Pages

Hi pembaca semua!!!

Terima kasih kerana datang melawat, membaca karya-karya dalam blog ini dan terima kasih juga kepada semua yang menyokong Yuri. Yuri rasa happy sangat dengan kehadiran korang dalam hidup mahupun alam maya Yuri ni.

Segala komen dan sokongan sentiasa dan akan terus membakar semangat Yuri untuk terus berkarya menggunakan nama pena ayu munawer.

Semua karya di dalam blog ini adalah ilusi, imaginasi serta daripada pengalaman hidup. Dan yang paling penting, semua karya di sini adalah hasil karya Yuri. Mohon supaya tiada copycat dekat sini... tqvm

Harap korang terus menyokong dan beri komen mahupun kritikan untuk Yuri memperbaiki sebarang kekurangan.

P/S: Untuk makluman, karya "Dia Si Jantung Hati" akan dihentikan penerbitannya di sini atas sebab rombakan besar-besaran plot cerita. Justeru itu, judulnya juga bakal berubah. Maaf atas sebarang kesulitan. Harap korang setia menunggu dan menyokong hasil rombakannya nanti okey ^^,
"Aku tak suka kau la" kini diterbitkan di penulisan2u dengan tajuk "JIWA KACAU"..saja nk tukar tajuk. Sebb yuri rasa cam lg sesuai je tajuk ni..lebih pendek n ringkas hehe ada ka yuri edit2 skit. Harap u all x kesah nk singgah baca :-)
Sudi-sudilah berkunjung ke official blogshop yuri di http://decodanmakan.blogspot.com yer. Walaupun rupanya masih macam blog biasa, yuri pun masih belajar lagi macam mana nak upgradekannya. Macam-macam ada. Nak tau apa yang ada, kenalah singgah.

