Emey Suhaila hela nafas panjang. Tangannya tidak
henti-henti bermain sudu sambil mengais isi cendol yang masih banyak dalam
mangkuknya. Ais yang tadinya penuh juga kini semuanya sudah cair. Malah tidak
lagi sejuk seperti awalnya. Namun cerita Azura tentang pelajar baru yang
mendaftar ke kolej itu masih belum berakhir.
Ada lagi rupanya cerita dari mulut Azura mengenai pelajar
itu. Bukan saja tentang pelajar baru itu, tapi lebih banyak diceritakan tentang
lelaki yang kononnya abang pelajar baru berkenaan. Rogayah pula rajin sangat
melayan. Musykil juga Emey Suhaila melihat mereka berdua rancak benar berborak.
Entah sejak bila pula mereka jadi rapat. Tapi nampaknya Azura tetap seperti
biasa. Asyik marah-marah Rogayah bila gadis itu banyak soal. Kasihan Emey
Suhaila lihat muka Rogayah yang terkulat-kulat kena marah.
“Hah! Itu dia! Itu dia!” Azura bersuara beria-ia sambil
menepuk-nepuk lengan Emey Suhaila. “Itulah dia!” ulang Azura. Namun Emey
Suhaila masih buat tidak endah.
Rogayah pula yang menggelabah mencari orang yang dimaksudkan
Azura. Dia pandang keliling. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Belakang juga,
dia mencari. Boleh kata semua arah Rogayah menoleh.
“Ila, tengoklah! Itulah budak yang aku cakap dekat kau!”
kata Azura lagi. Kali ini lebih kuat sambil menunjuk ke arah seorang gadis memakai
blaus merah jambu dengan seluar jeans yang baru saja mengambil tempat di bangku
di bawah sepohon pokok besar.
Rogayah mengikut arah telunjuk Azura lalu dia terpegun.
Matanya cuba dikecilkan, cuba melihat muka gadis itu yang duduk agak jauh dari
tempat mereka lepak.
“Wah, cantiknya dia!” Seketika, gadis itu mengeluarkan
sebuah buku dari beg dan dibaca sambil menyilangkan kaki. “Bergaya pula tu!”
Azura katup mulut Rogayah yang sudahpun melopong. “Ish,
baru tengok perempuan dah melopong macam ni! Apalah kau ni. Harap baju aje dah
cantik... tapi perangai tak semenggah kau tu tetap sama,” tegur Azura selamba.
Rogayah hanya tersengih lalu kembali menjamah muka gadis
itu walaupun dari jauh. Sambil itu, otaknya pula sudah mula berangan.
‘Kalaulah aku cantik macam tu... kan best. Anak orang
kaya pula tu. Perfect! Mesti aku pun
jadi pujaan ramai dan dapat jumpa dengan putera idaman aku...’
Melangit angan-angan Rogayah. Kalau Azura dapat baca
fikiran Rogayah, pasti Azura pening kepala. Keadaan sekarang bagaikan sudah
terbalik. Rogayah pula seakan sudah kemaruk pasang bermacam angan-angan
sedangkan Emey Suhaila pula tidak peduli. Sedangkan selama ini Emey Suhaila
yang terhegeh-hegeh mencari cinta putera idamannya.
“Apa lagi Ila!”
“Oh, mak!” Tiba-tiba saja Rogayah melatah hingga sudu
yang terletak kemas dalam mangkuk di sebelah tangannya terpelanting tinggi
sebelum jatuh di depan Azura. Tambah malang, sudu itu jatuh betul-betul atas
manuskrip kertas kerja Azura yang baru disiapkan di kafe siber sebentar tadi.
Rogayah tergamam berbaur gelabah melihat riak Azura yang terbeliak melihat muka
depan kertas kerjanya yang sudah dibasahi sisa cendol.
“Alamak! Maaf! Aku tak sengaja...” pinta Rogayah sambil
kalut mengambil sudunya semula dan kemudian cuba membersihkan kertas kerja
Azura yang sudah bertompok itu dengan jari.
Bersungguh-sungguh Rogayah gosok air itu hingga kering.
Malang betul nasib Rogayah. Tompokan itu jadi semakin lebar dari sebelumnya.
Mata Azura juga makin membulat bikin Rogayah semakin kalut.
