Pages

Hi pembaca semua!!!

Terima kasih kerana datang melawat, membaca karya-karya dalam blog ini dan terima kasih juga kepada semua yang menyokong Yuri. Yuri rasa happy sangat dengan kehadiran korang dalam hidup mahupun alam maya Yuri ni.

Segala komen dan sokongan sentiasa dan akan terus membakar semangat Yuri untuk terus berkarya menggunakan nama pena ayu munawer.

Semua karya di dalam blog ini adalah ilusi, imaginasi serta daripada pengalaman hidup. Dan yang paling penting, semua karya di sini adalah hasil karya Yuri. Mohon supaya tiada copycat dekat sini... tqvm

Harap korang terus menyokong dan beri komen mahupun kritikan untuk Yuri memperbaiki sebarang kekurangan.

P/S: Untuk makluman, karya "Dia Si Jantung Hati" akan dihentikan penerbitannya di sini atas sebab rombakan besar-besaran plot cerita. Justeru itu, judulnya juga bakal berubah. Maaf atas sebarang kesulitan. Harap korang setia menunggu dan menyokong hasil rombakannya nanti okey ^^,
"Aku tak suka kau la" kini diterbitkan di penulisan2u dengan tajuk "JIWA KACAU"..saja nk tukar tajuk. Sebb yuri rasa cam lg sesuai je tajuk ni..lebih pendek n ringkas hehe ada ka yuri edit2 skit. Harap u all x kesah nk singgah baca :-)
Sudi-sudilah berkunjung ke official blogshop yuri di http://decodanmakan.blogspot.com yer. Walaupun rupanya masih macam blog biasa, yuri pun masih belajar lagi macam mana nak upgradekannya. Macam-macam ada. Nak tau apa yang ada, kenalah singgah.

