Pages

Hi pembaca semua!!!

Terima kasih kerana datang melawat, membaca karya-karya dalam blog ini dan terima kasih juga kepada semua yang menyokong Yuri. Yuri rasa happy sangat dengan kehadiran korang dalam hidup mahupun alam maya Yuri ni.

Segala komen dan sokongan sentiasa dan akan terus membakar semangat Yuri untuk terus berkarya menggunakan nama pena ayu munawer.

Semua karya di dalam blog ini adalah ilusi, imaginasi serta daripada pengalaman hidup. Dan yang paling penting, semua karya di sini adalah hasil karya Yuri. Mohon supaya tiada copycat dekat sini... tqvm

Harap korang terus menyokong dan beri komen mahupun kritikan untuk Yuri memperbaiki sebarang kekurangan.

P/S: Untuk makluman, karya "Dia Si Jantung Hati" akan dihentikan penerbitannya di sini atas sebab rombakan besar-besaran plot cerita. Justeru itu, judulnya juga bakal berubah. Maaf atas sebarang kesulitan. Harap korang setia menunggu dan menyokong hasil rombakannya nanti okey ^^,
"Aku tak suka kau la" kini diterbitkan di penulisan2u dengan tajuk "JIWA KACAU"..saja nk tukar tajuk. Sebb yuri rasa cam lg sesuai je tajuk ni..lebih pendek n ringkas hehe ada ka yuri edit2 skit. Harap u all x kesah nk singgah baca :-)
Sudi-sudilah berkunjung ke official blogshop yuri di http://decodanmakan.blogspot.com yer. Walaupun rupanya masih macam blog biasa, yuri pun masih belajar lagi macam mana nak upgradekannya. Macam-macam ada. Nak tau apa yang ada, kenalah singgah.

Terima kasih (^^,)v

Monday, June 17, 2013

Sayang Kata Benci: Bab 36


Sejak naik bas dari Terminal Bas Shahab Perdana tadi, Sasha Amira sudah menelefon Puan Damia memberitahu yang dia telah menaiki bas untuk pulang ke Kuala Lumpur. Lebih kurang malam nanti baru dia akan sampai ke Puduraya. Sempat dia sampaikan salam Along dan Abang Mazlan pada mama melalui telefon terlebih dulu. Takut-takut nanti terlupa lepas perjalanan yang sangat panjang.
Lima hari di rumah Along, banyak tempat yang Along bawa berjalan. Memang seronok pengalaman di Kedah. Padang Besar di Perlis juga Along bawa pergi lawati. Katanya situ antara tumpuan pelancong. Memang seronok membeli-belah di sana. Banyak pilihan dan murah-murah belaka. Memanglah ramai pelancong.
Sepatutnya dia cadang nak balik semalam tapi sebab Abang Mazlan ajak bermalam di Langkawi, baru semalam mereka balik ke rumah. Abang Mazlan siap borong coklat di zon bebas cukai untuk Sasha Amira bawa balik ke KL. Bertambah begnya nak bawa balik. Haikal dan Ariel, tentulah cemburu dengan Mak Usu dia yang dapat lebih banyak coklat berbanding mereka. Pandai-pandai Abang Mazlanlah, nak ajak anak-anaknya pergi borong coklat lagikah lepas ni?
Hari ini, Sasha Amira naik bas lepas Zohor. Alhamdulillah, orang perempuan juga yang duduk di sebelahnya. Senang hati dia nak tidur. Penat berjalan beberapa hari ini sekarang baru terasa. Mulalah sakit sana sakit sini. Sengal sana sengal sini. Kalaulah dapat tidur atas tilam empukkah, tilam air ke kan lagi best.
Perjalanan enam jam dari Alor Setar ke Kuala Lumpur bagai tak terasa bila tidurnya terus lena. Berbeza dengan rasa semasa perjalanan pergi sebelum ini. Sampai dekat Puduraya, dia telefon Puan Damia semula. Ingatkan mama dan papa akan datang jemput di stesen bas. Rupa-rupanya papa masih belum pulang dari kerja. Terpaksalah Sasha Amira menaiki LRT saja dan menaiki teksi pula dari stesen Bandar Tun Razak. Hai, dahlah susah nak dapat teksi dekat sini waktu malam macam ni. Berpeluh kita menunggu. Rungut Sasha Amira.

*******

“Assalamualaikum.” Lemah suara Sasha Amira memberi salam. Dua beg yang dibawanya tidak mampu lagi dibawa lantas diheret saja mengikut langkah kakinya menuju ke depan pintu. Selangkah lagi kakinya melangkah, pintu terbuka dari dalam. Wajah Puan Damia yang ceria terjengul keluar menyambut Sasha Amira.
“Dah balik anak mama.” Ceria suara Puan Damia kedengaran di telinga. Tubuh Sasha Amira dirangkul puas. “Macam mana dengan keadaan Along? Dah sihat? Cucu-cucu mak apa khabar? Sihat?” soal Puan Damia bertalu-talu sebaik meleraikan pelukannya.
“Sihat. Semuanya sihat. Kenapa mama tak telefon aja Along tanya khabar?” soal Sasha Amira pula selamba lalu dia melangkah masuk ke dalam rumah. Suara Puan Damia sudah menyahut dari belakang, membidas semula soalannya tadi.
“Aik! Mama pula yang kena telefon tanya khabar anak? Patutnya anak-anaklah yang kena telefon mama ni, tanya khabar mama, khabar papa.”
Sasha Amira diamkan saja. Dia tidak berniat langsung mahu membalas. Baru dia teringat. Terhenti lagi kakinya di depan pintu lalu berpaling menghadap Puan Damia yang sedang menutup daun pintu. “Along dengan Abang Mazlan kirim salam kat mama dan papa.”
“Hmm... waalaikumusalam. Kan petang tadi kamu dah beritahu dalam telefon.”
Oh, yakah? Tak ingat pula. Sasha Amira hayun kaki semula terus ke tangga.
“Kamu lapar tak? Kalau lapar, mama panaskan lauk.” Kedengaran suara Puan Damia memekik dari bawah. Lantas kaki Sasha Amira berhenti lagi dari melangkah.
“Tak apalah, ma. Nanti kalau Sasha lapar, Sasha cari. Penat ni, nak rehat dulu ya.” Jawabnya lalu meneruskan semula perjalanan ke bilik. Beg yang berat merengkek dibawa naik dan terus dihempas sebelah katil.
Fuh! Letih! Keluhnya kuat. Katil dulu yang dilihat lalu dihempas tubuh ke katil. Penatnya. Tak pernah dia berjalan sejauh ini. Selalunya penat begini cuma rasa masa hari raya. Bila mengikut mama dan papa menziarah sanak saudara yang jauh. Tak pernah pula dia pergi seorang. Tapi penat-penat pun, rasa berbaloi juga. Dapat jalan-jalan percuma, dapat coklat percuma, hehe.

