Huhhh.
Sasha Amiar menarik
nafas panjang sambil bermenung di laman rumah. Duduk di depan pintu rumah
sambil memerhatikan anak-anak saudaranya bermain di luar. Anak-anak along dan
anak-anak abang, lima orang semuanya. Bila sudah berkumpul, riuhlah jadinya
rumah Encik Rahim dan Puan Damia. Tapi bukan selalu meriahnya. Bila ada
perayaan atau cuti sekolah saja muncul. Itupun kalau mereka tidak merancang
pergi bercuti ke tempat lain. Tidak penat agaknya mereka bermain sejak petang
tadi. Orang sibuk dengan majlis akad nikahnya, budak-budak itu pula asyik
bermain.
Akad nikah? Emm...
dah sejam mereka saudara-mara siap mengemas selepas selasai kenduri akad nikah.
Sasha Amira sudah sah menjadi isteri orang. Dia sudah halal untuk Saif Azrai.
Aduhai, sedihnya dalam hati. Banjir rasanya dalam hati ini kerana dia
benar-benar tidak sanggup. Bila melihat tergambar rasa gembira di wajah semua
orang, terutama papa dan mama, makin sedih jadinya. Kenapalah Sasha Amira perlu
berdepan semua ini? Seronok agaknya jadi kanak-kanak seperti anak-anak buahnya.
Seronok saja bermain sepanjang masa.
“Hai, pengantin
baru. Kenapa termenung depan pintu ni? Nanti tak laku tau.”
Sasha Amira mendongak
ke belakang sebaik ditegur satu suara. Lantas dia tersenyum kelat melihat
Suhana Azreen sudah turut menghantar punggung di sebelahnya.
“Patutlah orang
dapur cari tak jumpa-jumpa. Duduk seorang dekat sini rupanya. Ingatkan dah tak
sabar nak duduk bilik.” Omel Suhana Azreen lalu tertawa kecil. Namun adiknya
tidak langsung berikan respon. Diam membatu. Matanya leka semula melihat
anak-anak buahnya bermain tapi fikirannya entah-entah sudah melayang jauh.
“Kenapa dengan adik along ni? Monyok aje muka. Orang lepas kahwin gembira,
bukan termenung buat muka tempoyak basi macam ni.” Suhana Azreen cuba
berseloroh.
Keluhan halus
kemudian dihempas perlahan apabila Sasha Amira masih terus diam. Tangan adiknya
disambar lalu diletak atas pangkuannya. Dibelek-belek inai yang masih merah di
tangan Sasha Amira lalu diurut tangan itu perlahan.
“Kita ni orang
perempuan, lepas kahwin terus jadi tanggungjawab suami. Kena ikut kata suami,
kena jaga hati suami. Sebenarnya banyak juga tanggungjawab kita pada suami,
dik. Adik kena ingat, lepas kita kahwin, syurga kita letaknya pada tapak kaki
suami. Suka tak suka, baik buruknya dia kenalah kita terima kalau dah memang
dia jodoh kita.” Tangan Suhana Azreen beralih pula ke bahu Sasha Amira. Digosok
lembut sebelum ditarik dalam dakapannya.
“Takkanlah mama nak
jodohkan adik dengan orang yang tak baik. Along tengok pun Azrai tu baik
budaknya. Walaupun baru sekejap tapi along macam boleh rasa. Hormat orang tua,
pandai layan budak-budak. Handsome
pula tu!” Suhana Azreen tertawa kecil lagi. Dapat dilihatnya ada secebis
senyuman di bibir Sasha Amira walaupun sekejap. Ikhlas atau tidak senyuman itu,
atau sekadar sindiran atas jenakanya tadi, Sasha Amira lebih tahu.
Suhana Azreen terus
memujuk dengan membelai bahu adiknya. Matanya juga sekali sekala memerhati
anak-anak buah yang masih sibuk bermain. Terkenang-kenang saudara mara di dapur
yang sedang menjamu makan lewat petang. Saudara-mara lelaki pula, kali
terkakhir Suhana Azreen lihat beberapa minit lepas masih sibuk mengemas periuk
kuali di belakang rumah. Esok pagi, Pak Cik Man, tukang masak yang diupah
sempena kenduri tadi akan datang mengambil barang-barangnya itu.
“Macam along cakap
sebelum ni, perkahwinan tu indah sangat dik. Terlalu indah hingga tiada satu
perkataan pun yang mampu mengungkap betapa indahnya nilai sebuah perkahwinan.
