Saif Azrai sudah
menanti di sofa dalam butik itu sambil berborak-borak dengan Izi Helmy dan
Aina. Izi Helmy tidak habis-habis memuji sepupunya yang nampak segak dengan sut
putih berkilat. Selorohnya hendak bertukar sut dengan Saif Azrai pada hari
resepsi nanti mengundang tawa mereka. Dia pula yang hendak glamor lebih
daripada pengantin. Yalah, orang tu pun perasan nak jadi pengantin tapi tak
menjadi.
“Yo, bro. Nampaknya
aku kalahlah pada kau. Aku yang bercinta dulu, kau pula yang kahwin dulu. Lepas
tu, bercintanya dengan orang lain, melamarnya orang lain, kahwinnya dengan
orang lain. Sekali awek bertudung juga yang kau pilih. Apa rahsia kau bro?”
Tiba-tiba Izi Helmy berbisik ke telinga Saif Azrai sedang Aina leka membelek
majalah fesyen. Mahu mereka fesyen untuk majlis perkahwinan mereka nanti pula
agaknya.
Saif Azrai
tersenyum simpul bila diaju soalan itu. Jawapannya mudah sahaja. “Rahsia mana
boleh beritahu orang.”
Mencebir lagilah
bibir sepupunya itu tidak puas hati dengan jawapannya tadi. Ada Saif Azrai
kesah? Dia cuma tertawa suka namun tidak lama. Tawa Saif Azrai serta-merta mati
apabila Krisya tiba-tiba muncul. Lebar senyum Krisya. Dia berpaling ke belakang
dengan melambai-lambaikan tangannya berkali-kali seakan memanggil.
Perlahan-lahan, muncul Sasha Amira yang terkial-kial melangkah, malu-malu
sambil mengangkat sedikit gaun kembangnya yang agak labuh. Saif Azrai terpegun
dan dengan perlahan-lahan, dia bangun berdiri. Sasha Amira benar-benar nampak
cantik dalam busana itu, dipadankan pula dengan selendang polos dililit di
kepala dan dihiasi beberapa aksesori lain.
“You look gorgeous, Sasha.” Aina datang
mendekati Sasha Amira. Tersipu-sipu Sasha Amira malu. Dalam diam dia mengintai
dirinya dari dalam cermin besar di sebelah tempatnya berdiri. Tapi bila
mengenangkan dua lelaki yang berada di depannya, matanya menekur lagi ke
lantai. Malunya, ya ampun. Kenapalah aku kena buat semua ni? Getusnya tidak
langsung senang dan rela dengan semua yang terpaksa dilakukannya hari ini.
Bergaduh juga dia
dengan Krisya di belakang tadi bila Krisya menyuruhnya menunjukkan busana yang
tersarung di badannya kepada bakal suami.
“Ish, nak buat apa?
Tak surpriselah nanti. Masa majlis
nanti ajalah dia tengok.” Bijak Sasha Amira beri alasan. Tapi Krisya juga ada
alasannya.
“Mana pula tak surprisenya. Nanti you solek masa
resepsi tu nanti, lagi cantik dari ni. Ni setakat nak tayang baju aja. Kalau
dia tak berkenan, I boleh pilih yang lain untuk you. Dia kan akan jadi suami
you. Dia berhak nak tengok you pakai apa yang berkenan di mata dia.”
Macam tu pula.
Lantaklah dia berkenan ke tak, ikut suka hati Sasha Amiralah kalau Sasha Amira
dah berkenan. Okeylah ni. Tapi didesaknya lagi oleh Krisya berkali-kali sampai
naik rimas telinga ni dengar. Bila dilihat jam, rasanya dekat luar tu dah masuk
waktu Maghrib. Sebab sudah malas hendak buang masa banyak dekat sini mendengar
desakan Krisya, dia ikutkan saja. Nanti dia mengadu macam-macam pada Hajah
Kistina, silap-silap Puan Damia yang malu. Sudahnya Sasha Amira yang kena
basuh.
