Encik Rahim
terpinga-pinga mendengar suara isterinya bagai peluru berpandu menusuk ke telinga.
Baru saja dia keluar dari kereta, belum sempat masuk ke dalam rumah, Puan Damia
sudah menyambut bersama cakapnya yang tidak henti-henti. Sampaikan Encik Rahim
sendiri tidak dapat menangkap pokok pangkal cerita Puan Damia.
“Eh nanti... nanti.
Bawa bersabar.” Encik Rahim cuba menenangkan isterinya. Mati serta-merta cakap
Puan Damia. Namun dadanya yang berombak masih belum reda. Mulutnya
terkumat-kamit, wajahnya herot seakan tidak sabar melepaskan semua yang berbuku
di hati. “Pagi-pagi dah telefon saya suruh balik segera kenapa? Apa halnya?
Cuba cerita perlahan-lahan. Bukan macam kereta api tak ada brek.” Encik Rahim
mengajak isterinya masuk ke dalam rumah terlebih dulu. Tapi Puan Damia sudah
tidak sabar menunggu.
“Kita kahwinkan aje
anak kita tu, bang!”
Terkejut Encik
Rahim bukan kepalang. Terhenti langkahnya sama di tengah jalan menuju ke ruang
tamu. Buat perangai lagi isterinya itu. Ini bukan kali pertama dia mendengar
cadangan itu keluar dari mulut Puan Damia.
“Anak kita tu dah
tak mahu belajar. Asyik nak berhenti. Baik kita kahwinkan aje dia.” Ujar Puan
Damia beria. Marahnya menggunung di dada. Bukan muda lagi Sasha Amira yang
asyik hendak berhenti belajar. Kalau tidak minat hendak meneruskan belajar,
lebih baik kahwin saja daripada menghabiskan duit tai belajar tidak pernah
habis. Hati ibu mana yang tidak terkilan bila anak dara mereka tidak langsung
memikirkan soal masa depan.
“Sasha nak berhenti
lagi?” soal Encik Rahim inginkan kepastian.
“Kalau abang tak
percaya, abang tanyalah pada anak abang tu sendiri.” Puan Damia
terhentak-hentak meniti anak tangga naik ke atas. Dibawanya Encik Rahim bersama
menuju ke kamar anak gadisnya.
Kali ini Puan Damia
tidak lagi mengetuk pintu sebelum masuk. Terus saja ditolak pintu itu luas-luas
dengan muka marah. Sasha Amira yang baru selesai menyisir rambut terkejut
melihat papa dan mama tercegul depan muka pintu biliknya. Sikat di tangan
digenggam kemas.
“Hai, Intan!”
Zaimah menepuk Intan Nazira dari belakang. Serentak kawannya itu menoleh dengan
renungan tajam. Zaimah membalas dengan senyum lebar lalu terus ambil tempat di
sebelah Intan Nazira.
Amboi! Minah ni,
datang saja nak buat orang sakit jantung. Tak retikah nak beri salam.
“Lama cuti.” Intan
Nazira menegur pendek.
Zaimah
tersenyum-senyum lagi. Tangannya menyeluk beg kemudian sebuah bekas makanan
dibawa keluar dan diletakkan depan Intan Nazira. “Mak ayah aku baru balik
Mekah. Ada kenduri sikit. Ni, aku bawakan buah tangan untuk kau dan Sasha.”
Lebih seminggu Zaimah mengambil cuti untuk menyambut kepulangan kedua orang
tuanya yang selesai mengerjakan haji. Dua malam mereka membuat kenduri
kesyukuran. Tanda syukur kerana kedua orang tuanya selamat mengerjakan rukun
islam yang kelima itu dan selamat juga pulang ke tanah air hingga ke kampung
halaman.
“Eh, mana Sasha?
Tak nampak dia pun.” Baru Zaimah perasan akan ketiadaan Sasha Amira di sisi
Intan Nazira. Dia mencari-cari di sekitar dewan kuliah. Beg Sasha Amira juga
tiada di sebelah. “Pergi tandas ke belum sampai?” soalnya lagi.
“Demam,” jawab
Intan Nazira pendek. Bekas berisi penuh bermacam jenis kacang, kurma dan kismis
dari Mekah dibelek dengan jari. Sebiji demi sebiji disuap ke dalam mulut.
“Demam?!” ulang
Zaimah hampir menjerit. Matanya dibulatkan. Intan Nazira tidak menjawab buat
kali kedua. Dia sekadar mengiakan dengan anggukan kepala.
Sasha Amira
menghempas nafas panjang. Semua telahan mamanya ditepis dengan melayangkan
tapak tangan. Dia cuba bersuara, tapi suaranya masih tenggelam timbul. Makin
perit jadinya. Encik Rahim sudah menekan-nekan kepala. Saif Azrai juga ada
bersama, dipanggil mama beberapa minit lalu. Entah kenapa, untuk apa
dipanggilnya lelaki itu Sasha Amira tidak tahu. Apa yang pasti, dia rasa tidak
sedap hati. Semuanya berkumpul di bilik Sasha Amira seperti ada mesyuarat
tergempar. Tapi masing-masing berdiri pada jarak yang agak jauh.
“Mama carikan calon
suami untuk kamu selama ni, kamu tak mahu. Kalau dah malas sangat nak belajar,
buat apa pun semuanya separuh jalan, hah kahwin ajelah senang. Mama pun tak
payah lagi pening-pening kepala.” Puan Damia asyik mengulang hal yang sama.
