Pages

Hi pembaca semua!!!

Terima kasih kerana datang melawat, membaca karya-karya dalam blog ini dan terima kasih juga kepada semua yang menyokong Yuri. Yuri rasa happy sangat dengan kehadiran korang dalam hidup mahupun alam maya Yuri ni.

Segala komen dan sokongan sentiasa dan akan terus membakar semangat Yuri untuk terus berkarya menggunakan nama pena ayu munawer.

Semua karya di dalam blog ini adalah ilusi, imaginasi serta daripada pengalaman hidup. Dan yang paling penting, semua karya di sini adalah hasil karya Yuri. Mohon supaya tiada copycat dekat sini... tqvm

Harap korang terus menyokong dan beri komen mahupun kritikan untuk Yuri memperbaiki sebarang kekurangan.

P/S: Untuk makluman, karya "Dia Si Jantung Hati" akan dihentikan penerbitannya di sini atas sebab rombakan besar-besaran plot cerita. Justeru itu, judulnya juga bakal berubah. Maaf atas sebarang kesulitan. Harap korang setia menunggu dan menyokong hasil rombakannya nanti okey ^^,
"Aku tak suka kau la" kini diterbitkan di penulisan2u dengan tajuk "JIWA KACAU"..saja nk tukar tajuk. Sebb yuri rasa cam lg sesuai je tajuk ni..lebih pendek n ringkas hehe ada ka yuri edit2 skit. Harap u all x kesah nk singgah baca :-)
Sudi-sudilah berkunjung ke official blogshop yuri di http://decodanmakan.blogspot.com yer. Walaupun rupanya masih macam blog biasa, yuri pun masih belajar lagi macam mana nak upgradekannya. Macam-macam ada. Nak tau apa yang ada, kenalah singgah.

Terima kasih (^^,)v

Wednesday, July 31, 2013

Buddyz vs cinta: bab 10


Sakit betul hati Emey Suhaila kerana terserempak lagi dengan Razali di kelas pagi tadi. Pantang lihat Emey Suhaila seorang tanpa Azura, mesti Razali ambil kesempatan mahu mendekatinya. Jika Azura ada, jangan kata dekat. Tegur Emey Suhaila juga lelaki itu tidak berani. Malahan jika Razali memandang muka Emey Suhaila dari jauh pun sudah diserang dulu oleh Azura. Pandangan tajam Azura yang seakan haiwan buas kelaparan itu pasti menjadi habuan.
Azura memang tidak suka akan Razali. Azura juga tahu yang Emey Suhaila tidak berkenan pada Razali tetapi lelaki itu tidak putus asa mahu memikat Emey Suhaila. Bila Emey Suhaila rasa rimas dengan tindakan Razali, Azura juga seakan terkena tempiasnya kerana Azura sudah lama berkawan rapat dengan Emey Suhaila. Bak kata orang, cubit peha kiri peha kanan juga terasa peritnya. Oleh sebab Emey Suhaila tidak menyukai, kerana itulah Azura benci Razali tahap maksima.
Rimas Emey Suhaila dibuat Razali hari ini. Ikutkan hati yang sebal memang Emey Suhaila mahu keluar saja dari dewan kuliah, sama seperti tindakannya sebelum ini. Tapi takkanlah Emey Suhaila asyik hendak ponteng kuliah semata-mata sebab Razali. Nanti markah kedatangan Emey Suhaila juga yang percuma melayang. Sepanjang kuliah pagi tadi Emey Suhaila menahan perasaan.
Bila Emey Suhaila mengelak, Razali tetap mengekori ke mana saja Emey Suhaila pergi. Banyak kali Emey Suhaila beralih tempat duduk, Razali mengikut dan turut henyak punggung di sebelahnya.
‘Wah! Ini sudah dikira gangguan psikologi!’ Emey Suhaila membentak dalam hati. Sudahnya Emey Suhaila duduk cepat-cepat di sebelah Rogayah yang kebetulan kosong. Tiada ruang di sebelah Emey Suhaila yang boleh Razali mencelah. Emey Suhaila suka hati.
Tapi mula saja kuliah di depan, bahu Emey Suhaila dicuit dari belakang. Terkejut besar Emey Suhaila sebaik menoleh. Razali tersengih-sengih di belakangnya, menampakkan barisan giginya yang berkarah sebab merokok. Tidak lalu Emey Suhaila mahu tengok senyuman lelaki itu. Lekas-lekas Emey Suhaila paling muka ke depan. Selang beberapa saat, satu suara halus singgah ke telinga Emey Suhaila.
