Tinggalkan dulu kisah perjalanan hidup yuri dua tiga minggu ni, jom la baca sambungan "Buddyz vs cinta"
Azura terjaga dari tidur apabila mendengar suara orang
bising dari luar bilik. Perlahan-lahan Azura bangun dari baringan walau
kepalanya masih terasa berat. Sempat Azura menjeling ke belakang, meninjau ke
jendela. Panas terik. Azura dapat menduga waktu sudah melepasi tengah hari.
Seketika kemudian, pintu bilik Azura terbuka dan
kelihatan Emey Suhaila terpacul di muka pintu dengan muka masam. Ada suara
datang dari belakang. Azura menjengah belakang Emey Suhaila dan kelihatan
seorang gadis bertudung ala-ala Arani turut melangkah masuk ke bilik itu. Bibir
gadis itu tidak henti-henti bersuara. Azura tidak dapat mengecam wajah gadis
yang datang bersama Emey Suhaila. Tapi suaranya seakan dia kenal.
“Apa yang kecoh sangat ni? Dari jauh dah boleh dengar
suara kau...” Azura bersuara perlahan walau tekaknya terasa sedikit perit.
Emey Suhaila terkedu dan serta-merta dia yang masih
terkial-kial membuka kasut di tepi pintu terpaku menoleh ke arah Azura. Azura
mengurut kepalanya berkali-kali. Kepalanya terasa berat bagaikan dihempap
bebanan.
“Zura!” Emey Suhaila berlari mendapatkan Azura setelah
mencabut kasut dari kaki dan dicampakkan saja ke tepi. Muka Emey Suhaila
kelihatan gelisah berbuah teruja. “Kau dah okey ke? Dah tak demam lagi?”
soalnya dan terus letak tapak tangan atas dahi Azura.
Azura membiarkan saja. “Okeylah sikit dari pagi tadi.
Cuma kepala aku ni... rasa tepu semacam.”
Emey Suhaila menarik nafas lega. “Baguslah. Sekejap lagi,
baiklah tu kan.” Emey Suhaila tersenyum lebar sambil terduduk atas lantai di
sebelah katil Azura.
“Kau dah makan ubat ke belum, Zura? Makanan pun... dah
makan? Jangan biarkan perut tu kosong. Kalau perut kosong, macam mana nak makan
ubat pula. Kalau tak makan ubat, nanti lambat sembuh. Ila risau kalau kau tak
baik-baik. Bila kau tak ada, dia pun malas nak pergi kuliah. Tengok sekarang ni
pun dia ponteng kelas...”
Azura tercengang sambil terkebil-kebil memandang Rogayah
yang sibuk membelek ubat-ubatnya di atas meja belajar, di belakang katilnya.
Mulut gadis itu masih gagah bersyarah panjang lebar. Azura kerut dahi lalu
menoleh ke arah Emey Suhaila. Sementara Emey Suhaila sudah menggosok-gosok
telinganya. Telinga Emey Suhaila sudah cukup sesak mendengar suara Rogayah
sepanjang perjalanan balik ke kolej tadi. Macam biasalah perkara itu berlaku.
“Siapa dia ni?” Muntah soalan itu dari mulut Azura yang
tercengang dari tadi.
Emey Suhaila hempas keluhan. Belum sempat Emey Suhaila
buka mulut, Rogayah terlebih dulu datang menerpa ke muka Azura. Terkejut kawan
itu dibuatnya.
“Kau tak kenal aku?” terjah Rogayah tiba-tiba. Mukanya
didekatkan ke muka Azura. Sementara Azura hanya mampu bulatkan mata melihat
reaksi gadis di depannya. Rogayah tarik mukanya semula bila nafas Azura yang
panas menerpa mukanya.
“Aku Ayalah. Kau tak kenal?” soal Rogayah lagi. Kali ini
reaksinya lebih teruja.
“Aya?”
“Yalah. Aya... Rogayah!”
