Pages

Hi pembaca semua!!!

Terima kasih kerana datang melawat, membaca karya-karya dalam blog ini dan terima kasih juga kepada semua yang menyokong Yuri. Yuri rasa happy sangat dengan kehadiran korang dalam hidup mahupun alam maya Yuri ni.

Segala komen dan sokongan sentiasa dan akan terus membakar semangat Yuri untuk terus berkarya menggunakan nama pena ayu munawer.

Semua karya di dalam blog ini adalah ilusi, imaginasi serta daripada pengalaman hidup. Dan yang paling penting, semua karya di sini adalah hasil karya Yuri. Mohon supaya tiada copycat dekat sini... tqvm

Harap korang terus menyokong dan beri komen mahupun kritikan untuk Yuri memperbaiki sebarang kekurangan.

P/S: Untuk makluman, karya "Dia Si Jantung Hati" akan dihentikan penerbitannya di sini atas sebab rombakan besar-besaran plot cerita. Justeru itu, judulnya juga bakal berubah. Maaf atas sebarang kesulitan. Harap korang setia menunggu dan menyokong hasil rombakannya nanti okey ^^,
"Aku tak suka kau la" kini diterbitkan di penulisan2u dengan tajuk "JIWA KACAU"..saja nk tukar tajuk. Sebb yuri rasa cam lg sesuai je tajuk ni..lebih pendek n ringkas hehe ada ka yuri edit2 skit. Harap u all x kesah nk singgah baca :-)
Sudi-sudilah berkunjung ke official blogshop yuri di http://decodanmakan.blogspot.com yer. Walaupun rupanya masih macam blog biasa, yuri pun masih belajar lagi macam mana nak upgradekannya. Macam-macam ada. Nak tau apa yang ada, kenalah singgah.