Terima kasih (^^,)v

Friday, August 23, 2013

Buddyz vs cinta : bab 16


Setelah mendengar cerita Azura yang bersungguh-sungguh memperkenalkan pelajar baru kepada Emey Suhaila, Emey Suhaila keluar semula dari dewan kuliah untuk ke tandas. Ingatkan cerita Azura itu sudah berakhir di kaki lima tadi. Rupanya sambung-menyambung, panjangnya bagai karangan. Bermacam idea Azura lontarkan lagak pembantu peribadi Emey Suhaila pula. Terasa kebas telinga Emey Suhaila mahu terus mendengar cerita Azura. Tapi nasib baiklah Azura tidak buka cerita pasal budak sengau itu lagi.
Rogayah pula sibuk bertanya itu dan ini. Semakin lama Rogayah pasang telinga curi-curi mendengar cerita Azura yang terbisik-bisik itu, bertambah ghairah jugalah gadis itu menyoal. Dia juga sibuk bercerita. Mahu berkawan dengan kawan-kawan Azuralah, begitu juga dengan pelajar baru itulah. Katanya mahu menambah kenalan. Hah, kalau Rogayah hendak sangat ambil sajalah! Emey Suhaila sudah tidak peduli. Telinga Emey Suhaila ini juga sudah cukup letih mendengar cerita di kiri dan kanan.
Emey Suhaila hela nafas halus. Dua kali lima saja rupanya dua kawannya itu. Sebaik Emey Suhaila bangun dari tempat duduknya, Emey Suhaila nampak kelibat Razali yang baru masuk ke dalam dewan kuliah. Lelaki itu mula meniti anak tangga menuju ke barisan tempat duduk di atas. Emey Suhaila lekas-lekas lebarkan langkah keluar dewan ikut pintu belakang.
Sementara itu, Rogayah dan Azura masih rancak berkongsi cerita. Padahal Azura bukannya suka sangat bercakap dengan Rogayah tapi kerana Emey Suhaila seakan tidak berminat pula kali ini, terpaksalah juga Azura jawab semua soalan Rogayah itu. Kalau Azura buat pekak telinga dan asyik marah-marah Rogayah, nanti dia juga kena tegur dek Emey Suhaila macam Azura buat salah besar. Hai, nampaknya Emey Suhaila sekarang sibuk sangat hendak menjaga budak Rogayah ni.
“Bila budak baru tu nak masuk, Zura? Aku tak sabarlah nak jumpa dengan dia!” Rogayah tidak sudah-sudah tunjuk reaksi teruja sejak awal. Naik meluat pula Azura tengok.
“Bila budak baru tu nak masuk, Zura. Beritahulah aku!”
Azura menjeling. Ikutkan hati malas dia mahu menjawab soalan Rogayah itu. Kalau dikira, rasanya sudah lima enam kali dia beritahu. Pelupa benar Rogayah ni. Tapi itulah Rogayah, selagi soalannya tidak berjawab, dia pasti akan mengulang soalannya walau berkali sekalipun. Sesak telinga Azura ditujah suara Rogayah yang nyaring itu. Sebab itulah Azura malas mahu berborak dengan Rogayah.
“Ish! Berapa kali aku nak cakap, dia dah masuklah! Dia dah belajar dekat sini dah! Kau ni, telinga letak kat mana?” balas Azura geram sambil menggosok telinganya berkali-kali.
“Hah?! Dia dah masuk sini?” jerit Rogayah ke muka Azura. Matanya terbelalak tidak percaya. “Betulkah dia dah masuk sini?” soalnya lagi.
Azura berpaling ke arah Rogayah di sebelah. Matanya pula dicegilkan dengan riak marah. Mahunya Azura tidak naik angin kerana dia sudah lama bersabar dengan sikap Rogayah yang kecoh tidak menentu itu. Azura sememangnya langsung tidak berkenan. Sudahlah tiba-tiba saja memekik ke telinga Azura kerana begitu teruja. Tambah sebal ada pula tempias hujan yang mengena tepat ke pipi Azura. Bengkak hati Azura bagai mahu meletup ketika itu juga.
“Kau ni kenapa? Excited lebih-lebih ni kenapa?” Bergegar suara Azura menahan marah yang sudah meluap-luap di dada sambil menyapu mukanya dengan tapak tangan. Matanya dijeling ke belakang.
‘Ah, Emey Suhaila dah pasti tiada mahu membela budak Rogayah ni. Biar aku hembur aje budak kecoh ni!’ Lama sudah Azura menahan rasa. Di depan Emey Suhaila, terpaksalah Azura menahan marah. Kalau tidak, dia juga yang tambah sakit hati setiap kali Emey Suhaila membela Rogayah. Hish, memang geram betul hati Azura.
“Kau jangan nak masuk jarum pula ya. Jangan sibuk nak rapat sangat dengan budak tu sebab nak pikat abang dia. Aku dah plan baik punya untuk Ila, kau jangan sibuk nak rampas pula!” Azura memberi amaran.
