Pages

Hi pembaca semua!!!

Terima kasih kerana datang melawat, membaca karya-karya dalam blog ini dan terima kasih juga kepada semua yang menyokong Yuri. Yuri rasa happy sangat dengan kehadiran korang dalam hidup mahupun alam maya Yuri ni.

Segala komen dan sokongan sentiasa dan akan terus membakar semangat Yuri untuk terus berkarya menggunakan nama pena ayu munawer.

Semua karya di dalam blog ini adalah ilusi, imaginasi serta daripada pengalaman hidup. Dan yang paling penting, semua karya di sini adalah hasil karya Yuri. Mohon supaya tiada copycat dekat sini... tqvm

Harap korang terus menyokong dan beri komen mahupun kritikan untuk Yuri memperbaiki sebarang kekurangan.

P/S: Untuk makluman, karya "Dia Si Jantung Hati" akan dihentikan penerbitannya di sini atas sebab rombakan besar-besaran plot cerita. Justeru itu, judulnya juga bakal berubah. Maaf atas sebarang kesulitan. Harap korang setia menunggu dan menyokong hasil rombakannya nanti okey ^^,
"Aku tak suka kau la" kini diterbitkan di penulisan2u dengan tajuk "JIWA KACAU"..saja nk tukar tajuk. Sebb yuri rasa cam lg sesuai je tajuk ni..lebih pendek n ringkas hehe ada ka yuri edit2 skit. Harap u all x kesah nk singgah baca :-)
Sudi-sudilah berkunjung ke official blogshop yuri di http://decodanmakan.blogspot.com yer. Walaupun rupanya masih macam blog biasa, yuri pun masih belajar lagi macam mana nak upgradekannya. Macam-macam ada. Nak tau apa yang ada, kenalah singgah.

Terima kasih (^^,)v

Monday, August 13, 2012

Aku tak suka kau la: Bab 4

Minta maaf la yer... susah orang yang banyak sangat hobi ni. kejap ambil gambar, kejap buat biskut, kejap menulis yer hehe... layan aje la eh kalau sudi kekeke

Bab 4

Joe Redzuan membetulkan cermin mata hitamnya. Harap-harap dengan cermin mata ini, tiada siapa yang dapat mengecamnya di sini. Takut juga jika ada yang mengenalinya. Lebih-lebih lagi setelah single pertama kumpulannya mulai terkenal di laman youtube.

Joe Redzuan sedar akan beberapa mata yang mula memerhati. ‘Alamak! Dah ada orang yang perasan aku kat sini ke?’ Hati Joe Redzuan berdetik.

Semakin banyak mata yang memandang. Ada pula yang mula berbisik-bisik. Joe Redzuan sudah mula tidak keruan. Manik peluh sudah menitik keluar dari liang roma walaupun keadaan di dalam tren itu tidak sedikit pun terasa bahang. Perlahan-lahan Joe Redzuan menyeka peluhnya. Dari balik cermin mata gelapnya, Joe Redzuan mengintai keliling. Matanya terus membulat sebaik terlihat tanda di cermin tren. Kini baru Joe Redzuan perasan dalam koc itu semuanya wanita. Tiada seorang pun yang sama kaum dengannya.

Alamak! Sah aku tersalah masuk koc wanita! Ish, macam mana boleh tak perasan tadi. Patutlah orang ramai asyik pandang aje. Ceh, buat malu aje! Mesti orang duk kutuk-kutuk aku tak reti baca sign ke apa.

Joe Redzuan kalut dalam diam. Pantas kakinya dihayun untuk bergerak ke koc sebelah. Namun baru selangkah Joe Redzuan melangkah, tiba-tiba saja gadis yang berdiri di sebelahnya tadi jatuh menimpa tubuhnya. Joe Redzuan gelabah. ‘Alamak! Ni apahal pula minah ni tiba-tiba nak terlentok kat badan aku ni?’ Cermin matanya lekas ditanggalkan lalu menepuk-nepuk bahu gadis itu. Tapi gadis itu tidak langsung memberikan respon.