“Apa yang buat ni? Dahlah!” Azura tepis tangan Rogayah
dari kertas kerjanya. Kemudian Azura menyambar kertas kerja itu dan ditenung
lama. Seketika Azura lemparkan pandangan ke arah Rogayah.
“Benda ni nak kena hantar esok tahu tak? Susah payah aku
siapkan ni. Senang-senang aje kau kotorkan!” Azura naik berang. Kertas kerja
itu dihempas ke atas meja semula lalu Azura peluk tubuh. Tegang riak wajah
Azura bikin Rogayah kalut memohon maaf.
“A... aku... minta maaf. Aku tak sengajalah...” Rogayah
gelabah lagi.
“Maaf... maaf... itu pun nak tergagap-gagap. Macamlah
maaf kau tu boleh ganti kertas kerja aku ni.” Keras suara Azura sambil menonjol
kertas kerjanya berkali-kali. “Yang kau pergi melatah tak tentu pasal tadi
apahal? Ada bom jatuh ke?” marah Azura lagi sambil mencegilkan mata.
Rogayah terdiam.
“Sudahlah...” Emey Suhaila bersuara kerana tidak mahu
lagi mendengar pertelingkahan mereka berdua. Bosan! Mereka berdua ibarat macam
kucing dengan anjing, tidak sah kalau tidak bergaduh. Kasihan Rogayah asyik
menjadi mangsa amarah Azura yang sememangnya panas baran itu. Silap sikit pun
dia sudah melenting.
“Muka depan saja kan yang rosak. Bukan kau tak boleh print balik. Macamlah kau tak ada printer kat bilik...” sambung Emey
Suhaila malas.
Azura tidak membalas. Hanya jelingan sempat dilemparkan
tepat ke muka Rogayah. Hilang terus moodnya
mahu bercerita. Mahu menghadap cendol yang masih berbaki dalam mangkuknya juga
sudah hilang selera. Ikutkan hati malas Azura mahu hadap komputer malam ni.
Rancangnya balik nanti terus mahu bantai tidur puas-puas sebelum hadap
nota-nota yang bertimbun dia perlu baca sebab tidak hadir ke kuliah beberapa
hari.
Tapi, nampaknya semua rancangannya itu bakal berubah
gara-gara Rogayah yang kalut semacam tu. Kalau sudah menghadap komputer, silap
hari bulan tangan Azura pula yang gatal sangat taksub melayari internet.
Alamatnya, berjam-jamlah Azura melekat depan komputer.
Seketika kemudian, Rogayah bangun dari duduk. Emey
Suhaila tersentak dan hanya memerhati. Belum sempat Emey Suhaila bertanya
apa-apa, Rogayah sudah berlalu pergi.
“Eh, kau nak ke mana pula Aya?” teriak Emey Suhaila namun
tiada jawapan dari Rogayah yang melulu membuka langkahnya. Emey Suhaila hela
satu keluhan halus.
“Lah, merajukkah si Aya tu?” soalnya lagi lalu alih
pandangannya ke arah Azura. Sedangkan Azura pula sekadar tunjuk muka tidak
endah akan apa yang berlaku sekejap tadi. Soalan Emey Suhaila tadi juga tidak
dipedulikannya. Azura terus menungkat dagu sambil tayang wajah keruh,
menunjukkan dia masih lagi marah.
“Kaulah ni, berkeras sangat dengan Aya tu!” tujah Emey
Suhaila melulu sekaligus mengundang reaksi sepantas kilat oleh sahabatnya itu.
“Eh, apa aku pula?” betah Azura tidak setuju. “Lantak
dialah kalau nak merajuk pun, tak ada kena-mengena dengan aku. Kalau dia tak
ada dekat sini, lagi bagus! Aman dunia aku!” tambahnya dengan nada tegas.
Emey Suhaila menggeleng. Tapi apa boleh Emey Suhaila
katakan jika Azura tidak menyukai Rogayah? Emey Suhaila tidak boleh memaksa
Azura. Apapun yang keluar dari mulut Emey Suhaila nanti pasti dibetah gadis itu
semula.
Trutt! Trutt!
Azura menyeluk telefon bimbitnya yang bergegar dalam
poket seluar jeans. Satu mesej diterima. Dengan malas, Azura membuka kotak
mesej tersebut. Serta-merta matanya dibulatkan.
