Sasha Amira
membuang pandangan ke luar tingkap. Sejak masuk ke dalam kereta, dia tidak
bercakap walau sepatah. Masih terbayang wajah Saif Azrai semasa memeluknya
tadi. Degupannya yang begitu rancak berdetak ketika itu seakan masih diingat
bagaimana rasanya. Matanya dipejamkan sejenak.
Ya Allah. Hatinya
berdegup kencang semula. Di mana-mana saja muncul muka lelaki itu. Sedangkan
lelaki itu masih setia memandu di sebelah. Tidak sedikit pun Sasha Amira mahu
menoleh.
Riak wajah Kairel
Azam ketika Saif Azrai menjelaskan siapa dirinya di depan lelaki itu juga turut
sama bermain di ruang mata. Sasha Amira masih ingat bagaimana Kairel Azam
tergamam bila Saif Azrai menghulurkan tangan. Apatah lagi Saif Azrai mengaku
yang dirinya milik lelaki itu. Sasha Amira dapat melihat rona wajah Kairel Azam
berubah. Lama Kairel Azam kaku, merenung muka seakan meminta dia berkata
sesuatu. Namun ketika itu, dia hanya melontar jauh pandangannya ke tepi.
Saif Azrai pula
boleh memohon maaf kerana tidak menjemput Kairel Azam ke majlis pernikahan
mereka. Bergetar suara Kairel Azam selepas itu. Untuk berkata tidak apa, atau
entah apa yang mahu dibicarakannya, Sasha Amira tidak pasti kerana segala yang
diucapkan Kairel Azam kurang jelas. Separuh-separuh, tidak ada satu pun ayatnya
yang penuh.
Bila Sasha Amira
mengangkat semula muka menghadap ke depan, Kairel Azam sudah berpaling. Rasa
bersalah mula menjalar dalam hati walaupun pada asal dia marahkan lelaki itu.
Tapi bila tengok muka kecewanya, kasihanlah pula.
Beg plastik yang
masih tersangkut di tepi pintu diselak lantas sebungkus roti ikan bilis diambil
keluar. Cepat tangannya mengonyak bungkusan roti itu lalu isinya disumbat ke
dalam mulut yang sedia terbuka luas.
Nyum... nyum.
Sasha Amira beria
mengunyah roti sambil terus memaling kepalanya ke tingkap. Matanya pula
menjamah pemandangan luar. Kenderaan yang banyak sama-sama menemani di
lebuhraya ini menjadi santapan mata. Masing-masing melunjur laju, entah ke mana
mahu dikejar.
“Awak laparkah?”
Saif Azrai yang tadi sibuk sangat menumpukan perhatian cuma ke depan menegur.
Sengaja dia tidak
mahu buka mulut, bercakap atau bertanya apa-apa pada Sasha Amira. Gadis itu
juga nampak tegang saja selepas berjumpa lelaki tadi. Entah siapa nama kawan
Sasha Amira tadi, tak pula lelaki itu perkenalkan diri.
Sasha Amira juga
tidak berkata apa sejak awal tadi. Justeru dia mainkan radio sebagai peneman
dalam kereta yang sunyi sepi.
Saif Azrai menoleh
ke sebelah. Sekejap kemudian ke depan semula. Panggilannya tidak bersahut.
Soalannya tidak berjawab. Emm... marahkah Sasha Amira padanya? Dia menoleh lagi
sekali. Bahu Sasha Amira diusik sedikit. Tidak semena-mena tangan Sasha Amira
yang memegang roti jatuh kedua-dua ke atas peha. Saif Azrai menguntum senyum.
Tengah makan pun
boleh tidur? Comel betul.
Berselang-seli
kepalanya memandang depan dan sebelah. Dengan penuh berhati-hati, tangan
kirinya mencapai roti dari pegangan Sasha Amira. Kuat juga Sasha Amira
menggengam roti itu. Payah sungguh hendak dilepaskannya. Roti itu diletak tepi.
Perlahan-lahan dibawanya kepala Sasha Amira ke bahunya. Mulut Sasha Amira
dibersihkan sedikit dengan hujung jari.
Tumpuannya kembali
semula ke depan. Sesekali dijelingnya sekejap wajah si isteri. Lena Sasha Amira
tidur. Rasanya baru sekejap dia bangun tadi, sekarang sudah terlena semula.
Kantuk benar nampaknya.
“Good afternoon, sayang...”
Saif Azrai menegur
sebaik sedar Sasha Amira mula menyelak kelopak mata. Lama dia menatap muka
Sasha Amira semenjak mereka sampai ke destinasi. Tempat duduknya juga
dibaringkan sedikit searas dengan tempat duduk Sasha Amira supaya isterinya itu
rasa selesa.
Sasha Amira bangun
terpisat-pisat. Matanya digosok sedikit dengan hujung jari. Kalau boleh, dia
mahu mengeliat puas. Rasa macam lama saja dia dapat melelapkan mata tadi. Tapi
melihat Saif Azrai merenung mesra di sebelah buat dia terkejut. Terkubur terus
hajatnya hendak menegangkan otot-otot badan.
Kereta juga tidak
lagi bergerak. Agaknya sudah sampai di rumah. Sasha Amira lekas-lekas keluar
dari kereta.
