Emey Suhaila hempas fail bersama tas tangannya atas meja
lalu terus henyak punggung di kerusi. Habis saja kuliah Dr. Zulia tadi, Emey
Suhaila cepat-cepat keluar dari dewan kuliah melalui pintu belakang. Tiada hati
rasanya mahu terus duduk di dalam dewan kuliah itu walaupun sekejap lagi kuliah
Dr. Suria pula akan bermula. Mukanya sudah cukup tebal kerana ditegur Dr. Zulia
tadi. Rasa panas seluruh muka ni bila Dr. Zulia mula menyerangnya dengan
bermacam soalan sepanjang kuliah. Semuanya gara-gara Emey Suhaila terlewat
masuk kuliah Dr. Zulia tadi.
Sudahlah semalam Emey Suhaila tidak sempat untuk membuat
persediaan mahupun mengulangkaji untuk kuliah Dr. Zulia. Memandangkan Dr. Zulia
memang rajin mengajukan soalan, memang padanlah muka kalau menjadi sasarannya
dalam kuliah. Selalunya Azura yang rajin buat nota sebelum kuliah Dr. Zulia.
Jika Emey Suhaila kena soal sekalipun, Azura masih boleh membisikkan jawapan di
sebelah. Tapi... Azura pula demam dan masih terbaring di bilik. Aduh, memang
malang betul nasib Emey Suhaila hari ini.
Tidak! Bukan nasib Emey Suhaila yang malang. Ini semua
sebab Rogayah, budak baru yang banyak sangat mulut itu. Sebab Rogayah ajak
berborak semalamlah Emey Suhaila lambat tidur. Setiap kali Emey Suhaila cuba
tidur, teruk badan Emey Suhaila digoncang Rogayah. Macam goncang susu kocak
pula lagaknya. Sudahnya, Emey Suhaila terlajak bangun pagi tadi. Solat Subuh
pun terlewat hingga langit di luar hampir terang... apa kata orang, solat subuh
gajah?
Buka-buka mata saja Rogayah sudah tiada. Selimut dan
bantal-bantal Rogayah yang penuh di tengah-tengah biliknya juga sudah lenyap
dari pandangan. Geram betul hati Emey Suhaila bila Rogayah pergi begitu saja.
Seingat Emey Suhaila, tidak ada pula Rogayah cuba mengejutnya. Sebelum Emey
Suhaila lelapkan mata semalam, sibuk pula minah itu asyik mengejutnya dari
tidur.
Hati Emey Suhaila tambah panas bila mengingatkan hal pagi
tadi. Bila dia memikirkan hal sewaktu dia melangkah masuk ke dewan kuliah, hati
Emey Suhaila tambah terbakar. Bukan kerana teguran Dr. Zulia yang membuatkan Emey
Suhaila sakit hati. Teguran yang diberikan Dr. Zulia tadi ada benarnya tapi
sindiran Melissa, budak gedik dalam kuliahnya itu yang membuatkan hati Emey
Suhaila benar-benar bengkak. Berlagak Ratu Kolej tapi hati busuk.
“Hai tuan puteri, khadam dah berhenti ke? Tak ada orang
nak kejutkan tidur? Ke penat jaga anak malam semalam?” Begitulah kata-kata Melissa
sebaik Emey Suhaila melangkahkan kakinya meniti anak tangga naik ke tempat
duduk di bahagian atas dalam dewan kuliah. Suara Melissa yang nyaring sudah
cukup buatkan seluruh dewan kuliah dapat mendengar sindirannya itu. Merah padam
muka Emey Suhaila bila sebahagian pelajar galak ketawa mendengar usikan Melissa
itu.
Tambah sakit hati, ada pula suara-suara sumbang yang
mengatanya ketika Dr. Zulia sedang memberikan kuliahnya di depan. Apa, mereka
ingat Emey Suhaila tidak dapat dengar apa yang mereka bincangkan? Sakit betul
hati Emey Suhaila! Satu butir kuliah Dr. Zulia pun tidak masuk ke kepalanya.
Malah, tidak singgah langsung ke telinga Emey Suhaila sedangkan telinganya
sudah sesak diasak bermacam kata-kata sumbang yang Emey Suhaila curi-curi
dengar. Sebab itulah, Emey Suhaila kalut bila Dr. Zulia tidak habis-habis
melontar soalan kepadanya. Satu soalan pun Emey Suhaila tidak mampu berikan
jawapan. Terpaksalah Emey Suhaila pura-pura dongkat dagu ke atas atau ketuk
hujung pen ke meja, lagak seperti sedang berfikir. Tapi sebenarnya otak Emey
Suhaila rasa kosong. Soalan yang diajukan oleh Dr. Zulia juga tidak dapat
dikenalpasti isinya.