“Hah!” terjah Azura girang dengan senyuman lebar di bibir
sekaligus bikin Emey Suhaila bingung. Emey Suhaila nampak air muka Azura yang
berubah ketara. Entah apalah berita yang begitu menggembirakan hati kawannya
itu sebaik membaca mesej tadi, Emey Suhaila juga tidak sabar mahu tahu. Matanya
juga digalakkan, mengikut rentak Azura.
“Aku dah tahu nama dia! Aku dah tahu nama budak baru tu!”
Beria-ia Azura menuturkannya kemudian menuding ke arah gadis yang duduk di
bawah pohon besar tidak jauh dari mereka. “Eh?” Azura terkejut. Air mukanya
berubah lagi.
Emey Suhaila mengikut telunjuk Azura. Kali ini, apa pula
yang merubah wajah kawannya itu?
“Apa budak tu buat dekat situ?” Terpacul soalan itu dari
mulut Azura. Emey Suhaila juga terkejut melihat Rogayah yang berdepan dengan
pelajar baru yang menjadi topik perbualan mereka sejak pagi tadi.
“Ish, nak kacau daun pula budak ni! Dia pula yang
terhegeh-hegeh berborak dengan budak Qistina tu! Ceh!” Suara Azura bergetar
keras.
“Apa yang kau nak beritahu aku tadi? Apa yang kau dah
tahu?” Emey Suhaila menyoal bila dia dapat merasakan kehangatan amarah Azura
yang sudah mula meluap-luap. Kalau dibiarkan, boleh berasap kepala gadis kecil
molek itu.
“Eh, Zura!” Emey Suhaila mencucuk peha Azura dengan jari
berkali-kali setelah soalannya tidak diendahkan.
“Huh?” soal Azura tanpa menoleh ke arah Emey Suhaila yang
menyoal di sebelah.
“Apa yang kau tahu tadi?” Emey Suhaila mengulang bersama
keluhan yang dilepaskan perlahan. “Apa yang kau nak cakap dengan aku tadi?”
“Oh, nama budak baru tu...” balas Azura acuh tidak acuh.
“Siapa?”
“Putri Qistina.”
“Putri Qistina?” ulang Emey Suhaila. Azura mengiyakan.
Namun matanya masih melekat ke arah gerak-geri Rogayah yang lebih kurang lima
puluh meter dari tempatnya duduk sekarang ini. Bengkak hati Azura melihat gadis
itu berbual dengan Putri Qistina terlebih dulu.
“Mana kau tahu nama dia?” soal Emey Suhaila lagi.
“Huh?”
“Mana kau tahu nama budak baru tu?”
“Kawan-”
“Mana kawan kau tahu?” Emey Suhaila menyoal lagi. Sengaja
mahu menarik perhatian Azura kepadanya.
“Adalah...”
Tapi nampaknya usaha Emey Suhaila itu tidak mendatangkan
hasil. Lantas Emey Suhaila hempas keluhan. Kali ini lebih panjang. Letih dia
menyoal Azura macam-macam. Sepatah dia bertanya, sepatah Azura menjawab. Kalau
soalan Emey Suhaila panjang lebar sekalipun, jawapan Azura tetap sepatah kata.
“Kau buat apa dekat sana? Aku ingatkan kau merajuk tadi?”
soal Emey Suhaila cepat-cepat sebaik Rogayah kembali duduk bersama dia dan
Azura. Sebelum Azura menerjah dengan perasaan marahnya, lebih baik Emey Suhaila
buka mulut dulu.
“Taklah. Aku saja nak berborak dengan pelajar baru tu...”
balas Rogayah lambat setelah ambil tempat di depan Emey Suhaila semula.
“Apa yang kau borak dengan dia? Kiranya kau dah dapat
berkawan dengan dialah ni ya?” soal Emey Suhaila lagi. Tapi belum sempat Rogayah
menjawab soalan Emey Suhaila itu, mulut buaya sudah mula mahu menyerang. Azura
langsung tidak beri peluang Rogayah buka mulut lagi. Terus saja Azura terkam
dengan soalan-soalannya bertalu-talu.
“Eh, apa kau buat dengan budak Qistina tu? Kau sibuk sangat
nak berkawan dengan dia sebab kau rancang nak pikat abang dia dulu ke? Kan aku
dah beri amaran dekat kau sebelum ni, jangan pandai-pandai nak tunjuk muka
dulu. Jangan berangan pula nak pikat abang dia. Aku kenalkan dia tu bukan untuk
kau! Jangan kau pula yang nak menggatal.”