Terima kasih (^^,)v

Saturday, January 26, 2013

dia si jantung hati: bab 26


Sasha Amira sudah tersedu-sedan dengan suara yang serak seakan susah payah benar dia mahu bersuara. Sepatah kata yang sampai ke telinga Zaimah, berjelar rasanya suara tangis kawannya itu.
Zaimah merenung Intan Nazira di sebelah dengan wajah gelisah. Asalnya Intan Nazira yang dihubungi Sasha Amira tapi Intan Nazira tidak mahu cakap banyak. Lantas diserahkan pada Zaimah. Zaimah pun tidak lepaskan peluang. Rindu juga pada Sasha Amira. Selepas dia balik dari bercuti di kampung, Sasha Amira pula tidak datang ke kolej. Sudah dua hari. Zaimah juga hendak tahu cerita tentang tunang palsu Sasha Amira. Apa cerita cik abang tu agaknya. Eii... Zaimah pula teruja tidak sabar.
Tapi dekat lima minit dia cuba mendengar cakap Sasha Amira tapi sepatah haram pun dia tidak faham. Hanya yang dapat didengar hanyalah suara tangis Sasha Amira dan raungan kawannya itu sekali sekala.
“Eh... eh... eh... cubalah kau cerita dekat aku betul-betul Cakap tu biar jelas. Aku tak fahamlah Sasha.”
Eii... makcik ni pun satu! Aku tengah sakit tekak, macam mana aku nak cakap dengan jelas.
“Aku kena paksa kahwin! Mama paksa aku kahwin!” Bersusah payah Sasha Amira memekik di telefon. Kalau tidak dengar juga tak tahulah.
“Kahwin?!” Zaimah mengulang separuh menjerit. Intan Nazira yang tadi buat tak tahu juga mula pasang telinga. Dia sibuk hendak merampas telefon dari telinga Zaimah. Tapi cepat saja tangan Zaimah menepis.
Ish, tadi dia yang bagi kat aku. Malas konon nak layan. Apa punya kawan da... Getusnya kurang senang.
“Aik! Selama ni kau boleh aje tolak. Kenapa sekarang kau melalak kat sini pula? Tolaklah lagi calon suami yang mama kau pilih tu!”
Sasha Amira rasa terpukul dengan kata-kata Zaimah. Pandai pula kawannya itu menyindir. Kena sebiji ke batang hidungnya. Ikut hati mahu juga Sasha Amira membantah seperti yang dilakukannya sebelum ini. Tapi kali ini bermacam benda yang menjadi caruman. Kunci kereta, duit poket, semuanya jadi taruhan. Tambahan pula Puan Damia lepaskan kata dua yang tidak mungkin dia bantah sebagai anak. Jika tidak mengikut kata, dialah anak derhaka. Huhu... siapa yang berani? Mahunya tidak menangis dekat sini.
“Dengan siapa?” soal Zaimah lagi setelah hanya tangisan Sasha Amira saja yang makin menggila di telinga. Muka Intan Nazira yang menghimpit di sebelah ditolak berkali-kali.
Ish, memang sibuk minah ni. Aku buka speaker on baru tahu! Karang satu kuliah pula dengar suara tangis Sasha Amira. Femes terus.
“Azrai...” jawab Sasha Amira dalam tangisan yang kian kuat. Namun masih dapat didengar butirnya oleh telinga Zaimah. Laju saja tawanya meletup.
Makin birat hati Sasha Amira mendengarnya. Berbirat dengan rasa sedih, kecewa, dan geram yang berbaur. Sampai hati Zaimah gelakkan waktu-waktu begini. Bukannya nak tolong buat sesuatu ke, atau sekurang-kurangnya tenangkan hatinya ini. Dan kalau boleh, Sasha Amira tidak mahu perkahwinan ini diteruskan tapi dia juga tidak mahu jadi anak derhaka. Pada saat ini, mahu saja dia menjerit ‘apa yang patut aku buat?’. Lari? Pura-pura jatuh sakit? Cari buah hati lain? Cari siapa saja asalkan bukan Saif Azrai yang dia tidak tahu asal usul lelaki itu.
Dulu, mama marah benar kalau Sasha Amira berkawan dengan orang yang tidak tahu perihal keluarganya. Mana asal usulnya. Tapi macamlah mama tahu asal usul Saif Azrai yang tiba-tiba hendak dikahwinkan dengan Sasha Amira. Dia makin tertekan. Dua tiga hari ini mama dan papa sibuk berbincang tentang hari perkahwinan. Nampak gayanya macam lelaki itu setuju dengan rancangan mama. Aiseh, apa lagi Sasha Amira hendak buat ni?
“Elok sangatlah tu. Korang pun kan memang rancang nak bertunang dari awal lagi. Hah, mama kau dah bagi restu dah pun. Ikutkan ajelah. Aku pun tak sabar nak jadi pengapit kau.”
Sekali lagi bagai hendak tercabut nyawa Sasha Amira mendengar yang Zaimah setuju seratus peratus akan perkahwinan. Siap pelawa diri jadi pengapit lagi. Ish, ada Sasha Amira minta?
Intan Nazira juga sudah hampir pitam. Siapa tunangan Sasha Amira. Kalau benarlah gerangan yang bermain di kotak fikirannya sekarang, habislah rancangan asalnya nanti. Lain yang diharap, lain pula yang jadi. Belum sempat dia merapati Saif Azrai, sudah dikebas kawan sendiri. Tak boleh jadi ni! Intan Nazira perlu bertindak. Rancangan harus diubah segera.
Zaimah pula tidak sudah-sudah tunjuk gembira. Diucapnya tahniah kepada Sasha Amira. Geram pula Intan Nazira tengok. Lekas-lekas dia rampas telefon dari pegangan Zaimah.
“Kau jangan risau, Sasha. Aku akan tolong kau nanti. Sekarang, kau ikut aje plan mama kau tu! Nanti tahulah aku apa nak buat!”
“Hei, apa pula yang kau nak buat ni? Benda yang baik tak elok dirosakkan!” Zaimah membantah tidak senang hati mendengar rencana Intan Nazira. Entah apalah yang dirancangkan kawannya yang seorang itu. Intan Nazira menunjuk jari telunjuk ke mukanya. Lantas memberi isyarat supaya Zaimah mengunci mulut.
Ah, sudah! Kawan-kawan aku ni dah hilang akal ke apa?



