TADAA!!! 'SAYANG KATA BENCI' adalah rombakan cerita 'Dia SI Jantung Hati'. Selamat membaca. Sokongan dan komen anda sangat yuri hargai..wokeh ^_^
“Hello, my sunshine. What a suprise!” Segera Saif Azrai bangun dari kerusi
dan menyambut Qayreena yang muncul depan pintu pejabatnya. Senyum tersungging
dibibirnya, membalas senyuman manis yang dilemparkan bibir delima Qayreena khas
buat dirinya.
Matanya menjeling
sekejap ke luar. Lekas pintu biliknya yang separuh terbuka ditutup rapat
sebelum Haji Rauf nampak kelibat Qayreena di sini. Biliknya dengan Haji Rauf
merangkap Pengarah di firma ini bukannya jauh. Cuma dibezakan tidak sampai sepuluh
langkah. Setentang dengan biliknya pula, bilik Izi Helmy. Sepupu yang pernah
seperangai dengannya tetapi kononnya sudah berubah untuk memikat hati si buah
hati. Almaklumlah. Terpikat dengan anak seorang ustaz. Dunia hiburan,
berfoya-foya dengan ramai perempuan sudah tiada dalam kamus hidupnya.
Bagi Saif Azrai
yang masih kosong hatinya, dia bukannya kaki perempuan. Oh tidak! Dia tidak
mengaku. Cuma hendak memilih suri yang bakal mengisi kekosongan hati ini. Kalau
sudah namanya memilih, mestilah hendak banyak pilihannya. Itu kata Saif Azrai.
Pinggang Qayreena
diulit mesra dan dibawa duduk di sofa kulit setentang dengan meja kerjanya.
“Buat apa you datang office I ni?”
“I rindu dekat you.
Nak ajak you lunch nanti. Kenapa, tak
boleh datang?” Qayreena menjawab manja. Sesekali bahasa tubuhnya juga dilentok
sama. Wow! Bergetar jantung yang melihat. Dengar suaranya yang manja itu saja
sudah bikin hati Saif Azrai hampir gugur.
Meleret senyum Saif
Azrai sampai ke telinga. Bila Qayreena merapati, jiwanya makin bergoncang.
“Bukan tak boleh tapi... tak privacy...”
balasnya dekat ke muka Qayreena. Lantas gadis itu tersipu malu. Wajahnya
dilarikan. Terasa hangat pipinya dibawa jemari Saif Azrai menghadap semula
menghadap wajah lelaki itu.
“You look gorgeous today.” Dia memuji.
Makin kembang hati Qayreena dengan bunga setaman apabila mendengar pujian itu.
Namun, kembangnya tidak lama. Seketika berombak kencang. Mata mereka bertaut.
Tidak tahan malu, pandangan pula yang dilarikan kali ini.
Alahai. Malu-malu
kucing pula. Ni yang makin suka ni! Getus Saif Azrai nakal.
Qayreena. Gadis
tinggi lampai, pinggang ramping ala-ala model Project Runway. Wajahnya
berbentuk ‘V’, berkulit mulus dengan bibir merah delima. Fuh, perfect! Nak tambah kesempurnaannya, dia
merupakan pewaris tunggal SME Holdings, syarikat makanan segera yang berjaya
menyanyingi syarikat antarabangsa yang lain. Jadinya, duit perempuan ni memang
berkepuk tak terkira dalam akaun bank dia. Sayang seribu kali sayang. Hampir
sempurna ciri-ciri Qayreena sebagai wanita paling sempurna. Tapi pendidikannya
pula yang kurang menyerlah. Setakat belajar hingga Sarjana Muda Pengurusan
Peniagaan, tapi sayangnya Qayreena tidak menamatkan pelajarannya. Kononnya
dasar anak manja. Susah sikit, terus berhenti. Tapi disebabkan rupa cantik dan
harta menggunung, bolehlah juga Qayreena dijadikan sebagai simpanan dalam
senarai isteri pilihan Saif Azrai.
“Bilik I ni tak ada
siapa boleh masuk. Bolehlah dikira privacy juga. So, you janganlah risau.” Jari-jemari Saif Azrai yang panjang sudah mula
berjalan-jalan atas pipi Qayreena. Gadis itu juga sudah berani menolak anak
matanya semula menghadap Saif Azrai. Seminit. Dua minit mereka bertentang mata.
