Hampir dua jam
mereka duduk menghadap hadiah-hadiah yang diterima. Waktu juga sudah lama
melewati tengah malam. Tapi kediaman Encik Rahim dan Puan Damia terus riuh
dengan baki saudara yang masih berjaga. Mak Long sekeluarga sejak setengah jam
lalu sudah terlebih dulu minta diri untuk melelapkan mata. Anak-anak buah juga
ada dua tiga orang yang sudah terlena atas pangkuan ibu masing-masing. Cuma
tinggal Zairel dan abangnya, Airel saja yang masih gagah menunggu.
Selepas semua
beredar ke tempat tidur masing-masing, Zairel dan Airel pula berebut mahu tidur
bersama Mak Usu. Memang sudah jadi kebiasaan Zairel untuk tidur di bilik Sasha
Amira bila mereka balik ke rumah ini. Sebab Zairel suka tidur bersama chicken
little milik Sasha Amira. Bukannya dengan mak usu dia.
Cepat-cepat Kak
Ainur memujuk supaya jangan dikacau pengantin baru. Alahai. Pengantin baru?
Geli geleman anak tekak Sasha Amira mendengarnya. Semua ahli keluarga sudah
masuk tidur. Sasha Amira juga yang tercicir di anak tangga bersama hadiah yang
disuruh mama simpan di bilik. Beratnya kaki hendak meniti anak tangga. Berat
lagi kaki hendak melangkah masuk ke bilik yang kini terpaksa dikongsi bersama
seorang lelaki.
Dup! Dap! Dup! Dap!
Berdebarnya!
Saif Azrai sudah
terlebih dulu masuk ke kamar peraduan. Tak gentleman
langsung, tinggalkan bini dekat belakang. Kutuknya dalam hati. Ikutkan hati
memang dia tidak mahu mengikut masuk ke kamar yang sama. Tapi nampaknya macam
Puan Damia asyik memerhati dari jauh. Bilik Sasha Amira dan Puan Damia pun
bukannya jauh sangat. Bertentang saja. Perlahan-lahan Sasha Amira menghayun langkah.
Puan Damia mengucap selamat malam dari depan biliknya. Lembut ucapan mama
bersama senyum lebarnya. Seronoklah agaknya bila rancangan mama kali ini
membuahkan hasil. Tapi ucapan selamat mama Sasha Amira balas pula dengan senyum
kelat. Masakan dia mampu senyum lebar seperti mama, sedangkan hati, jiwa
raganya memang tidak rela.
Bila diselak daun
pintu, kepalanya terlebih dulu menjengah ke dalam. Emm... senyap sunyi. Dia tak
ada kut! Tekanya sebarang. Lantas cepat-cepat dia melangkah masuk dan mengunci
pintu. Hadiah yang dibawa bersama diletak saja atas meja kecil sebelah katil
kecuali hadiah pemberian Zaimah. Hadiah yang kononnya istimewa daripada Zaimah
itu perlu disembunyikan di tempat rahsia. Jangan biar sesiapa pun jumpa
walaupun kewujudannya sudah sememangnya sedia maklum oleh semua orang. Paling
penting, perlu jauhkan dari padangan Saif Azrai.
Sasha Amira
memandang keliling sambil berfikir tempat rahsia yang paling sesuai. Baru dia
sedar yang kamarnya kini sudah banyak berubah. Bilik yang dulu sarat dengan
bermacam aksesori yang berwarna-warni kini nampak lapang dengan hiasan merah
dan putih. Teddy bear dan chicken littlenya juga sudah tiada.
Eh, mana pula mama
sembunyikan bantal busuk aku? Sasha Amira tercari-cari. Dalam dia tercari-cari
itu, tiba-tiba pintu bilik mandinya terbuka dan Saif Azrai muncul. Sasha Amira
tergamam.
Ada rupanya. Senyap
aje duduk dalam bilik air. Getusnya.
Saif Azrai dilihat
sudah bersalin pakaian dengan memakai T shirt pagoda dengan kain pelekat.
“Awak nak tukar
baju tidur?” Lelaki itu menegur.
Sasha Amira
membulatkan mata mengikut lirikan mata Saif Azrai. Terlupa pula tangannya
memegang kotak hadiah yang diberi Zaimah. Ish, mamat ni. Pandai aje nak kenakan
orang. Malu seinci rasa muka ni. Kalut dia menyorokkan bungkusan itu di
belakang tubuh. Dia jalan mengundur ke arah almari. Diintainya dalam almari
lalu beberapa helai baju dan seluar panjang dicapai. Kakinya dihayunkan ke
kanan, berjalan seperti ketam ke arah bilik mandi. Seboleh-bolehnya mahu
disorok baju tidur seksi yang dipegang dari pandangan Saif Azrai.
Masuk ke bilik
mandi juga, mengundur. Kelakar. Tersembur tawa kecil Saif Azrai sebaik pintu
bilik mandi tertutup rapat. Sementara Sasha Amira sibuk di dalam bilik kecil
itu, Saif Azrai membentang tikar sejadah. Solat sunat tahajud disempurnakan
dengan begitu khusyuk.
