Pages

Hi pembaca semua!!!

Terima kasih kerana datang melawat, membaca karya-karya dalam blog ini dan terima kasih juga kepada semua yang menyokong Yuri. Yuri rasa happy sangat dengan kehadiran korang dalam hidup mahupun alam maya Yuri ni.

Segala komen dan sokongan sentiasa dan akan terus membakar semangat Yuri untuk terus berkarya menggunakan nama pena ayu munawer.

Semua karya di dalam blog ini adalah ilusi, imaginasi serta daripada pengalaman hidup. Dan yang paling penting, semua karya di sini adalah hasil karya Yuri. Mohon supaya tiada copycat dekat sini... tqvm

Harap korang terus menyokong dan beri komen mahupun kritikan untuk Yuri memperbaiki sebarang kekurangan.

P/S: Untuk makluman, karya "Dia Si Jantung Hati" akan dihentikan penerbitannya di sini atas sebab rombakan besar-besaran plot cerita. Justeru itu, judulnya juga bakal berubah. Maaf atas sebarang kesulitan. Harap korang setia menunggu dan menyokong hasil rombakannya nanti okey ^^,
"Aku tak suka kau la" kini diterbitkan di penulisan2u dengan tajuk "JIWA KACAU"..saja nk tukar tajuk. Sebb yuri rasa cam lg sesuai je tajuk ni..lebih pendek n ringkas hehe ada ka yuri edit2 skit. Harap u all x kesah nk singgah baca :-)
Sudi-sudilah berkunjung ke official blogshop yuri di http://decodanmakan.blogspot.com yer. Walaupun rupanya masih macam blog biasa, yuri pun masih belajar lagi macam mana nak upgradekannya. Macam-macam ada. Nak tau apa yang ada, kenalah singgah.

Terima kasih (^^,)v

Sunday, July 21, 2013

Buddyz vs cinta: bab 6


Emey Suhaila tarik nafas panjang dan terus lontar tubuh ke katil. Matanya mengerling ke arah Azura yang kembali terlena setelah diberi suntikan di klinik tadi. Emey Suhaila meraba dahi Azura. Panasnya sudah berkurang sedikit. Emey Suhaila hela nafas lega.
Kemudian, Emey Suhaila turut henyak tubuh atas katil. Perlahan-lahan kelopak matanya dirapatkan. Satu nafas panjang dihela kemudiannya. Letih juga mahu memimpin Azura dari kereta hingga ke bilik tadi. Kalau biliknya di aras bawah kurang sikit seksanya. Tapi nasib baik jugalah badan Azura tu kecil molek saja. Kalau dibuatnya berisi macam Rogayah, mahu termengah-mengah Emey Suhaila dibuatnya nanti.
Berfikir tentang Rogayah, nasib baik juga ada Rogayah tadi. Emey Suhaila tidak pasti hajat Rogayah datang ke biliknya. Bagaimana Rogayah tahu di mana dia tinggal juga Emey Suhaila tidak pasti. Ah, bukan susah sangat mahu menjejaki Emey Suhaila. Emey Suhaila kan popular satu kolej. Sebut saja nama Emey Suhaila, siapa yang tidak kenal. Sebab itulah Rogayah senang sangat dapat mencari bilik Emey Suhaila agaknya.
Kalau tidak kerana Rogayah, entah apalah yang akan jadi. Sedangkan Emey Suhaila buntu akal tidak tahu buat apa. Entah-entah hingga ke esok Emey Suhaila kerah otak.
“Kalau kau perlukan apa-apa nanti, beritahulah aku nanti ya. Manalah tahu kau tak tahu nak jaga Zura ni ke, aku boleh tolong.”
Emey Suhaila serta-merta buka mata dan angkat kepala, memandang ke arah suara yang menegur. Rogayah masih terpacak di depan pintu. ‘Lah, tak balik lagi rupanya budak ni. Dah berapa lama dia tertonggok dekat situ?’ desisnya dalam hati.
