Kelas Dr. Balkis sudah lama berakhir. Kuliah Dr. Zainal
juga sudah selesai beberapa minit lalu menandakan sudah masuk waktu rehat.
Namun dari kuliah pertama hinggalah habis kuliah Dr. Zainal, satu tajuk pun
tidak masuk ke otak Emey Suhaila. Mana tidaknya, semangat belajarnya sudah
lenyap ditelan surat-surat cinta Razali yang berlambak dan kini sudah penuh di
bawah kaki Emey Suhaila. Semuanya direnyuk dan dibuang ke bawah. Mual tekak Emey
Suhaila mahu terus membaca isi surat-surat Razali yang kebudak-budakan.
“Eh, kau tak mahu keluar makan ke?” Rogayah menepuk bahu Emey
Suhaila yang terus monyok.
Emey Suhaila tidak menoleh ke arah Rogayah yang sudah
sibuk mengemas barang-barangnya. Emey Suhaila letakkan kepala atas meja sambil
memerhati kumpulan pelajar yang beransur-ansur beredar keluar dari dewan
kuliah. Tangannya pula menekan perut sambil terkiput-kiput menahan air hangat
yang seakan tidak mampu lagi ditahan. Kalau dikira-kira, sudah dekat sejam Emey
Suhaila menahan tangki airnya yang sudah penuh. Semuanya gara-gara tidak mahu
melintasi Razali, mamat romeo pencinta wanita di tempat duduk paling luar.
Bercakap pasal Razali, Emey Suhaila curi pandang ke arah tempat duduk paling
hujung. Lelaki itu sudah beralih ke barisan bawah sedikit.
Emey Suhaila cepat-cepat alih pandang bila Razali
menangkap jelingannya. Macam tahu-tahu saja lelaki itu Emey Suhaila memandang.
Terus saja dia menoleh ke belakang. Emey Suhaila pula hempas keluhan panjang.
“Aduh! Tak keluar lagi mamat ni?” getusnya geram.
Rogayah sudah bangun dari duduknya. Sekaligus Emey
Suhaila angkat kepala dan menoleh ke sebelah kiri. “Kau nak pergi mana ni?”
soal Emey Suhaila cepat sebelum Rogayah sempat melangkah pergi.
“Nak pergi makanlah. Perut aku dah menyanyi lagu pop dah
ni!” balas Rogayah bersahaja sambil meraba perutnya.
“Kan aku dah kata, jangan tinggalkan aku. Kau kena ikut
aje mana aku pergi.” Emey Suhaila bulatkan mata. Sempat dia menjeling ke arah
Razali tidak jauh di belakang Rogayah.
Rogayah gumam bibir. Tangan yang meraba perut beralih
pula ke kepala. “Tadi aku dah ajak kau tapi kau monyok aje. Aku ingat kau nak
bersendirian dekat sini...” jawab Rogayah lagi sambil tergaru-garu kepalanya
yang semestinya langsung tidak gatal. Otaknya saja yang terasa miang,
memikirkan bermacam soalan yang mahu ditanyakan kepada Emey Suhaila. Tapi,
melihat keadaan Emey Suhaila yang muram saja sejak tadi, tidak sampai hatilah
pula Rogayah mahu bertanya. Tunggulah bila ada masa yang sesuai nanti, Rogayah
pasti akan korek rahsia.
‘Nak bersendirian dekat sini?! Kalau aku nak bersendirian
pun, aku tak akan duduk dekat tempat yang mamat tak reti bahasa tu ada! Tambah
gila aku duduk dengan dia nanti. Lebih baik aku memerap dalam bilik kat kolej!’
fikir Emey Suhaila.
Emey Suhaila lekas-lekas capai beg sandangnya lalu
disilang ke bahu. Fail dan buku notanya yang bertaburan atas meja dipungut
kemudian Emey Suhaila tangkap tangan Rogayah. “Jomlah. Aku pun tak tahan nak
terkucil ni!” bisik Emey Suhaila sambil menolak badan Rogayah ke depan.
Rogayah terkial-kial melangkah melalui laluan yang agak
sempit baginya itu sementara Emey Suhaila memaut bahunya dari belakang. Di
hujung, Rogayah dapat melihat susuk tubuh Razali yang masih setia duduk di salah
satu tempat duduk. Rogayah toleh ke bawah dewan kuliah. Kosong. Nampaknya semua
pelajar sudah beredar keluar. Mungkin sudah berasak-asak di kafeteria.
“Eh, dia ni tak nak keluarkah?” Rogayah berbisik
perlahan.
“Tak payah sibuk hal oranglah. Jalan aje cepat!”
