Pages

Hi pembaca semua!!!

Terima kasih kerana datang melawat, membaca karya-karya dalam blog ini dan terima kasih juga kepada semua yang menyokong Yuri. Yuri rasa happy sangat dengan kehadiran korang dalam hidup mahupun alam maya Yuri ni.

Segala komen dan sokongan sentiasa dan akan terus membakar semangat Yuri untuk terus berkarya menggunakan nama pena ayu munawer.

Semua karya di dalam blog ini adalah ilusi, imaginasi serta daripada pengalaman hidup. Dan yang paling penting, semua karya di sini adalah hasil karya Yuri. Mohon supaya tiada copycat dekat sini... tqvm

Harap korang terus menyokong dan beri komen mahupun kritikan untuk Yuri memperbaiki sebarang kekurangan.

P/S: Untuk makluman, karya "Dia Si Jantung Hati" akan dihentikan penerbitannya di sini atas sebab rombakan besar-besaran plot cerita. Justeru itu, judulnya juga bakal berubah. Maaf atas sebarang kesulitan. Harap korang setia menunggu dan menyokong hasil rombakannya nanti okey ^^,
"Aku tak suka kau la" kini diterbitkan di penulisan2u dengan tajuk "JIWA KACAU"..saja nk tukar tajuk. Sebb yuri rasa cam lg sesuai je tajuk ni..lebih pendek n ringkas hehe ada ka yuri edit2 skit. Harap u all x kesah nk singgah baca :-)
Sudi-sudilah berkunjung ke official blogshop yuri di http://decodanmakan.blogspot.com yer. Walaupun rupanya masih macam blog biasa, yuri pun masih belajar lagi macam mana nak upgradekannya. Macam-macam ada. Nak tau apa yang ada, kenalah singgah.

Terima kasih (^^,)v

Wednesday, August 7, 2013

Buddyz vs cinta: bab 13


“Hei, Razali. Kau jangan nak menggatallah dekat sini. Cukup-cukuplah tu jadi kaki perempuan. Tak puas lagikah? Macam tu ada hati nak tackle kawan aku!” Azura merengus keras. Ikutkan hati mahu saja Azura meludah depan Razali tapi nanti nampak sangat tidak sopan. Memang kurang ajar habis kalau dia buat begitu. Macamlah tak belajar adab dan tatasusila.
“Kenapa kau marah sangat kalau aku nak pikat kawan kau tu? Kau ada hati pada akukah?” soal Razali lagi. Kali ini mukanya makin dekat dengan Azura yang leka seketika sekejap tadi. Bila Azura angkat muka dan melihat muka Razali betul-betul di depan mukanya, Azura betul-betul terkejut. Boleh katakan tahap terkejut beruklah. Spontan tangan Azura menampar pipi Razali kuat-kuat.
Pang!
Azura sendiri terkejut akan tindakannya. Dia juga masih terkejut akan tindakan Razali tadi. Salah Razali juga. Siapa suruh bagi Azura terkejut sampai macam tu. Padan muka, percuma saja merasa pelempang Azura yang boleh dikira kuat bunyinya itu.
“Sebab dia kawan akulah, aku tak mahu dia berpacaran dengan lelaki tak guna macam kau! Aku tak mahu hati kawan aku terluka sebab kau, faham tak?!” jerkah Azura cuba sorokkan rasa bersalah sebab ringan sangat tangannya melayang ke muka lelaki itu. Ah, Azura tidak peduli. Razali memang layak menerima habuan.
“Uish, kuat juga pelempang kau ya.” Razali masih mampu bersuara dengan gaya romeonya sedangkan tangan kirinya meraba pipi yang pasti terasa perit. “Patutlah tunang kau tak berani main kayu tiga. Mesti dia takut kena penangan awek dia yang garang semacam kau ni.”
“Eh, kau jangan nak mengarut lagilah. Jangan nak kenakan aku dengan tunang aku pula. Aku dah cakap dia tu bukannya macam kau. Dia tu jenis yang setia, bukan macam kau! Aku ulang, bukan macam kau! Faham?!” tekan Azura berkali-kali. “Kau jangan nak kacau Ila lagi. Kalau aku nampak kau kacau Ila lagi, siaplah kau!”
Emey Suhaila terpinga-pinga bila bahunya dipaut seseorang. Bayangan Azura tiba-tiba saja lenyap dan yang ada hanyalah Razali yang sudah rapat di depannya. Boleh pula Emey Suhaila leka berangan pasal Azura panjang lebar dan membiarkan saja Razali ambil kesempatan. Emey Suhaila semakin kalut apabila jarak Razali semakin dekat. Sangat dekat. Kedua tangan Razali sudah memaut kemas bahu Emey Suhaila. Emey Suhaila pejamkan mata. Dia tidak sanggup melihat wajah Razali sedekat itu. Tidak! Hatinya tidak mungkin akan cair. Tidak!
‘Ya Allah, berilah aku kekuatan...’ Emey Suhaila berdoa dalam hati lalu gagahkan diri jua untuk melepaskan diri. Tangan Razali ditepis kasar dan menolak lelaki itu ke tepi.
“Jangan mengarutlah! Aku benci kau! Aku benci kau! Faham!” pekik Emey Suhaila berkali-kali mengulang perkataan benci lantas berlari meninggalkan Razali seorang diri.
Razali sekadar memerhati walau pada asalnya dia memang sudah dapat menjangka reaksi merpati putih itu. Satu nafas berat dihela perlahan. Hujung rambutnya yang agak panjang diselak ke belakang lalu Razali tersenyum sendiri.



