Sejak naik bas dari
Terminal Bas Shahab Perdana tadi, Sasha Amira sudah menelefon Puan Damia
memberitahu yang dia telah menaiki bas untuk pulang ke Kuala Lumpur. Lebih
kurang malam nanti baru dia akan sampai ke Puduraya. Sempat dia sampaikan salam
Along dan Abang Mazlan pada mama melalui telefon terlebih dulu. Takut-takut
nanti terlupa lepas perjalanan yang sangat panjang.
Lima hari di rumah
Along, banyak tempat yang Along bawa berjalan. Memang seronok pengalaman di
Kedah. Padang Besar di Perlis juga Along bawa pergi lawati. Katanya situ antara
tumpuan pelancong. Memang seronok membeli-belah di sana. Banyak pilihan dan
murah-murah belaka. Memanglah ramai pelancong.
Sepatutnya dia
cadang nak balik semalam tapi sebab Abang Mazlan ajak bermalam di Langkawi,
baru semalam mereka balik ke rumah. Abang Mazlan siap borong coklat di zon
bebas cukai untuk Sasha Amira bawa balik ke KL. Bertambah begnya nak bawa
balik. Haikal dan Ariel, tentulah cemburu dengan Mak Usu dia yang dapat lebih
banyak coklat berbanding mereka. Pandai-pandai Abang Mazlanlah, nak ajak
anak-anaknya pergi borong coklat lagikah lepas ni?
Hari ini, Sasha
Amira naik bas lepas Zohor. Alhamdulillah, orang perempuan juga yang duduk di
sebelahnya. Senang hati dia nak tidur. Penat berjalan beberapa hari ini
sekarang baru terasa. Mulalah sakit sana sakit sini. Sengal sana sengal sini.
Kalaulah dapat tidur atas tilam empukkah, tilam air ke kan lagi best.
Perjalanan enam jam
dari Alor Setar ke Kuala Lumpur bagai tak terasa bila tidurnya terus lena.
Berbeza dengan rasa semasa perjalanan pergi sebelum ini. Sampai dekat Puduraya,
dia telefon Puan Damia semula. Ingatkan mama dan papa akan datang jemput di
stesen bas. Rupa-rupanya papa masih belum pulang dari kerja. Terpaksalah Sasha
Amira menaiki LRT saja dan menaiki teksi pula dari stesen Bandar Tun Razak.
Hai, dahlah susah nak dapat teksi dekat sini waktu malam macam ni. Berpeluh
kita menunggu. Rungut Sasha Amira.
*******
“Assalamualaikum.”
Lemah suara Sasha Amira memberi salam. Dua beg yang dibawanya tidak mampu lagi
dibawa lantas diheret saja mengikut langkah kakinya menuju ke depan pintu.
Selangkah lagi kakinya melangkah, pintu terbuka dari dalam. Wajah Puan Damia
yang ceria terjengul keluar menyambut Sasha Amira.
“Dah balik anak
mama.” Ceria suara Puan Damia kedengaran di telinga. Tubuh Sasha Amira
dirangkul puas. “Macam mana dengan keadaan Along? Dah sihat? Cucu-cucu mak apa
khabar? Sihat?” soal Puan Damia bertalu-talu sebaik meleraikan pelukannya.
“Sihat. Semuanya
sihat. Kenapa mama tak telefon aja Along tanya khabar?” soal Sasha Amira pula
selamba lalu dia melangkah masuk ke dalam rumah. Suara Puan Damia sudah
menyahut dari belakang, membidas semula soalannya tadi.
“Aik! Mama pula
yang kena telefon tanya khabar anak? Patutnya anak-anaklah yang kena telefon
mama ni, tanya khabar mama, khabar papa.”
Sasha Amira diamkan
saja. Dia tidak berniat langsung mahu membalas. Baru dia teringat. Terhenti
lagi kakinya di depan pintu lalu berpaling menghadap Puan Damia yang sedang
menutup daun pintu. “Along dengan Abang Mazlan kirim salam kat mama dan papa.”
“Hmm...
waalaikumusalam. Kan petang tadi kamu dah beritahu dalam telefon.”
Oh, yakah? Tak
ingat pula. Sasha Amira hayun kaki semula terus ke tangga.
