“Kau biar betul!” Terkejut besar Azura apabila Emey
Suhaila meminta bantuannya dalam rancangan Emey Suhaila terhadap Rogayah. Mata
yang sedia bulat dibuntangkan, bagai mahu tersembur dihala ke muka Emey Suhaila.
Ingatkan Emey Suhaila merancang akal jahat pada Rogayah, tapi lain pula yang
dia dengar tadi. Emey Suhaila hanya mengangguk, mengiakan. Sesak nafas Azura
dibuatnya. Dadanya tiba-tiba terasa bagai dihempap batu besar. Sesak.
“Bolehlah Zura. Please...
please...” pinta Emey Suhaila berkali-kali sambil menggengam jari-jemarinya
ke paras dada. Matanya pula dikelipkan beberapa kali lagak baby doll.
Azura tercengang seketika. Kepalanya pula terasa bagai
diketuk batang besi. Sakitnya tidak terkata. Sementara Emey Suhaila mengulangi
perbuatannya berkali-kali di depan Azura. Azura geleng kepala laju-laju,
sekaligus menepis rasa sakit yang menyerang kepala.
“Tolonglah Zura...” Makin galak Emey Suhaila memohon.
Muka baby dollnya itu makin didekatkan ke muka Azura.
Azura menggeleng lagi. “Tak... tak boleh,” balas Azura
sambil terus menggeleng. Namun makin Azura menidakkan, semakin dekat Emey
Suhaila ke mukanya. Ke mana saja Azura lontar pandangnya, wajah Emey Suhaila
yang terkelip-kelip tu turut menjengah. Bila Azura berpaling ke kanan, Emey Suhaila
ikut ke kanan. Bila ke kiri Azura mengelak, ke kiri jugalah Emey Suhaila
melutut. Cadar Azura yang tadinya tegang kini sudah teruk terbongkar.
“Tak boleh!” tempik Azura ke muka Emey Suhaila apabila
hatinya sudah dibaluti amarah kerana perbuatan Emey Suhaila itu. Rimas dia
dibuat Emey Suhaila. Muka Emey Suhaila ditolak jauh-jauh dari mukanya. “Aku tak
mahu masuk campur. Tak mahu!” Azura bertempik lagi dan keadaan bilik itu terus
dihiasi dengan rayuan Emey Suhaila serta tempikan Azura berselang-seli. Jika
penghuni hostel lain dengar dari luar bilik mereka, pasti sangka macam pasangan
suami isteri yang bergaduh. Macam perang besar saja bunyinya sehingga suara
Azura yang halus itu kedengaran lantang dari luar. Eh, bila pula Emey Suhaila
dan Azura jadi suami isteri?
Azura melompat dari katil, cuba melarikan diri daripada Emey
Suhaila apabila gadis itu asyik mengikut saja ke mana mukanya pergi. Sempat
Azura mengerling ke arah katilnya yang tidak serupa tempat tidur lagi. Habis
berserak gara-gara perbuatan Emey Suhaila yang sudah mula buat perangai.
Begitulah Emey Suhaila setiap kali mahu meminta bantuannya. Jika Azura tidak
mahu meminjamkan nota kepadanya juga, begitulah keadaannya. Rimas betul.
Ikutkan hati mahu saja cekik batang leher Emey Suhaila tapi tidak sampai hati
pula. Nanti mati pula anak orang. Tak pasal-pasal Azura kena tidur dalam
kandang besi.
Emey Suhaila berlari mendapatkan Azura. Ke sana sini
Azura mengelak tapi Emey Suhaila tetap tidak mahu mengalah. “Alah, tolonglah
aku Zura. Kali ni aje... aku betul-betul perlukan bantuan kau.” Emey Suhaila
terus merayu. Tangan Azura digenggam kuat. Sesekali tubuh kecil itu digoncang.
“Zura... kali ni aje.” Kalau pelajar lain nampak dia merayu begini pada Azura,
mesti jatuh air muka Emey Suhaila. Silap hari bulan gelaran Sakura Hime itu pun
beralih kepada Azura nanti.
“Tak mahu! Aku kata tak mahu!” Azura meleraikan cengkaman
tangan Emey Suhaila ke tangannya. Kemudian dia melompat semula ke atas katil.
Duduk bersila sambil tunjuk muka tidak puas hati. Bengang dipaksa untuk
melakukan kerja yang tidak dia rela. “Aku kata tak mahu, tak mahulah.”
Emey Suhaila hempas keluhan halus. Namun dia sedar dia
tidak patut mengalah. Selalunya Emey Suhaila tidak akan gagal memujuk Azura.