“Eh?” Rogayah terkejut lalu kalut menafikan telahan Azura tadi. Tidak terlintas di fikirannya mahu memikat lelaki itu. Entah benar atau tidak cerita Azura tentang abang kepada pelajar baru itu, Rogayah sendiri tidak pasti. Kalau benar sekalipun, Rogayah tidak mahu peduli. Niatnya bukan mahu memikat hati mana-mana lelaki tetapi mahu mencari teman. Rogayah cuma mahu mengenali pelajar baru itu dan menjadikan dia sebagai kawan.
“Aku tak ada niat pun nak kacau rancangan kau. Kau janganlah salah faham. Aku cuma nak kawan dengan dia aje...” Rogayah cuba jelaskan.
Namun Azura mencebik, seakan tidak percaya akan penjelasan Rogayah. Puas Rogayah menafikannya berkali-kali tetapi gadis itu terus pekakkan telinga sehinggalah tiba-tiba saja Azura tinggikan suara.
“Eh, yang kau ni sibuk duduk depan aku ni kenapa? Tak ada tempat lain ke kau nak duduk?” teriak Azura kuat dengan nada marah.
Serentak Rogayah turut terkejut mendengar suara Azura bergegar tiba-tiba. Jari Rogayah menggaru kepala.
“Depan? Aku kan duduk kat sebelah... bukan depan.” Rogayah mengomel sendiri tidak mengerti. Sebaik Azura memekik dengan nada marah sekali lagi, Rogayah turut paling ke depan untuk melihat siapakah gerangannya yang dimarahi gadis itu. Tetapi Rogayah tidak tahu siapa yang bikin Azura panas hati sedang boleh dikatakan semua pelajar yang berada dalam dewan kuliah itu menoleh ke arahnya ketika ini. Mungkin tertarik akan suara Azura yang bergetar kuat.
‘Eh, memang aku ke?’ Rogayah menduga. ‘Zura marah aku ke?’ Rogayah terus pandang keliling. Melihat kebanyakan mata tertancap ke arahnya, muka Rogayah tiba-tiba terasa tebal.
“Wei, pekak ke aku cakap. Aku cakap dengan kaulah, bukan dengan tunggul pokok! Dahlah bau gel rambut berkepuk sampai bau tengik. Sakit hidung aku tahu!” marah Azura lagi lalu menghempuk buku notanya ke depan dan mengena tepat atas kepala Razali. Terkejut besar Rogayah melihat gerak-geri Azura tadi dan terus terdiam tanpa kata, walau tadi dia juga yang becok sangat bercakap tidak berhenti.
‘Wah! Ganas juga Zura ni!’ Rogayah terus tergamam. Macam tidak percaya. Lagi ganas perangai Azura rupanya daripada marah-marahnya pada Rogayah selama ini.
“Banyak lagi tempat duduk kat depan tu! Kenapa kat sini juga kau nak menyemak?” Azura terus naik angin tanpa mempedulikan reaksi pelajar-pelajar lain yang sudah mula beromong sesama mereka.
Razali menoleh ke belakang, memandang Azura dengan wajah tenang. “Kenapa, ada masalahkah?” Tenang suara Razali. Tidak sedikitpun dia nampak marah walaupun Azura telah berkasar dengannya tadi.
“Tak bolehkah aku duduk sini? Ada nama orang lain ke dekat tempat duduk ni?” soalnya lagi sambil menyisir rambutnya ke belakang dengan jari.
Rogayah telan liur berkali-kali melihat riak lelaki itu. Tiba-tiba pula jantungnya berdegup laju. Mendengar suara Razali saja sudah cukup buatkan hatinya seakan berdetak kencang. Teringat pula peristiwa Emey Suhaila terduduk dalam pangkuan Razali.
‘Alamak! Kenapa aku rasa macam ni? Ish, tolonglah Aya! Jangan fikir bukan-bukan!’
“Memang tak boleh! Kau duduk dekat sini, ganggu konsentrasi aku aje nanti. Sibuk sangat nak mengacau Ila, sampai aku nak dengar kuliah pun susah!” bentak Azura tegas.
“Kalau kau rasa terganggu, kau duduklah dekat depan. Boleh hadap muka pensyarah puas-puas.”
“Eh, kau ni tak reti bahasa ke? Aku cakap selindung sikit pun kau tak reti-reti eh. Aku tak sukalah kau asyik kacau kawan aku tu! Kan dia dah cakap yang dia tak suka kau, yang kau tak faham-faham bahasa ni kenapa? Blah lah woi!” Azura makin marah. Bukan mukanya saja yang nampak tegang tapi urat sekitar lehernya juga kelihatan tegang macam hampir putus. Namun amarah Azura itu sedikit pun tidak dipedulikan Razali malah dibalas pula dengan senyuman gatal yang pasti tambah membakar hati Azura yang sedia panas.
