Bangun pagi ini,
perut Sasha Amira rancak berkeroncong. Nasib baik masih ada roti dan susu yang
Saif Azrai belikan semalam. Malam tadi jual mahal. Sekarang, tidak langsung
hendak berkongsi walaupun Saif Azrai acah minta sedikit.
Lepas perut
kenyang, Sasha Amira sambung tidur. Tapi jangan harap Saif Azrai hendak beri
peluang. Alang-alang sudah datang sini katanya, ada tempat lain yang hendak
dibawanya. Bagasi mereka Saif Azrai sudah siap kemaskan. Pakaian Sasha Amira
juga licin bergosok. Aik! Terbalik pula. Patutnya Sasha Amira yang buat semua
itu. Emm.. bukannya Sasha Amira yang mengarah kan. Tapi cuma sehelai T-shirt
dengan seluar trek saja? Alahai. Bila Sasha Amira berkeras hendakkan baju lagi,
cepat-cepat Saif Azrai bawa lari bagasi. Apa hal pula ni?
Jam baru pukul
lapan pagi, Saif Azrai sudah angkut bagasi dan mengajak Sasha Amira check out bilik. Awalnya! Hendak tidak
hendak diikutkan juga. Takkan hendak tinggal seorang dalam bilik ni. Bukannya
dia bawa duit banyak. Kad kredit pun sudah lama mama ambil sejak mama ugut
hendak potong duit poket dulu.
Sasha Amira ikut
Saif Azrai ke parkir. Bagasi dan beg kitabnya disimpan dalam kereta. Sebelum
daftar keluar, mereka sarapan pagi dulu di Rajawali Coffee House sekali lagi.
Yes! Isi perut lagi. Perut Sasha Amira belum cukup kenyang
menjamah roti sebungkus kecil. Pertama kali dia begitu teruja menjejakkan kaki
ke restoran itu. Tidak sabar mahu melihat menu apa yang dihidangkan pagi ini.
Emm... nasi lemak,
kegemaran Sasha Amira. Cepat-cepat Sasha Amira ambil pinggan. Disenduknya nasi
lemak penuh dalam pinggannya. Sambal dua tiga sudu. Lagi pedas, lagi Sasha
Amira suka. Kacang goreng tak mahu. Jerawat di muka mesti naik setiap kali dia
makan kacang. Lebih baik elakkan. Ikan bilis ambil banyak-banyak. Ada telur
rebus juga dua potong. Senang kira, sebiji telur ayam. Emm... apa lagi ya?
Sandwich pun nampak macam menarik. Sandwich telur.... yummy. Nampak sedap.
Meleleh air liur rasanya.
Saif Azrai sekadar
melihat gelagat Sasha Amira dari kaunter air. Beria nampak isterinya memilih
juadah. Sampai terlupa suami sendiri. Saif Azrai memilih jus oren untuk dirinya
dan juga Sasha Amira. Sudah banyak makan nasi lemak, pastinya Sasha Amira
mahukan air yang masam. Kalau tidak pun, nanti Saif Azrai ambilkan air kosong
sekali.
Sasha Amira
tersenyum lebar bersama makanannya, berjalan ke arah meja di mana Saif Azrai menanti.
“Wow! Banyaknya
makanan. Habiskah nanti?” Sengaja Saif Azrai menduga. Keningnya diangkat nakal.
Sasha Amira
mencebir lalu meletakkan pinggannya di atas meja. Penuh.
“Air untuk awak...”
Saif Azrai menyorong gelas berisi jus oren.
“Oren? Apa kelas oren.
Mestilah saya nak kopi panas. Barulah ngam dengan nasi lemak. Taklah kantuk!”
Sasha Amira menolak dengan penuh eksen. Kemudian dia berpaling semula, menuju
ke kaunter minuman panas.
Hampir tergelak
Saif Azrai melihat perangai Sasha Amira. Ditenungnya dua gelas jus oren. Dia
angkat bahu. Terpaksalah dia yang habiskan. Marah staf hotel nanti, ambil
banyak-banyak tapi buang tak terminum. Yalah tu.
Encik Rahim meneguk
sedikit air kopi panas dari cawannya. Dari tadi dia perhatikan lagak isterinya.
Tersenyum-senyum sendiri. Malah dari semalam dia begitu.
“Apa kena awak ni
dari semalam saya tengok awak asyik tersenyum sendiri. Anak kahwin, awak pula
yang sakit?” Encik Rahim menegur. Cawannya diletakkan semula di tempatnya. Nasi
goreng yang masih banyak dalam pinggannya disudukan semula lalu disuap ke dalam
mulut.
“Sakit apanya,
bang. Tentulah saya senyum sebab gembira. Anak semuanya dah kahwin, ibu mana
yang tak senang hati?”
Encik Rahim senyum
sinis. Tahu sangat isi hati Puan Damia. Bukan baru sehari dua mereka hidup
bersama. Bukan setakat dua tiga tahun juga. Anak-anak semuanya sudah besar
panjang. Sudah bercucu pun.
“Senang hati sebab
rancangan awak menjadi kan.”
Puan Damia
melebarkan senyum. Kopi panas dituang lagi ke dalam cawan Encik Rahim yang
hampir kering.
“Kalau saya tak
buat macam tu bang, sampai ke tualah dia tak mahu kahwin. Entah-entah sampai
kita tak ada nanti pun dia liat nak bersuami. Manalah senang hati saya ni kalau
anak ada yang masih membujang.”
“Emm... yalah. Tapi
takkan sampai main tangkap muat aje.”
“Ish, abang ni.
Saya bukannya main tangkap muat. Saya dah perhatikan lama budak Azrai tu.
Budaknya baik.”
“Baik saja tak guna
juga, Mia. Latar belakangnya?” Encik Rahim cuba menduga.
“Abang sendiri
dengarkan. Azrai tu anak yatim piatu. Kasihan dia tak berkeluarga. Ah,
asal-usul tu tak penting. Yang penting, dia jaga anak kita tu sebaiknya.”
Encik Rahim diam
tidak membalas. Kalau dia tidak tahu asal usul sebenar Saif Azrai, takkan dia
senang-senang lepaskan anak gadisnya begitu saja. Walaupun luarannya berlembut,
hati Encik Rahim cukup tegas. Puan Damia juga tidak boleh melawan kuasa
vetonya. Dia mengalah sebelum ini juga kerana dia kenal siapa Saif Azrai. Anak
kenalannya sendiri. Jadi, dia mengalah dan berlembut.
pendeknya.
ReplyDelete