Menggeletar tangan
nak pegang stereng. Hari yang dinant-nanti akhirnya tiba. Tengah hari ini kena
menghadap muka bakal mertua. Tidak cukup kuat agaknya skru nak ketatkan kepala
lutut. Sejak pagi tadi menggeletar teruk sampai satu badan menggigil. Itu pun
nasib baik beri masa beberapa hari sebelum jumpa. Sempat juga dia baca tips
bertemu bakal mertua di internet. Dia tenung baju yang tersarung ke tubuhnya.
Okey, cukup kemas. Bukan sekadar Tshirt bercorak tengkorak berdarah. Tidak lupa
dia bertanya Aina sendiri tentang minat ayah dan ibunya, seperti petua yang
dibacanya. Kalau sudah tahu minatnya, taklah kekok perbualannya nanti.
Harap-haraplah.
Izi Helmy menoleh
ke belakang. Buah tangan untuk bakal mertua siap dibawa. Cukup semua. Enjin
kereta lantas dihidupkan dan dia memandu keluar menuju ke destinasi masa depan.
Ke mana? Tentulah ke rumah bakal mertua. Dalam perjalanan tak henti-henti
bibirnya terkumat-kamit membaca surah-surah pendek. Bermacam jenis doa juga
cuba diulang hingga tidak lagi tersangkut-sangkut. Doa penerang hati, doa
Qunut, doa makan pun dihafal berulang kali. Bimbang diuji dek bakal pak mertua,
menganga pula dia nanti.
Hatinya makin
gemuruh bila tayar kereta menjejak tanah depan pagar rumah teres setingkat
milik Ustaz Kairol, ayahnya si buah hati. Matanya memandang dulu ke rumah itu.
Sunyi sepi dari luar. Entah macam mana agaknya Ustaz Kairol akan menjemputnya,
mungkinkah dengan rotan seperti mana yang selalu dipegang Encik Hairol? Fuhhh!
Dia menarik nafas dalam-dalam dan cukup panjang. Risau mula menjalar dalam
hati.
Mesej pesanan
ringkas dihantar kepada Aina untuk memastikan yang dia tidak tersalah rumah.
Tidak lama kemudian, pintu rumah itu terbuka. Muncul Aina dari balik pintu dan
menapak ke laman rumah. Seakan menanti dan menyambut kedatangannya. Terubat
sedikit gemuruh di hati walau masih ada yang berbaki. Perlahan-lahan dia keluar
dari tempat duduk pemandu. Mengambil buah tangan di bahagian belakang dan
berjalan masuk ke arah Aina.
“Lutut I ni dah
longgar. Kalau dia tercabut, you sambut tau.” Sempat Izi Helmy berseloroh
sekaligus membuah senyum Aina yang kian kembang.
“Lelaki hebat macam
you takkan nak kecut kalau setakat baru nak jumpa mertua?” balas Aina pula.
Lembut bunyinya tapi berbau sindiran. Izi Helmy senyum, senyum juga. Dalam hati
rasa macam nak kena cucuk dengan pisau rambo rasanya dek penangan kata-kata
Aina tadi. Lantaran tidak mahu malu di depan buah hati, dia berlagak tenang
mengatur langkah mengikut Aina masuk ke dalam.
Sepasang suami
isteri menanti di dalam rumah. Izi Helmy menelan liur sementara Aina terus saja
menghilangkan diri selepas memberitahu pasangan itulah ibu bapanya. Ustaz
Kairol yang berdiri di depannya sekarang jauh sekali meleset dari apa yang
dibayangkan. Bersaiz XXL dengan misai tebal buat dia terus rasa nak pengsan.
Wajah serius Puan Jamaliah di belakang Ustaz Kairol bikin hatinya makin bergoncang.
Namun digagahi juga tersenyum dan mendekati mereka dengan mesra.
“Assalamualaikum
ustaz.” Tangan dihulur mesra lalu mukanya mencecah ke kulit tangan Ustaz
Kairol. Pada Puan Jamaliah, dia tersenyum mesra dan bertanya khabar. Senyumnya
bersambut. Terselah kelembutan di wajah Puan Jamaliah tika tersenyum.
“Khabar baik.
Jemputlah duduk..” Lembut Puan Jamaliah menjemput. Tertib Izi Helmy bertindak
di depan Ustaz Kairol dan Puan Jamaliah.
Wow! Manis senyumannya
sampai mata pun tersenyum sama. Patutlah anaknya pun manis. Sempat dia berbisik
di dalam hati.
