Usai makan malam,
Encik Rahim berjalan ke luar. Hendak mengambil angin malam di laman rumah.
Tidak kenyang rasa perutnya duduk di meja makan walaupun dihidang bermacam
jenis makanan. Baru hendak menyuap nasi ke mulut, Puan Damia sudah menyuarakan
hal tentang perkahwinan Sasha Amira dengan Saif Azrai. Bila tarikh
pertunangannya, bila pula hari pernikahannya, siapa jemputan yang hendak
dijemput sama meriahkan majlis, bila hendak beritahu pada anak-anak lain.
Macam-macam lagi hal yang Puan Damia bangkitkan.
Bila diajak
berbincang selepas selesai makan, mulalah tarik muka. Encik Rahim diamkan saja.
Sepanjang hari Puan Damia cakap benda yang sama. Manalah anak nak turun makan
sekali. Sakit kepala budak itu disumbat berita mengejut tiba-tiba. Siapa yang
tidak tertekan?
Dalam keadaan yang
separuh gelap, Encik Rahim berjalan ke arah pondok kecil yang dibinanya
beberapa tahun lalu untuk menghiasi taman di sebelah kolam ikan gapi. Tapi
kolam itu sudah hampir kering tanpa hidupan. Ditanamnya saja dengan pokok
teratai bagi menutup kekosongan di kolam itu. Seminggu sekali Encik Rahim akan
membersihkan kolam itu dan ditabur dengan ubat jejentik.
Dengan hanya
bertemankan serpihan cahaya lampu dari belakang rumahnya, Encik Rahim nampak
ada seseorang di pondok. Selalunya Sasha Amira suka menghabiskan masa di situ
tapi yang ada sekarang Encik Rahim kenal, bukan anak perempuannya.
Perlahan-lahan
Encik Rahim melangkah ke sana lalu duduk di hujung pondok. Mukanya mendongak ke
langit seketika. Beberapa ketika, beralih kepada orang yang duduk di sebelah.
Encik Rahim tersenyum kelat.
“Macam mana pak
cik?” Sejak perbincangan tentang projek pembesaran kilang Encik Rahim tempoh
hari, Saif Azrai tidak lagi memanggil Encik Rahim dengan pangkat Encik.
Daripada mengikut cadangan Izi Helmy untuk memanggil papa, dia lebih selesa
memanggil pak cik. Apatah lagi Puan Damia memang sudah biasakan dirinya sebagai
mak cik sejak awal dulu. Tapi mungkinkah tidak lama lagi terpaksa Saif Azrai
memanggil Encik Rahim papa?
Encik Rahim
menundukkan kepala. Memandang tanah lalu menggeleng hampa.
“Apa patut saya
buat, pak cik?” Saif Azrai serba salah. Memang Encik Rahim sudah tahu isi
hatinya. Semuanya sudah dibongkarkan tempoh hari. Sejujurnya dia ikhlas pada
Sasha Amira tapi kalau dengan cara begini, dia juga bingung. Patutkah
diteruskan?
Encik Rahim diam.
Lama Encik Rahim membiarkan Saif Azrai berdebar menanti jawapan.
“Saya memang ikhlas
pada Sasha tapi saya tak pasti kalau mengejut macam ni, bolehkah Sasha terima
saya?” Saif Azrai bersuara lagi. Mengharapkan soalannya tadi berjawab, dia
sendiri resah menunggu.
Seketika Encik
Rahim menganggukkan kepala tanda faham. “Pak cik faham. Pak cik juga tahu
perkara ni serius, susah untuk kamu berdua terima. Tapi, nampaknya pak cik pun
tak boleh nak kata apa lagi. Mak cik tetap dengan keputusan dia. Apapun,
segalanya terletak di tangan kamu. Kalau kamu setuju, sanggup nak pikul
tanggungjawab sebagai suami Sasha, menjadilah kehendak mak cik. Kalau kamu tak
bersedia, masakan mak cik nak paksa...”
Saif Azrai menerima
kata-kata Encik Rahim sebagai satu nasihat. Tapi kalau pun dia tidak menyetujui
cadangan itu sekaligus menolak diri Sasha Amira, bagaimana jikalau Puan Damia
mencari pengganti lain? Bagaimana jika Puan Damia bertekad benar hendak
menikahkan anaknya itu?
Kalau diikutkan
suka, Saif Azrai rela mengikut telunjuk Puan Damia. Memuaskan hati wanita itu
dengan menikahi Sasha Amira. Tambahan pula memang itu niat asalnya masuk dalam
pengaruh keluarga itu. Untuk memiliki gadis itu. Tapi dalam keadaan sekarang,
belum sempat dia memberitahu Datin Kistina dengan jujurnya tentang perasaannya.
Hanya Datuk Rauf saja yang sedia maklum. Itupun, kedua-duanya tiada di tanah
air buat masa sekarang. Puan Damia pula tidak tahu menahu langsung tentang
asal-usulnya Saif Azrai. Disangkanya pula diri Saif Azrai sebagai anak yatim
sedangkan itu cuma salah fahaman.
Ah, mama dan papa
boleh dia beritahu kemudian barangkali. Dari segi hukum, pernikahannya sah
walaupun tanpa mama mahupun papa kerana dia berada di pihak lelaki. Kalau
hendak beritahu pada mama dan papa sekarang, mungkin terlalu mengejut.
Takut-takut perang besar mama tidak sabar mahu pulang ke Malaysia.
Saif Azrai menarik
nafas sedalam mungkin. Dia cuba menenangkan hati yang tadi terasa sesak.
Fikirannya yang asyik berfikir bermacam perkara juga ditepis sedikit demi
sedikit. Dia perlu berlapang dada.
Ya Allah, jika apa
yang aku buat ini betul, Kau pimpinlah hambaMu ini untuk mendukung
tanggungjawab yang diberi.
“Saya sanggup dan
sedia untuk memikul tanggungjawab, pak cik. Mungkin Allah yang buka jalan untuk
saya memiliki Sasha dengan cara yang halal. Insya Allah dengan izinNya, Dia
juga akan buka jalan untuk saya memiliki hatinya kelak. Kalau itu yang sudah
tertulis, saya terima. Asalkan pak cik dan mak cik percaya pada saya untuk
membimbing Sasha.”
Encik Rahim mendepangkan
tangan lantas memeluk tubuh Saif Azrai. “Terima kasih, nak... kerana sudi
mengambil anak kami sebagai suri dalam hidup kamu walaupun kami sedar banyak
kekurangannya Sasha Amira sebab kurangnya bimbingan kami. Pak cik memang harap
kamu yang dijadikan olehNya untuk mengubah dia menjadi wanita soleha.”
Tiba-tiba Saif
Azrai rasa pilu mendengar bait kata Encik Rahim. Pelukan Encik Rahim dibalas
dengan mesra. Seketika dilepaskan lalu Saif Azrai menayang senyum penuh
kesyukuran. “Saya berterima kasih sebenarnya pada mak cik. Tanpa tahu asal usul
saya, mak cik percaya bulat-bulat pada saya dengan menyerahkan Sasha Amira pada
saya. Insya Allah saya tak akan sia-siakan kepercayaan yang pak cik dan mak cik
beri.”
No comments:
Post a Comment