“Kalau kau nak aku tidur dekat sini pun boleh... aku boleh tolong jagakan Zura. Selalunya kalau demam tinggi macam ni, dia mesti meracau tengah-tengah malam. Kalau kau seorang aku takut kau bingung lagi nanti...” Rogayah menambah. Niatnya sekadar mahu menghulurkan bantuan. Rogayah ingat pesanan ibunya.
“Rogayah, ingat pesan ibu. Dekat sana nanti, pandai-pandailah jaga diri. Pandai-pandai bergaul dengan orang. Jangan salah pilih kawan. Kalau dah berkawan, jaga hati kawan baik-baik. Kalau kawan susah, jangan lokek nak tolong. Mungkin masa tu hari dia, mana tahu esok lusa Rogayah susah mereka tolong Rogayah pula. Ingat pesan ibu ni!” Itulah antara pesanan ibu kepada Rogayah sebelum Rogayah berangkat. Kalau mahu diingatkan semua pesanan ibu, memang banyak. Ibu memang selalu nasihatkan Rogayah macam-macam.
Emey Suhaila gumam bibir lalu perlahan-lahan angkat badan dari baringan. Sesekali jari halusnya mengurut lembut badannya yang terasa sakit dan rasa sengal itu makin melarat ke seluruh tubuh. “Sempat lagi kau nak kenakan aku ya...”
“Eh, jangan salah faham. Aku bukan nak menyindir kau...” Rogayah kalut apabila telinganya dapat mendengar rungutan dari mulut Emey Suhaila walau nadanya perlahan. Tangan Rogayah dilayangkan ke depan, cuba menafikan telahan Emey Suhaila tadi. “Aku tak ada niat langsung nak sindir kau. Aku cuma risau kalau kau panik macam tadi. Kalau panik, memang selalu macam tu. Semuanya jadi serba tak kena nanti.”
Rogayah memerhati reaksi Emey Suhaila yang sudah bersandar ke dinding. Gadis yang baru sehari dua dia kenal itu hanya membisu. Walau sepatah kata, Emey Suhaila tidak lagi membalas. Rogayah garu kepala.
“Aku silap cakap ke?” Rogayah menyoal diri sambil jarinya terus menggaru kepala. ‘Ah, Ila penat agaknya. Tengok muka pun dah nampak pucat. Kalau macam tu... lebih baik aku balik aje. Nanti kacau dia pula,’ fikir Rogayah.
“Emm... kalau kau tak nak aku tolong tak apalah. Kau pun mesti dah penat, aku pun tak mahu kacau dan tambah lelah kau. Kalau macam tu, aku balik dululah.”
“Kau nak aku hantar tak?” Emey Suhaila menjengah kepala melihat Rogayah di depan pintu. Lemah saja suaranya. “Dah gelap dekat luar tu...”
“Eh, tak payahlah. Kau pun dah nampak penat sangat. Jangan risaukan pasal aku. Aku dah biasa. Dekat kampung aku tu lagi gelap tak ada lampu. Kau rehat ajelah cukup-cukup. Nanti kau pula yang sakit. Aku balik dulu.” Rogayah minta diri dan terus berpaling. Seketika, Rogayah menoleh semula ke arah Emey Suhaila. “Betul kau tak perlukan bantuan aku?” Tidak sedap hati pula Rogayah mahu pergi begitu. Anak matanya mengerling ke arah Azura sekilas.
Emey Suhaila diam dan hanya memandang muka Rogayah dengan wajah tidak bermaya.
“Tak apalah kalau macam tu. Kau rehat cukup-cukup tau. Aku balik dulu!” Sekali lagi, Rogayah minta diri. Kali ini dia tekad walaupun hatinya rasa tidak senang. Tombol pintu cepat-cepat dipulas lalu kakinya melangkah perlahan sebaik pintu dikuak luas.
“Rogayah, nanti!”
Langkah Rogayah serta-merta terhenti apabila namanya dipanggil kuat. Rogayah menoleh semula ke belakang dan melihat Emey Suhaila yang terjenguk ke depan, memandang ke arahnya dari balik almari. Namun, Emey Suhaila hanya memandang. Tiada pula walau sepatah perkataan yang keluar dari mulutnya selepas itu.