Terima kasih (^^,)v

Tuesday, July 23, 2013

Buddyz vs cinta: bab 7


Emey Suhaila hempas fail bersama tas tangannya atas meja lalu terus henyak punggung di kerusi. Habis saja kuliah Dr. Zulia tadi, Emey Suhaila cepat-cepat keluar dari dewan kuliah melalui pintu belakang. Tiada hati rasanya mahu terus duduk di dalam dewan kuliah itu walaupun sekejap lagi kuliah Dr. Suria pula akan bermula. Mukanya sudah cukup tebal kerana ditegur Dr. Zulia tadi. Rasa panas seluruh muka ni bila Dr. Zulia mula menyerangnya dengan bermacam soalan sepanjang kuliah. Semuanya gara-gara Emey Suhaila terlewat masuk kuliah Dr. Zulia tadi.
Sudahlah semalam Emey Suhaila tidak sempat untuk membuat persediaan mahupun mengulangkaji untuk kuliah Dr. Zulia. Memandangkan Dr. Zulia memang rajin mengajukan soalan, memang padanlah muka kalau menjadi sasarannya dalam kuliah. Selalunya Azura yang rajin buat nota sebelum kuliah Dr. Zulia. Jika Emey Suhaila kena soal sekalipun, Azura masih boleh membisikkan jawapan di sebelah. Tapi... Azura pula demam dan masih terbaring di bilik. Aduh, memang malang betul nasib Emey Suhaila hari ini.
Tidak! Bukan nasib Emey Suhaila yang malang. Ini semua sebab Rogayah, budak baru yang banyak sangat mulut itu. Sebab Rogayah ajak berborak semalamlah Emey Suhaila lambat tidur. Setiap kali Emey Suhaila cuba tidur, teruk badan Emey Suhaila digoncang Rogayah. Macam goncang susu kocak pula lagaknya. Sudahnya, Emey Suhaila terlajak bangun pagi tadi. Solat Subuh pun terlewat hingga langit di luar hampir terang... apa kata orang, solat subuh gajah?
Buka-buka mata saja Rogayah sudah tiada. Selimut dan bantal-bantal Rogayah yang penuh di tengah-tengah biliknya juga sudah lenyap dari pandangan. Geram betul hati Emey Suhaila bila Rogayah pergi begitu saja. Seingat Emey Suhaila, tidak ada pula Rogayah cuba mengejutnya. Sebelum Emey Suhaila lelapkan mata semalam, sibuk pula minah itu asyik mengejutnya dari tidur.
Hati Emey Suhaila tambah panas bila mengingatkan hal pagi tadi. Bila dia memikirkan hal sewaktu dia melangkah masuk ke dewan kuliah, hati Emey Suhaila tambah terbakar. Bukan kerana teguran Dr. Zulia yang membuatkan Emey Suhaila sakit hati. Teguran yang diberikan Dr. Zulia tadi ada benarnya tapi sindiran Melissa, budak gedik dalam kuliahnya itu yang membuatkan hati Emey Suhaila benar-benar bengkak. Berlagak Ratu Kolej tapi hati busuk.
“Hai tuan puteri, khadam dah berhenti ke? Tak ada orang nak kejutkan tidur? Ke penat jaga anak malam semalam?” Begitulah kata-kata Melissa sebaik Emey Suhaila melangkahkan kakinya meniti anak tangga naik ke tempat duduk di bahagian atas dalam dewan kuliah. Suara Melissa yang nyaring sudah cukup buatkan seluruh dewan kuliah dapat mendengar sindirannya itu. Merah padam muka Emey Suhaila bila sebahagian pelajar galak ketawa mendengar usikan Melissa itu.
Tambah sakit hati, ada pula suara-suara sumbang yang mengatanya ketika Dr. Zulia sedang memberikan kuliahnya di depan. Apa, mereka ingat Emey Suhaila tidak dapat dengar apa yang mereka bincangkan? Sakit betul hati Emey Suhaila! Satu butir kuliah Dr. Zulia pun tidak masuk ke kepalanya. Malah, tidak singgah langsung ke telinga Emey Suhaila sedangkan telinganya sudah sesak diasak bermacam kata-kata sumbang yang Emey Suhaila curi-curi dengar. Sebab itulah, Emey Suhaila kalut bila Dr. Zulia tidak habis-habis melontar soalan kepadanya. Satu soalan pun Emey Suhaila tidak mampu berikan jawapan. Terpaksalah Emey Suhaila pura-pura dongkat dagu ke atas atau ketuk hujung pen ke meja, lagak seperti sedang berfikir. Tapi sebenarnya otak Emey Suhaila rasa kosong. Soalan yang diajukan oleh Dr. Zulia juga tidak dapat dikenalpasti isinya.
Emey Suhaila terhentak-hentak berjalan melalui depan dewan kuliah selepas kuliah berakhir. Cepat-cepat dia mahu meninggalkan kawasan itu sebelum bertembung dengan Dr. Zulia yang juga sedang bersiap untuk keluar dari dewan. Sambil itu, mulutnya terkumat-kamit mengomel sendiri. Geram betul hati Emey Suhaila hari ini.
“Cis, pandai pula mulut diorang nak mengata aku. Entah-entah selama ni mereka tu cuma pura-pura baik aje depan aku. Dekat belakang, mengata puas-puas!” gumam Emey Suhaila geram. Jari-jemarinya yang panjang meruncing sudah mula digenggam kuat. “Bagus sangatlah tu. Hipokrit betul!”
Emey Suhaila merengus keras. Bayangan di sepanjang kuliah tadi cuba ditepis jauh. Buat sakit hati Emey Suhaila saja.
“Rogayah ni pun satu. Sebab dialah aku tak dapat tidur lena semalam. Kalau aku nampak batang hidung dia hari ni, siaplah dia.” Emey Suhaila nekad mahu luku-luku kepala Rogayah sebaik gadis itu muncul di depannya. Paling kurang pun, Emey Suhaila mahu membebel sepuas-puasnya. Biar Rogayah pula terpaksa menyumbat telinga dengan suara Emey Suhaila kali ini. Emey Suhaila sudah malas mahu pura-pura berlembut dengan Rogayah. Biarlah Rogayah tahu siapa Emey Suhaila sebenarnya, sama seperti Azura.
Ah, kalau Emey Suhaila jadi puteri yang baik hati pun orang lain cuma pura-pura baik di depannya tapi mengata bagai nak rak di belakang. Emey Suhaila sudah tidak mahu ambil kira itu semua.
“Eh, tak boleh!” betah hati kecil Emey Suhaila tiba-tiba sebaik mengambil tempat di dalam perpustakaan. Sengaja Emey Suhaila ambil tempat di hujung-hujung, jauh dari kumpulan besar pelajar lain. ‘Bersusah-payah kau cipta watak personaliti tuan puteri tu. Takkan sebab hal kecil macam tu kau nak lenyapkan terus identiti tu. Biarlah apa suara sumbang tu nak kata. Mereka tu sebenarnya cuma cemburu dekat kau... sebab tu mereka mengata kau macam-macam. Mereka tu memang tak sayang mulut kan...’ Emey Suhaila angguk sungguh-sungguh, setuju dengan kata hatinya sendiri.
“Betul... betul! Lagi-lagi si Melissa, mulut dia tu memang busuk! Dia memang cemburukan aku sejak dulu lagi sebab si Razali tu tolak cinta dia. Si Razali pula pergi syok dekat aku buat apa? Bukan salah aku. Sebab tulah perempuan mulut busuk tu benci sangat dekat aku. Betul... betul tu!” Emey Suhaila mengangguk lagi. Kali ini lebih galak.
“Hah! Kat sini kau rupanya!” sergah satu suara dari belakang bersama bunyi dentuman atas meja di depan Emey Suhaila.
“Oh, mak kau meletup!” latah Emey Suhaila serta-merta mengiringi sergahan tadi. Bagai bergoncang satu dunia ini seketika. Tidak lama kemudian Emey Suhaila dapat melihat muka Rogayah yang tersengih-sengih di depannya. Emey Suhaila mengucap panjang sambil mengurut dada yang bergetar. Menderu darahnya dibuat Rogayah. Fuh semangat!
“Hei, apa kau buat ni? Nak bagi aku mati katak dekat sini ke?” bentak Emey Suhaila lantang. Tapi Rogayah meletakkan jari telunjuknya di bibir sambil berdesir perlahan, seakan memberi isyarat kepada Emey Suhaila supaya memperlahankan suaranya. “Apa shhh-shhh. Nak tercabut jantung aku tahu tak?” Emey Suhaila hilang sabar. Namun Rogayah seperti biasa hanya membuahnya senyum kambingnya lalu turut henyak punggung atas kerusi di depan Emey Suhaila.
“Siapa yang mulut busuk? Siapa yang tolak cinta siapa ni?” soal Rogayah pula berbisik sambil mendekatkan mukanya ke depan muka Emey Suhaila. “Ceritalah kat aku...”
Emey Suhaila menjeling. ‘Ish, bukannya dia nak minta maaf ke apa ke sebab dah terkejutkan aku. Sibuk nak tanya macam-macam pula. Macam mana dia boleh dengar apa yang aku cakap tadi, tak tahulah. Betul-betul telinga nipislah budak ni!’ bengkeng Emey Suhaila dalam hati. Ikutkan marahnya yang masih berbaki, mahu saja dia memekik kuat-kuat ke telinga Rogayah tapi takut pelajar lain yang turut berada di dalam perpustakaan itu juga curi dengar. Habislah Emey Suhaila nanti sebab sebarkan gosip panas tu.