*******

“Banyaknya...” Menganga sekejap Puan Damia melihat Sasha Amira mengeluarkan bungkusan coklat sampai satu beg besar dan diletakkan atas meja makan.
“Entah mama. Abang Mazlan yang belikan. Beria-ia dia suruh Sasha bawa balik semua. Nak suruh kita buka kedai runcit jual coklat agaknya!” Tempelak Sasha Amira bersahaja lalu berjalan ke dapur. Kabinet dapur ditinjau-tinjau mencari balang dan bekas untuk mengisi coklat-coklat yang dibawa pulang.
“Ha, elok sangatlah tu. Boleh dibuat hantaran nanti.”
Ha? Kaku tangan Sasha Amira yang menyelongkar kabinet tadi serta-merta. Hantaran? Betulkah telinganya mendengar kata-kata itu tadi?
“Hantaran apa pula mama?” Pekiknya dari dapur pura-pura bertanya, lebih kepada mahukan kepastian. Harap-harap memang telinganya yang tersilap dengar tadi. Senyap. Tidak sedap hati, Sasha Amira berjalan mendapatkan Puan Damia. “Hantaran apa mama?” ulangnya lagi. Dahinya jelas berkerut memandang Puan Damia yang nampak tenang saja membelek coklat-coklat atas meja. Sebungkus dibuka lalu sebiji dikoyakkan dari bungkusannya dan disuap ke mulut. Mencair coklat itu dalam mulutnya.
“Aduh. Mama ni tak mahu jawab pula.” Keluh Sasha Amira lalu kembali ke dapur. Malas dia mahu fikir banyak. Mungkin benarlah telinganya saja yang tersilap dengar. Agaknya mama cakap nak hantar dekat orang sebelah sikit agaknya. Duganya cuba sedapkan hati.
Kabinet sekali lagi diselongkar. Dapatlah dua tiga balang untuk diisi separuh daripada coklat-coklat tadi. Separuh lagi terpaksa disimpan dalam bungkusannya saja. Abang Mazlan ni pun satu. Nasib baik dia tak ditangkap sebab disyaki seludup coklat. Ops, bolehkah kena tangkap macam tu? Hehe... fikirannya mula melalut.
Sebungkus demi sebungkus dibuka dan dipenuhkan dalam balang. Ada juga yang disuap ke dalam mulut. Hmm... yummy! Nikmat terasa dapat makan coklat. Lagi-lagi percuma. Berlipat ganda nikmatnya. Puan Damia juga tumpang sekaki. Kalau boleh setiap jenis perisa dan rupa mahu dicubanya malam itu juga. Lepas itu, Puan Damia susun pula coklat-coklat itu jadi macam-macam rupa. Sekejap  bentuk rumah, sekejap bentuk bunga.
“Mama nak buat apa tu? Mama nak buat bisnes gubahan hantaran ke?” Tegur Sasha Amira yang rasa hairan. Tangannya juga sibuk membentuk gubahan yang sama. Manalah tahu, ideanya akan lebih menarik daripada Puan Damia.
“Tak kuasa mama nak buat bisnes. Ramai lagi anak muda yang lagi kreatif dari mama ni.”
“Eh, janganlah rendah diri sangat mama. Bakat tu tak baik dipendam lama. Kata orang, lama-lama nanti berkarat.” Balas Sasha Amira lagi beria-ia. Bunga yang dibentuk jarinya dari coklat langsung tak ada rupa bunga. Tidak sama seperti yang dibuat Puan Damia tadi. Hai, memang tiada seni langsung tangannya.
“Tak kesahlah berkarat ke, karam ke. Tak kuasa mama nak sibuk juga macam papa kamu tu. Cari duit tak habis-habis sampai ke tua. Dah tua-tua macam ni patutnya main dengan cucu aja. Mama ni tengah reka nak buat hantaran kamulah.”
“Ha?!” Serta-merta Sasha Amira terkejut beruk lalu melopong. Coklat yang dipegangnya tadi juga terlepas dari tangan. Plup! Plup! Jatuh semuanya menghentam meja. “Hantaran buat apa mama?”
“Hantaran kamu kahwinlah? Buat apa lagi. Takkan mama pula yang nak kahwin.”
“Lambat lagilah mama. Sasha belum nak-”
Belum sempat Sasha Amira sudahkan cakap, Puan Damia lekas memintas. Terdiam dia serta-merta.
“Haji Rauf dan Hajah Kistina ada hantar rombongan meminang kamu tempoh hari untuk anak lelaki mereka yang mama kenalkan dulu. Mama dan papa pun dah setuju terima pinangan mereka tu. Kamu dan Azrai pun dah berapa kali jumpa kan. Rasanya kamu dah kenal hati budi masing-masing. Kami pun dah tetapkan tarikh pernikahan kamu berdua. Akhir Disember nanti.”
Melopong lagi Sasha Amira buat kali kedua setelah mendengar pemberitahuan panjang lebar Puan Damia. Kalau nyamuk lalu ni mesti tertelan punya. Banyak rasanya yang dia kurang setuju. Bukan. Tidak langsung dia setuju. Tapi entah yang mana hendak dibidasnya terlebih dulu. Pinang, kenapa mesti mama dan papa terima pinangan orang tanpa bertanya dulu kepadanya sedangkan yang akan berkahwin nanti adalah dia? Macam mana pula dia dan Azrai, siapa nama lelaki itu? Sasha Amira cuba ingatkan namanya. Ha, Saif Azrai. Macam mana dia dan Saif Azrai boleh kenal hati budi masing-masing hanya dalam dua pertemuan? Oh, itu sangat-sangat mustahil sedangkan setiap pertemuan berakhir dengan rasa geram yang berbuku dalam hati Sasha Amira. Akhir sekali, tarikh pernikahannya yang telah ditetapkan tak sampai dua bulan lagi? Oh, tidak... tidak. Sekali lagi ia diluar pengetahuannya dan tanpa meminta persetujuan tuan badan yang bakal bernikah. Ada juga pengantin perempuan yang cabut lari masa hari pernikahan ni nanti!
“Kamu jangan nak mengada tolak pula pinangan ni tiba-tiba. Jangan nak malukan mama dan papa.” Puan Damia bangun dari duduk dan berjalan ke tangga. Sedaya upaya Sasha Amira kumpul kudrat untuk melontarkan juga segala apa yang bersarang dalam benaknya sekarang.