“Aik! Kat mana ni?”
Dia terkejut melihat pemandangan berbeza dari kediamannya. Kulit mukanya juga
terasa dingin tiba-tiba. Dia menggosok-gosok muka dengan tapak tangan. Di
depannya tersergam sebuah bangunan tinggi diapit bangunan lebih rendah dan
taman.
Dia tersentak
apabila muncul tangan dari tepi. Saif Azrai membaluti tubuhnya dengan blazer.
Blazer yang sama membaluti tubuhnya pagi tadi. Tubuh yang hampir terasa sejuk
tadi kini hangat semula.
Seketika, Saif
Azrai lesap semula. Melangkah ke bonet kereta dan membawa keluar bagasi. Sebelah
tangannya menarik bagasi dan sebelah lagi menggenggam jemari Sasha Amira.
Terpinga-pinga Sasha Amira mengikut ke mana Saif Azrai membawanya. Matanya
masih melingas memerhati sekitar. Tidak terjemah otaknya akan soalan sama yang
berlegar di benaknya.
Di mana mereka
sekarang? Buat apa mereka ke sini? Bercuti? Berehat? Atau berbulan madu seperti
telahan Zaimah? Hah, takkan mereka berdua saja? Sasha Amira mula panik.
Lepas Saif Azrai check in dekat kaunter pendaftaran,
Sasha Amira ikut naik lif sampai tingkat enam. Sasha Amira membontoti saja Saif
Azrai dari belakang. Tangannya yang asyik hendak dipegang lelaki itu cuba
disorok di belakang. Kalau tidak pun, pura-pura garu kepala sambil pandang
keliling.
Cantik tempat ini.
Nampak mewah dan elegan. Seni binanya juga diterapkan nilai-nilai timur dengan
buatan kayu hampir sepenuhnya. Emm.. banyak pula duit mamat ni. Hadiah
perkahwinan daripada papa agaknya. Dia meneka.
Masuk saja dalam
bilik, Sasha Amira tergamam seketika. Namun cuba berlagak setenang mungkin.
Coverlah kononnya. Tidak pernah seumur hidupnya duduk di hotel. Inilah kali
pertama. Pula tu, bersama Saif Azrai. Tak seronok betul.
Mereka habiskan
masa dalam bilik saja sepanjang petang. Berehat dan menunaikan solat. Setiap
kali Saif Azrai ajak keluar, Sasha Amira beri alasan. Tubuhnya juga dari pagi
tidak menyentuh air selain mengambil wuduk. Awal tadi memang niat hendak mandi,
tapi bila dah sampai sini menggigil pula. Ambil wuduk pun menggeletar satu
badan. Sejuk walau pun tiada penghawa dingin yang terpasang. Kipas di siling
kayu itu juga tidak bergerak. Cuaca di situ sudah cukup buat dia berbungkus
atas katil.
Tergoda Sasha Amira
lihat katil besar di tengah-tengah. Ada dua katil dalam bilik itu. Molek
sangatlah. Satu untuk dirinya, satu lagi untuk lelaki itu. Hendak berkongsi
katil, usah bermimpi di siang hari. Sasha Amira tidak rela. Kasihan dia
terpaksa tidur atas lantai.
Sedang Sasha Amira
berselimut sambil menonton televisyen, Saif Azrai buang masa di beranda luar.
Sasha Amira perhatikan sekejap-sekejap. Sudah bersalin pakaian lelaki itu
selepas membersihkan diri tadi. Lama juga lelaki itu duduk di luar dengan hanya
sehelai kemeja T dan jeans yang tidaklah tebal sangat. Tidak sejukkah lelaki
itu? Nanti demam, baru tahu.
Sasha Amira
memusingkan tubuh, menghadap ke sebelah pintu kaca dekat beranda. Pura-pura
lena tapi sebenarnya melirik ke arah lelaki itu. Sekejap dilihatnya Saif Azrai
berdiri dengan tangan memegang palang besi. Sekajp memeluk tubuh lalu duduk di
atas bangku pajang di beranda. Jauh benar nampaknya lelaki itu bermenung.
Melihat pemandangan dari atas ini, dengan kabus mula menebal di luar. Entah apa
yang dilihatnya. Menjolok-jolok pula hati Sasha Amira ingin tahu.
Bila diselak
selimut tebal dari tubuh, terus terasa angin dingin yang menyerbu masuk dari
celah sliding door di beranda yang
terbuka sedikit. Ggrrr.. sejuknya. Lantas cepat-cepat Sasha Amira menarik
semula selimut hingga ke bahu. Hasrat untuk keluar melihat luar terus terkubur.
Berkali-kali dia memusingkan tubuh. Sekejap ke kiri, ke kanan semula dan
akhirnya kembali baring atas rusuk kiri. Terlalu dingin hingga dia tidak senang
baring setempat. Matanya dilontar pada skrin televisyen. Filem berbahasa
inggeris yang rasanya sudah acap kali diulang tayang di kaca televisyen. Bosan.
Sudahnya mata Sasha Amira memberat semula dan tidak sedar dia akhirnya terlena.
NAK LG.
ReplyDeleteOk... akan diupdate nanti. Sabar ya :)
Delete