Tiba-tiba Rogayah rasa tubuhnya ditolak lebih kuat dari
belakang menyebabkan langkah Rogayah kelam-kabut dipercepatkan. Sempat Rogayah
menjeling muka Razali apabila melintasi lelaki itu. Razali nampak khusyuk
membelek buku kecil yang dipegang sambil menyilang kaki. Sekali tengok, kacak
juga lelaki bernama Razali itu. Gayanya juga buatkan hati Rogayah mula cair.
Rogayah sudah mula berangan-angan dan angan-angannya itu serta-merta lenyap
apabila tubuhnya yang dicengkam kuat oleh Emey Suhaila tadi tertarik ke belakang.
Serentak itu, Rogayah terdengar jeritan Emey Suhaila lantas Rogayah cepat-cepat
menoleh ke belakang.
Terpana Rogayah melihat Emey Suhaila yang sudah terduduk
di atas pangkuan Razali. Tangan Razali memaut bahu Emey Suhaila yang hampir
jatuh tergolek dan membiarkan pula bukunya jatuh ke lantai. Mata mereka saling
bertentangan dan Rogayah nampak muka terkejut yang terpancar jelas di wajah Emey
Suhaila ketika itu.
‘Apa dah jadi?’ Rogayah melopong.
Sementara Emey Suhaila dapat merasakan debaran jantungnya
yang kuat bergoncang. Entah kerana marah atau pun... tapi lama juga Emey
Suhaila terkesima sebegitu rupa. Emey Suhaila tepis semua perasaan yang menusuk
hatinya sekarang dan menolak Razali kuat-kuat lalu bangun dari dakapan lelaki
itu. Dengan hati sebal, Emey Suhaila terus berlari keluar dari dewan kuliah.
Rogayah melopong melihat gelagat Emey Suhaila dan Razali
sekejap tadi. Macam aksi dalam drama pun ada. Rogayah pandang muka Razali.
Lelaki itu hanya tersenyum tenang lalu membongkok mengambil bukunya yang jatuh
ke bawah.
‘Apa ni?!’ Rogayah tertanya-tanya. Mahu saja dia
mengajukan soalan itu kepada Razali. Malah banyak lagi soalan yang bermain di
fikirannya mahu dilontarkan tapi semuanya seakan tidak terluah ketika ini.
Sedang bayang Emey Suhaila sudah lesap. Lantas Rogayah buka langkah panjang
untuk mengejar Emey Suhaila yang mungkin sudah lari jauh.
Emey Suhaila hempas fail di tepi sinki. Dia pandang
mukanya di depan cermin lama-lama. Pipi Emey Suhaila jelas nampak merah. Pili
air kemudiannya dibuka luas dan membiarkan air deras melimpah dari mulut paip
dan memenuhi dalam sinki. Emey Suhaila tadah air dengan kedua tapak tangan
lantas disapu ke muka laju-laju. Berkali-kali dia ulang perbuatan yang sama sehingga
rosak solekannya. Tidak cukup nafas Emey Suhaila bila dihempas mukanya dengan
air bertalu-talu. Emey Suhaila tenung mukanya dalam cermin sekali lagi. Mukanya
masih merah seperti tadi. Jelas sekali merah itu bukan kerana pemerah pipi yang
disapu awal pagi tadi.
Emey Suhaila letak tapak tangan atas dada. Jantungnya
masih lagi bergoncang kuat. Mungkinkah kerana dia sungguh-sungguh berlari ke
tandas tadi? Emey Suhaila menarik nafas dalam-dalam, cuba meredakan sesak
jantungnya yang berkerja keras sejak beberapa minit lalu. Namun, debaran itu
masih tidak mahu surut.
Sepatutnya awal-awal lagi Emey Suhaila cabut lari dari
dewan kuliah. Biarlah melayang markah kehadiran sekalipun. Sekurang-kurangnya tidak
perlu Emey Suhaila hendak sakit hati duduk dalam dewan yang seakan serupa bilik
tahanan psikologi gara-gara Razali. Malah takk adalah juga Emey Suhaila malu
selepas ditegur Dr. Balkis di depan semua pelajar. Tidak semena-mena bayangan
tindakan Razali yang merentap tangannya tadi sehingga membuatkan dia terduduk
di atas lelaki itu melintas di fikiran. Hati Emey Suhaila tambah bergoncang.
“Argghhhh!” Emey Suhaila menjerit kuat-kuat. Kemudian
Emey Suhaila terdiam seketika. Matanya menjeling setiap sudut tandas itu. Kalau
ada orang yang tahu Emey Suhaila mengamuk dalam tandas, jatuh lagilah air muka
Emey Suhaila. Lantas Emey Suhaila menarik nafas lega sebaik mendapati hanya dia
seorang dalam tandas itu ketika ini. Tanpa berlengah, marahnya yang berbuku
dalam hati dilontarkan semula.
