Hari ini Saif Azrai
buat perangai gila dia lagi. Pagi-pagi sudah dikejutkan Sasha Amira. Pertama
kali Sasha Amira solat Subuh seawal tiga pagi. Dimulakan dengan solat sunat
berjemaah dan disusuli pula dengan mengaji Quran bersama. Masakan Sasha Amira
hendak menolak kalau soal ibadah. Papa dan mama tidak pernah mengajar untuk
menolak hal-hal agama.
Beg yang digendong
Saif Azrai semalam rupanya berisi kitab al-quran. Patutlah tidak langsung dia
mahu melepaskan ke bawah. Merdu suara Saif Azrai mengalunkan ayat-ayat suci
al-quran. Panjang pendeknya hampir sempurna. Tenang hati yang mendengar. Bulat
mata Sasha Amira hendak mengikut bacaan Saif Azrai kerana tulisannya yang
halus, sekecil saiz kitabnya. Sesekali dia tersengguk kantuk.
Bila tiba giliran
Sasha Amira, terketar-ketar suaranya. Kalau baca seorang, macam keretapi
ekspres lajunya. Bila di depan orang, bagai hilang suara. Halus hingga hampir
tidak terdengar gegendang telinga. Namun, telinga milik lelaki bernama Saif
Azrai itu memang cukup nipis. Sesekali ditegurnya bacaan yang kurang tepat.
Mula-mula, tersentak juga Sasha Amira dibuatnya tapi setelah dua tiga kali, dia
boleh terima. Lembut ajaran Saif Azrai. Lebih baik diperbetul suami sendiri
daripada bacaannya terus salah.
Lebih kurang jam
enam pagi, Saif Azrai sekali lagi mengimamkan solat mereka. Jelas bacaannya.
Selesai salam selepas dua rakaat, Saif Azrai mengetuai pula bacaan doa. Dalam
diam, Sasha Amira rasa rindu. Sudah lama tidak solat berjemaah dengan papa.
Rindu mahu mencium tangan papa seperti mana dia mencium tangan Saif Azrai waktu
ini. Namun kali ini berbeza sedikit. Bergetar jantungnya sebaik mengangkat muka,
wajah Saif Azrai yang tenang mengulum senyum padanya.
Selesai menjamu
sarapan pagi di restoran yang sama seperti malam tadi, Saif Azrai membawanya ke
depan tapak parkir. Di sebuah perhentian, beberapa orang sedang duduk seperti
menanti sesuatu. Mereka juga duduk di bangku. Apa yang mereka buat di situ,
tidak pula Sasha Amira bertanya. Memang dari pagi tadi dia tidak bersuara. Apa
saja yang disoal atau dicakap Saif Azrai, dia hanya mengangguk atau
menggelengkan kepala.
Tiba-tiba Saif
Azrai bangun dan meninggalkan Sasha Amira seorang. Tidak langsung dia beritahu
ke mana. Tapi Sasha Amira nampak lelaki itu berjalan masuk ke sebuah kedai,
dekat saja dari tempat dia duduk. Selepas beberapa minit, Saif Azrai keluar
dengan membuka satu beg plastik. Sasha Amira pura-pura mengalih pandangan.
Nanti lelaki itu perasan.
Sebotol air mineral
siap dibuka penutupnya dihulurkan kepada Sasha Amira bersama penyedut
minumannya sekali. Saif Azrai memberinya pilihan sama ada mahu menyedut air
dengan penyedut minuman atau meneguk terus dari bibir botol.
Emm... macam
tahu-tahu saja Sasha Amira tidak suka gunakan penyedut minuman. Hanya botol
mineral itu saja yang disambutnya. Airnya diteguk sedikit. Tidak lama, Saif
Azrai menghulurkan pula gula-gula Strepsil warna merah. Sasha Amira tenung
paket gula itu lama-lama.
Dia ingat aku sakit
tekakkah? Otaknya berfikir-fikir. Disambut juga gula-gula itu akhirnya. Dikoyak,
diambil sebiji lalu dikulum dalam mulut. Kebetulan lidahnya terasa lidas. Boleh
juga legakan sedikit.