“Aku suka kau...” Perlahan suara itu berbisik namun Emey Suhaila percaya posisi Razali ketika itu sangat dekat dengannya. Emey Suhaila dapat rasakan deru nafas lelaki itu yang menghentam tengkuknya. “Kau dengar tak?” ulang suara itu lagi.
Emey Suhaila tidak senang duduk. Tubuhnya pantas ditolak ke depan lalu tangan diletakkan atas meja. Saat itu, telinga nipis Emey Suhaila dapat menangkap suara tawa halus Razali. Bergoncang jantung Emey Suhaila dibuatnya. Lantas Emey Suhaila menjeling ke kanan dan kiri. Namun spontan satu keluhan halus dilepaskan. Mahu bangun dan beralih tempat duduk, dia sudah diapit oleh dua orang pelajar di kiri dan kanan.
Tambah malang, tempat duduk Emey Suhaila pula berada di tengah-tengah barisan. Tidak kira dari arah mana pun, terpaksalah Emey Suhaila minta laluan daripada pelajar lain untuk meredah laluan sempit itu kalau Emey Suhaila berniat untuk beralih tempat duduk sekali lagi. Termasuklah Rogayah yang nampaknya khusyuk mendengar kuliah. Sedangkan Emey Suhaila gelisah bagai nak rak di situ pun tidak sedikit pun Rogayah ambil endah. Perhatiannya tetap ke depan.
Sementara Razali mulalah nak buat drama dan kuliah syarahannya di belakang Emey Suhaila. Pelajar lain dalam barisan tempat duduk Emey Suhaila menggeleng kepala bila terdengar kata-kata Razali. Ada juga yang berdehem berkali-kali. Tidak kurang juga yang sudah mula melemparkan jelingan pada Emey Suhaila.
Emey Suhaila hempas keluhan. Tebal muka Emey Suhaila tapi bukannya Emey Suhaila yang salah. Razali yang memekak di belakang. Pot pet pot pet dengan ayat jiwangnya. Mahu saja Emey Suhaila muntah di situ juga sedang tumpuannya pada kuliah yang disampaikan pensyarah di depan sudah lama lenyap. Berbanding pelajar lain, Rogayah di sebelah Emey Suhaila pula tidak beri sebarang respon. Mukanya kosong sambil tekun menulis atas buku notanya. Bagus juga kalau Minah Kecoh tu tidak ambil kesah. Kalau dia nampak apa yang berlaku sekarang ni, memang kecohlah jawabnya lepas ni.
Tindakan Razali tidak berhenti di situ. Selepas berakhir satu kuliah dan bermula kuliah seterusnya, dia terus mengganggu Emey Suhaila dengan kata-kata dan surat cintanya. Panas punggung Emey Suhaila kerana terus duduk diam tapi Emey Suhaila pula sudah bagaikan orang bodoh sebab bersabar saja di situ. Ketika ada ruang untuk dia beredar juga Emey Suhaila tidak berganjak dari tempat duduknya. Malahan pelajar lain pula yang beralih tempat duduk kerana tidak tahan duduk di situ. Sakit telinga mereka mendengar suara Razali yang menjengkelkan tapi pada Emey Suhaila pula yang mereka lemparkan kemarahan.
“Ish, menyibuk betul dalam kuliah ni. Orang nak dengar kuliah pun tak senang. Kalau nak bermadah mesra, pergilah tempat lain.”
“Entahnya. Si Ila tu pun satu, pergi layan laki tu buat apa? Tegurlah sikit. Ini tidak, dia pun sama menggatal.”
“Nak tunjuk kat oranglah tu yang diorang tu pasangan romantik...”
Bertalu-talu Emey Suhaila mengeluh bila terdengar suara sumbang yang beronggok-onggok. Marahnya pada Razali makin menebal. ‘Eh perempuan-perempuan ni... sesedap rasa dia aje tuduh aku yang menggatal. Cuba korang beritahu aku apa nak dibuat dengan lelaki gila macam Razali tu?’ gerutu hati Emey Suhaila apabila telinganya terus mendengar dirinya dicanang orang. Mulalah bermacam-macam cerita yang keluar selepas itu. Semakin panas punggung Emey Suhaila duduk di situ.
Walaupun selepas habis kuliah, Razali masih mengekori Emey Suhaila dari belakang. Puas Emey Suhaila larikan diri. Semakin laju langkah Emey Suhaila, semakin rapat Razali di belakang. Setelah hampir lima belas minit Emey Suhaila mencelah ke sana dan ke sini akhirnya Emey Suhaila berjaya juga lari dari pandangan Razali.
