Fuh!
Sasha Amira terus
lepak atas sofa sebaik sampai ke rumah. Kenyang perutnya setelah makan tengah
hari bersama-sama Suhana Azreen dan anak-anaknya. Rasa terbayar semua tenaga
yang digunakan selepas hampir setengah hari jalan-jalan sekitar bandar Alor
Setar. Bandarnya tidaklah besar mana. Kebanyakan tarikan yang dibawa Suhana
Azreen semuanya dekat antara satu sama lain. Pertama kali Sasha Amira pergi ke
Menara Alor Setar. Lebih dua puluh tahun hidup di Kuala Lumpur, Menara Kuala
Lumpur tu pun belum pernah sekali dia jejakkan kaki. Kiranya di Alor Setar
inilah, menara pertama yang dia lawati.
Lepas jalan-jalan,
Suhana Azreen bawa shopping di pasaraya
paling besar dekat Alor Setar ni. Masa tulah rasa macam lagi seronok duduk
dekat KL. Lebih banyak shopping mall
boleh cuci mata. Paling best dekat
Kedah ni makanan memang murah, lagi-lagi makanan laut. Kalau dekat KL, nasi
putih dengan sotong, udang dan sayur mahu dekat sepuluh ringgit. Lebih kut!
Dekat sini, ternganga bila harganya kurang separuh dari biasa. Patutlah Along
bukan main sakan lagi pinggan penuh dengan lauk. Punyalah Sasha Amira takut-takut
nak memilih lauknya. Ceh, lain kali bagitaulah awal-awal! Getusnya dalam diam.
Suara Haikal dan
Ariel berebutkan mainan yang dibeli ibu mereka di pasaraya tadi buatkan Sasha
Amira tidak jadi lelapkan mata. Dia mengangkat kepala sedikit, melihat keletah
dua anak saudaranya di depan. Suara Suhana Azreen juga sudah bergema menegur
dua anaknya itu.
“Kamu berdua gaduh
lagi, nanti Mak Usu kamu marah baru tau!” Ugut Suhana Azreen sambil menunjuk ke
arah Sasha Amira. Serentak budak berdua itu menoleh ke arah Sasha Amira yang
sudah bulat mata. Aduhai. Namanya juga yang dipergunakan. Manalah budak-budak
itu tak takut dengan Mak Usu dia ni.
Sebab takut, Haikal
dan Ariel diam membatu. Masing-masing mula menikus. Suhana Azreen lantas
membahagikan mainan yang direbutkan. Satu untuk Haikal, satu lagi untuk Ariel.
Tak mahu berebut lagi, katanya.
“Abang Mazlan tak
ada ke Along? Tak nampak pun dia dari semalam!” Sasha Amira akhirnya bersuara.
Matanya menjeling ke dalam sekejap. Kemudian beralih pula ke luar. Kereta Abang
Mazlan sudah tiada di luar.
“Hmm... dia dah
pergi trip pagi tadi. Kamu tu yang bangun lambat, mana nak jumpanya.”
Mahunya tak bangun
lambat. Semalaman tak dapat tidur. Baru tidur sekejap, bas sudah berhenti.
Mati-mati ingat dah sampai. Maklumlah, pertama kali jalan sampai ke Kedah ni.
Tak tahu jarak dari KL sampai ke sini. Tak senang hati bila bas asyik sekejap
bergerak sekejap berhenti. Takut benar terlepas terminal. Kalau terlepas nanti
jadi cerita lain pula.
“Along ni, kata
sakit. Tak nampak macam orang sakit pun!” soalnya lagi, sama seperti semalam.
Tapi tak berapa ingat sama ada Along sudah jawab atau belum soalannya itu. Ada
ke dia tanya ya semalam? Dia sendiri tidak ingat.
“Ibu sakit?” Sampuk
Haikal, anak sulung Suhana Azreen yang berusia tujuh tahun. Mukanya nampak
terkejut. Kemudian, adiknya Ariel pula mengikut ulang soalan yang sama.
Tersenyum Suhana Azreen menggelengkan kepala.
“Taklah, ibu tak
sakit.” Lembut Suhana Azreen menjawab di depan anak-anaknya. Tangannya mengusap
kedua pipi Haikal dan Ariel seorang demi seorang.
