Sudah semakin tidak
keruan Sasha Amira duduk di dalam bilik. Panas rasa punggungnya. Jantungnya
berdetak kian kencang. Di bawah semakin riuh dengan suara tetamu-tetamu yang
datang termasuklah saudara mara terdekat. Pak Ngah dan Mak Ngah pun ada
bersama. Baru setengah jam lepas, Mak Ngah masuk menjenguk Sasha Amira.
“Kamu ni Sasha,
kalau ya pun berdebar menunggu bakal suami usalah gelabah sangat macam ni!” Kak
Saleha, mak andam yang diupah Puan Damia untuk majlis pernikahan Sasha Amira
malam ini menegur. Lama dia memerhati saja gelagat Sasha Amira. Mundar-mandir
dari tadi. Jelas terpancar gelisah di wajah gadis itu.
Sasha Amira terpaku
dek teguran Kak Saleha. Berdebar tunggu suami? Huish! Merepek! Jangan harap
Sasha Amira hendak berdebar-debar kerana lelaki itu. Debaran Sasha Amira
sekarang ini pun sebab memikirkan bagaimana dia hendak mengelak dari pernikahan
yang dirancang Puan Damia. Dia henyak punggung di kerusi menghadap cermin. Wajahnya
yang telah disolek Kak Saleha dibelek dari jauh. Macam baby doll! Comel pula rasanya dirinya. Tapi bila pandangannya
beralih sedikit ke bawah, melihat tubuhnya yang dibaluti baju kurung putih yang
polos, dengan inai di jari. Macam tidak percaya dia jadi pengantin hari ini.
Sekejap lagi, akan bergelar puan. Kursus pra-perkahwinan pun tergesa-gesa dia
hadiri dengan bakal suami. Hai la nasib. Tak seronok langsung hendak kahwin,
tidak seperti pengantin-pengantin lain. Perlahan dihempas keluhan halus.
“Ish, apa pengantin
mengeluh pula ni?” Cepat saja Kak Saleha menegur lagi. Nipis juga telinga Kak
Saleha. Dengar saja dia walaupun halus bunyinya. Sasha Amira menjeling reaksi
Kak Saleha dari balik cermin. Kak Saleha datang mendekati.
Kak Saleha
membelek-belek lagi solekan di muka Sasha Amira. Ada saja yang kurang,
dicoletkan berus lembut ke muka Sasha Amira. Aduh. Sesak nafas Sasha Amira
rasanya. Mukanya sudah terasa tebal dua inci. Entah apa lagi yang tidak kena
pada pandangan Kak Saleha. Teringat juga bagaimana Kak Saleha memaksa Sasha
Amira memakai inai di tangan. Seksa. Tidak boleh menggaru walaupun gatal
menggila-gila. Sumpah Sasha Amira tidak ingin pakai inai buat kali kedua.
Dijelingnya juga
wajah Zaimah dan Intan Nazira yang sama-sama menemaninya di kamar ini. Beberapa
hari Sasha Amira dikurung Puan Damia, tidak boleh keluar rumah. Takut benar dia
akan melarikan diri. Tapi hari ini, Sasha Amira tidak akan putus asa. Zaimah
yang duduk di pinggir katil asyik tersenyum gembira. Intan Nazira pula nampak
kurang gembira nampaknya. Hanya tersenyum sekejap-sekejap bila Sasha Amira
memandang.
“Hah! Kau kata nak
tolong aku kan hari tu?” Lekas-lekas Sasha Amira pergi mendapatkan Intan
Nazira. Baru teringat akan janji Intan Nazira kelmarin. Terduduk dia di depan
Intan Nazira. Tangan Intan Nazira digoncang berkali-kali sambil mengulang
soalannya tadi berulang kali.
“Hei, tolong apa
ni?” Laju tangan Zaimah menampar bahu Intan Nazira yang duduk di sebelah. Sakit
hatinya melihat Sasha Amira yang bagai merayu-rayu minta pertolongan. “Kau
jangan nak buat kerja gila. Tetamu dah makin ramai kat bawah tu!”