“Kamu lapar tak? Kalau
lapar, mama panaskan lauk.” Kedengaran suara Puan Damia memekik dari bawah.
Lantas kaki Sasha Amira berhenti lagi dari melangkah.
“Tak apalah, ma.
Nanti kalau Sasha lapar, Sasha cari. Penat ni, nak rehat dulu ya.” Jawabnya
lalu meneruskan semula perjalanan ke bilik. Beg yang berat merengkek dibawa
naik dan terus dihempas sebelah katil.
Fuh! Letih!
Keluhnya kuat. Katil dulu yang dilihat lalu dihempas tubuh ke katil. Penatnya.
Tak pernah dia berjalan sejauh ini. Selalunya penat begini cuma rasa masa hari raya.
Bila mengikut mama dan papa menziarah sanak saudara yang jauh. Tak pernah pula
dia pergi seorang. Tapi penat-penat pun, rasa berbaloi juga. Dapat jalan-jalan
percuma, dapat coklat percuma, hehe.
*******
“Banyaknya...”
Menganga sekejap Puan Damia melihat Sasha Amira mengeluarkan bungkusan coklat
sampai satu beg besar dan diletakkan atas meja makan.
“Entah mama. Abang
Mazlan yang belikan. Beria-ia dia suruh Sasha bawa balik semua. Nak suruh kita
buka kedai runcit jual coklat agaknya!” Tempelak Sasha Amira bersahaja lalu
berjalan ke dapur. Kabinet dapur ditinjau-tinjau mencari balang dan bekas untuk
mengisi coklat-coklat yang dibawa pulang.
“Ha, elok sangatlah
tu. Boleh dibuat hantaran nanti.”
Ha? Kaku tangan
Sasha Amira yang menyelongkar kabinet tadi serta-merta. Hantaran? Betulkah
telinganya mendengar kata-kata itu tadi?
“Hantaran apa pula
mama?” Pekiknya dari dapur pura-pura bertanya, lebih kepada mahukan kepastian.
Harap-harap memang telinganya yang tersilap dengar tadi. Senyap. Tidak sedap
hati, Sasha Amira berjalan mendapatkan Puan Damia. “Hantaran apa mama?”
ulangnya lagi. Dahinya jelas berkerut memandang Puan Damia yang nampak tenang
saja membelek coklat-coklat atas meja. Sebungkus dibuka lalu sebiji dikoyakkan
dari bungkusannya dan disuap ke mulut. Mencair coklat itu dalam mulutnya.
“Aduh. Mama ni tak
mahu jawab pula.” Keluh Sasha Amira lalu kembali ke dapur. Malas dia mahu fikir
banyak. Mungkin benarlah telinganya saja yang tersilap dengar. Agaknya mama
cakap nak hantar dekat orang sebelah sikit agaknya. Duganya cuba sedapkan hati.
Kabinet sekali lagi
diselongkar. Dapatlah dua tiga balang untuk diisi separuh daripada
coklat-coklat tadi. Separuh lagi terpaksa disimpan dalam bungkusannya saja.
Abang Mazlan ni pun satu. Nasib baik dia tak ditangkap sebab disyaki seludup
coklat. Ops, bolehkah kena tangkap macam tu? Hehe... fikirannya mula melalut.
Sebungkus demi
sebungkus dibuka dan dipenuhkan dalam balang. Ada juga yang disuap ke dalam
mulut. Hmm... yummy! Nikmat terasa dapat makan coklat. Lagi-lagi percuma.
Berlipat ganda nikmatnya. Puan Damia juga tumpang sekaki. Kalau boleh setiap
jenis perisa dan rupa mahu dicubanya malam itu juga. Lepas itu, Puan Damia
susun pula coklat-coklat itu jadi macam-macam rupa. Sekejap bentuk rumah, sekejap bentuk bunga.
“Mama nak buat apa
tu? Mama nak buat bisnes gubahan hantaran ke?” Tegur Sasha Amira yang rasa
hairan. Tangannya juga sibuk membentuk gubahan yang sama. Manalah tahu, ideanya
akan lebih menarik daripada Puan Damia.
“Tak kuasa mama nak
buat bisnes. Ramai lagi anak muda yang lagi kreatif dari mama ni.”
