Emey Suhaila memerhati Putri Qistina dari jauh. Sudah
agak lama juga Emey Suhaila menghendap gadis itu. Sebaik habis kuliah jam
sepuluh pagi tadi, senyap-senyap Emey Suhaila menyelinap keluar dari dewan
kuliah. Azura dan Rogayah juga tidak sedar akan tindakannya itu. Pasti mereka
berdua tertanya-tanya akan ketiadaan Emey Suhaila sehingga tidak nampak batang
hidung sampai ke petang.
Pandai-padailah Azura hendak melayan Rogayah yang pasti
banyak soalan dan tercari-cari bayang Emey Suhaila. Rajin sangat mengasak
telinga Emey Suhaila tentang Putri Qistina kan. Nah, rajin-rajinlah berkhidmat
untuk Emey Suhaila pula untuk melayan Rogayah. Kalau dia tidak tahan nanti,
ditinggalkan saja Rogayah.
Kali ini sebab apa lagi Emey Suhaila menghilangkan diri
tiba-tiba jika bukan kerana Putri Qistina yang namanya sering keluar dari mulut
Azura hingga Emey Suhaila jadi rimas. Azura juga yang beri cadangan semalam. Nah,
sekarang Emey Suhaila akan lunaskan permintaan Azura yang beria-ia sangat mahu Emey
Suhaila mendekati gadis itu. Kerana takut dimalukan oleh gadis yang kononnya
sombong itu, terpaksalah Emey Suhaila buka langkah memerhatikan dulu
tindak-tanduk gadis bernama Putri Qistina itu. Petang ini juga tiada kuliah
lagi. Bagus. Dia masih ada banyak masa untuk memerhati. Letih juga dia mencari
kelibat Putri Qistina pagi tadi. Kononnya kolej ini tidaklah besar mana tapi
berpeluh jugalah dia mencari.
Satu kolej Emey Suhaila pusing untuk mencari Putri
Qistina. Susah benar mahu mencari bayang gadis itu. Bila sudah dapat, paling
muka saja sudah hilang kelibatnya. Sekilas saja sudah lenyap. Macam pelesit!
Letih Emey Suhaila mencari kelibat Putri Qistina semula. Kali ini Emey Suhaila
tidak akan lepaskan bayangnya sekalipun menghilang. Emey Suhaila akan pastikan
setiap gerak-geri tidak lekang dari pandangannya. Bila Putri Qistina dilihat
pergi ke kafe, Emey Suhaila juga akan ada di situ dan tatkala gadis itu pergi
bilik air, Emey Suhaila tetap ikut sama dengan berpura-pura membelek wajah di
cermin. Ke mana saja Putri Qistina pergi, di situ jugalah Emey Suhaila berada.
Setengah jam lalu, Putri Qistina masuk ke Bilik Komputer
dan Emey Suhaila juga terpaksa menggunakan komputer tidak jauh dari Putri
Qistina. Tangan kanan Emey Suhaila sesekali menggerakkan tetikus ke kanan dan
ke kiri tapi hanya anak panah saja yang berkeliaran di skrin komputer. Tiada
dokumen mahupun laman sesawang yang dibuka Emey Suhaila. Sedang mata Emey
Suhaila terus menjeling tingkah Putri Qistina yang kelihatan ligat menekan
butang huruf di dada papan kekunci. Yalah, Emey Suhaila bukannya berniat mahu
melayari internet mahupun membuat kerja di komputer. Tugasnya sekarang adalah
untuk mengintip kelakuan Putri Qistina, sebelum dia bersedia mahu menegur gadis
itu.
Selesai menaip, Putri Qistina mencabut keluar pendrivenya keluar dari penghubung USB.
Kemudian, dia bangun dan beredar keluar dari bilik komputer itu. Emey Suhaila
memerhatikan saja terlebih dulu. Lambat dia bangun dan mengikut rentak Putri
Qistina yang terlebih dulu beredar.
