Pages

Hi pembaca semua!!!

Terima kasih kerana datang melawat, membaca karya-karya dalam blog ini dan terima kasih juga kepada semua yang menyokong Yuri. Yuri rasa happy sangat dengan kehadiran korang dalam hidup mahupun alam maya Yuri ni.

Segala komen dan sokongan sentiasa dan akan terus membakar semangat Yuri untuk terus berkarya menggunakan nama pena ayu munawer.

Semua karya di dalam blog ini adalah ilusi, imaginasi serta daripada pengalaman hidup. Dan yang paling penting, semua karya di sini adalah hasil karya Yuri. Mohon supaya tiada copycat dekat sini... tqvm

Harap korang terus menyokong dan beri komen mahupun kritikan untuk Yuri memperbaiki sebarang kekurangan.

P/S: Untuk makluman, karya "Dia Si Jantung Hati" akan dihentikan penerbitannya di sini atas sebab rombakan besar-besaran plot cerita. Justeru itu, judulnya juga bakal berubah. Maaf atas sebarang kesulitan. Harap korang setia menunggu dan menyokong hasil rombakannya nanti okey ^^,
"Aku tak suka kau la" kini diterbitkan di penulisan2u dengan tajuk "JIWA KACAU"..saja nk tukar tajuk. Sebb yuri rasa cam lg sesuai je tajuk ni..lebih pendek n ringkas hehe ada ka yuri edit2 skit. Harap u all x kesah nk singgah baca :-)
Sudi-sudilah berkunjung ke official blogshop yuri di http://decodanmakan.blogspot.com yer. Walaupun rupanya masih macam blog biasa, yuri pun masih belajar lagi macam mana nak upgradekannya. Macam-macam ada. Nak tau apa yang ada, kenalah singgah.

Terima kasih (^^,)v

Wednesday, August 8, 2012

Aku Tak Suka Kau La - Bab 1

Hehe lama tak update blog ni. But no new picture to upload here...so what i'm going to share? Emm.. macam mana kalau saya share cerita pula? Dah lama tak menulis...lebih kurang 4 tahun. Harap korang enjoy baca cerita saya...

Bab 1




Bedebuk!

Nurul Syakira kalut memungut fail dan nota-notanya yang bertaburan setelah dia terjatuh dari tangga. Bagai nangka busuk dia terjatuh di depan platform komuter. Itulah padahnya berangan masa berjalan. Tidak pasal-pasal menjadi perhatian orang yang memenuhi platform menunggu tren. Ada pula yang percuma saja mentertawakan Nurul Syakira. Ai, takkan gelak aje kut. Paling tidak pun, tolonglah pungutkan nota yang dah terabur atas lantai basah ni. Desis Nurul Syakira.

Baru saja hati Nurul Syakira berdetik, seorang lelaki remaja beruniform sekolah menghulurkan bantuan. Hai, macam tahu-tahu saja apa yang bermain di fikiran Nurul Syakira. Nota-nota Nurul Syakira dihulurkan kepada Nurul Syakira bersama senyuman yang disimpul rapi. Budiman sungguh tertib remaja lelaki itu. Anak siapalah agaknya dia. Nasib baik budak sekolah. Kalau dewasa sikit, mesti hati Nurul Syakira sudah berdetak dengan melodi cinta.

Sekilas Nurul Syakira memandang belakang. Rasanya bukan sebab Nurul Syakira berangan saja yang menyebabkan dia tergolek bak nangka busuk tadi. Nurul Syakira yakin seseorang yang telah menghentam bahunya dari belakang macam buldozer tadi hingga menyebabkan Nurul Syakira tidak dapat mengimbangi tubuh. Gelabah sangatlah tu hendak naik tren kerana sudah nampak bayang tren yang bakal tiba. Cewah, macam ahli nujum pula.

Namun hampa Nurul Syakira tidak berjaya mengesan manusia yang dipercayai melanggarnya tadi. Mungkin kerana terlalu ramai orang yang menuruni tangga itu bersamanya tadi. Nurul Syakira lupakan saja hal itu. Tren yang dinanti juga tidak perlu ditunggu lama, sudah muncul depan mata. Kelam-kabut Nurul Syakira turut bersesak bersama penumpang-penumpang lain yang berebut untuk masuk ke dalam perut tren. Kalau terlepas kali ini, berpeluh juga mahu menunggu tren berikutnya.