“Tak perlulah
panggil ustaz. Panggil pakcik sudah.” Mesra Ustaz Kairol berbicara setelah
mereka semua duduk di sofa.
Izi Helmy cuma
tersenyum dan mengangguk perlahan. Otaknya laju mengingati semua tips yang
dibaca. Menurut tips itu perlu banyak mendengar daripada berbicara? Emm..
lantas dia diam dan menanti. Tidak lama menunggu bermulalah soalan-soalan biasa
keluar dari mulut Ustaz Kairol. Dia cukup berhati-hati dengan setiap butir kata
yang dilontarkan namun dia juga cuba untuk berlagak neutral. Dalam hati masih
ada gemuruh. Tengok misai tebal Ustaz Kairol pun buat dia tidak habis-habis
menggeletar kepala lutut. Rasa macam tengah mengatur strategi di medan perang.
*******
Kalau awal tadi
rasa macam nak banjir dalam hati ni, di luarnya pun rasa peluh-peluh sejuk dah
mula menitis seluruh tubuh, sekarang rasa macam nak melompat kegembiraan. Hati
pun rasa nak terbang melayang-layang sebaik bersalaman dengan Ustaz Kairol
untuk pulang.
Di depan Ustaz Kairol
dan Puan Jamaliah tadi, dia memberanikan diri berterus-terang tentang perasaan
dan niatnya untuk menjadikan Aina sebagai isterinya yang sah. Kata orang,
tentulah bakal mertua mahu melihat sejauh mana calon menantunya bersedia untuk
menerima tanggungjawab yang selama ini mereka pegang terhadap anak perempuan
mereka. Jadi, rela tak rela, kecut perut sampai sembelit pun sebelum datang
jumpa bakal mertua tu, keizinan kedua orang tua itulah penentu masa depan
hubungan mereka.
Ustaz Kairol juga
telah memberi keizinan untuk dia membawa Aina bertemu kedua orang tuanya di
Penang. Namun ada syaratnya. Mereka perlu berlainan kereta. Emm... itu hal
kecil. Satu keretakah, dua keretakah, janji Ustaz Kairol bagi lampu hijau.
Senyum lebar dia dalam hati.
“Jalan tu baik-baik.”
Puan Jamaliah menyampaikan pesanan terakhirnya.
“Baiklah makcik.”
Balasnya tersenyum. “Saya pinjam Aina sekejap sampai ke kereta boleh pakcik?”
pinta Izi Helmy berhati-hati.
Malu-malu Aina di
belakang Puan Jamaliah. Mata sesekali mencuri lihat reaksi ayahnya. Tenang
Ustaz Kairol mengangguk.
“Pergilah, Aina.
Ayah dah benarkan tu. Pergi hantar bakal suami kamu tu. Tapi jangan lama-lama,”
bisik Puan Jamaliah pula sambil mencuit lengan anaknya. Aina menundukkan kepala
melangkah ke depan. Suka hati Izi Helmy melihat riak Aina hari ini.
“Saya balik dulu
pakcik, makcik. Assalamualaikum.” Salamnya bersahut. Perlahan-lahan dia
menghayun langkah ke kereta dengan bertermankan Aina di sebelah. Jarak mereka
jauh seperti biasa, malah jauh sedikit lagi dari biasa. Sementara Ustaz Kairol
dan Puan Jamaliah masih memerhati di laman.
“Macam mana?”
Sengaja Aina mahu menguji sebelum mereka sampai ke kereta.
Serta-merta Izi
Helmy lebarkan senyum. Mahu tergelak namun ditahannya cepat-cepat. Teringat
disuruhnya Izi Helmy baca doa makan sebelum menjamu makan tengah hari tadi.
Fuh. Berdegup kencang jantungnya ketika itu hingga terasa detaknya di dada.
Nasib baiklah dia tak terbaca doa lain. Apapun, dia lega sekarang.
“Tak tercabut pun
lutut...” Suara halus Aina mengusik lagi. Izi Helmy cuma tersenyum dan tersenyum.
Izi Helmy membuka
pintu belakang kereta. Sekotak hadiah yang siap dibalut kemas dikeluarkan lalu
dihulurkan kepada Aina.
“Ni hadiah untuk
adik you. Tak berkesempatan nak borak lama dengan adik you tadi.”
“Kalau you borak
lama dengan dia, nanti you juga yang tak terlayan. Adik I tu banyak cakap tau.
Mulut dia laju macam keretapi.”