“Jom.”
Tiba-tiba Saif
Azrai mengajak segera menarik tangan Sasha Amira yang baru hendak menghayati
rasa gula-gula dalam mulut. Kelam kelibut Sasha Amira mengikut. Orang yang
sama-sama duduk sebarisnya juga sudah bangun dan beratur untuk menaiki bas yang
sedia menunggu.
“Nak ke mana naik
bas pula ni?” Sasha Amira menjengah kepala ke luar. Bas sudah mula bergerak
menuruni bukit dan kemudian naik semula. Sekejap turun sekejap naik. Saif Azrai
pula tidak menjawab soalannya. Kenapa tak naik kereta saja, kenapa perlu naik
bas pula ni?
Huahhh!
Terasa longgar
kepala lutut Sasha Amira menaiki kereta kabel Awana skyway merentasi
kepul-kepul kabus yang menebal. Bila dijengah ke bawah, rasa mahu pitam.
Jauhnya gaung di bawah itu. Menggigil-gigil dia duduk tanpa bergerak. Hingga
tidak sedar, tubuh Saif Azrai dipeluk erat. Bergerak sedikit Saif Azrai, Sasha
Amira sudah menjerit ketakutan.
Aerophobia...
itulah satu-satunya penyakit Sasha Amira yang tidak boleh diubati. Sejak kecil
lagi dia sudah takut dengan ketinggian. Hendak memanjat kerusi di rumah pun
sudah menggeletar satu badan. Apatah lagi jarak beribu meter dari paras laut
seperti sekarang. Mengucap panjang dia jadinya.
Walaupun setelah
kereta kabel itu mendarat, Saif Azrai terpaksa memimpinnya turun. Tubuh lelaki
itu masih dipeluk sekuat hati. Saif Azrai hanya tersenyum. Malah diperkemaskan
pelukannya jua.
Sampai di depan
pintu utama masuk ke taman tema Genting Highland, Saif Azrai menyuruh Sasha
Amira duduk dahulu di bangku. Sepapan bar coklat susu Cadbury pula dihulurkan
pada Sasha Amira. Sudah siap dikoyakkan sampulnya.
“Makan coklat ni.
Baik untuk redakan tekanan.”
Sasha Amira tidak
menolak. Coklat itu diambil dari tangan Saif Azrai dan digigit sedikit demi
sedikit. Saif Azrai menghilang lagi dan meninggalkan dia seorang. Lelaki itu
berlari ke sebuah kaunter di depan pintu masuk.
“Ish, kalau nak
pergi mana-mana suka sangat tak beritahu!” Celotehnya sendiri.
Saif Azrai datang
semula. Stiker pas masuk yang dibelinya dipakaikan di pergelangan tangan Sasha
Amira. Di tangannya juga ada satu. Lalu mereka berjalan masuk ke dalam, bersama
beberapa pengunjung lain yang juga baru tiba.
Cuaca di situ
semakin terasa dinginnya. Tapi jantung Sasha Amira begitu kencang melihat
permainan yang ada di dalam taman tema ini. Apatah lagi bila sudah agak jauh
mereka berjalan. Melihat orang berterbangan sebaik buaian gergasi mula
berpusing. Suara nyaring orang yang menjerit buatkan Sasha Amira makin kecut
perut.
Tidak jauh dari
situ, mereka melihat ramai orang mula beratur. Space shot! Perlahan-lahan ia naik ke atas. Selang beberapa sangat,
ia menjunam tiba-tiba. Masya-allah. Mengucap lagi Sasha Amira di situ.
Tiba-tiba Saif
Azrai menarik tangannya. Turut menyambung barisan yang semakin panjang. Sasha
Amira tergamam. Nak diajaknya Sasha Amira naik benda alah tu pula ke? Hah,
memang cari penyakit.
Tak mahu... tak
mahu.