Rogayah terkebil-kebil di depan pintu. Sambil menggaru kepala, Rogayah menyoal. “Kau panggil aku ke tadi?” soalnya mahukan kepastian. Rasanya memang suara Emey Suhaila yang di dengarnya tadi. Takkanlah suara Azura yang terlentang atas katil tu pula atau suara makhluk halus yang sengaja mahu mengganggu Rogayah? Ish, selisih! Mintalah dijauhkan...
Lama juga Rogayah menunggu tapi Emey Suhaila tetap berdiam diri. Pandangan Emey Suhaila pula dibuang ke lantai. Rogayah menggaru kepala lagi kemudian digelengkan pula.
“Emm... perasan aku aje kot,” ujar Rogayah perlahan kepada dirinya lalu mengundurkan kaki. Daun pintu ditariknya perlahan.
“Rogayah! Nanti kejap!” Suara tadi memekik lagi. Kedengaran bunyi tapak kaki terhentak-hentak mendekati pintu. Terkebil-kebil mata Rogayah memandang Emey Suhaila yang menyelak daun pintu dan menjengahkan kepala keluar seketika kemudian.



Malam itu, Rogayah bermalam di bilik Emey Suhaila setelah Emey Suhaila membenarkan dia berbuat begitu. Bagus juga Rogayah ada di situ. Boleh juga Rogayah tolong tengok-tengokkan keadaan Azura.
Bila Emey Suhaila fikir-fikir balik, ada benarnya dalam kata-kata Rogayah sebelum ini. Emey Suhaila memang rasa panik sampai hendak pengsan sebelum Rogayah datang. Bila sudah panik, memang otaknya keras tidak boleh fikir apa-apa. Sekarang rasanya Emey Suhaila sudah boleh menarik nafas lega. Sebab Rogayah kan ada. Biliknya yang tadinya berselerak juga Rogayah sudah tolong kemaskan. Kalau Rogayah hari-hari duduk di biliknya bagus juga. Ada orang yang tolong kemas bilik hari-hari.
Kalau hendak ditimbang, mungkin berkilo rasa terima kasih Emey Suhaila kepada Rogayah atas pertolongannya hari ini. Dari menjaga Azura hinggalah tolong bersihkan bilik Emey Suhaila yang tidak sempat dia uruskan beberapa hari ini. Tapi apa yang buatkan Emey Suhaila bengang, dari awal tadi Rogayah memang buat biliknya itu macam biliknya pula.
Kononnya awal-awal tadi kata nak bagi Emey Suhaila rehat. Tapi lain pula yang jadi. Tak pasal-pasal pula Emey Suhaila terpaksa menghantar Rogayah balik ke kolej. Mahu mengambil barang keperluan katanya. Disuruh guna saja barang Emey Suhaila dia tidak mahu. Seganlah, tak mahu menyusahkanlah. Digesanya Emey Suhaila supaya menghantar ke sana ke sini, tak menyusahkankah namanya tu? Lebih baik Emey Suhaila hantar Rogayah terus ke kolej. Tak payah ikut Emey Suhaila balik lagi.
Hati Emey Suhaila merusuh menunggu Rogayah yang berjam mengemas barang-barangnya. Emey Suhaila memang terbeliak besar melihat beg baju Rogayah yang besar macam hendak balik kampung. Siap angkut semua bantal, selimut dengan bantal busuk pun ada sekali. Lagaknya macam hendak duduk berbulan-bulan di bilik Emey Suhaila. Lepas tu, Rogayah bentang selimutnya itu di tengah-tengah bilik. Aduh, semak mata Emey Suhaila dibuatnya.
Tambah sebal, Emey Suhaila terpaksa melayan bermacam cerita dan soalan Rogayah. Kebas rasanya telinga Emey Suhaila yang terpaksa mendengar suara Rogayah sejak tiga jam lalu. Jam loceng di atas meja juga sudah menunjukkan hampir jam satu pagi. Mata Emey Suhaila benar-benar terasa berat. Seakan ada batu yang tergantung di kelopak matanya sekarang. Namun setiap kali dia terlelap, Rogayah pasti mengejutnya semula.
