Nampak saja muka
Sasha Amira pagi ini, Puan Damia sudah mengulang pesanan yang sama.
“Beritahu pada
teman lelaki kamu nanti, mama nak jumpa. Kalau dia tak mahu jumpa, tak seriuslah
dengan kamu. Tak payah berkawan dengan dia lagi.”
Sasha Amira diamkan
saja. Tangan ibunya disalam seperti biasa sebelum keluar untuk ke kolej. Puan
Damia merenung dengan pandangan tajam. Leteran mama juga tidak berhenti di
situ. Setiap kali Sasha Amira menolak calon pilihannya, begitulah mama.
“Dengar tak apa
mama cakap ni?” Meninggi suara Puan Damia berbanding tadi.
“Nanti ya, ma. Tak
eloklah gopoh sangat.”
“Tergopoh apanya.
Kamu ni lebih liat daripada akak kamu dulu. Dah dekat 30 tahun dah. Cuba kamu
tanya ibu-ibu lain dekat luar sana. Ibu mana yang tak risau bila anaknya tak
fikir tentang rumahtangga bila usia dah lanjut. Dulu ibu mama pun dah sibuk
suruh mama kahwin masa mama umur 25 tahun. Kahwin lambat-lambat ni susah nak
beranak tau. Mama ni nak juga ada cucu yang duduk dengan mama, temankan mama
dekat rumah ni. Terubatlah juga kesunyian mama. Ish, kamu adik-beradik sama aja
dengan papa kamu. Tak pernahnya nak fikir perasaan mama. Cubalah duduk dekat
tempat mama, baru kamu tahu apa rasanya duduk rumah ni.”
Diam. Kasut tumit
tinggi dua inci sudah tersarung ke kaki. Sekali lagi Sasha Amira menyambut
tangan Puan Damia. Disalam dan dicium entah kali ke berapa.
“Sasha pergi dulu,
ma.” Tubuh berpaling lalu menghayun kaki ke kereta. Pintu dibuka dan ketika
itulah sekali lagi suara nyaring Puan Damia menerjah telinga.
“Mama ni bukannya
memilih sangat calon menantu. Kalau kamu suka, elok perangainya, elok latar
belakangnya, elok agamanya, cukup. Mama tak kesah. Kalau kamu suka, bawa jumpa
mama. Sebelum kamu cukup 30 tahun, mama nak kamu kahwin. Yang itu, syarat mama!
Kalau sebelum tu kamu tak bawa calon suami jumpa mama, kamu kena ikut cakap
mama. Kahwin dengan pilihan mama!”
Pula dah! Sasha
Amira terkira-kira. Sebelum cukup 30 tahun? Alamak! Masalah dah datang lagi.
Sekarang sudah bulan Oktober. Umurnya akan genap 30 tahun pada 1 Januari nanti.
Aduh, kenapalah mama lahirkan aku cepat sangat?
*******
Aduh. Kalau tadi
kebas telinga dileteri Puan Damia sejak semalam, hari ini rasanya bagai hampir
bernanah. Oh, tidak. Kalau sudah melibatkan along ni memang drastiklah tindakan
mama. Memang mama hendak sangat Sasha Amira mendirikan rumahtangga. Macam tiada
kompromi nampaknya.
Aghhh! Tidakkkkkkk!
“Kenapa degil
sangat ni, dik? Bukan mama suruh bunuh diri, mama suruh kahwin. Susah sangat?”
Suara Suhana Azreen bergegar di talian. Masih segar semua cakap Puan Damia
semasa menelefonnya semalam.
“Kalau mama tak
telefon, tak adalah nak dengar suara anak-anak ya. Semuanya tunggu mama yang
telefon. Tak seorang pun nak ingat orang tua ni. Apatah lagi nak tanya khabar.
Sihat ke sakit ke orang tua dekat sini. Ni, mama telefon nak minta kamu nasihat
sikit adik kamu yang liat sangat nak suruh kahwin tu. Ikut perangai kamulah
agaknya. Mama ni dah letih carikan calon suami baik-baik untuk dia. Sudahnya
mama juga yang malu. Kali ni mama tak mahu nak dengar cakap anak-anak lagi.
Jadi, kamu tolong cakap sikit dengan dia. Biar dia ikut cakap orang tua.”
Menitis air mata
Suhana Azreen bila diterjah amarah Puan Damia sebaik menjawab panggilan. Dulu
masa angah nak kahwin pun begini gayanya. Pada Suhana Azreen juga Puan Damia
lepaskan tekanan dan marah. Sebab calon hati Zafuan bukan calon menantu pilihan
Puan Damia. Bukan main marah lagi Puan Damia ketika Zafuan memberitahu yang dia
hendak menikahi Ainuur, bukan Siti Sarah anak Mak Long yang mama mahu calonkan
dengan Zafuan.
“Terima sajalah
calon pilihan mama tu. Takkanlah mama nak kahwinkan dengan lelaki tak baik.”
“Masalahnya kak,
Sasha tak kenal pun lelaki tu.”
