“Siapa suruh kau pergi tanya dia?” soal Emey Suhaila
keras. Kali ini Emey Suhaila betul-betul marah dek tindakan Rogayah yang
bertanya soal hubungan Emey Suhaila dengan Razali pada lelaki itu sendiri.
Nafasnya yang sesak mendengar pengakuan Rogayah secara tidak sengaja tadi kini
berdebus-debus keluar dari lubang hidungnya yang kembang.
Rupa-rupanya benarlah Rogayah bersoal-jawab dengan Razali
di dewan kuliah waktu itu. Setelah Emey Suhaila lari selepas malu tercempung
atas kaki Razali. Patutlah Rogayah menggelabah bila Emey Suhaila bertanyakan
hal itu. Rupa-rupanya memang benar tekaan Emey Suhaila.
Sedangkan Rogayah hanya tersengih saja dari tadi walau
dia nampak muka Emey Suhaila yang pastinya sudah kemerahan sebab marah. Macam
kerang busuk pula Emey Suhaila tengok.
‘Ish, geramnya aku!’ gerutu hati Emey Suhaila.
Kalau diikutkan rasa marahnya yang menggila sekarang ni,
mahu saja Emey Suhaila belasah Rogayah di situ. Paling kurang pun mahu saja dia
lempang Rogayah jauh-jauh. Biar leper terus pipi tembamnya itu. Tapi Emey
Suhaila beristighfar banyak-banyak dalam hati. Mahu dipukul, Rogayah itu anak
orang. Bukan anak ayam. Kalau anak ayam dipukul pun, mahu sebatu kena kejar dek
ibunya. Silap-silap kalau Rogayah mengadu ke pihak atasan kolej, tidak
pasal-pasal Emey Suhaila dikenakan tindakan tatatertib pula nanti.
“Kenapa kau gatal-gatal pergi tanya dia? Dah tak ada
kerja lain ke? Nak sangat jadi paparazi ke, ambil tahu semua hal orang?” gumam Emey
Suhaila geram. Amarah yang makin meluap-luap cuba ditahan dari terus meletup.
Kalau dibiarkan, silap hari bulan teruk Rogayah kena sembur.
“Habis tu, aku tanya kau banyak kali kau tak mahu jawab.
Setiap kali pun kau asyik nak mengelak.” Selamba jawapan yang keluar dari mulut
Rogayah dengan riak bersahaja. Sekaligus, terlukis rasa marah yang semakin
jelas kelihatan di wajah Emey Suhaila.
“Kalau aku tak jawab maknanya aku tak nak besarkan
ceritalah! Jadi, tak payahlah nak ulang soalan yang sama. Tutup cerita. Itu pun
tak faham lagi ke?”
Emey Suhaila tarik nafas dalam-dalam. Sesak rasa dadanya
dihempas hati yang berombak. Lemah juga badannya dijolok rasa marah yang kian
menjalar di segenap urat saraf. Jawapan Rogayah itu betul-betul buat dia tambah
sebal. Membayang reaksi yang mungkin ditunjukkan Razali semasa menjawab
pertanyaan Rogayah bikin Emey Suhaila separuh gila.
“Dah tu, kau pula gatal-gatal pergi tanya jantan tu
sendiri! Mestilah dia suka bila kau tanya macam tu dan mulalah dia
pandai-pandai reka cerita yang bukan-bukan! Ish, kau ni sama aje dengan si
Razali tulah. Dua kali lima!” bentak Emey Suhaila lagi. Bayangan yang bermain
di fikirannya ditepis jauh-jauh. Buat sakit hati saja membayang riak wajah
lelaki itu. Geram.
“Cerita bukan-bukan apa pula ni?” Rogayah ternganga.
“Kalau kau jawab soalan aku dulu kan senang. Tak adalah aku tanya dia sendiri.
Kau juga yang salah...”
“Apa pula aku yang salah? Kau yang pandai-pandai cari
dia, tanya dia macam-macam... kau nak baling batu dekat aku pula? Kau nak
salahkan aku atas sebab apa? Sebab aku tak jawab soalan kau sebelum ni? Eh, tak
ada benda lain ke kau nak buat? Kenapa kau sibuk sangat nak tahu hal aku dengan
mamat tu? Kau ni pelajar baru kolej ni ke atau kau ni memang paparazi upahan
yang sibuk nak cungkil hal peribadi orang?” Emey Suhaila hampir hilang sabar.
Amarah yang cuba ditahan sejak beberapa minit lalu akhirnya meletus jua.
Terkebil-kebil muka Rogayah dilontar soalan bertalu-talu
dengan suara Emey Suhaila yang keras. Lantas Rogayah terus saja terdiam kaku.
Pertama kali Rogayah melihat Emey Suhaila naik angin.