“Mana aci mama dan papa buat keputusan tanpa tanya pada Sasha dulu. Yang nak kahwin kan Sasha. Biarlah Sasha sendiri yang buat keputusan. Tak adil la macam ni, ma!” Suara Sasha Amira semakin lama semakin kuat disebabkan bayang Puan Damia yang kian hilang di tingkat atas. Kemudian dihempas keluhan yang cukup berat. Coklat-coklat yang berlambak atas meja dipandangnya sepi.
Patutlah Abang Mazlan beria borong coklat banyak-banyak. Entah-entah Abang Mazlan pun tahu pasal hal ini. Hendak sponsor sikit jugalah tu. Ha, entah-entah Along pun sama bersubahat. Entah-entah sakit Along tu cuma helah aja nak suruh aku pergi Kedah. Lepas tu, beria-ia nak bawa aku jalan sana sini. Rupa-rupanya saja nak bagi masa dekat mama dan rombongan meminang tu ya.
Tang!
Terkejut Sasha Amira dari hipotesisnya sebaik Puan Damia menghentak sesuatu di depannya. Bulat matanya memandang dua kotak kecil yang muncul dari balik tangan Puan Damia. Kemudian muka mamanya ditenung kurang mengerti.
“Tu satu cincin merisik, satu lagi cincin meminang. Tengok, merisik pun dia bagi cincin. Mana ada orang nak bagi. Kamu kena pakai lepas ni. Tunjuk sekali pada teman lelaki kamu tu supaya dia tahu yang kamu tu bakal jadi milik orang lain.” Ujar Puan Damia, sedikit seakan nada sindiran. Bijak macam mana sekalipun, Sasha Amira tetap anak. Bukannya dia tidak tahu yang Sasha Amira mereka-reka cerita tentang teman lelakinya. Ah, kalau setiap kali ditanya asyik mengelak saja, mestilah anaknya pun tak serius terhadap hubungan itu.
“Majlis tunang, kami dah pakat tak payah tunang-tunang. Buang masa aja. Nikah aja terus.” Puan Damia menambah dan terus menghilang ke ruang tamu pula. Punat televisyen dipetik lalu Puan Damia duduk di sofa. Tumpuannya dihalakan ke depan kaca televisyen, menonton slot Annyeonghaseyo di saluran 391.
Sementara Sasha Amira yang ditinggalkan di meja makan tidak berminat langsung mahu melihat cincin yang diberi. Apa lagi mahu menyarung ke jari. Jika dipakainya bermakna dia menerima lelaki itu sebagai bakal suami. Bermakna dia menerima keputusan mama dan papa bulat-bulat tanpa hati ini benar-benar rela. Sebaliknya dia berlari ke arah Puan Damia untuk menegakkan hak diri.
“Mana boleh macam ni, mama. Tak adil untuk Sasha mama buat macam ni. Kahwin ni bukan sehari dua, ma. Sasha ada hak nak pilih dengan siapa Sasha nak hidup bersama.” Betahnya berkeras hendak menuntut hak yang sepatutnya miliknya.
Puan Damia melihat sahaja anaknya yang terpacak depan mata. Baru saja dia leka menonton televisyen, sudah ada yang menghalang. Air muka Sasha Amira yang jelas tidak puas hati dibalas dengan renungan penuh ketegasan. Kedua tangan Puan Damia turut memeluk tubuh agar Sasha Amira rasa lebih terkesan dengan keputusannya itu.
“Tak adil pada kamu, adil pada mama. Yang selama ni mama carikan calon suami sana sini, yang baik-baik, adilkah kamu tolak semuanya mentah-mentah. Tak pernah cuba nak kenal, terus aja kamu reject. Adilkah untuk mereka? Sekarang, mama dan papa dah sama-sama setuju. Tarikh nikah pun dah ditetapkan.”
“Tapi ma, Sasha kan belum habis belajar lagi. Lagipun Sasha masih ada masa sebelum hari jadi Sasha. Tahun depan kan...”
“Cukup! Mama dah tak larat nak dengar alasan kamu lagi. Apa lagi dalih kamu nak bagi lepas ni? Dah! Tarikh nikah kamu berdua dah ditetapkan. Dah kahwin nanti bukannya tak boleh teruskan pelajaran tu. Kamu jangan nak buat mama dan papa malu pada Haji Rauf dan Hajah Kistina. Kamu tahu kan yang mereka tu masing-masing kawan mama dan papa. Suka tak suka, rela tak rela, kamu kena juga kahwin dengan Azrai. Lusa, kamu ikut mama pergi butik pengantin. Nak pilih baju pengantin kamu nanti.” Tegas keputusan yang dibuat Puan Damia.
Sasha Amira hilang kata-kata. Berdebus-debus rasanya nafas yang keluar dari rongga hidungnya sekarang kerana menahan rasa yang cukup tidak puas hati. Dek kerana terlampau geram, dia terhentak-hentak meninggalkan Puan Damia dan berlari naik ke bilik.
“Kamu jangan berangan pun nak cabut lari masa hari nikah!” Tempik Puan Damia dari bawah yang membuatkan langkah Sasha Amira terhenti seketika. Kemudian dia menjeling, merengus geram dan terus terhentak-hentak ke bilik.
Fuh!
Puan Damia menarik nafas panjang selepas puas dia melihat anaknya dari sini. Puas rasanya bila kelibat anaknya itu hilang.
“Fuh. Hebat juga aku berlakon!” Puji Puan Damia pada diri sambil mengibas batang leher dengan jari. Panas terasa menyengat tiba-tiba. Hatinya gemuruh sebenarnya mahu meneruskan aksi amarahnya tadi tapi akhirnya dia berjaya juga mengawal perasaan. Biar anak bongsunya itu tahu yang mamanya ini sudah cukup makan hati melihat dia terus-terusan menolak calon suami yang dia perkenalkan. Kalau terus begini, terus sunyilah hidup Puan Damia tanpa teman. Tiada cucu mahu dibuat main.