Emey Suhaila duduk mencangkung sambil bersandar ke keretanya. Makin lama tubuhnya makin jatuh ke bawah hingga punggung Emey Suhaila akhirnya mencecah tar parkir. Tapak tangannya menekan dahi sementara sebelah lagi longlai ke lantai bumi.
Baru dua tiga hari Azura tiada bersamanya, bermacam perkara yang berlaku pada Emey Suhaila. Razali memang begitu berani. Lagaknya kadang-kala menjelikkan dan kadang-kala menakutkan Emey Suhaila. Semua bayangan yang berlaku pada Emey Suhaila semenjak Azura demam datang menjelma, melintasi kotak fikirannya. Paling teruk, apa yang menimpa Emey Suhaila hari ini. Semuanya bagaikan mimpi ngeri. Benarkah lelaki itu menyintainya sepenuh hati?
Ah, lelaki romeo itu pandai menyintai seseorang sepenuh hatikah? Jangan tertipu Emey Suhaila, itu semua lakonannya semata-mata.
“Apa kau buat dekat sini?”
Serta-merta Emey Suhaila angkat muka dan menoleh ke arah orang yang menegurnya. Tersentap jantung Emey Suhaila. Sangkanya, dia akan diganggu oleh bayang Razali sekali lagi. Boleh sakit jantung Emey Suhaila hari ini kerana berkali-kali terkejut. Nasib baiklah orang yang berdiri di sebelahnya bukan lelaki itu sebaliknya kawan yang dicari-carinya tadi.
Rogayah tersentak melihat air muka Emey Suhaila yang muram. Tambah buat dia terkejut, Rogayah seperti nampak mata Emey Suhaila berkaca. Rogayah tenung muka Emey Suhaila lebih dekat tapi Emey Suhaila berpaling dan menekup mukanya ke lutut. Rogayah menelan liur perlahan-lahan lalu dia toleh keliling sebelum duduk mencangkung di sisi Emey Suhaila. Serba-salah rasanya Rogayah mahu menyentuh bahu Emey Suhaila. Patutkah dia membelai bahu itu supaya keresahan di hati Emey Suhaila pergi?
“Ila, kenapa dengan kau ni? Kau tak sihatkah?’ soal Rogayah sedikit kalut sambil mencucuk-cucuk bahu Emey Suhaila dengan jari telunjuknya.
Emey Suhaila diam. Rogayah turut diam tetapi tidak lama, Rogayah tambah kalut bila mendengar tangisan Emey Suhaila yang singgah ke telinganya. Rogayah kerut dahi.
‘Eh, Ila menangis ke?’ Rogayah pasang telinga luas-luas. Setelah hampir seminit cuba mengecam bunyi itu, Rogayah pasti yang dia tidak silap dengar. Itu memang bunyi tangisan Emey Suhaila. Bukan anak kucing.
Rogayah kalut, seakan Emey Suhaila yang kalut menjaga Azura yang tiba-tiba demam sebelum ini. Sepanjang dia kenali Emey Suhaila dalam beberapa hari ini, Rogayah tidak pernah melihat gadis itu menangis. Dari pemerhatian Rogayah dalam beberapa hari ini juga, selalunya Emey Suhaila nampak ceria dan yakin sentiasa. Sebab itulah ramai lelaki yang tertarik pada Emey Suhaila. Apa puncanya yang menyebabkan gadis itu mengalirkan air mata?
“Ila, kenapa ni? Mak ayah kau sakitkah? Ada kematiankah?”
Emey Suhaila cepat-cepat angkat muka bila mendengar soalan-soalan yang terlontar laju dari mulut Rogayah. Tangisannya juga turut sama terhenti.
“Kejamnya soalan kau tu, Aya...” balas Emey Suhaila monyok lalu kembali menekup mukanya ke bawah. Kemudian, tangisan Emey Suhaila kedengaran semula.
Rogayah gigit jari. Dia sedar yang dia tersilap cakap. ‘Aduh! Apa yang aku cakap ni? Cakap yang bukan-bukan pula!’ Rogayah marah diri sendiri. Pantas jarinya menampar perlahan bibirnya yang lancang sangat bercakap.
“Maaflah Ila, aku tak bermaksud apa-apa. Mulut aku ni, ringan sangat!” Rogayah tampar bibir lagi sementara Emey Suhaila tidak beri reaksi. Emey Suhaila tidak kesah pun sama ada Rogayah tampar mulutnya atau koyakkan sekalipun. Emey Suhaila tidak mahu ambil tahu sebab dia tidak peduli pun apa reaksi Rogayah.
“Ila... kau okey ke tak ni? Kenapa kau menangis dekat sini?” Rogayah menyoal lagi. Bahu Emey Suhaila ditepuk berkali-kali. Namun Emey Suhaila tetap tidak beri respon. Malah esakan Emey Suhaila kian jelas kedengaran. Setelah berkali-kali Rogayah menyoal dan memujuk, barulah Emey Suhaila angkat muka yang lama ditangkup dengan tangan. Tangisannya juga sudah mulai terlerai.
Emey Suhaila kesat air mata dengan tapak tangan. Rasanya solekannya sudah pasti lebur bersama air mata yang mengalir bak air hujan itu. Emey Suhaila bukannya sapu alat solek kalis air. Memang sah rosak punya.
“Kau ada cakap apa-apa ke dengan Razali?” Terpacul soalan itu keluar dari mulut Emey Suhaila setelah esaknya reda.
“Hah?” Rogayah terkejut. Sama ada dia kurang dengar butir soalan itu atau dia sememangnya terkejut akan soalan yang tiba-tiba keluar dari mulut Emey Suhaila.
Emey Suhaila tarik nafas panjang sebelum mengulang soalannya dan sebaik soalan itu singgah lagi ke telinga Rogayah, Rogayah pasti dia tidak tersilap dengar. Rogayah telan liur banyak-banyak. Kali ini, dia pula yang terdiam membatu.
“Aya, aku tanya kau ni. Kau ada cakap apa-apa dengan mamat tu ke? Entah-entah kau cuba korek rahsia macam-macam dari dia!” Emey Suhaila meneka sebaik melihat reaksi Rogayah yang lama membisu setelah dia mengajukan soalan itu tadi. Sedunya pula serta-merta hilang kerana sudah mulai timbul syak dalam hati. Mungkinkah sangkaan Emey Suhaila sebelum ini menjadi kenyataan?
“Apa kejadahnya! Mana ada! Aku tak kenal pun si Razali tu, bercakap dengan dia pun tak pernah. Macam mana aku nak tanya dia macam-macam pula?” balas Rogayah kalut.
“Yakah? Kau jangan tipu aku...” Emey Suhaila tenung muka Rogayah lama-lama dengan muka monyok. Pandangannya terus ke dalam anak mata gadis itu sekaligus bikin hati Rogayah serba tidak kena.
“Yalah! Kenapa aku nak tanya dia macam-macam pula?”
“Kalau tak, kenapa kau menggelabah semacam kera kena belacan ni?” Emey Suhaila tambah musykil.
“Tak ada! Sumpah!” Rogayah angkat tangan dengan tunjuk riak serius. “Sumpah, aku tak ada cakap atau tanya apa-apa dengan dia. Lepas kau keluar tadi, aku pun ikut keluar juga nak dapatkan kau. Tapi kau tu yang lari laju sangat sampai tak sempat aku nak kejar. Semput aku kejar tahu. Sudahnya, bayang kau pun lenyap.” Bersungguh-sungguh Rogayah jelaskan hal sebenar kepada Emey Suhaila. Walau Emey Suhaila tidak sedikit pun tunjukkan reaksi yang dia percaya mendengar cerita Rogayah itu.
Yalah, macam mana Emey Suhaila mahu percaya jika Rogayah benar-benar lepaskan peluang keemasan berdepan dengan Razali, yang memang sudah lama Rogayah mahu tahu hubungan Emey Suhaila dengan lelaki itu. Nah, peluang sudah terhidang. Masakan Rogayah lepaskan peluang daripada menyoal macam-macam seperti yang selalu Rogayah lakukan pada Emey Suhaila. Macam pelik saja bunyinya.
“Kau tak percaya eh?”