Izi Helmy ternganga. Susah hendak percaya berita yang disampaikan Saif Azrai. Sepupunya datang ke pejabat hari ini semata-mata menyampaikan berita pernikahannya. Dimintanya pula Izi Helmy menjadi saksi merangkap wakil pihaknya nanti.
“Bila tarikh nikahnya?” soal Izi Helmy sebelum setuju akan permintaan Saif Azrai. Memang dia berbesar hati hendak menjadi saksi sepupunya itu. Hendak jadi pengapit juga dia tidak akan menolak. Apa saja untuk perkahwinan Saif Azrai, sepupu paling akrabnya, cakap saja. Dia pasti akan kata okey di akhirnya.
“Jumaat malam ni.”
Memang mengejutkan. Tapi Jumaat? Jumaat yang mana?
“Jumaat... esok ke maknanya?”
Saif Azrai mengangguk perlahan. Terkulat-kulat saja muka sepupunya itu hendak menjawab. Tapi Izi Helmy tidak nafikan, sangat mengejut. Semua ni terlalu mengejut. Gila. Kurang 48 jam lagi hendak diijab kabulkan, baru sekarang beritahunya fasal berita baik ni.
“Papa dan mama kau?”
Saif Azrai hempas keluhan panjang. Tubuhnya dihenyak semula ke kerusi di depan Izi Helmy. Goyang ke kanan ke kiri sambil senyap berfikir. Izi Helmy seperti dapat menghidu hal yang kurang menyedapkan hati.
“Aku tak boleh nak beritahu papa mama sekaranglah. Takkan aku nak suruh papa dan mama balik tiba-tiba. Nanti bila diorang balik, aku bagitaulah.”
Memang gila! Izi Helmy ternganga lagi buat sekian kali.
“Kau biar betul, Dino! Kau tu dahlah satu-satunya anak diorang. Bukan selalu uncle dan auntie tengok anak sendiri nikah. Lainlah kalau kau rancang nak pasang dua tiga!” Tempelak Helmy bernada serius. Sempat lagi dia memberi cadangan yang lebih haru pada Saif Azrai.
Saif Azrai termenung. Kata-kata Izi Helmy ada benarnya. Memang sudah banyak kali ditimbang tara tentang hal itu dan setiap kali juga ditolaknya untuk memberitahu berita baik itu Datuk Rauf dan Datin Kistina. Ini memang berita baik, tapi juga berita yang bakal mengejutkan. Bagaimana harus dia beritahu? Tiba-tiba mahu mengahwini Sasha Amira tanpa memperkenalkannya terlebih dulu pada papa dan mama? Mungkin tidak apa, kerana gadis itu anak kenalan mereka. Tapi bagaimana pula hendak beritahu papa dan mama yang Puan Damia tidak tahu akan asal usulnya? Pada Puan Damia, Saif Azrai adalah yatim. Bila papa dan mama muncul depan mereka, pastinya Puan Damia terkejut.
Ah, mungkin cetek fikiran Saif Azrai kali ini. Cetek disedut rasa bahagia yang kian menjalar dalam hati. Sasha Amira yang dikejar-kejar hampir menjadi miliknya tanpa perlu berkerja lebih keras. Puan Damia sudah memudahkan semuanya. Tuhan membuka jalan untuknya. Saif Azrai sanggup melutut, memohon ampun dari papa dan mama kerana menyembunyikan hal ini. Suruhlah apa saja, dia rela dengan harapan papa dan mama tidak membenci Sasha Amira mahupun keluarga. Ini dosanya, biar dia sendiri yang tanggung.


"P/S: NAK DIORANG NI KAHWIN KE TAK? NAK KE TAK? EMM...."

