Emey Suhaila hela keluhan halus bila melangkah ke dewan
kuliah. Langkahnya perlahan saja sejak awal pagi tadi kerana Emey Suhaila
benar-benar tiada mood untuk ke kuliah. Sebab hari ini Emey Suhaila masih
sendiri. Azura nampaknya seakan sudah sihat semalam tapi tiba-tiba saja pagi
tadi, badannya panas semula. Jadi, terpaksalah Azura terbaring saja atas katil
dan berselubung di bawah selimut. Mata Azura juga merah bak biji saga. Kecut
perut Emey Suhaila tengok keadaan Azura. Nasib baiklah, kali ini Emey Suhaila
tidak kalut seperti tempoh hari. Ubat serta antibiotik yang diberi doktor juga
masih belum habis dimakan Azura.
Bila difikir-fikir balik, memang tidak sepatutnya suhu
badan Azura naik mendadak pagi tadi. Tapi salah Azura juga. Berlagak macam
orang yang sudah sihat. Malam-malam buta Azura ajak Emey Suhaila keluar beli
air sejuk. Kafe dan kedai serbaneka di kolej pula sudah tutup seawal 11 malam.
Terpaksalah Emey Suhaila melayan kerenah Azura yang beria-ia mahu minum 100plus
sejuk, macam perempuan mengidam. Puas Emey Suhaila tegah supaya jangan minum
ais tapi Azura memang degil. Kononnya demamnya sudah kebah dan mahu sejukkan
badan katanya.
Tingkap bilik pula Azura sengaja buka luas-luas dan
membiarkan angin malam yang dingin menyerbu masuk ke ruang bilik mereka. Setiap
kali Emey Suhaila rapat jendela, Azura selak kembali daun tingkap itu. Panas
katanya. Letih bertekak dengan Azura, Emey Suhaila terus berselubung bawah
selimut sebab menggigil kesejukan. Sudahlah kipas di siling pun berpusing laju
macam kipas helikopter. Mahu dijadikan cerita, awal pagi pula hujan lebat
tiba-tiba turun menimpa bumi. Bertambah-tambah menggigil Emey Suhaila
dibuatnya. Sang penghisap darah pun banyak. Agaknya kenyang nyamuk-nyamuk
betina hisap darah Azura yang tidak berselimut.
‘Entah-entah Zura kena demam denggi tak kali ni?’ detik Emey
Suhaila tiba-tiba. Langkah Emey Suhaila serta-merta terhenti. Sedangkan hanya
beberapa langkah saja di depan dia akan sampai ke pintu dewan kuliah. Emey
Suhaila susah hati bila memikirkan keadaan Azura.
“Aduh, masak! Kalau Zura kena demam denggi, kena bawa dia
jumpa doktor cepat ni!” Lantas tanpa banyak fikir, Emey Suhaila berpusing ke
belakang semula. Namun belum sempat Emey Suhaila buka langkah, namanya dipanggil
seseorang.
“Ila!”
Emey Suhaila toleh belakang sekilas. Dia nampak seorang
gadis terkedek-kedek menuruni anak tangga dan berlari ke arahnya. Emey Suhaila
tajamkan pandangan, cuba mengecam gadis itu.
“Siapa tu?” Emey Suhaila tertanya-tanya sendiri dan apabila
gadis itu tersenyum kepadanya, Emey Suhaila turut tersenyum. Dia kenal benar
lagak gadis yang tersengih-sengih di depannya itu. Emey Suhaila dapat mengecam senyuman
itu. Dialah gadis yang pantang nampak Emey Suhaila, mesti hendak berkepit.
“Kau ni Aya... imej dah cukup molek dah tapi masih nak
tersengih macam kerang busuk tu buat apa. Tak comellah!” usik Emey Suhaila
sambil terus tersenyum. Serta-merta Rogayah leraikan senyumannya.
“Kau ni nak ke mana pula? Kelas dekat sanalah!” Rogayah
menunjuk ke arah pintu dewan kuliah. Pandangan Emey Suhaila mengikut saja arah
telunjuk Rogayah kemudian dia hempas keluhan perlahan.
“Aku tahulah. Tapi...”
“Kau nak ponteng kelas lagi eh?” terjah Rogayah cuba
meneka tapi memang benar telahannya itu.