Emey Suhaila terhentak-hentak berjalan melalui depan
dewan kuliah selepas kuliah berakhir. Cepat-cepat dia mahu meninggalkan kawasan
itu sebelum bertembung dengan Dr. Zulia yang juga sedang bersiap untuk keluar
dari dewan. Sambil itu, mulutnya terkumat-kamit mengomel sendiri. Geram betul
hati Emey Suhaila hari ini.
“Cis, pandai pula mulut diorang nak mengata aku.
Entah-entah selama ni mereka tu cuma pura-pura baik aje depan aku. Dekat
belakang, mengata puas-puas!” gumam Emey Suhaila geram. Jari-jemarinya yang
panjang meruncing sudah mula digenggam kuat. “Bagus sangatlah tu. Hipokrit
betul!”
Emey Suhaila merengus keras. Bayangan di sepanjang kuliah
tadi cuba ditepis jauh. Buat sakit hati Emey Suhaila saja.
“Rogayah ni pun satu. Sebab dialah aku tak dapat tidur
lena semalam. Kalau aku nampak batang hidung dia hari ni, siaplah dia.” Emey
Suhaila nekad mahu luku-luku kepala Rogayah sebaik gadis itu muncul di
depannya. Paling kurang pun, Emey Suhaila mahu membebel sepuas-puasnya. Biar
Rogayah pula terpaksa menyumbat telinga dengan suara Emey Suhaila kali ini. Emey
Suhaila sudah malas mahu pura-pura berlembut dengan Rogayah. Biarlah Rogayah
tahu siapa Emey Suhaila sebenarnya, sama seperti Azura.
Ah, kalau Emey Suhaila jadi puteri yang baik hati pun
orang lain cuma pura-pura baik di depannya tapi mengata bagai nak rak di
belakang. Emey Suhaila sudah tidak mahu ambil kira itu semua.
“Eh, tak boleh!” betah hati kecil Emey Suhaila tiba-tiba
sebaik mengambil tempat di dalam perpustakaan. Sengaja Emey Suhaila ambil
tempat di hujung-hujung, jauh dari kumpulan besar pelajar lain. ‘Bersusah-payah
kau cipta watak personaliti tuan puteri tu. Takkan sebab hal kecil macam tu kau
nak lenyapkan terus identiti tu. Biarlah apa suara sumbang tu nak kata. Mereka
tu sebenarnya cuma cemburu dekat kau... sebab tu mereka mengata kau
macam-macam. Mereka tu memang tak sayang mulut kan...’ Emey Suhaila angguk
sungguh-sungguh, setuju dengan kata hatinya sendiri.
“Betul... betul! Lagi-lagi si Melissa, mulut dia tu
memang busuk! Dia memang cemburukan aku sejak dulu lagi sebab si Razali tu
tolak cinta dia. Si Razali pula pergi syok dekat aku buat apa? Bukan salah aku.
Sebab tulah perempuan mulut busuk tu benci sangat dekat aku. Betul... betul
tu!” Emey Suhaila mengangguk lagi. Kali ini lebih galak.
“Hah! Kat sini kau rupanya!” sergah satu suara dari
belakang bersama bunyi dentuman atas meja di depan Emey Suhaila.
“Oh, mak kau meletup!” latah Emey Suhaila serta-merta
mengiringi sergahan tadi. Bagai bergoncang satu dunia ini seketika. Tidak lama
kemudian Emey Suhaila dapat melihat muka Rogayah yang tersengih-sengih di
depannya. Emey Suhaila mengucap panjang sambil mengurut dada yang bergetar.
Menderu darahnya dibuat Rogayah. Fuh semangat!
“Hei, apa kau buat ni? Nak bagi aku mati katak dekat sini
ke?” bentak Emey Suhaila lantang. Tapi Rogayah meletakkan jari telunjuknya di
bibir sambil berdesir perlahan, seakan memberi isyarat kepada Emey Suhaila
supaya memperlahankan suaranya. “Apa shhh-shhh. Nak tercabut jantung aku tahu
tak?” Emey Suhaila hilang sabar. Namun Rogayah seperti biasa hanya membuahnya
senyum kambingnya lalu turut henyak punggung atas kerusi di depan Emey Suhaila.