“Habis tu, Mak Usu
kata ibu sakit?” Haikal bertanya lagi. Kurang mengerti.
Suhana Azreen
tersenyum lagi. Wajah kedua anaknya ditenung dengan pandangan yang cukup
lembut. “Kalau ibu sakit, Haikal dan Ariel tolong ibu tak?”
Laju Haikal
mengangguk sementara adiknya mengikut saja rentak abangnya.
“Haikal dan Ariel
tolong ibu apa?”
“Haikal dah besar
la ibu. Haikal boleh tolong macam-macam. Kemas bilik, kemas mainan, pergi
kedai, jaga adik. Macam-macam!” Bersungguh-sungguh Haikal menjawab. Anak
sulungnya itu memang sudah diajar berdikari sejak kecil. Jaraknya pula dengan
Ariel tidak jauh. Baru setahun, sudah diajar menjadi seorang abang. Haikal
tidak berkira dan selalu mengalah. Berbanding Haikal, Ariel lebih nakal dan
keras kepala. Suka sangat berebut itu dan ini dengan abangnya. Sekejap nak A,
sekejap nak B. Bila sudah begitu perangainya, sudahnya dia mahukan semua. Itu
yang bergaduh akhirnya dengan Haikal.
Sasha Amira yang
cuma menjadi penonton antara tiga beranak tadi hempas keluhan. Bingung dia
jadinya. Sekejap kata sakit, sekejap kata tak sakit. Sakitkah tidak Alongnya
itu? Risau pula hati ni tapi cuba ditepis jauh-jauh rasa itu buat sementara.
Susah orang tua nak berbual depan budak-budak. Nanti banyak pula celahannya.
********
Di Kuala Lumpur
pula, Puan Damia sibuk mengemas rumah. Pagi tadi sudah dipesan pada suaminya
supaya duduk saja di rumah esok hari kerana ada orang penting yang akan berkunjung
ke rumah. Mula-mula Encik Rahim diamkan saja. Berbuih mulut Puan Damia bercakap,
sepatah pun Encik Rahim tidak menjawab.
“Kenduri hari tu
kan abang dah tengok budaknya macam mana. Tak puas hati lagi ke bang?”
“Saya bukan tak
suka dengan budak tu. Saya cuma tak selesa dengan cara awak ni? Bolehkah macam
ni?” Akhirnya Encik Rahim bersuara juga setelah didesak berkali-kali. Panas
telinganya bila disumbat suara Puan Damia sejak celik mata sampailah hendak
keluar pergi kerja. Tak habis-habis isterinya cerita hal yang sama.
“Tak boleh apanya
bang. Kita ni mak bapak, bukannya dosa kalau kita nak kahwinkan anak.”
“Saya tak maksudkan
dosa pahalanya, Mia. Yang saya maksudkan si Sasha tu. Mahu ke dia kahwin?”
“Alah, mahu tak
mahu kena juga dia kahwin nanti bang.” Ada saja jawapan Puan Damia. Dulu nak
kahwinkan Suhana Azreen pun suaminya soal hal yang sama. Takut benar nak
kahwinkan anak. Bukannya lakinya itu perompakkah, pengedar dadahkah yang Puan
Damia mahu calonkan. Semuanya lelaki baik-baik.
“Anak kita tu
perempuan bang. Saya ni perempuan, saya tahulah saham perempuan ni makin tua
makin jatuh. Susah nak mengandung, susah nak beranak. Badan pun dah kurang
bergetah, kata orang. Kalau nak diikutkan kata dia, hati dia tu sampai ke
rambut kita putih, sampai janggut abang tu putih pun dia tak kahwin-kahwin.”
Sambung Puan Damia sambil menunjuk janggut di dagu suaminya.
“Abang nak ke
tengok anak kita tu hidup seorang sampai ke tua? Abang ingat sikit, dia tu
tanggungjawab abang. Selagi dia belum kahwin, dia tanggungjawab abang dan abang
yang bertanggungjawab untuk kahwinkan dia.” Puan Damia menambah lagi. Hilang
kata-kata Encik Rahim yang akhirnya melangkah ke kereta tanpa sepatah kata.