Sasha Amira masih cuba melayangkan tangannya, cuba membantah. Tapi masih tidak
berhasil mendapatkan perhatian Puan Damia.
“Ni hah! Azrai ni
pun boleh dibuat suami kamu!” Puan Damia menarik tangan Saif Azrai lalu dibawa
ke depan. Terpinga-pinga lelaki itu dibuat mama. Sasha Amira usah dibayangkan
reaksinya. Tentu saja dia terkejut besar bila mama mencadangkan Saif Azrai
sebagai calon suami terbaru. Baru saja dia rasa lega sebab Puan Damia tidak
lagi merancang untuk menemukan dia dengan mana-mana lelaki. Tapi sekarang....
“Mama...” Dengan
suara serak bak angsa, Sasha Amira membantah. “Sasha tak kata pun nak berhenti
belajar. Mama aje yang percaya cakap Intan tu bulat-bulat. Sasha cuma nak
berhenti dari teater aje. Sebab Sasha tak nak berlakon dengan Azam.”
“Azam? Siapa Azam?”
Puan Damia melingas memandang setiap orang. Tidak lama, Puan Damia sendiri yang
ingat akan budak bernama Azam yang dimaksudkan anaknya. “Oh, budak Azam teater
tu? Yang kamu dok berlakon sama dua
tahun lepas? Hah! Elok sangatlah tu kamu berhenti. Mama pun tak suka kamu
dengan budak Azam tu. Rambut berkarat, serabut macam orang bangun tidur. Lebih
baik kamu ikut cakap mama daripada bercampur dengan budak tak semenggah tu!”
Berkerut seribu
wajah Sasha Amira tidak mengerti. Hingga ke situ pula mamanya fikir sedangkan
dia langsung tidak ada perasaan pada Kairel Azam. Puan Damia sudah menggila
marahnya. Walau Sasha Amira cuba jelaskan, Puan Damia tidak beri peluang.
“Azrai, kamu hantar
rombongan meminang lekas. Mak cik tak larat nak jaga Sasha ni sampai ke tua.”
“Astaghfirullah
alazim. Mengucaplah Mia. Kenapa tiba-tiba pula nak paksa budak-budak ni kahwin.
Sasha dah kata kan dia bukannya nak berhenti belajar. Dia cuma berhenti dari
teater saja. Apa yang kalut sangat?” Encik Rahim mendapatkan Puan Damia.
Belakang Puan Damia dielus perlahan, cuba menenangkan isterinya itu.
“Dah banyak kali
bang dia buat perangai macam ni. Mula-mula berhenti dari kelab. Lepas tu,
berhenti belajar pula. Sekarang ni nak buat perangai lamalah tu. Tak sedar diri
tu dah makin tua. Takkan nak dibiarkan aje bang.”
“Habis tu, yang
awak paksa dia kahwin ni betulkah gayanya?”
“Ish, abang jangan
nak buat macam saya ni buat salah depan anak. Saya tahu apa yang saya buat.
Azrai, mak cik tak kira. Kamu kena hantar juga rombongan meminang anak mak cik
ni. Kamu pun dah masak dengan perangai si Sasha tu.”
Saif Azrai
tergamam. Encik Rahim sudah mati kutu. Puan Damia tetap dengan pendiriannya.
Mulutnya terus berleterkan Sasha Amira, memberi peringatan itu dan ini hingga
terpaku anaknya itu.
“Parents saya sebenarnya... tak ada...”
Tumpuan Puan Damia
kembali kepada Saif Azrai. Wajahnya yang tegang tadi perlahan-lahan berubah
kendur. “Maafkan mak cik. Mak cik tak tahu yang kamu anak yatim. Tak apalah.
Kamu tak perlu hantar rombongan pun tak apa. Boleh diijabkan aje terus.”
Saif Azrai
terpempan lagi. Wajah Encik Rahim dilihat. Hilang kata-katanya untuk diucapkan
walaupun dia mahu beritahu hal yang sebenar. Nampaknya Puan Damia tidak tahu
lagi berkenaan hal dirinya. Mungkin pada Puan Damia juga Encik Rahim tidak
bercerita tentang perjumpaan mereka sebelum ini. Aduh, habislah dia kali ni!
“Kamu jangan degil
cakap mama lagi. Kali ni kamu tak boleh lari mana dah! Alang-alang kamu dah tak
mahu belajar, kunci kereta kamu pun mama yang pegang!” Puan Damia beralih
semula kepada Sasha Amira. Setelah memberi kata dua, Puan Damia bergegas keluar
dengan dada yang berombak kuat.
Encik Rahim dan
Saif Azrai saling merenung. Kemudian sama-sama melihat Sasha Amira yang sudah
terjelepuk ke lantai.
“Apa kena pula
dengan mama kamu tu? Tak apalah, nanti bila marah mama reda, papa akan cuba
bercakap dengan mama baik-baik.” Encik Rahim cuba memujuk. Bahu anaknya ditepuk
perlahan. Dengan berat hati, Encik Rahim meninggalkan Sasha Amira sendiri.
Saif Azrai juga
diajak keluar bersama. Ada perkara yang Encik Rahim perlu bincangkan nanti. Mungkin
juga lelaki itu terkejut. Biarlah semuanya reda dahulu. Encik Rahim akan
berbincang semula dengan Puan Damia yang entah apa angin gilanya hari ini. Buat
semua orang dalam rumah ini pening kepala.
No comments:
Post a Comment