“Wow! Dah macam
drama Korea pula!” Tiba-tiba Izi Helmy menempelak lalu ketawa besar. Krisya dan
Aina turut menyahut tawa dengan senyuman. Sasha Amira pula memandang Saif
Azrai. Tergamam lelaki itu dilihatnya. Bila difikir-fikir, betul juga kata Izi
Helmy. Selalunya pengantin perempuan menayang pakaian pengantinnya di depan si
pengantin lelaki sebelum majlis sebenar dilihatnya hanya dalam drama Korea. Kalau
tidak pun, cara baratlah agaknya.
Eh, kami ni sudah
terikut cara orang Korea pulakah? Ish, ni semua Krisya punya idea. Mengarut
betul. Cepat langkah Sasha Amira dihayun menuju ke bilik persalinan membuatkan
semua orang terpinga-pinga. Krisya kelam-kabut mengejar.
“Alah, malulah pula
pengantin kau ni!” gurau Izi Helmy lagi seraya menepuk bahu Saif Azrai. Tidak
berkelip mata sepupunya dari tadi. Syok sangatlah tu menjamah mata. Tapi
gurauan Izi Helmy tadi sikitpun tidak memberi kesan kepada Saif Azrai. Tidak
lama, dia juga mengikut rentak Sasha Amira pergi ke bilik persalinan untuk
menukar semula pakaiannya.
Di luar bilik
persalinan, dapat didengar suara riuh Sasha Amira mengerah Krisya menanggalkan
semua aksesori yang ada atas kepalanya. Kalau dia sendiri yang buat, takut ada
yang rosak. Sesekali terdengar suara Krisya menenangkan Sasha Amira yang
tiba-tiba menggelabah. Tidak dapat dibayangkan kelam-kabutnya keadaan di dalam
situ. Tanpa disedari, tersungging lagi senyum di bibir Saif Azrai. Di tangannya
sudah memegang beg berisi pakaian yang dipakainya ke sini tadi dan tanpa
membuang masa, dia melangkah masuk ke dalam bilik yang satu lagi.
*******
Saif Azrai
mengintai lagi wajah Sasha Amira di sebelah. Sepanjang perjalanan gadis itu
membisu dan membatukan diri. Bila dipandang, wajahnya pula dilarikan. Saif
Azrai serba salah tiba-tiba. Entah-entah Sasha Amira terasa hati atas
tindakannya di butik tadi. Aduh. Nanti kalau diceritakan pada Puan Damia,
kantoilah dia jadi lelaki miang pula pada kaca mata bakal mak mertua.
Silap-silap cancel jadi menantu.
Gigit jarilah Saif Azrai melepas syarikat papa nanti.
Ehem. Saif Azrai
berdehem terlebih dulu, sekadar hendak membetulkan tekaknya yang terasa ketat
tiba-tiba.
“Saya minta maaflah
atas apa yang saya buat dekat butik tadi. Kalau awak rasa saya ni gatal ke,
lelaki yang suka ambil kesempatan ke, saya minta maaflah. Saya niat cuma nak
bergurau aja.”
Saif Azrai mengintai
lagi reaksi Sasha Amira. Namun dilihatnya Sasha Amira tidak berikan respon.
Gadis itu masih merenung keluar tingkap kereta, memerhati saja kereta-kereta
yang lalu di sebelah dan akhirnya ditinggalkan mereka. Dalam diam Sasha Amira
sebenarnya memasang telinga. Dia juga dapat rasakan lelaki itu memandangnya dua
tiga kali. Tapi dia tidak berminat mahu membalas renungan Saif Azrai sekalipun.
Perjalanan bersama
Saif Azrai tidak banyak bicara. Sasha Amira terus melayan perasaan sendiri. Dia
tidak kesahkan reaksi Saif Azrai. Biarlah lelaki itu kecil hati sekalipun,
tiba-tiba tidak jadi mahu menikahinya, dia tidak peduli. Lagi bagus. Tak payah
susah-susah dia sarat kepala otak fikir pasal semua ni.
