Pages

Hi pembaca semua!!!

Terima kasih kerana datang melawat, membaca karya-karya dalam blog ini dan terima kasih juga kepada semua yang menyokong Yuri. Yuri rasa happy sangat dengan kehadiran korang dalam hidup mahupun alam maya Yuri ni.

Segala komen dan sokongan sentiasa dan akan terus membakar semangat Yuri untuk terus berkarya menggunakan nama pena ayu munawer.

Semua karya di dalam blog ini adalah ilusi, imaginasi serta daripada pengalaman hidup. Dan yang paling penting, semua karya di sini adalah hasil karya Yuri. Mohon supaya tiada copycat dekat sini... tqvm

Harap korang terus menyokong dan beri komen mahupun kritikan untuk Yuri memperbaiki sebarang kekurangan.

P/S: Untuk makluman, karya "Dia Si Jantung Hati" akan dihentikan penerbitannya di sini atas sebab rombakan besar-besaran plot cerita. Justeru itu, judulnya juga bakal berubah. Maaf atas sebarang kesulitan. Harap korang setia menunggu dan menyokong hasil rombakannya nanti okey ^^,
"Aku tak suka kau la" kini diterbitkan di penulisan2u dengan tajuk "JIWA KACAU"..saja nk tukar tajuk. Sebb yuri rasa cam lg sesuai je tajuk ni..lebih pendek n ringkas hehe ada ka yuri edit2 skit. Harap u all x kesah nk singgah baca :-)
Sudi-sudilah berkunjung ke official blogshop yuri di http://decodanmakan.blogspot.com yer. Walaupun rupanya masih macam blog biasa, yuri pun masih belajar lagi macam mana nak upgradekannya. Macam-macam ada. Nak tau apa yang ada, kenalah singgah.

Terima kasih (^^,)v
Showing posts with label dia si jantung hati. Show all posts
Showing posts with label dia si jantung hati. Show all posts

Monday, March 18, 2013

dia si jantung hati: bab 36


Bangun pagi ini, perut Sasha Amira rancak berkeroncong. Nasib baik masih ada roti dan susu yang Saif Azrai belikan semalam. Malam tadi jual mahal. Sekarang, tidak langsung hendak berkongsi walaupun Saif Azrai acah minta sedikit.
Lepas perut kenyang, Sasha Amira sambung tidur. Tapi jangan harap Saif Azrai hendak beri peluang. Alang-alang sudah datang sini katanya, ada tempat lain yang hendak dibawanya. Bagasi mereka Saif Azrai sudah siap kemaskan. Pakaian Sasha Amira juga licin bergosok. Aik! Terbalik pula. Patutnya Sasha Amira yang buat semua itu. Emm.. bukannya Sasha Amira yang mengarah kan. Tapi cuma sehelai T-shirt dengan seluar trek saja? Alahai. Bila Sasha Amira berkeras hendakkan baju lagi, cepat-cepat Saif Azrai bawa lari bagasi. Apa hal pula ni?
Jam baru pukul lapan pagi, Saif Azrai sudah angkut bagasi dan mengajak Sasha Amira check out bilik. Awalnya! Hendak tidak hendak diikutkan juga. Takkan hendak tinggal seorang dalam bilik ni. Bukannya dia bawa duit banyak. Kad kredit pun sudah lama mama ambil sejak mama ugut hendak potong duit poket dulu.
Sasha Amira ikut Saif Azrai ke parkir. Bagasi dan beg kitabnya disimpan dalam kereta. Sebelum daftar keluar, mereka sarapan pagi dulu di Rajawali Coffee House sekali lagi.
Yes! Isi perut lagi. Perut Sasha Amira belum cukup kenyang menjamah roti sebungkus kecil. Pertama kali dia begitu teruja menjejakkan kaki ke restoran itu. Tidak sabar mahu melihat menu apa yang dihidangkan pagi ini.
Emm... nasi lemak, kegemaran Sasha Amira. Cepat-cepat Sasha Amira ambil pinggan. Disenduknya nasi lemak penuh dalam pinggannya. Sambal dua tiga sudu. Lagi pedas, lagi Sasha Amira suka. Kacang goreng tak mahu. Jerawat di muka mesti naik setiap kali dia makan kacang. Lebih baik elakkan. Ikan bilis ambil banyak-banyak. Ada telur rebus juga dua potong. Senang kira, sebiji telur ayam. Emm... apa lagi ya? Sandwich pun nampak macam menarik. Sandwich telur.... yummy. Nampak sedap. Meleleh air liur rasanya.
Saif Azrai sekadar melihat gelagat Sasha Amira dari kaunter air. Beria nampak isterinya memilih juadah. Sampai terlupa suami sendiri. Saif Azrai memilih jus oren untuk dirinya dan juga Sasha Amira. Sudah banyak makan nasi lemak, pastinya Sasha Amira mahukan air yang masam. Kalau tidak pun, nanti Saif Azrai ambilkan air kosong sekali.
Sasha Amira tersenyum lebar bersama makanannya, berjalan ke arah meja di mana Saif Azrai menanti.
“Wow! Banyaknya makanan. Habiskah nanti?” Sengaja Saif Azrai menduga. Keningnya diangkat nakal.
Sasha Amira mencebir lalu meletakkan pinggannya di atas meja. Penuh.
“Air untuk awak...” Saif Azrai menyorong gelas berisi jus oren.
“Oren? Apa kelas oren. Mestilah saya nak kopi panas. Barulah ngam dengan nasi lemak. Taklah kantuk!” Sasha Amira menolak dengan penuh eksen. Kemudian dia berpaling semula, menuju ke kaunter minuman panas.
Hampir tergelak Saif Azrai melihat perangai Sasha Amira. Ditenungnya dua gelas jus oren. Dia angkat bahu. Terpaksalah dia yang habiskan. Marah staf hotel nanti, ambil banyak-banyak tapi buang tak terminum. Yalah tu.



Encik Rahim meneguk sedikit air kopi panas dari cawannya. Dari tadi dia perhatikan lagak isterinya. Tersenyum-senyum sendiri. Malah dari semalam dia begitu.
“Apa kena awak ni dari semalam saya tengok awak asyik tersenyum sendiri. Anak kahwin, awak pula yang sakit?” Encik Rahim menegur. Cawannya diletakkan semula di tempatnya. Nasi goreng yang masih banyak dalam pinggannya disudukan semula lalu disuap ke dalam mulut.
“Sakit apanya, bang. Tentulah saya senyum sebab gembira. Anak semuanya dah kahwin, ibu mana yang tak senang hati?”
Encik Rahim senyum sinis. Tahu sangat isi hati Puan Damia. Bukan baru sehari dua mereka hidup bersama. Bukan setakat dua tiga tahun juga. Anak-anak semuanya sudah besar panjang. Sudah bercucu pun.
“Senang hati sebab rancangan awak menjadi kan.”
Puan Damia melebarkan senyum. Kopi panas dituang lagi ke dalam cawan Encik Rahim yang hampir kering.
“Kalau saya tak buat macam tu bang, sampai ke tualah dia tak mahu kahwin. Entah-entah sampai kita tak ada nanti pun dia liat nak bersuami. Manalah senang hati saya ni kalau anak ada yang masih membujang.”
“Emm... yalah. Tapi takkan sampai main tangkap muat aje.”
“Ish, abang ni. Saya bukannya main tangkap muat. Saya dah perhatikan lama budak Azrai tu. Budaknya baik.”
“Baik saja tak guna juga, Mia. Latar belakangnya?” Encik Rahim cuba menduga.
“Abang sendiri dengarkan. Azrai tu anak yatim piatu. Kasihan dia tak berkeluarga. Ah, asal-usul tu tak penting. Yang penting, dia jaga anak kita tu sebaiknya.”
Encik Rahim diam tidak membalas. Kalau dia tidak tahu asal usul sebenar Saif Azrai, takkan dia senang-senang lepaskan anak gadisnya begitu saja. Walaupun luarannya berlembut, hati Encik Rahim cukup tegas. Puan Damia juga tidak boleh melawan kuasa vetonya. Dia mengalah sebelum ini juga kerana dia kenal siapa Saif Azrai. Anak kenalannya sendiri. Jadi, dia mengalah dan berlembut. 