“Eh, janganlah
rendah diri sangat mama. Bakat tu tak baik dipendam lama. Kata orang, lama-lama
nanti berkarat.” Balas Sasha Amira lagi beria-ia. Bunga yang dibentuk jarinya
dari coklat langsung tak ada rupa bunga. Tidak sama seperti yang dibuat Puan
Damia tadi. Hai, memang tiada seni langsung tangannya.
“Tak kesahlah
berkarat ke, karam ke. Tak kuasa mama nak sibuk juga macam papa kamu tu. Cari
duit tak habis-habis sampai ke tua. Dah tua-tua macam ni patutnya main dengan
cucu aja. Mama ni tengah reka nak buat hantaran kamulah.”
“Ha?!” Serta-merta
Sasha Amira terkejut beruk lalu melopong. Coklat yang dipegangnya tadi juga
terlepas dari tangan. Plup! Plup! Jatuh semuanya menghentam meja. “Hantaran
buat apa mama?”
“Hantaran kamu
kahwinlah? Buat apa lagi. Takkan mama pula yang nak kahwin.”
“Lambat lagilah
mama. Sasha belum nak-”
Belum sempat Sasha
Amira sudahkan cakap, Puan Damia lekas memintas. Terdiam dia serta-merta.
“Haji Rauf dan
Hajah Kistina ada hantar rombongan meminang kamu tempoh hari untuk anak lelaki
mereka yang mama kenalkan dulu. Mama dan papa pun dah setuju terima pinangan
mereka tu. Kamu dan Azrai pun dah berapa kali jumpa kan. Rasanya kamu dah kenal
hati budi masing-masing. Kami pun dah tetapkan tarikh pernikahan kamu berdua. Akhir
Disember nanti.”
Melopong lagi Sasha
Amira buat kali kedua setelah mendengar pemberitahuan panjang lebar Puan Damia.
Kalau nyamuk lalu ni mesti tertelan punya. Banyak rasanya yang dia kurang
setuju. Bukan. Tidak langsung dia setuju. Tapi entah yang mana hendak
dibidasnya terlebih dulu. Pinang, kenapa mesti mama dan papa terima pinangan
orang tanpa bertanya dulu kepadanya sedangkan yang akan berkahwin nanti adalah
dia? Macam mana pula dia dan Azrai, siapa nama lelaki itu? Sasha Amira cuba
ingatkan namanya. Ha, Saif Azrai. Macam mana dia dan Saif Azrai boleh kenal
hati budi masing-masing hanya dalam dua pertemuan? Oh, itu sangat-sangat
mustahil sedangkan setiap pertemuan berakhir dengan rasa geram yang berbuku
dalam hati Sasha Amira. Akhir sekali, tarikh pernikahannya yang telah
ditetapkan tak sampai dua bulan lagi? Oh, tidak... tidak. Sekali lagi ia diluar
pengetahuannya dan tanpa meminta persetujuan tuan badan yang bakal bernikah.
Ada juga pengantin perempuan yang cabut lari masa hari pernikahan ni nanti!
“Kamu jangan nak
mengada tolak pula pinangan ni tiba-tiba. Jangan nak malukan mama dan papa.”
Puan Damia bangun dari duduk dan berjalan ke tangga. Sedaya upaya Sasha Amira
kumpul kudrat untuk melontarkan juga segala apa yang bersarang dalam benaknya
sekarang.
“Mana aci mama dan
papa buat keputusan tanpa tanya pada Sasha dulu. Yang nak kahwin kan Sasha.
Biarlah Sasha sendiri yang buat keputusan. Tak adil la macam ni, ma!” Suara
Sasha Amira semakin lama semakin kuat disebabkan bayang Puan Damia yang kian
hilang di tingkat atas. Kemudian dihempas keluhan yang cukup berat.
Coklat-coklat yang berlambak atas meja dipandangnya sepi.
Patutlah Abang
Mazlan beria borong coklat banyak-banyak. Entah-entah Abang Mazlan pun tahu
pasal hal ini. Hendak sponsor sikit
jugalah tu. Ha, entah-entah Along pun sama bersubahat. Entah-entah sakit Along
tu cuma helah aja nak suruh aku pergi Kedah. Lepas tu, beria-ia nak bawa aku
jalan sana sini. Rupa-rupanya saja nak bagi masa dekat mama dan rombongan meminang
tu ya.
Tang!