Thursday, January 24, 2013

dia si jantung hati: bab 25


Usai makan malam, Encik Rahim berjalan ke luar. Hendak mengambil angin malam di laman rumah. Tidak kenyang rasa perutnya duduk di meja makan walaupun dihidang bermacam jenis makanan. Baru hendak menyuap nasi ke mulut, Puan Damia sudah menyuarakan hal tentang perkahwinan Sasha Amira dengan Saif Azrai. Bila tarikh pertunangannya, bila pula hari pernikahannya, siapa jemputan yang hendak dijemput sama meriahkan majlis, bila hendak beritahu pada anak-anak lain. Macam-macam lagi hal yang Puan Damia bangkitkan.
Bila diajak berbincang selepas selesai makan, mulalah tarik muka. Encik Rahim diamkan saja. Sepanjang hari Puan Damia cakap benda yang sama. Manalah anak nak turun makan sekali. Sakit kepala budak itu disumbat berita mengejut tiba-tiba. Siapa yang tidak tertekan?
Dalam keadaan yang separuh gelap, Encik Rahim berjalan ke arah pondok kecil yang dibinanya beberapa tahun lalu untuk menghiasi taman di sebelah kolam ikan gapi. Tapi kolam itu sudah hampir kering tanpa hidupan. Ditanamnya saja dengan pokok teratai bagi menutup kekosongan di kolam itu. Seminggu sekali Encik Rahim akan membersihkan kolam itu dan ditabur dengan ubat jejentik.
Dengan hanya bertemankan serpihan cahaya lampu dari belakang rumahnya, Encik Rahim nampak ada seseorang di pondok. Selalunya Sasha Amira suka menghabiskan masa di situ tapi yang ada sekarang Encik Rahim kenal, bukan anak perempuannya.
Perlahan-lahan Encik Rahim melangkah ke sana lalu duduk di hujung pondok. Mukanya mendongak ke langit seketika. Beberapa ketika, beralih kepada orang yang duduk di sebelah. Encik Rahim tersenyum kelat.
“Macam mana pak cik?” Sejak perbincangan tentang projek pembesaran kilang Encik Rahim tempoh hari, Saif Azrai tidak lagi memanggil Encik Rahim dengan pangkat Encik. Daripada mengikut cadangan Izi Helmy untuk memanggil papa, dia lebih selesa memanggil pak cik. Apatah lagi Puan Damia memang sudah biasakan dirinya sebagai mak cik sejak awal dulu. Tapi mungkinkah tidak lama lagi terpaksa Saif Azrai memanggil Encik Rahim papa?
Encik Rahim menundukkan kepala. Memandang tanah lalu menggeleng hampa.
“Apa patut saya buat, pak cik?” Saif Azrai serba salah. Memang Encik Rahim sudah tahu isi hatinya. Semuanya sudah dibongkarkan tempoh hari. Sejujurnya dia ikhlas pada Sasha Amira tapi kalau dengan cara begini, dia juga bingung. Patutkah diteruskan?
Encik Rahim diam. Lama Encik Rahim membiarkan Saif Azrai berdebar menanti jawapan.
“Saya memang ikhlas pada Sasha tapi saya tak pasti kalau mengejut macam ni, bolehkah Sasha terima saya?” Saif Azrai bersuara lagi. Mengharapkan soalannya tadi berjawab, dia sendiri resah menunggu.
Seketika Encik Rahim menganggukkan kepala tanda faham. “Pak cik faham. Pak cik juga tahu perkara ni serius, susah untuk kamu berdua terima. Tapi, nampaknya pak cik pun tak boleh nak kata apa lagi. Mak cik tetap dengan keputusan dia. Apapun, segalanya terletak di tangan kamu. Kalau kamu setuju, sanggup nak pikul tanggungjawab sebagai suami Sasha, menjadilah kehendak mak cik. Kalau kamu tak bersedia, masakan mak cik nak paksa...”
Saif Azrai menerima kata-kata Encik Rahim sebagai satu nasihat. Tapi kalau pun dia tidak menyetujui cadangan itu sekaligus menolak diri Sasha Amira, bagaimana jikalau Puan Damia mencari pengganti lain? Bagaimana jika Puan Damia bertekad benar hendak menikahkan anaknya itu?
Kalau diikutkan suka, Saif Azrai rela mengikut telunjuk Puan Damia. Memuaskan hati wanita itu dengan menikahi Sasha Amira. Tambahan pula memang itu niat asalnya masuk dalam pengaruh keluarga itu. Untuk memiliki gadis itu. Tapi dalam keadaan sekarang, belum sempat dia memberitahu Datin Kistina dengan jujurnya tentang perasaannya. Hanya Datuk Rauf saja yang sedia maklum. Itupun, kedua-duanya tiada di tanah air buat masa sekarang. Puan Damia pula tidak tahu menahu langsung tentang asal-usulnya Saif Azrai. Disangkanya pula diri Saif Azrai sebagai anak yatim sedangkan itu cuma salah fahaman.
Ah, mama dan papa boleh dia beritahu kemudian barangkali. Dari segi hukum, pernikahannya sah walaupun tanpa mama mahupun papa kerana dia berada di pihak lelaki. Kalau hendak beritahu pada mama dan papa sekarang, mungkin terlalu mengejut. Takut-takut perang besar mama tidak sabar mahu pulang ke Malaysia.
Saif Azrai menarik nafas sedalam mungkin. Dia cuba menenangkan hati yang tadi terasa sesak. Fikirannya yang asyik berfikir bermacam perkara juga ditepis sedikit demi sedikit. Dia perlu berlapang dada.
Ya Allah, jika apa yang aku buat ini betul, Kau pimpinlah hambaMu ini untuk mendukung tanggungjawab yang diberi.
“Saya sanggup dan sedia untuk memikul tanggungjawab, pak cik. Mungkin Allah yang buka jalan untuk saya memiliki Sasha dengan cara yang halal. Insya Allah dengan izinNya, Dia juga akan buka jalan untuk saya memiliki hatinya kelak. Kalau itu yang sudah tertulis, saya terima. Asalkan pak cik dan mak cik percaya pada saya untuk membimbing Sasha.”
Encik Rahim mendepangkan tangan lantas memeluk tubuh Saif Azrai. “Terima kasih, nak... kerana sudi mengambil anak kami sebagai suri dalam hidup kamu walaupun kami sedar banyak kekurangannya Sasha Amira sebab kurangnya bimbingan kami. Pak cik memang harap kamu yang dijadikan olehNya untuk mengubah dia menjadi wanita soleha.”
Tiba-tiba Saif Azrai rasa pilu mendengar bait kata Encik Rahim. Pelukan Encik Rahim dibalas dengan mesra. Seketika dilepaskan lalu Saif Azrai menayang senyum penuh kesyukuran. “Saya berterima kasih sebenarnya pada mak cik. Tanpa tahu asal usul saya, mak cik percaya bulat-bulat pada saya dengan menyerahkan Sasha Amira pada saya. Insya Allah saya tak akan sia-siakan kepercayaan yang pak cik dan mak cik beri.”