“Eh, tu Joe kan? Vokalis New Band tu kan!” Tiba-tiba kedengaran satu suara menjerit. Kemudian diikuti oleh beberapa suara lain yang menyambut.

“Eh, siapa perempuan dalam pelukan dia tu?”

“Entah! Isteri dia ke? Takkan girlfriend nak peluk-peluk macam tu pula dekat sini. Tak senonoh betul! Tak Malu ke orang nampak?”

Joe Redzuan gelabah dalam hati setelah mendengar perbualan beberapa remaja perempuan dalam tren itu. Seketika, Joe Redzuan ketap gigi. ‘Ish, budak-budak ni. Pandai-pandai aje nak bergosip. Suka hati dia aje nak buat cerita. Tahu tak yang perempuan ni yang tiba-tiba aje datang melekap kat aku. Aku tak kenal pun dia! Ish, tak boleh jadi ni. Yang aku pergi tanggalkan cermin mata tadi buat apa?’

Remaja-remaja tadi makin rancak berbisik macam-macam. Joe Redzuan masih cuba mengejut gadis dalam pangkuannya sambil menjeling memandang orang lain. Hendak dibiarkan saja perempuan itu, nanti jatuhlah imejnya. Tak pasal-pasal budak-budak remaja itu nanti sebarkan cerita yang dia tinggalkan perempuan pengsan macam itu saja. Melihat beberapa dari mereka yang sudah mengeluarkan telefon bimbit dan bangun dari tempat duduk, Joe Redzuan makin buntu.

‘Ish, apa aku nak buat ni?’

“Sayang... sayang. Kenapa ni?” Joe Redzuan bersuara perlahan sambil menampar-nampar pipi gadis dalam dakapannya. Spontan kata-kata itu yang keluar dari mulutnya dalam orang lain sibuk berbisik mempersoalkan status gadis itu. Joe Redzuan juga terlanjur seakan mengiyakan telahan mereka.

Semakin banyak mata yang memandang. Ada juga beberapa suara yang bertanya. Joe Redzuan hanya mampu terdiam dengan muka panik. ‘Ish, perempuan ni pun cepatlah bangun. Ni apahal ni? Ingat aku ni bantal dia ke?’

Sebaik tren berhenti di satu stesen, Joe Redzuan lekas meneruskan lakonannya. “Bertahan ya sayang. Abang hantar sayang ke hospital!” Joe Redzuan mencempung tubuh gadis itu lalu segera keluar dari tren. ‘Fuh, semangat. Boleh tahan berat minah ni!’ Joe Redzuan pasang tekad. Keluar saja dari stesen nanti, bolehlah dia tinggalkan saja gadis itu di bangku luar stesen. Bila dia sedar nanti, pandai-pandai dialah hendak balik rumah.

Lain yang dirancang, lain pula yang jadi. Joe Redzuan segera menahan teksi sebaik menyedari beberapa remaja perempuan yang sibuk membuat gosip dalam tren tadi mengekorinya di belakang.

Ish, budak-budak ni pula apasal ikut aku ni? Tak reti-reti nak balik rumah terus ke lepas sekolah? Getusnya tidak senang.

“Pergi hospital sekarang, bang!” ujar Joe Redzuan kepada pemandu teksi sebaik masuk ke dalam perut teksi. Lekas teksi itu meluncur pergi. Mata Joe Redzuan mengintai tindakan gadis-gadis remaja tadi yang juga sibuk berebut teksi. Lantas Joe Redzuan hempas keluhan. Melihat gadis yang dibawanya bersama tadi juga bikin hati Joe Redzuan kian merusuh. ‘Ish, tak pasal-pasal aku kena bawa minah ni pergi hospital betul-betul. Apalah yang aku nak buat kejap nanti!’ Joe Redzuan terus mengeluh.



Joe Redzuan menekan-nekan kepala. Sudah dua jam keadaan di luar wad itu masih riuh. Sehingga dia pula yang terkurung dalam wad itu bersama gadis yang dia sendiri tidak kenali.