*******

Pintu dihempasnya kuat tanda protes lantas dia berlari menjunamkan tubuh ke atas katil. Tangannya digenggam dan menumbuk-numbuk tilam berkali-kali. Tidak puas hati dengan keputusan yang dibuat Puan Damia.
Aghhhh! Tension!
Hilang keseronokan bercuti di Kedah. Balik rumah saja sudah mendapat berita yang begitu memeranjatkan. Dia bingkas bangun sambil menghempas keluhan yang sangat kuat. Bantal dicapai lantas dibaling sekuat hati serentak menjerit lagi.
“Mama tak adil! Tak adil!” Bentaknya terus tidak puas hati. Licin bantal di katil dicampak merata bilik. Tidak puas, dia meraung sambil menarik-narik rambut sendiri. Kemudian menekupkan muka ke tilam.
“Mama tak adil...” Makin perlahan suaranya diselangi tangisan. Terngiang-ngiang suara Puan Damia memberitahu pasal hal pernikahan. Dua bulan. Hanya kurang dua bulan lagi tarikh yang ditetapkan. Sepatutnya tempoh itulah yang mama berikan padanya untuk mencari pasangan hidup. Tapi belum berakhir lagi masa yang diberikan, mama sendiri yang tetapkan masa depannya. Dia sedih. Dia kecewa. Apatah lagi bila keputusan itu dibuat tanpa kerelaan mahupun pengetahuannya terlebih dulu. Jadi, apa makna haknya terhadap masa depan sendiri? Tidakkah dia berhak untuk menentukan masa depan sendiri? Mampukah dia hidup dengan seorang bergelar lelaki? Otaknya kini begitu sarat dengan persoalan hingga tidak terjawab rasanya.
Along. Tentu Along juga berpakat dengan mama dalam hal ini. Marahnya pada Along. Tiba-tiba dia teringat pada Along, dia belum pun maklumkan pada Along yang dia sudah tiba di rumah. Ah, patutnya dia marah saja pada kakak sulungnya itu kerana berpakat dengan mama. Sasha Amira meraba kocek seluar. Telefonnya dikeluarkan lalu mencari nombor Suhana Azreen.
Tapi mengenangkan cakap Along sebelum ini ketika menelefonnya dulu, buat dia termenung lagi.
“Along dulu pun kahwin ikut pilihan mama. Bahagia juga. Kalau adik dah ada pilihan sendiri, beritahu mama. Kenalkan pada mama, jangan sorok-sorok. Mama tu tak akan nak berleter kalau adik ikut cakap dia. Sekali sekala dengarlah cakap orang. Kesianlah dekat along ni juga.”
Tidak sampai hati pula hendak marahkan Along. Mesti Along pun teruk dimarahi mama agaknya. Faham-faham sajalah perangai mama. Kalau itu kehendaknya, semuanya kena ikut kata. Kalau tidak, beranginlah orang tua itu. Sasah Amira menangis lagi. Sedih. Dengan siapa agaknya dia mahu menumpang bicara, dengan siapa agaknya dia mahu meluahkan rasa?

*******

Sasha Amira sudah tersedu-sedan dengan suara yang serak seakan susah payah dia mahu bersuara. Sepatah kata yang sampai ke telinga Intan Nazira, berjelar rasanya suara tangis kawannya itu. Jadinya dekat sepuluh minit dia cuba mendengar cakap Sasha Amira tapi sepatah haram pun dia tidak faham. Hanya yang dapat didengar cuma suara tangis Sasha Amira dan raungan kawannya itu sekali sekala.
“Eh... eh... eh... cubalah kau cerita dekat aku betul-betul. Cakap tu biar jelas. Aku tak fahamlah Sasha.” Akhirnya Intan Nazira bersuara meminta penjelasan. Pening kepalanya mentafsir cakap Sasha Amira. Baru saja ingat hendak tidur awal malam ini. Tiba-tiba saja tidurnya dikejutkan oleh panggilan dari Sasha Amira. Tapi dari tadi, asyik menangis, cakap sepatah, menangis lagi.
“Aku kena paksa kahwin...” Merengek suara Sasha Amira diselangi tangisannya lagi. “Mama paksa aku kahwin!” Pekiknya mula meninggi suara. Geram. Makin geram bila difikirkan hal itu terus. Hatinya sungguh tidak rela. Ikut rasa geram, mahu saja dihembur kemarahan pada semua yang terlibat. Pada mama, papa, Along dan mungkin juga Abang Mazlan. Tapi... huhu siapalah dia hendak meninggi suara di depan mereka juga, dia tahu itu dosa.
“Kahwin?!” Intan Nazira mengulang separuh menjerit. Tiada jawapan daripada Sasha Amira tapi Intan Nazira sangat yakin itulah yang didengarnya tadi. “Aik! Selama ni kau boleh aja tolak. Kenapa sekarang kau melalak pula? Tolaklah lagi calon suami yang mama kau pilih tu!”
Sasha Amira rasa terpukul dengan kata-kata Intan Nazira. Pandai pula kawannya itu menyindir. Kena sebiji ke batang hidungnya. Ikut hati mahu juga Sasha Amira membantah seperti yang dilakukannya sebelum ini. Tapi dulu mama setakat kenalkan saja. Tak mahu berkenalan, Sasha Amira reka bermacam alasan. Kalau tidak pun, diamkan saja. Tapi sekarang lain kisahnya. Mama sudah terima pinangan orang. Tarikh pernikahan juga sudah ditetapkan. Betul juga kata mama, kalau Sasha Amira buat hal dan batalkan pernikahan ni, mama dan papa mesti dapat malu. Dia tidak sanggup jadi anak yang mencemarkan nama baik keluarga tapi relakah dia menerima status sebagai isteri orang lepas ini? Huhu... Sasha Amira tidak tahu apa yang patut dibuatnya. Mahunya tidak menangis dekat sini.
“Dengan siapa?” soal Intan Nazira lagi setelah hanya tangisan Sasha Amira saja yang makin menggila di telinga.
“Azrai...” jawab Sasha Amira dalam tangisan yang kian kuat. Namun masih dapat didengar butirnya oleh telinga Intan Nazira.
Berkerut dahi Intan Nazira. Tidak pernah pula dia dengar nama itu. Tapi suara tangis Sasha Amira bikin dia gelisah. Sudah Intan Nazira nasihatkan dari awal dulu. Kawannya itu saja yang liat mahu bercinta. Bukannya tak ada yang hendak. Senior yang baru tamat belajar tahun lepas, Abang Razi, juga minat sangat pada Sasha Amira. Tapi macam biasalah, kalau hatinya belum terbuka untuk lelaki. Jawapannya memang bertepuk sebelah tangan sajalah. Hai, rugi pula rasa tidak ikut idea Zaimah untuk menggunakan khidmat teman lelaki palsu. Ya, mungkin cara ni masih boleh digunakan. Baru paksa kahwin, belum tentu kahwin lagi kan. Fikir Intan Nazira dalam hati.
“Mama dah tetapkan tarikh nikah pula tu. Tanpa persetujuan aku. Bencinya...”
Ops! Tidak jadi Intan Nazira mahu melontarkan semula idea itu. Tarikh sudah ditetapkan? Masalah besar ni! Dia menarik nafas dalam-dalam. Kepalanya digaru sama. Namun tidak langsung dia dapat membantu melainkan kata-katanya ni.
“Aku tak berapa fahamlah Sha cerita kau ni sebenarnya tapi kalau tarikh nikah kau dah ditetapkan, maknanya kau kena kahwin jugalah kan dengan lelaki pilihan mama kau tu?”
Meraung Sasha Amira bila disoalnya begitu. Kalut Intan Nazira dibuatnya.
“Kau janganlah nak melalak meroyan macam ni pula Sha. Aku bukannya nak sakitkan hati kau ke apa tapi cuba kau letak diri kau tu dekat tempat mama kau kejap. Aku rasa mama kau paksa kau kahwin pun sebab risau umur kau dah makin meningkat. Macam tak ada perasaan kat lelaki pula tu. Kalau dah tetap tarikh nikahnya, tak ada apa lagi yang kau boleh buat Sha. Takkan kau nak lari masa hari nikah? Malu besar keluarga kau nanti! Mesti mengamuk mama kau punya!”
Sasha Amira terdiam. Sedunya ditahan-tahan. Cakap Intan Nazira cuba diselami sikit demi sikit.
“Cuba kau tengok dalam drama, bila pengantin lari selalunya ada saja penggantinya untuk tutup malu. Kalau kau lari, siapa yang nak ganti Sha? Kau mana ada adik beradik bujang lagi. Mana ada mak ayah yang tak malu kalau perkahwinan anak dia tak jadi.”
“Itu masa hari nikah. Sekarang ni belum hari nikahnya lagi. Tak bolehkah kalau aku batalkan juga? Boleh kan?”
Kali ini Intan Nazira pula yang terdiam. Tidak pernah-pernah dia jadi penasihat perkahwinan orang. Penasihat khas Sasha Amira tentang soal cinta ni, memanglah dia orangnya. Tapi bab-bab kahwin ni, minta maaflah dik non. Mak tak habis belajar lagi.
“Err... yang tu... yang tu aku tak pasti pula. Aku ni bukannya tahu sangat pasal adat-adat ni. Kalau difikirkan logik, kasihan juga kat mama papa kau. Kalau dah dia orang setuju, lepas tu tiba-tiba batalkan, malulah mama papa kau pada pihak lelaki. Kalau dia calon pilihan mama kau, mestilah mama kau kenal dia. Confirm dia ada sangkut paut dengan kenalan mama kau juga kan? Betul tak aku cakap? Ehh... malu mama kau nanti Sha.”
Sasha Amira hempas nafas yang rasa berat. Ada benarnya kata-kata Intan Nazira. Memanglah mama juga yang akan dapat malu nanti. Tapi siapa suruh mama terima pinangan itu tanpa bertanya dulu pada dirinya? Aduh. Dia rasa tersepit. Antara kemahuan diri dan juga maruah mama.
“Aku rasalahkan Sha, kau kena bertenang dululah. Kalau aku cakap ni, kau jangan marah pula. Aku cakap ni sebagai kawan. Kawan yang sayangkan kau tau. Aku rasa kau bertenanglah dulu, fikir baik-baik keputusan mama kau dan keputusan kau sendiri. Jangan asyik pentingkan hati sendiri aja. Fikir juga hati dan perasaan mama kau tu. Kadang-kadang pengorbanan kita sekarang itulah yang menentukan kebahagiaan di masa depan. Manalah tahu dah memang jodoh kau tercatit dengan dia. Lagipun, lelaki pilihan mama kau tu pun mesti bukan orang sebarangan kan. Takkanlah mama kau nak carikan lelaki yang jahat untuk anak dia.”
Sasha Amira terus diam seribu bahasa. Setiap bait yang keluar dari mulut Intan Nazira selepas itu tidak lagi dicerna otaknya. Dia bingung bercampur sedih. Berkali hatinya memberontak tidak rela. Tapi tidak mahu juga malukan mama. Dua rasa itu sering kali bercanggah dan bagaikan berlawan sesama sendiri dalam benaknya sekarang. Serba salah dibuatnya.

