Pages

Hi pembaca semua!!!

Terima kasih kerana datang melawat, membaca karya-karya dalam blog ini dan terima kasih juga kepada semua yang menyokong Yuri. Yuri rasa happy sangat dengan kehadiran korang dalam hidup mahupun alam maya Yuri ni.

Segala komen dan sokongan sentiasa dan akan terus membakar semangat Yuri untuk terus berkarya menggunakan nama pena ayu munawer.

Semua karya di dalam blog ini adalah ilusi, imaginasi serta daripada pengalaman hidup. Dan yang paling penting, semua karya di sini adalah hasil karya Yuri. Mohon supaya tiada copycat dekat sini... tqvm

Harap korang terus menyokong dan beri komen mahupun kritikan untuk Yuri memperbaiki sebarang kekurangan.

P/S: Untuk makluman, karya "Dia Si Jantung Hati" akan dihentikan penerbitannya di sini atas sebab rombakan besar-besaran plot cerita. Justeru itu, judulnya juga bakal berubah. Maaf atas sebarang kesulitan. Harap korang setia menunggu dan menyokong hasil rombakannya nanti okey ^^,
"Aku tak suka kau la" kini diterbitkan di penulisan2u dengan tajuk "JIWA KACAU"..saja nk tukar tajuk. Sebb yuri rasa cam lg sesuai je tajuk ni..lebih pendek n ringkas hehe ada ka yuri edit2 skit. Harap u all x kesah nk singgah baca :-)
Sudi-sudilah berkunjung ke official blogshop yuri di http://decodanmakan.blogspot.com yer. Walaupun rupanya masih macam blog biasa, yuri pun masih belajar lagi macam mana nak upgradekannya. Macam-macam ada. Nak tau apa yang ada, kenalah singgah.

Terima kasih (^^,)v

Friday, August 10, 2012

Aku tak suka kau la: Bab 3

Bab 3


“Ya... ya, aku tahu. Kejap lagi aku sampai. Aku minta maaflah kalau sebab aku, plan kau orang tiba-tiba berubah pula.” Bersungguh-sungguh Nurul Syakira memohon maaf. Telefon bimbit yang dipegang ke telinga digenggam lebih erat. Rasa bersalah makin menebal dalam dada sedang Fara Hana sudah berleter panjang di hujung talian. Marah sungguh kawannya itu. Menggantikan tempat Dani Imran untuk meleteri Nurul Syakira agaknya.

Sepatutnya hari inilah hari yang dijanjikan mereka untuk sama-sama ke taman tema Genting Highland. Tapi rancangan itu terpaksa diubah disebabkan Nurul Syakira. Bukan Nurul Syakira sengaja memungkiri janji. Tapi tiba-tiba pula dia terpaksa menemani Liana ke klinik untuk pengumpulan sampel kajian. Selalunya Liana akan pergi mengambil sampel bersama Zaid tapi hendak dijadikan cerita, tiba-tiba pula Zaid sakit perut. Cirit-birit katanya. Tersalah makanlah agaknya.

Ingatkan lepas habis kumpul sampel pagi itu, bolehlah Nurul Syakira balik untuk bersiap-siap jumpa kawan-kawannya pada petangnya. Liana pula gatal-gatal mengajak Nurul Syakira menderma darah sempena kempen derma darah yang kebetulan dijalankan di lobi hospital. Nurul Syakira memang tidak pandai menolak. Diikutkan saja ajakan Liana itu walhal Nurul Syakira memang takut benar pada jarum. Rasa macam hendak pengsan melihat jarum panjang itu dicucuk masuk ke dalam salur darahnya. Ngilu. Tapi Liana yang beria-ia benar mahu menderma darah tadi pula tidak layak untuk merdema darahnya atas sebab paras hemoglobin darahnya yang tidak melepasi syarat menderma.