Hanya kepalanya saja yang menggeleng kurang setuju. Tapi bila difikirkan soal
tanggungjawab, memang Encik Rahim tidak nafikan. Selagi anaknya itu belum
bernikah, tanggungjawab itu masih terletak dibahunya. Sudah diperjelaskan,
memang dia mahu lihat anaknya berkahwin. Bapa mana yang tidak mahu anak mereka
mendirikan rumahtangga. Cuma caranya, cara Puan Damia yang dia kurang setuju.
Dari pagi tadi,
beria Puan Damia mengemas laman, ruang tamu hingga ke dapur. Lepas Zohor pula,
Puan Damia bersihkan semua bilik air sampai berkilat termasuk bilik air di
kamar anak daranya. Kerana letih, Puan Damia berehat dulu di ruang tamu. Dalam
benaknya masih menyusun kerja yang masih belum selesai. Terlalu banyak hingga
tidak tahu dari mana harus dimulakan. Dia merancang untuk membakar kek dan
sedikit kuih-muih untuk dihidangkan pada tetamu esok.
“Emm... kalau buat
tiga jenis kuih, melampau sangat tak bunyinya?” Puan Damia bertanya seorang diri
sambil mengetuk-ngetuk dagu dengan jari.
*******
Di rumah Hajah
Kisitina, sibuk Hajah Kistina bersiap untuk keluar mencari cincin merisik dan
meminang bersama anak lelakinya. Dari atas tangga sudah dapat dilihat Saif
Azrai menanti di ruang tamu. Seketika Saif Azrai berdiri dan menghulurkan
sebelah tangannya kepada Hajah Kistina lagak menyambut tuan puteri turun dari
tangga. Tertawa Hajah Kistina dibuatnya lantas lembut Hajah Kistina menepis
tangan anaknya itu. Saif Azrai merangkul pula lengan Hajah Kistina. Tidak
sempatlah Hajah Kistina nak bersuara. Mahu ditarik tangannya pun, rangkulan
Saif Azrai makin kuat.
“Biarlah Azrai nak
berkepit dengan mama dulu. Nanti Azrai dah berkepit dengan bini, mama tak
merasa dah nak berkepit dengan Azrai.”
Bertuah punya anak.
Sabar sajalah Hajah Kistina mendengar cakapnya. Mula miang nampaknya anaknya
itu akhir-akhir ini. Atau baru sekarang Hajah Kistina nampak belangnya?
Seperti biasa, Saif
Azrai memandu ke KLCC kerana situlah tempat kegemarannya mahu mencari barang.
Cuci mata pun di situ, cari teman baru pun kebanyakannya di situlah tempatnya
mereka pertama kali bertemu.
Masuk-masuk saja ke
kedai emas, mereka sudah disambut dengan begitu tertib. Dari hujung sini ke
hujung sana Saif Azrai tinjau semua jenis bentuk cincin bersama Hajah Kistina.
Sudahnya Saif Azrai terduduk. Dia sudah rambang mata melihat pelbagai bentuk
cincin di Oeding-Erdel Fine Jewellery. Hajah Kistina di sebelah dipandang
beberapa kali. Hajah Kistina juga sibuk memilih dari atas kotak kaca di depannya.
Sedang mereka mengintai-intai lagi emas di dalam kotak kaca itu, seorang gadis
datang menyapa.
“Hi sir, what can I do for you?”
Saif Azrai
mengangkat muka dan merenung muka gadis yang berdiri di depannya itu sejenak.
Gadis itu sudah terang-terang Melayu kerana berhijab. Atau dia yang tidak rupa
anak Melayu?
Speaking pula dia sesama Melayu... Ah, mungkin sudah tertib di
kedai itu begitu. Getusnya sendiri.
“Emm... saya nak
beli cincin untuk perkahwinan.” Terus saja Saif Azrai menjawab dalam bahasa
ibunda. Akal nakalnya hendak menguji. Takkanlah gadis Melayu itu pelat kut
hendak cakap bahasa ibunda sendiri.
“Encik cari cincin
untuk pengantin perempuan atau cincin berpasangan?” tanya gadis itu lagi sambil
menayang senyum menampakkan barisan giginya yang putih bersinar. Fasih rupanya
dia bercakap walau ada sedikit pelat Inggeris di hujungnya.
