“Kau memang tolak
tuah la Sasha!”
Sasha Amira hanya
tunjuk muka toya apabila kata-kata itu dilontarkan kepadanya oleh Intan Nazira,
teman rapatnya sendiri. Sedikit pun Sasha Amira tidak ambil peduli. Apatah lagi
terasa hati. Kawan baiknya yang seorang ini memang mirip Puan Damia. Nampak
saja silap Sasha Amira. Tidak macam Zaimah, kawannya yang seorang lagi yang
selalu sekepala dengan Sasha Amira.
“Ada ke patut kau pergi
tolak semua calon-calon suami yang mak kau perkenalkan? Lepas tu, mengaku dah
ada calon hati sendiri?” tujah Intan Nazira lagi. Terkejut dia mendengar cerita
Sasha Amira masa tutor tadi. Habis saja tutor, terus saja Intan Nazira sambung
leter. Sedangkan Sasha Amira boleh selamba saja seperti biasa. Entah sampai
bilalah kawannya itu tidak mahu ada komitmen dengan seorang yang bergelar
lelaki.
Bukan setakat
selamba, malah boleh pula Sasha Amira tayang muka bangga dengan akalnya yang
konon berjaya menggagalkan niat baik Puan Damia. Itupun kalau Puan Damia
percaya. Kalaulah Intan Nazira berada di tempat Sasha Amira, yang mana ibunya
asyik memperkenalkan lelaki-lelaki hebat, tidak payah dipaksa Intan Nazira
memang rela berkahwin. Tidak payah Intan Nazira asyik berangan-angan mahu
menambat kumbang diraja seperti sekarang.
“Entah-entah kau ni
dah tersangkut mamat bangla yang jadi cleaner
tu eh, sebab tu semua calon yang mama kau perkenalkan kau tolak!” Tempelak
Zaimah lalu terkekek-kekek ketawa. Kelakar sangatlah tu. Bulat mama Sasha Amira
memandang Zaimah. Pandai-pandai aja minah ni.
“Kalau mama kau
suruh kau kahwin cepat macam mana?” soal Intan Nazira lagi menyambung semula
syarahannya.
“Alah, kan mama aku
memang nak suruh kahwin.”
“Ha, jadinya?
“Jadi apanya?” Sasha Amira masih tayang muka
seposennya depan Intan Nazira. Wajah Intan Nazira pula yang berkerut seribu
melihat sikap Sasha Amira.
“So, mana kau nak cekup laki nak buat
suami mak cik oi!” Pantas Intan Nazira menyoal terus-terang.
Kisah pasal Puan
Damia hendak Sasha Amira naik pelamin bukan setakat baru-baru ini heboh antara
mereka tiga sekawan. Tapi sejak dua tahun lepas Intan Nazira mendengar cerita
Sasha Amira yang terpaksa bertemujanji dengan lelaki-lelaki pilihan orang
tuanya. Tambah-tambah bila sudah lama rumah mereka tidak berseri dengan majlis
walimatul urus. Cucu pula sudah berderet. Bila lagi mahu melihat anak dara
bongsu mereka naik pelamin. Kalau sudah Sasha Amira mengaku sudah berpunya,
sudah tentulah Puan Damia akan cepat-cepat menyuruhnya berkahwin pula. Itu
Intan Nazira sangat pasti!
“Dah kau mengaku
ada boyfriend. Dah tentulah mama kau
nak kenal, minta kau kenalkan dengan orang tua.
“Alah, kau tak
payahlah nak risau bagi pihak aku pula. Kalau setakat boyfriend belum tentu nak tayang kat mama dan papa. Itu macam dah
sedia nak kahwin. Aku ni kan pelakon. Pandai-pandailah aku nak jawab nanti.
Lama-lama senyaplah mama aku tu,” jawab Sasha Amira mudah.
“Pelakon?” Intan
Nazira hampir tergelak. Tidak habis-habis kawannya itu mengaku pelakon terbaik.