Friday, March 15, 2013

dia si jantung hati: bab 35


Hari ini Saif Azrai buat perangai gila dia lagi. Pagi-pagi sudah dikejutkan Sasha Amira. Pertama kali Sasha Amira solat Subuh seawal tiga pagi. Dimulakan dengan solat sunat berjemaah dan disusuli pula dengan mengaji Quran bersama. Masakan Sasha Amira hendak menolak kalau soal ibadah. Papa dan mama tidak pernah mengajar untuk menolak hal-hal agama.
Beg yang digendong Saif Azrai semalam rupanya berisi kitab al-quran. Patutlah tidak langsung dia mahu melepaskan ke bawah. Merdu suara Saif Azrai mengalunkan ayat-ayat suci al-quran. Panjang pendeknya hampir sempurna. Tenang hati yang mendengar. Bulat mata Sasha Amira hendak mengikut bacaan Saif Azrai kerana tulisannya yang halus, sekecil saiz kitabnya. Sesekali dia tersengguk kantuk.
Bila tiba giliran Sasha Amira, terketar-ketar suaranya. Kalau baca seorang, macam keretapi ekspres lajunya. Bila di depan orang, bagai hilang suara. Halus hingga hampir tidak terdengar gegendang telinga. Namun, telinga milik lelaki bernama Saif Azrai itu memang cukup nipis. Sesekali ditegurnya bacaan yang kurang tepat. Mula-mula, tersentak juga Sasha Amira dibuatnya tapi setelah dua tiga kali, dia boleh terima. Lembut ajaran Saif Azrai. Lebih baik diperbetul suami sendiri daripada bacaannya terus salah.
Lebih kurang jam enam pagi, Saif Azrai sekali lagi mengimamkan solat mereka. Jelas bacaannya. Selesai salam selepas dua rakaat, Saif Azrai mengetuai pula bacaan doa. Dalam diam, Sasha Amira rasa rindu. Sudah lama tidak solat berjemaah dengan papa. Rindu mahu mencium tangan papa seperti mana dia mencium tangan Saif Azrai waktu ini. Namun kali ini berbeza sedikit. Bergetar jantungnya sebaik mengangkat muka, wajah Saif Azrai yang tenang mengulum senyum padanya.



Selesai menjamu sarapan pagi di restoran yang sama seperti malam tadi, Saif Azrai membawanya ke depan tapak parkir. Di sebuah perhentian, beberapa orang sedang duduk seperti menanti sesuatu. Mereka juga duduk di bangku. Apa yang mereka buat di situ, tidak pula Sasha Amira bertanya. Memang dari pagi tadi dia tidak bersuara. Apa saja yang disoal atau dicakap Saif Azrai, dia hanya mengangguk atau menggelengkan kepala.
Tiba-tiba Saif Azrai bangun dan meninggalkan Sasha Amira seorang. Tidak langsung dia beritahu ke mana. Tapi Sasha Amira nampak lelaki itu berjalan masuk ke sebuah kedai, dekat saja dari tempat dia duduk. Selepas beberapa minit, Saif Azrai keluar dengan membuka satu beg plastik. Sasha Amira pura-pura mengalih pandangan. Nanti lelaki itu perasan.
Sebotol air mineral siap dibuka penutupnya dihulurkan kepada Sasha Amira bersama penyedut minumannya sekali. Saif Azrai memberinya pilihan sama ada mahu menyedut air dengan penyedut minuman atau meneguk terus dari bibir botol.
Emm... macam tahu-tahu saja Sasha Amira tidak suka gunakan penyedut minuman. Hanya botol mineral itu saja yang disambutnya. Airnya diteguk sedikit. Tidak lama, Saif Azrai menghulurkan pula gula-gula Strepsil warna merah. Sasha Amira tenung paket gula itu lama-lama.
Dia ingat aku sakit tekakkah? Otaknya berfikir-fikir. Disambut juga gula-gula itu akhirnya. Dikoyak, diambil sebiji lalu dikulum dalam mulut. Kebetulan lidahnya terasa lidas. Boleh juga legakan sedikit.
“Jom.”
Tiba-tiba Saif Azrai mengajak segera menarik tangan Sasha Amira yang baru hendak menghayati rasa gula-gula dalam mulut. Kelam kelibut Sasha Amira mengikut. Orang yang sama-sama duduk sebarisnya juga sudah bangun dan beratur untuk menaiki bas yang sedia menunggu.
“Nak ke mana naik bas pula ni?” Sasha Amira menjengah kepala ke luar. Bas sudah mula bergerak menuruni bukit dan kemudian naik semula. Sekejap turun sekejap naik. Saif Azrai pula tidak menjawab soalannya. Kenapa tak naik kereta saja, kenapa perlu naik bas pula ni?