Keluar saja dari bilik komputer, Emey Suhaila kalut
melihat bayang Putri Qistina sudah lesap.
‘Aik, kejapnya hilang!’ rusuhnya dalam gelabah. Emey
Suhaila lihat keliling tapi masih tidak nampak bayang Putri Qistina. Lantas Emey
Suhaila berlari melalui laluan di sepanjang aras itu sambil matanya melilau
melihat kiri dan kanan. Emey Suhaila berpatah semula apabila sudah sampai ke
jalan mati.
Sebaik nampak Putri Qistina yang baru keluar dari tandas
perempuan di sebelah bilik komputer tadi, Emey Suhaila hempas nafas lega.
Lariannya dihentikan serta-merta dan melangkah perlahan jauh di belakang Putri
Qistina.
‘Eh, apa aku buat ni? Aku ni dah macam stalker pula!’ Terdetik andaian itu di
fikiran Emey Suhaila tiba-tiba. Sekaligus langkah kakinya terhenti di situ
sambil berfikir sendiri. Patutkah Emey Suhaila teruskan tindakannya itu? Putri
Qistina itu pun, masakan tidak menyedari tingkah Emey Suhaila yang asyik
memerhatikan gerak-gerinya sejak beberapa jam lalu. Di mana saja Putri Qistina pergi
pasti terserempak dengan Emey Suhaila. Masakan gadis itu tidak musykil.
Entah-entah gadis itu sengaja pura-pura tidak kesah kerana tidak berminat
terhadap Emey Suhaila.
Jatuhlah air muka Emey Suhaila kalau Putri Qistina buat
tidak endah akan kehadiran Emey Suhaila. Tidak pernah ada sesiapa pun yang
berani ketepikan Emey Suhaila atau buat buta mata saja bila nampak Emey Suhaila
sebelum ini. Kalau Emey Suhaila lalu mesti semua mata menoleh. Cuma seorang
saja yang berani perlekehkan Emey Suhaila di kolej itu. Dialah Melissa, budak
perempuan yang kerek semacam di depan Emey Suhaila. Alah, si Melissa tu mesti
cemburu terhadap Emey Suhaila. Lelaki yang dia suka pun tersangkut dekat Emey
Suhaila. Itu yang Melissa benci Emey Suhaila separuh mati.
Tapi, kalau Putri Qistina pun sama spesies macam Melissa
macam mana? Kalau betullah Putri Qistina juga sombong macam Melissa, mesti
sakit hati Emey Suhaila nanti. Paling kurang pun, Emey Suhaila mesti rasa
menyampah sampai hendak muntah dan Azuralah orang yang akan menjadi mangsa
menerima habuannya nanti. Sebab Azura juga yang sibuk sangat bercerita pasal Putri
Qistina tidak habis-habis seakan tidak sabar-sabar mahu melihat Emey Suhaila
berkawan rapat dengan Putri Qistina. Kalau Emey Suhaila betul-betul rapat
dengan Putri Qistina nanti, Azura juga yang cemburu buta. Dituduhnya pula Emey
Suhaila lupa kawan nanti.
Emey Suhaila mula teragak-agak. ‘Habis tu... nak terus
ikut budak Putri Qistina tu ke? Aku buat macam ni tak macam stalker ke? Nanti kalau dia sedar
perbuatan aku ni, dia tuduh aku macam-macam pula. Kalau aku ni lelaki dah tentu
dia tuduh aku nak buat gangguan seksual. Ish, selisih!’ Emey Suhaila terus
berkira-kira. Otaknya yang tadinya kosong dan hanya tertulis yang dia perlu
perhatikan Putri Qistina hari ini walau apapun jadi, tidak boleh tidak
tiba-tiba jadi bercelaru.