Bangga benar dia dengan cerita zaman tadikanya itu. Pernah jugalah Intan Nazira
tengok gaya lakonan Sasha Amira sebelum ini. Masa makan malam meraikan senior
tahun terakhir, tahun lepas. Budak-budak batch
mereka sibuk nak buat lakonan. Kalau nak dinilai, emm... tak adalah pandai
benar kawannya itu berlakon. Keras macam kayu juga. Tapi mengaku pelakon
terbaik. Hai... balik-balik itu yang dijadikan modal sebagai alasan bila dia
tidak mahu memikirkan soal perkahwinan yang diatur Puan Damia. Pada teman,
diluah semua cerita. Bila dinasihatkan supaya ikut saja kata mamanya, itu pula
alasan dia. Sasha... Sasha.
“Yalah... pelakon.
Walaupun dah lama tak berlakon, tapi bakat tu masih ada tau!”
Intan Nazira
mencebik bibir.
“Aku ni muda
lagilah. Buat apa tegopoh-gapah nak kahwin. Mama aku tu aja yang tak sabar nak
dapat menantu baru!”
“Excuse me! Yang muda lagi tu kami. Kau
tu dah 29 tahun. Awal tahun depan kau dah nak masuk 30 tahun. Nak dibandingkan
dengan kami ni, tolak dua tiga jari ni, boleh kira sepuluh tahun bezanya. Tak
sedar ke?” Intan Nazira menayang jarinya ke depan. Ikut hati mahu saja dipamer
terus kad pengenalan betul-betul depan muka Sasha Amira. Biar dia lihat beza
umur mereka hingga juling mata.
Kasihan. Perasan
muda rupanya kawan aku ni. Getus Intan Nazira dalam hati.
“Ak’ah... betul
juga! Kau satu semester dengan kita orang ni pun sebab kau asyik tukar course aja kan. Satu course pun tak pernah habis!” tempelak
Zaimah sekaligus menyokong kenyataan Intan Nazira tadi.
“Memang patutlah
mama kau tu beria-ia nak kau kahwin.” Intan Nazira menyampuk lagi.
“Sekurang-kurangnya ada jawatan yang paling sesuai untuk orang yang tak pernah
nak habis belajar macam kau ni. Jadi suri rumah, jaga makan minum laki kau!”
Zaimah sudah gelak
sakan mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Intan Nazira. Namun Sasha
Amira sekadar mencebik. Segala cakap Intan Nazira terus diambil ringan.
Balik-balik kahwin. Sasha Amira sudah mual mendengar perkataan itu. Buat-buat
tidak dengar lebih baik daripada dia muntah sudahnya gara-gara topik itu nanti.
“Sha, sampai bila
kau nak mengelak macam ni? Takkanlah kau nak tunggu kerepot baru kau nak ikut
cakap mama kau tu supaya kahwin? Masa tu nanti, aku berani kerat jarilah beb.
Tak adanya laki yang nak kau lagi masa tu!”
“Ish, kau ni
membebel ajalah...” rungut Sasha Amira lalu lekas bangun. Telinganya digosok
berkali-kali sambil tayang muka bengang di depan Intan Nazira. Hai, banyak pula
cekadak makcik ni. Ingatkan dah habis tadi. Meleret-leret pula dia. Tahulah
yang dia tu jaguh debat dekat kuliah. Banyak pula idea dia!
“Kau, kalau nak
teruskan hujah-hujah pidato kau tu lebih baik lepaskan dekat depan pokok tu.
Sekurang-kurangnya pokok tu akan balas bila angin bertiup kencang nanti. Aku
malas nak dengar. Aku nak cau dulu!”
Sasha Amira menunjuk ke arah sebatang pokok di luar kolej sebelum dia
mengangkat kaki meninggalkan Intan Nazira dan Zaimah.
“Eh, kau nak pergi
mana tu?” terus saja Zaimah menyoal sebaik melihat Sasha Amira sudah pergi.
Dilihatnya jam, masih terlalu awal untuk kuliah seterusnya. Masakan Sasha Amira
mahu masuk kuliah seawal ini? Selalunya awal seminit pun tidak pernah. Memang muka
dia saja yang datang lewat.