Terkejut Sasha
Amira dari hipotesisnya sebaik Puan Damia menghentak sesuatu di depannya. Bulat
matanya memandang dua kotak kecil yang muncul dari balik tangan Puan Damia.
Kemudian muka mamanya ditenung kurang mengerti.
“Tu satu cincin merisik,
satu lagi cincin meminang. Tengok, merisik pun dia bagi cincin. Mana ada orang
nak bagi. Kamu kena pakai lepas ni. Tunjuk sekali pada teman lelaki kamu tu
supaya dia tahu yang kamu tu bakal jadi milik orang lain.” Ujar Puan Damia,
sedikit seakan nada sindiran. Bijak macam mana sekalipun, Sasha Amira tetap
anak. Bukannya dia tidak tahu yang Sasha Amira mereka-reka cerita tentang teman
lelakinya. Ah, kalau setiap kali ditanya asyik mengelak saja, mestilah anaknya
pun tak serius terhadap hubungan itu.
“Majlis tunang,
kami dah pakat tak payah tunang-tunang. Buang masa aja. Nikah aja terus.” Puan
Damia menambah dan terus menghilang ke ruang tamu pula. Punat televisyen
dipetik lalu Puan Damia duduk di sofa. Tumpuannya dihalakan ke depan kaca
televisyen, menonton slot Annyeonghaseyo di saluran 391.
Sementara Sasha
Amira yang ditinggalkan di meja makan tidak berminat langsung mahu melihat
cincin yang diberi. Apa lagi mahu menyarung ke jari. Jika dipakainya bermakna
dia menerima lelaki itu sebagai bakal suami. Bermakna dia menerima keputusan
mama dan papa bulat-bulat tanpa hati ini benar-benar rela. Sebaliknya dia
berlari ke arah Puan Damia untuk menegakkan hak diri.
“Mana boleh macam
ni, mama. Tak adil untuk Sasha mama buat macam ni. Kahwin ni bukan sehari dua,
ma. Sasha ada hak nak pilih dengan siapa Sasha nak hidup bersama.” Betahnya
berkeras hendak menuntut hak yang sepatutnya miliknya.
Puan Damia melihat
sahaja anaknya yang terpacak depan mata. Baru saja dia leka menonton
televisyen, sudah ada yang menghalang. Air muka Sasha Amira yang jelas tidak
puas hati dibalas dengan renungan penuh ketegasan. Kedua tangan Puan Damia
turut memeluk tubuh agar Sasha Amira rasa lebih terkesan dengan keputusannya
itu.
“Tak adil pada
kamu, adil pada mama. Yang selama ni mama carikan calon suami sana sini, yang
baik-baik, adilkah kamu tolak semuanya mentah-mentah. Tak pernah cuba nak
kenal, terus aja kamu reject. Adilkah
untuk mereka? Sekarang, mama dan papa dah sama-sama setuju. Tarikh nikah pun
dah ditetapkan.”
“Tapi ma, Sasha kan
belum habis belajar lagi. Lagipun Sasha masih ada masa sebelum hari jadi Sasha.
Tahun depan kan...”
“Cukup! Mama dah
tak larat nak dengar alasan kamu lagi. Apa lagi dalih kamu nak bagi lepas ni?
Dah! Tarikh nikah kamu berdua dah ditetapkan. Dah kahwin nanti bukannya tak
boleh teruskan pelajaran tu. Kamu jangan nak buat mama dan papa malu pada Haji
Rauf dan Hajah Kistina. Kamu tahu kan yang mereka tu masing-masing kawan mama
dan papa. Suka tak suka, rela tak rela, kamu kena juga kahwin dengan Azrai.
Lusa, kamu ikut mama pergi butik pengantin. Nak pilih baju pengantin kamu
nanti.” Tegas keputusan yang dibuat Puan Damia.
Sasha Amira hilang
kata-kata. Berdebus-debus rasanya nafas yang keluar dari rongga hidungnya
sekarang kerana menahan rasa yang cukup tidak puas hati. Dek kerana terlampau
geram, dia terhentak-hentak meninggalkan Puan Damia dan berlari naik ke bilik.
“Kamu jangan
berangan pun nak cabut lari masa hari nikah!” Tempik Puan Damia dari bawah yang
membuatkan langkah Sasha Amira terhenti seketika. Kemudian dia menjeling,
merengus geram dan terus terhentak-hentak ke bilik.