Alamak! Sudah! Nak kena paksa terima pinangan orang pula ke? Terpaksa ke Sasha ikut juga kehendak mamanya kali ni, atau masih ada cara dia untuk mengelak macam dulu-dulu???

Saturday, June 15, 2013

Sayang Kata Benci: Bab 35


Fuh!
Sasha Amira terus lepak atas sofa sebaik sampai ke rumah. Kenyang perutnya setelah makan tengah hari bersama-sama Suhana Azreen dan anak-anaknya. Rasa terbayar semua tenaga yang digunakan selepas hampir setengah hari jalan-jalan sekitar bandar Alor Setar. Bandarnya tidaklah besar mana. Kebanyakan tarikan yang dibawa Suhana Azreen semuanya dekat antara satu sama lain. Pertama kali Sasha Amira pergi ke Menara Alor Setar. Lebih dua puluh tahun hidup di Kuala Lumpur, Menara Kuala Lumpur tu pun belum pernah sekali dia jejakkan kaki. Kiranya di Alor Setar inilah, menara pertama yang dia lawati.
Lepas jalan-jalan, Suhana Azreen bawa shopping di pasaraya paling besar dekat Alor Setar ni. Masa tulah rasa macam lagi seronok duduk dekat KL. Lebih banyak shopping mall boleh cuci mata. Paling best dekat Kedah ni makanan memang murah, lagi-lagi makanan laut. Kalau dekat KL, nasi putih dengan sotong, udang dan sayur mahu dekat sepuluh ringgit. Lebih kut! Dekat sini, ternganga bila harganya kurang separuh dari biasa. Patutlah Along bukan main sakan lagi pinggan penuh dengan lauk. Punyalah Sasha Amira takut-takut nak memilih lauknya. Ceh, lain kali bagitaulah awal-awal! Getusnya dalam diam.
Suara Haikal dan Ariel berebutkan mainan yang dibeli ibu mereka di pasaraya tadi buatkan Sasha Amira tidak jadi lelapkan mata. Dia mengangkat kepala sedikit, melihat keletah dua anak saudaranya di depan. Suara Suhana Azreen juga sudah bergema menegur dua anaknya itu.
“Kamu berdua gaduh lagi, nanti Mak Usu kamu marah baru tau!” Ugut Suhana Azreen sambil menunjuk ke arah Sasha Amira. Serentak budak berdua itu menoleh ke arah Sasha Amira yang sudah bulat mata. Aduhai. Namanya juga yang dipergunakan. Manalah budak-budak itu tak takut dengan Mak Usu dia ni.
Sebab takut, Haikal dan Ariel diam membatu. Masing-masing mula menikus. Suhana Azreen lantas membahagikan mainan yang direbutkan. Satu untuk Haikal, satu lagi untuk Ariel. Tak mahu berebut lagi, katanya.
“Abang Mazlan tak ada ke Along? Tak nampak pun dia dari semalam!” Sasha Amira akhirnya bersuara. Matanya menjeling ke dalam sekejap. Kemudian beralih pula ke luar. Kereta Abang Mazlan sudah tiada di luar.
“Hmm... dia dah pergi trip pagi tadi. Kamu tu yang bangun lambat, mana nak jumpanya.”
Mahunya tak bangun lambat. Semalaman tak dapat tidur. Baru tidur sekejap, bas sudah berhenti. Mati-mati ingat dah sampai. Maklumlah, pertama kali jalan sampai ke Kedah ni. Tak tahu jarak dari KL sampai ke sini. Tak senang hati bila bas asyik sekejap bergerak sekejap berhenti. Takut benar terlepas terminal. Kalau terlepas nanti jadi cerita lain pula.
“Along ni, kata sakit. Tak nampak macam orang sakit pun!” soalnya lagi, sama seperti semalam. Tapi tak berapa ingat sama ada Along sudah jawab atau belum soalannya itu. Ada ke dia tanya ya semalam? Dia sendiri tidak ingat.
“Ibu sakit?” Sampuk Haikal, anak sulung Suhana Azreen yang berusia tujuh tahun. Mukanya nampak terkejut. Kemudian, adiknya Ariel pula mengikut ulang soalan yang sama. Tersenyum Suhana Azreen menggelengkan kepala.
“Taklah, ibu tak sakit.” Lembut Suhana Azreen menjawab di depan anak-anaknya. Tangannya mengusap kedua pipi Haikal dan Ariel seorang demi seorang.
“Habis tu, Mak Usu kata ibu sakit?” Haikal bertanya lagi. Kurang mengerti.
Suhana Azreen tersenyum lagi. Wajah kedua anaknya ditenung dengan pandangan yang cukup lembut. “Kalau ibu sakit, Haikal dan Ariel tolong ibu tak?”
Laju Haikal mengangguk sementara adiknya mengikut saja rentak abangnya.
“Haikal dan Ariel tolong ibu apa?”
“Haikal dah besar la ibu. Haikal boleh tolong macam-macam. Kemas bilik, kemas mainan, pergi kedai, jaga adik. Macam-macam!” Bersungguh-sungguh Haikal menjawab. Anak sulungnya itu memang sudah diajar berdikari sejak kecil. Jaraknya pula dengan Ariel tidak jauh. Baru setahun, sudah diajar menjadi seorang abang. Haikal tidak berkira dan selalu mengalah. Berbanding Haikal, Ariel lebih nakal dan keras kepala. Suka sangat berebut itu dan ini dengan abangnya. Sekejap nak A, sekejap nak B. Bila sudah begitu perangainya, sudahnya dia mahukan semua. Itu yang bergaduh akhirnya dengan Haikal.
Sasha Amira yang cuma menjadi penonton antara tiga beranak tadi hempas keluhan. Bingung dia jadinya. Sekejap kata sakit, sekejap kata tak sakit. Sakitkah tidak Alongnya itu? Risau pula hati ni tapi cuba ditepis jauh-jauh rasa itu buat sementara. Susah orang tua nak berbual depan budak-budak. Nanti banyak pula celahannya.