Tapi berat juga tanggungjawab kita yang memikul.” Suhana Azrren menangkap
kepala Sasha Amira. Dipalingkannya menghadapnya. Ditatapnya wajah itu dengan
rasa syukur yang teramat sangat. “Adik along ni sebenarnya bertuah sangat. Mama
pilih calon untuk adik elok dalam dan luarnya. Usah dipandang asal usulnya
mahupun pangkatnya, tapi pandanglah dalam hatinya yang mana boleh menjaga kamu
dan anak-anak kamu nanti. Along pasti lelaki yang dipilih mama yang akan
berikan kebahagian pada kamu. Insya-allah.” Habis saja meluahkan rasa hati,
Suhana Azreen menghadiahkan satu kucupan di dahi Sasha Amira.
Terpejam mata Sasha
Amira saat itu. Sudah lama dia tidak merasai ciuman Along. Rindu rasanya.
Suhana Azreen berdehem lalu melepaskan tangannya. Matanya terlihat sesusuk
tubuh yang sudah berdiri beberapa langkah daripada tempat mereka dua beradik
duduk bersembang. Sasha Amira ikut melihat. Tidak tahan dipanah renungan dan
senyuman Saif Azrai, dia menundukkan kepala semula.
“Emm... jangan
duduk sini lama-lama. Nanti mak cik pak cik dekat dalam tunggu lama pula.
Diorang dah tak sabar nak tengok kamu berdua buka hadiah!” Suhana Azreen menambah
cerita lalu perlahan-lahan dia mengundur diri masuk ke dalam rumah.
Saif Azrai
mendekati. Dalam beberapa saat, lelaki itu sudah duduk di sebelah Sasha Amira.
Sungguh dekat dan rapat jarak antara mereka. Sasha Amira terpaku. Gelisah
seakan Saif Azrai dapat mendengar detak jantungnya yang begitu kencang. Kencang
sebab suka atau benci? Sasha Amira tidak tahu. Tapi di depan saudara-mara yang
masing-masing datang dari jauh, Sasha Amira tidak mahu bertekak.
Saif Azrai diam
saja sejak duduk tadi. Sepatah pun dia tidak bercakap. Dalam diam, Sasha Amira
mengintai lelaki itu dari pinggir mata. Hatinya mengucap panjang melihat tangan
lelaki itu datang dekat. Bagai hendak lari seribu batu dia ketika itu. Namun,
tangan itu tidak sempat mendarat apabila Hairul, anak Kak Ngah yang paling
kecil berlari ke arah mereka untuk mendapatkan bola yang ditendang abangnya singgah
ke situ.
Saif Azrai mencapai
bola plastik berbelang hitam kuning itu dari lantai. Digolekkan sekejap bola
itu keliling tapak tangan. Kemudian dia memutar bola itu di hujung jari
telunjuk. Hairul terpaku melihat. Hampir setengah minit bola itu berputar tidak
jatuh, Hairul menepuk tapak tangan gembira. Sekelip mata saja anak-anak buah
Sasha Amira yang lain sudah datang berkerumun dan bersorak riang.
Hebatlah Pak Usu.
Pandainya Pak Usu main. Macam-macam pujian yang mereka berikan. Tiba-tiba Sasha
Amira tidak sedap hati. Dia menelan liur. Anak-anak saudaranya juga memanggil
Saif Azrai Pak Usu. Heuw, gelinya dengar! Bila melihat wajah bangga dan ceria
Saif Azrai bila dipuji budak-budak itu, lagilah dia rasa semacam hendak muntah.
Menyampah.
Penat agaknya menayang
aksi, Saif Azrai memeluk bola itu ke perut. Wajah anak-anak buah di depan
direnung seorang demi seorang dengan senyum lebar. Kecil-kecil lagi semuanya.
Paling besar mungkin baru darjah dua jika dilihat dari saiz badannya. Semuanya
lelaki. Patutlah riuh benar rumah ini walaupun cuma lima orang anak buah Sasha
Amira. Budak lelaki, kalau main bersama memang riuh sekampung. Bagi gempak
seluruh desa.
“Mak Usu nak buka
hadiah. Siapa nak tengok?” soalnya tiba-tiba kepada budak-budak itu. Apa lagi,
riuhlah jadinya bila masing-masing sibuk mengangkat tangan tanda mahu ikut
serta.
Terkejutnya Sasha
Amira bila dirinya pula digelar Mak Usu. Kemudian dia pula yang diserbu bala
tentera apabila Saif Azrai pandai-pandai menunjuk ke arahnya. Tangan Sasha
Amira ditarik-tarik, tubuhnya digoncang-goncang semata-mata hendak mengajak
masuk membuka hadiah. Simpang siur rasanya Sasha Amira berjalan dengan lima
orang anak buahnya mengelilinginya. Mengemut aje rasa!