Emey Suhaila pandang keliling. Rasanya Razali tidak dapat mencarinya dalam kumpulan manusia yang berasak-asak mula memenuhi ruang kafe yang kecil itu. Kebetulan dua orang pelajar bangun setelah menghabiskan makanan mereka. Emey Suhaila cepat-cepat buka langkah ke arah meja tersebut dan terus henyak punggung di situ. Pinggan di depan ditolak ke tepi lalu Emey Suhaila menangkup mukanya ke meja. Takut-takut Razali berjaya juga mencarinya nanti. Kalau dia tidak tunjuk muka, mungkin lebih selamat.
Perlahan-lahan Emey Suhaila hempas keluhan halus bila mengenangkan nasib malang yang menimpanya hari ini. Entah sampai bila dia perlu lari begini. Bukannya Emey Suhaila tidak pernah berterus-terang cuma Razali saja yang tidak makan saman. Walaupun telah ditolak mentah-mentah, lelaki itu masih berusaha mahu memikat Emey Suhaila. Itukah yang dinamakan cintanya yang mendalam pada Emey Suhaila? Kalau terus begini, mungkinkah hati Emey Suhaila akan terbuka jua untuk Razali? Ah! Emey Suhaila malas mahu memikirkannya. Razali juga bukan lelaki idamannya. Iras wajah lelaki itu biasa saja. Hodoh tidak, kacak sangat pun tidak dan yang paling penting poket Razali tidak berisi seperti mana yang Emey Suhaila harapkan.
Emey Suhaila katup kelopak mata perlahan-lahan. Riuh di sekitarnya tidak dipedulikan walaupun telinga menangkap bermacam bunyi. Bunyi tapak kaki berkali-kali lalu di sebelah Emey Suhaila dan kerana itulah Emey Suhaila tidak berani mahu melihat kaki-kaki itu. Takut ia adalah milik manusia yang tidak mahu dia bertembung.
‘Argh! Tinggalkan aku seorang!’ raung Emey Suhaila dalam hati. Sesak kepalanya bila membayangkan lelaki itu, siapa lagi kalau bukan Razali.
“Kat sini rupanya kau!”
Emey Suhaila angkat muka serta-merta bila mendengar satu suara menegur. Matanya bulat memandang ke depan lalu Emey Suhaila hempas nafas lega bila melihat Rogayah yang menungkat dagu di depannya. Tangan Emey Suhaila mengurut-urut dada yang terasa berderau. Bagai mahu tercabut tangkai jantungnya tadi. Mati-mati Emey Suhaila ingat Razali yang menegur. Fikiran berserabut hingga tidak dapat membezakan suara lelaki mahu pun perempuan. Tapi bila melihat wajah Rogayah, Emey Suhaila lega.
“Kenapa dengan kau ni?” soal Rogayah yang mula tunjuk reaksi hairan. “Tengok aku macamlah tengok hantu. Teruk sangatkah make-up aku ni?” Rogayah muncung sambil meraba mukanya.
Emey Suhaila geleng sambil melayangkan tapak tangan ke kiri dan kanan. Dia lihat muka Rogayah dekat-dekat lalu menggeleng lagi. “Kau make-up ke? Tak nampak macam make-up pun...” balas Emey Suhaila selamba menyebabkan Rogayah menarik muncung panjang sekali lagi. “Alah, tak payahlah nak muncung macam tu. Tak comel pun. Boleh ikat dengan getah gelang tahu,” usik Emey Suhaila sambil ketawa kecil. Gelisah dan gemuruh di hatinya tiba-tiba saja lenyap, seakan sudah ditelan riuh suara manusia yang masih sesak dalam kafe itu.
Rogayah mencebik tidak senang. Kemudian dia menungkat dagu semula. Matanya sesekali meliar ke arah pelajar-pelajar lain yang enak menjamu selera dan akhirnya perhatiannya kembali kepada Emey Suhaila semula. “Eh, kau duduk sini tapi tak makan kenapa? Tak laparkah?”
Emey Suhaila diam. Dia raba perut seketika lalu turut pandang keliling. Memang perutnya sudah mula berkeroncong sejak tadi tapi...
“Ramai sangat oranglah dekat kaunter. Malas aku nak beratur panjang. Tunggulah orang reda dulu,” balas Emey Suhaila memberi alasan.
Rogayah sekadar mengangguk.
“Eh, kenapa kau tak pakai baju yang kita beli semalam?” lontar Emey Suhaila pula sambil membelek tubuh Rogayah hingga terjengah-jengah dari balik meja. Melihat Rogayah hari ini hanya mengenakan T-shirt besar lengan pendek, seluar slack dengan kasut sarungnya seperti biasa.