“Ila, janganlah tidur dulu. Jomlah borak dengan aku lagi...” kejut Rogayah sambil menggoncang bahu Emey Suhaila apabila menyedari mata gadis itu tertutup rapat. Hah, itulah yang Rogayah buat setiap kali Emey Suhaila cuba untuk melelapkan mata.
Kalau beginilah gayanya, semalam cukuplah. Emey Suhaila memang rasa tidak sanggup. Harap-harap Azura akan sihat esok. Tak perlulah Rogayah bermalam di bilik mereka lagi.
Emey Suhaila mengeluh keras. Letih mahu melayan Rogayah sedangkan matanya tidak lagi mampu dibuka luas. Badan yang terasa letih juga semakin sakit. Sakit itu seakan sudah menjalar ke seluruh badan hingga tubuhnya terasa betul-betul kebas. “Apa lagi kau nak borak? Tidur ajelah. Esok ada kelas lagilah...” rungut Emey Suhaila lemah.
“Alaa, aku tak boleh tidurlah. Kau janganlah tinggalkan aku seorang... bosanlah kalau kau pun tidur juga.”
“Ishhh!” Emey Suhaila garu kepala. Kemudian dia memalingkan tubuhnya ke dinding. Selimut yang menutup hingga ke pinggang sengaja ditarik sehingga menutupi kepala.
“Ila, temanlah aku.... Ila...” Rogayah goncang tubuh Emey Suhaila lagi. Selimut yang menutupi tubuh Emey Suhaila diselak. Emey Suhaila menarik kembali selimut itu namun Rogayah sekali lagi menyambarnya. “Temanlah aku Ila. Aku bosanlah...”
Emey Suhaila menepis tangan Rogayah yang terus menggoncang tubuhnya. Rimas betul! Mahu lelapkan mata pun susah. Emey Suhaila bangkit dari baring, menghadap Rogayah dengan muka bengang. “Kau nak borak apa lagi tengah-tengah malam buta ni? Ish, menyesal aku ajak kau tidur dekat bilik aku ni tau. Menyusahkan betul. Aku nak tidur pun tak senang. Kalau kau tak boleh tidur, pergilah balik bilik kau. Buatlah apa yang kau nak buat, aku tak peduli.”
“Aku cuma nak tolong kau jaga Zura aje...”
“Habis tu, kata nak tolong... tolonglah jaga dia. Janganlah kacau aku nak tidur pula. Awal-awal tadi kau juga yang suruh aku rehat cukup-cukup. Jangan sampai sakit konon. Kalau macam ni, aku boleh sakit tau!” bentak Emey Suhaila lagi sambil melempar renungannya tepat ke dalam mata Rogayah.
Rogayah muncung. Air mukanya tiba-tiba bertukar keruh. Hujung bantal busuknya dicarik-carik perlahan. Emey Suhaila hempas keluhan halus.
‘Ah, sudah! Nak merajuk pula ke? Aduh... macam budak kecil betullah. Kau ni pun satulah Ila. Apa yang kau buat ni? Habislah imej baik hati kau kalau kau terus marah-marah macam ni...’ getus Emey Suhaila dalam hati lalu hembus keluhan perlahan sekali lagi.
“Okey... okey. Aku mengalahlah... aku yang salah, aku minta maaf okey.”
Emey Suhaila pasrah semata-mata tidak mahu imej baik yang cuba dibina di depan Rogayah terpalit rasa tidak senang gadis itu. Silap hari bulan dia juga yang susah nanti. Siapa tahu kalau gadis yang banyak mulut macam Rogayah itu akan menyebarkan cerita yang tidak baik tentangnya. Punahlah harapannya untuk menjadi Ratu Kolej nanti. Melayang bersama cerita-cerita Rogayah. Lagipun Emey Suhaila juga tidak boleh menjamin yang Rogayah tidak mungkin akan menokok tambah cerita. Dia pun baru sehari dua mengenali Rogayah. Malah dia tidak tahu hati budi gadis itu. Walaupun Rogayah sudah membantunya tadi, tapi itu bukan alasan untuk dia terus percaya Rogayah begitu saja. Ah, Emey Suhaila bukannya orang yang mudah untuk mempercayai orang lain.
