Huaaahhh!
Tangannya menekup
mulut yang menguap lebar. Macam mulut badak air pula. Kalau sang putera nampak
mesti reject dibuat isteri. Aik!
Sasha Amira melingas keliling. Saif Azrai yang tadi sekejap tayang muka toya,
sekejap tersengih-sengih di sebelah sudah lesap. Mimpikah dia tadi yang lelaki
itu ada memandu di sebelah? Ish, mustahil. Dia masih ingat betapa banyak lelaki
itu belikannya makanan untuk sarapan pagi. Cepat-cepat dia menoleh ke kiri.
Bungkusan yang digantung di tepi pintunya memang ada. Jadi, semuanya yang
berlaku tadi bukanlah mimpi.
Sampai hati Saif
Azrai meninggalkan dia seorang diri tidur dalam kereta. Sedangkan Saif Azrai
entah ke mana hilangnya. Matanya melingas terus. Macam kenal tempat itu. Sasha
Amira bergegas keluar. Baru tersedar akan blazer hitam yang membaluti tubuhnya
jatuh ke tanah sebaik dia melangkah keluar. Okey. Sasha Amira tarik balik kata-katanya
tadi. Sekurang-kurangnya lelaki itu menyelimuti tubuhnya sebelum
meninggalkannya seorang. Blazer itu diangkatnya dan dibiarkan atas tempat
duduk.
Tapi jangan harap
Sasha Amira akan berlembut hati. Ini memang tidak adil. Masakan Saif Azrai
memaksanya belajar semula di kolej itu sedangkan dia menghilang. Ke mana? Balik
rumah? Kalau ya pun, biarlah Sasha Amira cuti sehari dua.
Tidak habis-habis
Sasha Amira tidak puas hati. Kakinya melangkah masuk ke dalam bangunan kolej.
Keretanya tadi dibiarkan saja tidak berkunci. Kalau kena curi, padanlah muka.
Semuanya salah Saif Azrai. Siapa suruh tinggalkan Sasha Amira tanpa
meninggalkan kunci.
Sasha!
Sasha Amira leka
memandang ke bawah dari aras dua tersentak apabila namanya dipekik nyaring.
Serentak dia menoleh. Zaimah sudah berlari ke arahnya lantas memeluk erat
tubuhnya. Namanya dipanggil Zaimah lagi berulang kali.
“Lamanya tak jumpa
kau!” Beria Zaimah melepaskan rindu. Sasha Amira berkerut dahi. Rindulah
sangat. Walhal baru semalam Zaimah datang ke majlis nikahnya. Wajah Intan
Nazira yang tenang mendekati mereka berdua ditenung sejenak. Sempat Sasha Amira
melambai sedang tubuhnya masih lagi dalam pelukan Zaimah.
“Eh, sudahlah tu!”
Dia cuba melepaskan diri dari pelukan Zaimah. Sesak nafas dibuatnya. “Kau ni,
macamlah setahun tak jumpa aku. Bukan semalam-” Sasha Amira tidak menyudahkan
ayatnya. Sakit hati kembali menular bila dikenang hal semalam. Rancangannya
untuk melarikan diri dari diijab kabul dengan Saif Azrai gagal semalam
sekaligus mengheret dirinya terus dengan ikatan perkahwinan yang dia sendiri
tidak rela.
Salahkah dia kerana
tidak mahu berkahwin dengan lelaki yang tidak dia cintai? Salahkah dia kerana
memilih? Kenapa mama tidak memberi peluang dia terus memilih dan kali ini terus
dipaksa? Ah, lagi difikir hal itu lagi sakit hati jadinya.
“Kau buat apa dekat
sini? Orang lepas kahwin, cuti seminggu dua. Pergi honeymoon. Bukan datang kolej, belajar.” Tempelak Zaimah sekaligus
mematikan lagi lamunan Sasha Amira sekejap tadi.
“Entahnya. Takkan
baru kahwin dah panas duduk dekat rumah.” Intan Nazira pula menyampuk. Lain
macam saja nada kawannya yang seorang itu. Ah, lantaklah. Minah seorang ni
memang macam tu cakapnya. Kalau menyindir, memang boleh buat orang sakit
telinga.
“Eh, kau dah pakai
belum hadiah yang aku bagi tu?” Zaimah berbisik sambil tersengih nakal.