Azura pasti akan mengikutkan kehendaknya juga akhirnya dan kali ini pun Emey
Suhaila akan pastikan rayuannya berhasil. Emey Suhaila lontar pandang ke muka
Azura. Azura sudah muncung pak depa. Emey Suhaila cuba buat muka kasihan tapi
Azura pula berpaling dari memandang Emey Suhaila. Spontan Emey Suhaila hempas
lagi keluhan. Kali ini lebih berat.
Emey Suhaila buka langkah menuju ke arah Azura. Azura
yang menyedari tindakan Emey Suhaila itu lekas-lekas mengelak. Terhenti langkah
Emey Suhaila melihat reaksi kawannya itu. Emey Suhaila hembus keluhan berat.
Mukanya menoleh ke arah Azura yang sudah terpacak di depan almari.
‘Ish, macamlah aku ni raksasa yang dia lari jauh-jauh.
Takut sangat buat apa. Aku bukan nak buat apa pun. Kalau nak lari jauh-jauh,
keluarlah terus dari bilik kan senang,’ getus Emey Suhaila dalam hati. Sudah
letih Emey Suhaila merayu tapi Azura masih terus mengelak. Liat pula nak
dipujuk minah ni kali ni. Mungkinkah sebab Azura memang merajuk pada Emey
Suhaila sejak awal, sebab itulah Azura tidak mahu memenuhi permintaan Emey
Suhaila kali ini?
Hai, takkan Emey Suhaila perlu meminta bantuan daripada
Razif? Ish, macam mana pula Emey Suhaila mahu jelaskan pada Razif nanti? Emey
Suhaila nak minta bantuan Azura untuk mencapai cita-citanya menjadi Sakura Hime
atau Ratu Kolej? Aduh, bukannya Razif tahu apa-apa tentang rancangannya dan
Razif juga tak tahu menahu tentang gelaran Sakura Hime mahupun Ratu Kolej yang
dikejarkannya selama ini. Jadi, perlukah Emey Suhaila jelaskan pada Razif dari
awal? Masak!
Emey Suhaila hempas tangan ke bawah. Geram. “Zura, kau
janganlah macam ni. Macam budak-budaklah kau ni!” Emey Suhaila pula mula
meninggi suara. Kesabarannya sudah memuncak. Kalau ada penanda aras yang boleh
baca tahap kesabarannya sekarang macam penanda pada termometer tu, mesti dah
sampai tahap maksimum. Kalau ada lampu pengesan kecemasan di dada Emey Suhaila,
mesti dah berkelip-kelip menandakan Emey Suhaila tengah marah.
“Aku pula. Kau tu yang perangai macam budak-budak.
Merengek tak tentu pasal. Kalau aku kata tak mahu tu, maksudnya tak mahulah.”
Keras suara Azura membalas. Matanya melempar satu jelingan tajam. Wah,
nampaknya Azura pun sudah mula naik angin. Bilik hostel yang tadinya dingin
diserbu angin malam bertukar hangat dibakar api kemarahan mereka berdua.
“Kenapa kau tak mahu? Bukannya aku suruh buat kerja
gila!” Emey Suhaila pula bertempik.
Panas hati Azura bila Emey Suhaila menaikkan suara
kepadanya. ‘Aik, dia minta tolong aku dia pula suka-suka hati nak marah-marah
aku. Banyak cantik muka. Aku bagi penampar percuma nanti baru tahu.’ Belum
sempat Azura mahu buka mulut untuk membalas, pintu bilik mereka diketuk
bertalu-talu dari luar. Terangkat bahu Azura kerana terkejut. Pintu yang
dhentam dari luar itu sekadar mampu ditenungnya.
Emey Suhaila geleng kepala lantas berlari ke pintu
apabila melihat Azura hanya terpaku saja di tempatnya. Padahal Azura berdiri
paling dekat dengan pintu. Pintu yang bertalu-talu dihentam dari luar hanya
ditenung. Macamlah pintu itu akan terbuka sendiri kalau dia tenung begitu.
Sempat Emey Suhaila menghempas keluhan halus semasa
memulas tombol pintu. Hatinya yang masih lagi geram bertelingkah dengan Azura
sebab gagal memujuk gadis itu bertambah sebal mendengar bunyi ketukan pintu
yang tidak henti-henti. Entah siapalah gerangan manusia yang berani-berani
sangat mengetuk pintu bilik Sakura Hime ni macam nak pecah pintu tu dibuatnya.
Rasa bergegar satu bilik.
Daun pintu dikuak dan Emey Suhaila dapat melihat Kak Aini
terjengul di muka pintu. Emey Suhaila pura-pura buat muka hairan dengan
kehadiran Kak Aini sedangkan air muka Kak Aini penuh tanda tanya bercampur
risau.
Lambat Emey Suhaila mengukir senyum lalu mengangkat
kening, memberi isyarat bagai bertanya sebab Kak Aini mengetuk pintu biliknya.