Britt! Britt!
“Astaghfirullahalazim!”
Lantang suara Saif Azrai mengucap bila Iphone bergegar dalam kocek seluar.
Aisey. Macam mana
boleh lupa keluarkan dari kocek? Kacau daun betul! Erk! Dia terkedu saat
melihat nama yang tertera di skrin.
“Sekejap ya,
sayang. You jangan lari mana-mana tau!” Sempat dia menyampaikan pesanan sebelum
berlari ke luar bilik. Rapat saja pintu ditutup, dia menjawab panggilan yang
masih berdering.
“Helo,
asalammualaikum mama. Kenapa mama telefon Azrai tiba-tiba ni?” Sopan Saif Azrai
menuturkan bicara bila Hajah Kistina yang menelefon. Anak maklah katakan. Kalau
di depan mama, baiknya macam anak soleh. Di belakang mama, ya ampun. Tahu-tahu
sendirilah kau Azrai.
“La, kenapa? Nak
telefon anak sendiri pun salah? Kamu ada mesyuaratkah?”
“Tak ada, ma. Kalau
mama telefon ni, mestilah ada hal kan. Takkanlah mama nak saja-saja telefon
macam main tekan-tekan nombor.”
“Pandailah kamu.
Mama memang ada hal nak ajak kamu keluar tengah hari ni. Kamu lapang tak?”
Spontan tangan
kirinya diangkat lalu mata menjeling jam di pergelangan tangan. Sekarang sudah
jam sebelas. Dibeleknya pula diari dalam kotak fikiran. Kalau tidak silap,
tiada perjumpaan penting hari ini. Tapi... Saif Azrai mengintai ke dalam
pejabat dari tingkap yang separuh gelap. Qayreena ada di dalam. Mesti gadis itu
hendak makan bersama nanti.
“Mama nak ajak kamu
jumpa anak kawan mama. Kalau berkenan, bolehlah kenal-kenal.”
Ops! Apa mama cakap
tadi? Kenal-kenal? Kenal anak gadis orang? Wow! Menarik! Temujanji bersama
Qayreena boleh diatur lagi lain kali. Tapi kenal gadis baru, itu lebih penting.
“Hari ni ke mama?
Kenapa mama tak beritahu awal-awal?”
“Mama lupalah.
Kenapa, kamu sibuk? Kalau kamu sibuk tak apalah. Mama aja yang jumpa. Nanti mama
kenalkan pada kamu kemudian.”
“Eh, tak adalah ma.
Azrai lapang aja tengah hari nanti. Biar Azrai selesaikan sikit kerja lagi.
Sekejap lagi Azrai balik jemput mama ya. Assalamualaikum, ma.” Laju saja Saif
Azrai mematikan telefon. Hatinya melonjak gembira. Bagai hendak bersiul-siul
kegirangan rasanya. Tapi lain macam pula pada pandangan Qayreena.
Qayreena. Ya. Saif
Azrai perlu selesaikan hal dengan Qayreena. Wajah ditayang semuram mungkin
sebaik masuk semula ke dalam pejabat. Hampa dia menghampiri Qayreena. Wajah
Qayreena yang tadi ceria juga berkerut kerisauan melihat air muka Saif Azrai
yang mendadak berubah. Saif Azrai sudah duduk di sebelah. Lemah bahunya jatuh
tak bermaya.
“Kenapa ni sayang?”
Qayreena menyoal dengan muka risau. Tangan Saif Azrai dipaut masuk dalam
genggamannya.
“I ada lunch meeting dengan client la hari ni. Mungkin sampai ke
petang I tak masuk office.” Saif
Azrai mereka alasan. Anak matanya menjeling reaksi Qayreena di sebelah. Hampa
jelas tergambar di wajah bujur sireh itu. Tangannya juga tidak digenggam
semesra tadi. Sah. Dia kecewa.
“Sorry la sayang. Bukan I sengaja tak
mahu keluar dengan you hari ni. You dapat jumpa I ni pun dah terubat rindu you
pada I kan?” Dia memancing. “Lain kali bila I
free, I will call you. Okey?” Masih belum terpujuk. Sekali lagi jari Saif
Azrai hinggap ke pipi Qayreena. “Okey sayang?” ulangnya.