“Kenapa kau ada dekat sini ni? Tak masuk kuliah ke?” soal Emey Suhaila pula, cuba lari dari topik perbualan yang dimulakan Rogayah.
Rogayah mencebik kemudian lontar tubuh ke belakang kerusi. “Bosan! Subjek tu aku tak berapa nak minatlah. Ngantuk aku duduk dalam dewan kuliah tu...” balas Rogayah memberi alasan. Rogayah buka beg sandangnya lalu mengeluarkan buku nota dan diletakkan di atas meja bersama alat tulis.
“Ceh, baru berapa hari belajar dekat kolej ni dah kata bosan?” Emey Suhaila beri reaksi tidak percaya. “Alasan aje kan. Apa lagi yang kau nak tanya aku sebenarnya?”
Rogayah curi-curi pandang muka Emey Suhaila sambil pura-pura membelek dalam beg sandangnya. Entah apa yang mahu dicarinya, dia sendiri tidak pasti. Tidak lama, senyuman terukir di bibirnya sebaik Emey Suhaila mengulang telahannya tadi. Senyuman Rogayah itu semakin lama semakin lebar lantas dilemparkan kepada Emey Suhaila.
“Kau ni memang hebatlah Ila. Baru berapa hari kau kenal aku, kau dah masak fikiran aku kan. Hebat betullah kau ni.”
“Bila pula aku masak fikiran kau? Kalau aku masak fikiran kau, dah lama kau mati tau?” balas Emey Suhaila selamba.
Rogayah melopong, tidak mengerti loyar buruk yang muntah dari mulut Emey Suhaila. Emey Suhaila menjeling lagi. “Lampi betullah kau ni.”
“Lampi? Menatang apa tu?”
“Lampi tu maknanya lambat pick-up. Faham?” balas Emey Suhaila lagi, malas.
Rogayah angguk. “Kenapa panggil lampi? Bahasa apa tu?” Muka Rogayah terus terpinga-pinga, tidak mengerti. Sejak hari pertama dia sampai ke situ, banyak betul perkataan baru yang tidak pernah didengarnya sebelum ini. “Budak kolej memang suka guna bahasa pelik-pelik ni ke? Aku tak pernah jumpa dalam kamus pun.”
“Itu short form ajelah. Ramai aje budak yang guna perkataan tu. Tak semestinya ada dalam kamus. Kalau kau tak mahu guna, kau tak usahlah guna. Itu cuma bahasa rojak antara kita aje. Dalam exam jangan pula kau guna.”
“Kenapa nak guna bahasa pelik-pelik ni? Kalau guna bahasa yang memang semua orang faham kan senang...” Rogayah tidak puas hati.
Sakit jiwa Emey Suhaila bila disoal Rogayah. Kalau dibiarkan makin banyak pula soalan Rogayah padanya nanti. Emey Suhaila cepat-cepat cari akal untuk mengalih topik perbualan mereka semula. “Kalau kau tak ada hal nak cakap, aku nak balik biliklah.” Emey Suhaila lekas-lekas pungut barangnya dari atas meja dan bingkas bangun.
“Eh, nantilah dulu Ila!” Rogayah juga pantas membongkok ke depan dan menyambar tangan Emey Suhaila. “Kau tak mahu pergi kelas ke? Hari ni kelas sampai petang kan?”
“Aku tak ada hatilah nak pergi kelas lagi. Hati aku ni dah cukup sakit tahu?” Emey Suhaila menarik tangannya semula namun Rogayah sekali lagi melayangkan badannya ke atas meja dan kembali menyambar tangan Emey Suhaila yang dilepaskan tadi.
Emey Suhaila berpaling dan melihat reaksi Rogayah itu. Spontan Emey Suhaila menarik nafas perlahan lalu menggelengkan kepala. “Perlu ke kau panjat meja sampai macam tu? Tu... orang tengah tengok tu. Jangan nak malukan aku pula dekat sini.” Emey Suhaila beri amaran dengan nada geram. Puas ditahan mukanya yang terasa tegang supaya pelajar lain tidak nampak reaksi marahnya itu.
Rogayah turut pandang keliling. Perlahan-lahan dia melepaskan tangannya dari mencengkam tangan Emey Suhaila. Kemudian dia tersengih sendiri sambil menggaru kepala yang tidak langsung terasa gatal. Malunya Rogayah rasa...
‘Ceh, gaya macam nak tahan teman lelaki pergi pula...’ detik Emey Suhaila sendiri sambil membetulkan beg tangannya yang terlurut akibat tangannya yang ditarik Rogayah tadi. Kemudian Emey Suhaila membetulkan pula jaket denimnya sebelum berlalu pergi.
“Kejaplah Ila...” Kedengaran suara Rogayah mengejar dari belakang. Emey Suhaila sekadar menarik nafas panjang sambil meneruskan langkahnya ke depan. Rogayah terhentak-hentak berlari mendapatkan Emey Suhaila yang semakin jauh. Langkah lariannya seakan tidak setanding langkah kaki Emey Suhaila.
‘Aduh, pendek sangat ke kaki aku ni? Kenapa aku rasa makin aku lari, makin jauh Emey Suhaila dekat depan?’ keluh Rogayah sambil lari sungguh-sungguh. Namun Emey Suhaila sudah semakin jauh ke depan walaupun langkah Emey Suhaila tidaklah laju mana. Tapi Rogayah masih tidak dapat menangkap Emey Suhaila walhal dia sudah hampir mengah mengejar.
Tiba-tiba Rogayah terasa ada jari mengetuk bahunya dari tepi. Rogayah menoleh. Seorang pelajar perempuan berkerut-kerut melihatnya.
“Akak tak apa-apa ke?” soal pelajar perempuan itu.
Rogayah tercengang. Dia memandang muka pelajar perempuan itu sambil membetulkan cermin matanya. “Hah?”
“Beg akak tersangkut dekat meja...” Pelajar perempuan itu menunjuk ke arah beg sandang Rogayah yang tersangkut di bucu meja. Rogayah mengikut saja telunjuk pelajar itu lantas dia terus terpinga-pinga. Perlahan-lahan Rogayah menarik beg sandangnya dan membeleknya, takut-takut beg kesayangannya itu robek akibat tersangkut lama di situ sedangkan Rogayah beria-ia mengejar ke depan. Patutlah langkahnya tidak langsung dapat mengejar Emey Suhaila. Rupa-rupanya memang tidak bergerak langsung.
“Nasib baik meja tak tergolek tadi... sebab akak nampak bersungguh-sungguh berlari. Kalau tak, dah tentu kaki akak kena hempap...” Pelajar perempuan itu menambah.
Rogayah tidak beri respon. Malah dia sedikit pun tidak beri perhatian pada kata-kata pelajar perempuan di depannya itu. Mata yang memerhati dari sekitar perpustakaan itu juga tidak dipedulikannya. Sebaliknya dia terus membelek begnya terus.
Lantas pelajar perempuan tadi terus berlalu dan kembali ke tempat duduknya apabila Rogayah tidak mempedulikannya. Puas membelek begnya dari setiap sudut, atas, bawah dan dalam... Rogayah angkat muka. Pelajar perempuan yang menegurnya tadi sudah tiada. Rogayah pandang keliling.
“Aik, mana pula budak ni pergi? Lenyap macam tu aje? Tak sempat aku nak cakap terima kasih...” Rogayah menggaru kepala seraya mengeluh. Matanya liar pandang sekitar kawasan perpustakaan itu tapi dia tidak dapat mengecam pelajar perempuan tadi. Tanpa disedari satu lagi keluhan halus dilepaskan terus.
Rogayah berlari keluar sebaik terfikir akan Emey Suhaila. Bayang Emey Suhaila sudah tiada lagi di sekitar kawasan perpustakaan. Merata Rogayah pergi mencari Emey Suhaila setelah puas mencari gadis itu di luar kawasan perpustakaan. Rasanya Emey Suhaila belum pergi jauh dalam hanya beberapa minit ini. Apatah lagi sudah keluar dari kawasan kampus. Mustahil!
Rogayah terus mencari Emey Suhaila, sedang kuliah yang sepatutnya dia hadiri hampir sejam berlalu. Rogayah terus pasang niat untuk ponteng kelas... selagi dia tidak ketemu Emey Suhaila. Sebabnya, dia sudah malas mahu masuk kuliah jika Emey Suhaila atau Azura tiada. Sedangkan pelajar lain tengok dia macam makhluk asing dalam dewan kuliah. Kenapa? Sebab pakaian Rogayahkah yang menampakkan Rogayah sangat pelik? Sebab bingkai cermin mata Rogayah yang besar dan tebalkah? Atau hidung Rogayah panjang macam belalai gajah?
Lagipun, Emey Suhaila sajalah kawannya di kolej itu. Sementara rakan sekuliah yang lain, puas Rogayah bermanis mulut mahu berkawan tapi mereka buat tidak endah saja. Sebab itulah Rogayah malas mahu pergi kuliah.