Fuh!
Puan Damia menarik
nafas panjang selepas puas dia melihat anaknya dari sini. Puas rasanya bila
kelibat anaknya itu hilang.
“Fuh. Hebat juga
aku berlakon!” Puji Puan Damia pada diri sambil mengibas batang leher dengan
jari. Panas terasa menyengat tiba-tiba. Hatinya gemuruh sebenarnya mahu
meneruskan aksi amarahnya tadi tapi akhirnya dia berjaya juga mengawal
perasaan. Biar anak bongsunya itu tahu yang mamanya ini sudah cukup makan hati
melihat dia terus-terusan menolak calon suami yang dia perkenalkan. Kalau terus
begini, terus sunyilah hidup Puan Damia tanpa teman. Tiada cucu mahu dibuat
main.
*******
Pintu dihempasnya
kuat tanda protes lantas dia berlari menjunamkan tubuh ke atas katil. Tangannya
digenggam dan menumbuk-numbuk tilam berkali-kali. Tidak puas hati dengan
keputusan yang dibuat Puan Damia.
Aghhhh! Tension!
Hilang keseronokan
bercuti di Kedah. Balik rumah saja sudah mendapat berita yang begitu
memeranjatkan. Dia bingkas bangun sambil menghempas keluhan yang sangat kuat.
Bantal dicapai lantas dibaling sekuat hati serentak menjerit lagi.
“Mama tak adil! Tak
adil!” Bentaknya terus tidak puas hati. Licin bantal di katil dicampak merata
bilik. Tidak puas, dia meraung sambil menarik-narik rambut sendiri. Kemudian
menekupkan muka ke tilam.
“Mama tak adil...”
Makin perlahan suaranya diselangi tangisan. Terngiang-ngiang suara Puan Damia
memberitahu pasal hal pernikahan. Dua bulan. Hanya kurang dua bulan lagi tarikh
yang ditetapkan. Sepatutnya tempoh itulah yang mama berikan padanya untuk
mencari pasangan hidup. Tapi belum berakhir lagi masa yang diberikan, mama
sendiri yang tetapkan masa depannya. Dia sedih. Dia kecewa. Apatah lagi bila
keputusan itu dibuat tanpa kerelaan mahupun pengetahuannya terlebih dulu. Jadi,
apa makna haknya terhadap masa depan sendiri? Tidakkah dia berhak untuk
menentukan masa depan sendiri? Mampukah dia hidup dengan seorang bergelar
lelaki? Otaknya kini begitu sarat dengan persoalan hingga tidak terjawab
rasanya.
Along. Tentu Along
juga berpakat dengan mama dalam hal ini. Marahnya pada Along. Tiba-tiba dia
teringat pada Along, dia belum pun maklumkan pada Along yang dia sudah tiba di
rumah. Ah, patutnya dia marah saja pada kakak sulungnya itu kerana berpakat
dengan mama. Sasha Amira meraba kocek seluar. Telefonnya dikeluarkan lalu
mencari nombor Suhana Azreen.
Tapi mengenangkan
cakap Along sebelum ini ketika menelefonnya dulu, buat dia termenung lagi.
“Along dulu pun
kahwin ikut pilihan mama. Bahagia juga. Kalau adik dah ada pilihan sendiri,
beritahu mama. Kenalkan pada mama, jangan sorok-sorok. Mama tu tak akan nak
berleter kalau adik ikut cakap dia. Sekali sekala dengarlah cakap orang.
Kesianlah dekat along ni juga.”
Tidak sampai hati
pula hendak marahkan Along. Mesti Along pun teruk dimarahi mama agaknya.
Faham-faham sajalah perangai mama. Kalau itu kehendaknya, semuanya kena ikut
kata. Kalau tidak, beranginlah orang tua itu. Sasah Amira menangis lagi. Sedih.
Dengan siapa agaknya dia mahu menumpang bicara, dengan siapa agaknya dia mahu
meluahkan rasa?
*******
Sasha Amira sudah
tersedu-sedan dengan suara yang serak seakan susah payah dia mahu bersuara.