Baru sebulan Emey Suhaila mengenali Rogayah dan baru sebulan
juga Rogayah mula belajar di kolej itu. Dan sepanjang masa sebulan itu jugalah
Rogayah tidak henti-henti mengajukan soalan tentang Razali pada Emey Suhaila
sejak Rogayah terdengar lelaki itu memekik-mekik namanya. Walaupun Emey Suhaila
sudah menafikan semua tanggapan Rogayah, gadis itu tetap tidak puas hati dan
terus-terusan mencungkil cerita. Sekarang Rogayah pula berani-berani bersemuka
dengan Razali. Ah, pasti lelaki itu suka-suka saja mengada-adakan cerita.
Mahunya Emey Suhaila tidak marah. Masakan Emey Suhaila masih boleh tersenyum
dengan tindakan Rogayah itu.
‘Penyibuk betul!’ Emey Suhaila menjerit dalam hati.
Ikutkan marah yang meluap-luap, tenat Rogayah digasak Emey Suhaila jika Emey
Suhaila kembali kepada perangai lamanya. Rogayah belum kenal lagi siapa Emey
Suhaila yang sebenarnya. Lambat laun, Rogayah akan tahu juga. Tapi mungkin
bukan sekarang masanya.
Beberapa ketika, Emey Suhaila pandang keliling. Nasib
baik tiada sesiapa di situ. Rasanya tiada siapa yang nampak Emey Suhaila naik
angin sekejap tadi. Emey Suhaila hempas keluhan berat sekaligus.
‘Dia buat salah, aku pula yang disalahkan. Orang macam ni
pun ada ke? Aduh...’ Jarinya menekan batang hidung di tengah dahi, cuba
meredakan tegang yang terasa menarik-narik urat kepala. Kemudian satu lagi
nafas panjang ditarik lama-lama.
“Dengar sini cik Rogayah binti Mohd Yusof. Dengar
baik-baik apa yang kawan kau ni nak cakap.” Emey Suhaila rendahkan semula
suaranya walau masih bergetar dengan perasaan marah yang masih belum padam.
Mukanya didekatkan ke muka Rogayah. Sementara Rogayah pula terus terkebil-kebil
memandang muka Emey Suhaila betul-betul.
“Aku tak suka orang kaitkan aku dengan si Razali tu. Kau
nak tahu sangat kan apa hubungan aku dengan dia?”
Rogayah diam lalu angguk perlahan.
“Baik, sekarang aku beritahu kau. Rasanya dari awal lagi
aku dah cakap yang aku dengan dia tak ada apa-apa hubungan. Kalau kau anggap
aku sebagai kawan... kau jangan tanya apa-apa lagi pasal dia dan jangan nak
memandai-mandai pergi jumpa dia lagi semata-mata nak tanya pasal aku. Kalau kau
buat macam tu lagi, kau bukan kawan aku!”
Rogayah melopong. “Hah?” soalnya terpinga-pinga. Sesekali
Rogayah gosok telinga. Takut-takut telinga tersilap dengar akan ugutan Emey
Suhaila tadi.
“Kau dengar tak apa aku cakap ni? Jangan gatal-gatal nak
korek rahsia aku dengan dia. Tak ada apa yang kau akan dapat. Semua yang dia
cakap tu bukannya betul. Faham?” Emey Suhaila mengulang.
Rogayah mengangguk lagi. Dalam benaknya dia masih tidak
mengerti sebab Emey Suhaila begitu marah sehingga mengugutnya begitu. Sedangkan
baru sekejap saja usia perkenalan mereka, Emey Suhaila sudah mahu menjadikannya
sebagai taruhan. Rogayah benar-benar tidak faham. Hatinya semakin menjolok mahu
tahu.
“Kenapa?” muntah soalan itu dari mulut Rogayah sekaligus
menghentam dinding jantung Emey Suhaila yang masih bergoncang kuat.
“Kau tak reti bahasa ke? Kalau aku kata jangan tu
janganlah. Tak perlu kau nak tahu macam-macam. Aku tak ada apa-apa perasaan pun
pada dia. Aku dengan dia tak ada hubungan istimewa. Apapun yang kau dengar dari
mulut dia, semuanya tak boleh pakai. Tak boleh percaya. Puas hati?” bentak Emey
Suhaila lagi. Keras bunyinya walau sudah cuba ditahan. Ah, lantaklah. Rogayah
kan sudah jadi kawan Emey Suhaila. Baik buruk perangai Emey Suhaila kenalah
Rogayah terima seperti mana Emey Suhaila terpaksa menahan semua baik buruknya
Rogayah. Emey Suhaila sudah tidak kuasa lagi mahu-mahu berpura-pura sentiasa
lembut. Boleh sakit jiwa Emey Suhaila kalau begini.
“Tapi... aku dah jumpa dia dah.... macam mana?” Dahi
Rogayah berkerut hingga keningnya juga bengkok. Tidak mengerti.
Sementara Emey Suhaila bertalu-talu hempas keluhan.
Seakan mahu melepaskan segala beban yang mengasak dadanya sejak tadi.
“Itulah lain kali jangan gatal-gatal sangat nak jaga tepi
kain orang,” tegur Emey Suhaila bersama jelingan matanya yang tajam. “Ah!