Emey Suhaila tidak menjawab. Mahu percaya atau tidak, otaknya sudah tidak mampu untuk fikir kerana fikirannya rasa kosong saja sekarang ini. Tapi lebih baik kosong begini daripada otaknya sesak dengan bayangan segala tindakan Razali sejak dua menjak ini.
Rogayah tenung muka Emey Suhaila dekat-dekat tapi Emey Suhaila pula palingkan muka. Rogayah muncung.
“Kalau tak percaya, sudahlah. Apa aku boleh buat untuk paksa kau percaya aku pula kan...” balas Rogayah seraya menghela keluhan halus. “Emm... yang kau ni pula duduk menangis dekat tepi kereta ni buat apa? Siap duduk atas jalan ni lagi tengah-tengah panas terik macam ni, tak panaskah?” soal Rogayah pula, mengalih topik perbualan mereka yang hampir mati tadi.
Emey Suhaila jeling ke langit. Berpinar rasa matanya melihat panahan matahari yang barangkali sudah tegak atas kepala. Kemudian Emey Suhaila raba lantai bumi dengan tangan. Cepat-cepat Emey Suhaila angkat punggung setelah baru sedar punggungnya terasa panas. Macam pergi sauna rasanya.
‘Panas tu memanglah panas. Bukannya ada permaidani lembut atau payung kuning dekat sini. Lagi nak tanya, mestilah aku rasa panas. Habis make-up aku cair!’ Emey Suhaila mengomel dalam hati sambil menepuk-nepuk punggungnya yang terasa hangat. Kalau mahu bercerita tentang solekan Emey Suhaila, memang sudah lama solekannya itu pudar. Bukan kerana panahan mentari yang megah memancar ke seluruh alam itu tapi kerana tangisannya yang agak menggila sekejap tadi dan membiarkan air matanya sendiri yang deras menyapu solekannya pergi.
Emey Suhaila intai beg sandangnya. Isi beg itu diserak ke kiri dan ke kanan dan tidak lama kemudian, segugus kunci dikeluarkan dari perut beg jenama BUM itu. Punat hijau ditekan sekali pada kunci penggera sekaligus bunyi bip kedengaran. Emey Suhaila capai pemegang pintu lalu pintu ditarik.
“Eh!” Rogayah menahan tangan Emey Suhaila sebelum kawannya itu sempat masuk terus ke dalam perut kereta. “Kau tak jawab lagi soalan akulah!” tekan Rogayah sambil berkerut-kerut.
“Soalan apa?” soal Emey Suhaila pula pura-pura.
Rogayah melopong. Garis kerutan di dahinya makin jelas kelihatan. “Kenapa dengan kau ni? Tadi bukan main teresak-esak nangis dekat tepi kereta kau ni. Bila aku tanya, kau tak jawab apa-apa... lepas tu kau nak pergi macam tu aje? Apahal dengan kau ni?” ulang Rogayah. Kali ini air mukanya betul-betul nampak gelisah.
Emey Suhaila diam tanpa menjawab soalan-soalan Rogayah itu. Sebaliknya dia hanya menjawab dengan membalas renungan Rogayah. Seboleh-boleh Emey Suhaila tidak mahu bercerita pada Rogayah. Apa patut Emey Suhaila beritahu? Patutkah Emey Suhaila ceritakan semua yang Razali buat tadi, semua yang buatkan dia menangis hingga tidak ingat dunia di situ tadi? Bolehkah Emey Suhaila percaya pada Rogayah? Walhal, belum sebulan mereka kenal. Hati budi Rogayah juga Emey Suhaila belum lagi pasti melainkan Emey Suhaila tahu yang Rogayah ini jenis orang suka bercerita dan becok. Tambah pula, Rogayah suka menyoal macam-macam. Kadang kala lagak penyiasat pun ada juga. Aduh, jatuhlah air muka Emey Suhaila kalau hal ini tersebar.
“Tak ada apalah...” balas Emey Suhaila lambat lalu lempar satu senyuman. Namun senyuman itu tampak tawar. “Aku cuma risau tentang Zura ajelah.” Emey Suhaila berdalih.
“Hah? Zura demam lagikah? Dah beberapa hari dah kan, tak kebah lagi ke? Teruk sangatkah sampai kau risau sampai macam ni?” aju Rogayah bertalu-talu sambil beliakkan mata. Tangannya terus mencengkam tangan Emey Suhaila dan cengkamannya itu kian kuat.
“Eh, kau janganlah tambah serabut kepala otak aku ni dengan soalan kau yang panjang macam kereta api tu.”
Rogayah katup mulut yang hampir mahu memuntahkan beberapa lagi soalan. “Maaf... aku bukan sengaja nak tambah serabut dekat kepala kau. Aku cuma... aku pun risau keadaan Zura juga. Zura kan kawan aku juga...” Sayu saja nada Rogayah memohon maaf.
Emey Suhaila tidak membalas. Dalam hati, Emey Suhaila hanya berharap yang Rogayah benar-benar tidak akan mengajukan soalan lagi selepas ini kerana otak Emey Suhaila betul-betul kusut untuk menjawab.
“Eh, tapi sweetnya kau!” ujar Rogayah tiba-tiba dengan nada teruja sambil menampar lengan Emey Suhaila. Berkerut dahi Emey Suhaila, sama ada menahan perit di lengannya gara-gara penangan Rogayah atau dia sendiri hairan dengan reaksi Rogayah yang sekejap-sekejap berubah air mukanya. Tadi sayu bak angin sepoi-sepoi, sekarang teruja semacam pula dilihatnya.
“Tak sangka kau akan menangis macam tu sekali sebab risaukan kawan. Kau ni memang teman sejatilah, Ila!” Rogayah menyambung.
Air muka Emey Suhaila terus berubah mendengar pujian Rogayah itu. Bukannya dia rasa teruja bila dengar pujian itu tetapi sebaliknya kata-kata itu ibarat anak panah yang menusuk terus ke jantungnya. Kalaulah Rogayah tahu sebab sebenar Emey Suhaila menangis tadi...
“Sudahlah. Aku nak balik kolej, nak tengok keadaan Zura.” Emey Suhaila malas mahu fikir banyak lagi. Dia terus masuk ke dalam perut keretanya yang sudah lama terbuka.
“Eh, kejap!” Rogayah menahan lagi sebelum sempat Emey Suhaila menutup pintu keretanya semula. “Kelas petang ni macam mana?”
“Kau tolonglah aku tandatangan nanti ya,” balas Emey Suhaila bersahaja.
“Aku nak ikut!”
Emey Suhaila tercengang serentak menoleh semula ke arah Rogayah yang memekik ke telinganya.
“Kan kau dah pesan yang aku kena ikut ke mana saja kau pergi...” tambah Rogayah lagi sambil tersengih.
“Habis tu, siapa yang nak tandatangan nanti?”
“Alah, biarlah! Belakang kira tandatangan tu semua. Bukannya kau tak biasa ponteng kelas. Muka kau tu jadi aim pensyarah-pensyarah tahu. Kalau aku tolong tandatangan nanti pun kantoi!” Selamba jawapan Rogayah bikin Emey Suhaila makin tercengang. Macamlah dia masak sangat akan keadaan kelas itu sedangkan baru saja beberapa hari dia jejakkan kaki di situ.
Malahan, tanpa mendapat persetujuan apa-apa daripada Emey Suhaila, Rogayah terkedek-kedek berlari ke depan kereta dan terus ke arah pintu depan sebelah kiri. Pintu kereta itu ditariknya dan Rogayah terus masuk duduk di sebelah Emey Suhaila. Sementara Emey Suhaila hanya terpinga-pinga memerhatikan gerak-geri Rogayah tanpa mampu bersuara walau sepatah.
“Apa lagi kau tunggu? Jomlah kita pergi tengok keadaan Zura. Takut-takut demam dia melarat balik pula.”
Emey Suhaila bagaikan sudah terpukau dek kata-kata Rogayah dan hanya mengikut saja cakap gadis itu. Kunci pantas dicucuh ke lubang kunci lalu dipulas sekali. Tidak lama, kereta Viva itu keluar dari kotak parkir itu menuju ke pintu pagar keluar. 