Emey Suhaila tidak dapat mengelak mahupun menjawab. Dalam
otak Emey Suhaila, bimbang kalau-kalau tekaannya juga benar yang Azura
dijangkiti demam denggi. Tanpa menjawab soalan Rogayah Emey Suhaila membuka
langkah semula. Belum jauh Emey Suhaila meninggalkan Rogayah, langkah Emey
Suhaila sekali lagi terhenti setelah dia terpana melihat kelibat Razali yang
berjalan ke arahnya.
‘Alamak! Kelas ni pun dia masuk juga?’ Emey Suhaila
mengeluh. Emey Suhaila tidak banyak fikir. Lantas dia cepat-cepat berpatah
balik dan menangkap tangan Rogayah masuk ke dalam dewan kuliah.
Rogayah yang terpinga-pinga hanya mengikut saja ke mana
tangannya ditarik Emey Suhaila. Masuk dalam dewan kuliah, Emey Suhaila terus
menarik lengan Rogayah hingga ke barisan tempat duduk paling atas. Hinggalah di
kerusi paling hujung, barulah Emey Suhaila lepaskan pegangan tangan Rogayah
lalu hempas punggung dan menungkat dagu.
Rogayah terkulat-kulat ambil tempat di sebelah Emey Suhaila.
Hairan dia melihat gelagat Emey Suhaila hari ini. Tambah kekok bila ada mulut
yang mula berbisik sesama mereka sambil sesekali menoleh ke arahnya.
‘Kenapa? Apa yang pelik sangat pada Rogayah? Sebab
Rogayah kena tarik macam lembu nak kena sembelih ke?’ fikir Rogayah sambil
memerhati keliling dewan kuliah itu. Makin banyak suara yang berdesir. Macam
langau. Rogayah benar-benar mahu tahu isi perbualan mereka. Maklumlah, Rogayah
juga jenis orang yang suka ambil tahu. Pantang dia nampak orang berbisik. Kalau
boleh, semua isi cerita dia hendak tahu.
‘Tapi, kenapa mereka asyik pandang aku aje? Pelik
sangatkah aku hari ni? Atau...’ Rogayah raba muka. Kemudian dia belek tangan
dan badannya. ‘Alamak! Entah-entah imej baru aku ni yang buat mereka ni mengata
lagi tak? Kenapa? Teruk sangatkah?’ Rogayah hampir mahu menjerit. Namun
suaranya langsung tidak terkeluar. Rogayah lekas-lekas pandang muka Emey
Suhaila tapi Emey Suhaila nampak jauh termenung. Entah-entah tubuh Emey Suhaila
saja berada di sebelah Rogayah tapi rohnya entah ke mana melayang. Rogayah
hempas tubuh ke belakang sekaligus lepaskan keluhan serta-merta.
Rogayah seluk beg lalu cermin mata kesayangannya dikeluarkan
dari poket beg. Perlahan-lahan Rogayah sangkut cermin mata ke telinga sambil
menyorok mukanya ke bawah.
“Bukalah cermin mata tu!”
Sepantas kilat Rogayah menoleh ke sebelah. Terkejut dia
melihat Emey Suhaila memandang tajam ke arahnya. Dahi Rogayah berkerut tidak
mengerti. Selama Rogayah mengenali Emey Suhaila, tidak pernah dia melihat riak
gadis itu begitu keras. Rogayah tergamam bagai melihat pontianak kehausan darah
pula.
“Tanggalkan cermin mata kau tu!” ulang Emey Suhaila lagi
dengan nada yang sama.
Rogayah telan liur. Kecut pula perutnya dibuat Emey
Suhaila yang tiba-tiba saja berubah angin. ‘Kenapa dengan Ila ni? Kena sampuk
hantu ke?’ Rogayah pandang keliling. Manalah tahu, kalau-kalau dia boleh nampak
roh jahat yang menghantui Emey Suhaila. Tapi, kalau Rogayah nampak apa yang dia
boleh buat. Sedangkan titik peluh sudah mula muncul dari liang romanya walau
angin penghawa dingin dalam dewan kuliah itu kuat menghembus. Kalau betul
Rogayah boleh nampak hantu, sudah tentu dia yang cabut lari dulu. Ataupun
Rogayah terus jatuh pengsan. Berkali-kali Rogayah menelan liur sambil matanya
tidak berkerdip memandang muka Emey Suhaila.