Tuesday, January 22, 2013

dia si jantung hati: bab 24


Encik Rahim terpinga-pinga mendengar suara isterinya bagai peluru berpandu menusuk ke telinga. Baru saja dia keluar dari kereta, belum sempat masuk ke dalam rumah, Puan Damia sudah menyambut bersama cakapnya yang tidak henti-henti. Sampaikan Encik Rahim sendiri tidak dapat menangkap pokok pangkal cerita Puan Damia.
“Eh nanti... nanti. Bawa bersabar.” Encik Rahim cuba menenangkan isterinya. Mati serta-merta cakap Puan Damia. Namun dadanya yang berombak masih belum reda. Mulutnya terkumat-kamit, wajahnya herot seakan tidak sabar melepaskan semua yang berbuku di hati. “Pagi-pagi dah telefon saya suruh balik segera kenapa? Apa halnya? Cuba cerita perlahan-lahan. Bukan macam kereta api tak ada brek.” Encik Rahim mengajak isterinya masuk ke dalam rumah terlebih dulu. Tapi Puan Damia sudah tidak sabar menunggu.
“Kita kahwinkan aje anak kita tu, bang!”
Terkejut Encik Rahim bukan kepalang. Terhenti langkahnya sama di tengah jalan menuju ke ruang tamu. Buat perangai lagi isterinya itu. Ini bukan kali pertama dia mendengar cadangan itu keluar dari mulut Puan Damia.
“Anak kita tu dah tak mahu belajar. Asyik nak berhenti. Baik kita kahwinkan aje dia.” Ujar Puan Damia beria. Marahnya menggunung di dada. Bukan muda lagi Sasha Amira yang asyik hendak berhenti belajar. Kalau tidak minat hendak meneruskan belajar, lebih baik kahwin saja daripada menghabiskan duit tai belajar tidak pernah habis. Hati ibu mana yang tidak terkilan bila anak dara mereka tidak langsung memikirkan soal masa depan.
“Sasha nak berhenti lagi?” soal Encik Rahim inginkan kepastian.
“Kalau abang tak percaya, abang tanyalah pada anak abang tu sendiri.” Puan Damia terhentak-hentak meniti anak tangga naik ke atas. Dibawanya Encik Rahim bersama menuju ke kamar anak gadisnya.
Kali ini Puan Damia tidak lagi mengetuk pintu sebelum masuk. Terus saja ditolak pintu itu luas-luas dengan muka marah. Sasha Amira yang baru selesai menyisir rambut terkejut melihat papa dan mama tercegul depan muka pintu biliknya. Sikat di tangan digenggam kemas.