Terbatuk-batuk Sasha Amira dibuatnya. Sengaja dia buat-buat batuk, hendak
mengelak dari menjawab soalan cepumas Zaimah. Tidak adakah soalan lain yang
hendak ditanya. Itu pula yang dia ingat di kepala.
Sasha Amira hempas
keluhan tiba-tiba. Tubuhnya dipalingkan semula menghadap tembok. Tangan diletak
atas palang lalu kepalanya dilekapkan ke lengan. Jauh dia bermenung.
“Hei, pengantin
baru! Termenung pula dia, kenapa? Dah berisi ke?” tegur Zaimah lagi seraya
menampar bahu Sasha Amira. Kali ini Sasha Amira betul-betul terbatuk. Kuat
sungguh penampar Zaimah hingga menggelungsur kepalanya ke depan dan menyebabkan
batang lehernya terhantuk ke palang besi. Aduh. Sakitnya macam hendak tercabut
rasanya lehernya itu.
Namun sakitnya
boleh dia tahan geram. Nasib baik sikit saja. Tapi jenaka Zaimah tadi memang
tidak boleh dimaafkan. Berisi? Huh, jangan mimpi!
“Kau dah bunting
pelamin ya?” teka Zaimah lagi dengan muka beria.
“Huish! Jangan
mengarutlah!” Lekas Sasha Amira membidas. Pandai-pandai saja kawannya itu
mengagak macam-macam. Zaimah terus menayang muka ceria walaupun Sasha Amira
keras menafikan. Kemudian Zaimah tergelak-gelak. Telefon bimbit yang bergegar
dalam kocek seluar mematikan perbualan mereka. Sasha Amira tersentak.
Bila pula aku bawa
telefon? Dia tertanya-tanya sambil tangan menyeluk poket. Memang telefonnya
yang berdering lagu andaiku bercinta lagi yang dipopularkan oleh kumpulan Mojo.
Aduhai. Siapa pula
yang pandai-pandai tukar ringtone telefon aku ni? Lagu cinta lagi. Balik-balik
cinta. Tak boleh dimaafkan!
“Hai, cik abang dah
telefon...” Zaimah masih mengusik.
Dalam geram, Sasha
Amira menjawab panggilan. Benar tekaan Zaimah. Memang suara Saif Azrai yang
bergema di gegendang telinga.
“Awak kat mana?
Kenapa tinggalkan kereta tak beritahu?”
Sasha Amira gumam
bibir. Manalah dia tahu yang ada telefon dalam koceknya. Saif Azrai pun lesap
macam itu saja. Macam mana hendak beritahu. Sekarang, hendak cari salah Sasha
Amira pula. Lepas itu, Saif Azrai memintanya datang balik ke kereta. Amboi.
Sudah pandai memberi arahan pula nampaknya. Eii... memang betul geram ni.
Sasha Amira tidak
membalas walau sepatah. Talian terus diputuskan apabila Saif Azrai selesai
bercakap. Dia merenung tajam ke arah skrin telefon di tangan. Rupanya macam
hendak makan saja telefon itu.
“Cik abang dah
panggil ke? Hai, untunglah orang tu ada cik abang. Baru hilang kejap dari mata,
dah rindu...”
Hendak termuntah
Sasha Amira mendengar gurauan Zaimah. Sudah-sudahlah tu Zaimah. Nanti aku
muntah betul-betul depan kau nanti.
Sasha Amira tayang
senyum paksa. Tangannya melambai kawan-kawannya sebelum berlalu pergi.
“Enjoy your honeymoon, darling!” Sempat
Zaimah memekik.
Heuw! Bila masa aku
cakap kitorang nak pergi honeymoon.
Tolong sikit. Getusnya lagi tidak selesa. Rasa mual makin menjolok-jolok anak
tekak. Langkahnya dihayun lebih laju. Lagi cepat dia tinggalkan Zaimah, lagi
cepat telinganya lapang dari usikan melampau kawannya itu. Sabar sajalah.
“Sasha!”
Sekali lagi namanya
dipanggil. Kali ini suara garau. Tapi rasanya bukan milik Saif Azrai kerana
Sasha Amira sudah dapat melihat susuk tubuh Saif Azrai yang menanti di kereta.
Lelaki itu masih tidak nampak akannya. Langkahnya terhenti apabila namanya
dipanggil buat kali kedua. Serentak, tangannya dipaut dari belakang. Berpusing
tubuh Sasha Amira ditarik kuat lelaki itu. Kasarnya.
