk pen
dari tas tangan lalu cepat-cepat menulis sesuatu atas kertas putih yang baru
dikeluarkan dari failnya tadi. Sekadar sebaris ayat, Emey Suhaila meletakkan
semula pen di atas meja.
Tulis tarikh dan tajuk kuliah saja. Memang itulah yang
selalu dia buat setiap kali kuliah. Mahu tulis nota kuliah, Emey Suhaila tidak
tahu mahu tulis apa. Tunggulah bila balik nanti, salin saja nota Azura. Azura
memang pakar menyalin nota kuliah. Semua butir kata yang keluar dari mulut
pensyarah dapat disalin atas buku notanya. Lengkap. Kalau kumpul dari kuliah
pertama hingga akhir, boleh jadi buku teks.
Untung juga Emey Suhaila ada Azura. Tidak perlu dia susah
payah hendak faham kuliah yang pensyarah sampaikan terutama kalau pensyarah
berbangsa asing. Bahasa Inggeris mereka memang susah Emey Suhaila hendak faham.
Inikan pula mahu menulis apa yang diajar. Setakat apa yang sempat dia salin
dari slaid powerpoint pensyarah
bolehlah. Tapi bila hendak baca balik notanya, Emey Suhaila sendiri pun
melopong.
Sedang Emey Suhaila tenung pensyarah di depan memberi
kuliah, tiba-tiba saja dia rasa tubuhnya bergegar. Emey Suhaila jeling
keliling. Ingatkan gempa bumi. Rupa-rupanya Azura bersungguh-sungguh menepuk
lengan Emey Suhaila dengan riak terkejut. Lagaknya tidak ubah seperti nampak
hantu.
“Eh... eh... kau tengok tu!” Azura bersuara seakan mahu
menjerit sambil menampar-nampar lagi lengan Emey Suhaila. Matanya bulat
memandang ke sebelah kanan dewan kuliah dengan tangan kirinya menunjuk ke arah
itu.
Emey Suhaila mengikut arah pandangan Azura. Namun Emey
Suhaila tidak pasti siapa yang dipandang oleh Azura. Ramai pelajar yang duduk
khusyuk mendengar kuliah Dr. Razak di sebelah kanan dewan itu. Tapi siapa yang
dimaksudkan Azura? Siapa atau apa?
“Kau tengok tu... budak kolot tu satu kelas dengan kita
ke?” Terpacul soalan itu dari mulut Azura sekaligus menjawab soalan yang
bermain di benak Emey Suhaila. Pandangan Emey Suhaila juga meliar mencari
kelibat Rogayah. Mungkin Rogayahlah yang dimaksudkan Azura. Siapa lagi kalau
bukan budak baru yang Emey Suhaila tegur tengah hari tadi. Memang sejak tadi
Azura tidak habis-habis gelar Rogayah budak kolot.
Puas mencari sambil meneliti arah telunjuk Azura,
akhirnya Emey Suhaila berjaya menjejaki Rogayah. Hah! Kan betul! Memang
Rogayah. Serentak dengan itu, Emey Suhaila hela nafas panjang.
‘Aik! Sempat pula budak Zura ni perhati sebelah sana
sedangkan Dr. Razak masih sibuk beri kuliah dekat depan. Tak penuhlah nota dia
nanti... sibuk sangat memerhati Rogayah tu buat apa?’ getus Emey Suhaila dalam
hati lalu mengerling Azura yang masih tunjuk muka terkejut di sebelahnya.
Emey Suhaila lambai tangan depan mata Azura beberapa
kali. Namun, mata Azura tetap tidak berkerdip memandang Rogayah. Spontan Emey
Suhaila hela nafas panjang sekali lagi sambil menggeleng-gelengkan kepala.
Kalau Dr. Razak nampak kelakuan Azura, masaklah Azura kena soal. Sudah tentu
satu kelas berpaling ke belakang melihatnya. Emey Suhaila secara tidak langsung
juga pasti terkena tempiasnya nanti. Silap hari bulan Emey Suhaila yang duduk
di sebelah juga kena jawab soalan Dr. Razak. Ish, tak boleh jadi ni. Emey
Suhaila perlu hentikan lagak Azura yang orang panggil terkejut beruk itu dari
terus berlanjutan sebelum Dr. Razak perasan. Kalau kena soal nanti, manalah
Emey Suhaila tahu jawab. Nota pun setakat bila hampir hari peperiksaan baru
Emey Suhaila selak.