Huahhh!
Terasa longgar kepala lutut Sasha Amira menaiki kereta kabel Awana skyway merentasi kepul-kepul kabus yang menebal. Bila dijengah ke bawah, rasa mahu pitam. Jauhnya gaung di bawah itu. Menggigil-gigil dia duduk tanpa bergerak. Hingga tidak sedar, tubuh Saif Azrai dipeluk erat. Bergerak sedikit Saif Azrai, Sasha Amira sudah menjerit ketakutan.
Aerophobia... itulah satu-satunya penyakit Sasha Amira yang tidak boleh diubati. Sejak kecil lagi dia sudah takut dengan ketinggian. Hendak memanjat kerusi di rumah pun sudah menggeletar satu badan. Apatah lagi jarak beribu meter dari paras laut seperti sekarang. Mengucap panjang dia jadinya.
Walaupun setelah kereta kabel itu mendarat, Saif Azrai terpaksa memimpinnya turun. Tubuh lelaki itu masih dipeluk sekuat hati. Saif Azrai hanya tersenyum. Malah diperkemaskan pelukannya jua.
Sampai di depan pintu utama masuk ke taman tema Genting Highland, Saif Azrai menyuruh Sasha Amira duduk dahulu di bangku. Sepapan bar coklat susu Cadbury pula dihulurkan pada Sasha Amira. Sudah siap dikoyakkan sampulnya.
“Makan coklat ni. Baik untuk redakan tekanan.”
Sasha Amira tidak menolak. Coklat itu diambil dari tangan Saif Azrai dan digigit sedikit demi sedikit. Saif Azrai menghilang lagi dan meninggalkan dia seorang. Lelaki itu berlari ke sebuah kaunter di depan pintu masuk.
“Ish, kalau nak pergi mana-mana suka sangat tak beritahu!” Celotehnya sendiri.
Saif Azrai datang semula. Stiker pas masuk yang dibelinya dipakaikan di pergelangan tangan Sasha Amira. Di tangannya juga ada satu. Lalu mereka berjalan masuk ke dalam, bersama beberapa pengunjung lain yang juga baru tiba.
Cuaca di situ semakin terasa dinginnya. Tapi jantung Sasha Amira begitu kencang melihat permainan yang ada di dalam taman tema ini. Apatah lagi bila sudah agak jauh mereka berjalan. Melihat orang berterbangan sebaik buaian gergasi mula berpusing. Suara nyaring orang yang menjerit buatkan Sasha Amira makin kecut perut.
Tidak jauh dari situ, mereka melihat ramai orang mula beratur. Space shot! Perlahan-lahan ia naik ke atas. Selang beberapa sangat, ia menjunam tiba-tiba. Masya-allah. Mengucap lagi Sasha Amira di situ.
Tiba-tiba Saif Azrai menarik tangannya. Turut menyambung barisan yang semakin panjang. Sasha Amira tergamam. Nak diajaknya Sasha Amira naik benda alah tu pula ke? Hah, memang cari penyakit.
Tak mahu... tak mahu.
Berkali-kali Sasha Amira mengelak tapi ditariknya juga tangan Sasha Amira. Lepas itu, Saif Azrai memeluk tubuh Sasha Amira kuat-kuat sehingga Sasha Amira tidak mampu cabut lari. Mata yang memandang cuma tersenyum dan tersengih sesama sendiri. Ya Allah. Malunya Sasha Amira waktu itu.
Orang yang menjerit-kerit di atas langit tadi kini sudah turun. Sekejap lagi, manusia di depannya akan mula mengambil tempat. Dia tidak putus doa supaya barisan itu akan berhenti sebelum tiba gilirannya. Harap-harap hujan akan turun dengan lebatnya supaya dia tidak perlu langsung naik permainan gila ini. Dia tidak sanggup. Dia tidak berani. Dia takut!
Ya Allah, dugaan apakah ini? Masih ada dua tempat kosong. Sasha Amira keraskan kaki. Tidak mahu berganjak mahupun mengambil tempat kosong itu. Tapi Saif Azrai tetap menyorong kakinya dari belakang. Sudah macam robot pula mereka berjalan ke situ.
Muka Sasha Amira semakin pucat setelah tali keledar keselamatan dipasang. Saif Azrai dapat melihat perubahan wajah isterinya. Lantas tangan Sasha Amira digenggam kemas. Cuba memberi sedikit kekuatan.
Tuhan saja yang tahu betapa kecutnya hati Sasha Amira apabila tempat duduknya mula naik ke langit. Tiba di puncak, dijelingnya ke bawah. Genggaman tangannya kian kuat. Sebelah tangan lagi ditekap di dada sambil menutup mata serapat yang mungkin. Tidak lama, dia dapat merasakan angin kuat lalu di seluruh tubuh. Bagaikan taufan dirinya dibawa pergi. Mulutnya terkatup rapat. Dalam hati, tidak putus mengucap pada Ilahi.
“Dah selamat dah, sayang.”
Baru terdengar suara Saif Azrai memangggil sambil mencuit bahunya. Perlahan-lahan Sasha Amira membuka mata. Saif Azrai sudah berdiri sambil tersenyum ke arahnya. Dengan segera lelaki itu membuka tali keledar yang membaluti tubuhnya dengan sebelah tangan. Baru dia sedar, tangan lelaki itu masih kuat digenggamnya.
“Awak tak menjerit pun, tak takutlah tu!” Saif Azrai mula ajak berbual serentak menarik tangan Sasha Amira keluar dari kerumun manusia lain. Mukanya tersnegih-sengih. Tak takut apa, dalam hati siapa yang nampak. “Saya aje yang menjerit sakan. Awak relaks aje...”
Eh, ye ke? Tak dengar pun suara dia jerit? Ah, kalau dah takut mana nak dengar semua tu. Dalam otak cuma ingat mati aje.
Sasha Amira tersenyum sendiri. Syukur dia hidup lagi. Tapi leganya tidak lama bila dia di bawa ke depan buaian gergasi tadi. Spinner namanya. Saif Azrai mengajak pula dia naik spinner itu. Katanya tidak puas naik buaian masa kecil-kecil dulu. Papanya tidak ada masa bawa pergi taman permainan. Boleh pula bagi alasan macam tu. Acikah?
Naik spinner itu, mereka terpisah. Alamak! Tangan siapa pula yang Sasha Amira hendak sambar. Bila spinner itu mula berpusing, sedikit demi sedikit mereka terbang tinggi dan bila sampai ke kelajuan paling tinggi, Sasha Amira nampak semuanya seakan melayang. Longgar semua tulang temulangnya, bagai hendak tercicir semua anggota tubuh ke bawah.
Kanak-kanak yang sama-sama naik bersamanya pula boleh gelak suka hati. Habis satu pusingan, masing-masing seakan tidak mahu turun. Hendak terus terbang beberapa pusingan. Mak oi. Beraninya mereka. Sasha Amira pula, baru sekejap dah rasa macam setahun atas tu. Kali ini dia menjerit sakan. Bukan menjerit suka macam budak-budak itu. Tapi menjerit sebab takut sangat-sangat. Sumpah, kalau diberi usianyalanjut hingga seribu tahun sekalipun tidak sekali-kali dia mahu naik buaian itu lagi.
Baru naik dua permainan, Sasha Amira sudah termengah-mengah. Saif Azrai ajak singgah melihat bunga di rumah kaca. Dekat dengan buaian gergasi. Cantik. Tenang sekejap jiwanya yang kacau tadi.
Lepas itu, Saif Azrai ajak main permainan yang ringan-ringan. Flying jumbo, tea cup, pirate train. Dapat dilihat pemandangan indah sekitar taman tema itu dari puncak gondoila matahari. Cantik. Aduh, kenapalah dari tadi tidak diajak saja main permainan begini. Tidaklah sakit jantung ni. Dekat waktu tengah hari, Saif Azrai bawa Sasha Amira makan di restoran Marrybrown. Memang perutnya tengah lapar. Tidak seperti semalam, seleranya besar hari ini. Tidak cukup burger sebiji. Ditambah hidangan nasi, beberapa ketul ayam dan burger ekstra. Kalau boleh semuanya dia hendak suap ke mulut. Saif Azrai juga terkejut melihat.
Lama mereka lepak di restoran Marrybrown. Sasha Amira duduk bersandar selepas perutnya penuh. Tapi tidak habis semua makanan yang dipesannya tadi. Membebellah ustaz Saif Azrai di depan sebab memesan bermacam makanan tapi tidak semua dijamahnya. Nasib baik Saif Azrai hanya membeli nugget untuk dirinya. Itupun sudah terkulat-kulat dia menghabiskan baki makanan Sasha Amira.
Burger yang belum terusik pula, Saif Azrai beri pada seorang kanak-kanak lelaki yang asyik merengek pada ibunya supaya membelikan burger. Tidak cukup dia mahu berkongsi dua ketul ayam goreng dengan adiknya. Adiknya pula sudah memunya kedua-dua ayam goreng itu dan dibawa lari dari abangnya.
Kelakar pula bila dilihat telatah kanak-kanak. Teringat masa kecil-kecil dulu. Sasha Amira juga selalu menyambar makanan abang Zafuan. Abang Zafuan pun selalu mengalah padanya. Rindunya pada zaman kanak-kanak.
Ingatkan lepas jalan-jalan selepas makan, mereka akan balik ke hotel. Bergambar dengan maskot pun sudah. Rupanya, Saif Azrai masih belum puas bermain. Kalau setakat berlumba fun-kart, Sasha Amira boleh tahan lagi walaupun macam tidak bergerak go-kart yang dipandunya. Sangkanya senang macam pandu kereta. Susah juga rupanya. Asyik-asyik langgar benteng di sepanjang litar. Buat malu sungguh. Kalau JPJ nampak, agaknya lesen memandu pun kena tarik.
Saif Azrai pula kembang kempis hidungnya menahan tawa. Kelakar sangatlah tu tengok Sasha Amira pandu go-kart macam orang lesen L. Lagi teruk rasanya. Agaknya orang-orang yang tunggu giliran, stafnya pun sama kutuk Sasha Amira habis-habisan dalam hati. Tak tahukah yang Sasha Amira baru nak panaskan enjin. Lima minit yang peruntukan itu sekejap sangat. Tak sempat nak tunjuk skill. Ah, lantaklah. Bukan diorang kenal Sasha Amira pun.
Tidak habis-habis rupanya Saif Azrai hendak menyeksa batin Sasha Amira. Haru hidupnya bila sudah terpacak di dalam barisan manusia yang beria tidak sabar untuk menaiki corkscrew. Roller coaster paling dahsyat di Malaysia.
Macam hendak terkeluar semua isi perutnya sebaik roller itu bergerak pantas. Lajunya memang sampai tidak nampak dunia. Hendak bernafas pun macam tidak sempat rasanya. Sesak dada. Semput. Suara pun seakan mahu lesap dibuatnya. Menjerit sakan, bagai berlawan-lawan dengan pengunjung lain.
Terhuyung-hayang Sasha Amira berjalan selepas turun dari corkscrew. Dia terbatuk-batuk sedikit. Nak termuntah tapi cuba ditahan. Saif Azrai memeluk dari belakang dan diurut lembut belakang Sasha Amira.
Sasha Amira memandang wajah Saif Azrai dengan renungan tajam dalam keadaan terbongkok menahan sesak. “Nak naik lagikah?” soalnya sedikit keras. Sengaja hendak tayang bengang tapi wajahnya pula rasa ketat hendak tunjuk betapa dia marah. Entah-entah ditayangnya pula muka takut di depan Saif Azrai waktu melepaskan amarahnya itu.
“Kita naik flying coaster pula nak?” ajak Saif Azrai beria.
“Dah, cukup!” Lekas Sasha Amira membantah seraya menegakkan tubuh. Matanya dibulatkan sebesar mungkin.
Saif Azrai senyum meleret. Tawanya masih ditahan-tahan. Suka hati benar dia kenakan Sasha Amira. Tak tahukah Sasha Amira takut tinggi, takut main permainan yang menakutkan ni?
Ish, saja nak buat jantung aku gugur agaknya.