Sudah... sudah. Tutup cerita!”
“Eh... Ila... Ila!” panggil Azura berkali-kali sambil
terus menyambar tangan Emey Suhaila.
Emey Suhaila segera menoleh ke arah Azura yang tiba-tiba
saja muncul di depannya, entah dari mana. Melihat wajah Emey Suhaila yang agak
tegang dan anak matanya yang membesar, Azura terdiam seketika. Dia berpaling ke
arah Rogayah. Riak wajah Rogayah nampak kusam.
“Apahal ni? Apa dah jadi?” Terpacul soalan itu dari mulut
Azura sambil berselang-seli memandang muka Emey Suhaila dan Rogayah.
Rogayah terus diam. Emey Suhaila juga tidak menjawab.
Hanya pandangannya saja tertancap ke muka Azura yang masih menanti jawapan dari
soalannya tadi.
“Lah, ni apahal diam pula ni? Yang kau ni... muka merah
padam, kenapa? Ke kau terlebih pakai blusher?”
Sempat Azura mengusik bersama tawa kecilnya. Walhal, daripada pandangan Emey
Suhaila, Azura sudah dapat mengagak kawannya itu tengah marah. Alah, bukan baru
sehari dua Azura mengenali Emey Suhaila. Buruk baiknya Emey Suhaila, semuanya
dia tahu. Dia masak benar reaksi Emey Suhaila itu.
Emey Suhaila menjeling. Tangannya yang dipegang Azura
ditarik sedikit kasar. “Tak ada apalah,” balas Emey Suhaila malas.
Tawa Azura serta-merta mati melihat reaksi Emey Suhaila
dan apabila Azura nampak Emey Suhaila menjeling ke arah Rogayah, Azura seakan
mengerti. Sah! Ini mesti kes marah. Azura lekas-lekas pandang Rogayah. Mukanya
didekatkan ke muka Rogayah hingga gadis itu rasa tidak keruan.
“Kenapa kau tengok aku macam ni?” soal Rogayah terkulat-kulat
lalu menjauhkan mukanya dari muka Azura yang hanya beberapa inci saja jaraknya.
Naik juling mata Rogayah mahu melihat mata Azura yang bulat memandangnya.
“Apa kau dah buat, hah?” soal Azura lalu mendekatkan
mukanya semula ke muka Rogayah. Rogayah berganjak ke belakang, cuba lari dari
Azura. Tapi Azura tetap mendekatinya, memandang Rogayah betul-betul di depan
mukanya dan melontarkan soalan yang sama berulang kali.
“Mana ada aku buat apa-apa...” Rogayah terus mengelak.
Tapi Azura terus menyakat.
“Hei, sudahlah tu Zura. Kau buat Rogayah takut ajelah,”
tegur Emey Suhaila yang sudah tidak tahan melihat aksi drama dua kawannya itu
di sebelah. Sudah macam aksi Running Man
yang berebut hendak menyambar tanda nama kawan. Yang seorang lagi asyik
menyorok hendak melindungi tanda namanya dari pemangsa.
“Apa hal sebenarnya ni... sampai muka kau ni macam ada
yang tak kena aje? Macam tempoyak aku tengok!” terjah Azura ke muka Emey
Suhaila pula.
Emey Suhaila tolak muka Azura jauh-jauh dari mukanya. Tidak
kuasa dia mahu melayan kerenah Azura yang entah apa anginnya hari ni. Teruja
benar nampaknya dia hari ini. Cukuplah Emey Suhaila letih melayan kerenah
Rogayah walau baru mengenali gadis itu. Janganlah pula Azura mahu menjadi klon
Rogayah yang bikin Emey Suhaila tambah sakit kepala. Kalau terus macam ni
peribadinya yang asal pasti akan muncul semula. Tiada lagi bakal Ratu Kolej
yang lemah lembut tu.
“Tak ada apalah...” balas Emey Suhaila pendek sambil
menolak lagi muka Azura yang galak mendekatinya. Mata Azura yang sedia besar
dibulatkan lagi. Serupa barbie doll
pula Emey Suhaila lihat.
“Eleh, tak payahlah kau nak sembunyi-sembunyi daripada
aku. Aku dah tahu... ni mesti pasal Razali kan.” Azura meneka.
Kali ini mata Emey Suhaila pula yang galak memandang
Azura. Ada senyum nakal di bibir kawannya itu sambil mengangkat keningnya
beberapa kali.
“Mana kau tahu?”
Azura tersengih lalu tawa kecil mula berderai. “Mana ada
benda lain yang boleh buat muka kau monyok macam tapai basi ni. Mesti pasal
mamat tak reti bahasa tu kan!”
Emey Suhaila menjeling. Geram. “Eii... suka-suka hati kau
aje kata muka aku ni macam tapai basilah, tempoyaklah. Hah! Kalau dah tahu, tak
payahlah pura-pura tanya lagi. Buat sakit hati aku aje dengar nama lelaki tu
tahu.”