Rogayah mula tidak senang dan terkiput-kiput di depan Emey Suhaila. “Kenapa kau tengok aku macam tu?” Air muka Rogayah sedikit demi sedikit berubah rona.
Emey Suhaila alih pandangannya ke depan. Dia memandang tepat ke muka Rogayah. “Tu... cermin mata tu pun masih pakai lagi buat apa?” Emey Suhaila menolak jari telunjuk ke depan kemudian diturunkan semula. Satu keluhan halus dilepaskan tiba-tiba. “Kau ni Aya...” Emey Suhaila menggeleng. “Penat aje aku reka imej baru untuk kau tapi baju macam ni juga yang kau pakai. Buang duit aje tahu...”
Rogayah diam sementara Emey Suhaila terus mengomel di depan. Terpaksalah Rogayah mendengar semua syarahan Emey Suhaila hingga habis sebab dia tidak sampai hati pula mahu terus beredar macam itu saja. Nampak tidak sopan pula kalau dia buat begitu. Mahu mencelah pula, Rogayah tidak tahu mahu berkata apa. Otaknya tiba-tiba saja tepu. Niat Rogayah datang ke sini pun untuk mengisi perut yang sudah menyanyi tapi rasanya perutnya sudah kenyang mendengar leteran Emey Suhaila.



“Eh, Razali tu betul suka dekat kau ke Ila?” muntah soalan itu dari mulut Rogayah tiba-tiba. Pinggannya yang sudah pun licin ditolak ke tepi lalu gelas air yang tinggal separuh didekatkan ke bibir. Glup... glup! Air kosong itu diteguknya habis.
Sementara Emey Suhaila yang masih enak menjamu makanannya hampir tersedak diajukan soalan itu. Emey Suhaila tepuk dada yang terasa sesak. Kemudian dia juga turut menyambar gelas dan meneguk air itu laju-laju. Sebaik menelan air masuk ke dalam tekaknya, Emey Suhaila memandang tepat ke muka Rogayah. Matanya dibulatkan sedikit dengan dahi berkerut.
“Hah?” soal Emey Suhaila minta diulang soalan Rogayah tadi. Takut-takut telinganya tadi tersilap dengar.
Rogayah hentak gelasnya yang sudah kosong di tepi, bersama pinggannya tadi. “Aku tengok Razali tu macam suka aje dekat kau. Betullah eh tekaan aku sebelum ni?” ulang Rogayah sambil menungkat dagu menanti reaksi Emey Suhaila. Dari air mukanya, Rogayah nampak beria-ia sangat mahu tahu.
Namun soalan Rogayah tadi masih tidak membuahkan jawapan. Sebaliknya, Emey Suhaila hanya tercengang di depannya. Terpaksalah Rogayah teruskan dengan semua andaian yang berasak-asak dalam fikirannya sekarang.
“Aku rasa musykillah Ila. Dari pemerhatian aku, aku tengok cara Razali tu macam syok dekat kau. Tengoklah masa dekat kuliah pagi tadi. Bukannya dia dengar kuliah pun tapi asyik nak mengorat kau aje.”
Emey Suhaila melopong tapi cepat-cepat dia katup mulutnya semula. Bimbang lain pula yang masuk ke dalam tekaknya nanti. Terkejut dia mendengar kata-kata Rogayah. Sangkanya Rogayah tidak pasanga telinga sedangkan Rogayah nampak khusyuk mendengar kuliah yang disampaikan oleh pensyarah. Rupa-rupanya telahan Emey Suhaila itu jauh sekali meleset. Dalam diam rupa-rupanya Rogayah tetap curi dengar.
Ah, Razali juga yang salah. Tindakan dan kelakuannya itu terlalu ketara. Sesiapa saja yang nampak juga boleh meneka niatnya. Tapi, masakan Emey Suhaila mahu mengaku di depan Rogayah. Oh, tidak! Emey Suhaila tidak mahu Razali!
“Kalau dia tak suka kau, takkan dia nak kejar kau ke sana ke sini?” tambah Rogayah lagi bila Emey Suhaila masih terus membisu.
Emey Suhaila telan liur. ‘Kejar? Mana dia tahu mamat tu kejar aku?’ Emey Suhaila gelisah. Nasi yang masih berbaki atas pinggan dikais dengan sudu. Hilang terus seleranya untuk menghabiskan makanan tengah harinya itu setelah hal Razali dibangkitkan Rogayah. Mendengar nama Razali saja sudah cukup buat selera Emey Suhaila terbantut.
“Kau diam ni, maknanya betullah ya?” Rogayah meneka.