Selepas selesai solat Maghrib, Sasha Amira sudah tergolek atas katil. Tidak peduli lagi sama ada Saif Azrai ada di situ atau tidak. Kalau malu hendak baring, kenalah menanggung sakit badan. Letihnya hari ini. Bukan penat berjalan tapi penat menahan rasa takut hingga sakit jantungnya. Nasib baik tidak ada lemah jantung. Kalau tidak, tengah-tengah main terus pengsan. Ha, siapa yang hendak jawab?
Sementara Saif Azrai masih gagah menonton rancangan televisyen. Bosan agaknya, dia melangkah ke beranda. Termenung lagi lelaki itu melihat pemandangan malam yang kelam.
Baru setengah jam Sasha Amira hendak legakan sengal di badan, Saif Azrai sudah mengajak turun makan. Alah, tidak bolehlah Sasha Amira hendak bermalas-malasan sekejap. Ada saja aktivitinya.
Kali ini, maaflah. Sasha Amira tidak dapat penuhi. Tubuhnya betul-betul tidak larat. Hendak bangun dari baringan pun payah.  
“Awak nak makan apa-apa?” tanya Saif Azrai sebelum keluar seorang. Lemah Sasha Amira menggeleng. Kasihan isterinya. Letih benar nampaknya.
Saif Azrai keluar tidak lama. Risau pula hendak ditinggalkan isteri seorang diri lama-lama. Entah sakitkah, entah pengsankah, bukannya dia tahu. Sebelum naik ke bilik, dia singgah ke kedai membeli panadol. Dibelinya juga susu dan roti untuk Sasha Amira mengalas perut. Kalau dibelinya makanan rugi, takut tidak termakan pula isterinya itu. Balik dari taman tema tadi juga sudah termuntah-muntah semua yang dimakannya tengah hari tadi. Mesti perut Sasha Amira rasa tidak selesa.