********

Di Kuala Lumpur pula, Puan Damia sibuk mengemas rumah. Pagi tadi sudah dipesan pada suaminya supaya duduk saja di rumah esok hari kerana ada orang penting yang akan berkunjung ke rumah. Mula-mula Encik Rahim diamkan saja. Berbuih mulut Puan Damia bercakap, sepatah pun Encik Rahim tidak menjawab.
“Kenduri hari tu kan abang dah tengok budaknya macam mana. Tak puas hati lagi ke bang?”
“Saya bukan tak suka dengan budak tu. Saya cuma tak selesa dengan cara awak ni? Bolehkah macam ni?” Akhirnya Encik Rahim bersuara juga setelah didesak berkali-kali. Panas telinganya bila disumbat suara Puan Damia sejak celik mata sampailah hendak keluar pergi kerja. Tak habis-habis isterinya cerita hal yang sama.
“Tak boleh apanya bang. Kita ni mak bapak, bukannya dosa kalau kita nak kahwinkan anak.”
“Saya tak maksudkan dosa pahalanya, Mia. Yang saya maksudkan si Sasha tu. Mahu ke dia kahwin?”
“Alah, mahu tak mahu kena juga dia kahwin nanti bang.” Ada saja jawapan Puan Damia. Dulu nak kahwinkan Suhana Azreen pun suaminya soal hal yang sama. Takut benar nak kahwinkan anak. Bukannya lakinya itu perompakkah, pengedar dadahkah yang Puan Damia mahu calonkan. Semuanya lelaki baik-baik.
“Anak kita tu perempuan bang. Saya ni perempuan, saya tahulah saham perempuan ni makin tua makin jatuh. Susah nak mengandung, susah nak beranak. Badan pun dah kurang bergetah, kata orang. Kalau nak diikutkan kata dia, hati dia tu sampai ke rambut kita putih, sampai janggut abang tu putih pun dia tak kahwin-kahwin.” Sambung Puan Damia sambil menunjuk janggut di dagu suaminya.
“Abang nak ke tengok anak kita tu hidup seorang sampai ke tua? Abang ingat sikit, dia tu tanggungjawab abang. Selagi dia belum kahwin, dia tanggungjawab abang dan abang yang bertanggungjawab untuk kahwinkan dia.” Puan Damia menambah lagi. Hilang kata-kata Encik Rahim yang akhirnya melangkah ke kereta tanpa sepatah kata. Hanya kepalanya saja yang menggeleng kurang setuju. Tapi bila difikirkan soal tanggungjawab, memang Encik Rahim tidak nafikan. Selagi anaknya itu belum bernikah, tanggungjawab itu masih terletak dibahunya. Sudah diperjelaskan, memang dia mahu lihat anaknya berkahwin. Bapa mana yang tidak mahu anak mereka mendirikan rumahtangga. Cuma caranya, cara Puan Damia yang dia kurang setuju.
Dari pagi tadi, beria Puan Damia mengemas laman, ruang tamu hingga ke dapur. Lepas Zohor pula, Puan Damia bersihkan semua bilik air sampai berkilat termasuk bilik air di kamar anak daranya. Kerana letih, Puan Damia berehat dulu di ruang tamu. Dalam benaknya masih menyusun kerja yang masih belum selesai. Terlalu banyak hingga tidak tahu dari mana harus dimulakan. Dia merancang untuk membakar kek dan sedikit kuih-muih untuk dihidangkan pada tetamu esok.
“Emm... kalau buat tiga jenis kuih, melampau sangat tak bunyinya?” Puan Damia bertanya seorang diri sambil mengetuk-ngetuk dagu dengan jari.

