“Good afternoon my lovely cousin,” sapa Saif Azrai sebaik masuk ke
dalam bilik Izi Helmy. Ceria wajahnya mengambil tempat di depan Izi Helmy tanpa
dijemput. Macam selalu dia buat.
“Hai, ceria hari ni
encik bos. Dapat projek besar ke?” Telah Izi Helmy seraya jarinya meninggalkan
papan kekunci yang tadi sibuk diketuk. Tubuhnya turut disandarkan ke kerusi
seperti mana Saif Azrai. Tersenyum kambing nampaknya sepupunya itu. “Aik!
Sengih aja dari tadi, awatnya? Tak ada apa nak kongsi?”
Akhirnya berderai
tawa Saif Azrai setelah lama juga dia tersenyum-senyum di depan Izi Helmy.
Dalam fikirannya asyik membayangkan wajah Izi Helmy nanti kalau diberitahu hal
yang mahu disampaikan nanti. Terkejutkah? Mengangakah? Atau sampai rasa nak
pitam?
“Aku nak minta
tolong kau sikit.”
Berkerut-kerut dahi
Izi Helmy memandang Saif Azrai. “Aik! Sejak bila pula kau tanya dulu sebelum
nak minta tolong aku. Selalunya kau main belasah aja macam satu arahan kuasa
veto. Never say no to your order la
kiranya!” Tempelak Izi Helmy berbau sindiran. Tersnegih-sengih Saif Azrai
disindirnya. Malas dia nak melawan kerana dia lebih tidak sabar nak tengok
reaksi Izi Helmy lepas ni. Biar dia terkejut besar sampai menganga mulut macam
badak.
“Lebih kurang akhir
bulan depan aku nak kahwin. Jadi, aku nak minta kau dan Aina jadi pengapit.
Bolehkan?” Seperti dijangka, memang terkejut beruklah Izi Helmy mendengar
permintaannya tadi. Bukan sebab permintaannya tadi yang minta dia jadi pengapit
tapi mesti terkejut sebab Saif Azrai akan berkahwin dulu sebelumnya yang sibuk
menayang buah hati depan orang sebelum ni kan.
“Alah, boleh ajalah
bro. Melainkan kalau kau pun nak naik pelamin juga, aku consider cari orang lainlah.”
Menjuir bibir Izi
Helmy mendengar kenyataannya kali ini. Saja nak menyindir oranglah tu.
Mentang-mentang nak kahwin, saja nak tunjuk lagak depan aku. Getusnya dalam
hati.
“Apasal pula sampai
nak Aina pun jadi pengapit kau? Pengantin perempuan kau tu tak ada pengapit
lain ke?” soalnya cuba ubah topik sekaligus cuba berlagak tenang. Ini Izi Helmy
okey. Tak akan mudah melatah. Dalam diam, aku pun akan bagi big surprise juga. Datang bukan sebagai
pengapit tapi sebagai pengantin! Dia mengatur rancangan. Memang tak boleh jadi.
Apalah khabar rombongan Encik Hairol ke rumah Ustaz Kairol agaknya. Nak tanya
segan. Aina pun tak pula cerita apa-apa. Buah hatinya itu sekarang pun tengah
sibuk dengan kerja akhir-akhir ini. Izi Helmy pun sibuk juga nak menguruskan
projek baru yang masuk. Rezeki nak kahwin agaknya. Akhir-akhir tahun pun dapat
juga projek walaupun tak besar mana.
“Alang-alang aku
nak kau jadi pengapit, aku tolonglah dia cari pengapit sekali. Takkanlah aku
nak biarkan kau berpasangan dengan orang lain kut. Jeles buah hati kau nanti!”
Balas Saif Azrai sambil mengangkat kening dua tiga kali. Aik! Macam perli aja
bunyinya.
“Ha, esok datang ke
butik ni dengan Aina. Kita main pilih-pilih baju.” Terus saja Saif Azrai
mengeluarkan arahannya seperti biasa sambil menolak sekeping kad ke depan Izi Helmy.
Kemudian dia bangun dan berjalan ke pintu.
“Jangan lupa tau!”
Sempat lagi dia memesan sebelum menghilangkan diri.
Aik! Itu aja yang
dia nak cakap? Termenung Izi Helmy merenung kad yang baru diambil dari atas
meja. Esok? Dia berkira-kira. Buah hatinya itu sudahlah tengah sibuk sekarang.
Ada masakah nak datang? Kalau lepas waktu kerja okey agaknya. Cerita
perkahwinan dia dengan Aina, macam mana pula? Tiba-tiba soalan itu menerjah
fikirannya. Laju tangan mencapai iphone lalu nombor Puan Kamisah lekas dihubungi.
*******
“Sabarlah sikit.