Nurul Syakira perlu cepat ke Majlis Konvokesyen Dani Imran. Kalau dia terlewat nanti, pasti mulut pak cik yang kuat berleter itu menceceh tidak henti apabila tidak nampak kelibat Nurul Syakira. Kononnya lupa kawanlah, tidak sudi meraikan kejayaan kawanlah, macam-macamlah leteran Mat Bebel itu. Leternya mengalahkan mak nenek. Rimas! Nurul Syakira geleng kepala laju-laju tatkala terbayangkan leteran yang bakal meluncur laju dari mulut Dani Imran dengan air liurnya yang pasti tersembur-sembur. Ah, tidak!

Tanpa menoleh kiri kanan, Nurul Syakira menolak orang di kiri, kanan dan depannya. Asalkan dia dapat masuk dalam tren tersebut, itu lebih penting. Minta maaf sajalah pada mereka yang ditolaknya tadi. Lain kali sajalah Nurul Syakira beri peluang. Nurul Syakira hempas nafas lega setelah kakinya berdiri di dalam tren dan seketika kemudian penggera pintu berbunyi sebelum pintu itu tertutup rapat. Dalam kesesakan itu, sempat Nurul Syakira menjeling jam.

“Alamak!” Mata Nurul Syakira terbeliak. Jarum jam tangannya tidak bergerak rupa-rupanya. Terkial-kial Nurul Syakira menyeluk saku jeansnya lalu telefon bimbitnya dicapai keluar. Habis orang di sebelah disikunya. Digit waktu di dada telefon ditenung dengan riak terkejut. Sah Nurul Syakira sudah terlewat ke majlis Dani Imran. Pasti lelaki itu sudah keluar dari dewan untuk sesi bergambar setelah menerima segulung lagi ijazahnya. Seketika, telefon bimbitnya berdering nyaring dengan lagu Promise, lagu OST drama Korea You are Beautiful yang terkenal beberapa tahun lepas.

“Oh mak kau meletup!” latah Nurul Syakira akibat terkejut. Lantas tangannya pantas menjawab panggilan itu apabila sudah banyak mata yang menjeling. Agaknya sudah lama mereka memerhatikan gelagatnya. Mesti perempuan-perempuan dalam gerabak itu meluat melihat aksi kalutnya sejak tadi. Ah, lantaklah. Nurul Syakira tak ada masa nak ambil kesah semua itu.

Nurul Syakira spontan menarik telefon bimbit itu jauh dari telinga sebaik diletakkan di cuping telinga tadi. Baru saja mahu menjawab, sudah ada suara yang melulu berleter di corong talian. Nurul Syakira menggumam bibir. Ini tiada lain kalau bukan Mat Bebel itu. Memang sesuai benar dengan gelaran yang diberi Fara Hana, teman wanita Dani Imran sendiri.

“Kau ni kat mana, hah? Asal ada majlis kawan aje mesti tak nampak batang hidung kau. Kau ni dah lupakan kawankah? Anak dah berderet eh dekat rumah. Sampai nak datang majlis konvo aku ni kejap pun tak boleh. Aku ni bukannya konvo hari-hari. Bertahun tau aku tunggu nak dapat sijil sekeping ni aje pun. Tapi kawan baik aku sendiri pun tak datang nak raikan. Ini ke namanya kawan baik? Dahlah aku ni tak ada siapa-siapa lagi dekat dunia ni. Mak ayah tak ada... adik-beradik pula semua dah sibuk dengan keluarga masing-masing. Saudara-mara? Huh, jangan mimpilah. Aku konvo pun dia orang tak tahu!”

Nurul Syakira hempas keluhan halus. Alahai, mamat ni! Dahlah cakap tak berhenti. Nak masuk bab sedihlah pula..., getusnya dalam hati sambil terangguk-angguk saja mendengar leteran Dani Imran di talian.

“Nasib baiklah aku ada buah hati tersayang dekat sini. Kalau Fara tak ada, aku seorang aje dekat sini. Cemburu tau tengok orang lain bergambar bagai nak rak dengan kawan-kawan. Aku ni? Tak kesian ke?” Dani Imran menyambung lagi bebelannya. Panas terik yang membakar kulitnya tidak langsung dipedulikan saat dia leka bersyarah di telefon. Sedangkan Fara Hana sudah berkali-kali menyeka peluh dan mengipas batang tengkuknya dengan kad undangan masuk ke dewan di mana majlis penyerahan watikah ijazah dijalankan.