Lambat-lambat
Qayreena menangguk. Ha, terpujuk pun. Nak juga kena usap pipi... Yes! Dapat aku jumpa awek baru!
*******
Hmmm.... hai....
hmmm....
Bertalu-talu
keluhan Sasha Amira lepaskan dalam hati. Mukanya sekarang ini tidak mampu lagi
hendak pura-pura senyum. Ketat rasanya seluruh otot muka. Walau macam mana pun
dia ukir senyum, wajahnya tetap nampak tegang agaknya. Masam mencuka.
Telinganya pula
sudah letih mendengar perbualan Puan Damia dengan Hajah Kistina. Rancak benar
mama berbual dengan Hajah Kistina. Kata mama, Hajah Kistina itu teman baiknya.
Hai, ramai benar teman baik mama. Yang hairannya pula ramai pula teman-teman
mama yang punya anak lelaki bujang. Anak lelaki Hajah Kistina, tidak nampak
pula bayangnya. Mesranya mama dengan Hajah Kistina cuma berborak sebagai teman
agaknya.
Wajah Puan Damia
ditoleh sekejap. Masih sibuk menanya itu dan ini tentang anak lelaki Hajah
Kistina. Sah! Memang perjumpaan untuk mencari jodoh. Mama ni... nak dijodohkan
pula aku dengan anak Hajah Kistina ni ke? Anaknya pula entah macam manalah
rupanya. Gemuk pendekkah, emm.. okey lagi. Hidung sengetkah? Suara sengaukah?
Nafas halus sekali lagi dilepaskan perlahan. Kopi karamel miliknya diteguk ke
tekak. Manis karamel juga terasa pahit bila hati sakit. Tak cukup-cukup agaknya
mama mengatur perjumpaan antara dia dengan anak-anak lelaki teman rapat mama.
Bosan. Hatinya menjerit tidak rela!
Sekilas Sasha Amira
memandang ke tepi. Aduh. Lelaki itu lagi. Sasha Amira melihat atas dan bawah
dengan hati jengkel. Lelaki bertopi itu masih dan terus memandang ke arahnya
dengan senyum kambing. Sekali-sekala meneguk kopinya sedikit sedangkan mata
masih melirik ke arahnya. Senyum lagi setelah cawan itu diturunkan dari bibir.
Heuw. Lain macam aje aku tengok lelaki ni. Macam ada penyakit senyum! Jangan
harap Sasha Amira hendak balas senyum. Laju saja Sasha Amira membalas dengan
jelingan.
“Sasha sekarang kerja dengan papakah?”
Alamak! Giliran
Sasha Amira pula yang disoal Hajah Kistina. Namun belum sempat Sasha Amira buka
mulut, Puan Damia terlebih dulu memberitahu. Lega hati Sasha Amira.
Baguslah, ma. Mama ajelah
jawab. Ikutkan hati, memang malas Sasha nak jawab apa-apa soalan pun.
Kalau diikutkan
hatinya juga yang mula jelak dengan pertemuan sebegini, tidak ingin dia
mengikut Puan Damia hari ini. Muak rasanya hendak menjawab soalan-soalan yang
sama dilemparkan calon-calon ibu mertua. Sekejap lagi, perlu pula menjawab
soalan daripada si teruna, itupun kalau dia muncul. Harap-harap biarlah dia
tidak muncul sampai bila-bila.
Hai, mengeluh lagi,
kerana hari ini dia tertipu lagi dengan tipu helah Puan Damia. Kononnya hendak
belanja minum kopi karamel kegemaran Sasha Amira di kafe Starbucks. Kalau sudah
dengar nama kopi, memang Sasha Amira tidak menolak. Laju dia setuju. Sedang
enak dia menikmati kopi, ketika itulah Hajah Kistina memberi salam dan mulalah mama mesra perkenalkan Sasha Amirap kepada Hajah Kistina. Baru Sasha Amira sedar, yang dia sudah termasuk lagi
dalam jerat mama.
Hai la Sasha...
kenapalah kau ni mudah sangat di tipu. Dengar mama nak belanja terus saja kata
okey.
Dulu pun begitu.
Mama kata hendak belanja makan. Kalau tidak pun, makan tengah hari dengan papa.