Di belakang Kak Aini, teman sebilik Kak Aini merangkap jiran sebelah bilik Emey
Suhaila juga turut sama lontar pandangan hairan. Sesekali Kak Mastura, teman
sebilik Kak Aini itu memanjangkan lehernya sambil menolak tubuhnya ke atas,
cuba mengintai keadaan di dalam bilik Emey Suhaila. Sengaja Emey Suhaila
menutup pandangan Kak Mastura dengan tubuhnya di antara ruang pintu yang
terbuka.
“Akak dengar bunyi bising semacam dari tadi. Apa yang
jadi? Korang bergaduh ke tengok TV kuat-kuat? Kalau tengok TV tu, janganlah
pasang suara kuat-kuat. Nanti penghuni hostel lain terganggu pula dengan bunyi
bising dari bilik korang ni. Manalah tahu, orang lain nak belajar ke... nak
tidur ke. Lagipun dah tengah malam ni,” leter Kak Aini panjang lebar.
Emey Suhaila tersengih saja mendengar bebelan Kak Aini
yang juga merupakan Ketua Hostel. Biasalah tu, kalau buat silap saja mesti kena
dengar syarahan percuma daripada Kak Aini. ‘Tapi kalau ya pun, dengarlah dulu
penjelasan kami ni Kak Aini oi.’
“Tak adalah kak. Kitorang bukan gaduh. Tengok tv pun
bukan. TV pun tak ada dalam bilik ni, nak tengok tv apa ke namanya, kak.” Emey
Suhaila menjawab dengan senyuman sambil tangannya digawang-gawangkan ke udara,
sekaligus menafikan semua tuduhan Kak Aini tadi.
“Habis tu, bunyi apa bising-bising tadi?” Berkerut-kerut
dahi Kak Aini menyoal.
Emey Suhaila tersengih lagi. Tangannya meraba belakang
badan sambil sibuk mencari idea untuk menjawab soalan Kak Aini. Takkanlah dia
mahu beritahu Kak Aini perkara sebenar, yang mereka memang bergaduh tadi. Ish,
nanti timbul pula gosip baru. Sedangkan sebelum ni mereka dicop sebagai kawan
sejati yang diibaratkan seperti belangkas. Hubungan mereka sentiasa baik.
Walaupun perumpamaan ‘belangkas’ itu rasanya macam kurang sesuai, tapi Emey
Suhaila tidak ambil kesah. Asalkan orang lain cuma nampak yang baik-baik saja
tentangnya, cukuplah.
Sempat Emey Suhaila mengerling reaksi Kak Mastura yang
dari tadi masih mahu mengintai ke dalam. Kemudian ekor mata Emey Suhaila
mengintai pula reaksi Azura yang masih terpacak di depan almari baju.
“Tak. Zura ni... dia mengingau sampai meracau-racau.
Sebab tulah bising, kak.” Spontan jawapan itu keluar dari mulut Emey Suhaila
setelah agak lama mendiamkan diri.
Terbeliak besar mata Azura mendengar cerita yang direka Emey
Suhaila itu. Ringan saja tangannya mahu jotos kepala Emey Suhaila tapi niatnya
terpaksa dikuburkan saja apabila melihat kepala Kak Aini sudah terjengul dari
balik pintu. Tangan Azura cepat-cepat disembunyikan ke belakang. Digenggam kuat
supaya tidak melepaskan penangan ke tubuh Emey Suhaila buat masa ini. Tunggulah
sehingga Kak Aini, Ketua Hostel yang busy
body tu balik ke biliknya. Akan Azura luku-luku kepala Emey Suhaila
puas-puas.
Emey Suhaila terpaksa melepaskan daun pintu dan
membiarkannya terbuka apabila Kak Aini sibuk sangat mahu menyelitkan kepalanya
di celah Emey Suhaila. Daripada biar Kak Aini meleset ke tubuhnya, lebih baik Emey
Suhaila biarkan saja pintu itu terbuka. Kak Mastura pun tidak lepaskan peluang.
‘Hah, nak tengok sangat. Tengoklah puas-puas. Nak panggil
siapa-siapa lagi ke? Hah panggillah semua orang. Tengoklah macam mana teruknya
bilik ni berselerak.’
Dahi Kak Aini berkerut lagi melihat keadaan bilik anak
dara berdua itu. Garisan halus di dahi hingga ke batang hidungnya jelas
kelihatan. Mahu kata tongkang pecah, bilik ini bukan tongkang. Boleh kata macam
dilanggar garudalah.
“Apa dah jadi dengan bilik korang ni?” aju Kak Aini lagi
sambil terus tenung sekitar bilik itu di setiap sudut. Bingkai cermin matanya
yang tebal ditarik ke depan dan ke belakang, lagak mak mertua garang.
“Kan saya dah cakap tadi kak. Zura ni yang mengigau,”
ulang Emey Suhaila lagi. Jari telunjuknya menunjuk ke arah Azura.