Kali ini, Emey Suhaila pula berkerut bila melihat wajah
pucat Rogayah. “Kenapa dengan kau ni? Kau pun demam jugakah?” soal Emey Suhaila
diselangi dehem perlahan, cuba meredakan suaranya yang tiba-tiba terasa perit. Tubuh
Emey Suhaila juga mula menggigil saja sejak masuk ke dewan kuliah tadi. Matanya
pula terasa panas semacam. Barangkali Emey Suhaila sudah terjangkit oleh demam Azura.
Rogayah menggeleng lambat. Kelopak matanya masih tidak
berkerdip memandang ke arah Emey Suhaila.
Emey Suhaila terus rasa musykil. Tapak tangannya
diletakkan di dahi Rogayah. Anak mata Rogayah mengikut saja pergerakan tangan Emey
Suhaila yang menyentuh dahinya. Namun Rogayah masih membisu.
“Tak panas pun...” Emey Suhaila mencebik kemudian hela
nafas lega. Lantas tangannya menyambar cermin mata yang tersangkut kemas atas
batang hidung Rogayah.
“Eh!” Rogayah terkejut. Cermin mata itu cuba dirampas
semula tapi Emey Suhaila lebih cepat menyembunyikannya di dalam kocek jaket
denimnya sebelah kanan. Masakan Rogayah mahu meraba jaket Emey Suhaila pula.
Tak pasal-pasal orang tuduh dia lesbian pula nanti. Manalah tahu kan...
bukannya boleh jangka fikiran orang ni.
“Bagilah balik cermin mata aku tu Ila...” pinta Rogayah
hampir menangis.
‘Alahai... cengehlah pula minah ni. Aku ambil cermin mata
dia macamlah aku culik anak dia...’ Emey Suhaila mengeluh dalam hati. Namun
rayuan Rogayah yang sudah mula menggoncang lengannya itu tidak dipedulikan.
“Ila... bagilah balik. Aku nak cermin tu balik...” Emey
Suhaila terus buat muka toya. “Kalau macam tu, aku duduk tempat lainlah.”
Pantas Emey Suhaila menyambar tangan Rogayah yang sudah
hampir bangun dari tempatnya. “Janganlah...” Emey Suhaila pula tunjuk riak
kasihan.
“Kalau kau nak aku duduk sini, bagi balik cermin mata aku
tu,” kata Rogayah lalu hulur tangan.
Emey Suhaila menjeling lantas lepaskan cengkamannya. Kemudian
Emey Suhaila peluk tubuh erat-erat. “Buat apa kau nak pakai cermin mata tu
lagi? Pakai dekat bilik sudahlah.”
“Aku tak nampaklah. Aku kan rabun. Tempat duduk ni jauh
sangat...” Rogayah cuba beri alasan namun Emey Suhaila sedikit pun tidak
termakan dengan alasan yang diberikannya itu. “Ila...”
“Ish, kau kan pakai kanta lekap. Tak payahlah nak
kelentong aku.”
Rogayah muncung. Hampir tergelak Emey Suhaila melihat
reaksi Rogayah tapi Emey Suhaila cuba tahan. “Kalau kau nak sangat cermin mata
kau ni balik, kau kena janji duduk sebelah aku dalam semua kuliah lepas ni.
Mana saja aku pergi pun, kau kena ikut. Ok?” Emey Suhaila bisik ke telinga
Rogayah lalu terus pura-pura buka buku nota. Reaksi Rogayah tidak diendahkan
lagi.
Sesekali Emey Suhaila jeling ke arah lelaki yang duduk di
hujung barisan tempat duduknya. Spontan Emey Suhaila hela nafas lega. Nasib
baik barisan tempat duduk itu dipenuhi oleh mamat-mamat dan minah-minah yang
memang suka sangat duduk di barisan terakhir tu sebelum Razali masuk ke dewan
kuliah. Kalau tidak, teruklah Emey Suhaila jika Razali ambil tempat di sebelah
Rogayah. Silap hari bulan Rogayah pun bersekongkol dengan mamat tu. Ah,
selisih!