“Ish, budak-budak tu tak reti nak balik ke? Aku nak keluar pun payah. Kalau aku buka pintu tu nanti, mesti dia orang serbu punya. Ni semua minah ni punya pasal!” Joe Redzuan berpaling ke katil. Gadis yang dibawanya ke hospital tadi masih tidak sedarkan diri. “Lama pula dia tak sedar. Nyenyak benar tidurnya! Ish, lain kali kalau tak sihat tak payahlah keluar rumah. Duduk rumah diam-diam. Sekarang, menyusahkan aku pula!”

Joe Redzuan mengomel sendiri. Ke depan ke belakang dia mundar-mandir. Skrin iphone dijeling sekali-sekala. Makin dia baca status pada laman facebook milik kumpulannya, makin serabut fikirannya. Semakin banyak pula cerita yang muncul. Joe Redzuan sudah beristeri dan beranak dua? Sejak bila pula Joe Redzuan mempunyai anak? Ada pula yang pandai-pandai mengaku kononnya teman rapat Joe Redzuan mereka-reka cerita yang Joe Redzuan sudah bercerai.

“Hah?!” Terbelalak terus mata Joe Redzuan membaca seungkap ayat itu. Mahu saja dia menghebahkan hal yang sebenarnya. Tapi jarinya pula gatal menaip, mengaku yang gadis yang bersamanya itu ialah isterinya.

“Alamak! Apa aku buat ni? Masak aku!” Joe Redzuan kian menggelabah. “Ish, apa dah jadi dengan aku ni? Dah kena sumpah dengan minah tu ke apa? Sejak aku dengan dia, lain aku nak buat tapi lain yang jadi!”

Semakin rancak laman facebooknya dikunjungi komen peminat yang terkejut akan pengakuan yang baru sesaat tadi dibuatnya. Ah, sudah. Macam mana pula Joe Redzuan mahu membetulkan keadaan lagi selepas dia sendiri mengaku tentang perkara yang sepatutnya dibidasnya. Waktu itu juga Joe Redzuan menerima panggilan daripada Daniel, member bandnya yang sejak dua jam lalu puas menjawab pelbagai telahan daripada peminat. Mesti Daniel juga terkejut akan komen Joe Redzuan tadi dan mesti lelaki itu yang juga merupakan ketua kumpulan itu akan bising sekejap lagi. Joe Redzuan merenung skrin telefonnya lama-lama. Nama Daniel terus terpapar di skrin.



Perlahan-lahan Nurul Syakira menarik kelopak mata. Hanya siling putih yang dapat dilihatnya. Namun samar-samar. Aduh, kepala Nurul Syakira masih terasa berat. Lantas tangannya menekan-nekan dahi yang tegang semacam.

‘Eh, apa ni? Tangan aku kena cucuk lagi ke? Eh, aku tertidur masa derma darah ke?’ Nurul Syakira bingung melihat tangannya dicucuk dengan tiub panjang bersambung dengannya. Seingat Nurul Syakira dia sudah selesai menderma darah. Dia masih ingat lagi bagaimana dia memujuk Liana yang sedih kerana tidak dapat menderma darah. Dia juga ingat saat dia sibuk membalas mesej yang bertalu-talu Fara Hana dan Dani Imran kirimkan. Masakan semua itu hanya mimpi? Takkanlah Nurul Syakira terlena ketika darahnya mengalir dalam beg darah dan mengalami mimpi yang begitu panjang?

Nurul Syakira bingkas bangun dari baringan walaupun kepalanya masih lagi terasa berdenyut-denyut bak diketuk seratus kali dek penukul besi. Nurul Syakira memandang keliling.

“Aku dekat mana ni? Ni bukan tempat derma darah tadi. Bilik aku pun bukan...” Nurul Syakira terus melirik setiap sudut dalam bilik itu. Dia kenal tempat itu walaupun baru pertama kali dia datang ke mari. “Hah, ni wad! Kenapa aku tidur dalam wad pula?”