“Sabarlah. Kau pergilah posing puas-puas dengan Fara dulu. Nak harapkan kawan-kawan, kau kan konvo sorang-sorang aje tahun ni.” Sempat Nurul Syakira lepaskan tawa kecil. “Aku dalam tren lagi. Sesak ni, penuh dengan orang. Nak ke majlis konvo kau tulah agaknya!” Semput Nurul Syakira mahu menjawab. Semput dengan keadaan sesak dalam tren itu. Semput juga mendengar bebelan Dani Imran yang lebih panjang dari tren yang dinaikinya sekarang.

“Banyaklah kau punya alasan. Dari tadi kau buat apa? Tak ada benda lainlah tu, berangan depan cermin lama-lama!” Dani Imran menebak sebarang.

Selamba sungguh Dani Imran menebak Nurul Syakira berangan depan cermin. Pantang sungguh Nurul Syakira mendengarnya. Macamlah Nurul Syakira ini macam Fara Hana, buah hati Dani Imran yang kuat bersolek itu. Cair sikit solekannya, sudah sibuk selak cermin dan touch-up wajahnya. Ini Nurul Syakiralah. Tak mainlah solek berjam-jam atau berangan depan cermin macam Mat Jenin. Mulalah nafas Nurul Syakira tambah sesak sebab geram.

Belum sempat Nurul Syakira membalas, pintu tren pula tiba-tiba terbuka apabila tren itu berhenti di salah sebuah stesen. Nurul Syakira keluar dari tren. Kononnya mahu memberi ruang kepada penumpang yang bakal keluar dari tren yang masih sesak macam sardin itu. Tapi entah macam mana, Nurul Syakira yang tercegat betul-betul di luar tren itu tetap dihentam tubuhnya oleh salah seorang penumpang yang berasak keluar. Tercampak fail-failnya sekali lagi ke lantai. Nasib baik telefon di tangannya digenggam kemas. Sepantas kilat Nurul Syakira menoleh ke arah lelaki yang baru saja menghentamnya tadi.

“Eh, dahlah masuk koc wanita. Lepas tu suka hati langgar orang, sikit pun tak minta maaf!” omelnya laju. Nurul Syakira lekas-lekas memungut barang-barangnya yang jatuh ke lantai namun belum sempat dia masuk semula ke dalam perut tren, pintu tren itu terlebih dulu tertutup. “Eh, nantilah! Aku belum masuk lagi! Aku belum masuk!” Nurul Syakira terlompat-lompat sambil memekik apabila tren itu terus laju berlalu. Geram hati Nurul Syakira. Ini semua lelaki tadi punya pasal. Sebab dialah Nurul Syakira terlepas tren pula kali ini. Entah-entah Dani Imran terdengar apa yang berlaku pada Nurul Syakira. Ah, kalau Dani Imran dengar lagi bagus. Tidak adalah lelaki itu kecoh sangat mahu berleter.

Nurul Syakira menjeling papan tanda untuk melihat ketibaan tren berikutnya. Terbeliak lagi mata Nurul Syakira apabila tren berikutnya hanya akan dijangka tiba dua puluh empat minit lagi. Itu kalau tepat jangkaannya. Kalau tidak, aduh berasaplah telinga Nurul Syakira nanti.

Nurul Syakira terhentak-hentak berjalan dan meniti anak tangga. Dia mesti mencari lelaki yang menyebabkan dia ketinggalan tren. Masa untuk tren berikutnya tiba juga lama lagi. Alang-alang, Nurul Syakira mahu menuntut bela.

Nasib baik Nurul Syakira meggunakan kad touch and go. Senang dia mahu keluar masuk stesen walaupun bukan stesen destinasinya. Mata Nurul Syakira terus liar memandang setiap orang yang berada di luar stesen. Lantas pandangannya terhenti pada seorang lelaki memakai jaket hitam.