“Siapa nama budak tu tadi kau cakap? Qis... Qisti...?”
Rogayah berkerut-kerut mahu menyebut nama itu. Rasa tergeliat lidah.
‘Hai, kenapalah orang KL ni nama pelik-pelik. Susah betul
nak menyebutnya...’ sua Rogayah dalam hati.
“Qistinalah!”
“Wah, macam mana kau tahu Zura? Hebatlah kau ni...”
Rogayah kelip mata berkali-kali. Konon comellah tu.
Namun Azura lontar jelingan sekali lagi. Sedang sebal di
hati masih belum pergi. “Hai, duduk tercegat dengan budak tu lama-lama pun nama
kau tak tahu?” terjah Azura lagi sambil membuntangkan matanya yang sedia galak.
Rogayah monyok lalu juir bibir. “Tak...” balasnya lambat
sekaligus mengundang rasa terkejut Emey Suhaila. Azura pula tidak langsung
terkejut. Biasalah tu, Rogayah. Lagak macam semua benda dia hendak ambil tahu
tapi bila dia buka mulut saja, jarang ada siapa peduli.
“Budak tu sombong sangatlah. Aku tanya apa pun dia tak
mahu layan. Adakah patut dia kata aku ni penyibuk dan kacau dia baca novel
cintan dia tu.” Rogayah terus monyok. Muncung sudah mulai panjang di bibir dan
menjuir ke depan.
“Apa yang kau tanya dia?” soal Emey Suhaila sekadar ingin
tahu.
“Aku cuma tanya nama dia, kat mana dia tinggal, umur dia
berapa, tarikh lahir dia bila, berapa adik-beradik dia, kenapa dia duduk seorang
aje dekat situ... bla bla bla. Aku cuma nak tahu kalau dia tak ada kawan, aku
nak berkawan dengan dia...”
Azura merengus lalu lempar pandangan ke tanah. “Huh, padanlah
budak tu marah. Tiba-tiba tanya macam-macam, macam polis soal siasat pesalah
pula,” rungutnya perlahan.
Sementara Emey Suhaila sekadar tersenyum sambil menahan
tawa yang mula menjolok anak tekaknya. Berjelar juga soalan yang diajukan
kepada gadis bernama Putri Qistina itu.
Emey Suhaila tenung buku rujukannya atas meja. Sudah satu
jam dia menghadap muka surat yang sama, merenung carta alir yang berselirat
atas helaian buku. Namun semua huruf yang tertulis di atasnya bagaikan kabur
dalam pandangan Emey Suhaila.
Sedangkan otak Emey Suhaila juga sebenarnya sudah
terawang-awang. Kali ini bukan kerana memikirkan tentang lelaki idaman yang
masih tidak kunjung tiba, topik wajib yang selalu yang bermain di fikirannya.
Bukan juga tentang Razali yang sejak akhir-akhir ini semakin galak mencuri perhatian
Emey Suhaila tetapi... entahlah. Emey Suhaila sendiri tidak pasti perkara apa
yang terngiang-ngiang di kotak fikirannya sekarang.
Satu yang pasti, otaknya sesak diasak cerita tentang
Putri Qistina, pelajar baru yang sibuk diceritakan oleh Azura. Beria-ia benar
Azura mahu Emey Suhaila berkawan rapat dengan Putri Qistina hingga tidak
putus-putus ceritanya tentang budak itu. Kononnya gadis itu punya abang yang
kacak, yang memiliki ciri-ciri lelaki idaman Emey Suhaila. Tapi benarkah?
Emey Suhaila letak tapak tangan bawah dagu. Kemudian
menolak kepalanya ke atas. Satu nafas pendek dilepaskan perlahan.
‘Ah, kalau aku tak berkawan dengan budak tu macam mana
nak tahu cerita Zura tu betul ke tak kan...’ Emey Suhaila angguk perlahan,
setuju dengan pendapatnya sendiri. Tapi hatinya masih lagi ragu-ragu dan
bermacam pula soalan yang menerjah benaknya.
‘Tapi... Rogayah cakap budak tu sombong...’ Emey Suhaila
hempas keluhan lagi.
“Ila, bila kau nak tegur budak Qistina tu?” Azura
menyergah dari belakang.