“Cincin pengantin
perempuan, untuk merisik dan meminang.” Wajah Hajah Kistina dipandang, seakan
meminta kepastian. Melihat Hajah Kistina mengangguk, dia mengulang ayatnya tadi
dengan lebih yakin. “Yeah, one for
merisik, one for meminang.” Erk!
Tergeliat pula lidahnya cakap bahasa rojak. Tadi mengata orang, sekarang diri
sendiri yang cakap campur aduk. Buat malu betul! Sempat dia kutuk diri sendiri.
Pekerja wanita tadi
mula menunjukkan beberapa bentuk cincin yang dicadangkan. Mulutnya laju
menjelaskan itu dan ini. Saif Azrai yang letih mendengar tidak berapa pasang
telinga. Dia menyerahkan saja pada Hajah Kistina untuk membuat keputusan.
Mamanya itu tentulah lebih memahami hati dan citarasa wanita.
“Yang ini okey
Azrai?” Tiba-tiba Hajah Kistina menyoal sambil menunjukkan dua bentuk cincin di
tangannya. Kedua-duanya nampak ringkas tapi menarik. Tidak sempat dia menjawab,
Hajah Kistina meletakkan kotak cincin itu semula. “Boleh saya tengok koleksi
gelang tangan?” soal Hajah Kistina pula kepada pekerja wanita tadi.
Pekerja wanita itu
mengangguk dan beredar seketika. Hajah Kistina masih belum membuat keputusan
setelah hampir sejam dia membelek bermacam bentuk cincin yang diperkenalkan.
Semua yang ditunjuk pekerja itu ditolak akhirnya. Wanita itu juga mesti sudah
letih melayan. Cerewet. Itu tidak kena, ini tidak kena. Hajah Kistina tidak
mahu yang biasa. Kahwin cuma sekali. Anaknya juga seorang saja. Jadi dia mahu
sesuatu yang istimewa dan berlainan untuk seorang wanita teristimewa yang bakal
menjadi suri dalam hati anak tunggalnya.
“Kenapa, ma?”
Hairan Saif Azrai melihat tindakan Hajah Kistina tadi. Disuruhnya pilih tapi
belum sempat buat pilihan, Hajah Kistina sudah minta yang lain.
“Mama nak tengok
gelang tangan untuk majlis nikah. Sekarang kan trend orang bagi gelang.”
“Cincin tadi tu?”
“Alah, cincin kita
cari kat kedai lainlah. Cari yang emas. Emas putih ni nanti lama-lama tak ada
harga.”
Saif Azrai cuma
mengangguk. Dia langsung tidak tahu menahu tentang emas mahupun aksesori
wanita. Kalau dibeli untuk teman wanita pun, asalkan mahal mestilah berharga
baginya.
Tekun Hajah Kistina
melihat-lihat koleksi gelang tangan yang ditunjukkan perkerja yang datang
semula kepadanya. Puas memilih, Hajah Kistina terpikat dengan seutas gelang
tangan bersalut emas putih 18 karat dengan bintik-bintik berlian di
sepanjangnya. Ringkas tapi menarik. Dia sudah dapat membayangkan bagaimana rupa
Sasha Amira mengenakan gelang itu nanti. Pasti nampak padan bila dipakai Sasha
Amira.
“Yang ini macam
mana Azrai?” Sekali lagi Hajah Kistina minta pendapat anak lelakinya. Saif
Azrai bangun sedikit, melihat betul-betul gelang itu.
“Okey jugalah, ma.
Cantik.”
Brit! Brit!
“Mama pilihlah ya.
Azrai ikut aja. Azrai nak jawab call
kejap.” Dia berjalan ke luar kedai lalu panggilan yang masih berbunyi dijawab
terus.
“Helo, sayang.”
Tersentap jantung
Saif Azrai mendengar suara manja Qayreena hinggap ke telinga. Hajah Kistina di
dalam kedai dijengah sekejap. Lambat-lambat dia menjawab sapaan Qayreena.
“Kenapa you telefon
I ni?” soalnya pula tidak keruan. Matanya mula liar memandang keliling pula.
Takut-takut terserempak pula dengan Qayreena yang memang suka bersiar-siar di
kompleks beli-belah. Tambah-tambah di depan kedai emas, bersama mamanya.