Papa? Jarang sekali dapat jumpa papa. Haruslah Sasha Amira suka. Walau dari
kolej, berpuluh batu pun jaraknya Sasha Amira rela memandu ke tempat mama dan
papa. Rupa-rupanya, semuanya dusta. Bayang papa langsung tak kelihatan. Cuma
lelaki asing tidak dikenali yang tiba-tiba muncul kemudian.
“Sasha belajar
urusan apa?” Sekali lagi soalan ditujah kepadanya. Lari lintang-pukang agaknya
semua lamunan Sasha Amira tadi ditegur suara Hajah Kistina. Sasha Amira diam.
Tidak sempat dia mentafsir soalan itu...
“Sasha ni belajar
perakaunan. Nanti dah habis belajar, bolehlah dia kerja dengan papa dia.”
Sekali lagi Puan Damia yang menjawab.
Sasha Amira hanya
membiarkan. Dia memandang Puan Damia, Hajah Kistina dan akhirnya pandangan
jatuh ke meja. Punggungnya kini sudah semakin panas. Suara Hajah Kistina yang
menyoal selepas itu bagai kaset rosak yang sampai ke telinganya. Tidak sedar,
dia mengeluh lagi. Kali ini lebih berat. Sekaligus dia menarik tangan Puan
Damia untuk mendapatkan perhatian mamanya itu. Kepala di dekatkan ke telinga
Puan Damia.
“Mama boleh tak
hentikan semua ni? Sasha tak sukalah.” Sasha Amira tahu dia terlewat untuk
meminta tapi kini, dia tidak tahan lagi.
Laju Puan Damia
menoleh dan memandangnya. Kemudian tersenyum-senyum meminta diri sebentar dari
Hajah Kistina sebelum menarik tangan Sasha Amira bangun dari kerusi. Fuh, lega
punggungnya. Puan Damia menarik hingga ke luar.
“Kenapa dengan kamu
ni? Nak buat hal lagi? Anak Hajah Kistina pun kamu tak suka?” Bertalu-talu
soalan mama ajukan sambil tangan menunjuk ke dalam kafe. “Anak Hajah Kistina tu
punyalah elok mama tengok. Rupa ada, kerja ada, harta ada, baik pun baik.
Lelaki yang macam mana lagi yang kamu nak?”
Aduh... mama. Baru
tengok gambar mama dah berkenan. Entah-entah gambar tu sepuluh tahun lepas
punya gambar. Sekarang, dah memboyot buncit. Muka macam belon. Huhu... tak
mahulah.
“Sasha dah ada
calon sendirilah, ma. Sebab tu tak mahu mama terus perkenalkan Sasha dengan
anak kawan-kawan mama.” Sasha Amira terus beri alasan. Walau realitinya calon
hati yang diperkatakan itu tidak pernah wujud. Tak apalah. Guna alasan ini
sekali aja. Tengok, berkesan ke tidak. Harap-harap berkesan.
“Siapa? Tak pernah
nampak pun? Selalunya kamu dengan kawan-kawan kamu tu aje. Kalau tak dengan si
Intan, dengan Zemah.”
Zemah? Lucu rasa
hati Sasha Amira. Masa-masa ini pula hatinya bagai mahu berguling tergelak bila
nama Zaimah disebut Zemah oleh mama. Zemah, emm... sedap juga nama tu. Lepas ni
aku panggil kau Zemah la, Zaimah! Sempat hatinya berjenaka walaupun tidak
kelakar.
“Kamu jangan nak
reka-reka cerita yang kononnya kamu dah ada teman lelaki semata-mata nak
mengelak.”
Ops! Masalah...
masalah. Macam mana nak cover ni?
Lekas-lekas Sasha Amira cari akal bila tembelangnya tak menjadi. Dalam masa yang
sama, dia berdoa. Ya Allah, lembutkanlah hati mama aku ni.
“Betul mama, Sasha
dah ada calon. Cuma tak sempat lagi nak kenalkan dengan mama. Kami baru kenal
dua minggu, takkan nak terus bawa jumpa mama. Nanti lari pula dia.”
“Ha, kalau dah lari
tu maknanya dia tak seriuslah dengan kamu. Tengok macam anak kawan-kawan mama,
berani tunjuk muka, beramah mesra dengan mama. Ha, lelaki macam tulah yang
boleh dibuat suami. Anak Hajah Kistina, si Saif Azrai tu pun apa kurangnya. Muka nampak baik aja. Mama dia pun mama kenal. Cuma kamu tu aja yang liat, asyik tolak jodoh!”