Sorry okey...” Emey Suhaila hela nafas panjang setelah mengeluarkan kata maaf itu. “Aduh, kenapa aku kena minta maaf pula ni? Tak pasal-pasal aje... leceh betullah budak ni,” keluhnya dengan nada kesal. Namun suaranya yang halus kali ini tidak mungkin didengari telinga nipis Rogayah. Tidak untuk kali ini.
Rogayah mengulum senyum setelah mendengar kata-kata maaf dari mulut Emey Suhaila. Wajahnya kembali ceria. Walaupun nada Emey Suhaila tidak menampakkan keihklasan kata-katanya, tapi sudah cukup jika Emey Suhaila sudi menemani dan berborak dengannya. Rogayah sudah cukup gembira kerana Emey Suhaila satu-satunya kawan Rogayah di kolej itu, malah di bandar yang asing baginya ini.
“Okey, aku dah minta maaf. Sekarang, aku nak tidur. Aku betul-betul dah ngantuk sangat ni. Mata aku ni betul-betul rasa berat... tak larat aku nak tahan lagi,” kata Emey Suhaila lagi dan terus menghenyak kepalanya semula ke bantal sekaligus mematikan senyuman Rogayah tadi.
“Alah Ila!” rungut Rogayah sedikit tinggi, namun manja. Aduh, kalau cik abang yang dengar boleh cair agaknya. Sangka Rogayah, Emey Suhaila akan melayan dia berborak. Rupa-rupanya melayan bantal semula. “Ila...”
Emey Suhaila cuba buka mata yang semakin terasa berat. Bersusah payah dia menyelak kelopak mata untuk melihat reaksi Rogayah setelah berkali-kali telinganya menangkap rungutan kawan barunya itu. Dalam pandangan yang samar, Emey Suhaila dapat melihat air muka Rogayah yang kembali keruh. Mulut Rogayah dilihatnya terkumat-kamit tetapi suara Rogayah seakan semakin tenggelam.
“Aku ngantuklah. Kau tutuplah lampu. Bila dah gelap nanti, kau pun boleh tidur...” Emey Suhaila bersuara lemah.
Emey Suhaila tersentak apabila tiba-tiba saja mukanya ditekup sesuatu. Basah! Rasa sejuk serentak menusuk ke seluruh urat saraf di mukanya. Sekaligus Emey Suhaila bangun dan meraba mukanya. Emey Suhaila cuba buka mata luas-luas dan mata Emey Suhaila kembali bulat apabila melihat tuala basah yang sebelum ini diteram di dahi Azura kini berada dalam tangannya. Emey Suhaila lempar pandang ke muka Rogayah. Rogayah hanya tersengih nakal di tempatnya.
Hati Emey Suhaila benar-benar berombak kencang. Terkejut dia dibuatnya bila Rogayah tiba-tiba bertindak seperti tadi sedang dia baru saja mahu menikmati mimpi indah.
“Rogayah...” Emey Suhaila hampir menangis. Tuala basah yang dipegangnya dicampak ke lantai dan terus merengek bagai anak kecil.
Sakit hati dengan sikap Rogayah tapi dia tidak mampu mahu marah kerana mahu menjaga imej kononnya. Tapi Emey Suhaila separuh sakit jiwa mahu melayan kerenah dan cerita-cerita Rogayah. Kalau diikutkan cerita-cerita Rogayah tidak pernah sampai ke penghujungnya. Ada saja sambungannya. Letih! Kalau macam tu, lebih baik Rogayah bikin drama. Siapa tahu kalau Rogayah boleh jadi penulis skrip terkenal.
Sakit di seluruh badan Emey Suhaila sebab memimpin Azura dan asyik turun naik tangga juga masih belum hilang sengalnya. Ditambah pula kepala Emey Suhaila yang kini juga sudah terasa sakit sebab tersentak dari lena yang baru berusia belum kurang seminit tadi. Terasa bagai dicucuk-cucuk isi kepalanya itu dengan jarum panjang. Aduh, pendek kata semuanyalah sakit.
“Alah, kau janganlah merengek macam ni pula Ila. Macam budak-budak aje. Hodoh betul rupa kau.”