Intan Nazira
tunduk. Wajah sayu Sasha Amira ditatap seketika. Sementara telinga asyik
dipanah teguran keras Zaimah. Garang pula kawannya itu hari ini. Dia mati akal.
Kalau tidak ditolong Sasha Amira sekarang, dia juga yang akan gigit jari nanti.
Relakah dia melepas Saif Azrai begitu saja?
Intan Nazira
tiba-tiba bingkas bangun dari duduk. Tangan Sasha Amira ditarik sama. Sudah
tiada jalan lain. Dia menyelongkar almari baju Sasha Amira. Mencari tuala, kain
cadar atau apa saja yang boleh diikat bersama. Sasha Amira juga berkerja keras
mencari dan memberikan pada Intan Nazira. Otaknya sendiri sudah serabut. Buntu
kerana terlalu ingin membatalkan majlis malam ini.
Kak Saleha dan
Zaimah yang memandang sudah tergamam. Wajah masing-masing jelas terkejut sambil
masih cuba menganalisa tindakan gadis dua orang itu. Sesekali terdengar suara
Sasha Amira kalut mengerah Intan Nazira supaya bertindak lebih cepat.
Tiba-tiba pintu
diketuk. Tidak lama pintu itu diselak dari luar. Mereka berdua terpempan.
Lekas-lekas Sasha Amira menarik tali yang diikat dari pelbagai jenis kain itu
ke belakang tubuh. Ditendangnya sedikit sedikit ke belakang. Mata semua orang
dalam bilik itu tertumpu di pintu. Kak Suhana Azreen sudah masuk sambil
tersenyum lebar ke arah semua orang. Saja dia hendak menjenguk adiknya sebelum
majlis penuh bermakna bermula sekejap lagi.
Tanpa buang masa
Suhana Azreen mendekati Sasha Amira. Intan Nazira juga kembali berdiri di
sebelah Sasha Amira. Kakinya cuba kais kain yang tersangkut di kaki ke
belakang. Beranjak ke depan sedikit lagi untuk melindung kain-kain tadi.
Suhana Azreen
menilik wajah dan tubuh Sasha Amira di depan mata. Melihat wajah bahagia
kakaknya, Sasha Amira melempar senyuman terpaksa. Tangannya dicapai Suhana
Azreen. Lembut kakaknya mengelus tangannya.
“Cantik adik along
malam ni. Macam puteri dari kayangan!” Puji Suhana Azreen melangit. Namun Sasha
Amira hanya tersenyum hambar. Ketat rasanya muka hendak terus mengulum senyum
paksa. “Diam-diam dah berpunya rupanya dia. Sikit pun tak beritahu along ya.”
Suhana Azreen
membelek-belek pula tubuh Sasha Amira hingga ke belakang di intainya. Cantik
busana yang dipilih Puan Damia. Walaupun polos tetap menonjolkan seri si
pengantin. Senyumnya tidak lekang. Cerianya hati Tuhan saja yang tahu. Akhirnya
adik bongsunya ini mahu juga mendirikan rumah tangga setelah bertahun-tahun
Puan Damia mencarikan jodoh.
“Kain-kain ni nak
buat apa, Kak Saleha?” soal Suhana Azreen tiba-tiba seraya menoleh ke arah Kak
Saleha. Tangan Suhana Azreen menunjuk ke arah kain-kain di belakang Intan
Nazira. Kak Saleha terpaku di depan meja solek. Suhana Azreen sudah memegang
kain-kain yang dimaksudkan. Diperhatikan ikatan pada kain-kain itu yang saling
menyambung sekaligus wajah Suhana Azreen berubah rona. Dilirik terus ke wajah
Sasha Amira.
“Apa ni dik?” Wajah
Sasha Amira diamati. “Jangan kata pada along yang kamu...” Pandangannya
berpaling kepada Intan Nazira. Intan Nazira sudah kalut melarikan pandangannya.