Otaknya mula merencana alasan sebagai persediaan.
“Hai, tak
pernah-pernah you tanya I macam tu. Kenapa, sekarang I dah tak boleh call you lagi ke? You dah ada perempuan
lain ya?”
Ah, sudah! Dia dah
buat dah soalan tu...
“Sorry la sayang. I sibuk sekarang ni.
Lain kali bila I free, I will call you
back. Okey. Bye.” Cepat-cepat Saif Azrai beri alasan. Huh! Hari tu orang
ajak dia kahwin, tak mahu. Nak tunggu kau ready,
melepas syarikat papa dekat Izi nanti! Getusnya geram.
Dia melihat
keliling lagi sekali. Harap-harap memang dia tidak akan bertembung dengan
Qayreena di sini. Macam-macam doa dibacanya dalam hati. Tanpa buang masa lagi,
dia berjalan semula ke dalam kedai dan mendapatkan Hajah Kistina.
*******
“Jom. Along bawa
pergi tengok matahari terbenam kat bendang, nak?”
Melopong Sasha
Amira yang tengah leka terbaring sambil menonton Cat Dog bersama Haikal dan
Ariel. Dia mendongak melihat Along yang duduk di sofa. Haikal dan Ariel pula
serentak menjerit suka hendak berjalan.
“Penatlah, Long.
Esok-esok ajalah...” Jawab Sasha Amira malas sekaligus mematikan sorakan
anak-anak buahnya. Masing-masing mula pula tayang muncung hampa. Sedangkan mata
Mak Usu mereka sudah kembali ke kaca televisyen walaupun tidak minat langsung
hendak tengok kartun. Kalau sudah duduk dengan budak berdua ni, memang dua
puluh empat jamlah mereka nak tengok rancangan mereka. Manalah Sasha Amira tak
berebut sampai kadang-kadang rela dia bertekak dengan anak-anak buah. Janji dia
dapat tengok rancangan tv yang lain, yang lebih matang untuk golongan dewasa
macam dia ni kononnya.
“Kenapa Along
tengok adik nampak monyok aja. Tak seronok ke datang rumah Along?”
Sasha Amira tolak
lagi bola mata ke atas. Dah mulalalh tu Along nak lontar soalan emosional dia
tu.
“Bukan tak
seronoklah, Long...” jawabnya malas. Lambat-lambat dia bangun dari baring dan
menolak tubuh untuk bersandar ke sofa. Muka Suhana Azreen ditenung dari situ.
“Sasha baru aja sampai pagi tadi. Penat lagi badan ni, mata ni, ngantuk tak
habis lagi Long. Masa kan masih panjang lagi. Tak payahlah semua benda nak buat
hari ni. Lagipun Along kata tak sihat, sebab tu suruh Sasha datang sini. Hari
tu suara punyalah terbatuk-batuk. Ni kenapa pula nampak macam sihat semacam
aja. Hairan sungguh Sasha tengok.”
“Alah, kamu tak
payah risaukan Along. Tengok muka adik Along ni aja, terus hilang sakit Along.
Adik Along ni kan cantik. Muka dia macam penawar. Sejuk aja hati bila tengok.
Sebab tu ramai yang senang berkenan. Cuma dia aja yang jual mahal.” Pipi Sasha
Amira dicubit-cubit geram. Cepat saja Sasha Amira tepis tangan Suhana Azreen
laju-laju. Kemudian mukanya berpaling ke depan televisyen semula.
Pandailah Along
hendak memuji. Muka macam penawarlah. Sejuk hati bila memandanglah. Lain macam
aja bunyinya. Apasal, tiba-tiba nak cerita pasal jodoh pula ke?
“Eloklah kalau
Along dah baik. Ingatkan kena cuti panjang sikit nak tolong jaga Along. Kalau
Along dah baik, esok lusa bolehlah Sasha balik KL. Cuti lama-lama pun, banyak
kelas yang Sasha tercicir nanti.”
“Alang-alang esok lusa
kamu nak balik, lebih baik kamu balik KL Ahad nanti aja. Esok lusa tu pun dah
nak hujung minggu. Sabtu Ahad bukannya kamu ada kelas.” Suhana Azreen membidas.