*******

Di rumah Hajah Kisitina, sibuk Hajah Kistina bersiap untuk keluar mencari cincin merisik dan meminang bersama anak lelakinya. Dari atas tangga sudah dapat dilihat Saif Azrai menanti di ruang tamu. Seketika Saif Azrai berdiri dan menghulurkan sebelah tangannya kepada Hajah Kistina lagak menyambut tuan puteri turun dari tangga. Tertawa Hajah Kistina dibuatnya lantas lembut Hajah Kistina menepis tangan anaknya itu. Saif Azrai merangkul pula lengan Hajah Kistina. Tidak sempatlah Hajah Kistina nak bersuara. Mahu ditarik tangannya pun, rangkulan Saif Azrai makin kuat.
“Biarlah Azrai nak berkepit dengan mama dulu. Nanti Azrai dah berkepit dengan bini, mama tak merasa dah nak berkepit dengan Azrai.”
Bertuah punya anak. Sabar sajalah Hajah Kistina mendengar cakapnya. Mula miang nampaknya anaknya itu akhir-akhir ini. Atau baru sekarang Hajah Kistina nampak belangnya?
Seperti biasa, Saif Azrai memandu ke KLCC kerana situlah tempat kegemarannya mahu mencari barang. Cuci mata pun di situ, cari teman baru pun kebanyakannya di situlah tempatnya mereka pertama kali bertemu.
Masuk-masuk saja ke kedai emas, mereka sudah disambut dengan begitu tertib. Dari hujung sini ke hujung sana Saif Azrai tinjau semua jenis bentuk cincin bersama Hajah Kistina. Sudahnya Saif Azrai terduduk. Dia sudah rambang mata melihat pelbagai bentuk cincin di Oeding-Erdel Fine Jewellery. Hajah Kistina di sebelah dipandang beberapa kali. Hajah Kistina juga sibuk memilih dari atas kotak kaca di depannya. Sedang mereka mengintai-intai lagi emas di dalam kotak kaca itu, seorang gadis datang menyapa.
Hi sir, what can I do for you?”
Saif Azrai mengangkat muka dan merenung muka gadis yang berdiri di depannya itu sejenak. Gadis itu sudah terang-terang Melayu kerana berhijab. Atau dia yang tidak rupa anak Melayu?
Speaking pula dia sesama Melayu... Ah, mungkin sudah tertib di kedai itu begitu. Getusnya sendiri.
“Emm... saya nak beli cincin untuk perkahwinan.” Terus saja Saif Azrai menjawab dalam bahasa ibunda. Akal nakalnya hendak menguji. Takkanlah gadis Melayu itu pelat kut hendak cakap bahasa ibunda sendiri.
“Encik cari cincin untuk pengantin perempuan atau cincin berpasangan?” tanya gadis itu lagi sambil menayang senyum menampakkan barisan giginya yang putih bersinar. Fasih rupanya dia bercakap walau ada sedikit pelat Inggeris di hujungnya.
“Cincin pengantin perempuan, untuk merisik dan meminang.” Wajah Hajah Kistina dipandang, seakan meminta kepastian. Melihat Hajah Kistina mengangguk, dia mengulang ayatnya tadi dengan lebih yakin. “Yeah, one for merisik, one for meminang.” Erk! Tergeliat pula lidahnya cakap bahasa rojak. Tadi mengata orang, sekarang diri sendiri yang cakap campur aduk. Buat malu betul! Sempat dia kutuk diri sendiri.
Pekerja wanita tadi mula menunjukkan beberapa bentuk cincin yang dicadangkan. Mulutnya laju menjelaskan itu dan ini. Saif Azrai yang letih mendengar tidak berapa pasang telinga. Dia menyerahkan saja pada Hajah Kistina untuk membuat keputusan. Mamanya itu tentulah lebih memahami hati dan citarasa wanita.  
“Yang ini okey Azrai?” Tiba-tiba Hajah Kistina menyoal sambil menunjukkan dua bentuk cincin di tangannya. Kedua-duanya nampak ringkas tapi menarik. Tidak sempat dia menjawab, Hajah Kistina meletakkan kotak cincin itu semula. “Boleh saya tengok koleksi gelang tangan?” soal Hajah Kistina pula kepada pekerja wanita tadi.
Pekerja wanita itu mengangguk dan beredar seketika. Hajah Kistina masih belum membuat keputusan setelah hampir sejam dia membelek bermacam bentuk cincin yang diperkenalkan. Semua yang ditunjuk pekerja itu ditolak akhirnya. Wanita itu juga mesti sudah letih melayan. Cerewet. Itu tidak kena, ini tidak kena. Hajah Kistina tidak mahu yang biasa. Kahwin cuma sekali. Anaknya juga seorang saja. Jadi dia mahu sesuatu yang istimewa dan berlainan untuk seorang wanita teristimewa yang bakal menjadi suri dalam hati anak tunggalnya.
“Kenapa, ma?” Hairan Saif Azrai melihat tindakan Hajah Kistina tadi. Disuruhnya pilih tapi belum sempat buat pilihan, Hajah Kistina sudah minta yang lain.
“Mama nak tengok gelang tangan untuk majlis nikah. Sekarang kan trend orang bagi gelang.”
“Cincin tadi tu?”
“Alah, cincin kita cari kat kedai lainlah. Cari yang emas. Emas putih ni nanti lama-lama tak ada harga.”
Saif Azrai cuma mengangguk. Dia langsung tidak tahu menahu tentang emas mahupun aksesori wanita. Kalau dibeli untuk teman wanita pun, asalkan mahal mestilah berharga baginya.
Tekun Hajah Kistina melihat-lihat koleksi gelang tangan yang ditunjukkan perkerja yang datang semula kepadanya. Puas memilih, Hajah Kistina terpikat dengan seutas gelang tangan bersalut emas putih 18 karat dengan bintik-bintik berlian di sepanjangnya. Ringkas tapi menarik. Dia sudah dapat membayangkan bagaimana rupa Sasha Amira mengenakan gelang itu nanti. Pasti nampak padan bila dipakai Sasha Amira.
“Yang ini macam mana Azrai?” Sekali lagi Hajah Kistina minta pendapat anak lelakinya. Saif Azrai bangun sedikit, melihat betul-betul gelang itu.
“Okey jugalah, ma. Cantik.”
Brit! Brit!
“Mama pilihlah ya. Azrai ikut aja. Azrai nak jawab call kejap.” Dia berjalan ke luar kedai lalu panggilan yang masih berbunyi dijawab terus.
“Helo, sayang.”
Tersentap jantung Saif Azrai mendengar suara manja Qayreena hinggap ke telinga. Hajah Kistina di dalam kedai dijengah sekejap. Lambat-lambat dia menjawab sapaan Qayreena.
“Kenapa you telefon I ni?” soalnya pula tidak keruan. Matanya mula liar memandang keliling pula. Takut-takut terserempak pula dengan Qayreena yang memang suka bersiar-siar di kompleks beli-belah. Tambah-tambah di depan kedai emas, bersama mamanya. Otaknya mula merencana alasan sebagai persediaan.
“Hai, tak pernah-pernah you tanya I macam tu. Kenapa, sekarang I dah tak boleh call you lagi ke? You dah ada perempuan lain ya?”
Ah, sudah! Dia dah buat dah soalan tu...
Sorry la sayang. I sibuk sekarang ni. Lain kali bila I free, I will call you back. Okey. Bye.” Cepat-cepat Saif Azrai beri alasan. Huh! Hari tu orang ajak dia kahwin, tak mahu. Nak tunggu kau ready, melepas syarikat papa dekat Izi nanti! Getusnya geram.
Dia melihat keliling lagi sekali. Harap-harap memang dia tidak akan bertembung dengan Qayreena di sini. Macam-macam doa dibacanya dalam hati. Tanpa buang masa lagi, dia berjalan semula ke dalam kedai dan mendapatkan Hajah Kistina.