“Ah, lantaklah! Aku bukannya menghendap dia pun. Aku cuma
tengok-tengokkan dia aje!” Emey Suhaila tepis semua andaian yang menerpa sekuat
hati. Biar semua andaian-andaian itu pergi jauh dari ruang fikirannya. Emey
Suhaila bertekad mahu teruskan niatnya sebelum ini. Tapi semangat yang tadinya
membakar terpadam semula setelah bayang Putri Qistina di depan sudah lesap.
Mata Emey Suhaila liar melirik ke setiap sudut tapi tidak jumpa.
“Aduh budak ni... macam chipsmore betullah! Kejap aje dah
lesap...” Emey Suhaila tepuk dahi lalu hempas keluhan panjang. “Sia-sia aje aku
ikut dia dari tadi. Tapi satu habuk pun aku tak dapat. Apalah yang aku buat
sebenarnya hari ni entah. Nak ikut dia pun, dia pula asyik menghilang. Letih
aku dibuatnya. Kalau macam nilah gayanya, malaslah aku terhendap-hendap dia
lagi macam pembunuh bersiri. Baik aku terjah aje!”
Emey Suhaila lepak di perpustakaan setelah usahanya untuk
memerhatikan Putri Qistina dari jauh gagal di separuh jalan. Macam aksi spy pula lagak Emey Suhaila
terhendap-hendap ke mana saja Putri Qistina pergi. Tapi sudahnya, buat lencun
baju dengan peluh yang berjurai-jurai mencari Putri Qistina ke sana sini.
Tegurnya tidak juga. Nasib baik Emey Suhaila sudah sembur Rexona active pagi tadi. Jadi mestilah ketiak Emey Suhaila tidak
berbau hangit walau bergerak aktif sekalipun.
Emey Suhaila buka buku-buku yang diambilnya dari rak
tadi. Namun helaian itu tidak dibacanya. Malahan langsung tidak dihadap dan
dibiarkan saja buku-buku itu terbuka. Lagipun, Emey Suhaila sekadar mencapai
apa saja buku dari rak semasa pusing satu aras perpustakaan tadi. Padahal dia
sendiri pun tidak pasti buku apa yang diambil.
Jika dilihat pada judul, macam-macam subjek yang Emey
Suhaila cekup. Tamadun Malaysia, asas komputer, fisiologi haiwan, Fundamentals of Analytical Biochemistry,
Physics, Molecular Biology pun ada. Buku yang mana satu sebenarnya Emey
Suhaila mahu baca? Walhal, semua tajuk-tajuk itu tidak berkaitan sangat pun
dengan jurusan perniagaan yang diambilnya di kolej.
Alah, Emey Suhaila bukan nak baca sangat pun. Setakat
berlagak macam rajin sangat membaca dengan buku yang bertimbun sudahlah. Emey
Suhaila lepak dekat perpustkaan ni pun sebab sudah letih berjalan berjam-jam.
Sekarang Emey Suhaila mahu berehat sambil menikmati udara dingin di
perpustakaan.
Buku-buku itu terus dibiarkan melata terbuka di depan Emey
Suhaila. Biarkan sajalah buku-buku itu begitu, memang itu cadangan Emey Suhaila.
Sebaliknya, Emey Suhaila hempas tubuh ke belakang kerusi. Tangannya menggenggam
telefon bimbit. Butang pada dada telefon ditekan beberapa kali.
Selepas beberapa minit, Emey Suhaila hempas keluhan.
Bosan. Semua yang dibuat ketika ini terasa seakan tidak menarik. Memang
langsung tidak menarik. Emey Suhaila benar-benar bosan dan letih. Kebosanan
yang mengasak dirinya sekarang ini bikin Emey Suhaila bertambah letih. Emey
Suhaila jeling jarum jam di pergelangan tangan. Lantas satu lagi keluhan yang
lebih panjang dilepaskan.