“Lah, kenapa kau muncul depan aku lagi ni? Macam biskutlah kau ni. Macam mana kau boleh cari aku ni?” Emey Suhaila mengeluh tidak senang. Terpaksalah dia mengalah dengan Rogayah. Mana saja dia sembunyi, Rogayah tetap dapat mencarinya. Rogayah ni ahli nujum agaknya.
“Kau tu yang macam biskut.... kejap-kejap hilang, kejap-kejap lesap. Puas aku cari kau tau!” Rogayah termengah-mengah setelah henyak punggung di sebelah Emey Suhaila. Bertalu-talu Rogayah tarik nafas dalam-dalam bagi membayar hutang oksigen yang hampir tidak tertanggung.
“Buat apa kau cari aku? Pergilah masuk kuliah.” soal Emey Suhaila lagi. Matanya kembali tertumpu ke skrin komputer, sambil tangannya leka menggerakkan tetikus ke ruang layar skrin.
Rogayah menjeling ke skrin, mengintai laman sesawang yang dilayari Emey Suhaila. Scholar Google. Rogayah pernah mendengar nama sesawang itu sebelum ini. Jika tidak silap, di situlah pelajar selalu mencari artikel percuma.
“Baru berapa hari masuk kolej ni dah malas nak masuk kuliah ke?” tegur Emey Suhaila lagi.
“Aku bukan malaslah. Bosan! Tak ada kawan,” balas Rogayah mudah.
“Aik! Sebab tak ada kawan aje kau ponteng kelas?” Emey Suhaila menoleh ke sebelah, memandang ke muka Rogayah yang masih tercungap-cungap. “Dulu masa kau mula-mula daftar pun kau seorang juga kan? Masa kau datang sini dari kampung dulu pun seorang juga kan?”
Rogayah diam. Emey Suhaila turut diam. Perhatiannya kembali ke laman sesawang yang dilayarinya sejak awal tadi. Sesekali Emey Suhaila menaip sesuatu di dalam kotak carian di laman itu. Perbualan mereka mati seketika. Hanya kedengaran bunyi ketik tetikus yang ditekan jari telunjuk Emey Suhaila yang sesekali diselangi suara rawak pelajar-pelajar lain yang memenuhi kafe siber itu.
“Alah, tak apa. Aku boleh belajar sendiri dekat bilik nanti.” Rogayah bersuara semula setelah sesak di dada mulai reda.
Emey Suhaila membelek artikel yang dimuat naiknya sebentar tadi. Habis ayat yang dibaca, Emey Suhaila berpaling semula ke arah Rogayah. “Kau jangan buat macam tu selalu. Silap-silap kena potong markah tau,” balasnya lambat.
Terbelalak mata Rogayah mendengar kata-kata Emey Suhaila. Lantas jantungnya terus saja gemuruh. “Hah?! Kena potong markah ke?” soalnya semula hampir menjerit. Ada mata yang menjeling ke arahnya tapi Rogayah tidak endah.
“Yalah. Kalau lecturer rajin ambil kedatangan, silap-silap kena potong markah sebab ponteng kuliahlah. Takkan itu pun kau tak tahu?”
Rogayah geleng kepala sungguh-sungguh. “Banyak ke markah yang dipotong?”
Emey Suhaila jungkit bahu bersama cebikannya. “Entah. Ikut suka lecturer tulah,” balasnya mudah. Rogayah hempas tubuh ke kerusi. Pasrah. “Lain kali jangan gatal-gatal nak ponteng kelas lagi ya. Kalau silap langkah nanti, tak pasal-pasal kau kena repeat paper pula.”
“Habis tu, kenapa aku tengok kau selamba aje selalu ponteng kelas!”
“Mana ada selalu!” tukas Emey Suhaila sedikit keras. “Kalau markah aku kena potong pun, aku tak kesah. Otak aku ni genius. Aku mesti boleh catch-up balik!”
Rogayah melopong lagi. “Eh, ye ke Ila? Wah, bertuahnya aku dapat kawan macam kau ni. Nanti bolehlah kita belajar sama-sama ya? Kalau aku tak faham, bolehlah kau ajar aku kan... kan,” kata Rogayah beria-ia. Sedangkan Emey Suhaila hanya tersengih.
‘Genius? Genius konon. Aku ni memang cari penyakit... nanti kalau budak Rogayah ni tanya macam-macam satu habuk pun aku tak boleh jawab.’ Otak Emey Suhaila sudah mula melayang, membayangkan jika ajakan Rogayah itu menjadi kenyataan satu hari nanti.
Realitinya, Emey Suhaila bukan pelajar yang genius. Semester lepas saja sudah tiga subjek terpaksa diambil semula gara-gara keputusan peperiksaannya bukan saja tidak memberangsangkan tetapi gagal ketiga-tiga kertas. Mana tidaknya, silap dia juga sebab selalu sangat ponteng kuliah. Kalau dia hadir pun, otaknya tidak habis-habis melayang memikirkan tentang lelaki idamannya. Bila pensyarah beri latihan atau kerja kursus, Emey Suhaila sekadar fotokopi hasil kerja Azura. Begitulah caranya selama ini. Sekarang pun masih sama. Tiada yang berubah, seakan tidak terkesan dengan pengajaran mengulang kertas semester lepas.
Emey Suhaila geleng kepala laju-laju. ‘Ish, tak boleh jadi ni. Aku tak boleh benarkan Rogayah ajak aku belajar sama!’
“Eh, dahlah. Aku nak buat kerja ni. Kalau kau tak ada kerja, pergilah masuk kuliah. Nanti markah kau kena potong baru tahu!” Emey Suhaila cuba mengugut.
“Kau?”
“Alah, kau pergi ajelah. Lain kali aku masuklah...”
“Kalau macam tu, aku nak tengok apa kau buatlah. Aku pun nak belajar guna komputer ni.”
“Kau tak reti guna ke?”
Rogayah menggeleng lagi. “Rumah aku mana ada komputer. Dekat kampung aku tu pun, nak jumpa komputer sebuah pun susah.”
Emey Suhaila angguk. Melihat saja cara pemakaian Rogayah, mungkin benar pengakuan Rogayah tadi. Emey Suhaila hembus nafas panjang dan kemudian mula mengajar Rogayah sedikit demi sedikit cara menggunakan komputer itu.
Masa terus berlalu. pelajar-pelajar dalam bilik kafe siber itu sudah berkali-kali bertukar wajah. Sedang Emey Suhaila dan Rogayah masih di situ, berborak serta bertelagah entah tentang apa. Sudah tiga jam mereka menghadap komputer bersama. Dalam mereka rancak berborak, tiba-tiba Emey Suhaila bangun dan terus meluru ke pintu keluar.
“Kau banyak masa kan... jom ikut aku,” ajak Emey Suhaila lalu terus keluar. Rogayah yang terpinga-pinga kalut bangun dan berlari mendapatkan Emey Suhaila.
“Ila... nak pergi mana? Kalau ya pun, beritahulah nak pergi mana. Ila...” pekik Rogayah sedikit mencungap namun Emey Suhaila langsung tidak mempedulikan pekikannya itu. Hanya pegawai yang menjaga kaunter bilik siber saja yang sempat menjeling Rogayah seakan memberi amaran. Tapi Rogayah yang sibuk mahu menerpa Emey Suhaila itu tidak perasan akan amaran tersebut.