“Sebab kamu tak
kenal la, mama kenalkan. Jadi, janganlah terus tolak mentah-mentah. Apalah
salahnya kamu ikut cakap mama kali ni. Cuba kenal dengan lelaki tu. Kalau tak
serasi, barulah tolak cara baik. Along tak tahanlah kalau mama asyik marah
along pasal hal adik-adik aja. Along ni pun ada perasaan, dah besar panjang.
Ada suami, anak-anak yang nak dijaga.”
Huh! Akhirnya Sasha
Amira hempas nafas panjang. Kalau terus macam ini memang bernanah sungguh telinganya.
Tidak adil rasanya kalau along juga mahu luahkan marah terhadapnya.
“Along dulu pun
kahwin ikut pilihan mama. Bahagia juga. Kalau adik dah ada pilihan sendiri,
beritahu mama. Kenalkan pada mama, jangan sorok-sorok. Mama tu tak akan nak
berleter kalau adik ikut cakap dia. Sekali sekala dengarlah cakap orang.
Kesianlah dekat along ni juga.”
Senyap.
“Adik dengar tak
apa yang along cakap ni?”
“Emm... dengar.
Sasha tengah memandu nak ke kolej ni, long. Nanti Sasha fikirkan ya...”
“Fikir tu jangan lama-lama.
Kalau mama suruh kenal tu, kenal aja dulu. Sedapkan hati orang tua tu. Ingat
pesan along ni.” Sasha Amira menyahut. Tidak lama Suhana Azreen lekas memberi
salam dan memutuskan talian. Teringat pula syarat mama pagi tadi. Syarat yang
berbau ugutan.
Woah! Nampaknya
mama betul-betul serius. Entah kenapa pula dengan mama aku ni? Aduh, masak aku
macam ni. Mana aku nak cari laki?
*******
“Assalammualaikum encik.
Saya nak jumpa adik saya sekejap. Dia tertinggalkan buku...” Saif Azrai
memberitahu pegawai keselamatan yang bertugas sambil menunjuk buku di tempat
duduk sebelah. Pegawai keselamatan tersebut memembongkokkan tubuh. Matanya
menjengah ke arah buku yang ditunjuk Saif Azrai sekilas.
“Adik encik pelajar
fakulti mana?”
“Fakulti Perniagaan
dan Perakaunan.”
“Nama adik encik?”
“Emm... Sasha Amira
binti Rauf.” Aduh banyak pula soalannya. Nasib baik semuanya sudah diberitahu
oleh Puan Damia. Kalau bab binti itu, tak apalah. Bukannya pegawai keselamatan
itu hafal semua nama pelajar. Kalau dibuatnya diminta kad pengenalan Saif
Azrai, sah-sah namanya bin Rauf. Nampak sangatlah bohong kalau Sasha Amiranya
binti Rahim!
“Boleh minta IC?
Encik kena tinggalkan IC untuk rekod kami.”
Ha, kan betul. Dah
agak dah. Nasib baik aku ni bijak! Saif Azrai puji diri sendiri. Sementara
pegawai itu kembali ke pondok keselamatan, Saif Azrai menyeluk poket belakang
seluar. Kad pengelanan ditarik keluar daripada dompet dan diserahkan kepada pegawai
tadi. Pegawai itu membelek-belek sekejap kad pengenalannya. Kemudian, dia
menulis sesuatu atas sebuah kertas yang dibawanya bersama. Tidak lama menunggu,
Saif Azrai diberi sekeping pas masuk dan pintu pagar dibuka untuknya memandu
masuk.
Yes! Langkah pertama berjaya! Boleh tahan tegas juga pegawai
keselamatan muda ni. Macam-macam pula yang dia tanya. Nasib baik lepas. Sempat
Saif Azrai merungut dalam hati.
Saif Azrai
melihat-lihat luar. Sepanjang parkir dekat bangunan utama dia ronda, mencari
kereta MyVi berwarna kuning milik Sasha Amira. Nombor pendaftarannya tidak
ingat pula. Aduhai. Besar juga kampus ini hendak dipusing merata kawasan. Habis
pusing, tiada satu pun MyVi kuning yang kelihatan. Belum datang agaknya. Bagus.
Saif Azrai masuk ke
kawasan parkir utama. Nampak seperti peluang lebih cerah untuk ketemu kereta
milik Sasha Amira kalau dia menunggu di sini. Lantas dia mencari kotak parkir
kosong. Cantik. Ada satu dekat dengan laluan utama. Nasib memang
menyebelahinya. Sah-sah mereka memang ada jodoh. Dari dalam kereta dia menanti
dan memerhati. Kalau nasib menyebelahi, pasti dia boleh nampak kereta Sasha
Amira.
Alah, MyVi kuning.
Berapa sangatlah dalam KL ni. Saif Azrai penuh yakin.
Ha! Baru sekejap
rehatkan kaki dari memijak pedal sudah muncul MyVi kuning lalu depan mata. Anak
matanya mengekor pergerakan kereta itu tidak berkelip.
Alah, janganlah parking jauh-jauh cik akak oi. Susah aku
nak nampak.
Kereta itu berhenti
di barisan belakang keretanya. Dia tekun melihat dai cermin pandang belakang.