Berkali-kali Sasha
Amira mengelak tapi ditariknya juga tangan Sasha Amira. Lepas itu, Saif Azrai
memeluk tubuh Sasha Amira kuat-kuat sehingga Sasha Amira tidak mampu cabut
lari. Mata yang memandang cuma tersenyum dan tersengih sesama sendiri. Ya
Allah. Malunya Sasha Amira waktu itu.
Orang yang
menjerit-kerit di atas langit tadi kini sudah turun. Sekejap lagi, manusia di
depannya akan mula mengambil tempat. Dia tidak putus doa supaya barisan itu
akan berhenti sebelum tiba gilirannya. Harap-harap hujan akan turun dengan
lebatnya supaya dia tidak perlu langsung naik permainan gila ini. Dia tidak
sanggup. Dia tidak berani. Dia takut!
Ya Allah, dugaan
apakah ini? Masih ada dua tempat kosong. Sasha Amira keraskan kaki. Tidak mahu
berganjak mahupun mengambil tempat kosong itu. Tapi Saif Azrai tetap menyorong
kakinya dari belakang. Sudah macam robot pula mereka berjalan ke situ.
Muka Sasha Amira
semakin pucat setelah tali keledar keselamatan dipasang. Saif Azrai dapat
melihat perubahan wajah isterinya. Lantas tangan Sasha Amira digenggam kemas.
Cuba memberi sedikit kekuatan.
Tuhan saja yang
tahu betapa kecutnya hati Sasha Amira apabila tempat duduknya mula naik ke
langit. Tiba di puncak, dijelingnya ke bawah. Genggaman tangannya kian kuat.
Sebelah tangan lagi ditekap di dada sambil menutup mata serapat yang mungkin.
Tidak lama, dia dapat merasakan angin kuat lalu di seluruh tubuh. Bagaikan
taufan dirinya dibawa pergi. Mulutnya terkatup rapat. Dalam hati, tidak putus
mengucap pada Ilahi.
“Dah selamat dah,
sayang.”
Baru terdengar
suara Saif Azrai memangggil sambil mencuit bahunya. Perlahan-lahan Sasha Amira
membuka mata. Saif Azrai sudah berdiri sambil tersenyum ke arahnya. Dengan
segera lelaki itu membuka tali keledar yang membaluti tubuhnya dengan sebelah
tangan. Baru dia sedar, tangan lelaki itu masih kuat digenggamnya.
“Awak tak menjerit
pun, tak takutlah tu!” Saif Azrai mula ajak berbual serentak menarik tangan
Sasha Amira keluar dari kerumun manusia lain. Mukanya tersnegih-sengih. Tak
takut apa, dalam hati siapa yang nampak. “Saya aje yang menjerit sakan. Awak
relaks aje...”
Eh, ye ke? Tak
dengar pun suara dia jerit? Ah, kalau dah takut mana nak dengar semua tu. Dalam
otak cuma ingat mati aje.
Sasha Amira
tersenyum sendiri. Syukur dia hidup lagi. Tapi leganya tidak lama bila dia di
bawa ke depan buaian gergasi tadi. Spinner
namanya. Saif Azrai mengajak pula dia naik spinner
itu. Katanya tidak puas naik buaian masa kecil-kecil dulu. Papanya tidak ada
masa bawa pergi taman permainan. Boleh pula bagi alasan macam tu. Acikah?
Naik spinner itu, mereka terpisah. Alamak!
Tangan siapa pula yang Sasha Amira hendak sambar. Bila spinner itu mula berpusing, sedikit demi sedikit mereka terbang
tinggi dan bila sampai ke kelajuan paling tinggi, Sasha Amira nampak semuanya
seakan melayang. Longgar semua tulang temulangnya, bagai hendak tercicir semua
anggota tubuh ke bawah.
Kanak-kanak yang
sama-sama naik bersamanya pula boleh gelak suka hati. Habis satu pusingan,
masing-masing seakan tidak mahu turun. Hendak terus terbang beberapa pusingan.