Monday, August 5, 2013

Buddyz vs cinta: bab 12


Kelas Dr. Balkis sudah lama berakhir. Kuliah Dr. Zainal juga sudah selesai beberapa minit lalu menandakan sudah masuk waktu rehat. Namun dari kuliah pertama hinggalah habis kuliah Dr. Zainal, satu tajuk pun tidak masuk ke otak Emey Suhaila. Mana tidaknya, semangat belajarnya sudah lenyap ditelan surat-surat cinta Razali yang berlambak dan kini sudah penuh di bawah kaki Emey Suhaila. Semuanya direnyuk dan dibuang ke bawah. Mual tekak Emey Suhaila mahu terus membaca isi surat-surat Razali yang kebudak-budakan.
“Eh, kau tak mahu keluar makan ke?” Rogayah menepuk bahu Emey Suhaila yang terus monyok.
Emey Suhaila tidak menoleh ke arah Rogayah yang sudah sibuk mengemas barang-barangnya. Emey Suhaila letakkan kepala atas meja sambil memerhati kumpulan pelajar yang beransur-ansur beredar keluar dari dewan kuliah. Tangannya pula menekan perut sambil terkiput-kiput menahan air hangat yang seakan tidak mampu lagi ditahan. Kalau dikira-kira, sudah dekat sejam Emey Suhaila menahan tangki airnya yang sudah penuh. Semuanya gara-gara tidak mahu melintasi Razali, mamat romeo pencinta wanita di tempat duduk paling luar. Bercakap pasal Razali, Emey Suhaila curi pandang ke arah tempat duduk paling hujung. Lelaki itu sudah beralih ke barisan bawah sedikit.
Emey Suhaila cepat-cepat alih pandang bila Razali menangkap jelingannya. Macam tahu-tahu saja lelaki itu Emey Suhaila memandang. Terus saja dia menoleh ke belakang. Emey Suhaila pula hempas keluhan panjang. “Aduh! Tak keluar lagi mamat ni?” getusnya geram.
Rogayah sudah bangun dari duduknya. Sekaligus Emey Suhaila angkat kepala dan menoleh ke sebelah kiri. “Kau nak pergi mana ni?” soal Emey Suhaila cepat sebelum Rogayah sempat melangkah pergi.
“Nak pergi makanlah. Perut aku dah menyanyi lagu pop dah ni!” balas Rogayah bersahaja sambil meraba perutnya.
“Kan aku dah kata, jangan tinggalkan aku. Kau kena ikut aje mana aku pergi.” Emey Suhaila bulatkan mata. Sempat dia menjeling ke arah Razali tidak jauh di belakang Rogayah.
Rogayah gumam bibir. Tangan yang meraba perut beralih pula ke kepala. “Tadi aku dah ajak kau tapi kau monyok aje. Aku ingat kau nak bersendirian dekat sini...” jawab Rogayah lagi sambil tergaru-garu kepalanya yang semestinya langsung tidak gatal. Otaknya saja yang terasa miang, memikirkan bermacam soalan yang mahu ditanyakan kepada Emey Suhaila. Tapi, melihat keadaan Emey Suhaila yang muram saja sejak tadi, tidak sampai hatilah pula Rogayah mahu bertanya. Tunggulah bila ada masa yang sesuai nanti, Rogayah pasti akan korek rahsia.
‘Nak bersendirian dekat sini?! Kalau aku nak bersendirian pun, aku tak akan duduk dekat tempat yang mamat tak reti bahasa tu ada! Tambah gila aku duduk dengan dia nanti. Lebih baik aku memerap dalam bilik kat kolej!’ fikir Emey Suhaila.
Emey Suhaila lekas-lekas capai beg sandangnya lalu disilang ke bahu. Fail dan buku notanya yang bertaburan atas meja dipungut kemudian Emey Suhaila tangkap tangan Rogayah. “Jomlah. Aku pun tak tahan nak terkucil ni!” bisik Emey Suhaila sambil menolak badan Rogayah ke depan.
Rogayah terkial-kial melangkah melalui laluan yang agak sempit baginya itu sementara Emey Suhaila memaut bahunya dari belakang. Di hujung, Rogayah dapat melihat susuk tubuh Razali yang masih setia duduk di salah satu tempat duduk. Rogayah toleh ke bawah dewan kuliah. Kosong. Nampaknya semua pelajar sudah beredar keluar. Mungkin sudah berasak-asak di kafeteria.
“Eh, dia ni tak nak keluarkah?” Rogayah berbisik perlahan.
“Tak payah sibuk hal oranglah. Jalan aje cepat!”
Tiba-tiba Rogayah rasa tubuhnya ditolak lebih kuat dari belakang menyebabkan langkah Rogayah kelam-kabut dipercepatkan. Sempat Rogayah menjeling muka Razali apabila melintasi lelaki itu. Razali nampak khusyuk membelek buku kecil yang dipegang sambil menyilang kaki. Sekali tengok, kacak juga lelaki bernama Razali itu. Gayanya juga buatkan hati Rogayah mula cair. Rogayah sudah mula berangan-angan dan angan-angannya itu serta-merta lenyap apabila tubuhnya yang dicengkam kuat oleh Emey Suhaila tadi tertarik ke belakang. Serentak itu, Rogayah terdengar jeritan Emey Suhaila lantas Rogayah cepat-cepat menoleh ke belakang.
Terpana Rogayah melihat Emey Suhaila yang sudah terduduk di atas pangkuan Razali. Tangan Razali memaut bahu Emey Suhaila yang hampir jatuh tergolek dan membiarkan pula bukunya jatuh ke lantai. Mata mereka saling bertentangan dan Rogayah nampak muka terkejut yang terpancar jelas di wajah Emey Suhaila ketika itu.
‘Apa dah jadi?’ Rogayah melopong.
Sementara Emey Suhaila dapat merasakan debaran jantungnya yang kuat bergoncang. Entah kerana marah atau pun... tapi lama juga Emey Suhaila terkesima sebegitu rupa. Emey Suhaila tepis semua perasaan yang menusuk hatinya sekarang dan menolak Razali kuat-kuat lalu bangun dari dakapan lelaki itu. Dengan hati sebal, Emey Suhaila terus berlari keluar dari dewan kuliah.
Rogayah melopong melihat gelagat Emey Suhaila dan Razali sekejap tadi. Macam aksi dalam drama pun ada. Rogayah pandang muka Razali. Lelaki itu hanya tersenyum tenang lalu membongkok mengambil bukunya yang jatuh ke bawah.
‘Apa ni?!’ Rogayah tertanya-tanya. Mahu saja dia mengajukan soalan itu kepada Razali. Malah banyak lagi soalan yang bermain di fikirannya mahu dilontarkan tapi semuanya seakan tidak terluah ketika ini. Sedang bayang Emey Suhaila sudah lesap. Lantas Rogayah buka langkah panjang untuk mengejar Emey Suhaila yang mungkin sudah lari jauh.