“Siapa yang mulut busuk? Siapa yang tolak cinta siapa
ni?” soal Rogayah pula berbisik sambil mendekatkan mukanya ke depan muka Emey
Suhaila. “Ceritalah kat aku...”
Emey Suhaila menjeling. ‘Ish, bukannya dia nak minta maaf
ke apa ke sebab dah terkejutkan aku. Sibuk nak tanya macam-macam pula. Macam
mana dia boleh dengar apa yang aku cakap tadi, tak tahulah. Betul-betul telinga
nipislah budak ni!’ bengkeng Emey Suhaila dalam hati. Ikutkan marahnya yang
masih berbaki, mahu saja dia memekik kuat-kuat ke telinga Rogayah tapi takut
pelajar lain yang turut berada di dalam perpustakaan itu juga curi dengar.
Habislah Emey Suhaila nanti sebab sebarkan gosip panas tu.
“Kenapa kau ada dekat sini ni? Tak masuk kuliah ke?” soal
Emey Suhaila pula, cuba lari dari topik perbualan yang dimulakan Rogayah.
Rogayah mencebik kemudian lontar tubuh ke belakang
kerusi. “Bosan! Subjek tu aku tak berapa nak minatlah. Ngantuk aku duduk dalam
dewan kuliah tu...” balas Rogayah memberi alasan. Rogayah buka beg sandangnya
lalu mengeluarkan buku nota dan diletakkan di atas meja bersama alat tulis.
“Ceh, baru berapa hari belajar dekat kolej ni dah kata
bosan?” Emey Suhaila beri reaksi tidak percaya. “Alasan aje kan. Apa lagi yang
kau nak tanya aku sebenarnya?”
Rogayah curi-curi pandang muka Emey Suhaila sambil
pura-pura membelek dalam beg sandangnya. Entah apa yang mahu dicarinya, dia
sendiri tidak pasti. Tidak lama, senyuman terukir di bibirnya sebaik Emey
Suhaila mengulang telahannya tadi. Senyuman Rogayah itu semakin lama semakin
lebar lantas dilemparkan kepada Emey Suhaila.
“Kau ni memang hebatlah Ila. Baru berapa hari kau kenal
aku, kau dah masak fikiran aku kan. Hebat betullah kau ni.”
“Bila pula aku masak fikiran kau? Kalau aku masak fikiran
kau, dah lama kau mati tau?” balas Emey Suhaila selamba.
Rogayah melopong, tidak mengerti loyar buruk yang muntah
dari mulut Emey Suhaila. Emey Suhaila menjeling lagi. “Lampi betullah kau ni.”
“Lampi? Menatang apa tu?”
“Lampi tu maknanya lambat pick-up. Faham?” balas Emey Suhaila lagi, malas.
Rogayah angguk. “Kenapa panggil lampi? Bahasa apa tu?” Muka
Rogayah terus terpinga-pinga, tidak mengerti. Sejak hari pertama dia sampai ke
situ, banyak betul perkataan baru yang tidak pernah didengarnya sebelum ini.
“Budak kolej memang suka guna bahasa pelik-pelik ni ke? Aku tak pernah jumpa
dalam kamus pun.”
“Itu short form
ajelah. Ramai aje budak yang guna perkataan tu. Tak semestinya ada dalam kamus.
Kalau kau tak mahu guna, kau tak usahlah guna. Itu cuma bahasa rojak antara
kita aje. Dalam exam jangan pula kau
guna.”
“Kenapa nak guna bahasa pelik-pelik ni? Kalau guna bahasa
yang memang semua orang faham kan senang...” Rogayah tidak puas hati.
Sakit jiwa Emey Suhaila bila disoal Rogayah. Kalau
dibiarkan makin banyak pula soalan Rogayah padanya nanti. Emey Suhaila
cepat-cepat cari akal untuk mengalih topik perbualan mereka semula. “Kalau kau
tak ada hal nak cakap, aku nak balik biliklah.” Emey Suhaila lekas-lekas pungut
barangnya dari atas meja dan bingkas bangun.
“Eh, nantilah dulu Ila!” Rogayah juga pantas membongkok
ke depan dan menyambar tangan Emey Suhaila. “Kau tak mahu pergi kelas ke? Hari
ni kelas sampai petang kan?”
“Aku tak ada hatilah nak pergi kelas lagi. Hati aku ni
dah cukup sakit tahu?” Emey Suhaila menarik tangannya semula namun Rogayah
sekali lagi melayangkan badannya ke atas meja dan kembali menyambar tangan Emey
Suhaila yang dilepaskan tadi.