Azura tercengang lagi. Muka yang kononnya bernama Rogayah
itu ditenung lama-lama. Setahunya, Rogayah yang dia kenali sebelum ini kolot
orangnya. Rasanya kalau Azura tengok muka Rogayah dengan mulut becoknya itu
mesti demam Azura tidak kebah-kebah malah bertambah teruk agaknya.
“Akulah Rogayah. Eh, cantik sangatkah imej baru aku ni
sampai kau pun tak boleh nak kecam aku?” Rogayah sudah mula tersengih-sengih.
Makin lama riaknya makin jelas teruja. Macam orang dapat hadiah tempat pertama
dalam peraduan gores dan menang saja lagaknya.
“Eii... seronoknya aku. Zura pun tak boleh cam aku!
Nampaknya perubahan aku ni memang berjayalah kan!” ujar Rogayah teruja lalu
satu tamparan dilayang ke bahu Emey Suhaila. Serta-merta Emey Suhaila terkejut
besar dibuatnya.
Emey Suhaila menggosok-gosok bahunya yang terasa perit
gara-gara tamparan Rogayah itu. Berdenyut-denyut rasanya. Melihat reaksi
Rogayah yang teramat teruja itu, Emey Suhaila hanya mampu lempar senyuman
hambar.
Azura melopong lagi. Tidak dapat dinafikan, dia memang
terkejut melihat perubahan ketara gadis bernama Rogayah itu. Muka Rogayah dan Emey
Suhaila yang tersenyum kelat di depannya dipandang silih berganti. Tidak
percaya.
“Biar benar? Macam mana kau ubah dia?” soal Azura
perlahan seakan berbisik.
Emey Suhaila senyum lagi tapi masih nampak kelat. “Alah,
aku ajak dia pergi shopping aje.
Sampai keringlah poket dia aku suruh borong macam-macam,” balasnya mudah. “Tapi
luar aje aku dapat ubah... sikap dia yang becok macam murai tu tetap aku tak
boleh nak ubah. Dahlah suara dia nyaring semacam. Naik bernanah telinga aku ni
dengar suara dia,” bisik Emey Suhaila pula.
Azura hampir tergelak mendengar pengakuan Emey Suhaila.
Matanya menjeling ke arah Rogayah yang masih syok sendiri berangan di tepi
tingkap. Entah apalah dia berkhayal dekat situ agaknya. Mahu saja Azura baca
fikiran Rogayah.
“Padan muka kau! Dari dulu lagi aku dah bagi warning!” Azura mengejek. Ibu jari
ditayang ke muka Emey Suhaila.
Emey Suhaila hanya mampu menjeling tingkah Azura. Sekilas
dia menjeling Rogayah lalu spontan satu hela panjang dilepas perlahan.
“Eh, tapi kenapa kau asyik ponteng kelas aje. Macam dah
pandai sangat aje asyik ponteng kelas. Semester lepas pun teruk markah kau kena
tolak banyak sebab ponteng, tak ingat?” Soal Azura lagi sebaik melihat Emey
Suhaila leka memandang lantai dengan muka kelat. Sempat lagi dia menyindir
kawannya itu. Biar dia sedar sikit.
Emey Suhaila tidak menjawab soalan Azura itu. Wajahnya
yang sedia kelat bertambah pahit. Satu hela nafas dilepaskan lagi. Emey Suhaila
mengaku itulah nasibnya pada semester lepas. Hampir-hampir Emey Suhaila
terpaksa mengulang satu lagi subjek gara-gara markahnya yang cukup-cukup makan.
Tambahan ada juga subjek yang dia terus gagal. Markah kertas peperiksaan Emey
Suhaila pun sudah cukup teruk. Ditolak lagi sepuluh markah untuk markah
kedatangan yang kosong. Sahlah teruk keputusan Emey Suhaila sekaligus
menjejaskan terus markah PNGKnya.
“Ila tak pergi kelas sebab kaulah!” Rogayah menyampuk
bila Emey Suhaila hanya diam saja dari tadi tanpa membalas soalan Azura yang
berulang-kali.