“Tak baik nak sakit hati dengar nama dia. Silap hari
bulan, nama orang yang kau benci tulah jadi suami kau nanti, baru tahu!” Azura
mengusik bersama tawa nakalnya. Rogayah juga turut gelak sama tapi tidak lama.
Tawa Rogayah lekas-lekas dimatikan sebaik melihat jelingan tajam Emey Suhaila.
Terasa bagaikan hulu pedang yang mahu tembus ke jantungnya.
“Yang kau ni sakit ke apa? Bukan kau pun tak suka dengan
si Mat Romeo satu malaya tu ke? Ni yang kau bela-bela dia pula ni kenapa? Dah
jatuh hati dekat dia pula ke?”
“Ish, mengarut... mengarut!” tempelak Azura cepat
menafikan telahan Emey Suhaila serta-merta. “Tak ada maknanya aku nak suka cik
abang kau yang gatal bak ulat bulu tulah! Cik abang aku tu nak campak dekat
mana? Tong sampah?”
“Dia bukan cik abang akulah!” jerkah Emey Suhaila pula
sambil mencekak pinggang. Pening dia melihat perangai aneh Azura. Selalunya
Azura yang naik angin lebih-lebih setiap kali mendengar nama Razali. Hari ini,
dia pula yang mengusik Emey Suhaila lebih-lebih, mengenakan Emey Suhaila dengan
Razali pula. Sakit agaknya kawannya itu.
Serentak, Azura tertawa melihat riak Emey Suhaila. “Ah,
lupakan ajelah pasal si Razali tu.” Azura malas mahu teruskan cerita tentang
Razali. Dia datang mencari Emey Suhaila ini pun bukannya mahu bercerita soal
lelaki itu. Ada cerita lebih menarik mahu dikongsikannya.
“Ni... ni, Ila. Aku ada berita baik punya untuk kau ni.
Kalau kau dengar mesti kau excited
sampai terangkatlah.” Azura menyambung sambil menepuk-nepuk lengan Emey Suhaila
berkali-kali.
Belum sempat Emey Suhaila tunjukkan sebarang reaksi,
Azura sudah terlebih dulu teruja dengan cerita yang tidak sabar mahu
disampaikan kepada kawannya itu. Semua cerita yang berkumpul dalam otak Azura
sekarang ini seakan menjolok-jolok mahu keluar.
Emey Suhaila hanya terdiam tanpa beri sebarang reaksi.
Ghairah tidak, teruja seperti dugaan Azura pun tidak. Malah raut wajah Emey
Suhaila tidak sedikit pun menunjuk tanda tanya dengan cerita yang mahu Azura
sampaikan. Azura pula yang nampaknya beria-ia dan tidak sabar mahu bercerita
sedangkan muka Emey Suhaila tampak hambar. Kosong! Sementara Rogayah pula sudah
melopong semula. Dia pula mula tunjuk minat mahu tahu cerita Azura.
“Aku dengar ada budak baru dekat kolej kita ni!” Azura
menambah, sungguh-sungguh.
Emey Suhaila hela nafas halus. “Alah, setakat budak
baru... memang selalu aje kolej ni terima student
baru. Apa masalahnya? Tak ada apa yang menarik pun,” keluhnya tidak mahu ambil
peduli.
“Tapi... khabarnya budak tu anak orang kaya. Anak Datuk
tu...” sambung Azura lagi dengan muncung panjang. “Tapi yang Datuk tu bukan
ayah dialah, mak dia yang dapat gelaran tu. Ayah dia dah tak ada.”
Kali ini mata Emey Suhaila terpana memandang Azura.
‘Budak baru? Anak Datuk? Fuiyo! Kalau aku dapat pikat dia, mesti aku jadi
menantu orang kaya. Ada rumah besar, kereta mewah... kerja rumah pun semua maid yang buat.’ Emey Suhaila sudah mula
pasang angan-angan.
“Siapa... siapa?” soal Rogayah tidak sabar. Dia juga mahu
turut menyibuk dalam hal itu, daripada dia terpacak saja di situ lebih baik dia
pun join sekaki.
“Entahlah. Aku tak pasti pula nama dia...”
“Lelaki ke perempuan?” soal Rogayah lagi.
“Perempuan!” jawab Azura sekaligus mematikan khayalan Emey
Suhaila serta-merta. Emey Suhaila melopong seketika mendengar jawapan yang baru
saja keluar dari mulut Azura yang masih nampak teruja semacam sejak tadi.
‘Alahai, perempuan ke? Apalah yang menariknya kalau budak
baru tu perempuan? Buat apa aku nak tarik perhatian budak baru tu kalau dia tu
perempuan? Bukan dapat jadi menantu orang kaya pun. Malas aku nak buat baik
pada budak baru lagi. Bukannya dapat apa-apa. Silap-silap budak tu macam
Rogayah ni hah! Pengsan aku nak layan!’ Emey Suhaila monyok kembali. Hilang
terus minatnya untuk mendengar cerita Azura selanjutnya.