Emey Suhaila berfikir sejenak apa patut dia buat. Kalau
ditampar, pasti bunyi penamparnya nanti didengar pelajar lain. Tapi, belum
tentu lagi Azura akan sedar. Beberapa saat kemudian, Emey Suhaila bertindak
menjentik hidung Azura yang comel itu. Ternyata usahanya itu berhasil apabila
Azura cepat-cepat menekup hidungnya yang terasa perit.
“Ouch!” nyaring suara Azura menjerit. Serentak kuliah Dr.
Razak juga terhenti kerana pekikannya tadi. Seperti yang dijangka Emey Suhaila,
banyak mata di dewan kuliah itu mulai memanah ke arah mereka. Atau lebih tepat
lagi ke arah Azura seorang ketika ini.
“Azura, apa yang berlaku dekat belakang tu? Kenapa kamu
menjerit?” Dr. Razak menyoal tenang. Ketika ini bertambah pandangan mata yang
memandang ke arah Azura.
Emey Suhaila lekas-lekas sorok muka dengan tapak tangan.
Sengaja tidak mahu terbabit sama. Padan muka. Siapa suruh Azura jerit kuat-kuat
tadi. Emey Suhaila menahan gelak melihat Azura kalut mahu menjawab soalan Dr.
Razak. Tambah dengan semua mata terus memandangnya, Azura makin gelabah.
Mukanya mulai terasa panas.
“Tak... tak ada apa-apa Dr. Tiba-tiba ada tebuan sengat
hidung saya.” Tergagap-gagap Azura menjawab, membuatkan ramai suara pelajar
yang mulai risau sambil menjeling sekitar dewan. Mencari tebuan yang menyengat
hidung Azura. Takut-takut nanti mereka pula yang menjadi mangsa sang tebuan.
Dalam masa sama, ada juga suara nakal pelajar-pelajar
lelaki yang mengusik. “Alahai, habislah bengkak hidung comel cik adik Zura
kita. Tak mancung lagilah lepas ni.”
“Tak apa! Kalau hidung Zura jadi bulat macam hidung
badut, abang sanggup tanggung perbelanjaan buat pembedahan!” Suara lain pula
menyahut. Hingar-bingar seketika dewan kuliah sehinggalah Dr. Razak
menghentikan suara-suara itu dan kuliahnya disambung semula.
Sementara Emey Suhaila pula hampir tergelak melihat Azura
terbeliak memandangnya. Hidung Azura yang mancung itu kelihatan merah macam
hidung badut. Alamak! Kuat sangatkah Emey Suhaila jentik tadi? Memang tepat
tekaan Zarif, pelajar lelaki yang sanggup keluar belanja untuk pembedahan
hidung Azura itu. Tapi, tak bulatlah.
Emey Suhaila tutup mulut dengan tapak tangan sambil cuba
menahan tawanya yang hampir meletus. Makin ditengok muka Azura, makin kuat
terasa ombak tawa menendang-nendang dari dalam perutnya.
Azura makin bulat mata bila melihat riak Emey Suhaila
yang mahu mentertawakannya. Lantas tangan Azura pantas mencapai beg sandangnya
di bawah tempat duduk. Poket depan beg itu diseluk lalu sekeping cermin
dikeluarkan. Azura membelek mukanya dengan teliti dalam cermin. Kuliah Dr.
Razak sudah lama diabaikannya, sejak dia ternampak kelibat Rogayah tadi. Lepas
ni, terpaksalah dia pula meminjam nota daripada kawan sekuliah lain.
Mata Azura terbeliak lagi bila menyedari hidungnya
kemerahan gara-gara jentikan Emey Suhaila yang berbisa. Serta-merta Azura
menoleh ke sebelah, memandang muka Emey Suhaila dengan mata yang sengaja
diruncingkan. Namun Emey Suhaila sengaja membuang pandangannya ke depan.
Kononnya ambil perhatian pada kuliah Dr. Razak.
‘Hai, buat-buat beri perhatianlah pula minah ni.
Entah-entah otak tu dah melayang sampai ke manalah tu agaknya. Dah jentik
hidung aku yang comel molek ni sampai jadi macam udang kena bakar, dia boleh
buat selamba aje. Ni yang aku geram ni. Aku jentik hidung dia yang kembang tu
nanti baru tahu, bagi mancung ke atas sikit.’ Hati Azura merusuh geram. Dia
terus kerling wajah Emey Suhaila lama-lama. Sengaja dia mahu tengok sampai bila
Emey Suhaila mampu bertahan mengelak daripada pandangannya. Azura yakin tidak
lama sambil dia menghitung dalam hati...
‘Satu... dua... tiga... empat...’
Emey Suhaila intai reaksi Azura dari hujung mata.