Hari ini terlalu
panjang baginya. Selepas solat Maghrib di butik Krisya, mereka berbincang lagi
tentang pakaian yang mereka cuba tadi. Kemudian beralih pula kalau-kalau Saif
Azrai ada permintaan ekstra untuk busana mereka yang lain. Sepanjang masa itu,
Sasha Amira banyak berdiam diri. Bila ditanya pendapatnya, jawapannya tetap
sama.
“Saya tak kesah.
Apapun okey...”
Kenapa perlu
bertanya pendapatnya sedangkan sudahnya nanti pendapatnya itu tidak mahu diguna
pakai? Pernikahan yang ditetapkan dengan Saif Azrai lebih kurang dua bulan
lagi, ada sesiapa tanya pendapatnya terlebih dulu? Ada yang bertanya
persetujuannya? Tidak kan. Jadi, Sasha Amira merasakan pendapatnya langsung
tidak penting bagi mereka.
Ya Allah. Sampai
sekarang aku masih tak boleh terima kenyataan ini. Tunjukkanlah aku petunjukMu,
Ya Allah. Hanya Kau yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.
Sasha Amira berdoa
dalam hati. Sedang fikirannya sudah cukup kusut memikirkan soal hati dan
perasaan sejak dua tiga hari ini. Letih rasanya. Untuk meniti hari-hari
mendatang, dia tidak tahu bagaimana keadaannya. Bagaimana harus dia jalaninya?
Lelaki itu, lelaki
yang kini berada di sebelahnya, lelaki yang bakal menjunjung tanggungjawab
sebagai suaminya, adakah dia lelaki terbaik yang tercipta untuk dirinya? Sasha
Amira mahu menjeling wajah lelaki itu sekejap tapi hatinya menolak. Takut
dijelingnya nanti, terpesona lagi hatinya.
“Manalah tahu
memang dia jodoh kau. Kalau kau dah tak boleh lari tu, maknanya memang dialah
jodoh kau.”
Terngiang-ngiang
pula suara Intan Nazira bagai menyanyi-nyanyi di telinganya. Jodoh? Dulu dia
pernah percaya Saiful Muslimlah lelaki yang diciptakan sebagai jodohnya. Tapi
lihatlah apa yang berlaku. Merana dia sendiri bila mendapat tahu Saiful Muslim
sudah pun berkahwin sedangkan lelaki itu bahagia dengan kehidupannya bersama si
isteri wanita barat.
Saif Azrai yang
pernah belajar di luar negara, tempat yang dipenuhi wanita-wanita kulit putih,
sama seperti tempat Saiful Muslim menyambung pelajarannya dulu, tidakkah lelaki
ini juga mempunyai citarasa yang sama. Mengkehendakkan wanita-wanita moden yang
cantik jelita, lagi bergaya. Apalah yang dipandang pada gadis biasa seperti
Sasha Amira sedangkan dirinya kacak bergaya, harta pun ada. Mesti dia menjadi
kegilaan ramai. Berbanding Sasha Amia, lelaki pandang sebelah mata pun tak mahu
agaknya. Itu kata hati Sasha Amira.
Bercakap pasal
jodoh, Sasha Amira tidak tahu yang mana mahu percaya. Kata hatinya atau firasat
dan citarasa mama. Mungkin benarlah kata Intan Nazira, solat istigharah
jalannya yang terakhir untuk meyakinkan diri atas keputusan yang bakal dibuat.
Perjalanan cerita ni panjang sesangat lagi. Saja je yuri nak update sikit2 kat sini. Harap bersabar yer...harap korang njoy. Sebarang kritikan atau komen, yuri terima dengan hati terbuka...ilmu dan pendapat bukan senang orang nak kongsi kan.
Perjalanan cerita ni panjang sesangat lagi. Saja je yuri nak update sikit2 kat sini. Harap bersabar yer...harap korang njoy. Sebarang kritikan atau komen, yuri terima dengan hati terbuka...ilmu dan pendapat bukan senang orang nak kongsi kan.
No comments:
Post a Comment