Seketika kemudian, keluar seseorang lelaki saiz XL dari bahagian pemandu.
Aik! Abang dia ke?
Ke boyfriend dia? Saif Azrai
meneka-neka. Dia terus menanti dan menanti. Lelaki itu membuka pintu belakang dan
mengeluarkan beberapa barang. Kemudian berlalu pergi meninggalkan keretanya.
Bukan rupanya. Lantas Saif Azrai menarik nafas lega.
*******
Ha! Muncul lagi
MyVi kuning selepas setengah jam menunggu. Ini kali kelima dan kali ini dia
sudah tidak seteruja awal-awal tadi.
Banyak pula MyVi
kuning dalam kolej ni. Macamlah tak ada warna lain. Huh, kalau perempuan tu
pakai kereta hitam lagi parah aku nak cari! Aik! Dia parking sebelah akulah.
Saif Azrai jeling
sebelah. Perempuan. Tiga orang semuanya. Gadis yang duduk di tempat pemandu
keluar. Saif Azrai dapat melihat wajah itu. Wow! Memang dia. Berbunga hatinya
sekejap. Cepat dia berpaling bila mata gadis itu seakan singgah ke arahnya.
Pura-pura bersiul sambil mengetuk-ngetuk stereng kereta dengan jari. Itu cara
lama untuk mengelak tapi masih terbukti berkesan.
Diperhatikannya
tiga gadis tadi berjalan dari belakang keretanya hinggalah ke depan. Saif Azrai
turunkan cermin mata hitam dari mata. Muka gadis berbaju kebaya pendek yang
dipadankan dengan slack fit cut itu
cuba diperhatikan. Tidak puas untuk mahu melihat wajah itu. Tapi hampa bila
gadis itu langsung tidak menoleh ke kiri mahupun kanan.
Sakit tengkuk
agaknya. Tu yang kepala tegak aja ke depan. Tekanya selamba.
Dia keluar dari
kereta setelah bayang tiga gadis pingitan tadi tidak lagi kelihatan. Berjalan
ke belakang kereta MyVi milik Sasha Amira. Iphone dikeluarkan, fokus dan klik!
Baru satu gambar diambil, dia sudah melonjak gembira. Lepas ini, dia tidak akan
lupa lagi nombor plat kereta Sasha Amira.
Brit! Brit!
Ops! Terkejut beruk
Saif Azrai baru saja hendak membelek gambar nombor plat Sasha Amira, Iphonenya
pula berbunyi nyaring. Muncul nama Izi Helmy di skrin bikin hati dia rancak
berbunga semula. Tak sabar hendak kongsi cerita dengan Izi Helmy, sepupu
seperangai, sekepala.
“Ha, ada apa? Kacau
daun betul la!”
“Wow! Garangnya
buah hati aku hari ni...”
Heuw! Buang tebiat
ke apa sepupu aku ni? Geli anak tekak ni dengar tau.
“Banyaklah kau
punya buah hati. Apasal? Patah hati dengan Aina sampai nak jadi gay pula ke? Kalau dengan aku sorry la bro. I’m a real man okey. Aku suka perempuan aja!”
“Huish! Selisih
malaikat empat puluh empat! Aku pun lelaki sejati juga, ingat kau seorang? Ni,
aku nak minta tolong kau sikit. Pasal kertas kerja untuk dapatkan kontrak
projek renovation dekat Gleneagles
tu.”
Huh! Mamat ni kalau
cari aku mesti ada hal. Saif Azrai masuk semula dalam perut kereta. Panas mula
terasa setelah terpacak lama di luar.
“Alah, pasal tu kau
tengoklah requirement yang dia minta.
Follow aja. Bukan susah sangat.”
“Alah, kapten. Kau
cakap senanglah sebab selama ni kau yang uruskan pasal proposal ni semua. Tiba-tiba aja kau letak atas tangan aku. Haru
jugalah aku nak buat. Dahlah tinggal seminggu aja tarikh tutupnya. Macam ni,
mahunya tidur dekat pejabat. Tak ada masa la aku nak berdating.”
“Ingat nak jumpa
buah hati aja. Kerja kacang pun nak suruh aku ajar. Cari perempuan tak payah
ajar.” Ambik kau! Seronok hati Saif Azrai dapat mengutuk sepupu sendiri. Selama
ini Izi Helmy saja yang rajin sangatlah berceramah padanya. Mentang-mentanglah
orang tu dah ada buah hati. “Okeylah my
lovely cousin, aku sibuk sekarang ni. Esok lusa, tengoklah kalau aku
lapang, aku tolong ajar. Bye...”
Izi Helmy merenung
telefonnya bila talian terputus. Dia mengeluh hampa. Esok lusa? Itu pun kalau
lapang? Habislah dia. Sah Saif Azrai tidak akan datang membantu. Terpaksalah
Izi Helmy cari jalan penyelesaian sendiri. Sudahlah tidak mahu tolong. Kutuk
orang lagi. Dia itu pun dua kali lima juga, tak sedar agaknya. Sabar sajalah.