Emey Suhaila berpaling dan melihat reaksi Rogayah itu.
Spontan Emey Suhaila menarik nafas perlahan lalu menggelengkan kepala. “Perlu
ke kau panjat meja sampai macam tu? Tu... orang tengah tengok tu. Jangan nak
malukan aku pula dekat sini.” Emey Suhaila beri amaran dengan nada geram. Puas
ditahan mukanya yang terasa tegang supaya pelajar lain tidak nampak reaksi
marahnya itu.
Rogayah turut pandang keliling. Perlahan-lahan dia
melepaskan tangannya dari mencengkam tangan Emey Suhaila. Kemudian dia
tersengih sendiri sambil menggaru kepala yang tidak langsung terasa gatal. Malunya
Rogayah rasa...
‘Ceh, gaya macam nak tahan teman lelaki pergi pula...’ detik
Emey Suhaila sendiri sambil membetulkan beg tangannya yang terlurut akibat
tangannya yang ditarik Rogayah tadi. Kemudian Emey Suhaila membetulkan pula
jaket denimnya sebelum berlalu pergi.
“Kejaplah Ila...” Kedengaran suara Rogayah mengejar dari
belakang. Emey Suhaila sekadar menarik nafas panjang sambil meneruskan
langkahnya ke depan. Rogayah terhentak-hentak berlari mendapatkan Emey Suhaila
yang semakin jauh. Langkah lariannya seakan tidak setanding langkah kaki Emey
Suhaila.
‘Aduh, pendek sangat ke kaki aku ni? Kenapa aku rasa
makin aku lari, makin jauh Emey Suhaila dekat depan?’ keluh Rogayah sambil lari
sungguh-sungguh. Namun Emey Suhaila sudah semakin jauh ke depan walaupun
langkah Emey Suhaila tidaklah laju mana. Tapi Rogayah masih tidak dapat
menangkap Emey Suhaila walhal dia sudah hampir mengah mengejar.
Tiba-tiba Rogayah terasa ada jari mengetuk bahunya dari
tepi. Rogayah menoleh. Seorang pelajar perempuan berkerut-kerut melihatnya.
“Akak tak apa-apa ke?” soal pelajar perempuan itu.
Rogayah tercengang. Dia memandang muka pelajar perempuan
itu sambil membetulkan cermin matanya. “Hah?”
“Beg akak tersangkut dekat meja...” Pelajar perempuan itu
menunjuk ke arah beg sandang Rogayah yang tersangkut di bucu meja. Rogayah
mengikut saja telunjuk pelajar itu lantas dia terus terpinga-pinga.
Perlahan-lahan Rogayah menarik beg sandangnya dan membeleknya, takut-takut beg
kesayangannya itu robek akibat tersangkut lama di situ sedangkan Rogayah beria-ia
mengejar ke depan. Patutlah langkahnya tidak langsung dapat mengejar Emey
Suhaila. Rupa-rupanya memang tidak bergerak langsung.
“Nasib baik meja tak tergolek tadi... sebab akak nampak
bersungguh-sungguh berlari. Kalau tak, dah tentu kaki akak kena hempap...” Pelajar
perempuan itu menambah.
Rogayah tidak beri respon. Malah dia sedikit pun tidak
beri perhatian pada kata-kata pelajar perempuan di depannya itu. Mata yang
memerhati dari sekitar perpustakaan itu juga tidak dipedulikannya. Sebaliknya
dia terus membelek begnya terus.
Lantas pelajar perempuan tadi terus berlalu dan kembali
ke tempat duduknya apabila Rogayah tidak mempedulikannya. Puas membelek begnya
dari setiap sudut, atas, bawah dan dalam... Rogayah angkat muka. Pelajar
perempuan yang menegurnya tadi sudah tiada. Rogayah pandang keliling.
“Aik, mana pula budak ni pergi? Lenyap macam tu aje? Tak
sempat aku nak cakap terima kasih...” Rogayah menggaru kepala seraya mengeluh.
Matanya liar pandang sekitar kawasan perpustakaan itu tapi dia tidak dapat
mengecam pelajar perempuan tadi. Tanpa disedari satu lagi keluhan halus
dilepaskan terus.
Rogayah berlari keluar sebaik terfikir akan Emey Suhaila.