‘Tengok, baru aku fikir pasal budak tu aje... dia dah
mula nak sambung cerita. Pantang nampak bayang aku, mesti nak cakap pasal budak
tu. Sampai sergah aku segala. Nasib baik aku tak ada sakit lemah jantung. Kalau
tak, tak pasal-pasal mati terkejut dekat sini. Apalah yang bagus sangat dengan
budak sombong tu yang dia beria-ia sangat nak aku kawan dengan budak tu? Ish,
musykil pula aku rasa. Memanglah aku suka buat baik dengan budak baru tapi...
kalau dia tu sombong, tak mahulah aku. Buat sakit hati aje. Zura ni saja nak
kenakan aku ke? Saja nak sakitkan hati aku?’ keluh Emey Suhaila panjang lebar
dalam hati.
‘Eh, aku ni apahal pula nak syak bukan-bukan pada Zura. Zura
cuma nak tolong kau ajelah, Ila! Kau yang nak sangat lelaki kaya yang kacak
macam bintang filem! Kalau aku tak cuba kenal budak tu, macam mana aku nak tahu
yang cerita Zura tu betul ke tak. Entah-entah memang betul budak tu ada abang
yang solo lagi! Kalau aku tak nak tackle
lelaki macam yang Zura cakap tu, tolak tuah namanya tu!’ fikir Emey Suhaila
lagi. Spontan satu lagi keluhan dilepaskan buat sekian kalinya.
“Ila!” panggil Azura lagi sambil menepuk bahu Emey
Suhaila dari belakang.
“Ya...” sahut Emey Suhaila lambat, pura-pura tidak
menyedari teguran Azura sekejap tadi. Emey Suhaila paling muka ke belakang.
Melihat Azura kembali sibuk di depan komputer ribanya. Emey Suhaila nampak
tajuk kertas kerja yang tertera pada skrin komputer Azura. Itulah tajuk muka
depan kertas kerja Azura yang telah comot petang tadi.
Seketika, pintu peti kertas pada pencetak disorong keluar
lalu Azura memasukkan beberapa helai kertas di dalamnya. Suara pencetak
menghiasi suasana bilik itu seketika.
“Bila kau nak tegur si Qistina tu?” Azura mengulang
soalannya kemudiannya seraya menoleh ke arah Emey Suhaila yang masih setia
memandangnya. “Kau dah kenal muka dia kan?”
Emey Suhaila gumam bibir. Soalan Azura itu masih belum
mampu dijawabnya sedangkan soalan itu jugalah yang asyik bermain di fikirannya
sejak awal tadi. Entah kenapa kali ini Emey Suhaila begitu berhati-hati mahu
mengenali gadis itu sedangkan dia tidak pernah sebegini teliti. Mungkin juga bukan
jodoh mereka untuk Emey Suhaila mengenal rapat dengan Putri Qistina. Sebab itu
Emey Suhaila rasa berat hati sangat kali ini. Jauh di sudut hati Emey Suhaila
juga tidak sabar mahu mengenali lelaki yang dimaksudkan Azura sebagai abang
kepada Putri Qistina. Tapi... apalah angin Emey Suhaila kali ini. Agaknya
citarasa Emey Suhaila sudah beralih kepada Rogayah barangkali.
“Kenapa kau nampak ragu-ragu pula ni? Kata nak suami
orang kaya. Tak pernah kau bagi reaksi macam ni kalau aku kenalkan lelaki kaya.
Dulu bukan main happy sampai tak
ingat dunia!” Sempat Azura menyindir. Kertas yang menggelongsor keluar dari
mesin pencetaknya dibelek dari atas. Cuba dipastikan dakwatnya tidak tersekat.
Lama dia tidak menggantikan katrij pencetak itu. Takut-takut sudah kering pula
dakwatnya.
“Baru kenalkan advance
sikit, anak Datuk kau dah fikir panjang macam ni. Belum lagi aku kenalkan anak bangsawan
ke, anak raja ke. Atau... kau tak percaya yang dia ada abang? Eh, ni Zuralah!
Mana pernah berita yang aku dapat tak betul!”
“Bukan macam tu...”
“Habis tu?”
“Aku takutlah...”
Azura bulatkan mata, tidak percaya. “Hello! Telinga aku
ni salah dengar ke kau yang buang tebiat?” Azura korek telinga dengan hujung
jari.
“Emey Suhaila takut? Tak pernah aku dengar Emey Suhaila
takut nak tegur orang. Setahu aku, Emey Suhaila yang aku kenal pantang dengar
nama budak baru. Mesti dia sibuk nak menghimpit untuk mencurahkan khidmat bakti
dia. Lagi-lagi bila dengar ada budak baru lelaki yang jambu-jambu. Mesti kau
dah atur rancngan baik punyalah!” Azura menyindir sambil tersenyum nakal.