Mak oi. Beraninya mereka. Sasha Amira pula, baru sekejap dah rasa macam setahun
atas tu. Kali ini dia menjerit sakan. Bukan menjerit suka macam budak-budak
itu. Tapi menjerit sebab takut sangat-sangat. Sumpah, kalau diberi
usianyalanjut hingga seribu tahun sekalipun tidak sekali-kali dia mahu naik
buaian itu lagi.
Baru naik dua
permainan, Sasha Amira sudah termengah-mengah. Saif Azrai ajak singgah melihat
bunga di rumah kaca. Dekat dengan buaian gergasi. Cantik. Tenang sekejap
jiwanya yang kacau tadi.
Lepas itu, Saif
Azrai ajak main permainan yang ringan-ringan. Flying jumbo, tea cup, pirate
train. Dapat dilihat pemandangan indah sekitar taman tema itu dari puncak
gondoila matahari. Cantik. Aduh, kenapalah dari tadi tidak diajak saja main
permainan begini. Tidaklah sakit jantung ni. Dekat waktu tengah hari, Saif
Azrai bawa Sasha Amira makan di restoran Marrybrown. Memang perutnya tengah
lapar. Tidak seperti semalam, seleranya besar hari ini. Tidak cukup burger sebiji.
Ditambah hidangan nasi, beberapa ketul ayam dan burger ekstra. Kalau boleh
semuanya dia hendak suap ke mulut. Saif Azrai juga terkejut melihat.
Lama mereka lepak
di restoran Marrybrown. Sasha Amira duduk bersandar selepas perutnya penuh.
Tapi tidak habis semua makanan yang dipesannya tadi. Membebellah ustaz Saif
Azrai di depan sebab memesan bermacam makanan tapi tidak semua dijamahnya.
Nasib baik Saif Azrai hanya membeli nugget untuk dirinya. Itupun sudah
terkulat-kulat dia menghabiskan baki makanan Sasha Amira.
Burger yang belum
terusik pula, Saif Azrai beri pada seorang kanak-kanak lelaki yang asyik
merengek pada ibunya supaya membelikan burger. Tidak cukup dia mahu berkongsi
dua ketul ayam goreng dengan adiknya. Adiknya pula sudah memunya kedua-dua ayam
goreng itu dan dibawa lari dari abangnya.
Kelakar pula bila
dilihat telatah kanak-kanak. Teringat masa kecil-kecil dulu. Sasha Amira juga
selalu menyambar makanan abang Zafuan. Abang Zafuan pun selalu mengalah
padanya. Rindunya pada zaman kanak-kanak.
Ingatkan lepas
jalan-jalan selepas makan, mereka akan balik ke hotel. Bergambar dengan maskot
pun sudah. Rupanya, Saif Azrai masih belum puas bermain. Kalau setakat berlumba
fun-kart, Sasha Amira boleh tahan lagi walaupun macam tidak bergerak go-kart
yang dipandunya. Sangkanya senang macam pandu kereta. Susah juga rupanya.
Asyik-asyik langgar benteng di sepanjang litar. Buat malu sungguh. Kalau JPJ
nampak, agaknya lesen memandu pun kena tarik.
Saif Azrai pula
kembang kempis hidungnya menahan tawa. Kelakar sangatlah tu tengok Sasha Amira
pandu go-kart macam orang lesen L. Lagi teruk rasanya. Agaknya orang-orang yang
tunggu giliran, stafnya pun sama kutuk Sasha Amira habis-habisan dalam hati. Tak
tahukah yang Sasha Amira baru nak panaskan enjin. Lima minit yang peruntukan
itu sekejap sangat. Tak sempat nak tunjuk skill.
Ah, lantaklah. Bukan diorang kenal Sasha Amira pun.
Tidak habis-habis
rupanya Saif Azrai hendak menyeksa batin Sasha Amira. Haru hidupnya bila sudah
terpacak di dalam barisan manusia yang beria tidak sabar untuk menaiki corkscrew. Roller coaster paling dahsyat
di Malaysia.