Hendak pulang terus, dia letih hendak memandu. Mahu tidak
mahu, terpaksa menunggu Azura yang baru menghantarnya mesej beberapa minit tadi
dan memberitahunya yang dia ada temu janji dengan Dr. Zainal. Adalah tu yang
dia tidak faham tentang kuliah Dr. Zainal pagi tadi. Atau pun, sengaja Azura
hendak hadap muka Dr. Zainal untuk melepaskan rindu pada tunangnya, Razif. Emey
Suhaila nakal meneka yang bukan-bukan.
“Ish, apalah aku nak buat lama-lama dekat sini? Si Zura
tu, kalau dah jumpa pensyarah mesti lama. Mesti banyak soalan yang dia nak tanya.
Kalau ada katil kan best. Boleh juga
aku golek-golek dan lelapkan mata sejam dua!” Emey Suhaila merungut perlahan.
Telefon bimbit yang dipegang dihempas ke atas buku tebal yang terbuka.
Bip! Bip!
Terkejut Emey Suhaila tatkala telefon bimbitnya berbunyi.
Cepat-cepat Emey Suhaila genggam telefon itu semula. Kali ini genggamannya
lebih ketat.
‘Cis! Aku lupa pula nak silentkan telefon ni. Nasib baik bunyi sikit aje. Kalau tak, malu
aku kalau orang pandang. Mana aku nak letak muka baik aku ni!” getusnya dalam
hati sambil pandang keliling. Rasanya tiada siapa menyedari akan bunyi yang
datang dari telefon bimbitnya sekejap tadi. Mesti orang ingat bunyi suara
burung yang riuh berkicau di luar tingkap perpustakaan. Kebetulan pula Emey
Suhaila duduk dekat dengan tingkap. Alah, bunyi bip bip dengan chip chip itu
kan lebih kurang sama saja bunyinya.
Setelah menarik nafas lega, Emey Suhaila buka genggaman
jarinya. Punat kekunci telefon ditekan sekaligus jantung Emey Suhaila sekali
lagi direntap rasa terkejut bila skrin telefon bimbitnya terus gelap.
“Aik, apa kena pula dengan telefon ni? Takkan baru hentak
sikit dah padam?” Suara Emey Suhaila kedengaran cemas. Emey Suhaila tekan papan
kekunci telefon berkali-kali. Tapi, skrinnya masih gelap.
“Ai, aku pakai telefon cikai dulu pun boleh tahan lama.
Takkan telefon canggih yang hisap duit aku beribu-ribu ni dulu baru berapa
tahun pakai dah jahanam sebab benda kecil tu? Ish...” Punat hidup-mati ditekan
beberapa kali lagi. Tapi masih tidak membuahkan hasil. Geram dengan perihal
telefon bimbitnya yang tidak tahu apa sebabnya ia padam, Emey Suhaila hempas telefon
itu atas meja sekali lagi serentak melepaskan satu rengusan.
Pandangan Emey Suhaila dilemparkan keliling perpustakaan
aras dua itu sambil hentak tubuh ke belakang kerusi semula. Keadaan sekeliling
kelihatan lengang. Hanya ada beberapa orang penuntut saja di situ, yang khusyuk
dengan kerja masing-masing. Sesekali kelihatan mereka berbisik bersama teman
mereka. Patutlah tiada yang kesah dengan tingkah Emey Suhaila yang kalut
sekejap tadi. Tidak ramai orang rupanya.
Emey Suhaila terus pandang keliling. Rasanya masa masih
lagi panjang sebelum bayang Azura muncul. Eh, entah-entah Azura yang hantar
mesej tadi menyatakan dia sudah habis perbincangan dengan Dr. Zainal. Tapi
takkanlah baru hantar mesej beberapa minit tadi kata baru nak jumpa, tak sampai
sepuluh minit sudah habis soal jawab?
Hendak ditelefon Azura, telefonnya pula buat hal.
Entahkan rosak entahkan baterinya saja yang habis. Kalau betul rosak, memang
layak benarlah Emey Suhaila campak saja telefon itu ke dalam tong sampah.
Bukannya boleh kitar semula pun.