“Hai, Intan!” Zaimah menepuk Intan Nazira dari belakang. Serentak kawannya itu menoleh dengan renungan tajam. Zaimah membalas dengan senyum lebar lalu terus ambil tempat di sebelah Intan Nazira.
Amboi! Minah ni, datang saja nak buat orang sakit jantung. Tak retikah nak beri salam.
“Lama cuti.” Intan Nazira menegur pendek.
Zaimah tersenyum-senyum lagi. Tangannya menyeluk beg kemudian sebuah bekas makanan dibawa keluar dan diletakkan depan Intan Nazira. “Mak ayah aku baru balik Mekah. Ada kenduri sikit. Ni, aku bawakan buah tangan untuk kau dan Sasha.” Lebih seminggu Zaimah mengambil cuti untuk menyambut kepulangan kedua orang tuanya yang selesai mengerjakan haji. Dua malam mereka membuat kenduri kesyukuran. Tanda syukur kerana kedua orang tuanya selamat mengerjakan rukun islam yang kelima itu dan selamat juga pulang ke tanah air hingga ke kampung halaman.
“Eh, mana Sasha? Tak nampak dia pun.” Baru Zaimah perasan akan ketiadaan Sasha Amira di sisi Intan Nazira. Dia mencari-cari di sekitar dewan kuliah. Beg Sasha Amira juga tiada di sebelah. “Pergi tandas ke belum sampai?” soalnya lagi.
“Demam,” jawab Intan Nazira pendek. Bekas berisi penuh bermacam jenis kacang, kurma dan kismis dari Mekah dibelek dengan jari. Sebiji demi sebiji disuap ke dalam mulut.
“Demam?!” ulang Zaimah hampir menjerit. Matanya dibulatkan. Intan Nazira tidak menjawab buat kali kedua. Dia sekadar mengiakan dengan anggukan kepala.