Keningnya sengaja dijungkit dua tiga kali.
‘Ish, nak perli-perli aku pula budak Zura ni!’ gerutu
hati Emey Suhaila. Emey Suhaila lekas-lekas membuang padangannya ke lantai.
Sengaja dia tidak mahu melihat riak wajah Azura. Ikutkan rasa, telinganya juga
mahu disumbat dengan kapas tebal.
Kedengaran tawa Azura yang terkekek-kekek gelak kecil
melihat wajah Emey Suhaila yang sudah kemerahan sedikit. “Apalah yang kau nak
takut? Budak Qistina tu bukannya karnibal yang makan orang. Dia orang biasa
macam kita juga. Ataupun... kau risau maklumat aku salah? Hei, come on lah. Dah berapa kali aku nak
puji diri sendiri. Pelik sungguh bila kau tak percaya lagi cakap aku ni.”
Kertas muka depan yang siap dicetak dibelek-belek lagi
dengan tangan. Lega bila tulisannya nampak cantik tanpa garis-garis pudar.
“Kali ni memanglah budak baru yang aku nak kenalkan tu
perempuan. Tapi aku yakin, berita yang aku dapat ni sahih lagi benar. Si
Qistina tu memang ada abang, cukup semua ciri-ciri yang kau idam-idamkan selama
ni.” Azura menyambung lagi kemudian kembali menghadap kerjanya semula. Muka
depan tadi dikepilkan bersama manuskrip kertas kerjanya yang asal.
Emey Suhaila pula terus monyok. Lantas dia bangun dari
kerusi dan campak tubuh ke katil. Mata Emey Suhaila terus memerhati Azura yang
sibuk mengepilkan muka depan yang baru saja dicetaknya tadi bersama dengan
kertas kerja petang tadi. Sedang otak Emey Suhaila kini masih sibuk
berkira-kira memikirkan soal Qistina.
“Aku bukan apa. Dari cakap Aya nampaknya budak tu tak
berapa nak mesralah. Aku tak mahulah air muka aku jatuh kalau aku tegur dia
nanti dia pula boleh buat tak tahu aje. Rosaklah imej aku...” Emey Suhaila
menuturkan setelah beberapa minit bertimbang tolak akan hal itu.
“Alah, kau tak payahlah percaya sangat cakap kawan kau
yang nama Aya tu. Salah dia juga. Kalau baru jumpa, tak ada pembuka tiba-tiba
dah tanya macam-macam memanglah orang marah. Tu kira nasib baik budak Qistina
tu tak mahu layan. Kalau aku, memang dah kena dah budak Aya tu!” balas Azura
bersahaja sambil tangannya sibuk menggerakkan pad tetikus untuk menutup semua
dokumen yang dibuka lalu komputer riba itu dimatikan. Butang tutup pada badan
pencetak turut sama ditekan. Setelah semua suis ditutup, Azura bangun dari
kerusi. Nota kuliah di celah fail sempat disambar.
“Kau tak cuba berdepan dengan budak tu lagi, mana kau
tahu budak tu sombong? Cubalah dulu. Bukan luak apa pun.” Azura bersuara lagi
sebaik henyak punggung di atas katil dan bersandar ke dinding.
“Eh, kau lupakah yang kau tu kan bakal ratu kolej!
Perempuan yang baik hati dan bersuara emas yang sekali dengar terus jatuh
cinta. Mana ada satu manusia pun yang tak mahu layan cakap kau. Cuba beritahu
aku, pernahkah sebelum ni ada orang yang buat tak layan aje cakap kau?”
‘Betul juga tu!’ Seketika Emey Suhaila setuju akan
kenyataan Azura. Namun tidak lama. ‘Tapi... kalau apa yang Rogayah kata petang
tadi tu betul, macam mana pula?’ Emey Suhaila geleng kepala lalu menekup
mukanya dengan bantal.
“Hah! Tak adakan? Jadi, tak payah nak susah hati sangat
fikir cakap Rogayah petang tadi. Kau cuma perlu tegur Qistina macam kau buat
selalu.”
Emey Suhaila tarik semula bantal yang menutupi mukanya
tadi. Dia menjeling muka Azura dengan hujung anak mata. Tanpa disedari satu
keluhan halus pula dihela perlahan.