“Hah?!” Cepat-cepat Emey Suhaila tunjuk reaksi sambil membuntangkan matanya. “Jangan nak merepeklah. Mana ada!” jawab Emey Suhaila tegas. Sudu yang dipegangnya sejak tadi diletakkan di pinggan. Kemudian air dalam gelas yang masih berbaki pula dicapai lalu diteguk walau tidak haus. Sedang bahang mula terasa menyengat tubuh Emey Suhaila kini.
Rogayah muncung, tidak puas hati dengan jawapan Emey Suhaila. “Habis tu, kenapa dia buat macam tu? Kalau dia tak suka kau, mesti dia tak akan buat semua tu. Aku rasa dia memang suka dekat kaulah Ila...”
“Eh, yang kau ni kenapa pakai macam ni lagi? Mana baju yang kau borong semalam? Kenapa tak pakai?” Bergetar suara Emey Suhaila melemparkan soalan-soalan itu kepada Rogayah sekali lagi. Emey Suhaila cuba untuk mengubah topik perbualan mereka. Tidak sanggup lagi dia mahu mendengar cerita berkenaan Razali terus-terusan disebut Rogayah. Rasa berasap telinganya mendengar nama itu. Jiwanya juga turut bergetar kerana dihentam rasa tidak selesa memikirkan tentang lelaki itu.
‘Razali nak tackle aku? Argh! Tolonglah! Aku tak ingin! Jadi, jangan cakap pasal ni lagi dan jangan sebut nama dia lagi. Aku tak suka! Aku tak suka!’ Mahu saja Emey Suhaila jerit begitu ke telinga Rogayah tapi satu butir pun tidak terluah dari mulut Emey Suhaila. Entah kenapalah mulut Emey Suhaila rasa berat sangat nak cakap begitu. Padahal memang itulah yang bermain di benaknya sekarang tapi entah macam mana, soalan lain pula yang meluncur laju keluar dari mulutnya.
“Kan semalam aku dah teman kau beli banyak baju yang cantik-cantik. Kenapa kau tak pakai? Nak buat apa simpan saja dalam almari. Nak buat perhiasan ke kain lap kaki? Baju yang kau pakai ni dah boleh pakai masa tidur tahu? Ke baju yang kita beli semalam tak cukup? Nak aku teman kau beli baju barukah?” Emey Suhaila jengah ke bawah meja. Kemudian dia angkat muka semula dan terus memandang ke arah Rogayah. “Tengok! Kasut pun kau tak tukar lagi. Apalah kau ni...” Emey Suhaila geleng kepala. “Beli kasut banyak-banyak pun, kasut sarung tu juga yang dia pakai...”
“Ops... cop! Cop!” Rogayah cepat-cepat pintas cakap Emey Suhaila yang terus saja membebel tiba-tiba. Sekaligus, kata-kata Emey Suhaila serta-merta mati di situ. “Alah, kau ni tak habis lagi ke nak bebel dekat aku?” Rogayah mengeluh.
Emey Suhaila tenung muka Rogayah. Perlahan-lahan Emey Suhaila telan liur, membasahi tekaknya yang kali ini benar-benar terasa kesat. Gelas di tepi dicapai tapi air di dalamnya telah pun kering. Emey Suhaila kembali tenung muka Rogayah yang muncung panjang lalu Emey Suhaila gumam bibir.
“Kau tu yang tak mahu ikut cakap. Kalau tak mahu, cakaplah terus-terang semalam. Tak payahlah membazir beli tapi simpan saja buat koleksi,” bisik Emey Suhaila perlahan. Dia tidak berniat mahu Rogayah mendengar kata yang terucap keluar dari mulutnya kali ini. Jujurnya, Emey Suhaila bukan sengaja mahu berleter mahupun ajukan bermacam soalan macam peluru berpandu kepada Rogayah tapi itulah yang terkeluar dari mulutnya tadi sebab hendak mengelak dari mendengar cerita pasal Razali.
“Yalah... yalah. Esok lusa bila aku dah bersedia, aku pakailah ikut macam yang kau ajar. Tapi... berilah aku masa. Aku kena juga biasakan diri sikit-sikit. Kalau tiba-tiba nak berubah terus, aku rasa janggallah.” Rogayah mengalah.
Emey Suhaila diam. Rogayah juga diam membisu. Buat seketika, perbualan mereka seakan mati. Hanya riuh suara manusia yang turut memenuhi kafe itu saja yang sampai ke telinga mereka. Sedangkan Emey Suhaila kembali mengais makanannya dengan sudu tapi tidak pula disuap ke mulut.
Namun, kebisuan cerita mereka tidak lama apabila Rogayah kembali membuka ceritanya semula.