Tuesday, March 12, 2013

dia si jantung hati: bab 34


Malam itu, Saif Azrai memaksa Sasha Amira keluar. Sekadar untuk mengisi perut. Nanti perut kembung katanya. Sasha Amira memang dari dulu liat benar bila diajak makan. Apatah lagi dengan lelaki. Sekarang hendak makan berdua saja dengan Saif Azrai. Aduh, tebalnya muka. Bila disuruh Saif Azrai pergi seorang, lepas itu bungkuskan saja untuk Sasha Amira. Biar Sasha Amira makan seorang. Saif Azrai pula bertegas. Kononnya kalau masing-masing makan sendiri, lebih baik dua-dua tidak perlu makan. Macam tu pula. Lagak budak-budak. Terpaksalah Sasha Amira mengalah.
Dengan baju tebal dan berlapis-lapis, Sasha Amira bersiap lambat-lambat. Jari-jemarinya sudah cukup kaku hendak digerakkan. Nasib baik Saif Azrai bawakan banyak pakaian untuknya. Bagasi yang Saif Azrai sorong semalam pun penuh pakaian milik Sasha Amira. Pakaian lelaki itu, boleh dibilang dengan jari.
Saif Azrai sudah lama sedia, sejak selesai solat Isyak dia sudah menanti di kerusi kecil di tepi katil. Ringkas sahaja dengan sehelai kemeja T yang dipakainya petang tadi dan malam ini dipadankan pula sengan slack hitam. Ringkas tapi kemas.
Namun tidak sedikitpun terdengar suara rungutan mahupun keluhan keluar dari mulut Saif Azrai. Sabar dia menunggu dan membiarkan saja Sasha Amira bersolek seperti biasa. Untuk siapa lagi kalau bukan untuk dirinya, sang suami.
Dekat satu jam barulah Sasha Amira siap sepenuhnya. Akhirnya. Wajah Sasha Amira direnung dari jauh lalu selangkah demi selangkah dia merapati. Cantik bagaikan bidadari. Belum sempat tangannya singgah di pipi gebu si isteri, Sasha Amira laju mengelak. Segera dia menyarung kasut dan menunggu pula Saif Azrai di luar pintu.
Saif Azrai masih menayang senyum. Blazer segera dicapai dan disarung ke tubuh .Mereka berjalan seiringan menuju ke tingkat bawah. Merata Sasha Amira melontar pandang. Itu ini semuanya hendak dilihat. Kemudian terangguk-angguk sendiri. Saif Azrai di sebelah macam tidak wujud. Tergelak kecil pun Sasha Amira tidak sedar.
Mereka masuk ke Rajawali Coffee House untuk menikmati makan malam. Saif Azrai memlih hidangan buffet untuk makan malam mereka. Sengaja hendak memberi pilihan kepada Sasha Amira hingga rambang mata. Sekurang-kurangnya dia boleh agak makanan yang isterinya itu suka makan, dan yang mana tidak suka.
Sekejap saja, Saif Azrai sudah siap memilih. Pinggannya sudah penuh lalu dibawa ke meja di luar. Menghadap pemandangan bukit yang cantik di bawah. Walaupun gelap, tapi tiupan angin dingin diharap dapat memberi pengalaman baru kepada mereka.
Lama Sasha Amira memilih. Ketika Saif Azrai datang mendekati, pinggan Sasha Amira masih kosong. Saif Azrai sudah mula risau.
“Kalau awak tak suka makanan buffet ni, kita boleh order.” Saif Azrai akhirnya memberi cadangan untuk memudahkan Sasha Amira membuat keputusan.
“Tak apalah. Saya pusing lagi sekali,” jawabnya lalu meninjau lagi makanan yang dihidang di situ.
Saif Azrai memandang dengan rasa terkilan. Bersalah pun ada. Masih tiada makanan yang diambil Sasha Amira walau sudah disinggah bahagian yang sama berkali-kali.. Dia berjalan kebaagian piring kecil. Sekeping diambilnya, lalu diisi beberapa jenis pencuci mulut bersama buah-buahan. Mana tahu kalau-kalau Sasha Amira terasa ingin makan nanti.
Ketika makan  juga, Sasha Amira tidak bersuara. Matanya asyik memandang lampu-lampu kecil yang menghiasi tempat itu. Sesekali dilontar pula pandangan jauh ke bawah. Melihat pemandangan yang kelam dalam kegelapan malam.
“Awak dah kenyang ke?” Dilihatnya Sasha Amira sudah meletak sudu garfu di atas pinggan. Tangannya menompang dagu, seakan sudah hilang selera.
Piring berisi semangka kuning dan oren diletak di depan Sasha Amira. Gadis itu menggeleng. Pandangannya dibuang lagi ke luar.
“Tak sedapkah? Tak banyak awak makan.”
“Penat.” Pendek jawapan Sasha Amira. Seleranya benar-benat tipis. Makanan di situ semuanya nampak menyelerakan. Tapi entah kenapa, dia tidak berkenan. Kalau selalu, mesti sudah berpinggan-pinggan dia melantak. Sebab Saif Azrai agaknya dia tidak lalu makan.
Dari dulu lagi Sasha Amira sudah beri amaran. Pergi jauh-jauh. Kan sekarang Sasha Amira juga yang susah. Letih rasanya asyik kena menghadap muka lelaki itu.
“Tulah, tidur banyak sangat. Mana tak badan tu letih aje…”
Sasha Amira menjeling. Geram. Mengata Sasha Amiralah tu. Gelas yang masih berbaki air kosong lekas dicapai. Kering gelas itu diteguknya.
“Saya nak balik bilik. Letih!”
“Saya temankan.”
Sasha Amira bingkas bangun. Laju langkahnya dihayun mendahului Saif Azrai. Tapi tak pula lelaki itu mengejar. Kata tadi hendak ditemankan Sasha Amira tapi berjalan lambat macam siput hingga tercicir di belakang. Sasha Amira biarkan saja dan terus meluru.
Sampai di depan lif, lambat pula pintu lif terbuka. Bila ada lampu yang menyala, dia masuk cepat-cepat ke dalam lif. Baru separuh pintu lif tertutup, sepasang tangan menahan kuat dan pintu lif itu terbuka semula. Saif Azrai.
“Lajunya jalan. Awak tak sabar nak ke tandaskah?” guraunya lalu tertawa kecil.
Sasha Amira jelling lagi. Tak kelakar pun. Dia yang lambat macam kura-kura pakai tongkat. Rusuhnya.
Sementara menunggu dalam lif hendak naik ke atas, Saif Azrai asyik pandang-pandang. Hai, nak main pandang-pandang jelling-jeling pulakah? Sasha Amira sudah susah hati. Lambat pula rasanya lif ini hendak bergerak hingga ke atas. Dinginnya Genting ini tidak lagi terasa. Bahang tiba-tiba.
Buka saja pintu lif, lekas dia berlari keluar menuju ke bilik. Aiseyman. Kad pengaktif cuma Saif Azrai seorang yang pegang. Terpaksa juga dia menunggu lelaki itu di depan pintu bilik. Saif Azrau datang dengan langkah tenang, sambil menayang senyum lebar. Hai, sukalah tu Sasha Amira terpaksa menantinya. Sabar sajalah lelaki ni.
Sempat Saif Azrai kenyit sebelah mata kepada Sasha Amira sebelum pintu dibukanya. Amboi!
“Silakan tuan puteri,” selorohnya nakal.
Badannya dibongkokkan sedikit ke depan sambil tangan menunjuk arah ke ruang peraduan yang sedia terbuka luas. Merah padam muka Sasha Amira tapi cuba diselindungkan. Jelingan dilempar lagi sebagai balasan lalu menonong masuk.
Tanpa walau sepatah kata, Sasha Amira terus berbungkus atas katil. Siaf Azrai yang baru masuk memandang hairan. “Dah nak tidur?” tegurnya. Nadanya seakan hampa. “Terus tidur lepas makan, nanti perut buncit tau.” Selorohnya pula.
Tapi Sasha Amira buat tidak endah. ‘Biarlah. Yang buncit nanti perut aku, bukan perut kau!’ rungutnya perlahan hingga tidak kedengaran dek telinga. Selimutnya ditarik hingga menutupi kepala. Tandanya Sasha Amira tidak mahu melayan sebarang perbualan. Kalau Saif Azrai masih segar mata, pandai-pandailah dia tengok tv ke, berangan dekat beranda ke. Suka hati.