“Lapar perut aku
kena leter. Nak cari makanlah!” Sasha Amira memekik selamba. Sedikit pun dia
tidak menoleh ke belakang dan terus menghayun langkahnya agak perlahan. Saja
hendak makan angin.
“Nak ikut! Nak
ikut!” Pantas betul reaksi Zaimah bila disebut tentang makan. Walau baru saja
dia menyuap dua biji pau daging sebelum tutor Encik Razak bermula, bila disebut
tentang makan terus saja perutnya berlagu.
Terkedek-kedek
Zaimah berlari mengejar Sasha Amira. Sebenarnya bukan mahu mengejar Sasha Amira
tapi makanan yang Sasha Amira cari itu yang mahu dikejarnya. Sudah terbayang
bermacam jenis menu di fikiran Zaimah. Entah makanan apa yang dicari Sasha
Amira. Mungkinkah makanan segera McDonalds atau ke The Mines yang tidak jauh
dari kampus mereka? Zaimah sudah menelan liur.
*******
Aduhai... kebas
rasanya telinga Sasha Amira hari ini. Baru saja dengar leteran Intan Nazira
yang berjelar-jelar tadi. Sampai dalam kereta dia membebel macam mak nenek.
Ikutkan hati mahu saja ditinggalkan Intan Nazira di tengah-tengah jalan. Sasha
Amira bagi tumpang dan hantar sampai ke rumah itupun sudah cukup untung. Tapi
dia pula yang menyesakkan telinga Sasha Amira yang kecil ni.
Balik ke rumah
pula, tak sempat dia pijak lantai rumah. Baru saja daun pintu diselaknya suara
Puan Damia terus menyinggah ke telinga. Terkejutlah juga bila lihat Puan Damia
sudah bercekak pinggang di depan pintu.
Fuh, semangat.
Nasib baik tak ada sakit jantung anak mama ni.
“Apa yang kamu dah
buat tadi? Kamu tahu tak yang kamu dah malukan mama? Hajah Kistina tu bukan
calang-calang orang. Keluarga mereka tu orang yang dihormati. Anak dia pun
berpelajaran. Belajar sampai ke UK. Mama baru nak kenalkan dengan kamu, kenapa
kamu buat hal pula?” Puan Damia sudah naik angin sebaik terlihat muka Sasha
Amira. Memang sudah lama dia menanti kepulangan anaknya itu. Plan B perlu dilunaskan bemula saat ini.
Sasha Amira tayang
muka tenang. Tangan Puan Damia dicapai lalu dicium. “Maaflah mama. Sasha memang
ada kelas tadi. Kan awal-awal lagi Sasha dah beritahu. Mama kata nak minum
sekejap aja. Orang ajak lepas kelas, mama tak nak...” Sasha Amira pula
merungut.
Puan Damia mencekak
pinggang apabila anak perempuannya itu menjawab. Geram di hati menjadi-jadi
apabila mengenangkan hal yang berlaku di restoran tadi. Kemudian dia menghempas
keluhan halus. Yalah, yalah. Memang salah mama. Kalau tahu jadi begini,
diajaknya lepas anaknya itu habis kelas. Tapi tak apalah. Dalam diam, rancangannya
sudahpun bermula. Sasha Amira saja yang tidak tahu. Jadi, sekarang Puan Damia
kenalah pura-pura berlakon.
Helo pelakon
terbaik, ingat mama kamu ni tak tahu berlakonkah?
“Kalau nak
dibandingkan dengan dinding ni, tebal lagi muka mama gara-gara tindakan kamu
tau. Bila sebut hal kahwin, macam-macam alasan yang kamu bagi. Sekarang pula dah
pandai mengaku ada boyfriend.
Calon-calon yang mama kenalkan, kamu tak suka. Ha, macam mana boyfriend kamu yang kamu suka sangat tu?
Siapa namanya? Bila nak tunjuk pada mama?”