Macam hendak
terkeluar semua isi perutnya sebaik roller itu bergerak pantas. Lajunya memang
sampai tidak nampak dunia. Hendak bernafas pun macam tidak sempat rasanya.
Sesak dada. Semput. Suara pun seakan mahu lesap dibuatnya. Menjerit sakan,
bagai berlawan-lawan dengan pengunjung lain.
Terhuyung-hayang
Sasha Amira berjalan selepas turun dari corkscrew.
Dia terbatuk-batuk sedikit. Nak termuntah tapi cuba ditahan. Saif Azrai memeluk
dari belakang dan diurut lembut belakang Sasha Amira.
Sasha Amira
memandang wajah Saif Azrai dengan renungan tajam dalam keadaan terbongkok
menahan sesak. “Nak naik lagikah?” soalnya sedikit keras. Sengaja hendak tayang
bengang tapi wajahnya pula rasa ketat hendak tunjuk betapa dia marah. Entah-entah
ditayangnya pula muka takut di depan Saif Azrai waktu melepaskan amarahnya itu.
“Kita naik flying coaster pula nak?” ajak Saif Azrai
beria.
“Dah, cukup!” Lekas
Sasha Amira membantah seraya menegakkan tubuh. Matanya dibulatkan sebesar
mungkin.
Saif Azrai senyum
meleret. Tawanya masih ditahan-tahan. Suka hati benar dia kenakan Sasha Amira.
Tak tahukah Sasha Amira takut tinggi, takut main permainan yang menakutkan ni?
Ish, saja nak buat
jantung aku gugur agaknya.
Selepas selesai
solat Maghrib, Sasha Amira sudah tergolek atas katil. Tidak peduli lagi sama
ada Saif Azrai ada di situ atau tidak. Kalau malu hendak baring, kenalah
menanggung sakit badan. Letihnya hari ini. Bukan penat berjalan tapi penat
menahan rasa takut hingga sakit jantungnya. Nasib baik tidak ada lemah jantung.
Kalau tidak, tengah-tengah main terus pengsan. Ha, siapa yang hendak jawab?
Sementara Saif
Azrai masih gagah menonton rancangan televisyen. Bosan agaknya, dia melangkah
ke beranda. Termenung lagi lelaki itu melihat pemandangan malam yang kelam.
Baru setengah jam
Sasha Amira hendak legakan sengal di badan, Saif Azrai sudah mengajak turun
makan. Alah, tidak bolehlah Sasha Amira hendak bermalas-malasan sekejap. Ada
saja aktivitinya.
Kali ini, maaflah.
Sasha Amira tidak dapat penuhi. Tubuhnya betul-betul tidak larat. Hendak bangun
dari baringan pun payah.
“Awak nak makan
apa-apa?” tanya Saif Azrai sebelum keluar seorang. Lemah Sasha Amira
menggeleng. Kasihan isterinya. Letih benar nampaknya.
Saif Azrai keluar
tidak lama. Risau pula hendak ditinggalkan isteri seorang diri lama-lama. Entah
sakitkah, entah pengsankah, bukannya dia tahu. Sebelum naik ke bilik, dia
singgah ke kedai membeli panadol. Dibelinya juga susu dan roti untuk Sasha
Amira mengalas perut. Kalau dibelinya makanan rugi, takut tidak termakan pula isterinya
itu. Balik dari taman tema tadi juga sudah termuntah-muntah semua yang
dimakannya tengah hari tadi. Mesti perut Sasha Amira rasa tidak selesa.
TQ baby mio coz baca cerita ni. Untuk makluman, e-novel 'DIA SI JANTUNG HATI' bakal dihentikan dr diupload di sini atas sebab rombakan semula cerita. Mungkin ada 2-3 baki bab saja lagi y akan diupload nanti. Harap pembaca dapat beri komen terhadap cerita ini, sejauh mana yang diikuti. Tq sebab singgah and baca..and harap miss terus setia menyokong k ^^
ReplyDelete