“Kalau Razali tu sukakan kau, apa salahnya? Kenapa kau asyik nak mengelak saja? Suka tu tak salah kan...” kata Rogayah lagi setelah melihat Emey Suhaila senyap saja dari tadi. Kebisuan Emey Suhaila itu memberi ruang kepada Rogayah untuk terus merisik tentang Razali. Dia benar-benar mahu tahu hubungan lelaki itu dengan Emey Suhaila.
Emey Suhaila bulatkan mata apabila nama Razali tetap menjadi topik perbualan Rogayah. Lantas Emey Suhaila mengeluh keras. ‘Tak ada nama lain ke dia nak sebut?’ desis Emey Suhaila dalam hati.
“Eh, ceritalah benda lain... asyik cakap pasal Razali tu tak bosankah? Nanti tersedak pula mamat tu kau asyik sebut nama dia saja.” Emey Suhaila cuba mengelak.
“Kenapa?”
“Kenapa kau sibuk sangat nak cerita pasal dia? Kau ada hati dekat dia ke?” Emey Suhaila cuba pulangkan paku buah keras. Hah, nak sangat kenakan Emey Suhaila... sekarang biar Emey Suhaila pula usik Rogayah.
Serta-merta Rogayah menggelabah. Bersungguh-sungguh dia geleng kepala, menafikan telahan Emey Suhaila itu. Sedang Emey Suhaila tersenyum sinis di depan Rogayah. “Ish, mana ada! Tak baik kau buat gosip liar tu tahu.”
‘Oh, kau buat gosip liar kat aku tak apa ya...’ Emey Suhaila hela keluhan perlahan. Ikutkan hati mahu saja dia gelak besar melihat reaksi Rogayah yang kalut semacam membidas usikannya tadi. Begitu juga rasanya seperti mahu saja dia marah Rogayah teruk-teruk ketika gadis itu tidak sudah-sudah bercerita tentang Razali dan mengaitkan dirinya dengan lelaki itu. Ah! Emey Suhaila benci lelaki itu. Kalau diikutkan hatinya yang marah, memang Emey Suhaila mahu ketuk mulut Rogayah. Paling tidak pun tengking Rogayah depan orang ramai supaya gadis itu berhenti bercerita yang bukan-bukan.
Tapi, Emey Suhaila cuba kawal perasaan sebab... Emey Suhaila kan nak sangat rampas status Ratu Kolej yang dipegang Melissa selama ini. Dia perlu menjaga imej baik supaya lebih ramai pelajar akan mengundinya nanti. Biar Melissa meraung satu kolej kerana kalah teruk dengan Emey Suhaila walaupun sudah menyogok pelajar kolej.
Tapi cerita Rogayah tetap tidak berhenti di situ. Gadis itu terus saja bercerita pasal Razali dan bikin Emey Suhaila makin tidak keruan. Emey Suhaila terus mati kata-kata dan terpaksa mendengar cerita Rogayah yang entah apa-apa hinggalah Emey Suhaila semakin panas mendengar andaian-andaian yang cuba dibuat Rogayah. Walaupun ianya benar, tapi Emey Suhaila mahu menafikannya.
Sementara Rogayah semakin petah bersuara. Macam-macam pula kesimpulan yang keluar dari peti suaranya itu. Rasa bahang terus terasa di seluruh tubuh Suhaila sehingga meresap ke ruang hatinya. Emey Suhaila hempas keluhan. Telinganya juga sudah seakan bernanah mendengar bait kata Rogayah. Bukan sebab ianya pedas sehingga menghiris hati halusnya tapi Emey Suhaila tidak mahu lagi mendengar kenyataan yang Razali cuba mencuri hatinya itu. Walau itulah realitinya, tetapi kebenaran itulah yang buatkan Emey Suhaila rasa lemas. Sakit jiwa Emey Suhaila memikirkan perangai lelaki itu yang masih terhegeh-hegeh walaupun sudah acap kali cintanya ditolak.
Tanpa bersuara, Emey Suhaila tolak kerusi ke belakang dan mengangkat punggung. Begnya cepat-cepat disambar lalu terus beredar meninggalkan Rogayah yang melopong memerhatikan Emey Suhaila pergi.



Masuk saja ke dalam bilik, Emey Suhaila terus hempas tubuh ke katil. Tangan kanannya diletakkan ke belakang kepala, mengalas tengkuk lalu Emey Suhaila mendongak ke arah siling. Kipas yang ligat berpusing di siling diperhati. Leka Emey Suhaila seketika.