Emey Suhaila hempas fail di tepi sinki. Dia pandang mukanya di depan cermin lama-lama. Pipi Emey Suhaila jelas nampak merah. Pili air kemudiannya dibuka luas dan membiarkan air deras melimpah dari mulut paip dan memenuhi dalam sinki. Emey Suhaila tadah air dengan kedua tapak tangan lantas disapu ke muka laju-laju. Berkali-kali dia ulang perbuatan yang sama sehingga rosak solekannya. Tidak cukup nafas Emey Suhaila bila dihempas mukanya dengan air bertalu-talu. Emey Suhaila tenung mukanya dalam cermin sekali lagi. Mukanya masih merah seperti tadi. Jelas sekali merah itu bukan kerana pemerah pipi yang disapu awal pagi tadi.
Emey Suhaila letak tapak tangan atas dada. Jantungnya masih lagi bergoncang kuat. Mungkinkah kerana dia sungguh-sungguh berlari ke tandas tadi? Emey Suhaila menarik nafas dalam-dalam, cuba meredakan sesak jantungnya yang berkerja keras sejak beberapa minit lalu. Namun, debaran itu masih tidak mahu surut.
Sepatutnya awal-awal lagi Emey Suhaila cabut lari dari dewan kuliah. Biarlah melayang markah kehadiran sekalipun. Sekurang-kurangnya tidak perlu Emey Suhaila hendak sakit hati duduk dalam dewan yang seakan serupa bilik tahanan psikologi gara-gara Razali. Malah takk adalah juga Emey Suhaila malu selepas ditegur Dr. Balkis di depan semua pelajar. Tidak semena-mena bayangan tindakan Razali yang merentap tangannya tadi sehingga membuatkan dia terduduk di atas lelaki itu melintas di fikiran. Hati Emey Suhaila tambah bergoncang.
“Argghhhh!” Emey Suhaila menjerit kuat-kuat. Kemudian Emey Suhaila terdiam seketika. Matanya menjeling setiap sudut tandas itu. Kalau ada orang yang tahu Emey Suhaila mengamuk dalam tandas, jatuh lagilah air muka Emey Suhaila. Lantas Emey Suhaila menarik nafas lega sebaik mendapati hanya dia seorang dalam tandas itu ketika ini. Tanpa berlengah, marahnya yang berbuku dalam hati dilontarkan semula.
Tangan Emey Suhaila menghentak sinki berkali-kali. Memang hampir gila dia dibuat Razali. Mujur juga tiada siapa lagi yang masih tinggal dalam dewan kuliah semasa semua itu berlaku. Hanya Rogayah saja yang nampak. Tapi, mungkinkah Rogayah akan menghebahkan cerita itu? Memikirkan sikap Rogayah yang becok itu bikin otak Emey Suhaila kian serabut.
“Alamak!” Baru Emey Suhaila teringat yang dia meninggalkan Rogayah bersama Razali berdua dalam dewan kuliah tadi.
‘Ah, lantaklah! Rogayah tu bukannya budak kecil yang aku kena jaga sepanjang masa. Tapi kalau dia sibuk temuramah mamat tu pulak macam mana? Ah, sudah!’ Emey Suhaila geleng kepala laju-laju. Bermacam gambaran bertali arus menerjah di mindanya kini cuba ditepis jauh. Tapi, otak Emey Suhaila masih tidak mampu berhenti dari berfikir yang bukan-bukan.
“Ah, budak tu bukannya boleh percaya!” Hati Emey Suhaila kuat merasa tidak sedap membiarkan dua manusia itu. Sebelum apa yang bermain di benaknya menjadi nyata, lebih baik dia pergi mendapatkan Rogayah cepat.