Tergelak Izi Helmy
mendengar jawapan itu. “Baguslah banyak cakap. I pun tak pernah ada adik
beradik, melainkan sepupu aja. Adik you tu comel, macam you juga.” Dia cuba
memuji.
Aina tenang
menerima pujian Izi Helmy. Cuma tersenyum menampakkan bentuk bibir yang
melebar. Matanya menjeling ke laman rumah sekali sekala.
“Sudahlah. Tak
payah you nak puji lebih-lebih. Mak ayah I tu masih perhatikan kita dari tadi.
Baik you balik lekas. Nanti baik-baik dia bagi lampu hijau, terus bagi lampu
merah.” Aina pula mengugut.
“Okeylah sayang.
Ops!” Cepat Izi Helmy katup mulut. Kemudian tersenyum nakal. Kali ini baru
nampak muka Aina kemerahan sedikit. Ouch! Malu juga dia rupanya. “I balik dulu
ya. You nak jalan masuk rumah tu, hati-hati.” Tangannya diangkat sekali ke arah
Ustaz Kairol yang masih lagi berdiri di laman bersama Puan Jamaliah. Kemudian
dia masuk ke dalam perut kereta.
“Oh ya, you jangan
lupa minta cuti. I pula nak bawa you jumpa parents
I.” Dia mengingatkan lagi. Aina cuma tersenyum dan mengangguk. Izi Helmy
melambai lagi kepada buah hati ulam jantung sebelum cermin tingkap dinaikkan
semula. Tidak lama, keretanya meluncur perlahan meninggalkan Aina.
*******
Agak lama Aina
menekur ke lantai dan menanti saja ayah mahupun ibunya yang bersuara terlebih
dulu. Hampir sepuluh minit duduk bersama di ruang tamu, masih belum kedengaran
suara kedua orang tuanya. Ustaz Kairol tenang menonton siaran Al Hijrah di kaca
televisyen. Sesekali baki air teh yang mula sejuk diteguk perlahan Ustaz Kairol
lalu bersandar semula ke sofa.
Dalam diam Aina,
mencuri pandang reaksi ayah dan ibunya. Kedua-dua nampak bersahaja dan tenang
sejak Izi Helmy pulang tadi. Mungkin itu tanda-tanda hubungan mereka diterima
ayah dan ibu. Kalau ada yang tidak kena, tentu ayah mahupun ibu sudah bersuara.
Tekanya dalam hati.
Puan Jamaliah
menyentuh peha Ustaz Kairol. Seakan tahu maksud pandangan isterinya, Ustaz
Kairol tersenyum nipis. Aina di depan pula ditenungnya.
“Awak ajalah yang
cakap. Saya tak ada apa nak cakap. Elok caranya, saya tak ada nak halang.”
Bisik Ustaz Kairol kepada isterinya. Azan Zohor baru berkumandang di
televisyen.
“Saya pergi solat
dulu. Awak cakaplah kalau ada apa nak diberitahu.” Perlahan Ustaz Kairol
berbisik. Lantas Ustaz Kairol bangun dari duduk.
Puan Jamaliah
faham. Dia bangun dan beralih ke sebelah Aina. Tangan anaknya itu dicapai lalu
dielus lembut.
“Mak dan ayah bukan
nak cakap apa pun. Mak dan ayah tak ada halangan kalau kamu berdua serius nak
mendirikan rumahtangga. Itu antara tiga perkara yang elok dipercepatkan
disamping solat dan pengebumian. Kamu dengan dia pun kenal dah lama. Dah tahu
hati budi masing-masing. Kalau dah kamu rasa boleh hidup dengan dia seumur
hidup ni, dia boleh jaga dan bimbing kamu dan anak-anak kamu nanti, eloklah
dipercepatkan pernikahan kamu. Boleh juga dielak fitnah.”
Aina membalas
elusan tangan Puan Jamaliah. Wajah ibunya itu ditenung lama. Puan Jamaliah
terus manis dengan senyumannya. Senang hati saat Aina memberitahu yang Izi
Helmy mahu datang berjumpa. Dulu dia juga yang risaukan tentang hubungan
mereka. Berkali-kali dipesan agar anaknya itu pandai menjaga batas pergaulan.
Pertemuan pandang pertama, Puan Jamaliah tidak cerewet. Baik di mata Ustaz
Kairol, baik jugalah di matanya.
“Terima kasih mak.”
Pendek saja jawapan itu diberikan Aina. Dalam hati memanjatkan rasa syukur ke
hadrat Ilahi kerana tidak mendapat tentangan daripada pihak keluarganya. Namun
dia masih mengharap semoga urusan mereka seterusnya juga akan berjalan dengan
lancar.