“Kenapa kau marah sangat ni? Kau cemburukah aku pikat kawan kau tu?” Razali bangun. Mukanya didekatkan ke muka Azura yang menolak kepala ke depan. Sangat rapat hingga cuma kira-kira beberapa sentimeter saja menjarakkan mereka. Rogayah melopong dengan matanya turut sama terbeliak besar. Rasanya Azura dapat merasakan debus nafas Razali yang menerpa mukanya.
“Kau suka aku ke?” Bersahaja soalan itu meluncur dari mulut Razali. Serentak tapak tangan Azura juga pantas menerpa muka Razali dan menolak muka Razali jauh-jauh dari mukanya dengan sekuat hati. Tubuh Razali tertolak ke belakang. Lekas-lekas tangannya menahan meja di belakang agar tubuhnya tidak tumbang ke lantai.
“Jangan nak mimpi! Cerminlah diri kau dulu sebelum mengarut macam tu! Bukan saja muka kau tu aku tak lalu nak tengok, perangai kau pun buat aku rasa nak muntah tahu!” tempelak Azura keras lalu mendengus.
Razali angkat muka lalu masih mampu lemparkan senyuman setelah mendengar bait kata Azura yang pedas itu. Pandangannya beralih kepada Rogayah di sebelah Azura dan ketika itu, Rogayah serta-merta terkedu.
Ada garisan halus kelihatan terbentuk di dahi Razali. “Kau ni pelajar baru ke? Kenapa aku tak pernah nampak kau sebelum ni?”
Rogayah terus terkedu dipanah pandangan mata Razali. Soalan lelaki itu seakan tidak langsung singgah ke telinganya. Entah berapa banyak air liur yang sudah ditelannya tapi tekak Rogayah masih terasa kering.
“Oh, aku dah ingat!” Razali bersuara lagi seraya memetik jarinya ke udara. “Kau ni kawan Ila yang pakai cermin mata tebal dulu tu kan? Yang sibuk nak tahu hubungan aku dengan Ila tu. Betul tak?” tanya Razali tenang.
Rogayah terdiam lagi. Lidahnya terasa kelu mahu menjawab soalan itu. Mahupun mahu meangguk kepala untuk mengiakannya juga Rogayah tidak terdaya. Pandangan mata Razali itu seakan mematikan akalnya dari terus berkata-kata dan mengunci setiap pergerakan Rogayah.
Azura? Sudah tentu gadis itu terbeliak memandang Rogayah. Pecah tembelang Rogayah yang diam-diam menyoal lelaki itu tentang hubungannya dengan Emey Suhaila. Memang Azura mahu naik angin. Tapi lagak Razali lebih menyakitkan hati buat masa ini.
“Emm...” Razali terus leka memandang muka Rogayah sambil jari-jemarinya mengurut-urut dagu. “Boleh tahan cantik juga ya bila kau dah bersolek macam ni...”
Kata-kata yang baru saja keluar dari mulut Razali itu sekaligus membunuh hati Rogayah. Adakah pujian itu ditujukan kepada Rogayah? Rogayah tergamam. Jantungnya kembali bergoncang, malah bertambah kencang.
‘Kenapa dengan aku ni? Kenapa aku rasa semacam? Aku... aku... aku sukakan dia ke?’ Rogayah letakkan tapak tangannya di dada. Dia dapat rasakan degupan jantungnya yang kian laju. Hatinya tertanya sendiri, mencari erti rasa yang dialaminya ketika ini. Adakah...
Razali terus tenung muka Rogayah. Lama. Bikin Rogayah semakin tidak keruan.
“Memang cun!” Sekali lagi telinga Rogayah menangkap pujian itu. Serentak debaran di hatinya tambah menggila.
“Hah! Kau nak mengurat budak ni pula ke?!” jerkah Azura tidak senang melihat lagak Razali yang tidak ubah bagai lelaki mata keranjang. Memang patutlah dia digelar Mat Romeo satu Malaya. Sibuk sangat hendak menilik kecantikan perempuan. Hish, sakit hati Azura tengokkan perangai Razali. Rogayah pula dilihatnya kaku macam patung di tempat duduknya.
‘Ish, baru puji sikit takkan dah keras dekat situ!’ Pantas Azura menjeling ke arah Razali semula.
“Kau jangan nak gatal-gatal main drama dekat sinilah! Sini bukannya pentas ke wayang ke yang kau nak tunjuk pro kau tu mengayat perempuan. Aku pun tak ingin nak tengok muka miang kau tu. Sebelum aku naik gila, lebih baik kau berambus!”
Namun jerkahan Azura langsung tidak dipedulikan Razali. Terasa bercakap dengan tunggul Azura dibuatnya. Tambah bengkak hati Azura. Sedangkan Razali masih galak membelek wajah Rogayah dari tadi.