Langkah Emey Suhaila berhenti betul-betul di depan pintu dewan kuliah. Hatinya tiba-tiba saja bergoncang kuat walaupun Emey Suhaila pasti tiada pelajar lain di situ kerana masa rehat belum lagi berakhir. Pasti kebanyakan pelajar sibuk mengisi perut sambil berborak kosong waktu ini. Tapi... mungkinkah lelaki itu masih di dalam? Emey Suhaila menarik nafas dalam-dalam lalu dilepaskan perlahan. Hati Emey Suhaila benar-benar berdebar. Bila membayangkan jika Rogayah benar-benar sedang menemuramah lelaki itu sekarang ini, jantungnya sekali lagi dihentam gemuruh. Lantas tanpa banyak fikir lagi, Emey Suhaila menarik pemegang pintu dan segera menjengah ke dalam.
Mata Emey Suhaila meliar mencari kelibat Rogayah di atas dewan kuliah. Tiada! Dahi Emey Suhaila berkerut. Matanya terus meneliti setiap sudut dewan kuliah itu tapi bayang Rogayah juga tidak kelihatan. Razali juga sudah tiada di tempat duduknya tadi. Dewan itu sudah sunyi tanpa manusia.
“Mana dia? Dah pergi ke mana?” soal Emey Suhaila sendiri.
“Cari akukah?”
Emey Suhaila tersentak lalu terus berpaling ke belakang serentak melepaskan pintu serta-merta. Terbelalak mata Emey Suhaila bila melihat Razali tercegat betul-betul di sebelahnya dan jarak mereka hanya seinci. Emey Suhaila terkedu. Dia dapat merasakan deru nafas Razali yang panas menerpa mukanya.
“Apa kau buat dekat sini?” aju Emey Suhaila serta-merta sebaik tersedar dari tubuhnya yang kaku membeku sekejap tadi sekaligus menarik tubuhnya ke belakang. Emey Suhaila tambah gelisah melihat riak Razali yang sekadar tersenyum melihat gelagatnya.
‘Ih, miangnya senyuman dia tu. Geram betul hati aku tengok!’
Gundah Emey Suhaila tidak berakhir di situ. Hatinya makin bergetar kuat bila Razali membuka langkah mendekatinya. Sedangkan Emey Suhaila sudah kaku, seakan tidak mampu untuk beredar. Saat itu juga, Emey Suhaila dapat merasakan degup jantungnya yang bergoncang kuat.
‘Alamak! Kenapa badan aku ni? Kenapa tak boleh gerak langsung? Kaki aku pun dah macam kena gam UHU, tak mahu tanggal dari lantai ni kenapa?!’
Mata Emey Suhaila membulat bila melihat Razali semakin menghampirinya. ‘Dia ni pula nak buat apa? Buat apa dekat-dekat ni?’ Emey Suhaila menjerit dalam hati. Lidahnya turut kelu. Seakan seluruh tubuhnya lumpuh seketika dan hanya mampu memerhati saja tindakan Razali ketika itu. Jantung Emey Suhaila pula semakin lama semakin kuat bergoncang. Macam nak meletup pula rasanya.
“Kau ni nampak makin comellah bila kau marah...” Razali bersuara seraya menghentikan langkahnya. Kini Razali berdiri betul-betul di depan Emey Suhaila yang sudah lama kaku bak patung di situ.
‘Ah! Tu dialog biasa aku dengar dalam drama! Dah basilah. Aku takkan termakan dengan kata-kata manis kau tu!’ Hati Emey Suhaila tidak henti-henti memaki namun entah kenapa lidahnya masih kelu sejak tadi dan entah sampai bila pula dia akan terus begini?
“Kenapa kau datang ke sini semula? Cari akukah? Takkan baru berpisah sekejap dah rindu dekat aku?” Lembut suara Razali singgah ke telinga Emey Suhaila sambil melontar pandangan romeonya. Sementara jari panjang Razali pula tidak segan-segan menyentuh pipi Emey Suhaila.
Emey Suhaila tersentak. Bagai mahu tercabut tangkai jantungnya bila jari lelaki itu hinggap ke mukanya. Bagai terkena kejutan elektrik, Emey Suhaila cepat-cepat menepis tangan Razali dan mengundur ke belakang lagi. Barulah Emey Suhaila dapat menggerakkan tubuhnya setelah lama terseksa kaku tidak dapat bergerak.
“Apa kau cuba buat ni? Siapa yang rindu dekat kau? Jangan cakap yang bukan-bukan dan buatkan aku rasa nak muntahlah! Aku datang sini bukan cari kau! Aku datang cari kawan aku! Jangan nak perasan dan fikir bukan-bukan!” marah Emey Suhaila habis-habis.
Namun begitu, marah dalam hati Emey Suhaila bertambah-tambah apabila melihat reaksi Razali yang sekadar melemparkan senyum.
“Kalau ya pun, janganlah buat muka macam tu. Kau malukah? Muka kau nampak merah padam tau...” Razali menambah sambil terus mengulit senyuman maskulin.
“Mana ada! Muka aku ni merah sebab marah, tahu tak?! Sebab aku marah!” balas Emey Suhaila cepat. Emey Suhaila kalut mahu menyorokkan muka. Kalau ada pasu bunga berdekatan situ, rasanya Emey Suhaila sudah lama sumbat muka dalam pasu. Kalau ada kolam ikan sekalipun, Emey Suhaila sanggup terjun kolam daripada terus berdepan lelaki romeo yang kembali mendekatinya itu.
“Eh, kau buat apa nak dekat-dekat dengan aku ni?” Emey Suhaila tambah kalut. Kakinya menggigil mahu mengundur ke belakang. Bagai tidak cukup tanah dia mahu menjauhkan diri dari Razali sedangkan dia boleh saja terus beredar dari situ. Tapi entah kenapa, tidak terlintas pula di fikiran Emey Suhaila untuk berlalu.
“Berdiri aje dekat sana!” Itu sajalah yang mampu Emey Suhaila pekikkan.
Razali mengikut. Langkahnya tidak lagi diteruskan untuk mendekati gadis itu. Seketika, Razali tertawa kecil sekaligus merentap hati Emey Suhaila yang sudah cukup marah. Emey Suhaila beliakkan mata ke arah lelaki itu.
‘Ish, apalah yang mamat ni fikir? Entah-entah otak dia tu dah berkarat agaknya!’ getus Emey Suhaila dalam hati.
Makin lama tawa Razali itu seakan kuat sampai ke gegendang telinga Emey Suhaila. Sakit hati Emey Suhaila dengar gelak tawa lelaki itu yang sumbang.
“Kau ni... bila marah comel, bila kau gelabah pun comel. Ini yang buatkan aku tambah sayang dekat kau ni...”
Hampir pengsan Emey Suhaila mendengar bait kata yang keluar dari mulut Razali, seakan panah yang tepat mengenai jantungnya. Emey Suhaila terdiam. Senyuman yang tidak lekang terulit di bibir lelaki itu bikin hati Emey Suhaila makin gundah tidak terkata. Bila menyedari Razali kembali melangkah ke arahnya, Emey Suhaila masih terdiam kaku. Sama seperti tadi.
‘Alamak! Apa kena dengan aku ni? Takkan dia baru cakap macam tu, aku dah cair kot? Hei, Emey Suhaila! Sedarlah!’ Razali sudah semakin rapat dan tangan lelaki itu sudah memaut lengan Emey Suhaila. Hati Emey Suhaila tambah debar.
“Hai, Raz sayang...”
Tiba-tiba muncul suara manja dari sebelah. Emey Suhaila dan Razali menoleh serentak, melihat seorang gadis sudah memaut erat tangan Razali. Malah kedua-dua mereka serentak menunjukkan reaksi terkejut. Tapi rasanya Emey Suhailalah orang paling tidak mahu percaya kerana gadis itu...
‘Zura? Apa dia buat dekat sini? Apa yang Zura panggil mamat ni tadi? Aku silap dengarkah ni?’
“Sejak bila you main kayu tiga belakang I ni? Jahatlah you ni tau... tak sayang I lagi ke?” Azura muncung manja sambil menarik-narik lengan baju Razali. Terkedu Razali seketika melihat lagak Azura yang tergedik-gedik di sisinya.
Setelah masing-masing lama terdiam, Azura merengus halus. Reaksi manja dan menggoda Azura tadi juga tiba-tiba berubah tegang. Mata yang ayu tadi sudah berubah bak musang kelaparan. Azura lepaskan pautan manjanya tadi dengan kasar. Jerki Razali ditarik dan wajah lelaki itu ditenung tajam.
“Kau jangan harap aku nak suka kau macam tulah, lembap! Dan kau juga jangan mimpi yang Ila akan suka dekat kau macam angan-angan dalam kepala otak kau tu. Jadi, berhenti kacau hidup dia. Faham?” Keras suara Azura beri amaran.
Namun amarah Azura dibalas pula dengan senyum sinis Razali. Sebal hati Azura melihat senyuman itu. Tiba-tiba hatinya tersentap apabila Razali memaut lembut pergelangan tangan Azura yang mencengkam bajunya. Matanya merenung jauh ke dalam mata Azura. Pandangan itu bikin jantung Azura pula berdetap kencang. Tanpa dia sedari, mukanya semakin kemerahan.
“Kenapa? Kau dah jatuh hati pada akukah?”
Soalan Razali itu bagaikan panahan petir yang mengejutkan Azura lantas dia cepat-cepat menarik tangannya daripada genggaman lelaki itu. “Kau jangan nak merepek. Aku tak mungkin suka pada kaulah! Tak mungkin ada perempuan yang nak pada lelaki romeo satu malaya macam kau ni, tahu tak?!” bentak Azura keras.
Namun, Razali terus tersenyum dan tertawa kecil. Makin sakit hati Azura dibuatnya. Kononnya Azura datang sini semata-mata mahu selamatkan Emey Suhaila tapi dia pula yang terkena.
“Habis tu, kenapa muka kau merah?”
Azura raba kedua belah pipinya. Namun dia tidak pasti sama ada kata-kata Razali tadi benar atau lelaki itu sengaja mahu mempermainkanya. “Mana ada! Kau jangan nak goda aku pula. Aku dah ada tunang, tahu tak? Aku tak akan menduakan lelaki kesayangan aku.”
“Comelnya...” kata Razali sambil memicit hidung Azura.
Terkejut besar Azura diperlakukan begitu. Kali ini, Azura dapat merasakan kehangatan yang menjalar di wajahnya. Dia pasti mukanya sudah benar-benar merah.
“Bertuahnya tunang kau dapat teman wanita yang setia macam kau ni...” Razali kenyitkan mata seraya tersengih nakal. “Tapi kan, entah-entah tunang kau tu dah pasang dua tiga spare dekat belakang kau...”
“Kau jangan nak merepeklah! Tunang aku tu bukannya jenis lelaki macam kau! Playboy! Jantan romeo! Kalau kau cakap bukan-bukan pasal dia lagi, aku akan belasah kau! Faham?!” bentak Azura marah. Sebal di hatinya makin menebal terhadap lelaki bernama Razali itu. Suka-suka hati saja mahu bikin hati Azura berdetap kencang dengan tuduhan-tuduhannya itu. Macamlah dia kenal Razif, buah hati ulam jantung Azura itu.
“Uih, marahnya dia. Sekarang baru aku perasan yang muka kau ni pun comel. Bila kau marah lagi comel...”
Azura cepat-cepat menepis tangan Razali yang sekali lagi hampir hinggap ke mukanya. ‘Dasar lelaki romeo! Gatal! Tak guna!’ maki Azura dalam hati. Azura tidak akan benarkan tangan itu menyentuh tubuhnya walau kulitnya buat kali kedua. Tidak! 