Tiba-tiba pandangan Emey Suhaila tertancap pada sesusuk
tubuh di balik rak yang tidak jauh dari tempat Emey Suhaila duduk. Dahi Emey
Suhaila mula berkerut. Dia cuma amati susuk tubuh itu betul-betul. Emey Suhaila
seakan kenal akan tubuh itu dan yang pasti Emey Suhaila perasan benar pakaian
yang dipakai gadis itu.
Ya, itu Putri Qistina agaknya. Emey Suhaila mengangak sedangkan
dia tidak dapat melihat wajah gadis yang kelihatan khusyuk membelek sebuah buku
di tangannya. Hanya separuh badan dan rambutnya yang panjang dan lebat saja
yang sedikit dapat dilihat oleh Emey Suhaila.
“Rasanya betullah tu dia. Kalau aku asyik teragak-agak
dekat sini, macam mana nak tahu siapa budak perempuan tu!” Tanpa berfikir
panjang, Emey Suhaila lekas bangun dari kerusi dan melangkah ke arah rak di
depan Putri Qistina. Kalau betul gadis yang dilihatnya itu ialah Putri Qistina,
memang ada jodohlah dia dengan Putri Qistina.
“Eh, itu bukan senior Emey Suhaila ke?” Sempat telinga Emey
Suhaila menangkap suara bisikan dua orang pelajar yang tadinya sibuk menelaah
buku mereka. Tiba-tiba pula mereka nampak teruja sebaik Emey Suhaila melintasi
di tepi meja mereka dan mulalah berbisik-bisik.
“Eh, yalah. Kenapa kita tak perasan dia tadi ya?
Cantiknya Kak Emey Suhaila tu kan.”
“Kak Suhaila... kak...” panggil salah seorang pelajar itu
sambil melambai-lambaikan tangannya ke arah Emey Suhaila.
Emey Suhaila menoleh lantas lemparkan senyuman semanis
mungkin. ‘Siapa pula tu? Aku kenal diakah?’ soal Emey Suhaila dalam hati. Tapi
gadis itu terus melambai dan seakan memanggil Emey Suhaila supaya datang ke
meja mereka.
‘Alamak. Janganlah kacau aku. Nanti hilang lagi biskut
chipsmore tu!’ Emey Suhaila berkira-kira sambil menjeling ke arah Putri Qistina
yang masih tidak berganjak di tempatnya.
Namun dua pelajar itu makin galak melambai ke arahnya.
“Marilah Kak Suhaila...” panggil gadis itu lagi perlahan,
seakan berbisik.
Terpaksalah Emey Suhaila melangkah ke arah dua gadis yang
memanggil itu walau Emey Suhaila sebenarnya rasa keberatan. Sedang bibirnya
tidak lekang ukir senyuman. Kalau Emey Suhaila tidak ikutkan, takut dihebah Emey
Suhaila sombong pula.
“Wah, rajinnya ulang kaji. Siap buat latih tubi soalan
lepas lagi...” Emey Suhaila menegur sebaik tiba di meja dua pelajar perempuan
itu sambil menunjuk ke arah helaian kertas yang berselerak di atas meja.
Kebetulan mata Emey Suhaila tertancap pada soalan pada kertas-kertas itu.
“Patutlah peratus markah junior lagi tinggi. Tak macam batch kami yang selalu bermalas-malasan
ni,” sambung Emey Suhaila lagi lalu tertawa kecil. Tangannya diletakkan ke
bibir, menutup mulut yang tertawa.
“Eh, tak adalah kak. Peratus yang tinggi tu, markah orang
lain. Kami ni tak pandai mana pun. Sebab tu kena banyak buat latihan. Kalau tak
kerana senior-senior yang tolong, kami pun tak dapat nak kumpul soalan
tahun-tahun lepas ni,” balas salah seorang daripada mereka sementara seorang
lagi sekadar angguk sependapat.