Ayah kamu tu sibuk pula sekarang dengan kerja dekat pejabat akhir-akhir ni. Dah
dua tiga kali berulang ke Kelantan. Hari tu ada juga rancang nak hantar
rombongan tapi dah macam ni, tangguh la dulu nampaknya. Takkanlah nak hantar
rombongan tanpa ayah kamu pula. Pilihan kamu tu pun bukannya orang dekat. Nun
jauh di KL.” Jawab Puan Kamisah bila anaknya itu menelefon bertanyakan soal
rombongan meminang Aina, calon hati anaknya itu. Bukannya nak ingat tanya
khabar orang tua ni dulukah. Terus-terus saja tanya pasang nak pinang anak dara
orang. Ish, budak ni. Macam senang saja cara dia bercakap. Ingat nak meminang
tu macam nak beli barang zaman sekarang agaknya. Tak ada masa, dalam talian pun
boleh.
“Bila agaknya ayah
dan mak boleh hantar meminang ni mak?” soal Izi Helmy lagi. Kedengaran suara
halus keluhan Puan Kamisah sampai ke telinga.
“Ya Allah, anak aku
ni tak sabar benar dia.” Rungut Puan Kamisah gelisah. “Kamu ni pun tiba-tiba
gelojoh sangat nak kahwin ni kenapa?” Soal Puan Kamisah pula.
Erk! Terkedu Izi
Helmy sekejap diaju soalan itu. Gelojoh, perkataan itu yang dilontar ke
telinganya oleh Puan Kamisah yang selalu menyebelahinya. Rasa terpukul,
tertampar dan segala macam saudara maranya menghentam jiwa raganya sekarang.
“Bukan gelojoh,
mak. Takut buah hati disambar orang.” Kalaulah Puan Kamisah tahu yang dia
berrebut kahwin dengan Saif Azrai, disebabkan pengaruh tawaran Haji Rauf yang
mahu menyerahkan jawatan sekaligus syarikatnya itu kepada mereka yang terlebih
awal mendirikan rumahtangga, habislah Izi Helmy. Niayalah dia kena ganyang dek
Puan Kamisah nanti. Ampun mak. Sesungguhnya bukan sebab harta yang dikejarnya.
Tapi mungkin juga tercabar bila Saif Azrai yang tidak pernah ada kekasih kekal
tiba-tiba sudah melamar Qayreena. Sekarang, dia pula nak lawan tauke salam tok
kadi dulu sedangkan Izi Helmy yang bertahun menyulam benih cinta masih belum
berganjak untuk meminang si buah hati. Tentulah keegoannya tercalar.
“Hai, kalau dah
suka sama suka masakan dia nak terima pinangan orang kalau ada yang datang
meminang sekalipun.”
Ha, betul juga!
Masakan Aina akan terima pinangan yang lain kalau dia rela berjumpa orang
tuanya. Kalau dah jumpa mak dan ayah maknanya, dia pun memang setujulah nak
ikat perkahwinan kan. Izi Helmy bermonolog sendiri sedangkan suara Puan Kamisah
sayup-sayup didengarnya.
“Dia akan tunggu
Izilah kan mak?” Terdiam Puan Kamisah ditujah soalan itu. Berkerut dahinya.
“Ish, kamu ni. Kamu
tanya mak buat apa? Kamu yang bercinta, tak tahu lagi kesetiaan masing-masing? Kalau
kamu berdua dah jumpa orang tua masing-masing, seriuslah maknanya tu. Takkan
bercinta bertahun-tahun boleh tunggu, nak meminang tunggu dua tiga minggu dah
tak sabar? Ni siapa yang tak sabar sebenarnya ni. Ainakah kamu?” Musykil
sungguh hati Puan Kamisah. Kalau dilihat-lihat dari penglihatannya, nampak
gayanya anaknya itu yang dah gatal sangat nak kahwin.
“Itulah kamu. Mak
suruh kamu tolong ayah dekat sini kamu tak mahu. Dah ayah kamu sibuk uruskan
banyak hal sendiri sebab tak ada orang kanan dekat sini. Sudahlah. Mak nak
masak pula ni. Kamu tunggu ajalah. Nanti bila ayah kamu dah lapang, kami
hantarlah rombongan ke sana. Apa-apa nanti mak telefon beritahu kamu.” Puan
Kamisah geleng-gelengkan kepala mengenangkan sikap anak lelakinya. Tiba-tiba
saja tak sabar-sabar nak nikah. Takut benar anaknya itu buah hatinya disambar
orang. Tapi nak buat macam mana kalau dah ketua keluarga yang sibuk. Sabar
sajalah menunggu. Pepatah pun ada menyebut, tak lari gunung dikejar.
No comments:
Post a Comment