Saturday, March 9, 2013

dia si jantung hati: bab 33


Sasha Amira membuang pandangan ke luar tingkap. Sejak masuk ke dalam kereta, dia tidak bercakap walau sepatah. Masih terbayang wajah Saif Azrai semasa memeluknya tadi. Degupannya yang begitu rancak berdetak ketika itu seakan masih diingat bagaimana rasanya. Matanya dipejamkan sejenak.
Ya Allah. Hatinya berdegup kencang semula. Di mana-mana saja muncul muka lelaki itu. Sedangkan lelaki itu masih setia memandu di sebelah. Tidak sedikit pun Sasha Amira mahu menoleh.
Riak wajah Kairel Azam ketika Saif Azrai menjelaskan siapa dirinya di depan lelaki itu juga turut sama bermain di ruang mata. Sasha Amira masih ingat bagaimana Kairel Azam tergamam bila Saif Azrai menghulurkan tangan. Apatah lagi Saif Azrai mengaku yang dirinya milik lelaki itu. Sasha Amira dapat melihat rona wajah Kairel Azam berubah. Lama Kairel Azam kaku, merenung muka seakan meminta dia berkata sesuatu. Namun ketika itu, dia hanya melontar jauh pandangannya ke tepi.
Saif Azrai pula boleh memohon maaf kerana tidak menjemput Kairel Azam ke majlis pernikahan mereka. Bergetar suara Kairel Azam selepas itu. Untuk berkata tidak apa, atau entah apa yang mahu dibicarakannya, Sasha Amira tidak pasti kerana segala yang diucapkan Kairel Azam kurang jelas. Separuh-separuh, tidak ada satu pun ayatnya yang penuh.
Bila Sasha Amira mengangkat semula muka menghadap ke depan, Kairel Azam sudah berpaling. Rasa bersalah mula menjalar dalam hati walaupun pada asal dia marahkan lelaki itu. Tapi bila tengok muka kecewanya, kasihanlah pula.
Beg plastik yang masih tersangkut di tepi pintu diselak lantas sebungkus roti ikan bilis diambil keluar. Cepat tangannya mengonyak bungkusan roti itu lalu isinya disumbat ke dalam mulut yang sedia terbuka luas.
Nyum... nyum.
Sasha Amira beria mengunyah roti sambil terus memaling kepalanya ke tingkap. Matanya pula menjamah pemandangan luar. Kenderaan yang banyak sama-sama menemani di lebuhraya ini menjadi santapan mata. Masing-masing melunjur laju, entah ke mana mahu dikejar.
“Awak laparkah?” Saif Azrai yang tadi sibuk sangat menumpukan perhatian cuma ke depan menegur.
Sengaja dia tidak mahu buka mulut, bercakap atau bertanya apa-apa pada Sasha Amira. Gadis itu juga nampak tegang saja selepas berjumpa lelaki tadi. Entah siapa nama kawan Sasha Amira tadi, tak pula lelaki itu perkenalkan diri.
Sasha Amira juga tidak berkata apa sejak awal tadi. Justeru dia mainkan radio sebagai peneman dalam kereta yang sunyi sepi.
Saif Azrai menoleh ke sebelah. Sekejap kemudian ke depan semula. Panggilannya tidak bersahut. Soalannya tidak berjawab. Emm... marahkah Sasha Amira padanya? Dia menoleh lagi sekali. Bahu Sasha Amira diusik sedikit. Tidak semena-mena tangan Sasha Amira yang memegang roti jatuh kedua-dua ke atas peha. Saif Azrai menguntum senyum.
Tengah makan pun boleh tidur? Comel betul.
Berselang-seli kepalanya memandang depan dan sebelah. Dengan penuh berhati-hati, tangan kirinya mencapai roti dari pegangan Sasha Amira. Kuat juga Sasha Amira menggengam roti itu. Payah sungguh hendak dilepaskannya. Roti itu diletak tepi. Perlahan-lahan dibawanya kepala Sasha Amira ke bahunya. Mulut Sasha Amira dibersihkan sedikit dengan hujung jari.
Tumpuannya kembali semula ke depan. Sesekali dijelingnya sekejap wajah si isteri. Lena Sasha Amira tidur. Rasanya baru sekejap dia bangun tadi, sekarang sudah terlena semula. Kantuk benar nampaknya.



Good afternoon, sayang...”
Saif Azrai menegur sebaik sedar Sasha Amira mula menyelak kelopak mata. Lama dia menatap muka Sasha Amira semenjak mereka sampai ke destinasi. Tempat duduknya juga dibaringkan sedikit searas dengan tempat duduk Sasha Amira supaya isterinya itu rasa selesa.
Sasha Amira bangun terpisat-pisat. Matanya digosok sedikit dengan hujung jari. Kalau boleh, dia mahu mengeliat puas. Rasa macam lama saja dia dapat melelapkan mata tadi. Tapi melihat Saif Azrai merenung mesra di sebelah buat dia terkejut. Terkubur terus hajatnya hendak menegangkan otot-otot badan.
Kereta juga tidak lagi bergerak. Agaknya sudah sampai di rumah. Sasha Amira lekas-lekas keluar dari kereta.
“Aik! Kat mana ni?” Dia terkejut melihat pemandangan berbeza dari kediamannya. Kulit mukanya juga terasa dingin tiba-tiba. Dia menggosok-gosok muka dengan tapak tangan. Di depannya tersergam sebuah bangunan tinggi diapit bangunan lebih rendah dan taman.
Dia tersentak apabila muncul tangan dari tepi. Saif Azrai membaluti tubuhnya dengan blazer. Blazer yang sama membaluti tubuhnya pagi tadi. Tubuh yang hampir terasa sejuk tadi kini hangat semula.
Seketika, Saif Azrai lesap semula. Melangkah ke bonet kereta dan membawa keluar bagasi. Sebelah tangannya menarik bagasi dan sebelah lagi menggenggam jemari Sasha Amira. Terpinga-pinga Sasha Amira mengikut ke mana Saif Azrai membawanya. Matanya masih melingas memerhati sekitar. Tidak terjemah otaknya akan soalan sama yang berlegar di benaknya.
Di mana mereka sekarang? Buat apa mereka ke sini? Bercuti? Berehat? Atau berbulan madu seperti telahan Zaimah? Hah, takkan mereka berdua saja? Sasha Amira mula panik.
Lepas Saif Azrai check in dekat kaunter pendaftaran, Sasha Amira ikut naik lif sampai tingkat enam. Sasha Amira membontoti saja Saif Azrai dari belakang. Tangannya yang asyik hendak dipegang lelaki itu cuba disorok di belakang. Kalau tidak pun, pura-pura garu kepala sambil pandang keliling.
Cantik tempat ini. Nampak mewah dan elegan. Seni binanya juga diterapkan nilai-nilai timur dengan buatan kayu hampir sepenuhnya. Emm.. banyak pula duit mamat ni. Hadiah perkahwinan daripada papa agaknya. Dia meneka.
Masuk saja dalam bilik, Sasha Amira tergamam seketika. Namun cuba berlagak setenang mungkin. Coverlah kononnya. Tidak pernah seumur hidupnya duduk di hotel. Inilah kali pertama. Pula tu, bersama Saif Azrai. Tak seronok betul.
Mereka habiskan masa dalam bilik saja sepanjang petang. Berehat dan menunaikan solat. Setiap kali Saif Azrai ajak keluar, Sasha Amira beri alasan. Tubuhnya juga dari pagi tidak menyentuh air selain mengambil wuduk. Awal tadi memang niat hendak mandi, tapi bila dah sampai sini menggigil pula. Ambil wuduk pun menggeletar satu badan. Sejuk walau pun tiada penghawa dingin yang terpasang. Kipas di siling kayu itu juga tidak bergerak. Cuaca di situ sudah cukup buat dia berbungkus atas katil.
Tergoda Sasha Amira lihat katil besar di tengah-tengah. Ada dua katil dalam bilik itu. Molek sangatlah. Satu untuk dirinya, satu lagi untuk lelaki itu. Hendak berkongsi katil, usah bermimpi di siang hari. Sasha Amira tidak rela. Kasihan dia terpaksa tidur atas lantai.
Sedang Sasha Amira berselimut sambil menonton televisyen, Saif Azrai buang masa di beranda luar. Sasha Amira perhatikan sekejap-sekejap. Sudah bersalin pakaian lelaki itu selepas membersihkan diri tadi. Lama juga lelaki itu duduk di luar dengan hanya sehelai kemeja T dan jeans yang tidaklah tebal sangat. Tidak sejukkah lelaki itu? Nanti demam, baru tahu.
Sasha Amira memusingkan tubuh, menghadap ke sebelah pintu kaca dekat beranda. Pura-pura lena tapi sebenarnya melirik ke arah lelaki itu. Sekejap dilihatnya Saif Azrai berdiri dengan tangan memegang palang besi. Sekajp memeluk tubuh lalu duduk di atas bangku pajang di beranda. Jauh benar nampaknya lelaki itu bermenung. Melihat pemandangan dari atas ini, dengan kabus mula menebal di luar. Entah apa yang dilihatnya. Menjolok-jolok pula hati Sasha Amira ingin tahu.
Bila diselak selimut tebal dari tubuh, terus terasa angin dingin yang menyerbu masuk dari celah sliding door di beranda yang terbuka sedikit. Ggrrr.. sejuknya. Lantas cepat-cepat Sasha Amira menarik semula selimut hingga ke bahu. Hasrat untuk keluar melihat luar terus terkubur. Berkali-kali dia memusingkan tubuh. Sekejap ke kiri, ke kanan semula dan akhirnya kembali baring atas rusuk kiri. Terlalu dingin hingga dia tidak senang baring setempat. Matanya dilontar pada skrin televisyen. Filem berbahasa inggeris yang rasanya sudah acap kali diulang tayang di kaca televisyen. Bosan. Sudahnya mata Sasha Amira memberat semula dan tidak sedar dia akhirnya terlena.