Dia toleh belakang pula. Yes! Sudah ada orang lain yang duduk di situ. Padan muka Razali.
Tidak dapatlah dia kacau Emey Suhaila hari ini.
“Aku betul-betul suka kau.”
Bertalu-talu keluhan dilepaskan Emey Suhaila. Hampir
pitam dia membaca kata-kata yang tertulis di atas kertas yang sekejap tadi
diterimanya. Kertas itu ditenung lama lalu satu lagi keluhan dihempas perlahan.
Tiba-tiba mata Emey Suhaila membulat apabila sekeping
lagi kertas sampai kepadanya. Lipatan kertas itu dibuka dan isinya dibaca dengan
malas.
“Janganlah main lari-lari lagi...”
Pendek isinya dengan simbol wajah sedih di hujungnya. Emey
Suhaila hempas keluhan entah yang ke berapa kali. Letih melayan surat yang
tidak putus-putus dia terima. Ikutkan rasa, malas dia mahu membaca surat-surat
itu lagi. Jauh sekali mahu membalas. Sudahlah tulisan macam cacing kerawit,
buatkan mata Emey Suhaila juling membacanya. Kalau Azura ada, mungkin Azuralah
orangnya yang akan membalas semula surat-surat itu. Kalau Emey Suhaila, jangan
haraplah. Dalam mimpi pun Emey Suhaila tidak akan buat. Lantas kesemua
surat-surat yang diterimanya sejak lebih sejam lalu digumpal dan dicampak ke
lantai.
“Apa pula kali ni?” Suara Emey Suhaila hampir bergegar
sebaik menerima sehelai lagi kertas dari tangan Rogayah. Rogayah hanya diam
sambil terjengah-jengah mahu tahu isi kertas itu.
“Nanti aku tak larat nak kejar...”
Serta-merta Emey Suhaila hempas keluhan. “Kalau tak
larat, tak payahlah kejar!” bentak Emey Suhaila bengang lalu terus membuang
kertas itu ke bawah.
Kelas yang sejak awal tadi senyap tambah sunyi. Namun Emey
Suhaila tidak kesah apa yang berlaku di sekitarnya. Memang sudah lama dia tawar
hati mahu terus berada dalam dewan kuliah. Kalaulah ada pintu halimunan di
sebelahnya, sudah lama Emey Suhaila lenyapkan diri. Emey Suhaila terus tarik
muka masam dan bersandar ke kerusi. Kedua tangannya memeluk tubuh erat.
Tiba-tiba peha Emey Suhaila diketuk dari sebelah kiri. Siapa lagi yang ada
disebelahnya jika bukan Rogayah.
“Apa lagi?!” soal Emey Suhaila keras yang terus saja naik
angin. Sangkanya ada lagi surat yang bakal dia terima daripada posmen-posmen
yang rajin sangat berkhidmat untuk orang yang tulis surat-surat itu. Tapi kali
ini tangan Rogayah kosong. Sebaliknya, Rogayah terus menguit peha Emey Suhaila
sambil sesekali muncung dengan jari telunjuknya menuding ke depan. Emey Suhaila
alih pandang ke depan dewan. Tersentap jantung Emey Suhaila melihat Dr. Balkis
sedang melontar pandang ke arahnya sambil mencekak pinggang.
‘Alamak!’ Emey Suhaila menggelabah. “Kenapa? Kenapa?”
bisiknya berkali-kali ke telinga Rogayah.
“Hah, pelajar yang duduk dekat hujung sana tu! Awak ada
apa-apa masalahkah? Berkali-kali saya soal dari sini, awak tak dengarkah?”
lontar Dr. Balkis lantas membetulkan cermin matanya. Soalan Dr. Balkis itu
sekaligus buat Emey Suhaila terdiam.
‘Alamak! Dr. Balkis ada bagi soalan ke tadi?’ Hati Emey
Suhaila mula menggelabah. Teguran Dr. Balkis itu tidak mampu Emey Suhaila
jawab. Hanya satu keluhan halus saja mampu dibalasnya.
Rogayah pula terkulat-kulat berlakon macam tidak berdosa.
Tidak berani dia mahu tarik perhatian Dr. Balkis sama. Memang tidak kena masa
Rogayah mahu menjawab soalan Emey Suhaila tadi. Kalau Rogayah pun sibuk buka
mulut, sudah tentu dia juga yang kena sembur nanti.
