Apa ni? Tak aci
betul! Sasha Amira merusuh. Letih kerana majlis pernikahan yang dipaksa semalam
pun belum surut. Sakit seluruh badan. Kalau diajak pergi spa dan ada orang yang
tolong urutkan, tidak apalah juga. Biar selesa sikit badannya. Tapi, pagi-pagi
lagi Saif Azrai sudah mengejutkannya bagai mengejut anak kecil bangun tidur.
Ingatkan selepas
solat Subuh, bolehlah Sasha Amira bermalas-malasan atas katil. Menyambung tidur
yang terasa begitu pendek malam semalam. Bukan. Malam sudah berakhir sewaktu
dia mula lelapkan mata. Agaknya ketika itu sudah menjangkau dua tiga pagi.
Sasha Amira kurang pasti.
Tidurnya terjaga
apabila dunia seperti bergoncang. Celik mata saja, matanya terlihat jalan raya
yang sesak dengan kenderaan. Dia pandang sebelah, Saif Azrai selamba saja
memandu. Tidak sedikit pun dia menoleh ke arah Sasha Amira walaupun puas Sasha
Amira melopong di sebelah. Bukannya dia tidak tahu yang Sasha Amira sudah
terjaga dari tidur. Dia juga yang sengaja buka radio kuat-kuat. Bising betul.
“Nak ke mana ni?”
Gelisah Sasha Amira menyoal. Bukan saja gelisah. Panik, hairan, geram, marah,
semuanya ada. Tapi lelaki itu buat tidak endah saja soalannya. Tengok. Sengaja
tayang muka tidak bersalah. Eii.. geramnya. Sasha Amira hempas keluhan halus.
Radio yang memekak dimatikan terus.
“Kita nak ke mana
ni?” ulang Sasha Amira lagi. Tengoklah, kalau Saif Azrai boleh buat-buat tidak
dengar lagi.
Seketika lelaki itu
menoleh ke arahnya sekilas. Berjaya juga caranya. Sah memang radio itu yang
bising.
“Nak pergi kolej.”
Pendek jawapan Saif Azrai. Bersahaja nadanya tapi Sasha Amira yang menganga.
“Kolej buat apa?”
“Hantar awaklah.”
Ha? Lagi sekali
Sasha Amira melopong. Orang lain kahwin terus berbulan madu. Sasha Amira pula
jangan kan bulan madu, hendak cuti goyang kaki pun tak boleh. Baru semalam jadi
bini orang, hari ini sudah perlu ke kolej. Buang tebiat ke apa?
“Nak hantar saya ke
kolej buat apa? Kan mama kata saya dah berhenti belajar. Awak pun tahu kan.”
“Saya tak nak
isteri saya tak habis belajar. Nanti bila anak-anak tanya kan malu nak beritahu
mama mereka tak habis belajar.” Serius nada suara Saif Azrai. Matanya tidak
sedikit pun menjeling reaksi Sasha Amira. Fokus benar dia memandang depan.
Kalau dia lihat Sasha Amira, mesti dia tahu yang Sasha Amira memang tidak puas
hati.
Memang tidak adil
sungguh. Sudahlah dipaksa berkahwin dengan Saif Azrai kerana kononnya Sasha
Amira mahu berhenti belajar. Lepas terpaksa bergelar isterinya, Sasha Amira
dipaksa pula sambung belajar. Mana aci! Lebih baik dari awal mama dengar penjelasannya
yang memang tidak berniat untuk berhenti belajar.
“Kalau malu, buat
apa awak kahwin dengan saya?” Sasha Amira sudah tayang muncung. Saif Azrai
tetap buat tidak kesah. Berbakul rasanya geram di hati. “Dahlah angkut saya
dengan baju tidur lagi. Mandi pun tak sempat...” Mulutnya mengomel sendiri.
Bertambah geram
bila melihat pakaian yang dipakainya malam tadi masih membaluti badan. Itupun
nasib baik bukan baju tidur seksi yang diberi Zaimah. Kalau orang lihat pun
bukannya orang tahu Sasha Amira pakai baju yang dibuat tidur semalam. Badannya
dihidu sedikit. Nasib baik tak busuk sangat.
Dalam diam, Saif
Azrai menahan geli hati. Matanya curi-curi menjeling gelagat Sasha Amira di
sebelah walaupun nampak seperti memberikan tumpuan penuh pada pemanduannya. Nampak
saja stesen minyak, Saif Azrai membelok masuk lalu berhenti di tepi stesen.
Dekat dengan tandas. Muka Sasha Amira dipandang lama.
Sasha Amira melihat
keluar dan kemudian renungan Saif Azrai dibalas. Matanya berkelip-kelip seperti
meminta penjelasan. Namun, Saif Azrai cuma panjang muncung ke depan.
“Saya tak terasa
nak buang air.”