Tika nama Razali tiba-tiba melintas di fikiran, Emey Suhaila geleng kepala laju-laju. Razali. Ah, kalau boleh Emey Suhaila tidak mahu mendengar nama itu lagi. Sakit hatinya mengenangkan sikap Razali yang selalu bikinnya malu. Kerana sikap Razali itu jugalah banyak mulut yang mula mengatanya.
“Kenapa kau monyok aje ni?”
Serta-merta Emey Suhaila angkat tubuh dan memandang ke arah suara yang menegur. Azura terpacak di depan Emey Suhaila sambil cuba mengeringkan rambutnya dengan tuala. Emey Suhaila tercengang seketika. ‘Bila pula Zura... aku ingat dia tengah tidur tadi?’ detik hati Emey Suhaila sambil terpinga-pinga memandang Azura.
“Apasal kau tengok aku macam tu? Ada benda pelik ke kat muka aku ni? Ada buih sabun lagi ke?” Azura kalut menekup mukanya dengan tuala dan terus beralih ke kepala. Rambut yang masih basah digosok laju-laju.
“Kau dah sihat ke?” Akhirnya soalan itu yang keluar dari mulut Emey Suhaila setelah terkebil-kebil memerhati gelagat Azura sekejap tadi.
Azura terus beria-ia menggosok rambutnya yang panjang itu dari pangkal kepala hinggalah ke hujung. Puas menggosok, tuala di tangannya disangkut ke bahu. Seketika, Azura hela nafas panjang. “Boleh tahanlah. Aku rasa dah baik sikit...” balas Azura lambat sambil meraba dahinya. Masih terasa sedikit hangat walaupun dia baru selesai mandi.
Emey Suhaila menganggguk. “Baguslah...” Emey Suhaila membisik kata-kata lega itu perlahan. Terlalu halus hingga tidak didengari oleh Azura. Emey Suhaila benar-benar lega. Sekurang-kurangnya, esok lusa mungkin Azura sudah boleh pergi ke kuliah. Dengan adanya Azura yang garang bagai mak tiri itu, mungkin lelaki bernama Razali itu tidak berani datang dekat.
“Yang kau ni pula, kenapa? Monyok macam tapai basi aje aku tengok. Ada masalah ke? Budak Razali tu kacau kau lagi eh?” Azura meneka.
Emey Suhaila serta-merta angkat muka dan memandang terus ke muka Azura. Mata Azura bulat memandangnya. Tekaan Azura itu memang tepat, seakan teman rapatnya itu dapat membaca semua fikiran Emey Suhaila.
“Dia menggatal dengan kau lagi ke?” ulang Azura lagi. Kali ini lebih keras lalu Azura merengus keras. Kakinya ditarik ke atas dan dilipat di antara keduanya. “Ish, mamat tu memang tak serik-serik kan. Kau jangan layan mamat tu, Ila. Aku tak suka kau rapat dengan dia.” Azura mula naik marah bila mengenangkan sikap Razali. Angin panas mula berdebus-debus keluar dari rongga hidungnya.
“Aku pun tak suka. Tapi aku tak tahulah... kalau kau tak ada, sikap dia makin menjadi-jadi. Letih aku larikan diri dari dia. Macam banduan lari dari penjara pula aku rasa,” keluh Emey Suhaila.
“Kau tu pun diam aje buat apa? Tak payah nak berlagak lembut dengan mamat tu. Kau tu pun bukannya lembut asli pun. Marahlah aje dia cukup-cukup, tak guna nak pura-pura berlembut lagi. Makin menjadi-jadilah miang mamat tu nanti.” Azura mula bersyarah di depan Emey Suhaila sambil tangannya dilayangkan ke udara, mengikut rentak bebelan yang dilontarkan. Berkerut-kerut muka Azura menahan geram terhadap Razali yang tidak pernah makan saman itu. Lelah Azura asyik bertekak dengan lelaki itu setiap kali bersua muka. Azura bertekak sebab lelaki itu tidak faham-faham yang Emey Suhaila tidak menyukainya tapi masih bersungguh-sungguh mahu menyunting hati Emey Suhaila. Emey Suhaila pula menggila-gila tidak suka tapi hanya berdiam diri. Pada Azura saja asyik dia mengadu itu dan ini. Sesak telinga Azura mendengar aduan Emey Suhaila. Mahu tidak mahu, terpaksa juga Azura menjadi ‘penyibuk’ lagak ‘bodyguard’ Emey Suhaila.