“Kalau dah tak berminat nak dengar kuliah saya, lebih
baik awak tak payah masuk kuliah saya ni. Saya suka mengajar pelajar yang nak
dengar kuliah saya saja,” kata Dr. Balkis lagi. Ada nada marah dalam suara Dr.
Balkis.
Emey Suhaila telan liur. Tiba-tiba Emey Suhaila rasa
tidak keruan. Serba-serbi rasa tidak kena. Emey Suhaila mula berkira-kira. Dia
tidak mahu dirinya saja dipersalahkan. Dia mahu pertahankan diri. Perlukah Emey
Suhaila jawab soalan Dr. Balkis tadi? Beritahu sajalah Dr. Balkis tentang
surat-surat yang dia terima sejak awal kuliah tadi, atau ikut saja cadangan Dr.
Balkis untuk keluar dari dewan kuliah? Namun Emey Suhaila tetap tidak dapat
menjawab. Dia hanya mampu menyorok mukanya yang sememangnya sudah terasa tebal bak
tembok China dengan tapak tangan.
Dalam hati, Tuhan saja yang tahu. ‘Kalau boleh, memang
saya nak keluar dari kelas ni oh, Dr. Balkis. Tapi saya dah macam tersepit pula
dekat sini. Aduh, malunya aku! Ni semua mamat mereng tu punya pasal. Doktor
marahlah aje dekat dia. Dia yang buat saya separuh gila dekat sini!” Panjang
lebar pula jawapan Emey Suhaila tapi semuanya tidak terluah dari mulutnya yang
entah kenapa terasa bagai sudah dikunci rapat.
Beberapa ketika, Dr. Balkis menyambung semula kuliah yang
tertangguh hampir sepuluh minit. Sesekali Dr. Balkis menjeling ke arah Emey
Suhaila. Sedang Emey Suhaila masih tidak dapat beri perhatian. Jari-jemarinya
yang halus meruncing ligat menggerakkan pen bermata bulat di atas buku nota.
Tapi bukan nota kuliah Dr. Balkis yang disalinnya. Sebaliknya barisan kata ‘aku
tak suka kaulah!’ yang ditulis berulang kali memenuhi satu muka surat.
Emey Suhaila tekan dahinya yang terasa tegang dengan jari
hantu setelah sekeping lagi surat layang tiba-tiba muncul atas tangannya. Tanpa
membaca isinya, Emey Suhaila terus renyukkan surat itu menjadi gumpalan lalu
dibuang ke bawah. Matanya menjeling bawah meja sebelah kanan. Sudah banyak
kertas yang dicampaknya ke situ dari tadi. Bertimbun. Sakit hati Emey Suhaila
melihat longgokan gumpalan kertas itu yang hampir penuh di kaki. Lantas dengan
perasaan geram Emey Suhaila pijak kertas-kertas itu dan cuba menyepaknya ke
bawah kerusi barisan depan. Kemudian Emey Suhaila hentak tubuh ke kerusi lalu
hempas keluhan berat.
Tidak lama, satu lagi kertas dihulurkan Rogayah. Emey
Suhaila memandang kertas itu lama-lama lalu mengeluh lagi. Emey Suhaila
mengalih pandangannya ke dinding. Ikutkan hati, mahu saja Emey Suhaila hentak
kepala ke dinding yang betul-betul di sebelahnya itu. Tapi bila difikir-fikir
balik, Emey Suhaila juga yang sakit kalau buat begitu. Malahan, sakit hatinya
juga tidak mungkin akan hilang begitu saja.
Lama Emey Suhaila buat tidak tahu tapi Rogayah terus
mengunjurkan surat itu ke depan Emey Suhaila. Belum sampai satu minit, sehelai
lagi kertas sampai ke tangan Rogayah. Rogayah juga rasa serba salah. Dia
sendiri tidak mengerti apa yang sedang berlaku dan hanya mengikut saja rentak
teman-teman kuliah yang menyerahkan kertas itu kepadanya untuk disampaikan kepada
Emey Suhaila.