Badan Kak Aini terhinjut ke belakang apabila terkejut
melihat kelibat Azura tidak jauh di belakang pintu. Kebetulan ketika itu Azura
melepaskan rambutnya yang panjang macam model syampu Rejoice. Kebetulan lagi
malam itu, Azura mengenakan baju T berwarna putih tanpa corak. Mesti Kak Aini
ingat bilik ni ada hantu.
Kak Aini telan liur berkali-kali. Kemudian Kak Aini
mengalih pandangan semula ke arah Emey Suhaila. Bingkai cermin matanya
dibetulkan lagi. “Tak apalah kalau macam tu. Akak ingatkan apa tadi. Lain kali,
basuh kaki dulu sebelum tidur. Tak adalah sampai meracau-racau.”
Emey Suhaila sekadar mengangguk saja mendengar ceramah
Kak Aini. Entahkan teguran itu lekat di otaknya, Emey Suhaila malas mahu ambil
kesah. Kalau setakat singgah ditelinga kanan dan kemudian keluar semula ikut
telinga kiri pun Emey Suhaila tidak kesah. Tak penting.
“Kalau tak ada apa, akak balik dululah.” Kak Aini minta
diri. Sekali lagi Emey Suhaila hanya membalas dengan menolak kepalanya ke atas
dan ke bawah, mengiakan saja. “Ingat. Jangan lupa basuh kaki lepas ni. Nanti
meracau lagi. Kamu tu pun basuh kaki juga. Jangan jadi macam kawan kamu tu.
Macam budak-budak,” pesan Kak Aini lagi sambil menggeleng-geleng kepala sebelum
beredar pergi.
Hampir tergelak Emey Suhaila mendengar ayat terakhir Kak
Aini. Suka hatinya sebab Azura terperangkap dalam cerita rekaannya. Emey
Suhaila intai reaksi Azura dengan ekor mata. Azura pasti bengang mendengar bait
terakhir Kak Aini. Walaupun perlahan, tapi rasanya Azura dapat mendengarnya.
Gadis itu bukannya boleh. Nampak saja badannya kecil tapi barannya tidak
terungkap besarnya.
“Baca-bacalah doa lain kali. Kalau tak mengaji dekat
bilik ni, sekurang-kurangnya bacalah ayat Kursi dan doa sebelum tidur tu.” Kak
Mastura pula menyampuk dan terus berlalu pergi, mengikut Kak Aini yang sudah
lesap masuk ke dalam biliknya semula.
‘Eh.. eh. Kak Mastura ni. Dia pun nak berceramah juga,’
ngomel Emey Suhaila dalam hati.
Sementara Azura sudah mengetap giginya. Geram. Mukanya
disorokkan ke bawah. Bengkak pula disindir berkali-kali oleh kakak-kakak
sebelah bilik. Teruklah Azura lepas ni. Pasti dia akan disindir setiap kali
terserampak dengan dua kakak yang busy
body tu.
Emey Suhaila nampak reaksi Azura. Lantas Emey Suhaila
cepat-cepat katup pintu semula dan dikunci dari dalam. Emey Suhaila melangkah
ke katil dan terus henyak punggung di atasnya. Keluhan bertalu-talu dihempas
sambil mengintai reaksi Azura yang masih tercegat di tempatnya sejak awal tadi.
Azura tidak tunjukkan sebarang reaksi melainkan sekadar
tunduk. Namun Emey Suhaila dapat melihat jari-jemari Azura yang digenggam
kemas.
‘Alamak! Raksasa nak mengamuk!’ Emey Suhaila dapat
menghidu aura marah Azura. Lantas Emey Suhaila lekas-lekas sorok tubuh dalam
selimut dan pura-pura lena.
Tidak lama, Emey Suhaila dapat rasakan hempukan
bertalu-talu ke tubuhnya. Suara Azura yang bengang merungut tak berhenti. Namun
Emey Suhaila diamkan saja. Alah, bila letih berhentilah budak kecil tu. Kalau
Emey Suhaila melayan gelagat Azura tu, mesti pintu mereka diketuk Kak Aini lagi
lepas ni. Emey Suhaila lebih rela kena hempuk dengan Azura dari menghadap muka
Kak Aini dan mendengar ceramah percuma perempuan itu. Penangan Azura bukannya sakit
sangat. Bak kata Kak Aini, Azura kan macam budak kecil. Apalah sangat rasa
penangannya itu.
Seperti di duga Emey Suhaila, tak sampai sepuluh kali
Azura hayun bantal atas tubuh Emey Suhaila, Azura sudah mengalah. Terduduk atas
katil sambil mencungap. Terkekek-kekek Emey Suhaila ketawa dalam selubung
selimut. Tangannya ditekup ke mulut agar suara tawanya tidak jelas kedengaran.
No comments:
Post a Comment