Tidak syak lagi, Nurul Syakira yakin itulah lelakinya yang menyebabkan dia terkandas di sini. Tanpa membuang masa, Nurul Syakira terhentak-hentak berjalan ke arah lelaki itu. Tapi belum sempat Nurul Syakira menerpa, lelaki itu sudah masuk ke dalam perut teksi dan teksi itu berlalu pergi di depan Nurul Syakira. Malang sungguh nasib Nurul Syakira hari ini. Dia hanya mampu melihat lelaki itu berlalu tanpa rasa bersalah pada dirinya. Sakitnya hati Nurul Syakira. Akan Nurul Syakira ingat wajah itu sampai bila-bila.

“Sengal punya lelaki! Tak reti baca ke?! Dah menyusahkan aku yang tersangkut dekat sini, dia boleh blah macam tu aje! Memang seribu kali sengal!” Marah sungguh Nurul Syakira sambil menghentak-hentak tangan dengan failnya.







Dani Imran sudah tayang muncung panjang di depan Nurul Syakira. Puas Nurul Syakira menjelaskan hal yang berlaku pada dirinya hari ini dalam perjalanannya ke majlis konvokesyen Dani Imran. Bukan Nurul Syakira sengaja lewat.

“Lima jam kau lewat tau, Kira! Majlis aku mula pukul dua tapi dekat pukul tujuh baru kau muncul. Orang lain semua dah balik. Aku juga yang setia tunggu kau dekat sini dengan buah hati aku ni...” Dani Imran bersuara meluahkan rajuknya lalu menuding ke arah Fara Hana yang turut muncung di sebelah.

Nurul Syakira hanya mampu terkulat-kulat tersengih memohon maaf. Sumpah Nurul Syakira tidak sengaja. “Kan aku dah kata banyak kali tadi. Aku tak sedar pun yang jam aku tu mati. Patutlah tak habis-habis aku tengok jam pukul sebelas setengah. Sedar-sedar aje dah pukul empat lebih rupanya. Tak lama aku sedar tu, kau pun telefon sergah aku macam mak nenek!” Nurul Syakira menjawab selamba.

“Mak nenek kau cakap aku. Eh, mana aku tak bising. Dulu kau juga yang janji macam-macam. Nak datang awal la, nak jadi tetamu kad jemputan aku tulah, yelah... aku kan tak ada sesiapa dekat sini. Setakat kau dengan Fara aje yang aku ada. Lepas tu, kau juga yang janji nak bagi hadiah besar untuk aku la. Hah, mana semua tu? Janji tinggal janji aje.”

Nurul Syakira melopong. Hadiah? Alamak, itu pun Nurul Syakira terlupa. Apa lagi agaknya alasan yang Nurul Syakira mahu berikan kepada Dani Imran yang sudah semakin panjang muncungnya. Fara Hana pula mengangguk-angguk setuju dengan teman lelakinya itu.

“Alah, sorrylah Im. Aku terlupalah. Aku betul-betul terlupa! Sorry... sorry. Kau nak suruh aku nyanyi lagu Super Junior, Sorry Sorry tu ke?” Berkali-kali Nurul Syakira memohon maaf. “Alah, kau ni kan lelaki. Apalah kesah sangat dengan semua tu kan. Lagipun, kau pun dah dapat master sekarang. Tak payah tunggu hadiah besar daripada aku yang bergaji ciput nilah. Nanti bila kau kahwin, hah, masa tu aku betul-betul akan belikan hadiah besar! Special untuk korang berdua, kawan baik aku dunia akhirat ni...” Nurul Syakira mengangkat keningnya berkali-kali. Sengaja dia tayang muka nakal. Dani Imran sekadar mencebik melihat riaknya itu.







“Apa cerita cik abang kau tu? Dah habis dah rajuk dia?” Nurul Syakira menyoal sebaik melihat Fara Hana masuk ke rumah. Fara Hana terus henyak punggung di kerusi tidak jauh dari Nurul Syakira. Lalu Fara Hana mencebikkan bibir.

“Kau bukan tak tahu perangai Im tu. Aku rasa kau lagi kenal perangai dia dari aku. Kan dia tu rapat dengan kau sejak dari kecil lagi. Dia tu bukan apa, cuma nak perhatian lebih-lebih daripada kawan yang macam adik dia ni aje.”