Teresak-esak Liana menangis selepas itu macam orang hilang anak. Kononnya memang sejak dulu setiap kali dia mahu menderma darah, Liana tidak pernah melepasi ujian saringan. Hai, terpaksalah Nurul Syakira terima tugas baru untuk memujuk dan menenangkan hati Liana yang kecewa benar itu. Tidak termasuk dalam skop tugas Nurul Syakira langsung. Derma darah itu pun tidak termasuk dalam senarai tugasnya hari ini. Ini semua Liana punya pasal. Tidak apalah. Sesekali buat amal jariah, Nurul Syakira berterima kasih banyak-banyak pada Liana sebab sudah melambatkan masanya. Peti masuk mesej telefon bimbit Nurul Syakira sekarang juga sudah penuh dengan mesej daripada Fara Hana. Sekarang, Nurul Syakira terpaksa mendengar suara Fara Hana yang bergema di talian setelah kesemua mesej yang dikirimnya tidak dibalas Nurul Syakira.

“Ha, tahu pun salah kau! Sebab kaulah, plan kita orang nak pergi Genting tu tak jadi. Tiba-tiba pula kau kata kena kerja. Ish! Im tu pun sampai sanggup batalkan rancangan tu semata-mata sebab kau tak dapat join. Yalah, kau tu kan adik kesayangan dia. Hai, aku ni macam dah jatuh nombor dua pula...” Fara Hana mengeluh hampa.

Nurul Syakira mendengar dengan jelas keluhan Fara Hana. Belum sempat dia menyampuk, suara Fara Hana sekali lagi bergetar ke gegendang telinganya.

“Dahlah plan tak jadi. Lepas tu aku pula yang kena tadah telinga dengar abang kau tu membebel. Berkali-kali dia pesan dekat aku, suruh ingatkan kau jangan lambat pula petang ni. Jangan nak buat-buat lupa pula plan B dia tu. Abang kesayangan kau tu kan kuat berleter. Ha, sekarang ni biar aku sampaikan semua amanat-amanat dia yang panjang lebar tu!”

Spontan Nurul Syakira mengulum senyum. Hendak tergelak pun ya setelah mendengar kata-kata Fara Hana. Bunyinya seakan pasrah tapi bernada sindiran. Entah apalah yang Fara Hana rasa sekarang sebenarnya. Dani Imran. Lelaki itu memang tidak ubah berlagak macam abang Nurul Syakira. Kuat berleter, selalu beri nasihat itu dan ini, beri perangsang dan tidak lupa juga Dani Imran jugalah yang selalu melindungi Nurul Syakira secara tidak langsung sewaktu Nurul Syakira masih kecil dulu. Mungkin Dani Imran terbiasa akan tabiatnya meleteri dan menasihati Nurul Syakira dari dulu hingga sekarang. Tidak berubah-ubah perwatakan bak abang tiri itu terhadap Nurul Syakira. Tapi Nurul Syakira tidak kesah. Sekurang-kurangnya dapat juga dia merasakan dirinya benar-benar punya seorang abang dan membiarkan Dani Imran juga punya rasa memiliki seorang adik. Rasanya baik juga untuk mereka berdua. Kakak abang Dani Imran pun semua jauh berbeza umur mereka. Kakaknya yang paling dekat juga dekat sepuluh tahun bezanya. Sebab itulah agaknya mereka kurang rapat.

“Yalah... aku tak kesah kalau kau pun nak berleter puas-puas dekat aku. Telinga aku ni dah biasa, dah lali kena bebel. Apa lagi yang abang aku tu pesan?” seloroh Nurul Syakira membalas kata-kata Fara Hana tadi.

“Tak ada dah. Tu aje.”

“Tu aje? Aik, tadi kata macam banyak yang dia pesan.”