Pandangannya lekas-lekas dilontar ke depan semula apabila melihat renungan mata
Azura yang memanah seperti biasa. ‘Alamak! Dah buat dah...’ keluhnya dalam
hati. Memang sejak dari bangku sekolah lagi, Emey Suhaila paling lemah bila
melihat panahan mata Azura begitu. Bergoncang jiwa lara dibuatnya. Rasa macam
dihempap beban konkrit seberat lima tan. Macam besar sangatlah dosa yang dia
lakukan.
‘Lima... enam... tujuh...’
“Kau ni kenapa pula nak tenung aku macam tu? Macamlah aku
ni boyfriend kau yang buat salah
besar dekat kau.” Emey Suhaila akhirnya menegur sambil kepalanya dipalingkan ke
arah Azura walau badannya masih tegak ke depan. Lengan hingga sikunya ditekup
ke meja, menahan tubuh.
‘Hah! Kan betul! Tak akan lama punya.’ Azura ketawa dalam
hati. Namun bila melihat kening Emey Suhaila yang berkerut-kerut hingga bengkok
macam Ayu Raudah sebab susah hati, tawa Azura hampir meletus. Azura cuba
menahan tawanya dari terus meletup keluar. Kalau dia gelak besar nanti, mesti kena
marah dengan Dr. Razak. Paling kurang pun, kena tegur lagi. Malulah! Tebal muka
nanti. Malu tadi pun tak hilang lagi.
Kening Emey Suhaila makin bengkok melihat wajah Azura
yang berubah riak. ‘Aik! Apahal pula kawan aku ni? Kena sampuk hantu ke? Tadi
bukan main tenung aku macam nak makan orang. Ini dia pula tiba-tiba nampak
macam nak gelakkan aku.’ Kali ini kening Emey Suhaila sebiji macam The Rock,
bekas hero WWF tu.
“Kau ni kenapa? Sekejap marah, sekejap ketawa...
sakitkah?” cetus Emey Suhaila geram dengan nada berbisik.
Namun soalan Emey Suhaila itu tidak dapat dijawab Azura
kerana dia sibuk mahu menahan tawanya yang menggeletek isi perutnya. Emey
Suhaila ketap gigi geram seraya menolak pipi Azura dengan jarinya. Kemudian dia
terus lontar pandang ke arah Dr. Razak yang masih bercakap tidak berhenti di
depan dewan kuliah. Tidak kesahlah sama ada Emey Suhaila faham atau tidak,
malas dia mahu melayan Azura lagi. Entah sudah ke mana kuliah Dr. Razak
agaknya. Rasanya sudah banyak yang Emey Suhaila terlepas. Alah, memang dari
awal lagi Emey Suhaila memang tidak berikan perhatian. Tubuhnya saja dalam
dewan kuliah tapi otaknya kosong saja setiap kali dengar kuliah.
Selang beberapa saat, Emey Suhaila kerling ke arah Azura.
Gadis berbadan kecil itu masih bersungguh-sungguh menahan tawanya. Emey Suhaila
menggelengkan kepala.
‘Hai, besar sangatkah tawa dia tu sampai seksa benar aku
tengok dia nak menahan gelak. Kalau dah susah sangat, gelak ajelah kuat-kuat.
Habis cerita!’ Emey Suhaila hempas keluhan halus. Geram juga melihat lagak
kawannya itu. Entah apa yang melucukan hati Azura, dia tidak pasti. Apa yang
pasti, Emey Suhaila tiada pula buat lawak bodoh tadi. Loyar buruk pun rasanya
tiada. Emey Suhaila memang tak suka loyar buruk. Azura saja yang suka buat
begitu.
Emey Suhaila jeling pula buku nota Azura yang terbuka
atas meja. Tanpa disedari satu lagi keluhan halus dilepaskan perlahan. ‘Hai,
nampaknya nota Zura kali ni pun bersih. Satu muka surat pun tak penuh. Nota
siapa pula aku nak salin lepas ni?’ Sambil menongkat dagu, Emey Suhaila hempas
lagi keluhan buat sekian kali diikuti bertalu-talu pula seterusnya.
Habis saja kuliah Dr. Razak selepas satu jam, Azura
hempas tubuh ke belakang kerusi. Satu keluhan berat dilepaskan perlahan. Namun
sesak nafasnya tidak langsung berkurang. Bukan sesak sebab tidak tahan mahu
tergelakkan Emey Suhaila tadi tapi kecewa sebab dia terlepas banyak kuliah Dr.