“Hah! Bagus sangatlah tu. Bolehlah aku cuba berkawan
dengan dia kan. Sebab dia kan budak baru juga macam aku, mesti dia tak ada
kawan lagi kan.” Rogayah pula yang ikut teruja bersama-sama cerita Azura itu.
Mulalah bermacam soalan yang keluar dari mulutnya, bertanya perihal budak baru
itu kepada Azura.
Yalah, Azura kan tidak ubah seperti penyampai berita
ekspres yang berkhidmat untuk Emey Suhaila. Ada saja cerita baru yang mahu
dilaporkan kepada bakal ratu kolej itu. Semua berita mesti sampai ke telinganya
dulu. Entah dari mana Azura dapat semua berita itu, Emey Suhaila tidak peduli.
Entahkan benar atau tidak berita yang disampaikannya pun, semua itu belakang
kira. Adalah mata-mata atau paparazi keliling pinggang Azura.
Lama juga Azura tidak menjadi penyampai berita begini
kerana tiada berita menarik yang mahu dikongsikan. Sebab itulah Azura rasa
betul-betul teruja kali ini. Sekarang, Rogayah pula mahu jadi paparazi sambilan
dan menemuramah Azura.
Namun Azura buat tidak endah saja semua soalan Rogayah.
Sebaliknya Azura sekadar lempar jelingan tidak senang bersama cebikan bibirnya.
‘Eh, minah ni! Dia pula yang excited lebih-lebih ni apahal?’ gerutu Azura dalam hati. Azura
lekas-lekas alih pandang ke arah Emey Suhaila semula walaupun kawannya yang
seorang itu dari tadi langsung tidak tunjuk minat. Lengan Emey Suhaila
ditampar-tampar Azura lagi.
Emey Suhaila bulatkan mata sambil menarik tangannya yang
disambar tapak tangan Azura. ‘Ish, budak ni! Ingat tak sakit ke dia tampar aku
macam tu.... peritnya macam kena gigit semut api tahu.’
“Aku dengar... budak baru tu ada abang,” bisik Azura
perlahan. Serta-merta marah Emey Suhaila tadi lenyap bersama-sama sambungan
cerita Azura itu. Wajah yang tegang tadi beransur kendur.
“Abang dia tu handsome,
aku beritahu kau. Serius, aku tak tipu. Handsome
macam mana tu aku tak tahulah nak cakap tapi kalau kau tengok mesti jatuh hati
punyalah. Lagipun dia tu bergaya, ada kerja bagus dan yang paling penting...
poket dia penuh beb!” tambah Azura lagi sambil menepuk-nepuk poket jeansnya.
“Macam ciri-ciri lelaki idama kau kan. Kan... kan?” Azura
bersuara perlahan. Takut Rogayah pula yang terlebih-lebih teruja nanti.
Rosaklah rancangannya nanti. Berita dari mulut Azura membuatkan hati Emey Suhaila
mula kembang.
Hati Emey Suhaila sudah mula mekar berbunga dan mulai
sarat dengan angan-angan. Perkhabaran itu memang Emey Suhaila mahu dengar.
Bukan tentang budak baru itu tetapi tentang abangnya itulah. Namun Emey Suhaila
cuba sembunyikan perasaan yang sudah mula ghairah bila melihat Azura tersenyum
nakal di depannya. Sesekali Azura angkat kening berkali-kali.
‘Ish, nakal aje muka budak ni!’ getus hati Emey Suhaila.
Hati yang kembang melebar cuba ditutup rapat sebelum Azura dapat menghidunya. Emey
Suhaila terus pura-pura tunjuk reaksi tidak berminat akan cerita Azura.
“Mana kau tahu semua ni? Siap tahu budak tu anak
datuklah, ada abanglah... macam-macamlah kau ni. Kau pergi temuramah dia ke?”
tempelak Emey Suhaila tidak percaya.
“Tak adalah aku temuramah dia sendiri. Aku dengar-dengar
aje. Aku kan ramai kaki,” balas Azura sambil tersengih.
“Kaki konon...” Emey Suhaila mencebik. “Entah betul entah
tidak cerita kau tu. Kau tu bukannya boleh percaya sangat,” kata Emey Suhaila
lagi acuh tak acuh. Sengaja dia tunjuk reaksi seperti tidak berminat dengan
cerita Azura. Walhal dalam hati, gemuruh sudah semakin menghentam tangkai
hatinya yang kian bergoncang. Terasa seksa benar Emey Suhaila mahu menyorokkan
perasaan gembiranya itu.
Kalau ikut rasa, memang Emey Suhaila mahu melompat
gembira bersama Azura tapi... malulah dia nanti. Lagipun Rogayah kan masih ada
di sebelahnya. Tengok muka Rogayah yang terkebil-kebil mendengar perbualan
mereka, Emey Suhaila sudah dapat bayangkan reaksi Rogayah jika gadis itu nampak
reaksi Emey Suhaila yang gembira tiba-tiba. Mulalah Rogayah sibuk bersoal jawab
nanti. Emey Suhaila juga yang letih.