Selang beberapa
minit, Sasha Amira menyelak pintu bilik mandi. Terjengah-jengah lagi sebelum
melangkah keluar. Melihat dulu apa yang dibuat Saif Azrai. Saif Azrai yang baru
selesai mengamin doa bangun. Tikar sejadah disidai bersebelahan pakaian solat
milik Sasha Amira. Songkoknya pula disangkut di sebelah tepi penyidai.
Lambat-lambat Sasha Amira melangkah dengan tuala berbungkus di kepala. Hendak
ke mana ya... dia tidak pasti. Janggal rasanya duduk sebilik dengan lelaki.
Saif Azrai yang
terlihatnya tidak keruan menggumam bibir. Akhirnya tawa yang cuba ditahan
meletup jua walaupun perlahan.
“Awak sejukkah?”
Lucu benar dia melihat gelagat Sasha Amira hari ini. Sedangkan dia yang hanya
berbaju nipis boleh terasa bahang. Sasha Amira pula entah berapa lapis baju
yang dipakainya. Di dalamnya nampak seperti T-shirt dan di luarnya pula baju
panas yang tebal. “Kalau awak sejuk, saya boleh tolong panaskan,” ujar Saif
Azrai berjenaka bersama senyum penuh makna.
Sasha Amira
menjeling. Lelaki itu bukan tahu yang Sasha Amira sorokkan baju tidur seksi
dalam baju panas yang dipakainya sekarang. Balutan tuala di kepala dibuka. Pura-pura
dia mengeringkan rambut yang basah.
“Mana baju tidur
awak? Takkan sorok dalam baju kut!”
Sasha Amira
terbeliak mata. Kaku tangannya tidak bergerak. Terbongkok macam nenek kebayan. Alamak.
Macam mana dia boleh tahu.
“Emm... kalau dah
pakai, tak payahlah nak sorok-sorok. Saya bukannya orang lain lagi...” Saif
Azrai menggeleng-geleng ketawa. Kejang rasa rahangnya menahan tawa yang asyik
mahu meletup keluar. Sikat di atas meja solek dicapai lalu disisir rambut ke
belakang.
“Jangan nak
mengadalah. Awak jangan harap saya nak pakai depan awak!” Tukas Sasha Amira
keras lalu terus duduk atas katil. Muncungnya panjang ke depan. Bantalnya
ditepuk-tepuk. Matanya semakin lemah mahu dibuka luas. Kalau dapat baring,
memang selesa. Apatah lagi badannya sekarang memang sudah letih. Tapi Saif
Azrai masih di situ. Malulah hendak baring di depannya.
Saif Azrai terus
tersenyum. Walaupun jawapan Sasha Amira tadi agak kasar tapi sekurang-kurangnya
tidak lagi ber-aku kau. Emm... ada perkembangan. Setelah lama terpacak, dia
juga henyak punggung di atas tilam empuk. Baru sebelah badannya jejak atas
tilam, Sasha Amira sudah menarik selimut membaluti seluruh badannya. Mata Sasha
Amira bulat memandang Saif Azrai.
Tidak jadi Saif
Azrai mahu henyak tubuh di sebelah. Senyumannya dibuat-buat. Lantas bantal
miliknya dicapai dan beralih ke tepi katil. Dia duduk bersila di atas lantai.
“Sekurang-kurangnya
boleh tak awak bagi saya selimut buat alas? Sejuk...” Saif Azrai tayang muka
kasihan.
Tapi Sasha Amira
sekadar menjuir bibir. Kemudian kepalanya juga disorokkan dalam selimut sebelum
surut sebaris tilam. Saif Azrai mendopang kepala atas tilam. Susuk tubuh Sasha
Amira diperhati walaupun kurang jelas. Lama.
“Sebenarnya, saya
ada sesuatu nak beritahu awak sebelum majlis pernikahan kita tadi.” Senyap.
Tubuhnya turut direbahkan. Memandang ukiran siling putih yang ringkas tapi
menarik. Selepas menarik nafas panjang beberapa detik, dia menyambung.
“Saya nak awak tahu
yang saya ikhlas pada awak. Sejak awak tarik saya jadi boyfriend awak dulu, saya dah mula suka pada awak. Itulah kali
pertama saya jatuh cinta. Walaupun terlalu cepat, tapi saya jujur dengan cinta
saya. Saya tak akan sentuh awak tanpa kerelaan awak. Saya akan sabar menunggu
sampai awak buka hati awak untuk saya. Saya tak kesah nak tunggu walaupun
berapa ribu tahun sekalipun yang awak perlu.” Perlahan kata-kata yang terucap
keluar dari bibir Saif Azrai. Dia tidak pasti sama ada Sasha Amira mendengarnya
atau gadis itu sudah pun dibuai mimpi. Sedang dia melayan perasaan sendiri.
Sumpah dia tidak menipu atas kata-kata yang diucapkannya. Sumpah dia jujur.
Sumpah dia akan setia menanti. Kalau tidak, masakan dia sanggup ketepikan
kerjaya dan keluarga.
No comments:
Post a Comment