Dia memang sudah bersedia untuk melengah-lengahkan adiknya itu supaya duduk
lama di sini. Itu antara pesan Puan Damia. Biarlah hal di Kuala Lumpur Puan
Damia yang uruskan.
“Lagipun Abang
Mazlan kamu balik lusa. Dia nak bawa kamu jalan-jalan ke Langkawi. Bukan selalu
kamu datang sini. Dia tu pun ada hajat juga nak bawa adik ipar dia berjalan.
Selalunya akak aja yang bawa adik dia si Nina tu jalan ke sana ke sini. Duduk
lama sikit ya, dik.”
“Tengoklah macam
mana, Long.” Jawab Sasha Amira malas. Dalam hati sebenarnya sudah
melompat-lompat kegirangan. Jadi, benarlah apa yang dia harapkan? Memang nak berjalan
ke Langkawi? Yeah, seronoknya.
Suhana Azreen tidak
putus akal. Dia turun duduk sama di atas lantai. Sasha Amira nampak kakak
sulungnya itu mendekati Haikal dan Ariel tapi dibiarkan saja. Matanya melekat
ke kaca tv tapi otak sudah mengelamun entah tentang apa dan ke mana, dia
sendiri kurang pasti. Sedar-sedar saja tubuhnya terasa digoncang bersama
rengekan yang bertali arus singgah ke telinga.
“Tolonglah Mak Usu.
Duduklah lama dekat sini. Mak Usu tak pernah datang rumah kita orang. Baliklah
kampung lambat sikit. Boleh jalan-jalan dengan Haikal, dengan adik.”
Terpinga-pinga Sasha Amira mendengar suara Haikal yang bagai merayu-rayu di
sebelah. Kemudian suara nyaring Ariel pula menyahut.
“Ak’ah, nanti boleh
makan sama-sama. Makanan dekat sini sedap. Macam-macam ada.”
Huh! Kalau setakat
makanan macam-macam, dekat KL lagi banyak pilihan. Cakap saja nak makanan
Perancis, Korea, Jepun, Arab? Lagi macam-macam ada... Balas Sasha Amira hanya
dalam hati.
“Bolehlah Mak
Usu... bolehlah. Duduk lama lagi ya... bolehlah...” Bertalu-talu Haikal dan
Ariel merengek sambil digoncangnya tubuh Sasha Amira tidak henti-henti. Lemas
Sasha Amira dibuatnya. Bila dijeling muka Suhana Azreen di belakang budak-budak
itu pula, Alongnya itu tersenyum-senyum seakan menahan tawa.
“Ish!” Keluh Sasha
Amira keras seraya menarik tangannya dari digoncang dua pasangan adik beradik
itu. Muka yang hampir ketat cuba dikendurkan semula bila melihat wajah dua
beradik itu berubah. “Yalah. Yalah. Mak Usu balik Ahad nanti. Puas hati?”
Yeahhh!
Gamat rumah itu
dengan suara Haikal dan Ariel bersorak. Kemudian melompat-lompat gembira.
Walhal sebelum ini, mereka bukannya kesah kalau Mak Usu dia ada ke tidak. Kalau
balik ke kampung pun, tak pernah nak kesahkan Mak Usu dia ni. Entah apalah yang
Suhana Azreen bisikkan pada Haikal dan Ariel tadi. Entah-entah diugutnya budak
berdua itu yang tidak akan dibawa berjalan kalau Mak Usu dia tak ada kut. Sasha
Amira mengagak. Matanya cuma memandang Suhana Azreen yang tersenyum puas. Baru
dia hendak bercakap, Suhana Azreen lekas bangun.
“Along nak masak
kejap! Haikal, Ariel, pergi mandi. Dah nak malam ni.” Itu alasan Suhana Azreen
berikan. Sementara Haikal dan Ariel, kedua-dua mereka berlari masuk ke dalam
bilik dan keluar semula dengan tuala masing-masing. Berebut kedua-duanya hendak
masuk bilik air. Riuh lagi rumah itu dengan suara dua beradik itu bertekak.
Hai... spontan
Sasha Amira hempas keluhan. Kalau di rumah, suara Puan Damia yang biasa dia
dengar. Dekat sini, suara budak-budak itu pula yang membingitkan telinga. Lagi
haru rasanya.
No comments:
Post a Comment