Fara Hana menghempas keluhan lalu menjawab lagi. “Itulah. Mukadimah dia aje yang panjang meleret. Daripada syarahan dia yang berjelar-jelar macam keretapi dari sini ke India tu, point dia cuma suruh kau jangan lambat. Tu aje. Alah, bak kata kau tadi... kau kan dah biasa. Tahu-tahu ajelah ceramah dia tu macam mana!” Fara Hana menghempas keluhan halus sekali lagi. Gerutu hatinya setiap kali mengingatkan kembali riak Dani Imran yang beria-ia berceloteh. Lagak lelaki itu bercakap kadang-kadang macam lagak motivator yang tengah ditemuramah pihak media. Menjengkelkan pula Fara Hana tengok. Macamlah Fara Hana sedang menemuramah Dani Imran. Bercakap dengan teman wanita sendiri pun formal semacam. Tak romantik langsung.

Nurul Syakira gelak dalam hati. Tanpa disedari, kepalanya digelengkan beberapa kali. Dani Imran... Dani Imran. Kasihan Nurul Syakira pada Fara Hana. Mesti kawannya itu juga pening kepala dengan perangai Dani Imran. Tapi Nurul Syakira menghormati Fara Hana kerana mampu bersabar dengan peragai Dani Imran. Agaknya, orang yang dilamun cinta memang semuanya begitu. Buruk baiknya pasangan mereka sudah tidak diendahkan lagi. Semuanya ditelan mentah-mentah kerana rasa sayang terhadap pasangan sudah pun merasuk sanubari. Silap-silap, perangai mereka juga sudah jadi macam dua kali lima. Tengoklah Fara Hana yang dikenalinya dulu sebagai seorang yang ceria itu pun sudah kuat berleter pula sekarang.

“Hah, kau jangan lambat tau! Aku ingatkan lagi sekali ni. Nanti bising lagi abang kau tu!”

Mati tawa Nurul Syakira sebaik disergah suara Fara Hana. Fuh, semangat. Baru saja otaknya mahu menerawang jauh sedikit, sudah disergah bakal kakak ipar. Nasib baik Nurul Syakira tidak melatah kali ini.

“Ya... ya. Aku dalam perjalananlah ni.”




Tergesa-gesa Nurul Syakira berlari setelah turun dari teksi. Sempat dia menghela nafas lega kerana tidak perlu beratur panjang membeli tiket. Kad touch n gonya kan ada. Sampai saja di platform, Nurul Syakira mulai termengah-mengah. Pasti ada mata yang memerhati lagak Nurul Syakira itu yang seperti baru lepas marathon lima kilometer. Namun Nurul Syakira cuba buat tidak endah.

Nurul Syakira menjeling jam di pergelangan tangan. Masih ada satu jam setengah sebelum temujanji dengan dua kawan baiknya. Itupun nasib baik Liana menghantarnya pulang tadi. Sekurang-kurangnya, dapat Nurul Syakira menukar pakaian. Kalau mengharapkan Nurul Syakira pulang menaiki bas atau berjalan kaki tadi, alamatnya Nurul Syakira terus saja menemui Dani Imran dan Fara Hana dengan baju kurung yang dipakainya pagi tadi. Mesti melopong dua kawannya itu nanti. Meluncur ais dengan baju kurung, mencabar juga.

“Yes! Tren dah sampai!” Seperti biasa, Nurul Syakira sedia berebut untuk masuk ke koc tengah. Spontan Nurul Syakira hempas nafas lega setelah kakinya memijak lantai tren.

Fuh, nasib baik tak payah tunggu lama. Tak adalah terlewat lagi kali ini. Kalau tidak, dah tentu aku kena sumbat telinga mendengar suara mamat mak nenek tu! Desis Nurul Syakira dalam hati. Matanya dikerling ke arah papan laluan tren yang bakal dilalui. Banyak juga stesen yang perlu dilepasinya sebelum sampai ke Subang Jaya. Dani Imran dan Fara Hana akan menunggunya di stesen itu nanti sebelum ke destinasi seterusnya.