“Lelaki tu pun tak reti bahasa. Kalau orang asyik mengelak tu maknanya orang tak sukalah. Itu pun tak faham-faham. Asyik nak kejar sana-sini. Tapi, kalau aku ada tak berani pula dia nak kacau kau. Aku rasa kau kena jadi macam aku nilah, Ila. Tak payah nak jadi lembut-lembut sangat macam watak ‘Ratu Kolej’ dalam bayangan kau tu. Nak berlembut pun tengok tempatlah. Dengan lelaki miang keladi macam Razali tu, kau janganlah diamkan aje. Sampai bila kau nak terus lari dan mengelak macam ni? Makin kau lari, makin galak pula dia kejar. Laratkah kau nak lari? Silap-silap dengan gelaran Ratu Kolej yang kejar sangat tu tak kesampaian gara-gara dia.”
Emey Suhaila membatukan diri dan membiarkan saja Azura terus mengomel setentang dengannya. Kadang-kala Emey Suhaila rasa lebih baik kalau Azura terus demam dan terbaring atas katil. Tak perlulah telinganya disumbat dengan bebelan Azura yang berjelar-jelar. Sekarang sudah tambah seorang lagi yang rajin menyesakkan telinga Emey Suhaila. Tak pasal-pasal Emey Suhaila berkawan dengan Rogayah yang berceloteh tak berhenti.
Tapi kalau Azura membebel pun bersebab. Sebab Emey Suhaila berlagak ayu semata-mata mahu mengejar gelaran Ratu Kolej itu, ramai lelaki yang terhegeh-hegeh menagih cintanya, termasuklah Razali yang memang tidak faham bahasa walau telah ditolak berkali-kali. Mungkin betul juga kata Azura. Mungkin Emey Suhaila terlalu lembut dalam menolak cinta Razali. Mungkin benar Emey Suhaila perlu berkeras terhadap lelaki seperti Razali.
“Kalau kau nak teruskan juga berlakon jadi baik tu, nampak gayanya aku kenalah jadi bodyguard kau!”
Hampir tergelak Emey Suhaila mendengar cadangan yang tiba-tiba saja dilontarkan Azura. “Bodyguard?” soal Emey Suhaila tidak percaya. Sedang Azura mengangguk laju. Kali ini Emey Suhaila benar-benar rasa geli hati. Cepat-cepat Emey Suhaila katup mulut dengan jari sebelum tawanya terus meletus keluar. “Aku tak perlukan bodyguardlah.”
“Habis tu, kalau kau tak perlu bodyguard baik macam aku ni ubahlah sikit perangai kau tu. Selama ni pun, aku memang dah jadi macam bodyguard kau tahu!”
“Kenapa? Kau kata tadi aku berlakon jadi baik? Aku ni jahatkah?”
“Tak adalah. Kau ni memang baik... suka tolong orang. Suka menyibuk hal orang. Suka menyusahkan aku...”
“Hah?!” Terbeliak mata Emey Suhaila mendengar jawapan Azura. Reaksinya itu pula dibalas dengan tawa Azura yang terkekek-kekek ketawa geli hati.
“Tak adalah. Kau ni memang baik.. betul! Tak adalah jahat sangat pun.”
“Tak jahat sangat?” pintas Emey Suhaila separuh menjerit. “Jadi, aku ni jahatlah ya?”
Azura gelak lagi sambil menyisir rambutnya ke belakang. Tuala yang lama tersangkut di tengkuknya ditarik dan dilebarkan pula pada kepala katil. “Sikit-sikit tu adalah...” balas Azura lambat dengan nada selamba.
Terbelalak lagi mata Emey Suhaila mendengar jawapan Azura itu lalu dia terkesima.
Azura betulkan posisi duduknya dan bersandar ke dinding. Rambut yang masih lembap dibiarkan tidak bersikat. Wajah Emey Suhaila yang mula nampak muram ditenung dari katilnya. “Tak adalah,” kata Azura lagi dalam nada bergurau. Senyum nakal sudah terukir di bibir kecilnya. “Kau tu memang baik... cuma sikap kau yang asyik sangat dengan angan-angan kau nak jadi Ratu Kolej termasuk Sakura Hime tu yang kelakar. Tapi, bila ramai lelaki nak dekat kau... kau pula jual mahal. Yang kau cari cuma lelaki kacak yang kaya aje. Kalau senang nak dapat lelaki sempurna dalam fikiran kau tu, dah lama aku yang kebas dulu!” Azura gelak nakal. “Mana ada manusia yang sempurna beb! Jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran sudahlah Ila...” Azura menyambung tawanya yang masih berbaki.
Emey Suhaila terus diam membatu tanpa membalas kata-kata Azura kali ini. Entah ke mana kata-kata itu melayang. Entahkan sampai ke telinganya atau sekadar dibawa angin petang yang agak kuat menyerbu masuk melalui tingkap yang terbuka luas.

No comments:

Post a Comment