Razak hari ini. Bila melihat kepada notanya yang cuma tertulis tidak sampai
separuh muka surat, Azura mengeluh lagi. Cuma lima belas minit pertama saja
perhatiannya tertumpu pada kuliah Dr. Razak. Selebihnya... hai, tak sanggup
Azura mahu imbas semula. Ini semua disebabkan budak baru, si Rogayah tu punya
angkara.
Azura angkat tubuhnya serta-merta apabila teringatkan
akan budak baru itu. Azura lontar pandang ke bahagian kanan di mana Rogayah
dilihatnya duduk di situ. Namun kelibat Rogayah sudah tiada.
‘Eh, mana pula budak kolot ni pergi? Cepat betul dah
lesap. Macam Chipsmore pula. Kalau Chipsmore tu sedap juga aku telan tapi budak
kolot tu, aku nak pandang pun tak lalu...’ Mata Azura terus meliar memandang
keliling dewan kuliah. Sedang pelajar-pelajar lain yang tadinya duduk diam di
tempat masing-masing kini sudah sibuk beransur keluar. Ramai yang beratur ke
pintu utama untuk keluar dari dewan kuliah. Sekali tengok, macam orang beratur
nak keluar dari panggung lepas habis tayangan wayang.
“Kau cari apa ni? Tak mahu keluar ke?”
Pertanyaan Emey Suhaila itu serta-merta buat Azura
tersentak. Azura pandang muka Emey Suhaila. Mata bundarnya membulat dengan
mulut melopong.
“Kau tengah cari apa ni? Dari tadi aku tengok sibuk
semacam. Macam cari pakwe aje.” Emey Suhaila menegur lagi seraya menolak dagu
Azura ke atas, sekaligus menutup mulut gadis itu yang menganga.
“Bukanlah!” balas Azura cepat. “Kau ni asyik boyfriend... pakwe. Tak ada benda
lainkah yang kau fikir?” tegur Azura pula, sedikit keras.
Emey Suhaila hanya mencebik, buat tak kesah akan teguran
Azura itu. ‘Aik, marah pula minah ni. Memang tak fahamlah aku dengan perangai
dia hari ni. Kejap marah, kejap ketawa, lepas tu marah balik... hai, salah
makan ubat ke apa kawan aku ni?’ Emey Suhaila geleng kepala beberapa kali bila
melihat lagak Azura yang masih tertoleh sana, tertoleh sini. Entah apalah yang
Azura cari.
“Hai... Ila.”
Tiba-tiba terdengar satu suara menyapa. Emey Suhaila
lekas-lekas berpaling ke belakang. Azura juga terus terdiam apabila telinganya
menangkap suara itu. Macam pernah dia dengar suara itu. Rasanya memang dia
kenal.
“Tak sangka saya satu kuliah dengan Ila.”
Mata Azura membulat. Sah! Azura memang kenal suara itu.
“Ak’ah. Kan saya dah beritahu awal-awal tadi. Lepas ni,
memang kita ada banyak kelas yang sama rasanya.” Emey Suhaila menjawab lembut
sambil menguntum senyuman manis.
Fuh, bergetar lagi jantung Rogayah terpana keindahan
senyuman itu. Rasa sejuk hatinya. Teringat pada senyuman ibunya di kampung.
Walau baru beberapa hari tidak jumpa, rasa rindu pula pada ibu.
“Kalau macam tu, lepas ni selalulah kita akan jumpa
ya...” kata Rogayah lagi beria-ia. Emey Suhaila sekadar mengangguk. Senyuman
terus diulit rapi bagi memancing hati Rogayah. Rogayah kerling ke arah
seseorang di belakang Emey Suhaila. Berkerut-kerut dahinya mengamati belakang
badan manusia itu. Kalau dilihat pada pakaiannya, rasanya Rogayah dapat meneka
gerangan manusia yang membelakanginya itu.
“Itu kawan awak, Azura kan?” soal Rogayah sambil jari
telunjuknya menunjuk ke arah belakang Emey Suhaila. Mukanya berkerut-kerut,
kurang pasti.
Emey Suhaila mengikut arah telunjuk Rogayah dan kemudian
berpaling semula bersama senyuman. Seketika, Emey Suhaila mengangguk.
Rogayah panjangkan muncung ke depan sambil mengangguk
mengikut rentak Emey Suhaila. Namun kerutan pada dahinya masih jelas kelihatan.
“Apa dia buat tu?” soal Rogayah lagi apabila melihat Azura tidak bergerak sejak
tadi dengan badan membongkok sedikit ke depan dan tangan yang tergantung di
udara. Tengah berlakon jadi manuequin ke?
“Azura...”