Sepatah kata yang sampai ke telinga Intan Nazira, berjelar rasanya suara tangis
kawannya itu. Jadinya dekat sepuluh minit dia cuba mendengar cakap Sasha Amira
tapi sepatah haram pun dia tidak faham. Hanya yang dapat didengar cuma suara
tangis Sasha Amira dan raungan kawannya itu sekali sekala.
“Eh... eh... eh...
cubalah kau cerita dekat aku betul-betul. Cakap tu biar jelas. Aku tak fahamlah
Sasha.” Akhirnya Intan Nazira bersuara meminta penjelasan. Pening kepalanya
mentafsir cakap Sasha Amira. Baru saja ingat hendak tidur awal malam ini.
Tiba-tiba saja tidurnya dikejutkan oleh panggilan dari Sasha Amira. Tapi dari
tadi, asyik menangis, cakap sepatah, menangis lagi.
“Aku kena paksa
kahwin...” Merengek suara Sasha Amira diselangi tangisannya lagi. “Mama paksa
aku kahwin!” Pekiknya mula meninggi suara. Geram. Makin geram bila difikirkan
hal itu terus. Hatinya sungguh tidak rela. Ikut rasa geram, mahu saja dihembur
kemarahan pada semua yang terlibat. Pada mama, papa, Along dan mungkin juga
Abang Mazlan. Tapi... huhu siapalah dia hendak meninggi suara di depan mereka
juga, dia tahu itu dosa.
“Kahwin?!” Intan
Nazira mengulang separuh menjerit. Tiada jawapan daripada Sasha Amira tapi
Intan Nazira sangat yakin itulah yang didengarnya tadi. “Aik! Selama ni kau
boleh aja tolak. Kenapa sekarang kau melalak pula? Tolaklah lagi calon suami
yang mama kau pilih tu!”
Sasha Amira rasa
terpukul dengan kata-kata Intan Nazira. Pandai pula kawannya itu menyindir.
Kena sebiji ke batang hidungnya. Ikut hati mahu juga Sasha Amira membantah
seperti yang dilakukannya sebelum ini. Tapi dulu mama setakat kenalkan saja.
Tak mahu berkenalan, Sasha Amira reka bermacam alasan. Kalau tidak pun, diamkan
saja. Tapi sekarang lain kisahnya. Mama sudah terima pinangan orang. Tarikh
pernikahan juga sudah ditetapkan. Betul juga kata mama, kalau Sasha Amira buat
hal dan batalkan pernikahan ni, mama dan papa mesti dapat malu. Dia tidak
sanggup jadi anak yang mencemarkan nama baik keluarga tapi relakah dia menerima
status sebagai isteri orang lepas ini? Huhu... Sasha Amira tidak tahu apa yang
patut dibuatnya. Mahunya tidak menangis dekat sini.
“Dengan siapa?”
soal Intan Nazira lagi setelah hanya tangisan Sasha Amira saja yang makin
menggila di telinga.
“Azrai...” jawab
Sasha Amira dalam tangisan yang kian kuat. Namun masih dapat didengar butirnya
oleh telinga Intan Nazira.
Berkerut dahi Intan
Nazira. Tidak pernah pula dia dengar nama itu. Tapi suara tangis Sasha Amira
bikin dia gelisah. Sudah Intan Nazira nasihatkan dari awal dulu. Kawannya itu
saja yang liat mahu bercinta. Bukannya tak ada yang hendak. Senior yang baru
tamat belajar tahun lepas, Abang Razi, juga minat sangat pada Sasha Amira. Tapi
macam biasalah, kalau hatinya belum terbuka untuk lelaki. Jawapannya memang
bertepuk sebelah tangan sajalah. Hai, rugi pula rasa tidak ikut idea Zaimah
untuk menggunakan khidmat teman lelaki palsu. Ya, mungkin cara ni masih boleh
digunakan. Baru paksa kahwin, belum tentu kahwin lagi kan. Fikir Intan Nazira
dalam hati.
“Mama dah tetapkan
tarikh nikah pula tu. Tanpa persetujuan aku. Bencinya...”
Ops! Tidak jadi
Intan Nazira mahu melontarkan semula idea itu. Tarikh sudah ditetapkan? Masalah
besar ni! Dia menarik nafas dalam-dalam. Kepalanya digaru sama. Namun tidak
langsung dia dapat membantu melainkan kata-katanya ni.