Sunday, July 21, 2013

Buddyz vs cinta: bab 6


Emey Suhaila tarik nafas panjang dan terus lontar tubuh ke katil. Matanya mengerling ke arah Azura yang kembali terlena setelah diberi suntikan di klinik tadi. Emey Suhaila meraba dahi Azura. Panasnya sudah berkurang sedikit. Emey Suhaila hela nafas lega.
Kemudian, Emey Suhaila turut henyak tubuh atas katil. Perlahan-lahan kelopak matanya dirapatkan. Satu nafas panjang dihela kemudiannya. Letih juga mahu memimpin Azura dari kereta hingga ke bilik tadi. Kalau biliknya di aras bawah kurang sikit seksanya. Tapi nasib baik jugalah badan Azura tu kecil molek saja. Kalau dibuatnya berisi macam Rogayah, mahu termengah-mengah Emey Suhaila dibuatnya nanti.
Berfikir tentang Rogayah, nasib baik juga ada Rogayah tadi. Emey Suhaila tidak pasti hajat Rogayah datang ke biliknya. Bagaimana Rogayah tahu di mana dia tinggal juga Emey Suhaila tidak pasti. Ah, bukan susah sangat mahu menjejaki Emey Suhaila. Emey Suhaila kan popular satu kolej. Sebut saja nama Emey Suhaila, siapa yang tidak kenal. Sebab itulah Rogayah senang sangat dapat mencari bilik Emey Suhaila agaknya.
Kalau tidak kerana Rogayah, entah apalah yang akan jadi. Sedangkan Emey Suhaila buntu akal tidak tahu buat apa. Entah-entah hingga ke esok Emey Suhaila kerah otak.
“Kalau kau perlukan apa-apa nanti, beritahulah aku nanti ya. Manalah tahu kau tak tahu nak jaga Zura ni ke, aku boleh tolong.”
Emey Suhaila serta-merta buka mata dan angkat kepala, memandang ke arah suara yang menegur. Rogayah masih terpacak di depan pintu. ‘Lah, tak balik lagi rupanya budak ni. Dah berapa lama dia tertonggok dekat situ?’ desisnya dalam hati.
“Kalau kau nak aku tidur dekat sini pun boleh... aku boleh tolong jagakan Zura. Selalunya kalau demam tinggi macam ni, dia mesti meracau tengah-tengah malam. Kalau kau seorang aku takut kau bingung lagi nanti...” Rogayah menambah. Niatnya sekadar mahu menghulurkan bantuan. Rogayah ingat pesanan ibunya.
“Rogayah, ingat pesan ibu. Dekat sana nanti, pandai-pandailah jaga diri. Pandai-pandai bergaul dengan orang. Jangan salah pilih kawan. Kalau dah berkawan, jaga hati kawan baik-baik. Kalau kawan susah, jangan lokek nak tolong. Mungkin masa tu hari dia, mana tahu esok lusa Rogayah susah mereka tolong Rogayah pula. Ingat pesan ibu ni!” Itulah antara pesanan ibu kepada Rogayah sebelum Rogayah berangkat. Kalau mahu diingatkan semua pesanan ibu, memang banyak. Ibu memang selalu nasihatkan Rogayah macam-macam.
Emey Suhaila gumam bibir lalu perlahan-lahan angkat badan dari baringan. Sesekali jari halusnya mengurut lembut badannya yang terasa sakit dan rasa sengal itu makin melarat ke seluruh tubuh. “Sempat lagi kau nak kenakan aku ya...”
“Eh, jangan salah faham. Aku bukan nak menyindir kau...” Rogayah kalut apabila telinganya dapat mendengar rungutan dari mulut Emey Suhaila walau nadanya perlahan. Tangan Rogayah dilayangkan ke depan, cuba menafikan telahan Emey Suhaila tadi. “Aku tak ada niat langsung nak sindir kau. Aku cuma risau kalau kau panik macam tadi. Kalau panik, memang selalu macam tu. Semuanya jadi serba tak kena nanti.”
Rogayah memerhati reaksi Emey Suhaila yang sudah bersandar ke dinding. Gadis yang baru sehari dua dia kenal itu hanya membisu. Walau sepatah kata, Emey Suhaila tidak lagi membalas. Rogayah garu kepala.
“Aku silap cakap ke?” Rogayah menyoal diri sambil jarinya terus menggaru kepala. ‘Ah, Ila penat agaknya. Tengok muka pun dah nampak pucat. Kalau macam tu... lebih baik aku balik aje. Nanti kacau dia pula,’ fikir Rogayah.
“Emm... kalau kau tak nak aku tolong tak apalah. Kau pun mesti dah penat, aku pun tak mahu kacau dan tambah lelah kau. Kalau macam tu, aku balik dululah.”
“Kau nak aku hantar tak?” Emey Suhaila menjengah kepala melihat Rogayah di depan pintu. Lemah saja suaranya. “Dah gelap dekat luar tu...”
“Eh, tak payahlah. Kau pun dah nampak penat sangat. Jangan risaukan pasal aku. Aku dah biasa. Dekat kampung aku tu lagi gelap tak ada lampu. Kau rehat ajelah cukup-cukup. Nanti kau pula yang sakit. Aku balik dulu.” Rogayah minta diri dan terus berpaling. Seketika, Rogayah menoleh semula ke arah Emey Suhaila. “Betul kau tak perlukan bantuan aku?” Tidak sedap hati pula Rogayah mahu pergi begitu. Anak matanya mengerling ke arah Azura sekilas.
Emey Suhaila diam dan hanya memandang muka Rogayah dengan wajah tidak bermaya.
“Tak apalah kalau macam tu. Kau rehat cukup-cukup tau. Aku balik dulu!” Sekali lagi, Rogayah minta diri. Kali ini dia tekad walaupun hatinya rasa tidak senang. Tombol pintu cepat-cepat dipulas lalu kakinya melangkah perlahan sebaik pintu dikuak luas.
“Rogayah, nanti!”
Langkah Rogayah serta-merta terhenti apabila namanya dipanggil kuat. Rogayah menoleh semula ke belakang dan melihat Emey Suhaila yang terjenguk ke depan, memandang ke arahnya dari balik almari. Namun, Emey Suhaila hanya memandang. Tiada pula walau sepatah perkataan yang keluar dari mulutnya selepas itu.
Rogayah terkebil-kebil di depan pintu. Sambil menggaru kepala, Rogayah menyoal. “Kau panggil aku ke tadi?” soalnya mahukan kepastian. Rasanya memang suara Emey Suhaila yang di dengarnya tadi. Takkanlah suara Azura yang terlentang atas katil tu pula atau suara makhluk halus yang sengaja mahu mengganggu Rogayah? Ish, selisih! Mintalah dijauhkan...
Lama juga Rogayah menunggu tapi Emey Suhaila tetap berdiam diri. Pandangan Emey Suhaila pula dibuang ke lantai. Rogayah menggaru kepala lagi kemudian digelengkan pula.
“Emm... perasan aku aje kot,” ujar Rogayah perlahan kepada dirinya lalu mengundurkan kaki. Daun pintu ditariknya perlahan.
“Rogayah! Nanti kejap!” Suara tadi memekik lagi. Kedengaran bunyi tapak kaki terhentak-hentak mendekati pintu. Terkebil-kebil mata Rogayah memandang Emey Suhaila yang menyelak daun pintu dan menjengahkan kepala keluar seketika kemudian.