Sasha Amira menghempas nafas panjang. Semua telahan mamanya ditepis dengan melayangkan tapak tangan. Dia cuba bersuara, tapi suaranya masih tenggelam timbul. Makin perit jadinya. Encik Rahim sudah menekan-nekan kepala. Saif Azrai juga ada bersama, dipanggil mama beberapa minit lalu. Entah kenapa, untuk apa dipanggilnya lelaki itu Sasha Amira tidak tahu. Apa yang pasti, dia rasa tidak sedap hati. Semuanya berkumpul di bilik Sasha Amira seperti ada mesyuarat tergempar. Tapi masing-masing berdiri pada jarak yang agak jauh.
“Mama carikan calon suami untuk kamu selama ni, kamu tak mahu. Kalau dah malas sangat nak belajar, buat apa pun semuanya separuh jalan, hah kahwin ajelah senang. Mama pun tak payah lagi pening-pening kepala.” Puan Damia asyik mengulang hal yang sama. Sasha Amira masih cuba melayangkan tangannya, cuba membantah. Tapi masih tidak berhasil mendapatkan perhatian Puan Damia.
“Ni hah! Azrai ni pun boleh dibuat suami kamu!” Puan Damia menarik tangan Saif Azrai lalu dibawa ke depan. Terpinga-pinga lelaki itu dibuat mama. Sasha Amira usah dibayangkan reaksinya. Tentu saja dia terkejut besar bila mama mencadangkan Saif Azrai sebagai calon suami terbaru. Baru saja dia rasa lega sebab Puan Damia tidak lagi merancang untuk menemukan dia dengan mana-mana lelaki. Tapi sekarang....
“Mama...” Dengan suara serak bak angsa, Sasha Amira membantah. “Sasha tak kata pun nak berhenti belajar. Mama aje yang percaya cakap Intan tu bulat-bulat. Sasha cuma nak berhenti dari teater aje. Sebab Sasha tak nak berlakon dengan Azam.”
“Azam? Siapa Azam?” Puan Damia melingas memandang setiap orang. Tidak lama, Puan Damia sendiri yang ingat akan budak bernama Azam yang dimaksudkan anaknya. “Oh, budak Azam teater tu? Yang kamu dok berlakon sama dua tahun lepas? Hah! Elok sangatlah tu kamu berhenti. Mama pun tak suka kamu dengan budak Azam tu. Rambut berkarat, serabut macam orang bangun tidur. Lebih baik kamu ikut cakap mama daripada bercampur dengan budak tak semenggah tu!”
Berkerut seribu wajah Sasha Amira tidak mengerti. Hingga ke situ pula mamanya fikir sedangkan dia langsung tidak ada perasaan pada Kairel Azam. Puan Damia sudah menggila marahnya. Walau Sasha Amira cuba jelaskan, Puan Damia tidak beri peluang.
“Azrai, kamu hantar rombongan meminang lekas. Mak cik tak larat nak jaga Sasha ni sampai ke tua.”
“Astaghfirullah alazim. Mengucaplah Mia. Kenapa tiba-tiba pula nak paksa budak-budak ni kahwin. Sasha dah kata kan dia bukannya nak berhenti belajar. Dia cuma berhenti dari teater saja. Apa yang kalut sangat?” Encik Rahim mendapatkan Puan Damia. Belakang Puan Damia dielus perlahan, cuba menenangkan isterinya itu.
“Dah banyak kali bang dia buat perangai macam ni. Mula-mula berhenti dari kelab. Lepas tu, berhenti belajar pula. Sekarang ni nak buat perangai lamalah tu. Tak sedar diri tu dah makin tua. Takkan nak dibiarkan aje bang.”
“Habis tu, yang awak paksa dia kahwin ni betulkah gayanya?”
“Ish, abang jangan nak buat macam saya ni buat salah depan anak. Saya tahu apa yang saya buat. Azrai, mak cik tak kira. Kamu kena hantar juga rombongan meminang anak mak cik ni. Kamu pun dah masak dengan perangai si Sasha tu.”
Saif Azrai tergamam. Encik Rahim sudah mati kutu. Puan Damia tetap dengan pendiriannya. Mulutnya terus berleterkan Sasha Amira, memberi peringatan itu dan ini hingga terpaku anaknya itu.
Parents saya sebenarnya... tak ada...”
Tumpuan Puan Damia kembali kepada Saif Azrai. Wajahnya yang tegang tadi perlahan-lahan berubah kendur. “Maafkan mak cik. Mak cik tak tahu yang kamu anak yatim. Tak apalah. Kamu tak perlu hantar rombongan pun tak apa. Boleh diijabkan aje terus.”
Saif Azrai terpempan lagi. Wajah Encik Rahim dilihat. Hilang kata-katanya untuk diucapkan walaupun dia mahu beritahu hal yang sebenar. Nampaknya Puan Damia tidak tahu lagi berkenaan hal dirinya. Mungkin pada Puan Damia juga Encik Rahim tidak bercerita tentang perjumpaan mereka sebelum ini. Aduh, habislah dia kali ni!
“Kamu jangan degil cakap mama lagi. Kali ni kamu tak boleh lari mana dah! Alang-alang kamu dah tak mahu belajar, kunci kereta kamu pun mama yang pegang!” Puan Damia beralih semula kepada Sasha Amira. Setelah memberi kata dua, Puan Damia bergegas keluar dengan dada yang berombak kuat.
Encik Rahim dan Saif Azrai saling merenung. Kemudian sama-sama melihat Sasha Amira yang sudah terjelepuk ke lantai.
“Apa kena pula dengan mama kamu tu? Tak apalah, nanti bila marah mama reda, papa akan cuba bercakap dengan mama baik-baik.” Encik Rahim cuba memujuk. Bahu anaknya ditepuk perlahan. Dengan berat hati, Encik Rahim meninggalkan Sasha Amira sendiri.
Saif Azrai juga diajak keluar bersama. Ada perkara yang Encik Rahim perlu bincangkan nanti. Mungkin juga lelaki itu terkejut. Biarlah semuanya reda dahulu. Encik Rahim akan berbincang semula dengan Puan Damia yang entah apa angin gilanya hari ini. Buat semua orang dalam rumah ini pening kepala.