“Hah?” Azura tercengang lagi. “Sebab aku? Kenapa pula
dengan aku?”
“Lagi nak tanya... sebab kau demamlah.”
“Apa kena-mengena aku demam dengan Ila tak pergi kelas?
Aku bukan budak kecil lagi, tak payahlah nak risau sangat sampai ponteng kelas
pula. Aku ada surat MC, ada juga alasan untuk tak datang kelas. Habis tu, kau
takkan nak jawab kau jaga aku pula. Bukannya lepas beb!”
“Bukan sebab tu ajelah...” Rogayah menyampuk lagi sebelum
Emey Suhaila sempat membalas. “Sebab kau tak adalah, Ila selalu kena kacau
dengan budak lelaki yang nama Razali tu...”
Kali ini Azura beliakkan mata mendengar kata-kata
Rogayah. Emey Suhaila juga turut membuntangkan matanya ke arah Rogayah sambil
gumam bibir geram.
‘Alamak minah ni, nak bocor rahsia aku pula!’ getus Emey
Suhaila dalam hati.
“Walaupun aku tak kenal si Razali tu tapi aku rasa aku
boleh agak... yang Ila tak datang kelas sebab dia. Bukan sebab kau aje.”
Rogayah menambah.
Emey Suhaila cepat-cepat bangun dari duduk dan menerpa ke
arah Rogayah. Emey Suhaila tekup mulut Rogayah dengan tapak tangannya sebelum
mulut Rogayah yang ringan sangat itu bersuara lagi. Nanti entah apa pula
telahan yang cuba dia sampaikan kepada Azura.
“Kau jangan dengar cakap budak ni. Aya ni bukan kau tak
tahu... mengarut aje tahunya.” Emey Suhaila cuba bela diri sambil
tersengih-sengih. Tangannya terus menutup mulut Rogayah dan sedikit pun tidak
membenarkan gadis itu bersuara lagi. Walaupun Rogayah meronta juga Emey Suhaila
tidak peduli. Makin kuat Rogayah meronta, makin kuat Emey Suhaila katup mulut
gadis itu.
“Razali? Dia kacau kau lagi ke hari ni?” Azura tidak
percaya. Sungguh dia terkejut mendengar tutur yang keluar dari mulut Rogayah
sekejap tadi. “Kalau dah minah ni pun tahu pasal Razali tu, mesti lelaki tu
buat hal lagi kan? Aku dah agak dah!”
Emey Suhaila tersengih lagi serentak melayang tapak
tangannya ke kanan dan ke kiri. “Kau jangan dengar cakap budak ni, Zura. Dia ni
memang macam paparazi sikit. Macam-macam pula kesimpulan yang dia buat
sendiri.”
“Yang kau ni kalut semacam, kenapa?” terjah Azura tidak
percaya. Dahinya berkerut-kerut tidak mengerti reaksi Emey Suhaila itu. Tapi
kalau boleh, Azura malas mahu fikir banyak. Kepalanya yang masih berat rasa
bertambah sakit diasak cerita-cerita itu. “Ah, sudahlah! Aku nak tidur
baliklah. Sakit kepala aku tengok kawan kau ni!” katanya terus-terang lalu
rebahkan badan semula ke tilam.
Emey Suhaila urut dada seraya hembus nafas lega. Kemudian
dia tenung muka Rogayah dengan riak bengang. “Kau ni, janganlah nak cakap
sembarangan. Zura tu pantang dengar nama si Razali tu tahu. Dia memang tak suka
pada lelaki tu dan benci Zura pada mamat tu lagi teruk daripada aku tahu tak?
Naik angin minah tu nanti, kita yang kena tahan telinga dulu!” bisik Emey
Suhaila bernada amaran.
Sementara Rogayah hanya beri reaksi terpinga-pinga kerana
kurang mengerti pesan Emey Suhaila itu.
No comments:
Post a Comment