Emey Suhaila berhenti merengek. Matanya terus tertancap ke muka Rogayah dengan muncung panjang sudah terbit di bibirnya. “Amboi, sedapnya mulut mengata aku!’ gumamnya geram. Pantang sungguh telinga Emey Suhaila mendengar perkataan hodoh itu diajukan padanya. Tidak pernah sepanjang dia di kolej ini ada orang tegar mengatanya hodoh. ‘Cis! Berani sungguh budak Rogayah ni. Baru setahun jagung dekat sini, dah berani lawan tauke nampak!’ getus hati Emey Suhaila dengan bengkak hati. ‘Sesedap rasa aje dia kata muka aku hodoh. Ceh! Apa, ingat muka dia tu cantik sangat? Ish!’
“Kalau orang sakit, bolehlah aku tolong jaga tapi kalau orang merajuk aku tak pandai nak pujuk...” Rogayah menyambung.
“Tak payah!” balas Emey Suhaila cepat dengan nada yang tinggi.
“Hah?” Rogayah melopong.
Emey Suhaila sambar patung beruang yang terjatuh ke lantai lalu dipeluk kuat. Ikutkan hati dia mahu tumbuk perut patung beruang itu cukup-cukup. Tapi nanti nampak sangatlah yang dia tengah marah. “Tak payah. Aku tak suruh pun kau pujuk,” balasnya lambat. “Yang kau ni tak reti-reti nak tidur ni kenapa? Tengok jam tu, dah pukul berapa? Esok ada kelas pukul lapan tau!”
Rogayah tersengih lagi. Sebal hati Emey Suhaila melihat senyuman itu. Rasa muak mahu melihat senyuman begitu dari bibir Rogayah. Memang patutlah Azura tidak berkenan dengan budak Rogayah ini. Emey Suhaila juga sudah mula rasa letih dengan perangai Rogayah. Lebih letih dari marathon sepuluh kilometer. Walaubagaimanapun, Emey Suhaila tetap cuba sembunyikan perasaan itu dari terpancar terus di mukanya.
“Mata aku tak rasa ngantuk... nak buat macam mana?” jawab Rogayah bersama senyuman lebarnya.
Emey Suhaila merengus perlahan. Jarinya menggaru kepala yang tiba-tiba terasa gatal. Gatal sebab melayan cakap Rogayah. “Macam mana mata kau tak jadi burung hantu. Siapa suruh kau bantai minum nescafe sampai tiga cawan? Setiap setengah jam, kau bancuh nescafe aku. Lepas tu dah tak boleh tidur, babitkan aku sama pula...” Emey Suhaila membalas sambil merenung tajam ke muka Rogayah yang terus saja membuahkan senyuman yang tidak larat mahu dilihatnya lagi.
Senyuman yang terbit dari bibir kecil itu memang comel. Macam bibir budak kecil. Memang comel sangat. Malah Emey Suhaila sendiri pernah rasa terubat melihat senyuman itu tetapi kalau dah setiap soalannya asyik dibalas dengan senyuman itu, Emey Suhaila juga rasa muak. Macamlah kata-katanya sebelum ini bernada gurauan.
Emey Suhaila menarik nafas perlahan-lahan dan kemudian dilepaskan terus. Dia tidak ada hati mahu bergaduh. Lagipun dia sudah nekad pada dirinya mahu berbaik-baik dengan Rogayah. Kononnya mahu meluaskan pengaruhnya di kolej walau Emey Suhaila sedar pengaruhnya pada Rogayah tidak memberi impak besar mana pun. Bukannya Rogayah anak orang ternama yang perlu dikejarnya untuk mendekati gadis itu. Rogayah pun bukannya seorang pelajar baru yang terkenal di kolej untuk Emey Suhaila mesti berkawan baik dengannya semata-mata untuk meningkatkan popularitinya. Siapalah Rogayah, tiada siapa yang mengenali gadis itu. Tapi, kenapa Emey Suhaila mahu sangat menjaga hubungan mereka? Entahlah, Emey Suhaila sendiri tidak pasti.
‘Entah-entah Rogayah ada pakai ubat guna-guna kot sampai aura dia kuat semacam!’ detik hati Emey Suhaila. Emey Suhaila geleng kepala sungguh-sungguh, cuba menghalau semua cakap-cakap yang bermain dibenaknya kini.