Nurul Syakira cuba mengingati apa yang berlaku sebelum ini. Bayangan mengenai dia melalui perjalanan hidupnya sepanjang hari ini masih jelas dalam kotak fikiran. Bermula dari dia terpaksa menemani Liana mengunpul sampel, menggantikan Zaid pagi tadi, dipaksa pula menderma darah oleh Liana yang kemudiannya teresak-esak menangis sehingga memaksa Nurul Syakira memujuknya pula. Nurul Syakira juga masih ingat bagaimana dia tergesa-gesa untuk bertemu Fara Hana dan Dani Imran seperti yang dijanjikan.

“Hah?! Alamak! Aku lambat lagi ke?” Janjinya untuk bersuka-ria bersama kawan-kawannya di Sunway Pyramid masih Nurul Syakira ingat. Nurul Syakira menggelabah mencari telefon bimbitnya. Tapi bila diseluknya kocek seluar, telefonnya tiada.

Lantas Nurul Syakira segera turun dari katil. Tiub dan jarum yang dicucuk ke tangannya direntap kuat, membiarkan cecair dari tiub itu menitik ke lantai. Nurul Syakira menjengah di bawah katil kemudian menjenguk pula di kedua-dua sisi katil. Gelisah dia mencari beg yang disandangnya dalam tren tadi. Mungkin telefon bimbitnya ada di dalam beg itu. Di mana dia simpan telefon itu, Nurul Syakira tidak berapa ingat pula.

“Ish, mana pula beg aku ni? Takkanlah orang yang hantar aku kat sini dah curi beg aku kut?” Nurul Syakira menebak sebarang sambil mencekak pinggang. Sesaat, dia meluku kepalanya sendiri. “Apalah aku ni. Kalau dia curi beg aku, buat apa dia hantar aku ke hospital. Mestilah dia dah cabut lari dan biarkan aje aku terbaring kat mana-mana. Eh, tapi macam mana aku boleh ada dekat sini? Aku accident ke tadi?” Nurul Syakira berfikir sejenak. Dibeleknya kedua belah tangan dan beralih ke tubuh. Tiada rasa sakit di mana-mana melainkan kepalanya saja yang asyik berdenyut.

Setelah beberapa minit cuba dikerahnya otak mengingati hal yang berlaku selepas dia tergesa-gesa untuk berjumpa kawan-kawannya, namun segalanya hampa. Hingga situ sajalah yang Nurul Syakira dapat ingat.

“Oh ya! Aku ingat pasal mamat tak reti bahasa yang masuk koc perempuan tu!” pekik Nurul Syakira tiba-tiba sambil memetik jari. “Ah! Sekarang bukan masa nak teringatkan mamat tu pula! Sekarang ni, masanya...” Nurul Syakira terpempan. Melihat langit di luar tingkap itu sudah pun gelap, bikin jantung Nurul Syakira seakan mahu berhenti. Lantas Nurul Syakira berlari ke arah tingkap.

‘Eh, betulkah dah gelap? Ke tingkap ni aje yang gelap?’ Nurul Syakira meraba-raba tingkap itu. Daun jendela dikuak ke luar lalu tangannya dilayang-layangkan ke luar tingkap. “Alamak! Memang dah malam!”

Tangan Nurul Syakira menekan kepala. Serta-merta matanya terbayang wajah Dani Imran dan Fara Hana yang tidak puas hati. Terbayang juga syarahan percuma daripada Dani Imran yang bakal menjadi pemula kata saat Nurul Syakira muncul di depannya nanti. ‘Alamak! Mesti dia orang dah lama tunggu aku. Apa aku nak buat ni?’

Seketika pintu bilik dikuak dari luar. Serta-merta Nurul Syakira menoleh. Dia dapat melihat seorang lelaki tergesa-gesa menjengulkan mukanya dari pintu.

“Kau tak apa-apa ke?” soal lelaki itu dengan wajah panik.

No comments:

Post a Comment