Azura telan liur. Telinganya dapat mendengar panggilan
Rogayah itu. Lambat dia berpaling dan pura-pura menyahut sambil tersengih.
Tangan kanannya menggosok belakang tengkuk. Bila Rogayah bertanyakan tentang
apa yang dibuatnya tadi, Azura tersengih lagi. Apa patut Azura jawab? Masakan
dia beritahu Rogayah yang dia terjengah-jengah keliling dewan mencari batang
hidung Rogayah. Ah! Tak payah! Nanti banyak pula soalan yang terus keluar dari
mulut Rogayah yang memang becok tu. Azura juga yang tak larat mahu layan nanti.
Muak.
Muka Rogayah berkerut-kerut melihat Azura. Namun Azura
hanya lempar senyum paksa tapi Azura pasti senyuman itu pasti tidak langsung
ada serinya. Agaknya serupa senyum kambing. Kemudian Rogayah kembali kepada Emey
Suhaila dan soal-jawab mereka bermula semula. Azura menarik nafas panjang dan
dilepaskan perlahan. Takut keluhannya itu didengari oleh Rogayah pula. Entahkan
sebab lega atau bosan mendengar perbualan Emey Suhaila dengan gadis bermata
empat itu. Emey Suhaila ni pun satu. Rajin sangat hendak melayan semua soalan Rogayah
yang tidak putus-putus. Memang ada bakat Rogayah untuk jadi wartawan. Suka
sangat menyoal macam-macam. Alamak! Kalau Rogayah jadi wartawan, tergugatlah
kedudukan Azura.
“Eh, berapa lama lagi korang nak berborak dekat sini? Kan
ada kelas lain dekat DK2.” Azura bersuara setelah bosan memerhati. Matanya
merenung jam di pergelangan tangan diselangi memandang muka Emey Suhaila dan
Rogayah sekilas. Bola matanya cepat-cepat dilarikan saat terpandang muka
Rogayah.
Emey Suhaila mencebik. “Dari tadi aku ajak kau buat tak
tahu aje. Entah apa yang kau cari, dah jumpa ke?” soal Emey Suhaila pula.
Azura telan liur. ‘Dah! Tu, dekat depan muka kau tu!’
Mahu saja Azura jawab begitu tapi lidahnya kelu, keras macam batu. Dia mencari
kelibat Rogayah tadi pun supaya dia dapat mengajak Emey Suhaila mengelak
daripada gadis itu, bukan mahu membiarkan mereka rancak berborak sekali lagi.
Mahu Azura join sekaki, hah kirim salam sajalah. Walau seribu kali pun mereka
ajak, Azura tidak akan sudi.
Azura geleng kepala laju-laju bila otaknya membebel
sendiri. Sedangkan Emey Suhaila sudah kembali bermesra dengan Rogayah. Azura
mendengus geram. ‘Ceh, langsung tak pedulilan aku. Tak apa... aku bagi peluang
dekat korang privasi. Boraklah puas-puas!’ Azura menghempas satu keluhan dan
tanpa sepatah kata, kakinya dihayun meninggalkan Emey Suhaila dan Rogayah
berdua.
Mati kata-kata Emey Suhaila apabila menyedari Azura sudah
tiada lagi di belakangnya. Emey Suhaila pandang keliling. Matanya tertancap pada
susuk tubuh Azura yang baru saja mahu melangkah keluar dari pintu utama.
“Zura!” panggil Emey Suhaila kuat. Namun Azura tidak
menoleh ke arahnya. Emey Suhaila laung nama Azura berkali-kali tapi Azura
sedikit pun tidak kesah. Lantas Emey Suhaila hela nafas halus bila kelibat
Azura hilang dari balik pintu utama dewan kuliah.
‘Kenapa pula budak Zura ni? Pergi macam tu aje. Aku
panggil pun dia boleh buat pekak aje. Nasib baik cuma Rogayah aje dalam dewan
ni dengan aku. Kalau tak, teballah muka aku bila orang nampak aku macam tak
diendahkan.’ Emey Suhaila gumam bibir. ‘Ah! Agaknya dia tak dengar aku panggil.
Mesti dia dah seminggu tak korek telinga...’ ngomelnya sendiri cuba menyedapkan
hati.
“Kawan awak tu tak suka saya ke?” Pertanyaan Rogayah itu
membuatkan Emey Suhaila berpaling ke arahnya sepantas kilat.