“Tadi...” Rogayah besarkan mata dan cuba pasang telinga luas-luas. Beria-ia benar dia memberi perhatian pada kata-kata yang bakal keluar dari mulut Emey Suhaila. “Tadi kau datang bilik aku ni... atas sebab apa sebenarnya?”
Rogayah tersenyum lagi mendengar soalan Emey Suhaila itu. Emey Suhaila menjeling bila melihat senyuman itu terlebih dulu dilemparkan padanya. Tapi bukan senyuman itu yang dia mahukan. Emey Suhaila cuma mahukan jawapan bukan senyuman yang selalunya menjadi jawapan bagi soalan-soalannya. Namun senyuman Rogayah kali ini nampak berlainan. Nampak nakal bersama tawa kecil yang sedikit demi sedikit muntah dari peti suara Rogayah. Kemudian bahu gadis berbadan sedikit gempal itu terhinjut-hinjut mengikut rentak tawanya.
Emey Suhaila kerut dahi, tidak mengerti akan reaksi Rogayah kali ini. Tapi Emey Suhaila seakan dapat menghidu sesuatu dari kotak fikiran Rogayah. Mesti sebab yang Emey Suhaila susah mahu terima sekaligus menyesakkan lagi otaknya.
“Aku tanya kau kenapa kau datang bilik aku tadi, bukan suruh kau gelak atau senyum meleret macam tu, cik Rogayah oi. Takkanlah kau datang semata-mata nak tolong aku. Kau bukannya psikik pun kan...”
Rogayah terus tersengih, menampakkan barisan gigi depan hingga ke tepi. Sesekali dia ketawa nakal. “Aku... sebenarnya... sebenarnya... sebenarnya aku...”
“Sebenarnya kau apa?” tempelak Emey Suhaila sedikit marah setelah lama menunggu jawapan Rogayah yang tergagap diselangi tawanya dari tadi.
“Sebenarnya aku nak tanya kau pasal Razali!” latah Rogayah termengah-mengah. Emey Suhaila melopong sementara Rogayah mengatup mulutnya dengan tapak tangan. Kemudian, Rogayah tersengih lagi. Alang-alang dia sudah terlepas cakap, lebih baik teruskan saja niatnya untuk bertanyakan tentang lelaki itu.
Emey Suhaila lekas-lekas tarik selimut seraya rebahkan badan. Selimut ditarik terus hingga menutupi kepala. Malas Emey Suhaila mahu menjawab soalan Rogayah lagi selepas ini kalau tentang Razali yang mahu dia bangkitkan. Aduh, menyesal pula Emey Suhaila gatal-gatal mengajukan soalan itu tadi. Bergunung rasanya perasaan kesal dalam hatinya ketika ini.
Berkali-kali Rogayah cuba menarik selimut yang menutupi tubuh Emey Suhaila, namun tidak berjaya. Emey Suhaila genggam selimut itu kuat-kuat.
“Ila... janganlah pura-pura tidur. Aku nak tanya ni... jawablah soalan aku dulu!”
“Kenapa kau tiba-tiba nak tanya pasal dia pula? Kau suka dia ke?” Emey Suhaila menebak sebarang sebaik bangun semula dan menghadap Rogayah. Seketika, Emey Suhaila luku kepala sendiri disusuli dengan satu keluhan berat. Menyesal sekali lagi kerana masih melayan perbualan Rogayah. Entah kenapalah Emey Suhaila tidak mampu mengelak. Mulut dia juga seakan sudah terjangkit penyakit Rogayah yang ringan sangat mahu bercakap. Walhal mata yang berat digagahkan juga dibuka luas.
“Ish, tak adalah!” tukas Rogayah cepat. “Aku cuma nak tanya kau pasal Razali dengan kau. Petang tadi kau tak jawab satu pun soalan aku pasal dia. Kau dengan dia ada apa-apa ke?”
Emey Suhaila melopong lagi sedangkan Rogayah mengelipkan matanya berkali-kali, setia menanti jawapan daripada Emey Suhaila.