“Cantik memang cantik. Tapi, emm... masih ada yang kurang.” Razali alih pandangannya dari atas ke bawah sedikit hingga ke pinggang. Bibirnya terherot mengikut rentak fikirannya. Kemudian Razali anggukan kepala. “Huh! Kau ni tetap nampak gemuk!”
Tersentap hati Rogayah mendengar kata-kata yang baru saja singgah ke telinganya. Sekaligus hatinya yang tadi mekar kembang kini luluh. Lemah segala urat saraf Rogayah serta merta.
“Eh, kau tak reti bahasa ke pekak? Tak dengar ke aku cakap? Aku kata... kau jangan nak mengada-ngada kacau si Aya ni pula! Pergi duduk jauh-jauhlah! Berambus!” Azura memekik lagi sebaik melihat Rogayah sudah tergamam dengan mata membulat di tempatnya. Sakit jantungnya melayan perasaan marah bila melihat muka Razali. Rasa marah itu terus menganjal dalam lubuk hati. Lebih perit rasanya daripada rasa marahnya pada Rogayah.
Razali tidak pedulikan amarah Azura. Dia terus tersenyum sinis lalu henyak punggung di depan Azura.
“Woi! Aku kata duduk tempat lainlah. Tak reti bahasakah?”
Razali terus buat pekak telinga. Dia keluarkan sebuah buku kecil dari begnya lalu membacanya dengan tenang. Pekikan Azura langsung tidak diendah, bikin Azura separuh gila marah-marah dari atas.
Azura hentak tubuh ke belakang sambil mendengus keras setelah sudah malas mahu bertekak dengan lelaki yang tidak makan saman seperti Razali. Dalam otaknya sudah mula mencatur rencana. Azura sudah hilang sabar terhadap Razali. Kalau Razali tetap mengganggu Emey Suhaila ketika kuliah nanti, secara tidak langsung meragut tumpuan Azura sekaligus, Azura tidak akan segan silu mahu memekik dalam kuliah. Biar pensyarah juga dengar amarahnya. Biar pensyarah tahu perihal Razali yang menyakitkan hati.
Rogayah kuis bahu Azura, setelah lama mereka membisu. Sementara Emey Suhaila pula entah ke mana dia pergi sehingga sekarang pun bayangnya masih tidak muncul. Entah pergi ke tandas atau buat tandas baru, Rogayah tidak pasti. Kuliah yang sepatutnya sudah bermula sepuluh minit lalu hingga kini juga masih belum bermula.
“Apa?!”
Terkejut lagi Rogayah mendengar suara Azura yang keras menyinga sebaik sahaja Rogayah menepuk bahu gadis itu perlahan. Terkedu seketika Rogayah dibuatnya. “Kenapa agaknya Ila tak suka si Razali tu?” bisiknya lambat ke telinga Azura.
Tapi, soalan Rogayah itu terus buat Azura melenting lagi. “Kau butakah? Tak nampak apa dia buat tadi?”
Rogayah melopong sambil terkebil-kebil memandang muka Azura yang merah kerana begitu marah.
“Ila tak suka dengan dia sebab dia tu jantan romeo! Dahlah miskin! Lagak aje macam orang kaya! Macam dia tu hebat sangat, pandai mengayat, konon pandai buat hati perempuan cair. Sudahlah. Kalau setakat poket kosong, perangai pun buruk macam sampah, mengayatlah macam mana pun, siapa yang nak?” balas Azura kuat. Sengaja dia meninggi suara. Biar lelaki itu dengar, biar satu dewan kuliah dengar pun tak apa. Dia puas hati.
Rogayah melopong lagi, tidak percaya dengan jawapan Azura tadi. Nafas Azura juga jelas turun naik. Nampak sangat kawannya itu sedang marah. Mungkinkah jawapan itu benar atau ia sekadar jawapan kerana marahnya yang meluap-luap? Rogayah jeling reaksi Razali yang duduk di depan.
“Ish, dia tak dengar ke apa yang kau cakap tadi?” bisik Rogayah bimbang.
“Ah, biarlah! Lagi bagus kalau dia dengar! Biar dia sedar diri sikit!” balas Azura cepat.
Rogayah terpinga-pinga lagi. Tapi bila Rogayah teringatkan kata-kata Razali yang terakhir tadi, Rogayah juga rasa marah. Tiba-tiba saja hatinya rasa meluat dan setuju pula dengan jawapan Azura tadi. Betul atau tidak jawapan Azura tadi, sudah tidak penting lagi padanya. Memang patut Razali dengar. Biar lelaki itu juga sedar diri, bak kata Azura.
“Huh, aku pun tak suka dengan dia. Mulut dia tu busuk! Kutuk orang ikut sedap mulut aje!”
“Hah, tahu tak apa! Dahlah miang macam pervert!”