Emey Suhaila tidak menjawab soalan yang diaju Rogayah
tadi. Sebaliknya muka Rogayah ditenung lama. Masuk kali ini, sudah dua kali
Rogayah ajukan soalan itu kepadanya hari ini. Mungkin betul juga telahan
Rogayah. Ya, rasanya memang betul sebab Azura ada mengaku padanya beberapa jam
lalu. Cuma Emey Suhaila saja yang buat tidak endah sebab sibuk sangat mahu jaga
imej serta menarik perhatian orang sampai mengabaikan perasaan kawan sendiri.
Tapi apalah halnya sampai Azura benci sangat dengan Rogayah? Kalau disebabkan
Rogayah ni banyak mulut, alah lantaklah. Mulut dia, ikut suka dialah nak cakap
banyak atau cakap sikit. Tapi kalau bab penampilan, memang tidak dinafikan Emey
Suhaila tengok pun sakit mata. Tapi dia cuba buat tidak tahu.
‘Alamak! Kalau betullah Zura tak suka sangat-sangat kat
budak Rogayah ni, terpaksalah aku pujuk dia. Dia kena faham rancangan aku dan
dia kena tolong aku. Kalau aku dapat ubah imej Rogayah ni lagi bagus. Biar mata
orang terbeliak. Jadi, bertambah femeslah aku sebagai puteri... puteri yang berhati
mulia, yang membawa kebahagiaan dan seri kepada semua wanita. Hahaha...’ Emey
Suhaila gelak dalam hati dan sebaik Rogayah mengulang soalannya tadi sekali
lagi, Emey Suhaila terkedu.
Rogayah tenung muka Emey Suhaila sungguh-sungguh, seakan
begitu mahukan jawapan bagi soalannya tadi. Emey Suhaila lekas-lekas ukir
senyum. Demi rancangannya, dia perlu selamatkan Azura kali ini. Selamatkan
Azura dari kenyataan yang Azura memang tidak suka pada Rogayah yang kolot dan
mulut becok ni.
“Tak adalah. Rogayah jangan salah faham. Dia memang
selalu macam tu kalau angin dia tak baik.”
“Angin dia tak baik sebab saya ke?” soal Rogayah lagi.
Jari telunjuknya dihala ke batang hidungnya sendiri.
Emey Suhaila ketawa kecil. Dia juga tidak pasti kenapa
dia perlu ketawa padahal Rogayah tidak ada pula buat lawak. “Tak adalah.
Rogayah tak payahlah fikir macam-macam. Dia memang macam tu bila nak datang
bulan...” Datang bulan? Haha, Emey Suhaila tergelak-gelak dalam hati. Dia harap
Rogayah faham. Ingatkan tiada lagi soalan Rogayah. Rupanya Rogayah masih tidak
puas hati dan bertanya berulang kali. Hah, tanyalah banyak kali pun, jawapan
sama juga yang akan diberi Emey Suhaila.
“Eh, sudahlah tu Rogayah oi. Tak payahlah fikir banyak
eh. Nanti bila angin dia dah okey, okeylah tu nanti.” Emey Suhaila pintas cakap
Rogayah yang baru saja mahu membuka mulut. Pasti soalan yang sama mahu
diulangnya. Lelah pula Emey Suhaila dibuatnya mahu menjawab perihal yang sama.
‘Tak reti bahasa ke apa budak ni? Mual aku nak jawab...’ keluh Emey Suhaila
dalam hati. “Saya ada kelas ni, semua orang dah pergi. Zura pun dah tinggalkan
saya. Saya kena pergi ni.”
“Yalah! Saya pun ada ambil kelas tu juga!” Rogayah tepuk
dahi dengan mata dibulatkan besar.
“Habis tu, apa lagi kita buat dekat sini. Pensyarah yang
ajar tu garang tau. Kalau lambat nanti mesti kena marah teruk-teruk, lepas tu
kena halau.” Sengaja Emey Suhaila bisikkan ke depan muka Rogayah, sengaja mahu
takutkan ‘budak baru’ itu.
Makin terbeliak besar mata Rogayah yang sedia membulat
tadi. “Hah?! Betul ke?” Rogayah panik.
Emey Suhaila tidak menjawab. Tas tangan dan failnya
pantas disambar lalu dia berlari turun ke bawah meninggalkan Rogayah terpinga-pinga
sendiri. Emey Suhaila ukir senyum sinis bila mendengar Rogayah kelam kabut
memanggil dan mengejarnya dari belakang sedangkan langkah Emey Suhaila dihayun
semakin laju ke depan.
Sampai ke petang Azura tidak bertegur sapa dengan Emey
Suhaila. Balik ke hostel pun tidak berdua seperti selalu. Selalunya Azura juga
yang bising jika ditinggalkan tapi hari ini dia pula yang tegar menghilangkan
diri. Ke manalah agaknya dia pergi. Entah-entah Azura sudah balik ke hostel.