Tangan Emey Suhaila menghentak sinki berkali-kali. Memang
hampir gila dia dibuat Razali. Mujur juga tiada siapa lagi yang masih tinggal
dalam dewan kuliah semasa semua itu berlaku. Hanya Rogayah saja yang nampak.
Tapi, mungkinkah Rogayah akan menghebahkan cerita itu? Memikirkan sikap Rogayah
yang becok itu bikin otak Emey Suhaila kian serabut.
“Alamak!” Baru Emey Suhaila teringat yang dia
meninggalkan Rogayah bersama Razali berdua dalam dewan kuliah tadi.
‘Ah, lantaklah! Rogayah tu bukannya budak kecil yang aku
kena jaga sepanjang masa. Tapi kalau dia sibuk temuramah mamat tu pulak macam
mana? Ah, sudah!’ Emey Suhaila geleng kepala laju-laju. Bermacam gambaran bertali
arus menerjah di mindanya kini cuba ditepis jauh. Tapi, otak Emey Suhaila masih
tidak mampu berhenti dari berfikir yang bukan-bukan.
“Ah, budak tu bukannya boleh percaya!” Hati Emey Suhaila
kuat merasa tidak sedap membiarkan dua manusia itu. Sebelum apa yang bermain di
benaknya menjadi nyata, lebih baik dia pergi mendapatkan Rogayah cepat.
Langkah Emey Suhaila berhenti betul-betul di depan pintu
dewan kuliah. Hatinya tiba-tiba saja bergoncang kuat walaupun Emey Suhaila
pasti tiada pelajar lain di situ kerana masa rehat belum lagi berakhir. Pasti
kebanyakan pelajar sibuk mengisi perut sambil berborak kosong waktu ini.
Tapi... mungkinkah lelaki itu masih di dalam? Emey Suhaila menarik nafas dalam-dalam
lalu dilepaskan perlahan. Hati Emey Suhaila benar-benar berdebar. Bila
membayangkan jika Rogayah benar-benar sedang menemuramah lelaki itu sekarang
ini, jantungnya sekali lagi dihentam gemuruh. Lantas tanpa banyak fikir lagi, Emey
Suhaila menarik pemegang pintu dan segera menjengah ke dalam.
Mata Emey Suhaila meliar mencari kelibat Rogayah di atas
dewan kuliah. Tiada! Dahi Emey Suhaila berkerut. Matanya terus meneliti setiap
sudut dewan kuliah itu tapi bayang Rogayah juga tidak kelihatan. Razali juga
sudah tiada di tempat duduknya tadi. Dewan itu sudah sunyi tanpa manusia.
“Mana dia? Dah pergi ke mana?” soal Emey Suhaila sendiri.
“Cari akukah?”
Emey Suhaila tersentak lalu terus berpaling ke belakang
serentak melepaskan pintu serta-merta. Terbelalak mata Emey Suhaila bila
melihat Razali tercegat betul-betul di sebelahnya dan jarak mereka hanya
seinci. Emey Suhaila terkedu. Dia dapat merasakan deru nafas Razali yang panas
menerpa mukanya.
“Apa kau buat dekat sini?” aju Emey Suhaila serta-merta
sebaik tersedar dari tubuhnya yang kaku membeku sekejap tadi sekaligus menarik
tubuhnya ke belakang. Emey Suhaila tambah gelisah melihat riak Razali yang
sekadar tersenyum melihat gelagatnya.
‘Ih, miangnya senyuman dia tu. Geram betul hati aku
tengok!’
Gundah Emey Suhaila tidak berakhir di situ. Hatinya makin
bergetar kuat bila Razali membuka langkah mendekatinya. Sedangkan Emey Suhaila
sudah kaku, seakan tidak mampu untuk beredar. Saat itu juga, Emey Suhaila dapat
merasakan degup jantungnya yang bergoncang kuat.
‘Alamak! Kenapa badan aku ni? Kenapa tak boleh gerak
langsung? Kaki aku pun dah macam kena gam UHU, tak mahu tanggal dari lantai ni
kenapa?!’
Mata Emey Suhaila membulat bila melihat Razali semakin
menghampirinya. ‘Dia ni pula nak buat apa? Buat apa dekat-dekat ni?’ Emey
Suhaila menjerit dalam hati. Lidahnya turut kelu. Seakan seluruh tubuhnya
lumpuh seketika dan hanya mampu memerhati saja tindakan Razali ketika itu.