Berkali-kali Rogayah hulur kepada Emey Suhaila. Sementara
Emey Suhaila pula masih buat tidak endah dan terus berpaling darinya. Beberapa
saat, Rogayah terima sepucuk lagi surat. Emey Suhaila masih enggan terima. Kali
keempat, Rogayah nampak tulisan yang panjang berjelar di atas kertas yang tidak
berlipat. Rogayah cuba curi-curi baca tapi dia tidak cukup berani pula mahu
jeling isi surat itu kali ini. Satu nafas panjang ditarik sebelum surat-surat
yang sudah penuh di tangan Rogayah dihulurkan kepada Emey Suhaila. Namun
seperti tadi, Emey Suhaila tetap membatu.
Rogayah sudah tiada cara lain. Kertas-kertas itu terus
diletak atas meja di depan Emey Suhaila. Rogayah jeling reaksi Emey Suhaila
dari hujung mata. Wajah Emey Suhaila jelas nampak tegang. Sejak bermula kuliah
pertama tadi, mood Emey Suhaila terus
saja berubah. Rogayah juga terkena tempiasnya bila perhatiannya untuk mendengar
kuliah diganggu surat-surat yang berpindah dari satu tangan ke satu tangan
lain. Entah siapa punya angkara, Rogayah tidak pasti. Kali ini, Rogayah perhati
setiap orang yang duduk sebaris dengannya.
‘Siapa punya kerjalah agaknya ni? Surat-surat tu... surat
cinta ke?’ detik Rogayah sendiri sambil terus memerhati. ‘Kalau betul surat
cinta, entah-entah ni semua kerja si Razali tu agaknya. Aku dah agak dah. Dia
mesti ada hati dekat Ila!’ teka Rogayah yakin setelah melihat riak Razali yang
tersengih-sengih di hujung sana.
Sementara Emey Suhaila sudah lama hilang minat mahu
dengar kuliah. Kerisauannya terhadap Azura yang masih tidak kebah dari demam
juga sudah lama melayang semenjak hatinya sekali lagi diketuk Razali. Cinta
Razali itu bukannya bikin hati Emey Suhaila mekar berbunga tetapi sebaliknya
ibarat kawat duri yang melilit jantung hatinya. Sakit, perit... berdarah!
Emey Suhaila sangka dengan duduk di hujung dewan kuliah,
macam hujung dunia itu dapatlah dia melarikan diri daripada Razali. Nampaknya
tindakan Emey Suhaila seakan-akan menjerat dirinya sendiri. Razali tetap ada
cara untuk mencuri perhatian Emey Suhaila sedangkan Emey Suhaila pula tersepit
di situ. Tambah malu bila perbuatan Razali turut membabitkan beberapa pelajar
lain. Mulalah ada mulut yang berbisik macam-macam. Eiii... malunya Emey
Suhaila.
Walaupun ditegur Dr. Balkis tadi, Emey Suhaila sudah
tidak kesah. Hatinya benar-benar bengkak. Kalau Dr. Balkis tegur Emey Suhaila
sekali lagi selepas ini, Emey Suhaila bertekad mahu mengadukan hal yang
mengganggunya sekarang ini kepada Dr. Balkis. Biar si Pendeta Surat Cinta itu
pula yang kena hembur dek Dr. Balkis. Biar satu kuliah dengar. Padan muka dia.
Emey Suhaila hempuk kepala ke meja. Kertas-kertas yang
bertimbun di depannya ditolak jatuh ke bawah. Kalau dia mahu cabut lari pun
terpaksa merentasi lebih sepuluh orang yang memenuhi barisan tempat duduk itu,
termasuklah si ‘Pecinta Wanita’ di hujung itu. Aduhai, kalau mahu melepasi
teman kuliah lain, Emey Suhaila masih boleh tahan lagi walau berapa ramai pun
terpaksa diredahnya mahupun berapa jauh perlu disusurinya. Tapi untuk melepasi
Razali... memang mustahil. Sah-sah Emey Suhaila pula yang diperbodohkan di situ
nanti dengan acah-acah ‘Pecinta Wanita’ itu. Silap hari bulan tangan Emey
Suhaila pula ditarik Razali ketika melalui di depan lelaki itu. Lepas itu, Emey
Suhaila terduduk pula atas peha si Razali.
‘Argghhh!
Tension!’
No comments:
Post a Comment