“Tetamu dah penuh
dekat bawah. Saudara mara pun ramai yang datang. Semuanya tak sabar nak tunggu
majlis akad nikah sekejap lagi. Apa pula yang kamu rancang ni, dik? Nak malukan
kita sekulargakah?” Suara Suhana Azreen sudah bergetar. Sedih, kecewa dan
mungkin sedikit rasa marah berbaur menjadi satu. Sukar digambarkan perasaannya
ketika ini.
Muka Sasha Amira
sudah mencemik. Dia menganjak mendapatkan Suhana Azreen. “Along, Sasha tak mahu
kahwin. Along tolonglah Sasha. Mama yang paksa Sasha kahwin...”
Suhana Azreen
tergamam.
“Along... tolonglah.
Sasha tak mahu kahwin lagi...”
“Sampai bila, dik?
Sampai bila kamu nak membujang? Bila kamu nak buka hati kamu tu? Kat luar tu,
tetamu dah melimpah ruah sampai ke luar. Tok imam pun dah sampai. Jangan buat
perangai lagi, dik. Kalau mama tahu, mesti mama naik angin.” Suhana Azreen cuba
memujuk.
“Tak mahu. Sasha
tak boleh teruskan.” Sasha Amira terus menggeleng sungguh-sungguh. Betapa dia
tidak sanggup meneruskan majlis yang meriah di luar.
Suhana Azreen tidak
tahan melihat keadaan adiknya. Pilu pula rasa hati. Hendak dibiarkan, kasihan.
Hendak ditolong, kasihan lagi pada mama dan papa. Memanglah salah fikirnya akan
tindakan Puan Damia yang memaksa. Tapi kalau sudah sampai ke hari langsung,
tiada apa lagi yang boleh mereka lakukan. Mana hendak sorok muka depan tetamu
yang datang? Lantas Suhana Azreen menggeleng.
“Tak boleh, dik.
Tak boleh...” sela Suhana Azreen sambil terus menggeleng. Kain yang dipegangnya
digulung dalam pelukan lalu disumbat masuk ke dalam almari. Kemudian tangan
Sasha Amira yang menarik-narik tubuhnya disambar. “Adik tak boleh buat macam
ni. Mengucap banyak-banyak. Ingat Tuhan, dik. Malu mama dan papa nanti.”
Pipi Sasha Amira
yang dibasahi air mata dikesat dengan jari. “Jangan menangis lagi, dik. Mama
bukan suruh kamu bunuh diri. Perkahwinan itu bukan sesuatu yang perlu kamu
takutkan, gerunkan mahupun bencikan. Perkahwinan adalah satu episod kehidupan
yang paling manis, paling bahagia dan yang akan menyempurnakan hidup kita. Ia
bukan beban tetapi nikmat Allah yang berikan pada kita.” Lembut Suhana Azreen
memujuk. Kemudian Suhana Azreen meminta Kak Saleha memperkemaskan solekan Sasha Amira.
Terkedek-kedek Kak
Saleha berlari ke arah Sasha Amira dengan alat solek yang memang sentiasa sedia
di tangan. Comot sedikit wajah Sasha Amira berbanding awal tadi. Wajah Sasha
Amira disolek semula seperti diminta.
Di luar kamar,
tiba-tiba saja riuh dengan suara. Suhana Azreen lekas bergerak ke pintu. Tidak
sempat dijengahnya ke luar, pintu sudah dikuak dari luar. Seketika, Puan Damia
muncul dari balik daun pintu. Ceria muka Puan Damia mendapatkan Sasha Amira. Di
belakang Puan Damia, Encik Rahim juga ada sama diikuti seorang lelaki separuh
abad dengan jubah putih dan berkopiah.
“Sasha, ni tok imam
nak tanya sikit,” beritahu Puan Damia kepada Sasha Amira yang terpaku. Tidak
lekang senyuman di wajah Puan Damia. Tangan Sasha Amira disambut lalu diajak
anak gadisnya itu duduk menyimpuh di lantai.
Dalam keterpaksaan,
Sasha Amira akur. Matanya melirik ke arah Suhana Azreen berkali-kali sepanjang
soal jawab dari Tok Imam. Dia cuba mendapatkan kekuatan untuk menempuh sangat-sangat
sukar ini.
No comments:
Post a Comment