Jantung Emey Suhaila pula semakin lama semakin kuat bergoncang. Macam nak
meletup pula rasanya.
“Kau ni nampak makin comellah bila kau marah...” Razali
bersuara seraya menghentikan langkahnya. Kini Razali berdiri betul-betul di
depan Emey Suhaila yang sudah lama kaku bak patung di situ.
‘Ah! Tu dialog biasa aku dengar dalam drama! Dah basilah.
Aku takkan termakan dengan kata-kata manis kau tu!’ Hati Emey Suhaila tidak
henti-henti memaki namun entah kenapa lidahnya masih kelu sejak tadi dan entah
sampai bila pula dia akan terus begini?
“Kenapa kau datang ke sini semula? Cari akukah? Takkan
baru berpisah sekejap dah rindu dekat aku?” Lembut suara Razali singgah ke
telinga Emey Suhaila sambil melontar pandangan romeonya. Sementara jari panjang
Razali pula tidak segan-segan menyentuh pipi Emey Suhaila.
Emey Suhaila tersentak. Bagai mahu tercabut tangkai
jantungnya bila jari lelaki itu hinggap ke mukanya. Bagai terkena kejutan
elektrik, Emey Suhaila cepat-cepat menepis tangan Razali dan mengundur ke
belakang lagi. Barulah Emey Suhaila dapat menggerakkan tubuhnya setelah lama
terseksa kaku tidak dapat bergerak.
“Apa kau cuba buat ni? Siapa yang rindu dekat kau? Jangan
cakap yang bukan-bukan dan buatkan aku rasa nak muntahlah! Aku datang sini
bukan cari kau! Aku datang cari kawan aku! Jangan nak perasan dan fikir
bukan-bukan!” marah Emey Suhaila habis-habis.
Namun begitu, marah dalam hati Emey Suhaila
bertambah-tambah apabila melihat reaksi Razali yang sekadar melemparkan senyum.
“Kalau ya pun, janganlah buat muka macam tu. Kau malukah?
Muka kau nampak merah padam tau...” Razali menambah sambil terus mengulit senyuman
maskulin.
“Mana ada! Muka aku ni merah sebab marah, tahu tak?!
Sebab aku marah!” balas Emey Suhaila cepat. Emey Suhaila kalut mahu menyorokkan
muka. Kalau ada pasu bunga berdekatan situ, rasanya Emey Suhaila sudah lama
sumbat muka dalam pasu. Kalau ada kolam ikan sekalipun, Emey Suhaila sanggup
terjun kolam daripada terus berdepan lelaki romeo yang kembali mendekatinya
itu.
“Eh, kau buat apa nak dekat-dekat dengan aku ni?” Emey
Suhaila tambah kalut. Kakinya menggigil mahu mengundur ke belakang. Bagai tidak
cukup tanah dia mahu menjauhkan diri dari Razali sedangkan dia boleh saja terus
beredar dari situ. Tapi entah kenapa, tidak terlintas pula di fikiran Emey
Suhaila untuk berlalu.
“Berdiri aje dekat sana!” Itu sajalah yang mampu Emey
Suhaila pekikkan.
Razali mengikut. Langkahnya tidak lagi diteruskan untuk
mendekati gadis itu. Seketika, Razali tertawa kecil sekaligus merentap hati Emey
Suhaila yang sudah cukup marah. Emey Suhaila beliakkan mata ke arah lelaki itu.
‘Ish, apalah yang mamat ni fikir? Entah-entah otak dia tu
dah berkarat agaknya!’ getus Emey Suhaila dalam hati.
Makin lama tawa Razali itu seakan kuat sampai ke
gegendang telinga Emey Suhaila. Sakit hati Emey Suhaila dengar gelak tawa
lelaki itu yang sumbang.
“Kau ni... bila marah comel, bila kau gelabah pun comel.
Ini yang buatkan aku tambah sayang dekat kau ni...”
Hampir pengsan Emey Suhaila mendengar bait kata yang
keluar dari mulut Razali, seakan panah yang tepat mengenai jantungnya. Emey
Suhaila terdiam. Senyuman yang tidak lekang terulit di bibir lelaki itu bikin
hati Emey Suhaila makin gundah tidak terkata. Bila menyedari Razali kembali
melangkah ke arahnya, Emey Suhaila masih terdiam kaku. Sama seperti tadi.
‘Alamak! Apa kena dengan aku ni? Takkan dia baru cakap
macam tu, aku dah cair kot? Hei, Emey Suhaila! Sedarlah!’ Razali sudah semakin
rapat dan tangan lelaki itu sudah memaut lengan Emey Suhaila. Hati Emey Suhaila
tambah debar.