Wednesday, March 6, 2013

dia si jantung hati: bab 32


Huaaahhh!
Tangannya menekup mulut yang menguap lebar. Macam mulut badak air pula. Kalau sang putera nampak mesti reject dibuat isteri. Aik! Sasha Amira melingas keliling. Saif Azrai yang tadi sekejap tayang muka toya, sekejap tersengih-sengih di sebelah sudah lesap. Mimpikah dia tadi yang lelaki itu ada memandu di sebelah? Ish, mustahil. Dia masih ingat betapa banyak lelaki itu belikannya makanan untuk sarapan pagi. Cepat-cepat dia menoleh ke kiri. Bungkusan yang digantung di tepi pintunya memang ada. Jadi, semuanya yang berlaku tadi bukanlah mimpi.
Sampai hati Saif Azrai meninggalkan dia seorang diri tidur dalam kereta. Sedangkan Saif Azrai entah ke mana hilangnya. Matanya melingas terus. Macam kenal tempat itu. Sasha Amira bergegas keluar. Baru tersedar akan blazer hitam yang membaluti tubuhnya jatuh ke tanah sebaik dia melangkah keluar. Okey. Sasha Amira tarik balik kata-katanya tadi. Sekurang-kurangnya lelaki itu menyelimuti tubuhnya sebelum meninggalkannya seorang. Blazer itu diangkatnya dan dibiarkan atas tempat duduk.
Tapi jangan harap Sasha Amira akan berlembut hati. Ini memang tidak adil. Masakan Saif Azrai memaksanya belajar semula di kolej itu sedangkan dia menghilang. Ke mana? Balik rumah? Kalau ya pun, biarlah Sasha Amira cuti sehari dua.
Tidak habis-habis Sasha Amira tidak puas hati. Kakinya melangkah masuk ke dalam bangunan kolej. Keretanya tadi dibiarkan saja tidak berkunci. Kalau kena curi, padanlah muka. Semuanya salah Saif Azrai. Siapa suruh tinggalkan Sasha Amira tanpa meninggalkan kunci.