“Alah, tu benda kecil saja. Dulu kami pun selalu minta
tolong senior juga. Yalah, dah memang adatlah tugas senior nak kena tolong apa
yang patut kan. Emm... akak pun nak pergi cari buku. Akak pergi dululah ya.
Kamu berdua teruskanlah usaha gigih ni. Mesti nanti kamu dapat skor dalam
peperiksaan.” Emey Suhaila tersenyum lalu melambai untuk minta diri.
Cepat-cepat Emey Suhaila pusing dan kembali meneruskan hajatnya yang
tergendala.
“Betullah. Kak Suhaila tu memang cantik. Dahlah cantik, sporting pula tu. Ingat masa orientasi
dulu, bukan main lagi dia baik dengan semua budak baru. Semua suka dekat Kak
Suhaila. Dengar cerita result exam
dia pun dengarnya boleh tahan juga tau...” sambung gadis itu semula, berbisik
kepada kawannya yang duduk bersetentangan.
“Emm... cantik, baik,.pandai... kalaulah aku ada akak
macam dia kan best. Kakak aku tu pula asyik berleter aje dua puluh empat jam.
Apa aku buat semua tak kena pada dia. Sakit telinga aku ni.”
Hati Emey Suhaila mula berbunga mendengar pujian itu.
Sengaja dia perlahankan langkah kaki semata-mata mahu memasang telinga.
Senyuman lebar yang tidak sabar untuk mekar di bibir cuba ditahan.
‘Famous juga
aku ni ya. Tapi sejak bila pula result
aku jadi gempak?’ Detik Emey Suhaila lalu ketawa dalam hati.
Seketika, Emey Suhaila tampar pipinya perlahan. Emey
Suhaila harus tetapkan pendirian. Sekarang masanya untuk menjalankan misi,
bukan untuk melayang-layang dengan pujian-pujian yang sudah biasa Emey Suhaila
dengar. Misi Emey Suhaila sekarang adalah untuk mendekati Putri Qistina, budak
baru di kolej itu. Kerana seakan sudah menjadi tanggungjawabnya untuk mendekati
pelajar baru di kolej itu walaupun pada awalnya Emey Suhaila rasa keberatan.
Tambah-tambah setelah mendengar pengakuan Rogayah. Kononnya Putri Qistina itu
dingin orangnya hingga Rogayah yang kecoh itu pun tidak berani lagi menegur Putri
Qistina. Tapi Emey Suhaila tidak boleh buat andaian sendiri. Betullah kata
Azura, jika Emey Suhaila sekalipun disoal macam-macam seperti dibuat Rogayah, Emey
Suhaila juga akan rasa rimas.
Sampai saja di rak buku di depan Putri Qistina, Emey
Suhaila pura-pura membelek buku-buku di rak itu sambil matanya curi-curi
melirik ke arah wajah gadis itu.
‘Sah! Dia memang Putri Qistina. Hah, bagus! Aku dah jumpa
kau balik chipsmore!’ Tidak salah perkiraan Emey Suhaila tadi setelah dia pasti
gadis itu benar-benar adalah Putri Putri Qistina, pelajar baru yang
dikejar-kejarnya.
“Awak ni budak baru di kolej ni ke? Sebab saya macam tak
pernah nampak awak sebelum ni.” Emey Suhaila beranikan diri untuk menegur
sambil menyelak buku di depan Putri Qistina. Jelas Emey Suhaila dapat melihat
wajah itu kali ini.
Putri Qistina membalas renungan Emey Suhaila. Namun
soalan gadis itu tadi tidak diendahkan. Buku di tangan yang sedang dibeleknya
tadi pula dikatup serta-merta dan Putri Qistina terus berlalu.
Emey Suhaila beliakkan mata bersama mulutnya yang turut
spontan terlopong, terkejut akan reaksi Putri Qistina. Bagai terhenti jantung Emey
Suhaila melihatnya pergi.