“Ah, aku ngantuklah. Aku nak tidur!” Emey Suhaila lekas-lekas henyak tubuh semula dan menarik selimut menutupi tubuhnya buat sekian kalinya. Entah berapa kali perbuatan itu berulang sejak awal tadi. Tapi dia masih belum berkesempatan lelapkan mata.
Rogayah yang masih tidak puas hati menerpa ke arah Emey Suhaila. Tubuh Emey Suhaila digoncang lagi namun kali ini Emey Suhaila betul-betul tekad tidak mahu mempedulikannya. Malah Emey Suhaila menekup mukanya dengan bantal. Malas dia mahu melayan cakap Rogayah lagi. Nanti mata dia juga jadi seperti mata beruang koala esok pagi.
Rogayah kembali duduk di tempat tidurnya dengan muka monyok setelah Emey Suhaila langsung tidak mengendahkannya dan pura-pura lena. “Alah, kalau tak mahu jawab tu... maknanya betullah tu,” telahnya cuba membuat andaian mudah.
“Jangan nak mengarut. Aku tak ada apa-apa dengan jantan tu!” betah Emey Suhaila tinggi. Matanya membulat ke arah Rogayah.
Muka Rogayah kembali berseri bila Emey Suhaila memberi reaksi. Berjaya juga muslihatnya tadi. Jadi, bolehlah Rogayah tahu cerita selanjutnya dari Emey Suhaila sebab Emey Suhaila mesti mahu membela diri. Tapi belum sempat Rogayah buka mulut semula, Emey Suhaila lebih pantas bersuara.
“Kenapa kau nak tahu sangat? Nak jadi paparazi ke?” lontarnya dalam nada marah lalu terus berpaling dan menekup bantal ke kepalanya kuat-kuat. Malah, apa saja yang Rogayah utarakan selepas itu juga sudah tidak diambil endah lagi oleh Emey Suhaila.
Rogayah monyok lagi. Melayan perasaan dan bermacam soalan yang bermain di benaknya. Jam sudah lama melewati angka dua tapi mata Rogayah sedikit pun tidak terasa kantuk. Inilah bahananya sebab terlebih minum kafein. Sudahnya berjaga macam kelawar. Kalau esok masa kuliah tiba-tiba rasa mengantuk pula habislah. Sudahlah esok pagi kuliah Dr. Zulia yang agak garang dan suka aju soalan. Tambah-tambah Rogayah budak baru di kelas itu. Entah-entah Rogayah akan terus menjadi sasaran sebab kelas yang lalu pun asyik dia saja yang terpaksa menjawab soalan Dr Zulia.
Rogayah turut hempas tubuh. Dia cuba lelapkan mata. Kipas yang berpusing perlahan di siling ditenung lama. Namun tidak sedikitpun membuatkan matanya mahu lena. Rogayah cuba pula memanggil Emey Suhaila tetapi gadis itu tidak menjawab. Sudah tidur barangkali. Atau gadis itu marah kerana Rogayah melontarkan soalan berkenaan Razali sebentar tadi.
‘Kenapa Ila nak marah pula?’ fikirnya cuba mencari jawapan tapi masakan Rogayah tahu. Kalau dia tahu, masakan dia mahu bertanyakan hal lelaki itu pada Emey Suhaila.
‘Tapi sebab aku tak tahulah aku kena tanya. Kalau tak tanya macam mana nak tahu jawapannya. Kalau Ila tak mahu cakap... perlu ke aku tanya dari Razali pula? Ish, seganlah. Dahlah dia tak pernah tegur aku. Tapi kan aku baru aje masuk kolej ni beberapa hari. Mestilah belum sempat bertegur sapa dengan semua orang. Tapi takkan tiba-tiba aje aku nak tanya hubungan dia dengan Ila pula? Nanti dia ingat aku ada hati dekat dia pula sampai nak ambil tahu sampai ke situ.’
Rogayah geleng kepala sungguh-sungguh. Malamnya terus dihiasi dengan bermacam soalan yang menerpa kotak fikirannya sedang mata Rogayah masih lagi tidak mampu untuk lelap, seperti Azura dan Emey Suhaila.

No comments:

Post a Comment