“Hai, Raz sayang...”
Tiba-tiba muncul suara manja dari sebelah. Emey Suhaila
dan Razali menoleh serentak, melihat seorang gadis sudah memaut erat tangan
Razali. Malah kedua-dua mereka serentak menunjukkan reaksi terkejut. Tapi
rasanya Emey Suhailalah orang paling tidak mahu percaya kerana gadis itu...
‘Zura? Apa dia buat dekat sini? Apa yang Zura panggil
mamat ni tadi? Aku silap dengarkah ni?’
“Sejak bila you
main kayu tiga belakang I ni?
Jahatlah you ni tau... tak sayang I lagi ke?” Azura muncung manja sambil
menarik-narik lengan baju Razali. Terkedu Razali seketika melihat lagak Azura
yang tergedik-gedik di sisinya.
Setelah masing-masing lama terdiam, Azura merengus halus.
Reaksi manja dan menggoda Azura tadi juga tiba-tiba berubah tegang. Mata yang
ayu tadi sudah berubah bak musang kelaparan. Azura lepaskan pautan manjanya
tadi dengan kasar. Jerki Razali ditarik dan wajah lelaki itu ditenung tajam.
“Kau jangan harap aku nak suka kau macam tulah, lembap!
Dan kau juga jangan mimpi yang Ila akan suka dekat kau macam angan-angan dalam
kepala otak kau tu. Jadi, berhenti kacau hidup dia. Faham?” Keras suara Azura
beri amaran.
Namun amarah Azura dibalas pula dengan senyum sinis
Razali. Sebal hati Azura melihat senyuman itu. Tiba-tiba hatinya tersentap
apabila Razali memaut lembut pergelangan tangan Azura yang mencengkam bajunya.
Matanya merenung jauh ke dalam mata Azura. Pandangan itu bikin jantung Azura
pula berdetap kencang. Tanpa dia sedari, mukanya semakin kemerahan.
“Kenapa? Kau dah jatuh hati pada akukah?”
Soalan Razali itu bagaikan panahan petir yang mengejutkan
Azura lantas dia cepat-cepat menarik tangannya daripada genggaman lelaki itu. “Kau
jangan nak merepek. Aku tak mungkin suka pada kaulah! Tak mungkin ada perempuan
yang nak pada lelaki romeo satu malaya macam kau ni, tahu tak?!” bentak Azura
keras.
Namun, Razali terus tersenyum dan tertawa kecil. Makin
sakit hati Azura dibuatnya. Kononnya Azura datang sini semata-mata mahu
selamatkan Emey Suhaila tapi dia pula yang terkena.
“Habis tu, kenapa muka kau merah?”
Azura raba kedua belah pipinya. Namun dia tidak pasti
sama ada kata-kata Razali tadi benar atau lelaki itu sengaja mahu
mempermainkanya. “Mana ada! Kau jangan nak goda aku pula. Aku dah ada tunang,
tahu tak? Aku tak akan menduakan lelaki kesayangan aku.”
“Comelnya...” kata Razali sambil memicit hidung Azura.
Terkejut besar Azura diperlakukan begitu. Kali ini, Azura
dapat merasakan kehangatan yang menjalar di wajahnya. Dia pasti mukanya sudah
benar-benar merah.
“Bertuahnya tunang kau dapat teman wanita yang setia
macam kau ni...” Razali kenyitkan mata seraya tersengih nakal. “Tapi kan,
entah-entah tunang kau tu dah pasang dua tiga spare dekat belakang kau...”
“Kau jangan nak merepeklah! Tunang aku tu bukannya jenis
lelaki macam kau! Playboy! Jantan
romeo! Kalau kau cakap bukan-bukan pasal dia lagi, aku akan belasah kau!
Faham?!” bentak Azura marah. Sebal di hatinya makin menebal terhadap lelaki
bernama Razali itu. Suka-suka hati saja mahu bikin hati Azura berdetap kencang
dengan tuduhan-tuduhannya itu. Macamlah dia kenal Razif, buah hati ulam jantung
Azura itu.
“Uih, marahnya dia. Sekarang baru aku perasan yang muka
kau ni pun comel. Bila kau marah lagi comel...”
Azura cepat-cepat menepis tangan Razali yang sekali lagi
hampir hinggap ke mukanya. ‘Dasar lelaki romeo! Gatal! Tak guna!’ maki Azura
dalam hati. Azura tidak akan benarkan tangan itu menyentuh tubuhnya walau
kulitnya buat kali kedua. Tidak!
No comments:
Post a Comment