Hai, rancak benar rajuk Azura. Pening juga kepala Emey Suhaila memikirkan punca
rajuk kawannya itu. Pasti ini tidak lain tidak bukan sebab Rogayah. Alahai
Azura, kenapalah mudah sangat nak merajuk? Rogayah pun boleh jadi sebab.
Buka saja pintu bilik hostel, Emey Suhaila nampak susuk
tubuh Azura yang berlingkar atas katil.
‘Wah, sedapnya dia membuta dekat bilik ni sedangkan aku
tunggu dia punyalah lama dekat kampus tadi. Penat aku tunggu dan cari dia
merata tempat. Telefon pun tak angkat. Rupa-rupanya sah dia dah balik bilik.
Cis! Memang nak kena budak ni!’ ngomel Emey Suhaila sebaik melangkah ke dalam
bilik. Matanya terus melirik ke arah Azura yang terlena.
Hati Emey Suhaila betul-betul geram. Dekat dalam bilik
ni, tak perlulah dia sibuk hendak menjadi puteri yang baik hati. Bukan ada
siapa yang nampak melainkan Azura. Alah, bukan Azura tak tahu sikap sebenar Emey
Suhaila. Emey Suhaila campak beg dan fail-fail di tangan ke katilnya. Bantal di
kepala katil dicapai. Ikutkan hati mahu saja Emey Suhaila hempuk muka Azura
dengan bantal yang telah digenggam kemas tapi bila melihat wajah lena Azura
yang tenang, Emey Suhaila tidak sampai hatilah pula.
Emey Suhaila hempas keluhan halus lalu henyak punggung di
katilnya. Kriuk bunyinya. Bantal yang dipegang tadi dipeluk erat sambil
merenung muka Azura dari situ.
Azura... Azura. Spontan Emey Suhaila lepaskan keluhan
sambil menggeleng-gelengkan kepala.
‘Alahai kawan aku seorang ni... merajuk sakan. Macam
manalah si Razif nak hidup dengan dia nanti. Bosan laki tu nanti asyik nak
melayan rajuk dia aje. Yang aku ni tenung dia tidur pula buat apa?’
Emey Suhaila kerling jam di tangan. Sudah jam enam
setengah petang. Matahari petang yang jingga pekat sudah mula memancar masuk ke
dalam ruang bilik. Tiba-tiba tubuh Emey Suhaila terasa berlengas. Panas. Emey
Suhaila cium bawah ketiak. Uwekk, dah bau masam. Lantas Emey Suhaila bingkas
bangun. Mencapai tuala yang tergantung kemas pada papan penyidai dan menghayun
langkah ke bilik mandi. Seketika, Emey Suhaila kembali semula. Lupa tanggalkan
jam tangannya yang mahal tu. Dibuatnya jam tu terjatuh atau hilang dalam bilik
mandi, menangis tak berlagulah Emey Suhaila nanti.
Selesai mandi, Emey Suhaila menarik nafas lega. Bau
badannya dicium lagi. Dah wangi. Sambil menggosok rambut yang masih basah, mata
Emey Suhaila mengerling Azura yang masih enak lena.
‘Aik, tak bangun lagi budak ni. Ni tidur ke pengsan?’ Emey
Suhaila geleng kepala. ‘Lantaklah.’ Emey Suhaila mencebik, malas mahu jadi
penyibuk lalu dia terus henyak punggung atas katil sambil tangannya sibuk
menggosok rambut dengan tuala. Lega rasanya dapat mandi. Terasa ringan saja
badan Emey Suhaila, rasa macam melayang-layang. Angin kipas yang tadinya tak
berasa baru sekarang terasa dinginnya. Sesekali dia cium bau rambutnya yang
baru disyampu tadi. Emm, wangi. Bau Sunsilk!
Setelah dilap hampir kering, Emey Suhaila capai sikat
dari kotak kecil atas meja lalu rambut dilurut hingga ke hujung. Sesekali Emey
Suhaila lurut dengan jari. Rambut panjangnya terasa mudah diurus tanpa kusut
sedikit pun. Tak perlu pakai sikat pun tak apa. Guna jari saja. Rasa macam
model iklan pula.
Sambil melayan perasaan yang melayang dan berangan
macam-macam, mata Emey Suhaila tetap menyinggah ke katil Azura. Melihat
kawannya itu masih belum terjaga.