“Eh, sejak bila pula cerita aku ni tak boleh pakai? Hah,
cuba kau cakap. Selama ni ada ke aku bagi berita palsu dekat kau?” Azura tidak
puas hati. Sementara Emey Suhaila hanya menghadiahkan cebikannya sebagai
jawapan. Azura hempas nafas panjang.
“Semua cerita yang aku dengar ni dijamin sahih lagi benar
tahu,” tambah Azura lagi sungguh-sungguh mahu mempertahan ceritanya. “Kalau tak
betul, buat apa aku nak sampaikan dekat kau.”
“Wah! Hebat betullah kau ni Zura. Siapa kaki kau tu?
Kenalkanlah dekat aku...” celah Rogayah sedang Azura belum sempat menyudahkan
ceritanya. Sekaligus mengundang rasa tidak senang Azura yang sememangnya dari
dulu tidak berapa berkenan dengan Rogayah. Ikutkan hatinya yang tidak berkenan
itu, malas dia mahu melayan Rogayah. Jadi, Azura terus biarkan saja Rogayah
cakap seorang macam cakap dengan tembok. Padan muka dia!
“Kalau kau tak percaya, nanti aku bawa kau jumpa dia!”
“Jumpa siapa? Kaki-kaki kau tu ke? Aku nak ikut!” sampuk
Rogayah dengan muka bercahaya. “Aku nak kenal boleh kan?”
“Eh, kau ni sibuklah. Semuanya kau nak kenal. Dengan
budak baru tu kau nak berkawan, sampai kaki-kaki aku pun kau nak kebas juga
ke?” bengkeng Azura geram. Matanya dijeling tidak senang.
“Tak adalah. Sebab aku tak ramai kawan dekat sini. Sebab
tulah semua kawan kau, aku pun nak kenal. Tapi kalau kau tak senang... tak
apalah.” Rogayah tundukkan kepala, seakan merajuk. Mungkin juga dia
mengharapkan supaya Azura memujuknya tapi jangan haraplah. Harapannya itu hanya
akan tinggal harapan. Azura yang sememangnya tidak berkenan dengan Rogayah
tidak kuasa mahu ambil pusing reaksi gadis itu. Kalau Rogayah merajuk hingga
berguling-guling atas jalan pun, Azura tidak akan peduli. Lagipun, kalau
Rogayah terus merajuk dan diam begitu lagi bagus bagi Azura. Senyap sikit! Tiadalah
orang yang sibuk menyoal macam-macam kepadanya lagi.
“Lah, yang kau nak angin-angin dengan budak Rogayah ni
kenapa? Biarlah dia nak kawan dengan siapa pun. Bukan luak. Ramai sikit kawan
dia nanti. Tak adalah dia berkepit aje dengan kau. Angin satu badan betullah
kau ni.” Tegur Emey Suhaila hampir tergelak.
Azura menjeling tidak senang lagi. ‘Bila pula dia
berkepit dengan aku. Dengan kau adalah!’ bantahnya dalam hati. Mahu saja Azura
jerit kuat-kuat tapi tidak terkeluarlah pula semua suara hatinya itu. Bagaikan
terkurung dalam benaknya sendiri namun dihimpit perasaan marah yang entah
kenapa muncul tiba-tiba. Matanya saja berkali-kali melemparkan jelingan melihat
Rogayah di sebelah Emey Suhaila. Mungkinkah Azura rasa cemburu kerana merasa
gadis itu telah merampas kawannya? Mungkin juga sebab Azura kecil hati akan
reaksi Emey Suhaila yang langsung tidak tunjuk minat terhadap berita yang
dibawanya. Tidak pernah-pernah Emey Suhaila tidak berminat. Kali ini pula jual
mahal.
“Habis tu, kau memang tak percayalah cerita aku ni?”
Azura menyoal, kembali kepada topik perbualannya tadi. Hal Rogayah, malas dia
mahu ambil pusing lagi. Budak Rogayah tu bukannya makan saman. Kalau Azura
marah bagai nak rak pun, dia tetap ulang sikapnya yang suka menyibuk itu. Sudah
memang perangainya begitu. Kalau dia merajuk pun, Azura percaya sekejap saja
rajuknya itu. Jadi, Azura buat tidak peduli sajalah.
Emey Suhaila jungkit bahu. “Entahlah. Aku tak kenal pun
budak baru tu. Macam mana aku nak percaya?” balasnya lambat.
“Alah, selama ni kau tak kenal pun kau percaya aje cakap
aku. Sekarang ni nak teragak-agak pula, dah tukar anginkah?” Azura mencebik,
tidak puas hati dengan jawapan Emey Suhaila tadi. Sesekali dia menjeling ke
arah Rogayah sekilas. Sengaja mahu lihat reaksi minah kecoh tu.