Rogayah setuju. Lantas dia angguk sungguh-sungguh. Beria-ia benar dia menyokong semua bait kata yang mula keluar dari mulut Azura bagai keretapi. Sesekali, Rogayah jeling juga ke arah Razali di depan mereka. Sengaja mahu lihat reaksi lelaki itu. Mustahillah lelaki itu tidak dengar suara Azura yang bagai meriam meletup itu jika sudah angin satu badan. Tapi, lelaki itu seakan sengaja pekakkan telinga.
Rogayah juga sudah tidak kesah sama ada Razali dengar atau tidak umpatan mereka itu. Kalau dengar pun, Rogayah tidak peduli lagi kerana kata-kata yang terlalu ringan diucap oleh mulut manis itu sudah buat dia betul-betul kecil hati kali ini. Penat saja dia bersesak-sesak nafas kerana tertarik pada cara lelaki itu. Ah, semuanya buang masa. Jantung Rogayah tidak akan bergetar kuat untuk Razali lagi.
“Apa yang korang berdua bisik ni?”
Terkejut besar Rogayah apabila bahunya ditepuk. Cepat-cepat Rogayah toleh ke belakang dan dia dapat lihat muka Emey Suhaila yang keruh sambil melontar pandang ke depan. Rogayah juga dapat dengar rungutan Emey Suhaila.
“Kenapa dia menyibuk dekat sini?” rungut Emey Suhaila perlahan. “Jomlah duduk kat tempat lain!” Emey Suhaila mengajak lalu dia panjang tangan untuk menyambar beg tangan dan failnya yang ditinggalkan di sebelah Azura tadi.
Tanpa banyak cerita, Azura lekas mengikut rentak Emey Suhaila yang sudah terhentak-hentak bergerak ke barisan depan dewan kuliah. Masih ada beberapa tempat duduk kosong di situ. Rogayah pula terpinga-pinga seketika. Lambat dia bangun dan mengekori kedua-dua kawannya itu.
Henyak saja punggung di sebelah Azura, Rogayah dapat mendengar bisikan dari pelajar perempuan di belakang mereka. Walaupun perlahan, telinga Rogayah yang nipis itu masih dapat dengar.
“Kasihan aku tengok Emey Suhaila tu. Hari-hari si Razali tu menggatal dengan dia. Tapi Emey Suhaila tu lembut hati sangat. Kalau aku, dah lama aku bagi pelempang percuma...” Ada nada geram dalam suara gadis itu, menunjukkan rasa meluatnya melihat sikap Razali yang menjengkelkan.
“Tulah pasal! Aku pun macam tu juga. Kalau aku yang kena, dah tentu aku lanyak dia cukup-cukup. Tapi Emey Suhaila tu suka dia tak? Yalah, kalau dah hari-hari kena tackle... lambat-laun tersangkut juga,” bisik seorang lagi.
“Ish! Tak ada maknanya!” betah gadis tadi. “Kan dah berapa kali dia tolak lelaki tu. Orang lain pun boleh nampak. Tapi si Razali tu yang tak reti bahasa. Asyik ambil kesempatan ke atas Emey Suhaila yang baik dan lembut hati tu. Nasib baik Azura ada. Padan muka si Razali tu kena hamun dengan Azura.”
Seketika kedengaran suara tawa mereka. Rogayah terus pasang telinga. Malah, cuba diluaskan lagi. Namun tiada lagi kata yang sampai ke telinganya selepas itu.
‘Aik, dah habis bergosip ke?’ detik Rogayah dalam hati. Rogayah pandang muka Emey Suhaila dan Azura sekilas. Mereka nampak bersahaja. Mungkin mereka tidak terdengar bisikan gadis-gadis itu atau pun sudah biasa dengan bisikan seperti itu. Apapun sebabnya, Rogayah puas kerana kini semua persoalannya semakin terjawab. Rogayah sudah tahu apa hubungan Emey Suhaila dengan Razali. Malahan Rogayah tahu juga yang Emey Suhaila tidak menyukai lelaki itu dan kenapa Emey Suhaila begitu membenci Razali.
Tapi, tiba-tiba dia berfikir-fikir lagi. Benarkah alasan yang diberikan Azura sebelum ini? Atau kerana sikap Razali yang merimaskan itu yang menjadi penyebab dia ditolak? Ah, kenapa Rogayah beria-ia sangat mahu tahu? Rogayah pula sudah jadi macam pengintip yang mahu tahu semua hal pasal Emey Suhaila. Rogayah geleng kepala sungguh-sungguh.
Pensyarah sudahpun berada di depan dewan kuliah beberapa saat lalu. Rogayah perlu fokus pada kuliah kali ini. Rogayah lekas-lekas keluarkan buku dan pen. Kuliah pensyarah yang sudah bermula di depan cuba diberi perhatian tapi makin banyak pula soalan yang menerjah jendela fikirannya. Sudahnya, semua kata-kata pensyarah seakan dibawa angin dan tidak singgah langsung ke telinga Rogayah. 

No comments:

Post a Comment