“Kau cakap senang aje kan. Kalau kau nak sangat, kau ajelah
yang berkawan dengan dia...” rungutnya perlahan.
Azura alih pandangan ke arah Emey Suhaila. “Aku nak
berkawan dengan dia tu memanglah boleh. Tapi kalau abang dia tu, aku tak
kuasalah. Buat apa... aku kan dah ada abang aku sendiri. Nanti abang Razif aku
tu nak sumbat dekat mana pula...” balas Azura selamba kemudian perhatiannya
kembali kepada nota di tangan.
Emey Suhaila mencebik. Lirikannya serta-merta di alih ke
atas siling. Merenung siling yang putih ditemani tompok sawang hitam di sana
sini. Bantal yang masih dipegang ditekup semula ke muka. Ikutkan hati malas Emey
Suhaila mahu fikir hal remeh itu tetapi entah kenapa hal itu gagal ditepis jauh
dan terus bermain dalam kotak fikirannya.
ga� %l k � � ya itu pasti Emey Suhaila akan teruja hingga
tidak ingat dunia dan dia tahu apa yang mahu dilakukannya.
‘Tapi... kenapa kali ni lain macam pula reaksi si Ila ni?
Dah bertaubat ke buang tabiat?’ Mahu saja Azura lontarkan soalan-soalan cepumas
yang bermain di benaknya itu tapi seakan tiada ruang untuknya luahkan.
“Yalah, kalau dia ada abang pun nak buat apa kalau abang
dia tu dah kahwin ke... tunang orang ke. Tak ke niaya aku nanti.” Emey Suhaila
berdalih lagi. Dia masih sengaja tidak mahu tunjuk minat kali ini.
“Eh, tak adalah!” tukas Azura seraya menampar lengan Emey
Suhaila. ‘Pap!’ bunyinya hingga terjatuh fail di tangan Emey Suhaila.
Emey Suhaila menggosok tangannya yang terasa perit
sebelum membongkok untuk memungut failnya yang jatuh ke lantai koridor. Sempat
dia menjeling tajam ke arah Azura. Namun Azura hanya tunjuk muka bersahaja,
seakan tidak rasa bersalah saja rupanya. Geram pula hati Emey Suhaila tengok
muka seposen Azura.
“Abang dia tu belum berpunyalah... single and available lagi tahu,” sambung Azura lagi setelah Emey
Suhaila sudah kembali tegak berdiri di depannya. “Kalau dah ada orang punya,
takkan aku nak bagi dekat kau pula. Ish, takkanlah aku nak susahkan kawan sendiri
pula.”
Emey Suhaila diam. Tiada respon yang ditunjukkan.
“Eh, kau dengar tak apa yang aku cakap ni?” sergah Azura
kuat bila melihat kawannya itu masih tidak tunjuk minat. Lengan Emey Suhaila
ditampar sekali lagi.
Emey Suhaila menjeling dan cepat-cepat sembunyikan
tangannya ke belakang. Kalau tidak nanti, tangan Azura yang macam sotong kurita
itu asyik hinggap saja ke lengannya. Perit!
“Ya... aku dengar. Cakap sajalah tapi tangan tu tak payahlah
merayau,” balas Emey Suhaila sambil muncung ke arah tangan Azura.
Azura terus beria-ia cucuk tangkai hati Emey Suhaila
untuk mengenali serta mendekati pelajar baru itu sekaligus memikat keluarga
mereka dan seterusnya memiliki abangnya yang kononnya masih teruna itu. Mulut
Azura terus berceloteh. Sudah lama juga gadis itu tidak banyak mulut begitu.
Begitulah keadaan Azura setiap kali melaporkan cerita. Sekali tengok macam buat
pembentangan kertas kerja Sejuta Impian pula. Sedangkan Emey Suhaila sekadar
mengangguk, mengiakan cerita Azura dan Rogayah pula, juga terus pasang telinga
mendengar perbualan dua kawannya itu walaupun dia sebenarnya tidak berapa faham
situasi sebenar.
“Cop!” Lantang suara Emey Suhaila sekaligus mematikan
suara Azura yang rancak berceloteh tadi.
“Eh, apa cop-cop ni? Aku belum habis cerita lagilah!”
Mata Emey Suhaila tertancap pada seorang lelaki yang
bersandar pada depan sebuah kereta BMW sambil leka menekan dada telefon bimbit
di tangan. “Handsome!”