“Kau tak jumpa dia lagi memanglah kau tak kenal. Bukannya
dia tu saudara mara kau, yang kau kenal dia.” Azura menyambung. “Tapi kalau kau
nak dekat dengan abang dia tu, kau kenalah dekat dengan dia dulu...” Azura beri
idea sambil berbisik ke telinga Emey Suhaila. Kemudian Azura angkat kening
dengan senyum meleret. Air mukanya kembali tunjuk riak nakal.
Emey Suhaila faham benar makna reaksi Azura itu.
Serta-merta Emey Suhaila ukir senyum sekaligus melebarkam lagi senyuman Azura
yang nampak bersungguh-sungguh. Lagaknya macam Azura pula yang terlebih teruja
daripada Emey Suhaila. Seronok sangatlah tu dapat sampaikan berita sensasi
setelah hampir setengah tahun penyampai berita Emey Suhaila itu tidak aktif
kerana tiada berita hangat yang mahu disebarkan.
Tapi Emey Suhaila tahu, Azura buat semua ini bukannya
kerana dia tu seorang penyibuk yang suka jaga tepi kain orang atau mahu jadi
paparazi sekalipun tapi Azura buat begitu pun untuk Emey Suhaila. Emey Suhaila
juga yang teringin sangat mahu bersuamikan orang kaya. Azura pula beria-ia
tawarkan diri mahu menjadi orang tengah. Hai, ketua editor majalah sekolah itu
masih tidak berubah sikapnya. Masih ligat mencari berita seperti dulu.
Sekarang, usaha Azura sekali lagi membuahkan hasil dan peluang sudah ada depan
mata Emey Suhaila. Nah, kenalah rebut sebelum orang lain pula sambar dulu.
Tapi...
“Kalau dia ada abang pun, aku nak buat apa?”
“Buat apa?” Hampir menjerit Azura membalas persoalan Emey
Suhaila tadi.
Azura bulatkan mata, tidak percaya soalan itu yang keluar
dari mulut Emey Suhaila. Emey Suhaila yang dia kenal sebelum ini memang pantang
dengar cerita tentang lelaki kaya. Setiap kali Azura membangkitkan khabar angin
mengenai golongan lelaki idamannya itu pasti Emey Suhaila akan teruja hingga
tidak ingat dunia dan dia tahu apa yang mahu dilakukannya.
‘Tapi... kenapa kali ni lain macam pula reaksi si Ila ni?
Dah bertaubat ke buang tabiat?’ Mahu saja Azura lontarkan soalan-soalan cepumas
yang bermain di benaknya itu tapi seakan tiada ruang untuknya luahkan.
“Yalah, kalau dia ada abang pun nak buat apa kalau abang
dia tu dah kahwin ke... tunang orang ke. Tak ke niaya aku nanti.” Emey Suhaila
berdalih lagi. Dia masih sengaja tidak mahu tunjuk minat kali ini.
“Eh, tak adalah!” tukas Azura seraya menampar lengan Emey
Suhaila. ‘Pap!’ bunyinya hingga terjatuh fail di tangan Emey Suhaila.
Emey Suhaila menggosok tangannya yang terasa perit
sebelum membongkok untuk memungut failnya yang jatuh ke lantai koridor. Sempat
dia menjeling tajam ke arah Azura. Namun Azura hanya tunjuk muka bersahaja,
seakan tidak rasa bersalah saja rupanya. Geram pula hati Emey Suhaila tengok
muka seposen Azura.
“Abang dia tu belum berpunyalah... single and available lagi tahu,” sambung Azura lagi setelah Emey
Suhaila sudah kembali tegak berdiri di depannya. “Kalau dah ada orang punya,
takkan aku nak bagi dekat kau pula. Ish, takkanlah aku nak susahkan kawan sendiri
pula.”
Emey Suhaila diam. Tiada respon yang ditunjukkan.
“Eh, kau dengar tak apa yang aku cakap ni?” sergah Azura
kuat bila melihat kawannya itu masih tidak tunjuk minat. Lengan Emey Suhaila
ditampar sekali lagi.
Emey Suhaila menjeling dan cepat-cepat sembunyikan
tangannya ke belakang. Kalau tidak nanti, tangan Azura yang macam sotong kurita
itu asyik hinggap saja ke lengannya. Perit!
“Ya... aku dengar. Cakap sajalah tapi tangan tu tak payahlah
merayau,” balas Emey Suhaila sambil muncung ke arah tangan Azura.
Azura terus beria-ia cucuk tangkai hati Emey Suhaila
untuk mengenali serta mendekati pelajar baru itu sekaligus memikat keluarga
mereka dan seterusnya memiliki abangnya yang kononnya masih teruna itu. Mulut
Azura terus berceloteh. Sudah lama juga gadis itu tidak banyak mulut begitu.