Saif Azrai pula
tertinggal di belakang. Hampir pecah perutnya menahan gelak melihat gelagat
Sasha Amira bersama anak-anak buahnya.
Letihnya hendak
buka semua bungkusa hadiah. Tapi letih lagi asyik terpaksa ukir senyum di depan
makcik pakcik. Apatah lagi bila diusik oleh Mak Teh yang memang kuat menyakat.
Disambung pula oleh Suhaila Azlina, Kak Ngahnya yang pro menyambung jenaka. Satu-satunya
kakak iparnya, isteri abang Zafuan, Kak Ainur namanya. Boleh tahan juga mulut
Kak Ainur mengusik. Kalau Mak Teh kering idea, Kak Ainur pula tidak segan silu
melontar usikannya. Tebalnya muka Sasha Amira usah cakaplah. Hatinya lebih
menebal rasa geli kerana diusik dengan lelaki yang duduk di sebelah.
Saif Azrai mengambil
lagi sebuah hadiah dari longgokan hadiah yang mereka terima dari tetamu dan
kenalan rapat. Wah, memang banyak betul hadiah pernikahan mereka. Belum lagi
dibuat majlis makan damai yang akan dijadualkan minggu depan. Anak-anak buahnya
pula sudah sibuk berebut hadiah. Berebut hendak Sasha Amira bukakan hadiah yang
mereka pilih dulu bolehlah. Tapi kalau hendak isinya, minta maaf sajalah.
Saif Azrai
mengalah. Kali ini Sasha Amira memilih hadiah yang dipilih Zairel, anak abang
Zafuan yang paling kecil. Memang kecil. Baru tiga tahun empat bulan kalau tidak
silap. Bukan main gembira lagi Zairel bila hadiah di tangannya yang disambut
Sasha Amira. Tap kemudian dia beria pula mahu Saif Azrai yang buka hadiah
tersebut.
Pula dah! Sasha
Amira tayang muncung. Namun di depan saudara mara dia terpaksa berlakon mesra.
Apa guna dia jadi pelakon teater kalau depan keluarga sendiri pun tidak pandai
pura-pura. Hadiah itu dihulur kepada Saif Azrai dengan senyum nipis.
Saif Azrai
membelek-belek hadiah yang berbalut kertas berwarna merah hati itu.
Digoncangnya seketika sambil cuba menduga isinya. Ringan. Sanak-saudara juga
tidak lepas peluang meneka. Puan Damia dan Encik Rahim turut tersenyum gembira.
Kad yang tertampal
atas hadiah itu dibaca. Ucapan dari Zaimah. Oh, daripada Zaimah rupanya.
Setelah didesak ahli keluarga yang tidak sabar menunggu, Saif Azrai mengoyakkan
pembalut hadiah itu dengan rakus. Sasha Amira hanya merenung. Huh, ganas betul.
Kalau Sasha Amira yang buka, cantik lagi sampul pembalut itu nanti.
Baru separuh kertas
pembalut itu koyak di depan, Saif Azrai sudah menayang senyum. Semua ahli
keluarga mula tertanya-tanya. Lambat-lambat hadiah itu berpindah tangan kepada
Sasha Amira. Terpinga-pinga Sasha Amira sekejap. Saif Azrai tidak bercakap apa,
cuma tersenyum. Sempat dia kenyit mata diam-diam pada Sasha Amira. Mulalah hati
Sasha Amira rasa tidak sedap.
Subhanallah. Sasha
Amira sendiri terkejut melihat isi hadiah pemberian Zaimah. Kurang asam punya
kawan. Adakah patut diberinya hadiah baju tidur yang begitu seksi buat Sasha
Amira. Patutlah ucapannya khas buat Sasha Amira seorang. Tak senonoh betul
kawannya yang seorang ni.
Kak Ngah sudah
datang dekat. Tidak sabar bila Sasha Amira dan Saif Azrai asyik diam saja sejak
membuka hadiah yang dipilih Zairel tadi. Buat orang lain tertanya-tanya saja.
Lantas dengan selamba Kak Ngah intai dari depan Sasha Amira. Kemudian Kak Ngah menjerit
suka. Hadiah baju tidur ditayang Kak Ngah kepada semua ahli keluarga yang
berkumpul. Gegak gempita seketika ruang tamu kediaman Encik Rahim dengan suara
usikan dan hilai tawa mereka sekeluarga.
Ya ampun. Malunya
Sasha Amira ketika itu. Entah mana dia mahu sorok muka. Dalam kotak hadiah,
muat tak agaknya? Saif Azrai di sebelah pula sudah simpul senyum penuh makna.
Amboi, otak dah melencong jauhlah tu.
No comments:
Post a Comment