Oh, jadinya anak
Hajah Kisitina ni pun tak seriuslah dengan Sasha? Macam tu? Eh, kejap... Saif
Azrai ke nama anak lelaki Hajah Kistina tu. Saif Azrai... nama sudah macam nama
hindustan, Saif Ali Khan. Rupa dia agak-agak macam hindustan juga tak? Sasha
Amira cuba membayangkan. Ish, menyesal tak tengok gambar dia tadi. Tulah Sasha,
masa mama nak tunjuk tadi, jual mahal. Mata memandang ke dalam sekejap. Tapi
kalau tengok rupa Hajah Kistina, tak ada pula rupa macam hindustan. Erk!
Tertancap pula pada lelaki yang duduk di meja sebelah tadi. Lelaki itu merenung
ke arah sini. Menayang lagi senyum sampai ke pipi dia tu.
Aiseyman... kalau
rupa macam lelaki tu, tak inginlah aku! Tak lalu nak tengok lama, Sasha Amira
pura-pura lihat jam di pergelangan tangan.
“Alamak, ma. Maaf
banyak-banyak mama. Sasha ada kelas sekejap lagi. Dah lewat ni!” Sasha Amira
beri alasan lagi. Sasha Amira tergesa-gesa masuk sekejap dalam kafe. Bercakap
sesuatu kepada Hajah Kistina, mencium tangan wanita itu dan kemudian mengambil
begnya. Puan Damia nampak semua itu. Tidak lama anaknya itu muncul semula depan
mata. Tangan Puan Damia pula kemudian disambar dan dicium.
“Sasha dah beritahu
makcik tu, Sasha ada kelas. Sasha kena pergi sekarang ni , ma. Dah lewat
sangat. Sorry tau mama. Boyfriend Sasha nanti Sasha kenalkan
dengan mama kemudian ya...” Sasha Amira melambai kemudian berlari-lari anak
mendapatkan keretanya di parkir.
“Eh, Sasha!”
Terpinga-pinga Puan Damia seketika. Dipanggilnya Sasha Amira berkali-kali,
anaknya itu semakin jauh. Melambaikan tangan sambil mengulang kata maaf
berulang kali. Spontan keluhan dilepaskan Puan Damia. “Bertuah punya anak, buat
malu mama dia ni aje...”
Wajahnya beralih ke
dalam kafe. Hajah Kistina masih menanti. Emm... mengeluh lagi sebelum dihayun
kaki masuk.
“Minta maaflah,
Hajah. Anak saya tu pergi masa kita tengah berbincang.” Puan Damia mengatur
maaf sebaik duduk semula di kerusi. Wajahnya cuba dimaniskan dengan senyuman
bercampur malu dan rasa bersalah.
“Tak apa. Kelas tu
lebih penting, Puan Damia. Soal kenal-mengenal ni, kita orang tua pun boleh
uruskan.” Tenang Hajah Kistina membalas. Sisa kopinya diteguk lagi. Tertib peri
lakunya. Sementara Puan Damia setuju benar dengan pendapat Hajah Kistina yang
terakhir tadi. Kalau sudah anak tidak mahu kenal, biar orang tua ini dulu yang
mengenali bakal calon. Bila hati tua ini berkenan, ha, dengan senangnya orang
tua ini izinkan perkahwinan mereka. Kalau orang tua tidak beri restu, jangan
harap dapat kahwin.
“Emmm... kalau
macam tu, emm...” Ketat pula suara Puan Damia tiba-tiba. “Apa pendapat Hajah
tentang anak saya tu?”
Hajah Kistina
tersenyum mendengar soalan itu. “Kamu macam mana?” Tiba-tiba Hajah Kistina
memandang ke meja sebelah. Lelaki muda yang duduk di situ tersenyum ke arah
Hajah Kistina, kemudian kepada Puan Damia. Aik! Seketika anak muda itu bangun
dan berjalan ke arah Puan Damia. Tangan dihulurkan untuk bersalaman.
“Inilah Saif Azrai,
Puan Damia.” Hajah Kistina memperkenalkan.
Subhanaallah.