Saturday, August 3, 2013

Buddyz vs cinta: bab 11


Emey Suhaila hela keluhan halus bila melangkah ke dewan kuliah. Langkahnya perlahan saja sejak awal pagi tadi kerana Emey Suhaila benar-benar tiada mood untuk ke kuliah. Sebab hari ini Emey Suhaila masih sendiri. Azura nampaknya seakan sudah sihat semalam tapi tiba-tiba saja pagi tadi, badannya panas semula. Jadi, terpaksalah Azura terbaring saja atas katil dan berselubung di bawah selimut. Mata Azura juga merah bak biji saga. Kecut perut Emey Suhaila tengok keadaan Azura. Nasib baiklah, kali ini Emey Suhaila tidak kalut seperti tempoh hari. Ubat serta antibiotik yang diberi doktor juga masih belum habis dimakan Azura.
Bila difikir-fikir balik, memang tidak sepatutnya suhu badan Azura naik mendadak pagi tadi. Tapi salah Azura juga. Berlagak macam orang yang sudah sihat. Malam-malam buta Azura ajak Emey Suhaila keluar beli air sejuk. Kafe dan kedai serbaneka di kolej pula sudah tutup seawal 11 malam. Terpaksalah Emey Suhaila melayan kerenah Azura yang beria-ia mahu minum 100plus sejuk, macam perempuan mengidam. Puas Emey Suhaila tegah supaya jangan minum ais tapi Azura memang degil. Kononnya demamnya sudah kebah dan mahu sejukkan badan katanya.
Tingkap bilik pula Azura sengaja buka luas-luas dan membiarkan angin malam yang dingin menyerbu masuk ke ruang bilik mereka. Setiap kali Emey Suhaila rapat jendela, Azura selak kembali daun tingkap itu. Panas katanya. Letih bertekak dengan Azura, Emey Suhaila terus berselubung bawah selimut sebab menggigil kesejukan. Sudahlah kipas di siling pun berpusing laju macam kipas helikopter. Mahu dijadikan cerita, awal pagi pula hujan lebat tiba-tiba turun menimpa bumi. Bertambah-tambah menggigil Emey Suhaila dibuatnya. Sang penghisap darah pun banyak. Agaknya kenyang nyamuk-nyamuk betina hisap darah Azura yang tidak berselimut.
‘Entah-entah Zura kena demam denggi tak kali ni?’ detik Emey Suhaila tiba-tiba. Langkah Emey Suhaila serta-merta terhenti. Sedangkan hanya beberapa langkah saja di depan dia akan sampai ke pintu dewan kuliah. Emey Suhaila susah hati bila memikirkan keadaan Azura.
“Aduh, masak! Kalau Zura kena demam denggi, kena bawa dia jumpa doktor cepat ni!” Lantas tanpa banyak fikir, Emey Suhaila berpusing ke belakang semula. Namun belum sempat Emey Suhaila buka langkah, namanya dipanggil seseorang.
“Ila!”
Emey Suhaila toleh belakang sekilas. Dia nampak seorang gadis terkedek-kedek menuruni anak tangga dan berlari ke arahnya. Emey Suhaila tajamkan pandangan, cuba mengecam gadis itu.
“Siapa tu?” Emey Suhaila tertanya-tanya sendiri dan apabila gadis itu tersenyum kepadanya, Emey Suhaila turut tersenyum. Dia kenal benar lagak gadis yang tersengih-sengih di depannya itu. Emey Suhaila dapat mengecam senyuman itu. Dialah gadis yang pantang nampak Emey Suhaila, mesti hendak berkepit.
“Kau ni Aya... imej dah cukup molek dah tapi masih nak tersengih macam kerang busuk tu buat apa. Tak comellah!” usik Emey Suhaila sambil terus tersenyum. Serta-merta Rogayah leraikan senyumannya.
“Kau ni nak ke mana pula? Kelas dekat sanalah!” Rogayah menunjuk ke arah pintu dewan kuliah. Pandangan Emey Suhaila mengikut saja arah telunjuk Rogayah kemudian dia hempas keluhan perlahan.
“Aku tahulah. Tapi...”
“Kau nak ponteng kelas lagi eh?” terjah Rogayah cuba meneka tapi memang benar telahannya itu.
Emey Suhaila tidak dapat mengelak mahupun menjawab. Dalam otak Emey Suhaila, bimbang kalau-kalau tekaannya juga benar yang Azura dijangkiti demam denggi. Tanpa menjawab soalan Rogayah Emey Suhaila membuka langkah semula. Belum jauh Emey Suhaila meninggalkan Rogayah, langkah Emey Suhaila sekali lagi terhenti setelah dia terpana melihat kelibat Razali yang berjalan ke arahnya.
‘Alamak! Kelas ni pun dia masuk juga?’ Emey Suhaila mengeluh. Emey Suhaila tidak banyak fikir. Lantas dia cepat-cepat berpatah balik dan menangkap tangan Rogayah masuk ke dalam dewan kuliah.
Rogayah yang terpinga-pinga hanya mengikut saja ke mana tangannya ditarik Emey Suhaila. Masuk dalam dewan kuliah, Emey Suhaila terus menarik lengan Rogayah hingga ke barisan tempat duduk paling atas. Hinggalah di kerusi paling hujung, barulah Emey Suhaila lepaskan pegangan tangan Rogayah lalu hempas punggung dan menungkat dagu.
Rogayah terkulat-kulat ambil tempat di sebelah Emey Suhaila. Hairan dia melihat gelagat Emey Suhaila hari ini. Tambah kekok bila ada mulut yang mula berbisik sesama mereka sambil sesekali menoleh ke arahnya.
‘Kenapa? Apa yang pelik sangat pada Rogayah? Sebab Rogayah kena tarik macam lembu nak kena sembelih ke?’ fikir Rogayah sambil memerhati keliling dewan kuliah itu. Makin banyak suara yang berdesir. Macam langau. Rogayah benar-benar mahu tahu isi perbualan mereka. Maklumlah, Rogayah juga jenis orang yang suka ambil tahu. Pantang dia nampak orang berbisik. Kalau boleh, semua isi cerita dia hendak tahu.
‘Tapi, kenapa mereka asyik pandang aku aje? Pelik sangatkah aku hari ni? Atau...’ Rogayah raba muka. Kemudian dia belek tangan dan badannya. ‘Alamak! Entah-entah imej baru aku ni yang buat mereka ni mengata lagi tak? Kenapa? Teruk sangatkah?’ Rogayah hampir mahu menjerit. Namun suaranya langsung tidak terkeluar. Rogayah lekas-lekas pandang muka Emey Suhaila tapi Emey Suhaila nampak jauh termenung. Entah-entah tubuh Emey Suhaila saja berada di sebelah Rogayah tapi rohnya entah ke mana melayang. Rogayah hempas tubuh ke belakang sekaligus lepaskan keluhan serta-merta.
Rogayah seluk beg lalu cermin mata kesayangannya dikeluarkan dari poket beg. Perlahan-lahan Rogayah sangkut cermin mata ke telinga sambil menyorok mukanya ke bawah.
“Bukalah cermin mata tu!”
Sepantas kilat Rogayah menoleh ke sebelah. Terkejut dia melihat Emey Suhaila memandang tajam ke arahnya. Dahi Rogayah berkerut tidak mengerti. Selama Rogayah mengenali Emey Suhaila, tidak pernah dia melihat riak gadis itu begitu keras. Rogayah tergamam bagai melihat pontianak kehausan darah pula.
“Tanggalkan cermin mata kau tu!” ulang Emey Suhaila lagi dengan nada yang sama.
Rogayah telan liur. Kecut pula perutnya dibuat Emey Suhaila yang tiba-tiba saja berubah angin. ‘Kenapa dengan Ila ni? Kena sampuk hantu ke?’ Rogayah pandang keliling. Manalah tahu, kalau-kalau dia boleh nampak roh jahat yang menghantui Emey Suhaila. Tapi, kalau Rogayah nampak apa yang dia boleh buat. Sedangkan titik peluh sudah mula muncul dari liang romanya walau angin penghawa dingin dalam dewan kuliah itu kuat menghembus. Kalau betul Rogayah boleh nampak hantu, sudah tentu dia yang cabut lari dulu. Ataupun Rogayah terus jatuh pengsan. Berkali-kali Rogayah menelan liur sambil matanya tidak berkerdip memandang muka Emey Suhaila.
Kali ini, Emey Suhaila pula berkerut bila melihat wajah pucat Rogayah. “Kenapa dengan kau ni? Kau pun demam jugakah?” soal Emey Suhaila diselangi dehem perlahan, cuba meredakan suaranya yang tiba-tiba terasa perit. Tubuh Emey Suhaila juga mula menggigil saja sejak masuk ke dewan kuliah tadi. Matanya pula terasa panas semacam. Barangkali Emey Suhaila sudah terjangkit oleh demam Azura.
Rogayah menggeleng lambat. Kelopak matanya masih tidak berkerdip memandang ke arah Emey Suhaila.
Emey Suhaila terus rasa musykil. Tapak tangannya diletakkan di dahi Rogayah. Anak mata Rogayah mengikut saja pergerakan tangan Emey Suhaila yang menyentuh dahinya. Namun Rogayah masih membisu.
“Tak panas pun...” Emey Suhaila mencebik kemudian hela nafas lega. Lantas tangannya menyambar cermin mata yang tersangkut kemas atas batang hidung Rogayah.
“Eh!” Rogayah terkejut. Cermin mata itu cuba dirampas semula tapi Emey Suhaila lebih cepat menyembunyikannya di dalam kocek jaket denimnya sebelah kanan. Masakan Rogayah mahu meraba jaket Emey Suhaila pula. Tak pasal-pasal orang tuduh dia lesbian pula nanti. Manalah tahu kan... bukannya boleh jangka fikiran orang ni.
“Bagilah balik cermin mata aku tu Ila...” pinta Rogayah hampir menangis.
‘Alahai... cengehlah pula minah ni. Aku ambil cermin mata dia macamlah aku culik anak dia...’ Emey Suhaila mengeluh dalam hati. Namun rayuan Rogayah yang sudah mula menggoncang lengannya itu tidak dipedulikan.
“Ila... bagilah balik. Aku nak cermin tu balik...” Emey Suhaila terus buat muka toya. “Kalau macam tu, aku duduk tempat lainlah.”
Pantas Emey Suhaila menyambar tangan Rogayah yang sudah hampir bangun dari tempatnya. “Janganlah...” Emey Suhaila pula tunjuk riak kasihan.
“Kalau kau nak aku duduk sini, bagi balik cermin mata aku tu,” kata Rogayah lalu hulur tangan.
Emey Suhaila menjeling lantas lepaskan cengkamannya. Kemudian Emey Suhaila peluk tubuh erat-erat. “Buat apa kau nak pakai cermin mata tu lagi? Pakai dekat bilik sudahlah.”
“Aku tak nampaklah. Aku kan rabun. Tempat duduk ni jauh sangat...” Rogayah cuba beri alasan namun Emey Suhaila sedikit pun tidak termakan dengan alasan yang diberikannya itu. “Ila...”
“Ish, kau kan pakai kanta lekap. Tak payahlah nak kelentong aku.”
Rogayah muncung. Hampir tergelak Emey Suhaila melihat reaksi Rogayah tapi Emey Suhaila cuba tahan. “Kalau kau nak sangat cermin mata kau ni balik, kau kena janji duduk sebelah aku dalam semua kuliah lepas ni. Mana saja aku pergi pun, kau kena ikut. Ok?” Emey Suhaila bisik ke telinga Rogayah lalu terus pura-pura buka buku nota. Reaksi Rogayah tidak diendahkan lagi.
Sesekali Emey Suhaila jeling ke arah lelaki yang duduk di hujung barisan tempat duduknya. Spontan Emey Suhaila hela nafas lega. Nasib baik barisan tempat duduk itu dipenuhi oleh mamat-mamat dan minah-minah yang memang suka sangat duduk di barisan terakhir tu sebelum Razali masuk ke dewan kuliah. Kalau tidak, teruklah Emey Suhaila jika Razali ambil tempat di sebelah Rogayah. Silap hari bulan Rogayah pun bersekongkol dengan mamat tu. Ah, selisih!
Dia toleh belakang pula. Yes! Sudah ada orang lain yang duduk di situ. Padan muka Razali. Tidak dapatlah dia kacau Emey Suhaila hari ini.