‘Ish, dia boleh pergi macam tu aje. Geramnya aku,’ getus Emey
Suhaila geram. Jari-jemarinya sudah mula digenggam kemas, menahan marah yang mula
menganjal bila memerhati Putri Qistina yang khusyuk pula menghadap buku
tebalnya di kerusi tidak jauh dari situ.
Emey Suhaila urut dada. Emey Suhaila tetap cuba
berfikiran positif untuk meredakan amarahnya. Dia tidak mahu rasa marahnya itu
merajai diri. Mana tahu, berita yang disampaikan oleh konco-konco Azura itu
benar. Emey Suhaila juga yang gigit jari jika abang budak anak orang kaya itu
disambar perempuan lain nanti.
“Ah, dia tak dengar agaknya apa yang aku cakap tadi.
Ataupun dia ingat suara aku tadi tu suara hantu dekat sini. Sebab tulah dia blah macam tu aje kut.” Emey Suhaila
buat andaian. Lantas perlahan-lahan Emey Suhaila tarik nafas dalam-dalam.
Terasa macam nak buat yoga pula.
Emey Suhaila mencapai sebuah buku dari rak lalu langkah Emey
Suhaila dibuka semula, mendekati meja di mana Putri Qistina berada. Sebuah
kerusi di depan Putri Qistina ditarik Emey Suhaila. Lantas Emey Suhaila
melabuhkan punggungnya di atas kerusi itu. Buku yang diambilnya tadi diselak
laju sehingga ke helaian terakhir dan buku itu dibiarkan terbuka pada muka
surat terakhir.
Perhatian Emey Suhaila beralih kepada Putri Qistina.
Gadis itu masih khusyuk dengan pembacaannya.
“Emm... awak ni memang budak baru dekat sini ya?” Emey Suhaila
menyoal namun tiada reaksi yang ditunjukkan gadis di depannya itu. Putri
Qistina masih leka dengan bukunya. Emey Suhaila terus perhatikan gelagat gadis
itu. Sekali-sekala jari Putri Qistina menulis sesuatu atas sehelai kertas
kosong sambil jari telunjuk kirinya pula menunjuk ke barisan tulisan pada dada
buku.
Emey Suhaila dekatkan mukanya ke depan, merapati wajah Putri
Qistina. Kemudian Emey Suhaila mengulang soalannya tadi kerana menyangka Putri
Qistina mungkin tidak dapat mendengar suara halusnya sekejap tadi. Tapi
hasilnya tetap sama. Lagak Putri Qistina yang tidak mengendahkan teguran Emey
Suhaila itu menyebalkan hati Emey Suhaila yang tadi cuba ditenangkan.
Emey Suhaila membelek kedua belah tangannya sambil
berfikir dalam hati. ‘Aku ni invisible
ke? Dah jadi hantu ke sampai budak ni tak nampak?’
“Helo...” Emey Suhaila menegur lagi sambil
melayang-layangkan tapak tangan ke depan muka Putri Qistina. Namun, Putri
Qistina masih beri respon yang sama, tidak langsung pedulikan kehadiran Emey
Suhaila.
Bibir Emey Suhaila herot ke tepi lalu Emey Suhaila hentak
tubuh ke kerusi. Tangannya dilipat memeluki tubuh.
‘Ish, pekak ke apa budak ni? Sombong yang amat. Boleh dia
buat tak tahu aje aku cakap dengan dia. Dah macam cakap dengan patung tak
bernyawa pula dekat sini!’
Sakit hati Emey Suhaila untuk terus melihat reaksi Putri
Qistina. Makin lama dia duduk menghadap Putri Qistina, makin bengkak hatinya.
Lama-lama boleh meletup rasanya. Sebelum gunung berapi dalam diri Emey Suhaila
betul-betul meletup, Emey Suhaila segera bangun dengan sebal hati meninggalkan Putri
Qistina yang terus khusyuk dengan kerjanya.
No comments:
Post a Comment