“Tak boleh jadi ni! Syok pula aku tengok si Zura ni
tidur. Rasa berat pula mata aku ni...” Emey Suhaila tidak tahan menanggung godaan
melihat kawaannya itu sedap tidur di katil sebelah. Akhirnya dia turut henyak
kepala atas katil. Tuala atas pehanya tadi ditekup ke muka. Dapat lena lima
sepuluh minit jadilah.
Tapi baru saja Emey Suhaila mahu lelapkan mata, azan
sudahpun berkumandang di luar menandakan sudah masuk waktu solat Maghrib.
Walaupun bunyinya sayup tapi terasa seakan nyaring mengejutkan Emey Suhaila
yang baru saja mahu lena. Spontan tubuh Emey Suhaila bangun dari baringan dan
duduk bersila di atas tilamnya. Tuala yang menekup muka dipeluk ke tubuh. Satu
keluhan dihembus perlahan. Kecewa sebab tidak sempat nak melelapkan mata walau
seminit. Jangan kata seminit, sesaat pun tak sempat.
Emey Suhaila mendengus geram bila melihat Azura masih
sedap lena di katilnya. Sengaja Emey Suhaila campak tuala di tangannya tadi ke
muka Azura. Yeah! Tepat ke muka gadis itu. Emey Suhaila hampir tergelak melihat
reaksi Azura yang terkejut. Agaknya dia mimpi dihempas ombak besar agaknya bila
mukanya ditimpa tuala basah Emey Suhaila.
Azura kalut membuang benda yang melekat ke mukanya lalu
tapak tangannya berkali-kali mengesat muka. Sedang Emey Suhaila menahan gelak
memerhatikan gelagat Azura yang sudahpun bangun dari baring. Muka Azura
terpisat-pisat pandang keliling.
“Bangunlah. Dah maghrib!”
Azura gosok mata dengan jari sebelum mencari arah suara
yang menegur tadi. Dia nampak Emey Suhaila tersengih-sengih di katil sebelah.
Kepala Azura yang rasa berat bagaikan bergoncang apabila satu lagi beban
tiba-tiba saja menghentam mukanya. Mata Azura serta-merta terbuka luas melihat bantal
yang bergolek ke lantai sementara Emey Suhaila sudah galak ketawa.
‘Cis! Kurang asam punya kawan. Sampai hati kau baling
bantal ke muka aku. Tak boleh jadi ni.’ Tangan Azura menyambar bantalnya yang
leper di sebelah lalu dicampak ke arah Emey Suhaila. Namun tersasar gara-gara
masih mamai. ‘Ceh, tak kena pula!’ Azura capai satu lagi bantalnya dan dicampak
sekali lagi ke arah Emey Suhaila. Kali ini Azura fokus betul-betul. Sasarannya
ialah muka Emey Suhaila yang bukan main lagi gelak macam nak pecah perut di
hujung sana. Sipi. Azura tampar tilamnya bila balingannya hanya lalu di sebelah
Emey Suhaila.
“Hah! Gelaklah puas-puas waktu maghrib ni. Biar dia kena
sampuk dengan hantu gelak,” tempik Azura geram. Namun Emey Suhaila langsung
tidak pedulikan ugutannya itu. Dia masih ketawa bagai nak rak. Susah pula
hendak hentikan tawa yang sudah mula melarat ni. Azura gumam bibirnya yang
terasa panas. Panas kerana hatinya panas meledak. Langsung Azura bangun dari
katil. Bantal Emey Suhaila yang tergolek atas lantai tadi dikutipnya lalu
dihempuk ke bahu Emey Suhaila yang masih beria-ia ketawa. ‘Hah, ambik kau! Kena
pun.’
Emey Suhaila menggosok bahunya yang terasa kebas. Saki-baki
tawanya yang masih berbaki ditahan-tahan melihat Azura sudah melangkah keluar.
Seketika Azura berpaling ke belakang, mengangkat ibu jari ke atas sambil
mengejek.
‘Amboi, bukan main lagi dia. Ni yang buat aku tambah
geram ni...’ Cepat-cepat Emey Suhaila membalas dengan menunjukkan penumbuknya.
Kemudian, Azura tersengih lalu terus hilang ke luar.
Tersembur tawa Emey Suhaila yang masih berbaki tadi.
Penumbuknya dileraikan ke bawah. “Zura... Zura...” Mengenangkan reaksi Azura
yang mamai tadi bikin perut Emey Suhaila bergetar. Terasa tawa makin
menjolok-jolok mahu keluar. Emey Suhaila geleng kepala laju-laju sambil menekan
perutnya kuat-kuat, cuba meleraikan tawa yang hampir meletus.
No comments:
Post a Comment