*******

“Jom. Along bawa pergi tengok matahari terbenam kat bendang, nak?”
Melopong Sasha Amira yang tengah leka terbaring sambil menonton Cat Dog bersama Haikal dan Ariel. Dia mendongak melihat Along yang duduk di sofa. Haikal dan Ariel pula serentak menjerit suka hendak berjalan.
“Penatlah, Long. Esok-esok ajalah...” Jawab Sasha Amira malas sekaligus mematikan sorakan anak-anak buahnya. Masing-masing mula pula tayang muncung hampa. Sedangkan mata Mak Usu mereka sudah kembali ke kaca televisyen walaupun tidak minat langsung hendak tengok kartun. Kalau sudah duduk dengan budak berdua ni, memang dua puluh empat jamlah mereka nak tengok rancangan mereka. Manalah Sasha Amira tak berebut sampai kadang-kadang rela dia bertekak dengan anak-anak buah. Janji dia dapat tengok rancangan tv yang lain, yang lebih matang untuk golongan dewasa macam dia ni kononnya.
“Kenapa Along tengok adik nampak monyok aja. Tak seronok ke datang rumah Along?”
Sasha Amira tolak lagi bola mata ke atas. Dah mulalalh tu Along nak lontar soalan emosional dia tu.
“Bukan tak seronoklah, Long...” jawabnya malas. Lambat-lambat dia bangun dari baring dan menolak tubuh untuk bersandar ke sofa. Muka Suhana Azreen ditenung dari situ. “Sasha baru aja sampai pagi tadi. Penat lagi badan ni, mata ni, ngantuk tak habis lagi Long. Masa kan masih panjang lagi. Tak payahlah semua benda nak buat hari ni. Lagipun Along kata tak sihat, sebab tu suruh Sasha datang sini. Hari tu suara punyalah terbatuk-batuk. Ni kenapa pula nampak macam sihat semacam aja. Hairan sungguh Sasha tengok.”
“Alah, kamu tak payah risaukan Along. Tengok muka adik Along ni aja, terus hilang sakit Along. Adik Along ni kan cantik. Muka dia macam penawar. Sejuk aja hati bila tengok. Sebab tu ramai yang senang berkenan. Cuma dia aja yang jual mahal.” Pipi Sasha Amira dicubit-cubit geram. Cepat saja Sasha Amira tepis tangan Suhana Azreen laju-laju. Kemudian mukanya berpaling ke depan televisyen semula.
Pandailah Along hendak memuji. Muka macam penawarlah. Sejuk hati bila memandanglah. Lain macam aja bunyinya. Apasal, tiba-tiba nak cerita pasal jodoh pula ke?
“Eloklah kalau Along dah baik. Ingatkan kena cuti panjang sikit nak tolong jaga Along. Kalau Along dah baik, esok lusa bolehlah Sasha balik KL. Cuti lama-lama pun, banyak kelas yang Sasha tercicir nanti.”
“Alang-alang esok lusa kamu nak balik, lebih baik kamu balik KL Ahad nanti aja. Esok lusa tu pun dah nak hujung minggu. Sabtu Ahad bukannya kamu ada kelas.” Suhana Azreen membidas. Dia memang sudah bersedia untuk melengah-lengahkan adiknya itu supaya duduk lama di sini. Itu antara pesan Puan Damia. Biarlah hal di Kuala Lumpur Puan Damia yang uruskan.
“Lagipun Abang Mazlan kamu balik lusa. Dia nak bawa kamu jalan-jalan ke Langkawi. Bukan selalu kamu datang sini. Dia tu pun ada hajat juga nak bawa adik ipar dia berjalan. Selalunya akak aja yang bawa adik dia si Nina tu jalan ke sana ke sini. Duduk lama sikit ya, dik.”
“Tengoklah macam mana, Long.” Jawab Sasha Amira malas. Dalam hati sebenarnya sudah melompat-lompat kegirangan. Jadi, benarlah apa yang dia harapkan? Memang nak berjalan ke Langkawi? Yeah, seronoknya.
Suhana Azreen tidak putus akal. Dia turun duduk sama di atas lantai. Sasha Amira nampak kakak sulungnya itu mendekati Haikal dan Ariel tapi dibiarkan saja. Matanya melekat ke kaca tv tapi otak sudah mengelamun entah tentang apa dan ke mana, dia sendiri kurang pasti. Sedar-sedar saja tubuhnya terasa digoncang bersama rengekan yang bertali arus singgah ke telinga.
“Tolonglah Mak Usu. Duduklah lama dekat sini. Mak Usu tak pernah datang rumah kita orang. Baliklah kampung lambat sikit. Boleh jalan-jalan dengan Haikal, dengan adik.” Terpinga-pinga Sasha Amira mendengar suara Haikal yang bagai merayu-rayu di sebelah. Kemudian suara nyaring Ariel pula menyahut.
“Ak’ah, nanti boleh makan sama-sama. Makanan dekat sini sedap. Macam-macam ada.”
Huh! Kalau setakat makanan macam-macam, dekat KL lagi banyak pilihan. Cakap saja nak makanan Perancis, Korea, Jepun, Arab? Lagi macam-macam ada... Balas Sasha Amira hanya dalam hati.
“Bolehlah Mak Usu... bolehlah. Duduk lama lagi ya... bolehlah...” Bertalu-talu Haikal dan Ariel merengek sambil digoncangnya tubuh Sasha Amira tidak henti-henti. Lemas Sasha Amira dibuatnya. Bila dijeling muka Suhana Azreen di belakang budak-budak itu pula, Alongnya itu tersenyum-senyum seakan menahan tawa.
“Ish!” Keluh Sasha Amira keras seraya menarik tangannya dari digoncang dua pasangan adik beradik itu. Muka yang hampir ketat cuba dikendurkan semula bila melihat wajah dua beradik itu berubah. “Yalah. Yalah. Mak Usu balik Ahad nanti. Puas hati?”
Yeahhh!
Gamat rumah itu dengan suara Haikal dan Ariel bersorak. Kemudian melompat-lompat gembira. Walhal sebelum ini, mereka bukannya kesah kalau Mak Usu dia ada ke tidak. Kalau balik ke kampung pun, tak pernah nak kesahkan Mak Usu dia ni. Entah apalah yang Suhana Azreen bisikkan pada Haikal dan Ariel tadi. Entah-entah diugutnya budak berdua itu yang tidak akan dibawa berjalan kalau Mak Usu dia tak ada kut. Sasha Amira mengagak. Matanya cuma memandang Suhana Azreen yang tersenyum puas. Baru dia hendak bercakap, Suhana Azreen lekas bangun.
“Along nak masak kejap! Haikal, Ariel, pergi mandi. Dah nak malam ni.” Itu alasan Suhana Azreen berikan. Sementara Haikal dan Ariel, kedua-dua mereka berlari masuk ke dalam bilik dan keluar semula dengan tuala masing-masing. Berebut kedua-duanya hendak masuk bilik air. Riuh lagi rumah itu dengan suara dua beradik itu bertekak.
Hai... spontan Sasha Amira hempas keluhan. Kalau di rumah, suara Puan Damia yang biasa dia dengar. Dekat sini, suara budak-budak itu pula yang membingitkan telinga. Lagi haru rasanya.