Sasha!
Sasha Amira leka memandang ke bawah dari aras dua tersentak apabila namanya dipekik nyaring. Serentak dia menoleh. Zaimah sudah berlari ke arahnya lantas memeluk erat tubuhnya. Namanya dipanggil Zaimah lagi berulang kali.
“Lamanya tak jumpa kau!” Beria Zaimah melepaskan rindu. Sasha Amira berkerut dahi. Rindulah sangat. Walhal baru semalam Zaimah datang ke majlis nikahnya. Wajah Intan Nazira yang tenang mendekati mereka berdua ditenung sejenak. Sempat Sasha Amira melambai sedang tubuhnya masih lagi dalam pelukan Zaimah.
“Eh, sudahlah tu!” Dia cuba melepaskan diri dari pelukan Zaimah. Sesak nafas dibuatnya. “Kau ni, macamlah setahun tak jumpa aku. Bukan semalam-” Sasha Amira tidak menyudahkan ayatnya. Sakit hati kembali menular bila dikenang hal semalam. Rancangannya untuk melarikan diri dari diijab kabul dengan Saif Azrai gagal semalam sekaligus mengheret dirinya terus dengan ikatan perkahwinan yang dia sendiri tidak rela.
Salahkah dia kerana tidak mahu berkahwin dengan lelaki yang tidak dia cintai? Salahkah dia kerana memilih? Kenapa mama tidak memberi peluang dia terus memilih dan kali ini terus dipaksa? Ah, lagi difikir hal itu lagi sakit hati jadinya.
“Kau buat apa dekat sini? Orang lepas kahwin, cuti seminggu dua. Pergi honeymoon. Bukan datang kolej, belajar.” Tempelak Zaimah sekaligus mematikan lagi lamunan Sasha Amira sekejap tadi.
“Entahnya. Takkan baru kahwin dah panas duduk dekat rumah.” Intan Nazira pula menyampuk. Lain macam saja nada kawannya yang seorang itu. Ah, lantaklah. Minah seorang ni memang macam tu cakapnya. Kalau menyindir, memang boleh buat orang sakit telinga.
“Eh, kau dah pakai belum hadiah yang aku bagi tu?” Zaimah berbisik sambil tersengih nakal. Terbatuk-batuk Sasha Amira dibuatnya. Sengaja dia buat-buat batuk, hendak mengelak dari menjawab soalan cepumas Zaimah. Tidak adakah soalan lain yang hendak ditanya. Itu pula yang dia ingat di kepala.
Sasha Amira hempas keluhan tiba-tiba. Tubuhnya dipalingkan semula menghadap tembok. Tangan diletak atas palang lalu kepalanya dilekapkan ke lengan. Jauh dia bermenung.
“Hei, pengantin baru! Termenung pula dia, kenapa? Dah berisi ke?” tegur Zaimah lagi seraya menampar bahu Sasha Amira. Kali ini Sasha Amira betul-betul terbatuk. Kuat sungguh penampar Zaimah hingga menggelungsur kepalanya ke depan dan menyebabkan batang lehernya terhantuk ke palang besi. Aduh. Sakitnya macam hendak tercabut rasanya lehernya itu.
Namun sakitnya boleh dia tahan geram. Nasib baik sikit saja. Tapi jenaka Zaimah tadi memang tidak boleh dimaafkan. Berisi? Huh, jangan mimpi!
“Kau dah bunting pelamin ya?” teka Zaimah lagi dengan muka beria.
“Huish! Jangan mengarutlah!” Lekas Sasha Amira membidas. Pandai-pandai saja kawannya itu mengagak macam-macam. Zaimah terus menayang muka ceria walaupun Sasha Amira keras menafikan. Kemudian Zaimah tergelak-gelak. Telefon bimbit yang bergegar dalam kocek seluar mematikan perbualan mereka. Sasha Amira tersentak.
Bila pula aku bawa telefon? Dia tertanya-tanya sambil tangan menyeluk poket. Memang telefonnya yang berdering lagu andaiku bercinta lagi yang dipopularkan oleh kumpulan Mojo.
Aduhai. Siapa pula yang pandai-pandai tukar ringtone telefon aku ni? Lagu cinta lagi. Balik-balik cinta. Tak boleh dimaafkan!
“Hai, cik abang dah telefon...” Zaimah masih mengusik.
Dalam geram, Sasha Amira menjawab panggilan. Benar tekaan Zaimah. Memang suara Saif Azrai yang bergema di gegendang telinga.
“Awak kat mana? Kenapa tinggalkan kereta tak beritahu?”
Sasha Amira gumam bibir. Manalah dia tahu yang ada telefon dalam koceknya. Saif Azrai pun lesap macam itu saja. Macam mana hendak beritahu. Sekarang, hendak cari salah Sasha Amira pula. Lepas itu, Saif Azrai memintanya datang balik ke kereta. Amboi. Sudah pandai memberi arahan pula nampaknya. Eii... memang betul geram ni.
Sasha Amira tidak membalas walau sepatah. Talian terus diputuskan apabila Saif Azrai selesai bercakap. Dia merenung tajam ke arah skrin telefon di tangan. Rupanya macam hendak makan saja telefon itu.
“Cik abang dah panggil ke? Hai, untunglah orang tu ada cik abang. Baru hilang kejap dari mata, dah rindu...”
Hendak termuntah Sasha Amira mendengar gurauan Zaimah. Sudah-sudahlah tu Zaimah. Nanti aku muntah betul-betul depan kau nanti.
Sasha Amira tayang senyum paksa. Tangannya melambai kawan-kawannya sebelum berlalu pergi.
Enjoy your honeymoon, darling!” Sempat Zaimah memekik.
Heuw! Bila masa aku cakap kitorang nak pergi honeymoon. Tolong sikit. Getusnya lagi tidak selesa. Rasa mual makin menjolok-jolok anak tekak. Langkahnya dihayun lebih laju. Lagi cepat dia tinggalkan Zaimah, lagi cepat telinganya lapang dari usikan melampau kawannya itu. Sabar sajalah.
“Sasha!”
Sekali lagi namanya dipanggil. Kali ini suara garau. Tapi rasanya bukan milik Saif Azrai kerana Sasha Amira sudah dapat melihat susuk tubuh Saif Azrai yang menanti di kereta. Lelaki itu masih tidak nampak akannya. Langkahnya terhenti apabila namanya dipanggil buat kali kedua. Serentak, tangannya dipaut dari belakang. Berpusing tubuh Sasha Amira ditarik kuat lelaki itu. Kasarnya.
Kairel Azam terpacak depan mata. Huh! Kecil betul kolej ini. Atau hidung lelaki itu yang begitu awas akan kehadiran Sasha Amira di situ walaupun sekejap. Lelaki ini... salah satu punca kenapa Sasha Amira dipaksa kahwin. Ah, terlalu banyak sebabnya yang menyebabkan dia bergelar isteri atas kertas.
“Aku dengar kau quit dari teater.” Lelaki itu bersuara setelah agak lama diam. Sukar benar agaknya hendak memulakan bicara. Wajahnya berwarna kelat.
“Kenapa kau berhenti?”
Sasha Amira membuang pandangannya ke tepi. Bibir tersenyum sinis. “Perlukah aku beritahu kau? Kenapa, aku perlu report pada kau untuk semua yang aku buat atau akan aku buat?” selanya kurang senang.
Tiba-tiba saja tangannya disambar Kairel Azam. Wajah kelat lelaki itu kini berkerut seribu. Bagai merayu-rayu. “Sasha, please. Don’t leave me behind.”
Sasha Amira terkesima. Apa hal pula ni? Tengah praktis berlakonkah? Sasha Amira dapat merasakan tangannya hangat diramas Kairel Azam.
“Aku tak boleh berlakon dengan orang lain. I want you back... berlakon dengan aku.”
Kali ini Sasha Amira merengus. Marah ada, kelakar pun ada.
“Apa kejadahnya kau jadi pelakon utama kalau tak boleh nak berlakon dengan dengan sesiapa saja yang pegang watak heroin tu? Baru jadi pelakon teater kolej, dah nak demanding? Kalau tak boleh nak berlakon, suruh aje krew produksi pilih pelakon lain!” Pedas jawapan Sasha Amira seraya menarik tangannya dari pegangan Kairel Azam. Suka-suka saja lelaki itu meramas tangannya. Rimas betul.
Seketika, bahunya pula yang terasa hangat. Ditarik dan dirapatkan ke tubuh seseorang. Terkesima lagi dia di situ. Degupan jantungnya kala ini begitu kencang, seperti dapat didengar telinganya. Perlahan-lahan dia mengangkat muka.
Saif Azrai menayang senyum di depan Kairel Azam sambil terus memeluk tubuh Sasha Amira rapat ke tubuhnya. Lebarnya senyum, sampai hujung pipi. Baru nampak lesung pipit lelaki itu lebih jelas dari tepi.
“Kau lagi!” Kairel Azam nampak bengang. Tangannya diseluk dalam kocek jaket yang dipakainya. Kalau boleh Sasha Amira tilik, agaknya sudah bergumpal buku lima lelaki itu. Hendak sorok penumbuk dalam poket agaknya.
Saif Azrai masih tersenyum tenang.
“Kau ni siapa? Asyik-asyik berkepit dengan Sasha!” Nada suara Kairel Azam sudah separuh bergegar. Tapi Saif Azrai tetap berlagak tenang.
“Bagus soalan tu!”
Kairel Azam makin bengang riaknya apabila Saif Azrai membalas. Dahinya berkerut. Kurang mengerti barangkali atau marah bila dia dilayan seperti budak hingusan yang bertanyakan gerangan Saif Azrai di sisi Sasha Amira. Entahlah. Lelaki itu lebih tahu apa yang dirasakan.
Saif Azrai melepaskan pelukannya. Tangannya berlari mencari pergelangan tangan Sasha Amira. Jari jemari Sasha Amira kini sudah dalam genggamannya.
“Aku Azrai, suami Sasha dan Sasha, isteri aku.” Wajah Sasha Amira direnung seketika. Lembut renungannya dengan senyum manis yang tidak lekang di bibir. Kemudian tangan kanannya pula dihulur kepada Kairel Azam.
Kairel Azam sudah terpempan kaku. Tubuhnya yang tegak tadi kini kendur. Huluran tangan Saif Azrai juga tidak disambut. Wajah Sasha Amira ditenung lama. Seperti mengharapkan penjelasan mahupun pengakuan yang sama dari gadis itu. Jauh di sudut hati, dia mahukan Sasha Amira menafikan semua yang diberitahu lelaki di sebelahnya sekarang. Mustahil. Tak mungkin.