“Aku tak berapa
fahamlah Sha cerita kau ni sebenarnya tapi kalau tarikh nikah kau dah ditetapkan,
maknanya kau kena kahwin jugalah kan dengan lelaki pilihan mama kau tu?”
Meraung Sasha Amira
bila disoalnya begitu. Kalut Intan Nazira dibuatnya.
“Kau janganlah nak
melalak meroyan macam ni pula Sha. Aku bukannya nak sakitkan hati kau ke apa
tapi cuba kau letak diri kau tu dekat tempat mama kau kejap. Aku rasa mama kau
paksa kau kahwin pun sebab risau umur kau dah makin meningkat. Macam tak ada
perasaan kat lelaki pula tu. Kalau dah tetap tarikh nikahnya, tak ada apa lagi
yang kau boleh buat Sha. Takkan kau nak lari masa hari nikah? Malu besar
keluarga kau nanti! Mesti mengamuk mama kau punya!”
Sasha Amira
terdiam. Sedunya ditahan-tahan. Cakap Intan Nazira cuba diselami sikit demi
sikit.
“Cuba kau tengok
dalam drama, bila pengantin lari selalunya ada saja penggantinya untuk tutup
malu. Kalau kau lari, siapa yang nak ganti Sha? Kau mana ada adik beradik
bujang lagi. Mana ada mak ayah yang tak malu kalau perkahwinan anak dia tak
jadi.”
“Itu masa hari
nikah. Sekarang ni belum hari nikahnya lagi. Tak bolehkah kalau aku batalkan
juga? Boleh kan?”
Kali ini Intan
Nazira pula yang terdiam. Tidak pernah-pernah dia jadi penasihat perkahwinan
orang. Penasihat khas Sasha Amira tentang soal cinta ni, memanglah dia
orangnya. Tapi bab-bab kahwin ni, minta maaflah dik non. Mak tak habis belajar
lagi.
“Err... yang tu...
yang tu aku tak pasti pula. Aku ni bukannya tahu sangat pasal adat-adat ni.
Kalau difikirkan logik, kasihan juga kat mama papa kau. Kalau dah dia orang
setuju, lepas tu tiba-tiba batalkan, malulah mama papa kau pada pihak lelaki. Kalau
dia calon pilihan mama kau, mestilah mama kau kenal dia. Confirm dia ada sangkut paut dengan kenalan mama kau juga kan?
Betul tak aku cakap? Ehh... malu mama kau nanti Sha.”
Sasha Amira hempas
nafas yang rasa berat. Ada benarnya kata-kata Intan Nazira. Memanglah mama juga
yang akan dapat malu nanti. Tapi siapa suruh mama terima pinangan itu tanpa
bertanya dulu pada dirinya? Aduh. Dia rasa tersepit. Antara kemahuan diri dan
juga maruah mama.
“Aku rasalahkan
Sha, kau kena bertenang dululah. Kalau aku cakap ni, kau jangan marah pula. Aku
cakap ni sebagai kawan. Kawan yang sayangkan kau tau. Aku rasa kau bertenanglah
dulu, fikir baik-baik keputusan mama kau dan keputusan kau sendiri. Jangan
asyik pentingkan hati sendiri aja. Fikir juga hati dan perasaan mama kau tu. Kadang-kadang
pengorbanan kita sekarang itulah yang menentukan kebahagiaan di masa depan.
Manalah tahu dah memang jodoh kau tercatit dengan dia. Lagipun, lelaki pilihan
mama kau tu pun mesti bukan orang sebarangan kan. Takkanlah mama kau nak
carikan lelaki yang jahat untuk anak dia.”
Sasha Amira terus
diam seribu bahasa. Setiap bait yang keluar dari mulut Intan Nazira selepas itu
tidak lagi dicerna otaknya. Dia bingung bercampur sedih. Berkali hatinya
memberontak tidak rela. Tapi tidak mahu juga malukan mama. Dua rasa itu sering
kali bercanggah dan bagaikan berlawan sesama sendiri dalam benaknya sekarang.
Serba salah dibuatnya.
Alamak! Sudah! Nak kena paksa terima pinangan orang pula ke? Terpaksa ke Sasha ikut juga kehendak mamanya kali ni, atau masih ada cara dia untuk mengelak macam dulu-dulu???
No comments:
Post a Comment