Nurul Syakira mengangguk. Dia dan Dani Imran sememangnya membesar bersama. Membesar dalam keadaan berbeza daripada kanak-kanak sebaya mereka. Tanpa ayah dan ibu, mereka membesar bersama teman-teman senasib. Kekadang mereka tertanya, entah apalah perasaannya membesar dalam keluarga dan belaian ibu bapa. Di rumah anak yatim itu, mereka berkenalan sejak Nurul Syakira baru berusia lima tahun dan Dani Imran ketika itu sudah di bangku sekolah rendah.

“Salah kaulah!” Tiba-tiba Fara Hana menyambung. Terkejut Nurul Syakira dibuatnya. Baru saja mahu mengelamun, mengimbas memori lalu sudah dikejutkan dengan getaran suara Fara Hana yang bikin Nurul Syakira sepantas kilat menoleh ke arah gadis itu. “Yang kau pergi tabur janji macam-macam dekat dia dulu siapa suruh. Padan muka kau kena bambu cukup-cukup dengan pak cik yang kuat berleter tu. Tahan-tahankan ajelah telinga tu eh. Almaklumlah, cik abang aku tu kan bakal jadi kaunselor. Tu dia tengah praktislah tu...” ujar Fara Hana lagi sambil matanya terkelip-kelip bangga. Bangga sangat tentang cik abang dia yang bakal bergelar pakar kaunselinglah tu.

Nurul Syakira mengherotkan bibirnya. Kalau nak disuruhnya Nurul Syakira menahan telinga, memang sudah lebih sepuluh tahun telinga Nurul Syakira kebas dengan mulut Dani Imran yang kuat menceceh. Sampai sudah lali Nurul Syakira dibuatnya. Setiap kali Dani Imran buka mulut, rasa macam lelaki itu menyanyi-nyanyi pula untuk Nurul Syakira. Rasanya Fara Hana yang baru dua tahun menyulam cinta dengan Dani Imran yang kena biasakan diri.

“Hai, seronoklah orang tu ek. Cik abang dia dah ada master... offer kerja pun dah dapat. Entah-entah lepas ni dapat pula offer sambung PhD dekat oversea. Fuh, kau yang dah memang macam belangkas dengan dia tu mesti nak melekap juga ke mana dia pergi. Lepas tu, kau orang kahwin dekat sana. Beranak dekat sana... anak pun rupa mat saleh. Hai, tinggallah aku seorang aje dekat sini...” Nurul Syakira merebahkan tubuh ke sofa. Otaknya sudah menerawang membayangkan kisah hidup Dani Imran dan Fara Hana selepas dua tiga tahun akan datang.

Fara Hana hampir tergelak melihat riak muka Nurul Syakira yang tersenyum-senyum melayan bayangannya. Pantas Fara Hana angkat punggung dan menerpa Nurul Syakira. “Oii, sudah... sudah. Jangan kau pula yang berangan lebih-lebih pasal aku dengan Im tu!” tempelak Fara Hana sambil menepuk-nepuk pipi Nurul Syakira. Serta-merta angan-angan Nurul Syakira berderai bersama saki-baki tawa Fara Hana yang sudah henyak punggung di sebelah Nurul Syakira.

Nurul Syakira tersengih. Kalaulah watak utama dalam bayangannya tadi ialah dirinya kan bagus juga. Tapi bukanlah bersama Dani Imran. Ish, kalau Dani Imran calonnya tak mahulah Nurul Syakira. Mat Bebel! Hai, putera idaman Nurul Syakira ini pun, kenapalah tidak muncul-muncul. Tiba-tiba peristiwa petang tadi pula yang melintas di fikiran Nurul Syakira. Serta-merta mood Nurul Syakira berubah. Sakit hati Nurul Syakira mengingatkan wajah lelaki itu yang langsung tidak nampak bersalah. Boleh pula dia pergi begitu saja tanpa walau sepatah kata maaf. Walau sakit hati, Nurul Syakira akan semat wajahnya itu baik-baik dalam kotak ingatannya. Lain kali jika Nurul Syakira bertemu lelaki itu lagi, siaplah dia.


p/s: actually cerita ni ada hantar kat novelmelayukreatif milik Kaki Novel. Episod satu ada dekat link ni. Nama pena di sana Ayu Munawer, bukan Yuri Iqmal tau...
Bab 2 di sini dan bab 3 di sini... happy reading everyone ^^,

No comments:

Post a Comment