Malam itu, Rogayah bermalam di bilik Emey Suhaila setelah Emey Suhaila membenarkan dia berbuat begitu. Bagus juga Rogayah ada di situ. Boleh juga Rogayah tolong tengok-tengokkan keadaan Azura.
Bila Emey Suhaila fikir-fikir balik, ada benarnya dalam kata-kata Rogayah sebelum ini. Emey Suhaila memang rasa panik sampai hendak pengsan sebelum Rogayah datang. Bila sudah panik, memang otaknya keras tidak boleh fikir apa-apa. Sekarang rasanya Emey Suhaila sudah boleh menarik nafas lega. Sebab Rogayah kan ada. Biliknya yang tadinya berselerak juga Rogayah sudah tolong kemaskan. Kalau Rogayah hari-hari duduk di biliknya bagus juga. Ada orang yang tolong kemas bilik hari-hari.
Kalau hendak ditimbang, mungkin berkilo rasa terima kasih Emey Suhaila kepada Rogayah atas pertolongannya hari ini. Dari menjaga Azura hinggalah tolong bersihkan bilik Emey Suhaila yang tidak sempat dia uruskan beberapa hari ini. Tapi apa yang buatkan Emey Suhaila bengang, dari awal tadi Rogayah memang buat biliknya itu macam biliknya pula.
Kononnya awal-awal tadi kata nak bagi Emey Suhaila rehat. Tapi lain pula yang jadi. Tak pasal-pasal pula Emey Suhaila terpaksa menghantar Rogayah balik ke kolej. Mahu mengambil barang keperluan katanya. Disuruh guna saja barang Emey Suhaila dia tidak mahu. Seganlah, tak mahu menyusahkanlah. Digesanya Emey Suhaila supaya menghantar ke sana ke sini, tak menyusahkankah namanya tu? Lebih baik Emey Suhaila hantar Rogayah terus ke kolej. Tak payah ikut Emey Suhaila balik lagi.
Hati Emey Suhaila merusuh menunggu Rogayah yang berjam mengemas barang-barangnya. Emey Suhaila memang terbeliak besar melihat beg baju Rogayah yang besar macam hendak balik kampung. Siap angkut semua bantal, selimut dengan bantal busuk pun ada sekali. Lagaknya macam hendak duduk berbulan-bulan di bilik Emey Suhaila. Lepas tu, Rogayah bentang selimutnya itu di tengah-tengah bilik. Aduh, semak mata Emey Suhaila dibuatnya.
Tambah sebal, Emey Suhaila terpaksa melayan bermacam cerita dan soalan Rogayah. Kebas rasanya telinga Emey Suhaila yang terpaksa mendengar suara Rogayah sejak tiga jam lalu. Jam loceng di atas meja juga sudah menunjukkan hampir jam satu pagi. Mata Emey Suhaila benar-benar terasa berat. Seakan ada batu yang tergantung di kelopak matanya sekarang. Namun setiap kali dia terlelap, Rogayah pasti mengejutnya semula.
“Ila, janganlah tidur dulu. Jomlah borak dengan aku lagi...” kejut Rogayah sambil menggoncang bahu Emey Suhaila apabila menyedari mata gadis itu tertutup rapat. Hah, itulah yang Rogayah buat setiap kali Emey Suhaila cuba untuk melelapkan mata.
Kalau beginilah gayanya, semalam cukuplah. Emey Suhaila memang rasa tidak sanggup. Harap-harap Azura akan sihat esok. Tak perlulah Rogayah bermalam di bilik mereka lagi.
Emey Suhaila mengeluh keras. Letih mahu melayan Rogayah sedangkan matanya tidak lagi mampu dibuka luas. Badan yang terasa letih juga semakin sakit. Sakit itu seakan sudah menjalar ke seluruh badan hingga tubuhnya terasa betul-betul kebas. “Apa lagi kau nak borak? Tidur ajelah. Esok ada kelas lagilah...” rungut Emey Suhaila lemah.
“Alaa, aku tak boleh tidurlah. Kau janganlah tinggalkan aku seorang... bosanlah kalau kau pun tidur juga.”
“Ishhh!” Emey Suhaila garu kepala. Kemudian dia memalingkan tubuhnya ke dinding. Selimut yang menutup hingga ke pinggang sengaja ditarik sehingga menutupi kepala.
“Ila, temanlah aku.... Ila...” Rogayah goncang tubuh Emey Suhaila lagi. Selimut yang menutupi tubuh Emey Suhaila diselak. Emey Suhaila menarik kembali selimut itu namun Rogayah sekali lagi menyambarnya. “Temanlah aku Ila. Aku bosanlah...”
Emey Suhaila menepis tangan Rogayah yang terus menggoncang tubuhnya. Rimas betul! Mahu lelapkan mata pun susah. Emey Suhaila bangkit dari baring, menghadap Rogayah dengan muka bengang. “Kau nak borak apa lagi tengah-tengah malam buta ni? Ish, menyesal aku ajak kau tidur dekat bilik aku ni tau. Menyusahkan betul. Aku nak tidur pun tak senang. Kalau kau tak boleh tidur, pergilah balik bilik kau. Buatlah apa yang kau nak buat, aku tak peduli.”
“Aku cuma nak tolong kau jaga Zura aje...”
“Habis tu, kata nak tolong... tolonglah jaga dia. Janganlah kacau aku nak tidur pula. Awal-awal tadi kau juga yang suruh aku rehat cukup-cukup. Jangan sampai sakit konon. Kalau macam ni, aku boleh sakit tau!” bentak Emey Suhaila lagi sambil melempar renungannya tepat ke dalam mata Rogayah.
Rogayah muncung. Air mukanya tiba-tiba bertukar keruh. Hujung bantal busuknya dicarik-carik perlahan. Emey Suhaila hempas keluhan halus.
‘Ah, sudah! Nak merajuk pula ke? Aduh... macam budak kecil betullah. Kau ni pun satulah Ila. Apa yang kau buat ni? Habislah imej baik hati kau kalau kau terus marah-marah macam ni...’ getus Emey Suhaila dalam hati lalu hembus keluhan perlahan sekali lagi.
“Okey... okey. Aku mengalahlah... aku yang salah, aku minta maaf okey.”
Emey Suhaila pasrah semata-mata tidak mahu imej baik yang cuba dibina di depan Rogayah terpalit rasa tidak senang gadis itu. Silap hari bulan dia juga yang susah nanti. Siapa tahu kalau gadis yang banyak mulut macam Rogayah itu akan menyebarkan cerita yang tidak baik tentangnya. Punahlah harapannya untuk menjadi Ratu Kolej nanti. Melayang bersama cerita-cerita Rogayah. Lagipun Emey Suhaila juga tidak boleh menjamin yang Rogayah tidak mungkin akan menokok tambah cerita. Dia pun baru sehari dua mengenali Rogayah. Malah dia tidak tahu hati budi gadis itu. Walaupun Rogayah sudah membantunya tadi, tapi itu bukan alasan untuk dia terus percaya Rogayah begitu saja. Ah, Emey Suhaila bukannya orang yang mudah untuk mempercayai orang lain.
Sorry okey...” Emey Suhaila hela nafas panjang setelah mengeluarkan kata maaf itu. “Aduh, kenapa aku kena minta maaf pula ni? Tak pasal-pasal aje... leceh betullah budak ni,” keluhnya dengan nada kesal. Namun suaranya yang halus kali ini tidak mungkin didengari telinga nipis Rogayah. Tidak untuk kali ini.
Rogayah mengulum senyum setelah mendengar kata-kata maaf dari mulut Emey Suhaila. Wajahnya kembali ceria. Walaupun nada Emey Suhaila tidak menampakkan keihklasan kata-katanya, tapi sudah cukup jika Emey Suhaila sudi menemani dan berborak dengannya. Rogayah sudah cukup gembira kerana Emey Suhaila satu-satunya kawan Rogayah di kolej itu, malah di bandar yang asing baginya ini.