Bayang Emey Suhaila sudah tiada lagi di sekitar kawasan perpustakaan. Merata
Rogayah pergi mencari Emey Suhaila setelah puas mencari gadis itu di luar
kawasan perpustakaan. Rasanya Emey Suhaila belum pergi jauh dalam hanya
beberapa minit ini. Apatah lagi sudah keluar dari kawasan kampus. Mustahil!
Rogayah terus mencari Emey Suhaila, sedang kuliah yang
sepatutnya dia hadiri hampir sejam berlalu. Rogayah terus pasang niat untuk
ponteng kelas... selagi dia tidak ketemu Emey Suhaila. Sebabnya, dia sudah
malas mahu masuk kuliah jika Emey Suhaila atau Azura tiada. Sedangkan pelajar
lain tengok dia macam makhluk asing dalam dewan kuliah. Kenapa? Sebab pakaian
Rogayahkah yang menampakkan Rogayah sangat pelik? Sebab bingkai cermin mata
Rogayah yang besar dan tebalkah? Atau hidung Rogayah panjang macam belalai
gajah?
Lagipun, Emey Suhaila sajalah kawannya di kolej itu.
Sementara rakan sekuliah yang lain, puas Rogayah bermanis mulut mahu berkawan
tapi mereka buat tidak endah saja. Sebab itulah Rogayah malas mahu pergi
kuliah.
“Lah, kenapa kau muncul depan aku lagi ni? Macam
biskutlah kau ni. Macam mana kau boleh cari aku ni?” Emey Suhaila mengeluh
tidak senang. Terpaksalah dia mengalah dengan Rogayah. Mana saja dia sembunyi,
Rogayah tetap dapat mencarinya. Rogayah ni ahli nujum agaknya.
“Kau tu yang macam biskut.... kejap-kejap hilang,
kejap-kejap lesap. Puas aku cari kau tau!” Rogayah termengah-mengah setelah
henyak punggung di sebelah Emey Suhaila. Bertalu-talu Rogayah tarik nafas
dalam-dalam bagi membayar hutang oksigen yang hampir tidak tertanggung.
“Buat apa kau cari aku? Pergilah masuk kuliah.” soal Emey
Suhaila lagi. Matanya kembali tertumpu ke skrin komputer, sambil tangannya leka
menggerakkan tetikus ke ruang layar skrin.
Rogayah menjeling ke skrin, mengintai laman sesawang yang
dilayari Emey Suhaila. Scholar Google. Rogayah pernah mendengar nama sesawang
itu sebelum ini. Jika tidak silap, di situlah pelajar selalu mencari artikel
percuma.
“Baru berapa hari masuk kolej ni dah malas nak masuk
kuliah ke?” tegur Emey Suhaila lagi.
“Aku bukan malaslah. Bosan! Tak ada kawan,” balas Rogayah
mudah.
“Aik! Sebab tak ada kawan aje kau ponteng kelas?” Emey
Suhaila menoleh ke sebelah, memandang ke muka Rogayah yang masih
tercungap-cungap. “Dulu masa kau mula-mula daftar pun kau seorang juga kan?
Masa kau datang sini dari kampung dulu pun seorang juga kan?”
Rogayah diam. Emey Suhaila turut diam. Perhatiannya
kembali ke laman sesawang yang dilayarinya sejak awal tadi. Sesekali Emey
Suhaila menaip sesuatu di dalam kotak carian di laman itu. Perbualan mereka
mati seketika. Hanya kedengaran bunyi ketik tetikus yang ditekan jari telunjuk Emey
Suhaila yang sesekali diselangi suara rawak pelajar-pelajar lain yang memenuhi
kafe siber itu.
“Alah, tak apa. Aku boleh belajar sendiri dekat bilik
nanti.” Rogayah bersuara semula setelah sesak di dada mulai reda.
Emey Suhaila membelek artikel yang dimuat naiknya
sebentar tadi. Habis ayat yang dibaca, Emey Suhaila berpaling semula ke arah
Rogayah. “Kau jangan buat macam tu selalu. Silap-silap kena potong markah tau,”
balasnya lambat.
Terbelalak mata Rogayah mendengar kata-kata Emey Suhaila.
Lantas jantungnya terus saja gemuruh. “Hah?! Kena potong markah ke?” soalnya
semula hampir menjerit. Ada mata yang menjeling ke arahnya tapi Rogayah tidak
endah.
“Yalah. Kalau lecturer
rajin ambil kedatangan, silap-silap kena potong markah sebab ponteng kuliahlah.