Kairel Azam
terpacak depan mata. Huh! Kecil betul kolej ini. Atau hidung lelaki itu yang
begitu awas akan kehadiran Sasha Amira di situ walaupun sekejap. Lelaki ini...
salah satu punca kenapa Sasha Amira dipaksa kahwin. Ah, terlalu banyak sebabnya
yang menyebabkan dia bergelar isteri atas kertas.
“Aku dengar kau quit dari teater.” Lelaki itu bersuara
setelah agak lama diam. Sukar benar agaknya hendak memulakan bicara. Wajahnya
berwarna kelat.
“Kenapa kau
berhenti?”
Sasha Amira
membuang pandangannya ke tepi. Bibir tersenyum sinis. “Perlukah aku beritahu
kau? Kenapa, aku perlu report pada
kau untuk semua yang aku buat atau akan aku buat?” selanya kurang senang.
Tiba-tiba saja
tangannya disambar Kairel Azam. Wajah kelat lelaki itu kini berkerut seribu.
Bagai merayu-rayu. “Sasha, please. Don’t
leave me behind.”
Sasha Amira
terkesima. Apa hal pula ni? Tengah praktis berlakonkah? Sasha Amira dapat
merasakan tangannya hangat diramas Kairel Azam.
“Aku tak boleh
berlakon dengan orang lain. I want you
back... berlakon dengan aku.”
Kali ini Sasha
Amira merengus. Marah ada, kelakar pun ada.
“Apa kejadahnya kau
jadi pelakon utama kalau tak boleh nak berlakon dengan dengan sesiapa saja yang
pegang watak heroin tu? Baru jadi pelakon teater kolej, dah nak demanding? Kalau tak boleh nak berlakon,
suruh aje krew produksi pilih pelakon lain!” Pedas jawapan Sasha Amira seraya
menarik tangannya dari pegangan Kairel Azam. Suka-suka saja lelaki itu meramas
tangannya. Rimas betul.
Seketika, bahunya
pula yang terasa hangat. Ditarik dan dirapatkan ke tubuh seseorang. Terkesima
lagi dia di situ. Degupan jantungnya kala ini begitu kencang, seperti dapat
didengar telinganya. Perlahan-lahan dia mengangkat muka.
Saif Azrai menayang
senyum di depan Kairel Azam sambil terus memeluk tubuh Sasha Amira rapat ke
tubuhnya. Lebarnya senyum, sampai hujung pipi. Baru nampak lesung pipit lelaki
itu lebih jelas dari tepi.
“Kau lagi!” Kairel
Azam nampak bengang. Tangannya diseluk dalam kocek jaket yang dipakainya. Kalau
boleh Sasha Amira tilik, agaknya sudah bergumpal buku lima lelaki itu. Hendak
sorok penumbuk dalam poket agaknya.
Saif Azrai masih
tersenyum tenang.
“Kau ni siapa?
Asyik-asyik berkepit dengan Sasha!” Nada suara Kairel Azam sudah separuh
bergegar. Tapi Saif Azrai tetap berlagak tenang.
“Bagus soalan tu!”
Kairel Azam makin
bengang riaknya apabila Saif Azrai membalas. Dahinya berkerut. Kurang mengerti
barangkali atau marah bila dia dilayan seperti budak hingusan yang bertanyakan
gerangan Saif Azrai di sisi Sasha Amira. Entahlah. Lelaki itu lebih tahu apa
yang dirasakan.
Saif Azrai
melepaskan pelukannya. Tangannya berlari mencari pergelangan tangan Sasha
Amira. Jari jemari Sasha Amira kini sudah dalam genggamannya.
“Aku Azrai, suami
Sasha dan Sasha, isteri aku.” Wajah Sasha Amira direnung seketika. Lembut
renungannya dengan senyum manis yang tidak lekang di bibir. Kemudian tangan
kanannya pula dihulur kepada Kairel Azam.
Kairel Azam sudah
terpempan kaku. Tubuhnya yang tegak tadi kini kendur. Huluran tangan Saif Azrai
juga tidak disambut. Wajah Sasha Amira ditenung lama. Seperti mengharapkan
penjelasan mahupun pengakuan yang sama dari gadis itu. Jauh di sudut hati, dia
mahukan Sasha Amira menafikan semua yang diberitahu lelaki di sebelahnya
sekarang. Mustahil. Tak mungkin.
bestnya nak lg.
ReplyDeleteterima kasih baby mio. untuk update seterusnya, sabar ya. akan diupdate selang 2-3 hari ^^,
Delete