“Okey, aku dah minta maaf. Sekarang, aku nak tidur. Aku betul-betul dah ngantuk sangat ni. Mata aku ni betul-betul rasa berat... tak larat aku nak tahan lagi,” kata Emey Suhaila lagi dan terus menghenyak kepalanya semula ke bantal sekaligus mematikan senyuman Rogayah tadi.
“Alah Ila!” rungut Rogayah sedikit tinggi, namun manja. Aduh, kalau cik abang yang dengar boleh cair agaknya. Sangka Rogayah, Emey Suhaila akan melayan dia berborak. Rupa-rupanya melayan bantal semula. “Ila...”
Emey Suhaila cuba buka mata yang semakin terasa berat. Bersusah payah dia menyelak kelopak mata untuk melihat reaksi Rogayah setelah berkali-kali telinganya menangkap rungutan kawan barunya itu. Dalam pandangan yang samar, Emey Suhaila dapat melihat air muka Rogayah yang kembali keruh. Mulut Rogayah dilihatnya terkumat-kamit tetapi suara Rogayah seakan semakin tenggelam.
“Aku ngantuklah. Kau tutuplah lampu. Bila dah gelap nanti, kau pun boleh tidur...” Emey Suhaila bersuara lemah.
Emey Suhaila tersentak apabila tiba-tiba saja mukanya ditekup sesuatu. Basah! Rasa sejuk serentak menusuk ke seluruh urat saraf di mukanya. Sekaligus Emey Suhaila bangun dan meraba mukanya. Emey Suhaila cuba buka mata luas-luas dan mata Emey Suhaila kembali bulat apabila melihat tuala basah yang sebelum ini diteram di dahi Azura kini berada dalam tangannya. Emey Suhaila lempar pandang ke muka Rogayah. Rogayah hanya tersengih nakal di tempatnya.
Hati Emey Suhaila benar-benar berombak kencang. Terkejut dia dibuatnya bila Rogayah tiba-tiba bertindak seperti tadi sedang dia baru saja mahu menikmati mimpi indah.
“Rogayah...” Emey Suhaila hampir menangis. Tuala basah yang dipegangnya dicampak ke lantai dan terus merengek bagai anak kecil.
Sakit hati dengan sikap Rogayah tapi dia tidak mampu mahu marah kerana mahu menjaga imej kononnya. Tapi Emey Suhaila separuh sakit jiwa mahu melayan kerenah dan cerita-cerita Rogayah. Kalau diikutkan cerita-cerita Rogayah tidak pernah sampai ke penghujungnya. Ada saja sambungannya. Letih! Kalau macam tu, lebih baik Rogayah bikin drama. Siapa tahu kalau Rogayah boleh jadi penulis skrip terkenal.
Sakit di seluruh badan Emey Suhaila sebab memimpin Azura dan asyik turun naik tangga juga masih belum hilang sengalnya. Ditambah pula kepala Emey Suhaila yang kini juga sudah terasa sakit sebab tersentak dari lena yang baru berusia belum kurang seminit tadi. Terasa bagai dicucuk-cucuk isi kepalanya itu dengan jarum panjang. Aduh, pendek kata semuanyalah sakit.
“Alah, kau janganlah merengek macam ni pula Ila. Macam budak-budak aje. Hodoh betul rupa kau.”
Emey Suhaila berhenti merengek. Matanya terus tertancap ke muka Rogayah dengan muncung panjang sudah terbit di bibirnya. “Amboi, sedapnya mulut mengata aku!’ gumamnya geram. Pantang sungguh telinga Emey Suhaila mendengar perkataan hodoh itu diajukan padanya. Tidak pernah sepanjang dia di kolej ini ada orang tegar mengatanya hodoh. ‘Cis! Berani sungguh budak Rogayah ni. Baru setahun jagung dekat sini, dah berani lawan tauke nampak!’ getus hati Emey Suhaila dengan bengkak hati. ‘Sesedap rasa aje dia kata muka aku hodoh. Ceh! Apa, ingat muka dia tu cantik sangat? Ish!’
“Kalau orang sakit, bolehlah aku tolong jaga tapi kalau orang merajuk aku tak pandai nak pujuk...” Rogayah menyambung.
“Tak payah!” balas Emey Suhaila cepat dengan nada yang tinggi.
“Hah?” Rogayah melopong.
Emey Suhaila sambar patung beruang yang terjatuh ke lantai lalu dipeluk kuat. Ikutkan hati dia mahu tumbuk perut patung beruang itu cukup-cukup. Tapi nanti nampak sangatlah yang dia tengah marah. “Tak payah. Aku tak suruh pun kau pujuk,” balasnya lambat. “Yang kau ni tak reti-reti nak tidur ni kenapa? Tengok jam tu, dah pukul berapa? Esok ada kelas pukul lapan tau!”
Rogayah tersengih lagi. Sebal hati Emey Suhaila melihat senyuman itu. Rasa muak mahu melihat senyuman begitu dari bibir Rogayah. Memang patutlah Azura tidak berkenan dengan budak Rogayah ini. Emey Suhaila juga sudah mula rasa letih dengan perangai Rogayah. Lebih letih dari marathon sepuluh kilometer. Walaubagaimanapun, Emey Suhaila tetap cuba sembunyikan perasaan itu dari terpancar terus di mukanya.
“Mata aku tak rasa ngantuk... nak buat macam mana?” jawab Rogayah bersama senyuman lebarnya.
Emey Suhaila merengus perlahan. Jarinya menggaru kepala yang tiba-tiba terasa gatal. Gatal sebab melayan cakap Rogayah. “Macam mana mata kau tak jadi burung hantu. Siapa suruh kau bantai minum nescafe sampai tiga cawan? Setiap setengah jam, kau bancuh nescafe aku. Lepas tu dah tak boleh tidur, babitkan aku sama pula...” Emey Suhaila membalas sambil merenung tajam ke muka Rogayah yang terus saja membuahkan senyuman yang tidak larat mahu dilihatnya lagi.
Senyuman yang terbit dari bibir kecil itu memang comel. Macam bibir budak kecil. Memang comel sangat. Malah Emey Suhaila sendiri pernah rasa terubat melihat senyuman itu tetapi kalau dah setiap soalannya asyik dibalas dengan senyuman itu, Emey Suhaila juga rasa muak. Macamlah kata-katanya sebelum ini bernada gurauan.
Emey Suhaila menarik nafas perlahan-lahan dan kemudian dilepaskan terus. Dia tidak ada hati mahu bergaduh. Lagipun dia sudah nekad pada dirinya mahu berbaik-baik dengan Rogayah. Kononnya mahu meluaskan pengaruhnya di kolej walau Emey Suhaila sedar pengaruhnya pada Rogayah tidak memberi impak besar mana pun. Bukannya Rogayah anak orang ternama yang perlu dikejarnya untuk mendekati gadis itu. Rogayah pun bukannya seorang pelajar baru yang terkenal di kolej untuk Emey Suhaila mesti berkawan baik dengannya semata-mata untuk meningkatkan popularitinya. Siapalah Rogayah, tiada siapa yang mengenali gadis itu. Tapi, kenapa Emey Suhaila mahu sangat menjaga hubungan mereka? Entahlah, Emey Suhaila sendiri tidak pasti.
‘Entah-entah Rogayah ada pakai ubat guna-guna kot sampai aura dia kuat semacam!’ detik hati Emey Suhaila. Emey Suhaila geleng kepala sungguh-sungguh, cuba menghalau semua cakap-cakap yang bermain dibenaknya kini.
“Tadi...” Rogayah besarkan mata dan cuba pasang telinga luas-luas. Beria-ia benar dia memberi perhatian pada kata-kata yang bakal keluar dari mulut Emey Suhaila. “Tadi kau datang bilik aku ni... atas sebab apa sebenarnya?”