Nurul Syakira menjenguk tempat duduk. Lantas Nurul Syakira hempas keluhan halus lalu bersandar ke badan tren. Nampaknya terpaksalah Nurul Syakira berdiri saja. Mungkin selepas stesen KL Sentral nanti, banyak tempat duduk yang kosong harap-harapnya.

Ops!

Nurul Syakira menjeling jam. Tiba-tiba dia teringat hendak memastikan yang jam tangannya itu tidak mati lagi seperti kelmarin. Fuh! Nurul Syakira menarik nafas lega sebaik melihat jarum jam itu berganjak. Lega hati Nurul Syakira. Seketika, tren berhenti di salah satu stesen. Spontan mata Nurul Syakira dilirikkan ke arah pintu. Kelihatan seorang lelaki melangkah masuk sebaik pintu terbuka.

“Ish, mamat ni tak reti baca ke tanda yang ni koc wanita. Selamba badak aje masuk sini. Lepas tu, berdiri pula dekat-dekat dengan aku...” Nurul Syakira berleter perlahan. Dikerlingnya ke arah lelaki itu atas dan bawah. Kononnya mahu tayang muka bengang Nurul Syakira. Tapi lelaki itu pula boleh buat selamba saja. Tengok muka Nurul Syakira pun tidak. Apa, ingat Nurul Syakira tengok dia sebab syok dekat dia ke? Jangan nak perasan!

Mahu saja Nurul Syakira menegur dan suruh saja lelaki itu beralih ke koc sebelah. Tapi mulut Nurul Syakira pula tiba-tiba rasa berat semacam. Hai, takkanlah sebab mamat itu pakai cermin mata hitam dengan jaket kulit sudah buat Nurul Syakira cair kut. Nurul Syakira menggeleng laju. Apalah yang otak Nurul Syakira melayang jauh ni. Nurul Syakira pula yang nampak macam beria-ia tengok mamat itu sedangkan mamat yang dilihatnya buat tidak tahu saja.

Tiba-tiba Nurul Syakira merasakan tren itu bergegar. Nurul Syakira pandang keliling. Tren itu benar-benar bergoyang tapi dilihatnya penumpang lain tetap tenang seperti tiada apa yang berlaku. Kemudian pandangan Nurul Syakira sekejap-sekejap kabur bagai skrin televisyen yang terganggu siarannya. Makin lama ia kian pudar.




“Apa cerita ni, Joe? Dekat facebook dah kecoh peminat bersoal-jawab sendiri pasal status perkahwinan kau!”

Joe Redzuan terperanjat besar mendengar kenyataan itu dari Daniel. Biar betul. Cepat sungguh berita tentang insiden yang berlaku kurang sejam lalu sudah menjadi topik hangat di laman facebook kumpulannya. Baru sekarang Joe Redzuan sedar betapa dia sudah mula dikenali ramai sekarang. ‘Fuh, famous juga aku ni!’ Sempat joe Redzuan memuji diri.

“Apa dah jadi, bro? Apasal kitorang member band kau sendiri pun tak tahu yang kau dah kahwin?”

“Alah, relakslah bro. Yang kau kalut semacam ni kenapa? Biasalah tu peminat nak sebar gosip. Okeylah, aku busy sikit ni. Ada hal yang aku nak kena bereskan. Pandai-pandai kaulah nak back-up aku menjawab gosip-gosip dia orang tu eh...” Joe Redzuan lekas memutuskan talian. Satu nafas berat dihempas perlahan. Matanya dikerling ke pintu. Dari dalam bilik wad ini, Joe Redzuan dapat mendengar riuh di luar. Sejak awal tadi ramai juga peminat yang mengekorinya hingga ke sini. Terpaksa Joe Redzuan mengunci pintu itu dari dalam untuk mengelakkan peminat-peminatnya menyerbu masuk.

Beberapa ketika Joe Redzuan berpaling ke arah seorang gadis yang terlantar atas katil. Spontan satu lagi keluhan halus dilepaskan.

No comments:

Post a Comment