Terkejut Puan Damia melihat anak muda itu. Kata-kata Hajah Kistina cuma diiakan
dengan mengangguk. Perlahan-lahan tangan diangkat dan dibiarkan muka Saif Azrai
menyentuh kulit tangannya.
“Dia sendiri yang
nak tengok-tengok dulu gadis yang saya nak perkenalkan. Katanya tak mahu tayang
muka awal-awal, nampak desperate
sangat nak beristeri pula nanti. Hai, budak ni... ada aje alasannya.” Hajah
Kistina menggeleng-geleng.
“Kalau pada saya,
saya tak kesah siapa pun calonnya yang Azrai berkenan. Asalkan elok latar
belakangnya, elok agamanya. Kalau dapat berbesankan kawan lama, lagilah saya
sedia terima. Tapi itu pun, terpulanglah pada anak-anak. Tak begitu, Puan
Damia?”
*******
“Helo, Intan. Kau
tolong beritahu Encik Razak nanti aku lambat sikit masuk tutor. Sangkut dekat
jam la.” Beritahu Sasha Amira sebaik panggilan yang dibuatnya tadi disambut
suara halus milik Intan Nazira. Kemudian, lekas dimatikan panggilan itu.
Serabut! Sasha
Amira lihat kereta di sebelah kanan dan kiri. Terapit dia di tengah. Kereta di
sebelah kiri pula mula menghimpit untuk berebut masuk ke lorong yang sama. Tak
reti sabar agaknya orang yang memandu itu. Sempat dia menjenguk ke dalam. Tidak
nampak pula rupa pemandu dari cermin gelap itu.
Tahulah nak cepat
hendak masuk kerja. Aku ni pun nak cepat juga. Aku cium depan kereta tu baru
tahu!
Sudahnya Sasha
Amira yang mengalah. Kalau betul-betul terlanggar nanti, tak mampu insuransnya
hendak bayar ganti rugi kereta mewah itu. Sabar sajalah. Masa-masa inilah
terasa macam nak bawa big foot dekat
atas jalan. Biar semua kereta takut dan beri laluan.
*******
Puan Damia
merenung-renung kad nama yang diberikan Saif Azrai tadi kepadanya.
“Kalau ada apa-apa,
makcik telefonlah saya bila-bila masa.”
“Ha, yalah.” Puan
Damia mengiakan. Kemudian kad nama itu diselitkan dalam tas tangannya. “Kalau
macam tu, saya balik dululah Hajah. Terima kasihlah ya. Entah bila lagilah
agaknya kita dapat berborak sama-sama lagi...” Puan Damia bersalaman dengan
Hajah Kistina. Berpeluk cium dengan mesra.
“Insya-Allah. Ada
jodohnya nanti, Puan Damia.” Lebar senyuman Hajah Kistina dan Puan Damia. Mata
Hajah Kistina akhirnya menjeling ke arah anak lelakinya. Bagai faham, Saif
Azrai bersuara.
“Makcik balik
dengan siapa? Kalau tak keberatan, bolehlah balik sama. Saya boleh tolong
hantarkan.” Kata orang, hendak pikat anak kenalah pikat emaknya dulu. Kalaupun
Puan Damia sedia menerima dirinya sebagai calon menantu, hai apalah salahnya
kalau dia bertindak untuk meyakinkan bakal mak mertua itu lagi. Biar Puan Damia
tahu dialah calon TERBAIK dalam abad ini. “Bolehlah saya tanya lebih sikit
pasal anak makcik...” Saif Azrai tayang senyum nakal. Sekelip mata tapak tangan
Hajah Kistina juga macam kilat menyambar lengannya.
“Ish, kamu ni.”
Puan Damia
tersenyum-senyum. Fikirannya pula merancang macam-macam. Kalau plan A tidak menjadi, seperti dulu...
kenalah tukar kepada plan B. Dulu,
cuma bertukar-tukar nombor telefon. Tapi masing-masing tidak mahu mulakan dulu.
Malu agaknya. Bila si lelaki mula cucuk jarum pula, anaknya juga yang liat.
Tidak mahu menjawab panggilan, tidak mahu keluar sama dengan pelbagai alasan
yang diberikan.
“Emm... apa
salahnya. Banyak pun ceritanya makcik boleh kongsi.”
No comments:
Post a Comment