Rogayah tersenyum lagi mendengar soalan Emey Suhaila itu. Emey Suhaila menjeling bila melihat senyuman itu terlebih dulu dilemparkan padanya. Tapi bukan senyuman itu yang dia mahukan. Emey Suhaila cuma mahukan jawapan bukan senyuman yang selalunya menjadi jawapan bagi soalan-soalannya. Namun senyuman Rogayah kali ini nampak berlainan. Nampak nakal bersama tawa kecil yang sedikit demi sedikit muntah dari peti suara Rogayah. Kemudian bahu gadis berbadan sedikit gempal itu terhinjut-hinjut mengikut rentak tawanya.
Emey Suhaila kerut dahi, tidak mengerti akan reaksi Rogayah kali ini. Tapi Emey Suhaila seakan dapat menghidu sesuatu dari kotak fikiran Rogayah. Mesti sebab yang Emey Suhaila susah mahu terima sekaligus menyesakkan lagi otaknya.
“Aku tanya kau kenapa kau datang bilik aku tadi, bukan suruh kau gelak atau senyum meleret macam tu, cik Rogayah oi. Takkanlah kau datang semata-mata nak tolong aku. Kau bukannya psikik pun kan...”
Rogayah terus tersengih, menampakkan barisan gigi depan hingga ke tepi. Sesekali dia ketawa nakal. “Aku... sebenarnya... sebenarnya... sebenarnya aku...”
“Sebenarnya kau apa?” tempelak Emey Suhaila sedikit marah setelah lama menunggu jawapan Rogayah yang tergagap diselangi tawanya dari tadi.
“Sebenarnya aku nak tanya kau pasal Razali!” latah Rogayah termengah-mengah. Emey Suhaila melopong sementara Rogayah mengatup mulutnya dengan tapak tangan. Kemudian, Rogayah tersengih lagi. Alang-alang dia sudah terlepas cakap, lebih baik teruskan saja niatnya untuk bertanyakan tentang lelaki itu.
Emey Suhaila lekas-lekas tarik selimut seraya rebahkan badan. Selimut ditarik terus hingga menutupi kepala. Malas Emey Suhaila mahu menjawab soalan Rogayah lagi selepas ini kalau tentang Razali yang mahu dia bangkitkan. Aduh, menyesal pula Emey Suhaila gatal-gatal mengajukan soalan itu tadi. Bergunung rasanya perasaan kesal dalam hatinya ketika ini.
Berkali-kali Rogayah cuba menarik selimut yang menutupi tubuh Emey Suhaila, namun tidak berjaya. Emey Suhaila genggam selimut itu kuat-kuat.
“Ila... janganlah pura-pura tidur. Aku nak tanya ni... jawablah soalan aku dulu!”
“Kenapa kau tiba-tiba nak tanya pasal dia pula? Kau suka dia ke?” Emey Suhaila menebak sebarang sebaik bangun semula dan menghadap Rogayah. Seketika, Emey Suhaila luku kepala sendiri disusuli dengan satu keluhan berat. Menyesal sekali lagi kerana masih melayan perbualan Rogayah. Entah kenapalah Emey Suhaila tidak mampu mengelak. Mulut dia juga seakan sudah terjangkit penyakit Rogayah yang ringan sangat mahu bercakap. Walhal mata yang berat digagahkan juga dibuka luas.
“Ish, tak adalah!” tukas Rogayah cepat. “Aku cuma nak tanya kau pasal Razali dengan kau. Petang tadi kau tak jawab satu pun soalan aku pasal dia. Kau dengan dia ada apa-apa ke?”
Emey Suhaila melopong lagi sedangkan Rogayah mengelipkan matanya berkali-kali, setia menanti jawapan daripada Emey Suhaila.
“Ah, aku ngantuklah. Aku nak tidur!” Emey Suhaila lekas-lekas henyak tubuh semula dan menarik selimut menutupi tubuhnya buat sekian kalinya. Entah berapa kali perbuatan itu berulang sejak awal tadi. Tapi dia masih belum berkesempatan lelapkan mata.
Rogayah yang masih tidak puas hati menerpa ke arah Emey Suhaila. Tubuh Emey Suhaila digoncang lagi namun kali ini Emey Suhaila betul-betul tekad tidak mahu mempedulikannya. Malah Emey Suhaila menekup mukanya dengan bantal. Malas dia mahu melayan cakap Rogayah lagi. Nanti mata dia juga jadi seperti mata beruang koala esok pagi.
Rogayah kembali duduk di tempat tidurnya dengan muka monyok setelah Emey Suhaila langsung tidak mengendahkannya dan pura-pura lena. “Alah, kalau tak mahu jawab tu... maknanya betullah tu,” telahnya cuba membuat andaian mudah.
“Jangan nak mengarut. Aku tak ada apa-apa dengan jantan tu!” betah Emey Suhaila tinggi. Matanya membulat ke arah Rogayah.
Muka Rogayah kembali berseri bila Emey Suhaila memberi reaksi. Berjaya juga muslihatnya tadi. Jadi, bolehlah Rogayah tahu cerita selanjutnya dari Emey Suhaila sebab Emey Suhaila mesti mahu membela diri. Tapi belum sempat Rogayah buka mulut semula, Emey Suhaila lebih pantas bersuara.
“Kenapa kau nak tahu sangat? Nak jadi paparazi ke?” lontarnya dalam nada marah lalu terus berpaling dan menekup bantal ke kepalanya kuat-kuat. Malah, apa saja yang Rogayah utarakan selepas itu juga sudah tidak diambil endah lagi oleh Emey Suhaila.
Rogayah monyok lagi. Melayan perasaan dan bermacam soalan yang bermain di benaknya. Jam sudah lama melewati angka dua tapi mata Rogayah sedikit pun tidak terasa kantuk. Inilah bahananya sebab terlebih minum kafein. Sudahnya berjaga macam kelawar. Kalau esok masa kuliah tiba-tiba rasa mengantuk pula habislah. Sudahlah esok pagi kuliah Dr. Zulia yang agak garang dan suka aju soalan. Tambah-tambah Rogayah budak baru di kelas itu. Entah-entah Rogayah akan terus menjadi sasaran sebab kelas yang lalu pun asyik dia saja yang terpaksa menjawab soalan Dr Zulia.
Rogayah turut hempas tubuh. Dia cuba lelapkan mata. Kipas yang berpusing perlahan di siling ditenung lama. Namun tidak sedikitpun membuatkan matanya mahu lena. Rogayah cuba pula memanggil Emey Suhaila tetapi gadis itu tidak menjawab. Sudah tidur barangkali. Atau gadis itu marah kerana Rogayah melontarkan soalan berkenaan Razali sebentar tadi.
‘Kenapa Ila nak marah pula?’ fikirnya cuba mencari jawapan tapi masakan Rogayah tahu. Kalau dia tahu, masakan dia mahu bertanyakan hal lelaki itu pada Emey Suhaila.
‘Tapi sebab aku tak tahulah aku kena tanya. Kalau tak tanya macam mana nak tahu jawapannya. Kalau Ila tak mahu cakap... perlu ke aku tanya dari Razali pula? Ish, seganlah. Dahlah dia tak pernah tegur aku. Tapi kan aku baru aje masuk kolej ni beberapa hari. Mestilah belum sempat bertegur sapa dengan semua orang. Tapi takkan tiba-tiba aje aku nak tanya hubungan dia dengan Ila pula? Nanti dia ingat aku ada hati dekat dia pula sampai nak ambil tahu sampai ke situ.’
Rogayah geleng kepala sungguh-sungguh. Malamnya terus dihiasi dengan bermacam soalan yang menerpa kotak fikirannya sedang mata Rogayah masih lagi tidak mampu untuk lelap, seperti Azura dan Emey Suhaila.