“Aku betul-betul suka kau.”
Bertalu-talu keluhan dilepaskan Emey Suhaila. Hampir pitam dia membaca kata-kata yang tertulis di atas kertas yang sekejap tadi diterimanya. Kertas itu ditenung lama lalu satu lagi keluhan dihempas perlahan.
Tiba-tiba mata Emey Suhaila membulat apabila sekeping lagi kertas sampai kepadanya. Lipatan kertas itu dibuka dan isinya dibaca dengan malas.
“Janganlah main lari-lari lagi...”
Pendek isinya dengan simbol wajah sedih di hujungnya. Emey Suhaila hempas keluhan entah yang ke berapa kali. Letih melayan surat yang tidak putus-putus dia terima. Ikutkan rasa, malas dia mahu membaca surat-surat itu lagi. Jauh sekali mahu membalas. Sudahlah tulisan macam cacing kerawit, buatkan mata Emey Suhaila juling membacanya. Kalau Azura ada, mungkin Azuralah orangnya yang akan membalas semula surat-surat itu. Kalau Emey Suhaila, jangan haraplah. Dalam mimpi pun Emey Suhaila tidak akan buat. Lantas kesemua surat-surat yang diterimanya sejak lebih sejam lalu digumpal dan dicampak ke lantai.
“Apa pula kali ni?” Suara Emey Suhaila hampir bergegar sebaik menerima sehelai lagi kertas dari tangan Rogayah. Rogayah hanya diam sambil terjengah-jengah mahu tahu isi kertas itu.
“Nanti aku tak larat nak kejar...”
Serta-merta Emey Suhaila hempas keluhan. “Kalau tak larat, tak payahlah kejar!” bentak Emey Suhaila bengang lalu terus membuang kertas itu ke bawah.
Kelas yang sejak awal tadi senyap tambah sunyi. Namun Emey Suhaila tidak kesah apa yang berlaku di sekitarnya. Memang sudah lama dia tawar hati mahu terus berada dalam dewan kuliah. Kalaulah ada pintu halimunan di sebelahnya, sudah lama Emey Suhaila lenyapkan diri. Emey Suhaila terus tarik muka masam dan bersandar ke kerusi. Kedua tangannya memeluk tubuh erat. Tiba-tiba peha Emey Suhaila diketuk dari sebelah kiri. Siapa lagi yang ada disebelahnya jika bukan Rogayah.
“Apa lagi?!” soal Emey Suhaila keras yang terus saja naik angin. Sangkanya ada lagi surat yang bakal dia terima daripada posmen-posmen yang rajin sangat berkhidmat untuk orang yang tulis surat-surat itu. Tapi kali ini tangan Rogayah kosong. Sebaliknya, Rogayah terus menguit peha Emey Suhaila sambil sesekali muncung dengan jari telunjuknya menuding ke depan. Emey Suhaila alih pandang ke depan dewan. Tersentap jantung Emey Suhaila melihat Dr. Balkis sedang melontar pandang ke arahnya sambil mencekak pinggang.
‘Alamak!’ Emey Suhaila menggelabah. “Kenapa? Kenapa?” bisiknya berkali-kali ke telinga Rogayah.
“Hah, pelajar yang duduk dekat hujung sana tu! Awak ada apa-apa masalahkah? Berkali-kali saya soal dari sini, awak tak dengarkah?” lontar Dr. Balkis lantas membetulkan cermin matanya. Soalan Dr. Balkis itu sekaligus buat Emey Suhaila terdiam.
‘Alamak! Dr. Balkis ada bagi soalan ke tadi?’ Hati Emey Suhaila mula menggelabah. Teguran Dr. Balkis itu tidak mampu Emey Suhaila jawab. Hanya satu keluhan halus saja mampu dibalasnya.
Rogayah pula terkulat-kulat berlakon macam tidak berdosa. Tidak berani dia mahu tarik perhatian Dr. Balkis sama. Memang tidak kena masa Rogayah mahu menjawab soalan Emey Suhaila tadi. Kalau Rogayah pun sibuk buka mulut, sudah tentu dia juga yang kena sembur nanti.
“Kalau dah tak berminat nak dengar kuliah saya, lebih baik awak tak payah masuk kuliah saya ni. Saya suka mengajar pelajar yang nak dengar kuliah saya saja,” kata Dr. Balkis lagi. Ada nada marah dalam suara Dr. Balkis.
Emey Suhaila telan liur. Tiba-tiba Emey Suhaila rasa tidak keruan. Serba-serbi rasa tidak kena. Emey Suhaila mula berkira-kira. Dia tidak mahu dirinya saja dipersalahkan. Dia mahu pertahankan diri. Perlukah Emey Suhaila jawab soalan Dr. Balkis tadi? Beritahu sajalah Dr. Balkis tentang surat-surat yang dia terima sejak awal kuliah tadi, atau ikut saja cadangan Dr. Balkis untuk keluar dari dewan kuliah? Namun Emey Suhaila tetap tidak dapat menjawab. Dia hanya mampu menyorok mukanya yang sememangnya sudah terasa tebal bak tembok China dengan tapak tangan.
Dalam hati, Tuhan saja yang tahu. ‘Kalau boleh, memang saya nak keluar dari kelas ni oh, Dr. Balkis. Tapi saya dah macam tersepit pula dekat sini. Aduh, malunya aku! Ni semua mamat mereng tu punya pasal. Doktor marahlah aje dekat dia. Dia yang buat saya separuh gila dekat sini!” Panjang lebar pula jawapan Emey Suhaila tapi semuanya tidak terluah dari mulutnya yang entah kenapa terasa bagai sudah dikunci rapat.
Beberapa ketika, Dr. Balkis menyambung semula kuliah yang tertangguh hampir sepuluh minit. Sesekali Dr. Balkis menjeling ke arah Emey Suhaila. Sedang Emey Suhaila masih tidak dapat beri perhatian. Jari-jemarinya yang halus meruncing ligat menggerakkan pen bermata bulat di atas buku nota. Tapi bukan nota kuliah Dr. Balkis yang disalinnya. Sebaliknya barisan kata ‘aku tak suka kaulah!’ yang ditulis berulang kali memenuhi satu muka surat.
Emey Suhaila tekan dahinya yang terasa tegang dengan jari hantu setelah sekeping lagi surat layang tiba-tiba muncul atas tangannya. Tanpa membaca isinya, Emey Suhaila terus renyukkan surat itu menjadi gumpalan lalu dibuang ke bawah. Matanya menjeling bawah meja sebelah kanan. Sudah banyak kertas yang dicampaknya ke situ dari tadi. Bertimbun. Sakit hati Emey Suhaila melihat longgokan gumpalan kertas itu yang hampir penuh di kaki. Lantas dengan perasaan geram Emey Suhaila pijak kertas-kertas itu dan cuba menyepaknya ke bawah kerusi barisan depan. Kemudian Emey Suhaila hentak tubuh ke kerusi lalu hempas keluhan berat.
Tidak lama, satu lagi kertas dihulurkan Rogayah. Emey Suhaila memandang kertas itu lama-lama lalu mengeluh lagi. Emey Suhaila mengalih pandangannya ke dinding. Ikutkan hati, mahu saja Emey Suhaila hentak kepala ke dinding yang betul-betul di sebelahnya itu. Tapi bila difikir-fikir balik, Emey Suhaila juga yang sakit kalau buat begitu. Malahan, sakit hatinya juga tidak mungkin akan hilang begitu saja.
Lama Emey Suhaila buat tidak tahu tapi Rogayah terus mengunjurkan surat itu ke depan Emey Suhaila. Belum sampai satu minit, sehelai lagi kertas sampai ke tangan Rogayah. Rogayah juga rasa serba salah. Dia sendiri tidak mengerti apa yang sedang berlaku dan hanya mengikut saja rentak teman-teman kuliah yang menyerahkan kertas itu kepadanya untuk disampaikan kepada Emey Suhaila.
Berkali-kali Rogayah hulur kepada Emey Suhaila. Sementara Emey Suhaila pula masih buat tidak endah dan terus berpaling darinya. Beberapa saat, Rogayah terima sepucuk lagi surat. Emey Suhaila masih enggan terima. Kali keempat, Rogayah nampak tulisan yang panjang berjelar di atas kertas yang tidak berlipat. Rogayah cuba curi-curi baca tapi dia tidak cukup berani pula mahu jeling isi surat itu kali ini. Satu nafas panjang ditarik sebelum surat-surat yang sudah penuh di tangan Rogayah dihulurkan kepada Emey Suhaila. Namun seperti tadi, Emey Suhaila tetap membatu.
Rogayah sudah tiada cara lain. Kertas-kertas itu terus diletak atas meja di depan Emey Suhaila. Rogayah jeling reaksi Emey Suhaila dari hujung mata. Wajah Emey Suhaila jelas nampak tegang. Sejak bermula kuliah pertama tadi, mood Emey Suhaila terus saja berubah. Rogayah juga terkena tempiasnya bila perhatiannya untuk mendengar kuliah diganggu surat-surat yang berpindah dari satu tangan ke satu tangan lain. Entah siapa punya angkara, Rogayah tidak pasti. Kali ini, Rogayah perhati setiap orang yang duduk sebaris dengannya.
‘Siapa punya kerjalah agaknya ni? Surat-surat tu... surat cinta ke?’ detik Rogayah sendiri sambil terus memerhati. ‘Kalau betul surat cinta, entah-entah ni semua kerja si Razali tu agaknya. Aku dah agak dah. Dia mesti ada hati dekat Ila!’ teka Rogayah yakin setelah melihat riak Razali yang tersengih-sengih di hujung sana.
Sementara Emey Suhaila sudah lama hilang minat mahu dengar kuliah. Kerisauannya terhadap Azura yang masih tidak kebah dari demam juga sudah lama melayang semenjak hatinya sekali lagi diketuk Razali. Cinta Razali itu bukannya bikin hati Emey Suhaila mekar berbunga tetapi sebaliknya ibarat kawat duri yang melilit jantung hatinya. Sakit, perit... berdarah!
Emey Suhaila sangka dengan duduk di hujung dewan kuliah, macam hujung dunia itu dapatlah dia melarikan diri daripada Razali. Nampaknya tindakan Emey Suhaila seakan-akan menjerat dirinya sendiri. Razali tetap ada cara untuk mencuri perhatian Emey Suhaila sedangkan Emey Suhaila pula tersepit di situ. Tambah malu bila perbuatan Razali turut membabitkan beberapa pelajar lain. Mulalah ada mulut yang berbisik macam-macam. Eiii... malunya Emey Suhaila.
Walaupun ditegur Dr. Balkis tadi, Emey Suhaila sudah tidak kesah. Hatinya benar-benar bengkak. Kalau Dr. Balkis tegur Emey Suhaila sekali lagi selepas ini, Emey Suhaila bertekad mahu mengadukan hal yang mengganggunya sekarang ini kepada Dr. Balkis. Biar si Pendeta Surat Cinta itu pula yang kena hembur dek Dr. Balkis. Biar satu kuliah dengar. Padan muka dia.
Emey Suhaila hempuk kepala ke meja. Kertas-kertas yang bertimbun di depannya ditolak jatuh ke bawah. Kalau dia mahu cabut lari pun terpaksa merentasi lebih sepuluh orang yang memenuhi barisan tempat duduk itu, termasuklah si ‘Pecinta Wanita’ di hujung itu. Aduhai, kalau mahu melepasi teman kuliah lain, Emey Suhaila masih boleh tahan lagi walau berapa ramai pun terpaksa diredahnya mahupun berapa jauh perlu disusurinya. Tapi untuk melepasi Razali... memang mustahil. Sah-sah Emey Suhaila pula yang diperbodohkan di situ nanti dengan acah-acah ‘Pecinta Wanita’ itu. Silap hari bulan tangan Emey Suhaila pula ditarik Razali ketika melalui di depan lelaki itu. Lepas itu, Emey Suhaila terduduk pula atas peha si Razali.
‘Argghhh! Tension!’