Saif Azrai
tersenyum. Tangannya mencapai sesuatu dari tempat duduk belakang. Kemudian
sebuah beg ain berwarna hitam diletakkan atas pangkuan Sasha Amira. Fuh! Berat
betul beg itu.
“Saya dah bawakan
pakaian untuk awak. Ada sabun, syampu, berus gigi semua ada. Tuala pun ada.”
Sasha Amira
ternganga lagi mendengar. Dia nak suruh aku buat apa pula dengan semua benda
tu? Saif Azrai asyik tersenyum kambing sambil matanya sesekali melirik ke luar.
Ke tandas?
“Awak nak suruh
saya mandi dekat sini?” Diam. Huh! Jangan harap! Gerutu hatinya bukan kepalang.
Beg berat macam bawa beras spuluh kati itu dihempas ke pangkuan Saif Azrai. Dia
memeluk tubuh lalu wajahnya dipalingkan dari lelaki itu.
“Betul awak tak nak
mandi? Tak busukkah?”
Ada tawa di hujung
cakap Saif Azrai. Menebal sakit di hati Sasha Amira. Soalan atau pun gurauan
Saif Azrai tadi dibiarkan tidak berjawab. Kalau busuk, pandai-pandailah lelaki
itu tahan hidung. Pandai sangat angkut Sasha Amira yang tidak sempat mandi pagi-pagi
buta kan.
“Awak tunggu
sekejap.”
Sekelip mata Saif
Azrai sudah hilang. Cakaplah tangki dia yang penuh. Ada hati pula hendak
kenakan orang. Hati Sasha Amira terus merusuh. Matanya meliar pandang keluar.
Bayang Saif Azrai langsung tidak diendah.
Lama juga dia
menunggu tapi bila dijeling, Saif Azrai masih tidak muncul dari arah tandas
yang hanya di sebelah tempat duduknya. Orang lain saja yang ramai keluar masuk.
Mat bangla, pekerja stesen minyak itu pun sempat betul-betulkan seluar depan
pintu tandas. Hingga terselak baju sampai menampakkan bulu dadanya. Ish, tak
senonoh betul. Menyesal Sasha Amira perhatikan ke sana. Cepat-cepat Sasha Amira
membuang pandangan ke tempat lain.
Dalam dia tengah
rasa malu, tiba-tiba pintu kereta dibuka. Fuh, semangat. Terkejut Sasha Amira
bila Saif Azrai masuk tiba-tiba. Pergi membeli-belah rupanya. Bungkusan yang
dibeli Saif Azrai semuanya dihulur kepada Sasha Amira. Berkali-kali lelaki itu
mengunjukkan adanya, barulah Sasha Amira menyambut. Tergamam sekejap.
“Awak mesti lapar
sebab tak makan lagi pagi ni. Semalam pun, bukannya awak makan sangat. Saya tak
tahu apa yang awak suka makan, apa yang awak tak suka. Kalau tak suka, beritahu
saya. Lepas ni, saya takkan bagi awak makan apa yang awak tak suka lagi.”
Beritahu lelaki itu sambil sibuk memutar stereng meninggalkan stesen minyak
tadi.
Sementara Sasha
Amira terkial-kial membelek makanan dalam beg plastik yang dihulur Saif Azrai
tadi. Amboi. Banyak betul makanan yang dibeli lelaki itu. Roti manis ada, roti
pedas ada... berbungkus-bungkus banyaknya. Ada lagi nasi lemak, mi goreng, snek
ringan pun ada sama. Nak suruh sarapankah, buat makan seminggu? Mi goreng
memanglah Sasha Amira tolak awal-awal sebab dia memang tidak suka mi kuning.
Tiada pilihan, nasi lemak diambil dari bungkusan sebagai santapan makan
paginya. Makanan lain disangkutnya di tepi pintu.
Saif Azrai
tersenyum-senyum melirik gelagat Sasha Amira makan di sebelah. Sasha Amira
sekejap-sekejap membawa lari bekas nasi lemak dan berpaling ke luar tingkap.
Sengaja hendak menyorok dari pandangan Saif Azrai. Pandang-pandang pula lelaki
itu. Hilang seleranya nanti.
Licin satu bekas
nasi lemak. Alhamdulillah. Kenyang perut Sasha Amira. Memang dari semalam dia
menahan lapar. Susah betul jadi pengantin. Hendak menjamah makan pun payah. Kak
Salehalah yang asyik melarang. Nanti kotor baju pengantinlah, nanti mulut bau
karilah. Macamlah Sasha Amira ni budak kecil.
Bak kata orang,
bila perut kenyang hati senang. Mata pun mulalah terkebil-kebil menahan kantuk.
Makin lama makin kabur pandangan mata.
best.....nya.
ReplyDeletethanks baby mio sebab singgah, baca n komen ^^,
Delete