Takkan itu pun kau tak tahu?”
Rogayah geleng kepala sungguh-sungguh. “Banyak ke markah
yang dipotong?”
Emey Suhaila jungkit bahu bersama cebikannya. “Entah.
Ikut suka lecturer tulah,” balasnya
mudah. Rogayah hempas tubuh ke kerusi. Pasrah. “Lain kali jangan gatal-gatal
nak ponteng kelas lagi ya. Kalau silap langkah nanti, tak pasal-pasal kau kena repeat paper pula.”
“Habis tu, kenapa aku tengok kau selamba aje selalu
ponteng kelas!”
“Mana ada selalu!” tukas Emey Suhaila sedikit keras.
“Kalau markah aku kena potong pun, aku tak kesah. Otak aku ni genius. Aku mesti
boleh catch-up balik!”
Rogayah melopong lagi. “Eh, ye ke Ila? Wah, bertuahnya
aku dapat kawan macam kau ni. Nanti bolehlah kita belajar sama-sama ya? Kalau
aku tak faham, bolehlah kau ajar aku kan... kan,” kata Rogayah beria-ia.
Sedangkan Emey Suhaila hanya tersengih.
‘Genius? Genius konon. Aku ni memang cari penyakit...
nanti kalau budak Rogayah ni tanya macam-macam satu habuk pun aku tak boleh
jawab.’ Otak Emey Suhaila sudah mula melayang, membayangkan jika ajakan Rogayah
itu menjadi kenyataan satu hari nanti.
Realitinya, Emey Suhaila bukan pelajar yang genius.
Semester lepas saja sudah tiga subjek terpaksa diambil semula gara-gara
keputusan peperiksaannya bukan saja tidak memberangsangkan tetapi gagal
ketiga-tiga kertas. Mana tidaknya, silap dia juga sebab selalu sangat ponteng
kuliah. Kalau dia hadir pun, otaknya tidak habis-habis melayang memikirkan
tentang lelaki idamannya. Bila pensyarah beri latihan atau kerja kursus, Emey
Suhaila sekadar fotokopi hasil kerja Azura. Begitulah caranya selama ini.
Sekarang pun masih sama. Tiada yang berubah, seakan tidak terkesan dengan
pengajaran mengulang kertas semester lepas.
Emey Suhaila geleng kepala laju-laju. ‘Ish, tak boleh
jadi ni. Aku tak boleh benarkan Rogayah ajak aku belajar sama!’
“Eh, dahlah. Aku nak buat kerja ni. Kalau kau tak ada
kerja, pergilah masuk kuliah. Nanti markah kau kena potong baru tahu!” Emey
Suhaila cuba mengugut.
“Kau?”
“Alah, kau pergi ajelah. Lain kali aku masuklah...”
“Kalau macam tu, aku nak tengok apa kau buatlah. Aku pun
nak belajar guna komputer ni.”
“Kau tak reti guna ke?”
Rogayah menggeleng lagi. “Rumah aku mana ada komputer.
Dekat kampung aku tu pun, nak jumpa komputer sebuah pun susah.”
Emey Suhaila angguk. Melihat saja cara pemakaian Rogayah,
mungkin benar pengakuan Rogayah tadi. Emey Suhaila hembus nafas panjang dan
kemudian mula mengajar Rogayah sedikit demi sedikit cara menggunakan komputer
itu.
Masa terus berlalu. pelajar-pelajar dalam bilik kafe
siber itu sudah berkali-kali bertukar wajah. Sedang Emey Suhaila dan Rogayah
masih di situ, berborak serta bertelagah entah tentang apa. Sudah tiga jam
mereka menghadap komputer bersama. Dalam mereka rancak berborak, tiba-tiba Emey
Suhaila bangun dan terus meluru ke pintu keluar.
“Kau banyak masa kan... jom ikut aku,” ajak Emey Suhaila
lalu terus keluar. Rogayah yang terpinga-pinga kalut bangun dan berlari
mendapatkan Emey Suhaila.
“Ila... nak pergi mana? Kalau ya pun, beritahulah nak
pergi mana. Ila...” pekik Rogayah sedikit mencungap namun Emey Suhaila langsung
tidak mempedulikan pekikannya itu. Hanya pegawai yang menjaga kaunter bilik
siber saja yang sempat menjeling Rogayah seakan memberi amaran. Tapi Rogayah
yang sibuk mahu menerpa Emey Suhaila itu tidak perasan akan amaran tersebut.
No comments:
Post a Comment