Kalau betul anak
daranya itu sudah berpunya, legalah Puan Damia. Tapi biarlah kena pada masanya
hendak diperkenalkan padanya. Kalau diberitahu awal-awal, tidaklah Puan Damia
berjanji dengan Hajah Kistina. Sekarang pula anaknya itu boleh menayang muka
tidak bersalah. Bukannya dia tidak nampak Puan Damia mencekak pinggang dengan
suara begetar.
“Emm... nantilah
ma. Kan Sasha dah beritahu yang kami baru kenal. Nampak macam desperate sangat Sasha ni nanti.”
Puan Damia
mengherotkan bibir. Faham benar dia alasan yang diberikan Sasha Amira. Tak
adalah tu, sebab tu tak mahu kenalkan. Puan Damia tidak mahu beri peluang.
Katanya perlu dituruti kali ini.
“Kalau dah ada
teman lelaki sangat, suruh dia masuk meminang cepat. Tak payah nak bercinta
lama-lama. Mama dengan papa dulu pun lepas kahwin baru nak bercinta. Sebelum
kahwin, bukannya kenal!”
Sasha Amira
menghempas keluhan halus. Sudah berkali-kali Sasha Amira mendengar cerita cinta
mama dan papanya dari mulut Puan Damia sendiri. Masakan Puan Damia mahu Sasha
Amira juga mengikut rentak orang tuanya. Mengikat tali perkahwinan dengan
pasangan pilihan keluarga. Jika ditanya pendapat Sasha Amira, sudah tentu
jawapannya tidak. Sasha Amira tidak rela!
“Mama, Sasha belum
bersedia nak kahwin lagi. Bercinta lama sikit apa salahnya. Dapat juga kenal
hati budi masing-masing.” Sasha Amira membuah alasan. Sedangkan teman lelaki
juga dia tidak miliki. Hendak diharapkan teman lelaki yang dia sebut-sebut
depan mama, entah macam mana hendak diperkenalkan pada mama kalau orangnya
memang tidak wujud? Kalau Puan Damia tahu akan hal sebenar, masak Sasha Amira
kena leter. Lepas itu terpaksa menghadap calon-calon suami pilihan Puan Damia
seterusnya. Tidak!!!
“Kalau nak tunggu
kamu tu cakap yang kamu dah sedia nak kahwin, sampai mama kerepot pun kamu tak
mahu-mahu juga kahwin. Buat apa nak kenal lama-lama. Kalau dah suka, ha kahwin
aja.” Bidas Puan Damia keras.
Senyap.
“Sampai bila kamu
nak membujang?” Puan Damia menyambung. “Kamu tu bukannya muda lagi. Dah tua
bangka! Kalau kahwin dah ada anak empat. Entah-entah sepuluh!” Senyap sekejap.
Sementara anak perempuannya membatu di depan pintu. Menekur ke lantai tanpa
sepatah kata lagi selepas jawapan terakhirnya tadi. Tapak kakinya pula
mengeser-geser lantai sekejap ke depan, sekejap ke belakang. Ke kiri dan ke
kanan.
“Kamu tu perempuan.
Kita orang perempuan ni makin tua makin tak laku. Takkan kamu nak jadi anak
dara tua. Belum ada keturunan kita yang jadi andartu lagi. Kakak abang kamu
semuanya kahwin bila usia mereka pertengahan 20-an. Abang kamu yang lelaki tu
pun kahwin awal. Tak payah mama susah-susah nak carikan calon.”
“Alah, abang tu
miang. Sebab tu belum habis belajar lagi dah sibuk nak kahwin,” gumam Sasha
Amira perlahan. Namun masih dapat didengar Puan Damia.
“Ha! Menjawab!”
Terus saja suara Puan Damia meninggi semula. “Orang berleterkan dia, dia pula
mengutuk abang sendiri. Kalau dah abang kamu miang, yang kamu tu apa pula? Dah
nak masuk 30 pun masih tak ada calon suami.”
“Mama janganlah
risau. Ada jodoh kami nanti, Sasha kahwin.” Cepat-cepat Sasha Amira menjawab
sebelum Puan Damia meneruskan bebelannya. “Sasha masuk bilik dulu, ma.” Lantas
dia segera menghayun kaki ke tangga untuk ke tingkat atas.