*******
“Papa nak buat
kenduri malam ni. Kamu balik tak?” Terus saja Puan Damia ajukan soalan itu
sebaik panggilannya bersahut. Puan Damia kurang sabar sekarang. Malam ini
hendak kenduri, anak-anak seorang pun tidak nampak batang hidung. Hendak
diharapkan Sasha Amira seorang, alamatnya Puan Damia juga yang letih seorang.
Anak bongsunya itu bukannya reti buat kerja dapur. Masak-memasak memang semua
ditolak ke bahu Puan Damia. Potong-potong bawang, sayur saja yang dia boleh
harapkan anaknya itu.
Encik Rahim, dia
yang atur kenduri malam ini tapi mukanya juga yang pagi-pagi sudah lesap
selepas balik dari pasar. Katanya mahu meninjau kilang setelah pengawal
keselematannya memberitahu tentang penggera keselamatan yang berbunyi. Sampai
setengah hari, Encik Rahim masih belum pulang. Harapkan Kak Milah, jiran
sebelah rumah yang tolong di dapur. Mujur Kak Milah datang membantu walaupun
tak dijemput untuk menolong. Zafuan, awal-awal sudah diberitahu yang dia tidak
dapat bercuti. Suhana Azreen saja yang tidak beri keputusan apa-apa dan terus
beri harapan pada Puan Damia yang mengharapkan anaknya itu balik.
“Baliklah tolong
mama ni. Tunggang terbalik orang tua ni dekat dapur.”
“Along dalam
perjalanan ni, ma. Maaflah ma, pagi tadi uruskan budak-budak dulu sementara
tunggu Abang Mazlan balik dari kursus. Kejap lagi Along sampai ya.” Suhana
Azreen cuba memujuk hati mamanya itu. Mata sibuk menumpukan perhatian ke jalan.
“Tapi Along balik seoranglah, ma. Abang Mazlan tak dapat cuti. Lagipun
anak-anak sekolah esok.”
“Ahad pun sekolah?”
“Sini sekolah, ma.
Cutinya Jumaat Sabtu.”
Hmm. Puan Damia
cuma mengiakan.
“Habis tu, kamu
cuti lama ke?”
“Lama tu taklah,
ma. Cuti tahunan Along dah tak banyak. Esok dah kena balik Kedahlah nampaknya.”
“Ha, yalah. Mak ada
banyak lagi kerja dekat dapur. Kamu tu bawa kereta seorang baik-baik.” Salam
diberikan lalu talian diputuskan Puan Damia. Jam di dinding dikerling sekilas.
Nafas yang memberat di dada dilepaskan sedikit demi sedikit. Entah jam berapa
agaknya Suhana Azreen akan sampai kalau tadi baru bergerak dari Kedah.
Entah-entah seminit dua nak kenduri mahu bayang anaknya itu muncul.
*******
Kenduri malam itu
tidak ramai yang dijemput. Sekadar menjemput jiran terdekat dan pekerja-pekerja
Encik Rahim. Sanak saudara seorang pun tidak ada bersama kerana masing-masing
semua duduknya jauh.
Hajah Kistina
disambut mesra oleh Puan Damia sebaik memberi salam. Ceria Puan Damia melihat
Saif Azrai juga datang bersama. Termakbullah hasrat suaminya untuk melihat
sendiri calon menantu pilihannya itu.
Sementara Encik
Rahim melayan tetamu di depan dan membaca bacaan-bacaan yang patut, yang
perempuan pula sibuk menyediakan makanan di dapur. Terkial-kial Sasha Amira
membantu di dapur bila mata Hajah Kistina asyik singgah ke arahnya. Dia
mengikut saja rentak Suhana Azreen. Bila Suhana Azreen menyediakan air, Sasha
Amira sibuk tercari-cari gelas lalu menyusun gelas yang sudah dibersihkan
awal-awal tadi atas dulang. Bila Suhana Azreen sibuk menyediakan pinggan pula,
dia pun sibuk mengelap pinggan-pinggan yang dikeluarkan Suhana Azreen dengan
kain bersih. Tidak senang hati rasanya. Bukan malu, tapi tidak keruan juga bila
ada mata asyik memandang. Puan Damia pula dari tadi asyik beri isyarat dengan
bibir. Muskyil sungguh hati Sasha Amira.