Azura tercengang mendengar perkataan itu keluar dari
mulut Emey Suhaila. Lantas Azura mengikut arah pandangan Emey Suhaila yang
tidak berkelip-kelip sejak tadi. Azura dapat melihat seorang lelaki berpakaian
ranggi di kawasan parkir. Kemudian, Azura beralih kepada Emey Suhaila semula.
Melihat Emey Suhaila sibuk membelek dan memperkemaskan pakaian yang dipakainya,
Azura mengeluh halus.
“Dah mula dah...” rungut Azura perlahan.
Cermin kecil lekas dikeluarkan dari tas tangan. Gincu
merah jambu bersinar dialis pada bibir, diikuti seluruh muka dibelek satu per
satu.
“Sebelum aku percaya cerita kau tu, lebih baik aku cuba
lelaki yang dah confirm handsome tu!
Kaya pula tu. Tengoklah kereta dia tu, gempak gitu!” ujar Emey Suhaila
bersahaja lalu dia mula atur lenggang-lenggoknya mendekati lelaki yang
dilihatnya tadi. Sambil itu rambutnya yang panjang, ditolak ke belakang gaya
model syampu di televisyen.
Azura hanya menggeleng. Lama dia tidak melihat Emey
Suhaila berperangai begitu. Kali ini, di depan Rogayah... pelajar baru yang
beria-ia Emey Suhaila mahu jaga imejnya. Pasti meloponglah mulut Rogayah kali
ini.
Tambah berbunga hati Emey Suhaila melihat wajah lelaki
itu lebih dekat walaupun sipi. Memang kacak. Gaya pakaiannya juga up to date. Emey Suhaila beri seratus markahlah.
Emey Suhaila berdehem kecil sebelum menegur. Serentak
lelaki itu memandang Emey Suhaila. ‘Fuiyoo! Handsomenya
mamat ni! Apasal aku tak pernah nampak mamat handsome ni sebelum ni?’
“Hai...” Emey Suhaila menegur dengan nada sehabis manis
sambil terlentok-lentok memandang lelaki itu.
Tiba-tiba lelaki itu cepat-cepat berdiri.
‘Yes! Dia mesti
syok dekat aku juga ni! Kalau tak, takkan sepantas kilat dia bangun bila aku
tegur kan...’ Terkekek-kekek Emey Suhaila ketawa dalam hati. Seronok hatinya
melihat reaksi lelaki itu, seperti reaksi biasa yang dilihatnya sebelum ini
setiap kali dia menegur lelaki. Bukan senang Emey Suhaila mahu menegur lelaki
tahu.
“Ni kereta awakkah? Maaflah ya, saya tumpang duduk
tadi...”
Tercengang seketika Emey Suhaila mendengar soalan lelaki
itu. Emey Suhaila telan liur. ‘Lah, sengau!’ Lemah lutut Emey Suhaila rasanya
kerana hampa.
“Eh, tu bukan kereta awakkah?” Terlontar pula soalan itu
daripada Emey Suhaila.
“Eh, bukan. Saya tumpang duduk aje tadi. Saya sebenarnya
tengah tunggu kawan saya.”
Serta-merta air muka Emey Suhaila berubah. Melihat gelagat
lelaki yang tadinya kacak tergaru-garu kepalanya, Emey Suhaila teringat akan
Rogayah.
“Ei, sebiji rupa minah tu!” rungutnya perlahan.
Cepat-cepat Emey Suhaila beredar meninggalkan lelaki itu dan mendapatkan
kawan-kawannya semula.
“Hah? Apa cerita? Dapatkah kau tackle mamat handsome
tu?” Azura terus lontar soalan sebaik Emey Suhaila mendekatinya.
“Ceh, harap muka dengan gaya aje lawa. Kereta tu bukannya
kereta dia. Sengau pula tu!”
“Sengau?!” Azura sudah gelak besar.
Sakit hati Emey Suhaila melihat kawannya itu ketawa bagai
mahu pecah perut di depan. Rogayah di sebelah juga selamba saja ketawa
berdekah-dekah, mengikut rentak Azura. Suka sangatlah tu. Menyesal Emey Suhaila
pergi menegur lelaki itu tadi. Buat malu saja. Hasil tak dapat, jadi bahan tawa
Azura dan Rogayah adalah.
No comments:
Post a Comment