Puan Damia
memerhati anak perempuannya dengan riak marah. “Ha, itulah kamu! Asal cakap
pasal kahwin aja nak mengelak. Kalau kamu serius dengan teman lelaki kamu tu,
bawa dia jumpa mama dengan papa. Kenalkan betul-betul pada kami ni! Tak payah
nak sorok-sorok!” Puan Damia meneruskan leterannya walaupun bayang Sasha Amira
sudah lesap.
“Apalah liat sangat
anak aku seorang ni. Entah apalah dosa aku dulu... dapat laki, sibuk memanjang.
Anak-anak yang lain pun jarang sekali nak nampak muka. Nak balik setahun sekali
pun payah. Telefon pun jarang. Yang seorang ni pula, degil. Belajar tak
pernahnya habis. Asyik-asyik tukar jurusan. Suruh kahwin pula tak nak kahwin.
Kalau dah rasa malas nak belajar, kahwin ajalah. Bila dah kahwin, ada anak,
adalah juga teman aku dekat rumah ni. Tak adalah sunyi sangat...” Puan Damia
mengeluh panjang.
Anak Puan Damia
bukannya ramai macam saudara-mara lain, sampai enam tujuh orang. Tiga orang
saja. Yang sulung, perempuan. Suhana Azreen namanya. Kerjanya sebagai guru
Sains di sekolah rendah. Dulu mengajar di KL. Suaminya, Mazlan anak sepupu Puan
Damia juga berkerja di syarikat swasta di area Selangor saja. Dua tahun lepas
mereka berkahwin, Mazlan pula dapat panggilan kerja kerajaan di Kedah. Tidak
tahan hidup jarak jauh dengan suami, Suhana Azreen pula minta tukar sekolah ke
Utara. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jarang sekali mereka balik ke
rumah ini, menjenguk Puan Damia. Dulu ada jugalah sekali sekala mereka balik
masa cuti sekolah. Bila anak-anak mula membesar, melayan pula kerenah anak
pergi bercuti. Hari raya, dua tahun sekali baru balik. Puan Damia dan Encik
Rahim pula yang pergi ke Perak bila Suhana Azreen beraya di rumah keluarga si
suami.
Bila Zafuan, anak
kedua Puan Damia kahwin pula, Encik Rahim sudah tidak mahu lagi beraya di
Perak. Tidak adil katanya kalau rumah besan yang seorang lagi tidak diziarah.
Hendak berlaku adil, dia rela buka kilang cetaknya waktu hari raya. Hai,
suaminya itu pun satu. Kenapalah tidak dibawa saja Puan Damia ini ziarah
kedua-dua belah keluarga besan. Zafuan juga sama saja dengan kakaknya. Asyik
lebihkan keluarga isteri. Puaslah emaknya ini telefon menyuruh balik. Tiada
cutilah, anak sekolah la, macam-macam alasan.
Yang bongsu pula,
lebih memeningkan kepala Puan Damia. Sasha Amira. Masa sekolah, sibuk bercinta.
Habis tingkatan lima, katanya hendak sambung diploma kulinari. Tapi tidak
ditamatkan pengajian. Dia bertukar pula ke bidang Sains Komputer. Separuh jalan
juga dan kini mengambil pula kursus diploma perakaunan. Yang hairannya, umur
sudah lebih 20 tahun, tak ada pula anaknya yang seorang ini bercinta. Teman
lelakinya waktu sekolah dulu juga tidak tahu khabar berita. Cinta monyet pun
kata orang. Tapi sekarang, umurnya makin lanjut. Ibu manalah yang tidak risau.
Bersusah-payah Puan Damia mencarikan calon sejak beberapa tahun lepas. Tapi
semuanya tidak berkesudahan ke jinjang pelamin.
Hai... Puan Damia
menarik lagi nafas panjang. Kemudiannya kepala Puan Damia digeleng beberapa
kali serentak menghempas nafas yang memberat. Telefon bimbit milik Puan Damia
lekas diraih dari atas meja di ruang tamu. Nombor anak sulungnya dicari-cari.
No comments:
Post a Comment