Begitulah keadaan Azura setiap kali melaporkan cerita. Sekali tengok macam buat
pembentangan kertas kerja Sejuta Impian pula. Sedangkan Emey Suhaila sekadar
mengangguk, mengiakan cerita Azura dan Rogayah pula, juga terus pasang telinga
mendengar perbualan dua kawannya itu walaupun dia sebenarnya tidak berapa faham
situasi sebenar.
“Cop!” Lantang suara Emey Suhaila sekaligus mematikan
suara Azura yang rancak berceloteh tadi.
“Eh, apa cop-cop ni? Aku belum habis cerita lagilah!”
Mata Emey Suhaila tertancap pada seorang lelaki yang
bersandar pada depan sebuah kereta BMW sambil leka menekan dada telefon bimbit
di tangan. “Handsome!”
Azura tercengang mendengar perkataan itu keluar dari
mulut Emey Suhaila. Lantas Azura mengikut arah pandangan Emey Suhaila yang
tidak berkelip-kelip sejak tadi. Azura dapat melihat seorang lelaki berpakaian
ranggi di kawasan parkir. Kemudian, Azura beralih kepada Emey Suhaila semula.
Melihat Emey Suhaila sibuk membelek dan memperkemaskan pakaian yang dipakainya,
Azura mengeluh halus.
“Dah mula dah...” rungut Azura perlahan.
Cermin kecil lekas dikeluarkan dari tas tangan. Gincu
merah jambu bersinar dialis pada bibir, diikuti seluruh muka dibelek satu per
satu.
“Sebelum aku percaya cerita kau tu, lebih baik aku cuba
lelaki yang dah confirm handsome tu!
Kaya pula tu. Tengoklah kereta dia tu, gempak gitu!” ujar Emey Suhaila
bersahaja lalu dia mula atur lenggang-lenggoknya mendekati lelaki yang
dilihatnya tadi. Sambil itu rambutnya yang panjang, ditolak ke belakang gaya
model syampu di televisyen.
Azura hanya menggeleng. Lama dia tidak melihat Emey
Suhaila berperangai begitu. Kali ini, di depan Rogayah... pelajar baru yang
beria-ia Emey Suhaila mahu jaga imejnya. Pasti meloponglah mulut Rogayah kali
ini.
Tambah berbunga hati Emey Suhaila melihat wajah lelaki
itu lebih dekat walaupun sipi. Memang kacak. Gaya pakaiannya juga up to date. Emey Suhaila beri seratus markahlah.
Emey Suhaila berdehem kecil sebelum menegur. Serentak
lelaki itu memandang Emey Suhaila. ‘Fuiyoo! Handsomenya
mamat ni! Apasal aku tak pernah nampak mamat handsome ni sebelum ni?’
“Hai...” Emey Suhaila menegur dengan nada sehabis manis
sambil terlentok-lentok memandang lelaki itu.
Tiba-tiba lelaki itu cepat-cepat berdiri.
‘Yes! Dia mesti
syok dekat aku juga ni! Kalau tak, takkan sepantas kilat dia bangun bila aku
tegur kan...’ Terkekek-kekek Emey Suhaila ketawa dalam hati. Seronok hatinya
melihat reaksi lelaki itu, seperti reaksi biasa yang dilihatnya sebelum ini
setiap kali dia menegur lelaki. Bukan senang Emey Suhaila mahu menegur lelaki
tahu.
“Ni kereta awakkah? Maaflah ya, saya tumpang duduk
tadi...”
Tercengang seketika Emey Suhaila mendengar soalan lelaki
itu. Emey Suhaila telan liur. ‘Lah, sengau!’ Lemah lutut Emey Suhaila rasanya
kerana hampa.
“Eh, tu bukan kereta awakkah?” Terlontar pula soalan itu
daripada Emey Suhaila.
“Eh, bukan. Saya tumpang duduk aje tadi. Saya sebenarnya
tengah tunggu kawan saya.”
Serta-merta air muka Emey Suhaila berubah. Melihat gelagat
lelaki yang tadinya kacak tergaru-garu kepalanya, Emey Suhaila teringat akan
Rogayah.
“Ei, sebiji rupa minah tu!” rungutnya perlahan.
Cepat-cepat Emey Suhaila beredar meninggalkan lelaki itu dan mendapatkan
kawan-kawannya semula.
“Hah? Apa cerita? Dapatkah kau tackle mamat handsome
tu?” Azura terus lontar soalan sebaik Emey Suhaila mendekatinya.
“Ceh, harap muka dengan gaya aje lawa. Kereta tu bukannya
kereta dia. Sengau pula tu!”
“Sengau?!” Azura sudah gelak besar.
Sakit hati Emey Suhaila melihat kawannya itu ketawa bagai
mahu pecah perut di depan. Rogayah di sebelah juga selamba saja ketawa
berdekah-dekah, mengikut rentak Azura. Suka sangatlah tu. Menyesal Emey Suhaila
pergi menegur lelaki itu tadi. Buat malu saja. Hasil tak dapat, jadi bahan tawa
Azura dan Rogayah adalah.
No comments:
Post a Comment