Sebaik selesai
mengumunkan pada jemputan tentang niat kenduri ini diadakan bersempena untuk
anak bongsunya yang belajar di tahun akhir dan bakal menduduki peperiksaan
tidak lama lagi, Encik Rahim berbisik sesuatu ke telinga Tok Imam di sebelah
kanannya. Tok Imam mengangguk. Encik Rahim berbisik pula kepada Haji Rahim yang
juga hanya duduk di sebelah. Mereka berpandangan seketika. Tidak lama, Haji
Rauf mengangguk setuju. Kemudian Haji Rauf beralih pula kepada anaknya. Berbisik
sesuatu ke telinga Saif Azrai.
“Tuan rumah nak
minta kamu yang mengetuai bacaan doa. Kamu boleh tak?”
Tersentap jantung
Saif Azrau bila dibisikkan permintaan itu. Dia termenung tidak tahu keputusan
apa yang patut dibuat. Tidak sempat dia berfikir lama, suara halus Haji Rauf
sekali lagi menyinggah.
“Kamu nak kahwin
dengan anak dia kan.”
Serta-merta mata
Saif Azrai diangkat ke arah Encik Rahim. Lelaki lebih kurang sebaya papanya
hanya memandang. Fahamlah dia sekarang yang Encik Rahim sekadar mahu menguji. Bertalu-talu
dia menelan liur sambil otak segera mencari barisan potongan doa yang biasa
dibacanya.
Tangan diangkat
tanda doa bakal dimulakan. Dengan bacaan basmallah, doa selamat malam itu
dialunkan oleh Saif Azrai dan disahut amin oleh jemputan yang lain. Tenang dia
melontarkan suara walau dalam hati, cukup kencang degupan jantungnya.
Puan Damia di dapur
sudah sibuk-sibuk memanjangkan leher untuk mengintai depan dari balik dinding
yang memisahkan dua ruang itu bila didengarnya suara yang kurang biasa. Rumahnya
bukanlah besar mana. Suara di depan mudah sangat didengari orang di dapur. Dia
pasti itu bukan suara suaminya. Tapi macam pernah didengar suara itu.
“Siapa yang baca
doa?” Spontan soalan itu dilontarkan Puan Damia sedangkan tangannya masih sibuk
menolak mangkuk berisi lauk kepada Suhana Azreen yang menanti untuk disusun
dalam dulang. Itu soalan biasa yang Puan Damia soalkan bila bukan suaminya yang
membaca. Hendak kata tok imam, bukan juga.
“Emm... Azrai
agaknya. Dengarnya macam suara dia.” Hajah Kistina pula mengagak sambil duduk
bersila, turut menadah tangan dan mengaminkan doa.
Terus saja Puan
Damia bangun dan mengintai ke depan bagi memastikan telahan Hajah Kistina tadi.
Dari balik ramai lelaki di depan, Puan Damia tertinjau-tinjau dan tercari-cari
bayang gerangannya yang mengalunkan doa. Baru saja dijumpa, bacaan doa itu
berakhir. Hai, sejuk hati ni mendengar alunannya.
Lekas Puan Damia
kembali dalam kelompok wanita yang sibuk bersedia menghulurkan makanan bila
Encik Rahim dan pekerja-pekerja sudah datang untuk mengangkat dulang ke depan.
Satu demi satu dulang dihulurkan.
“Pinggan ni pun
jangan lupa bang. Nak makan macam mana kalau tak ada pinggannya.” Pesan Puan
Damia kepada Encik Rahim.
Encik Rahim pula
sibuk mengarah anak buahnya. Lepas itu diminta macam-macam pula pada Puan
Damia. Tisu dan air pencuci tangan diminta Puan Damia sediakan lebih sedikit.
Sempat Puan Damia menayang senyum penuh makna kepada anak bongsunya apabila
Saif Azrai juga turun dapur untuk membantu membawa hidangan ke depan. Sasha
Amira yang dari tadi masih sibuk memotong buah limau tidak langsung
mengendahkan perilaku Puan Damia. Dia terus menyudahkan kerjanya tanpa melihat
kiri dan kanan.
Amboi amboi amboi... macam senang aja perjalanan Izi dan Azrai ni nak tambat hati bakal mentua masing2 yer... dah sudah, kalau dua2 dah boleh kahwin, siapa yang kahwin dulu nanti? Izi atau Azrai? Atau pun diorang ni akan kahwin serentak bak cadangan Izi sebelum ni? Jadinya, tak siapalah yang menang kan. Seri kononnya. Emmm... seri ke?
No comments:
Post a Comment